Friday 18 May 2012

CERPEN-CINTAI AKU (PART 1)

Kalau ada lagi yang masih mengikuti blog cik tulip.cubaan pertama menulis cerpen..jom baca :)

Dhia Nabila hanya mendiamkan diri mendengarkan kata-kata ibunya. Memang sudah beberapa kali hal itu dibangkitkan ibunya itu. Dia bukan tidak bersetuju cuma dia perlukan lebih masa untuk memikirkan hal itu. Permintaan ibunya itu dirasakan terlalu tiba-tiba, dia belumpun sempat berfikir, ibunya sudah menetapkan satu keputusan bagi pihaknya dan dia sebagai empunya diri, tidak punyai peluang untuk menimbang keputusan untuk dirinya sendiri.

            “Apa yang Dhia nak fikir lagi, Dhia tak kasihan pada ayah?, dah lama ibu tunggu peluang ni, ayah pun dah lama terlantar sakit. Hanya dengan cara ini sahaja yang dapat bantu keluarga kita sembuhkan ayah.” Suara Halimah mengendur. Sejak dia memaklumkan kepada Dhia Nabila yang dia sudah menerima pinangan keluarga Tengku Kadir tempoh hari, anak daranya itu seolah-olah melancarkan perang dingin terhadapnya. Tidak lagi mahu berbual-bual mesra.

            “Dhia perlu lebih masa bu, Dhia nak fikir dahulu.” Sahut Dhia Nabila lembut. Memang dia terkejut apabila tiba-tiba ibunya itu memaklumkan bahawa pinangan keluarga kaya itu sudah diterima walhal dia masih belum menyatakan persetujuannya.

            “Apa yang Dhia nak fikir lagi, ayah tu bukan makin sihat, dah bertambah teruk. Kalau tak cepat-cepat rawat makin melarat sakit ayah Dhia. Dhia sanggup nak tengok ayah sakit teruk?” Soal Halimah pula. Memang dia hanya nampak jalan itu sahaja yang ada bagi membantu suaminya itu menjalani pembedahan segera. Barahnya perlu dirawat segera. Dan keluarga Tengku Kadir pula menawarkan mereka kemudahan itu jika Dhia Nabila bersetuju untuk mengahwini Tengku Raziq sebagai ganti.

            “Dhia bukan berniat macam tu bu, cuma Dhia harap boleh fikirkan jalan lain.” Luah Dhia Nabila. Sejujurnya dia kecewa dengan permintaan ibunya itu. Kenapa dia perlu berkorban masa depannya dengan mengahwini Tengku Raziq. Bukan dia tidak kenal dengan sikap Tengku Raziq. Anak pasangan tengku Kadir dan Tengku Asiah itu terlalu liar dan terkenal dengan sikap panas barannya. Siapa yang tidak kenal, malah seluruh taman itu tahu akan sikap Tengku Raziq.

            Dan Dhia Nabila juga bukan tidak tahu kenapa keluarga itu beria-ia mahukan dia menjadi menantu di banglo mereka. Tujuannya hanya satu, iaitu untuk menjaga Tengku Kadir yang terlantar sakit. Perkara itu bukan rahsia lagi kerana Tengku Asiah sendiri yang memaklumkan kepada ibunya dan ibunya itu juga tidak pernah merahsiakan tujuan keluarga kaya itu beria-ia mahu dia berkahwin dengan Tengku Raziq.

            “Kita ikhtiar usaha yang lain la bu.” Kata Dhia Nabila lemah. Memang dia tidak bersedia mahu menjadi isteri kepada Tengku Raziq. Bukan itu sahaja, malah dia juga tidak tahu bagaimana dia ingin membawa diri dalam keluarga itu sekiranya dia benar-benar berkahwin dengan Tengku Raziq.

            “Kalau Dhia benar-benar sayangkan ayah, buatlah ikut permintaan ibu ni. Kalau Dhia tolak pinangan keluarga Tengku Asiah, anggaplah Dhia bukan anak ibu lagi.” Putus Halimah. Matanya sudah mulai digenangi air jernih. Kalau benar Dhia Nabila berdegil, dia sudah kehilangan ikhtiar.

