BAB 23
Datuk Zainudin membuang pandang ke arah
kolam renang dihadapannya. Sudah lima belas minit dia menunggu di situ namun
bayang-bayang Tan Sri Mahzan masih belum kelihatan. Semasa dia datang tadi pun,
dia hanya disambut oleh salah seorang pembantu rumah Tan Sri Mahzan yang
berbangsa Indonesia. Dia cuma diberitahu untuk menunggu Tan Sri Mahzan disitu.
Datuk Zainudin memerhatikan riak air
yang tenang sambil mengelamun jauh. Tentu ada hal penting yang ingin
dibincangkan oleh Tan Sri Mahzan sehingga menjemputnya ke situ. Jarang-jarang
sekali dia berpeluang untuk bertemu lelaki itu. Selalunya Tan Sri Mahzan seringkali sibuk dengan jadualnya
yang padat.
“Dah lama sampai?” Suara Tan Sri
Mahzan mengejutkan Datuk Zainudin dari lamunannya.
“Dalam dua puluh minit.” Jawab Datuk
Zainudin sejurus memeriksa waktu pada jam tangannya.
“Maaflah buatkan Datuk menunggu.”
Kata Tan Sri Mahzan seraya mengambil tempat berhadapan Datuk Zainudin di kerusi
yang dibina khas di tepi kolam renang itu.
“Baru sekejap tunggu Tan Sri, tiada
masalah bagi saya.”Kata Datuk Zainudin lagi. Sengaja dia lembutkan kata-katanya
walhal dia pun kurang selesa kerana terpaksa menunggu lama.
“Ada hal saya nak bincangkan dengan
Datuk ni.” Kata Tan Sri Mahzan lagi. Terus pada maksudnya.
“Hal apa?” Soal Datuk Zainudin
hairan.
“Hal anak-anak kita la.” Jawab Tan
Sri Mahzan kembali.
“Maksud Tan Sri pasal El dengan
Azzura?” Soal Datuk Zainudin lagi.
Tan Sri Mahzan hanya mengangguk.
“Malu pula saya nak utarakan hal ni
pada Datuk.” Sambung Tan Sri Mahzan.
Datuk Zainudin hanya menjadi
pendengar. Dia tidak mahu menyampuk, membiarkan Tan Sri Mahzan memberitahu
sendiri tujuan dia dijemput bertandang ke situ.
“Azzura tu dah selalu sangat desak
saya cepatkan majlis dengan El, katanya kalau tak nak kahwin dulu pun takpe,
asalkan ikat tali pertunangan dulu. Sebab tu lah saya jemput Datuk datang hari
ni, kalau boleh nak berbincang dengan Datuk. Boleh kita capai kata sepakat
untuk diaorang.” Terang Tan Sri Mahzan.
“Oh..pasal tu, ingatkan hal apa
tadi. Saya ni takde masalah, kalau budak-budak tu dah suka, terpulanglah. El tu
pun bukannya muda lagi, dah masuk 30 tahun ni, saya pun harap dia cepat-cepat
kahwin dengan anak Tan Sri. Memang saya pun dah lama terfikirkan hal ni, cuma
tak berani pula nak suarakan pada Tan Sri, maklumlah, saya ni pipit. Manalah
layak nak berganding dengan helang macam Tan Sri.” Sahut Datuk Zainudin dalam
nada merendah diri. Sengaja dia berkata begitu walhal dalam hatinya sudah
berbunga riang. Pucuk dicita,ulam mendatang. Memang sudah lama dia menantikan
saat itu.
Tan Sri Mahzan bukannya
calang-calang orang. Pengaruhnya kuat. Menjalinkan ikatan dengan Tan Sri Mahzan
umpama terjun ke lubuk emas. Memang sejak dulu lagi dia impikan perkara itu
terjadi.
“Saya rasa malu pula terpaksa
suarakan hasrat saya ni, terasa macam perigi cari timba pula.” Ucap Tan Sri
Mahzan lagi, terasa rendah diri bila dia yang mula membicarakan hal itu. Jika
tidak didesak oleh anak manjanya itu, pasti dia tidak akan menyatakan hasrat
itu kepada Datuk Zainudin, pastinya dia akan menanti pihak Datuk Zainudin yang
memulakan dahulu.
“Apa yang nak dimalukan, saya ni
yang patut rasa rendah diri, Tan Sri orang berpangkat, saya ni apa lah yang
ada.” Kata Datuk Zainudin lagi.