            Dhia Nabila mengeluh, tidak menyangka ibunya senekad itu mahu mengorbankan masa hadapannya dengan mempercaturkan nasibnya di tangan Tengku Raziq. Bukan dia tidak sayang pada ayahnya namun dia juga harus memikirkan dirinya sendiri. Bagaimana dengan masa depannya jika dirinya disatukan dengan Tengku Raziq. Melihatkan air mata ibunya, dia turut mengalirkan air mata. Apalah dayanya ingin menolak jika ibunya itu sudah menetapkan keputusan bagi pihaknya. Umpama ditelan mati mak, diluah mati bapak. Dia tiada pilihan yang benar-benar berpihak kepadanya. Berkahwin dengan Tengku Raziq umpama menyerah ke dalam mulut buaya, jika menolak pula, dia mempertaruhkan hubungan ibu anak yang terjalin dengan Halimah selama ini. Sungguh dia buntu.

            Terkenangkan ayahnya dia jadi sayu, sedangkan ayahnya itu juga masih memerlukan perhatian yang rapi tetapi sebaliknya ibunya mahu dia masuk ke keluarga Tengku Asiah dan menjaga Tengku Kadir yang terlantar sakit. Hatinya pilu, ayah yang sakit terpaksa dia tinggalkan semata-mata ingin memberi khidmat kepada orang asing.



Tengku Raziq membuang pandang ke arah jalan raya yang lengang dengan kenderaan. Panas hatinya apabila kata-kata yang menyakitkan hati itu keluar dari mulut ibunya. Marah dia apabila Tengku Asiah memaklumkan hal itu kepadanya. Dan lebih marah lagi kerana dia masih lagi tidak memutuskan apa-apa tentang cadangan ibunya itu seminggu lepas tetapi ibunya itu bertindak membuat keputusan bagi pihaknya.

            “Mummy jangan buat kerja gila macam ni, Raz tak nak kahwin dengan perempuan sebarangan!” Marah Tengku Raziq. Apabila teringat calon yang menjadi pilihan ibunya itu dia jadi marah. Mudah benar ibunya itu mencaturkan kehidupannya begitu.

            “Hanya keluarga dia sahaja yang sanggup terima semua syarat kita. Papa dah lama terlantar sakit. Siapa nak jaga kalau Raz masih berkeras. Sekurang-kurangnya anak mak Limah boleh jaga papa lepas Raz kahwin dengan dia.” Balas Tengku Asiah.

            “Tak boleh ke mummy guna cara lain. Cari jururawat peribadi atau upah pembantu rumah yang sanggup jaga papa.” Jawab Tengku Raziq dengan wajah yang merah menahan marah dari terhambur keluar. Memang itu sikapnya sejak dahulu lagi. Pantang ada yang tidak menyenangkan hati singgah ke telingannya, pasti amukan sahaja yang dia lontarkan. Tidak kiralah siapa yang terkena tempiasnya.

            “Raz bukan tak tahu, dah ramai jururawat yang mummy upah tapi semuanya hanya pandai ambil kesempatan. Mana ada yang benar-benar jujur dan ikhlas nak jaga papa. Semuanya berlagak baik di hadapan kita sahaja, bila dibelakang kita, papa dilayan tak ubah macam layan binatang. Raz sanggup tengok orang layan papa macam tu?” Soalan Tengku Raziq dibalas dengan soalan kembali. Tengku Asiah hanya mahu membawa anaknya itu berfikir. Memang tiada jalan lain lagi yang dia nampak. Hanya itu sahaja jalannya.

            “Raz memang tak setuju kalau mummy berkeras. Raz tak nak korbankan diri semata-mata nak cari caretaker yang sesuai untuk papa. Raz rasa banyak lagi cara lain yang boleh kita guna.” Putus Tengku Raziq tegas.

            “Kalau Raz sanggup berhenti kerja dan ambil alih tugas mummy kat office, mummy akan pertimbangkan cadangan Raz tu. “ Tukas Tengku Asiah memberi kata putus. Bukan dia tidak tahu, Tengku Raziq juga tidak akan bersetuju dengan cadangannya itu. Malah bukan sekali dua dia mengungkit akan hal itu malah sudah beberapa kali tetapi Tengku Raziq masih lagi berdegil. Masih mahu mencari haluan kerjayanya sendiri. Perniagaan keluarga mereka itu tidak pernah tersenarai dalam diarinya.