“kalau macam tu bolehlah Datuk
risik-risik dengan El, bila boleh kita buat majlisnya. Lagi cepat, lagi bagus.
Azzura tu asyik desak saya sahaja.”Ujar Tan Sri Mahzan lagi.
“Insyaallah saya akan berbincang
dengan El. Kalau orang dah bercinta. Benda dilarang lagi dibuat, inikan pula
benda disuruh, lagi lah diaorang suka.” Seloroh Datuk Zainudin. Dalam hatinya
sudah terencana pelbagai rancangan sekiranya Daniel Arman dan Azzura disatukan.
Dia tidak peduli sekiranya Daniel Arman bersetuju ataupun tidak, yang penting
perkara yang diusulkan oleh Tan Sri Mahzan tadi akan menjadi kenyataan. Memang
sudah lama dia menantikan saat itu. Peluang itu tidak akan dia sia-siakan hatta
terpaksa mengorbankan Daniel Arman sekalipun, dia sanggup.
Daniel Arman duduk di kerusi simen
dihadapan banglo Datuk Zainudin sambil membuang pandang ke arah susunan pokok
orkid yang diatur rapi ditepi pagar banglo itu. Tengahari tadi dia telah
mendapat panggilan telefon daripada Datuk Zainudin yang memintanya untuk datang
ke situ untuk membincangkan sesuatu. Perkara apa yang hendak dibincangkan tidak
pula dimaklumkan oleh bapanya itu. Ada juga terbetik rasa hairan dihatinya.
Jarang-jarang sekali Datuk Zainudin mahu berbincang dengannya. Kalau hal
berkaitan syarikat, rasanya sejak awal dia mengambil alih dahulu, memang Datuk
Zainudin sudah lepas tangan tentang hal itu.
Lamunan Daniel Arman terhenti
apabila Datuk Zainudin tiba-tiba duduk dan mengambil tempat dihadapannya.
“Daddy ada perkara nak bincang
dengan El.” Kata Datuk Zainudin senada dan serius.
“Perkara apa?” Soal Daniel Arman.
Tertanya-tanya juga dihatinya, hal apa yang dimaksudkan oleh Datuk Zainudin
itu.
“Pasal El dengan Azzura.” Kata Datuk
Zainudin ringkas.
“Ada apa dengan hal El dan Zurra?”
Soal Daniel Arman lagi. Namun dia dapat merasakan sesuatu pada riak wajah
bapanya itu. Mungkin sesuatu yang dia tidak harapkan berlaku.
“Tan Sri dah tanya, bila nak buat
majlis El dengan Azzura, kalau tak nak kahwin dulu pun takpe, yang penting ikat
tali pertunangan dulu.” Kata Datuk Zainudin terus pada maksudnya.
“El belum sedia lagi daddy.” Kata
Daniel Arman senada. Sejujurnya memang dia belum bersedia untuk membicarakan
hal itu. Atau dengan lebih tepat lagi, dia tidak mahu berbicara lansung tentang
perkara itu.
“El sedia atau tak sedia, daddy tak
peduli, yang penting sekarang ni daddy nak El bertunang dulu dengan Azzura.
Diaorang orang berpengaruh, kalau kena pada caranya kita pun tumpang senang
juga nanti.” Kata Datuk Zainudin lagi. Kali ini nadanya sedikit tegas.
“Apa hak daddy nak paksa-paksa El
macam ni?, El dah besar panjang macam ni pun daddy masih nak control lagi, pasal hidup El, biar El
fikirkan sendiri, dengan siapa El nak kahwin, biar El yang buat keputusan.
Daddy tiada hak nak paksa-paksa El kalau El belum bersedia!.” Ucap Daniel
Arman, nadanya turut tegas. Memang dia mahu Datuk Zainudin tahu yang dia berhak
menentukan hala tuju hidupnya sendiri, tidak perlu hidupnya di atur-atur
begitu.
“Kalau dah selalu angkut anak dara
orang ke hulu ke hilir, tentulah kena ambil buat isteri, tak kan selama ni El
angkut Azzura tu ke sana ke sini tapi tiada niat nak buat isteri!.” Balas Datuk
Zainudin kasar. Sengaja dia gunakah hujah itu walhal dia sendiri tahu bagaimana
sikap Daniel Arman terhadap Azzura, anaknya itu tidak pernah serius melayani
Azzura, jauh sekali mahu mengambil kesempatan dan mahu memberi harapan kepada
anak gadis Tan Sri Mahzan itu.