            Semenjak Tengku Kadir jatuh sakit, Tengku Asiah lah yang berkorban masa dan tenaga menggantikan tempat suaminya itu. Untung juga dia turut memiliki kemahiran menguruskan perniagaan, jika tidak pasti jatuh legasi keluarga mereka itu. Jika hendak diharapkan kepada Tengku Raziq, anak lelaki tunggalnya itu lansung tidak mahu campur tangan dalam perniagaan turun temurun itu. Dia lebih selesa bekerja sendiri, sebagai jurutera.

            Kadang-kadang terbetik juga rasa pelik di hati Tengku Asiah. Sikap panas baran Tengku Raziq itu tidak pula menjejaskan kerjayanya selama ini. Sedangkan dia tahu Tengku Raziq cukup sukar untuk mengawal marah. Biasanya orang seperti Tengku Raziq, jarang-jarang sekali boleh bekerja dengan orang. Namun dalam hal itu, Tengku Raziq tidak pula mengalami sebarang masalah. Mungkin juga kerana anaknya itu sering sahaja komited dalam kerja. Walaupun hidup dalam suasana yang serba mewah namun Tengku Raziq masih lagi tahu apa perkara yang perlu dia dahulukan.

            Namun yang seringkali menjadi kerunsingan Tengku Asiah ialah sikap liar Tengku Raziq yang sukar untuk dikawal. Anak lelakinya itu terlalu bebas dalam menjalani hidup seharian. Sukar juga untuk dia memantau semua kegiatan Tengku Raziq kerana dia juga tidak punyai masa yang banyak untuk mengawasi tindak tanduk Tengku Raziq.

            Sejujurnya, tujuan dia mahu menjodohkan Tengku Raziq dengan Dhia Nabila juga sedikit sebanyaknya bertujuan untuk dia mengembalikan Tengku Raziq ke jalan yang betul. Dhia Nabila bukan sahaja calon yang sesuai malah seringkali menjadi buah mulut orang di kawasan tempat tinggal itu. Budi dan pekerti Dhia Nabila meruntun hati sesiapa sahaja.

            Tengku Raziq terdiam mendengarkan kata-kata Tengku Asiah sebentar tadi. Memang kata-kata ibunya itu umpama paku buah keras yang bertujuan untuk mencantas balik kata-katanya. Mana mungkin dia akan melepaskan jawatan yang dia sandang selama ini. Bukannya Tengku Asiah tidak tahu, dia memang sama sekali tidak akan campur tangan dalam urusan keluarga itu. Dia tidak mahu terikat dengan tanggujawab besar yang dia sendiri tidak pasti sama ada dia boleh pikul atau tidak. Penyudahnya dia hanya terdiam mendengarkan hujah ibunya yang ternyata berjaya membuatkan lidahnya kelu untuk kembali berhujah.





Persalinan akad nikahnya di salin dengan baju yang lebih selesa untuk dia bawa tidur. Tengku Raziq terus menghilangkan diri sejurus menukar baju selepas akad nikah tadi. Nampak benar lelaki itu juga tidak menyenangi ikatan yang baru dijalin itu. Malah riak dingin wajah Tengku Raziq menjelaskan segala-galanya. Lelaki itu turut terpaksa menikahinya.

            Sejurus duduk di birai katil sambil menyisir rapi rambutnya, pintu bilik itu diketuk dari luar. Dhia Nabila bingkas bangun dari duduk lalu menapak ke pintu bilik. Pintu itu dikuaknya dari dalam.

            “Jom makan.” Pelawa Tengku Asiah selepas Dhia Nabila membuka daun pintu.

            “Sekejap lagi Dhia turun.” Tutur Dhia lembut. Dia masih belum selesai menyisir rambutnya lagi.

            “Jangan lambat-lambat, nanti sejuk nasi.” Sahut Tengku Asiah seraya kembali berlalu ke tingkat bawah.

            Dhia Nabila kembali menyambung tugasnya yang terbantut kerana kehadiran Tengku Asiah tadi. Sejurus selesai menyisir rambut, dia bangun menuju ke muka pintu. Sejurus keluar dari bilik, langkahnya di atur menuruni anak tangga ke tingkat bawah yang menempatkan ruang makan.

            Tiba di tingkat bawah, dia lihat hanya kelibat Tengku Asiah sahaja di meja makan. Sementara Nada, pembantu rumah warga Indonesia sedang sibuk mengemop lantai di ruang dapur basah. Dhia mengambil tempat berhadapan dengan ibu mertuanya itu. Masih terasa janggal dengan hubungan baru yang dia bina bersama keluarga itu.

            “Raz dah keluar?” Soal Tengku Asiah seraya menyenduk nasi ke dalam pinggannya dan pinggan Dhia. Tahu benar dengan sikap Tengku Raziq, pasti anak lelakinya itu menunjukkan protes dengan pernikahan yang baru berlaku.

            “Tengku Raziq dah keluar.” Jawab Dhia Nabila jujur. Hatinya yang pedih dipendamkan sendiri. Baharu beberapa jam diijabkabulkan, suaminya sudahpun pergi meninggalkan dirinya sendirian. Itu baru beberapa jam, belum lagi beberapa hari, bulan dan tahun. Entah apa lagi sikap Tengku Raziq yang perlu dia berhadapan di kemudian hari. Memikirkan itu semua dia jadi takut. Takut untuk memikirkan hari-harinya yang bakal ditempuhi bersama lelaki itu.

            “Raz tu memang macam tu, harap Dhia bersabar dulu dengan perangai dia. Lambat laun, mummy percaya Raz akan berubah. Lagipun sekarang dah ada tanggungjawab baru.” Luah Tengku Asiah seraya menyenduk lauk ke dalam pinggannya.

            Dhia hanya mengangguk perlahan. Dia juga berharap begitu. Walaupun pada awalnya dia juga tidak rela dengan pernikahan itu, namun sejurus ijab dan kabul diikat bersama tengku Raziq, dia juga mengharapkan hubungan itu diselangi bahagia walaupun dia sendiri tidak pasti apakah harapannya itu akan membungakan impian yang sudah mula dia semai jauh dalam lubuk hatinya itu.





Dhia Nabila tersentak apabila pintu bilik itu dikuak kasar dari luar. Pantas dia berpaling menghadap ke arah pintu bilik. Sejurus wajah keruh Tengku Raziq dijamah matanya, Dhia larikan anak mata. Takut dia melihat wajah Tengku Raziq begitu. Seolah-olah ada dendam yang belum terlunas di hati Tengku Raziq terhadapnya.

            Tengku Raziq tanpa segan silu terus membuka bajunya lalu mencampak baju tersebut di lantai. Tiada bicara yang terbit dari bibirnya. Lelaki itu kemudiannya meluru masuk ke bilik air dan terus mandi.

            Sementara Dhia Nabila terus menuju ke beg bajunya yang diletakkan di penjuru bilik. Dia juga serba salah mahu meletak pakaiannya itu di mana. Diantara dirinya dan Tengku Raziq masih belum ada bicara yang tercetus. Lelaki itu seperti tidak menyenangi kehadirannya di situ. Lantaran itu, baju-bajunya itu hanya dibiarkan sahaja dalam beg lusuh yang dipinjamkan oleh ibunya Halimah.

            Setengah jam kemudian, Tengku Raziq keluar dari bilik air. Lelaki itu kemudiannya mengenakan pakaian tanpa mengendahkan kehadiran Dhia Nabila yang duduk di sofa yang tersedia dalam bilik itu. Dhia Nabila pula yang jadi malu dengan perlakuan selamba Tengku Raziq. Pantas matanya dilarikan dari melihat Tengku Raziq mengenakan pakaian.