“Hold
on a second dad, bila masa pula El angkut anak dara orang, bukan daddy ke
yang beria-ia match-making kan
kitaorang dulu, El tak pernah kata El suka dan bukan salah El kalau Azzura tu
yang melekat dengan El, memang selama ni pun El tak pernah paksa Azzura, El tak
pernah bagi harapan pada dia dan El juga tak pernah ambil kesempatan ke atas
dia. Kalau daddy berkeras juga nak teruskan rancangan daddy, you can ask Dan to replace me. Same like
what you did back then, I replaced his place and maybe he should do the same!.”
Tukas Daniel Arman.
“What’s
wrong with you El?, Kalau dulu El boleh dengar kata daddy, kenapa sekarang
El nak bangkang pula. Ini mesti sebab perempuan murah tu kan? Kenapa?, El dah
jatuh hati pada dia?, jangan ingat daddy tak tahu pasal Nina.” Kata Datuk
Zainudin dalam nada sinis. Memang dia pasti, Daniel Arman menolak cadangannya
kerana Nina. Bukan dia tidak kenal dengan Daniel Arman, Daniel Arman terlalu
baik hati. Kalau tidak tentu sudah lama Nina diceraikan. Saat itu dirasakan
rasa bencinya terhadap Nina meluap-luap.
“Daddy boleh kata apa sahaja yang
daddy suka, tapi keputusan El tetap sama. El tak kan bersetuju dengan rancangan
daddy.” Ucap Daniel Arman tegas seraya bangun dan berlalu meninggalkan Datuk
Zainudin yang kepanasan hati.
Kata-kata Datuk Zainudin bukan boleh
dilayan. Walaupun rasa sakit hati dengan penghinaan bapanya itu terhadap Nina,
namun Daniel Arman tidak mudah melatah. Walau bagaimana benci pun dirinya dengan
tuduhan buruk Datuk Zainudin terhadap Nina namun lelaki itu masih bapanya.
Walaupun rasa hormatnya semakin terhakis namun ia masih bersisa. Sebagai anak
dia tidak dapat menafikan perkara itu.
Datuk Zainudin melurut-lurut kasar
rambutnya. Panas hatinya mendengarkan keputusan Daniel Arman. Memang dia tidak
menyangka reaksi Daniel Arman akan begitu, selama ini dia menyangka Daniel
Arman akan menurut segala kehendaknya. Begitulah selalunya. Daniel Arman
seringkali menerima keputusannya, jarang sekali membangkang kata-katanya.
Apabila ingatannya teraih kepada
Nina, hati Datuk Zainudin bertambah panas. Tentu disebabkan Nina anak lelakinya
itu berubah sikap. Kalau Nina tidak muncul semula dalam hidup Daniel Arman
tentu anaknya itu akan menurut sahaja perancangannya. Kehadiran Nina
menyebabkan rencananya musnah.
Datuk Zainudin merengus kasar. Dia perlu lakukan sesuatu sebelum
rancangannya hancur musnah. Dia akan pastikan perancangan dan cita-citanya
selama ini menjadi kenyataan, Daniel Arman mahupun Nina tidak akan menjadi
penghalang kepada niatnya itu, itu kata hati Datuk Zainudin.
Skrin telivisyen ditatap kosong, dialog
antara dirinya dan Datuk Zainudin tadi berlegar-legar dikepalanya. Sungguh dia
marah dengan tindakan Datuk Zainudin yang cuba untuk mengatur hidupnya sekali
lagi. Sejak dia masih anak kecil lagi bapanya itu bersikap begitu. Menentukan
apa yang boleh dan tidak boleh untuknya. Sampai satu tahap dia sudah bosan
dengan sikap Datuk Zainudin itu. Dia kini sudah dewasa, sudah boleh menentukan
sendiri apa yang dia mahukan dalam hidupnya.
Permintaan Datuk Zainudin itu
dilihatnya keterlaluan. Memang sejak awal dahulu dia tidak pernah bersetuju
dengan cadangan Datuk Zainudin supaya dia menjalinkan hubungan dengan anak Tan
Sri Mahzan tetapi Datuk Zainudin yang beria-ia sehinggakan dia sendiri tidak
menyangka bapanya itu sampai sanggup mengaturkan blind datenya dengan Azzura. Sejak dari itu Azzura kerap kali
menghubunginya. Setiap temu janji bersama Azzura juga dirancang rapi oleh Datuk
Zainudin sehingga kadang-kadang dia terpedaya dengan helah bapanya itu.