            Usai memakai baju, Tengku Raziq pantas menuju ke meja sisi katil. Kotak rokok yang memang ada disitu diraih lalu dibawa keluar ke balkoni bilik. Sementara Dhia Nabila hanya memerhatikan tingkah Tengku Raziq dengan ekor mata. Dia kemudiannya memerhatikan Tengku Raziq dari belakang. Lelaki itu kemudiannya mengeluarkan sebatang rokok dan diselit ke bibir. Sejurus menghidupkan api pada hujung rokok, Tengku Raziq menyedut dalam rokok di bibir. Asapnya yang dihembus perlahan itu jelas ditangkap oleh mata Dhia Nabila dari dalam bilik.

            Dhia Nabila mengeluh. Tengku Raziq memang lebih dari segi rupa paras dan kekayaan namun, dari segi moralnya lelaki itu seperti tidak dibimbing. Memikirkan itu semua membuatkan Dhia Nabila kembali di rundung resah. Mampukan dia gapai bahagia dengan Tengku Raziq sedangkan kehadirannya di situ lansung tidak mendapat perhatian lelaki itu. Bagaimana untuk dia terus berhadapan dengan Tengku Raziq jika dingin lelaki itu terlalu tinggi, egonya terlalu dalam. Mana mungkin dia bisa mendekati Tengku Raziq jika sikap lelaki itu sendiri tidak membenarkan perkara itu berlaku.

            Lamunan Dhia Nabila terhambur apabila pintu kaca balkoni bilik ditarik kasar dari dalam. Dilihatnya tengku Raziq sudahpun merebahkan tubuhnya ke katil. Lelaki itu kemudiannya mencampakkan sebiji bantal dan sehelai selimut ke arah Dhia Nabila. Dhia Nabila yang faham isyarat Tengku Raziq itu berjalan perlahan lalu bantal dan selimut itu di raih dan di bawa kembali ke sofa. Sedih dan pilu hatinya apabila Tengku Raziq melayannya begitu. Tanpa kata dan tanpa suara, lelaki itu sudahpun meletakkan jarak dalam hubungan yang baru sahaja terbina.



Dhia Nabila baru siap menyuapkan bubur kepada Tengku Kadir apabila dia terdengar bunyi kuat motosikal besar Tengku Raziq masuk ke perkarangan halaman banglo itu. Mangkuk yang telah kosong ditangannya di bawa kembali ke dapur. Apabila tiba di singki, dibasuhnya mangkuk kosong itu dan kembali di susun dalam kabinet. Tugasan yang berikutnya ialah supaya dia mengelap badan Tengku Kadir. Semenjak dia menjadi menantu rumah itu, memang dia sudah diterangkan tentang tanggungjawabnya di situ malah Tengku Asiah juga sudah menyediakan dirinya jadual. Dan tugasan-tugasan yang dilakukan itu juga sudah tersenarai dalam jadual yang disediakan Tengku Asiah.

            Memang semenjak masuk dalam keluarga itu, tidak pernah sekalipun dia rasa seperti menantu di banglo besar itu. Tugasnya itu tidak lebih dari pembantu rumah sahaja. Entah kenapa dia rasa seperti keluarga Tengku Asiah seolah-olah menghina orang sepertinya. Mengambil dirinya sebagai menantu sekadar mahu menghalalkan hubungan supaya dia boleh menjaga Tengku Kadir yang terlantar sakit. Malah ibunya juga dirasakan terlalu mementingkan diri kerana sanggup menyerahkan dirinya ke dalam keluarga itu. Bukan ibunya tidak tahu sikap Tengku Raziq, malah perlakuan anak Tengku Asiah itu memang bukan rahsia lagi bagi masyarakat setempat.

            Lahir dalam keluarga besar begitu memang memerlukan pengorbanan yang besar juga. Kasih sayang terpaksa dibahagi kepada adik beradik lain dan dia sebagai anak yang paling besar terpaksa berkorban demi kelansungan hidup ahli keluarga lain. Kadang-kadang dia cemburu melihat orang lain.

            Dhia Nabila keluar dari ruang dapur untuk kembali menguruskan Tengku Kadir namun sebelum sempat dia sampai ke anak-anak tangga, dia bertembung dengan Tengku Raziq. Tanpa bicara, Tengku Raziq membuka bajunya dan terus dicampak di kaki Dhia Nabila. Mengisyaratkan supaya Dhia Nabila mengutip baju itu dan membasuhnya.

            Dhia Nabila faham benar dengan cara Tengku Raziq itu. Walaupun tanpa bicara, namun isyarat dan perlakuan lelaki itu sudah boleh dia baca. Pantas dia mengutip baju Tengku Raziq dan dibawa ke mesin basuh. Sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh, dibelek-belek dahulu kemeja lelaki itu, bimbang jika ada kertas atau barang-barang lain yang masih ada dalam poket kemeja itu. Semasa memeriksa kemeja itu, mata Dhia Nabila tertangkap kesan gincu bibir di kolar baju lelaki itu. Dhia Nabila mengeluh. Selama ini hanya khabar tentang keliaran lelaki itu sahaja yang singgah ke telinganya tetapi ketika itu matanya sendiri menjadi saksi akan kebenaran khabar-khabar angin itu. Entah kenapa tiba-tiba hatinya jadi sayu. Terlontar dalam keluarga kaya itu dan menjadi isteri kepada Tengku Raziq, memang tidak pernah dia terfikirkan dalam mindanya.

kalau best bagitahu ye...nak sambung lagi..hehe


33 comments:

  1. best3..
    sile sambung..
    cpat taw..

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul2...
      best sngt...
      smbg cpt cket ye..
      x sbr nk tau pengakhirannya...

      Delete
  2. best2. suka sgt. Sambung lg... :)

    ReplyDelete
  3. best..best..best..
    sambung cepat sket tau..

    ReplyDelete
  4. like it...sambung lg...

    ReplyDelete
  5. sya jarang komen..tp, memang best~

    ReplyDelete
  6. smbg lg,gile best x igt...hehe..

    ReplyDelete
  7. wlu konsep cerita dh selalu sgt ada tp saya suka ayat yg teratur awak... sng je nk fhm..

    ReplyDelete
  8. Salam cik writer, saya mesti tergelak kalau terbaca satu perkataan ni, 'terbetik'.. Kengkadang jadi confius. Ada ke perkataan tu? Ke 'terdetik'? Hehehe.. Btw, nice storyline walaupun dah selalu ada cerpen/novel berunsurkan kahwin yang sebegini. Teruskan :-)

    ReplyDelete
  9. best la kak tulip.. :) nak buat berapa part nie?

    ReplyDelete
  10. nk!nk!nk!nk smbungn die akk tulip!mnarik2.like3~

    ReplyDelete
  11. best..best..
    boleh x smbng..nak tahu jgak ape smbngan nye.. :)

    ReplyDelete
  12. sangat3x best akak, klo jd cite pnjg pun best ni haha *sambil kelip2 mate... i miss u kak tulip ~ngeeeeeeee

    ReplyDelete
  13. best memang best...tapi dh banyak sangat citer pasal kawin paksa..tapi takpe..mungkin kawin paksa dlm cerpen ni..lain drp yg lain...apa2 pun Cik Tulip..saya tetap tunggu sambungannya...

    ReplyDelete
  14. best2...
    nk lgi,nk lgi...

    ReplyDelete
  15. best smbung lagi..
    yupp..byk sgt kwin pksa..tdur asing2 bagai..

    hrp ade kelainan citer ye..

    ::TR::

    ReplyDelete
  16. assalamumualaikum tuan rumah..oo tuan rumah..bile nk smbg ni tuan rumah ooi??????????????

    ReplyDelete
  17. Perangai Tengku Raziq menyakitkan hati

    ReplyDelete
  18. Please la continue. .. Best la... Kalau da sambung reply kat sy link nye ye . Sy nk smbung bace

    ReplyDelete
  19. I like it.please continue the story.

    ReplyDelete
  20. Hai...silalah melawat blog saya..komen cerpen saya..saya baru first time cube menulis btw cerita yang best..sambil menyelam minum air uhhhuhhh

    ReplyDelete
  21. Hai...silalah melawat blog saya..komen cerpen saya..saya baru first time cube menulis btw cerita yang best..sambil menyelam minum air uhhhuhhh

    ReplyDelete
  22. Best sangat..jom tengok blog saya

    ReplyDelete
  23. Best sangat..jom tengok blog saya

    ReplyDelete