Bagi Daniel Arman sendiri, dia tidak pernah memberi harapan kepada gadis
itu. Azzura sendiri jelas akan hal itu cuma kadang-kadang Azzura terlebih
mengharapkan dirinya. Kadangkala gadis itu terlalu manja dengannya. Seolah-olah
tidak faham dengan isi hatinya, walhal dia sudah jelaskan kepada Azzura, kalau
sekadar berkawan biasa dia tidak kisah, kalau mengharapkan hubungan yang jauh
lebih serius dia perlukan lebih masa untuk memikirkannya kerana dalam hubungannya
dengan Azzura tidak pernah ada rasa cinta. Azzura juga sudah dia jelaskan
tentang hal itu.
Azzura walaupun memiliki segala-galanya, cukup dengan cantik dan pandai
bergaya namun bukan itu yang dicari oleh dirinya. Dia mahukan perempuan yang
lebih bersederhana, paras rupa bukanlah ukuran baginya. Yang penting dia suka
dengan cara wanita itu membawa diri, tidak terlalu bergantung dengannya dan
tidak terlalu merimaskannya. Sejujurnya perempuan yang dicari oleh Daniel Arman
itu lebih mirip kepada Nina.
Memang sejak dia mengenali Nina, hatinya sudah jatuh sayang pada gadis
itu. Disebabkan perasaan cintanya yang semakin bercambah itulah menyebabkan dia
tidak mampu untuk menghadirkan cinta buat Azzura. Cinta, kasih dan sayangnya
sudah berputik dan berkembang buat Nina seorang, rasa hatinya itu tidak mungkin
dapat dia nafikan, cuma rasa itu belum diluahkan. Masih dipendam jauh di sudut
hatinya, menantikan saat yang paling sesuai untuk dia curahkan segala-galanya
pada Nina.
Nina membuang pandang ke arah air hujan
yang jatuh mencurah-curah di halaman rumahnya. Entah kenapa malam itu
ingatannya teraih kepada Daniel Arman. Terasa ada rindu yang mengetuk jiwanya
kala itu, terasa ada cinta yang bertamu dihatinya saat itu.
Daniel Arman, lelaki yang pernah
menyelamatkan maruahnya suatu ketika dahulu, lelaki yang menerimanya tanpa
syarat. Mana mungkin hati kecilnya tidak tertawan pada bicara lembut Daniel
Arman, pada murninya tingkah laku Daniel Arman. Saat itu Nina benar-benar
sedar, dia sudah jatuh cinta pada lelaki itu, sudah terlalu jatuh cinta pada
Daniel Arman.
Nina lepaskan keluhan dalam, air
matanya mulai bergenang di tubir mata. Perasaan cinta dan sayang itu dirasakan
terlalu dalam, dalam sehingga tidak mungkin lagi dia mampu gapai dan buang
semua rasa itu. Namun memikirkan semua yang pernah berlaku ke atas dirinya,
Nina merasakan dirinya tidak layak untuk lelaki sebaik Daniel Arman.
Pengkhianatan Danish Arham suatu
waktu dahulu menyebabkan dia rasa rendah diri. Rendah diri kerana tiada apa
lagi yang tinggal untuk dia berikan pada Daniel Arman. Jauh di sudut hatinya,
dia sayu. Sayu kerana tidak mampu menjadi isteri yang sempurna untuk Daniel
Arman. Sayu kerana dia bukan isteri sempurna untuk lelaki itu.
Kalaulah dia mampu untuk
mengundurkan masa, sudah tentu dia akan pastikan ikatannya dengan Daniel Arman
itu tidak pernah terjalin. Kerana ketika ini rasa cinta yang kuat itu
membuatkan dia rasa terseksa. Terseksa kerana dia tidak mampu memberikan cinta
kepada lelaki itu. Menyedari hakikat dirinya yang tidak sempurna menyebabkan
hatinya terluka kerana Daniel Arman berhak mendapat cinta yang jauh lebih baik
darinya.
oitttt huhuhu pendiknyer... enchik danish xder pun.... windu....bila dia nk sebarkn kejahatan dia ni, x sabar nk tggu.. ahahah. geram betul dgn bapak dorg ni... tua miang keladi, x sedar diri... nyampes.
ReplyDeleteWohooooo.. Pls do something El!! Kang ZM tu lg wt mcm2.. Cpt la beterus terang kat nina n bawak dia tinggal skali.. :)
ReplyDeletealah.. abes dah.. nak lagi. rindu El ngn Nina..
ReplyDeletehye cek tulip ungu... hehehe
ReplyDeletexsuka ngan dato zainudin tu..hummm
tapi cta ne mmg best.. ^.^
hope cta ne habis kat blog .. hehehe.
next n3.. p nak ada el ngan nina...
bencilah dgn dato zainudin tu...dok macth El dgn azura...oh tak nak, biar El dgn Nina.....
ReplyDeletemesti nina takut nak letak harapan tinggi . rin faham kenapa dia rasa rendah diri . mahkota seorang gadis x de lagi mesti rasa bersalah kat org yang dia syg ...
ReplyDeletepndeknya...ee...benci ngan dato tu..>.<..mst dia akn lakukn sesuatu yg jahat pd nina nanti...
ReplyDeletepergh ..1st time in his life Arman bersuara..melontarkan perasaan tidak puas hatinya pada ayahnya..inilah yg akak nantikan dari Arman..dan kata katanya yg menyuruh papanya mengantikan dirinya ngan Arham mmg memberi satu tamparan yg hebat bagi diri ayahnya..bila lah rasanya si Nina tu akan bersama dengan arman..alahai kesian kan mereka berdua ini..berpisah kerana Nina merasa dirinya tidak sesempurna mana disebabkan tiada permata yg indah utk diberikan kepada seorg suami yg masih lagi teruna..Tidak kah mama Arman mahu mencampuri urusan antara Nina daN Arman.Akak mengharap agar Datin akan menyuruh Nina duduk serumah ngan Arman kerana ijab dan Qabul yg dilafazkan oleh Arman anaknya seperti dipermain mainkan oleh mereka berdua. Sudah sudahlah mereka menanggung dosa kerana tidak menjalankan tanggung jawab masing masing. Arman sebagai suami jgnlah bersikap lewa dalam menjalankan tugasnya sebagai suami yg semestinya memberi nafkah zahir dan juga batin pada isterinya.Nina pula hendaklah berfikiran positif dan mengambil langkah untuk hidup bersama suaminya. Tidak salah bagi akak kalo dia mengoda suaminya..kan..
ReplyDeletehish...nyampah tul dengan datuk zainuddin tu...sokong sangat ayat el tu... kalau dulu dia kena ganti tempat dan...suruhlah pulak dan tu ganti tempat el! baru adil...benci2...el dengan nina lah.. nak ja sound datuk zainuddin tu...huh..
ReplyDeletepsst...opss teremo lak...hehe
ala, pendeknyer.. x puas bce..hehehe..
ReplyDeleteske sgt dgn EL dlm bab ini.. hope dia bole btegas agi..hehe..
alaaaaa..nape pendek sgt kak Tulip huhu T_T, may be akak busy kot kan hehe...cpt2 taip n3 baru, bg panjang berjeLA CKIT HAHA
ReplyDeletedah lama tunggu..tapi pendek arr Cik Tulip..tak puas baca..baru nk mula dh kena tunggu sambungannya..apa2 pun memang bestttt...I likeeee....tak sabar nk tunggu bila El nak confess yg dia cintakan Nina...
ReplyDeleteEL... dah mula bersuara dan menyatakan pendiriannya.... moga terus berjuang... jgn mudah mengalah....
ReplyDeletemoga jodoh el n nina panjang....mcm mne dgn fiqri?? mcm2 rintangan yg akan hadir ke???? x sabo tunggu yang selanjutnya...
ReplyDelete~didie~
Habis dh ke...rasa x puas..
ReplyDeleteBaca semua bab buat sesak nafas...
Well done!
Huhuhu cepat btl habis ne novel....buli hantar stock lg d Sabah......sy lagi suka baca novel...boleh sy baca d tembat kerja...huhuhu
ReplyDeleteBestnya critanyan
ReplyDeleteSatu je nak cakap I very puas hati dgn penulis novel ni dan crew² dia.. Pandai dia main kata dan konflik dalam cerita ni sehingga membuatkan pembaca tertunggu tunggu .. #salute
ReplyDelete