BAB 5
Keriuhan pekerja-pekerja catering mengemas-ngemas halaman rumah membuatkan Sara Adelina merenung jauh
ke luar tingkap. Majlis kenduri perkahwinannya dengan Syed Ziqri baru sahaja
selesai. Dan dia bersyukur semuanya berjalan dengan lancar.
Atas permintaan
Syed Ziqri sendiri, hanya majlis akad nikah sahaja yang dijalankan. Tiada
majlis persandingan seperti pasangan lain kerana Syed Ziqri hanya mahukan
majlis yang ringkas sahaja. Bagi Sara Adelina sendiri, dia tidak kisah. Yang
penting ialah mendahulukan yang wajib. Dia juga tidak pernah mengimpikan
perkahwinan yang gilang gemilang. Cukuplah sekadar memenuhi tuntutan agama. Itu
sudah mencukupi buatnya.
Bunyi pintu bilik
air dibuka mengejutkan Sara Adelina dari renungan jauh. Dia pantas berpaling
dan matanya bertembung pandang dengan sepasang mata Syed Ziqri. Cepat-cepat
Sara Adelina larikan matanya tatkala dia terpandangkan tubuh Syed Ziqri yang
hanya berbalut tuala mandi.
“Nanti Sara tolong
basuhkan baju abang ni.” Pinta Syed Ziqri lembut. Baju ditangannya diletak
perlahan ke atas katil yang dialas dengan cadar satin dengan corak bunga di
setiap penjuru. Persalinan pengantinnya itu ditinggalkan di situ.
Sara Adelina hanya
tersenyum nipis menzahirkan jawapan kepada permintaan Syed Ziqri. Entah bila
Syed Ziqri menanggalkan persalinan itu, dia sendiri tidak pasti. Sedar-sedar
suaminya itu sudah keluar dari bilik air dan selesai mandi lalu meminta dia
membasuhkan persalinan akad nikah mereka yang ditempah khas.
“Encik Ziqri....”
Seru Sara Adelina sebelum sempat Syed Ziqri melangkah ke pintu.
Syed Ziqri pantas
berpaling.
“Kenapa panggil
macam tu? Lepas ni Sara kena panggil abang, ABANG. Bukan Encik Ziqri lagi.”
Kata Syed Ziqri sambil memanah tepat ke mata Sara Adelina. Hairan juga kerana
panggilan itu sepatutnya sudah luput dari ingatan Sara Adelina setelah mereka
sah menjadi suami isteri.
Sara Adelina tertunduk malu. Bibirnya itu tadi lancar
sahaja menyebut gelaran biasa Syed Ziqri. Dia sendiri tidak sedar tatkala
panggilan itu meluncur keluar dari bibirnya. Setelah ditegur Syed Ziqri baru
dia perasan.
“Ada apa?” Soal
Syed Ziqri.
“Hah?” Sara Adelina
angkat mukanya dengan riak pelik.
“Tadi Sara panggil
abang.” Ujar Syed Ziqri lagi.
“Oh..tadi umi
pesan, malam ni kawan abang nak datang. Diaorang call telefon rumah tadi sebab call
abang tak angkat.” Ucap Sara Adelina lambat-lambat. Masih janggal lagi
lidahnya mahu memanggil Syed Ziqri dengan panggilan mesra begitu.
“Okey.” Balas Syed
Ziqri dalam senyum nipis. Senyuman yang membuatkan hati Sara Adelina bergetar
untuk seketika.
Lelaki itu
kemudiannya berlalu ke luar meninggalkan Sara Adelina yang hilang dalam
senyuman Syed Ziqri.
“Tak sangka dah dua kali
you kahwin.” Seloroh Azmizy dalam tawa halus.
“Sorry la, siang
tadi I sibuk sangat. Tak dapat datang kenduri you.” Sambungnya.
Syed Ziqri hanya
tersenyum nipis. Pada awal tadi memang dia rasa seperti mahu mengherdik
sahabatnya itu kerana tidak hadir ke majlisnya tetapi mendengarkan selorohan
Azmizy, tidak jadi pula dia hendak marah.
“Itulah, i dah
suruh cari calon tapi you buat lambat-lambat. Sekarang tengok, siapa hero?.I
dah dua kali kahwin. You masih tak kahwin-kahwin. “ Syed Ziqri turut berseloroh.
Pecah ketawa Azmizy
mendengarkan kata-kata Syed Ziqri. Berlainan benar tingkah Syed Ziqri ketika
itu. Jarang sekali sahabatnya itu boleh berseloroh begitu dengannya.
Terutamanya apabila membincangkan hal rumah tangga. Syed Ziqri bukan jenis yang
suka bercerita hal rumahtangganya.
“I belum jumpa
calon sesuai. Dah jumpa calon nanti I kahwin la. I nak carik empat terus.
Cukupkan kuota.” Sambung Azmizy masih dalam nada seloroh.
“macam la you hebat sangat
nak cari calon sampai empat.”Sindir Syed Ziqri turut bernada seloroh.
“I ni kan dah cukup
package, kacak, bergaya, berharta.”
Sambung Azmizy diselangi ketawa besar.
“Yelah tu.” Balas
Syed Ziqri dengan wajah tidak puas hati yang dibuat-buat.
“Eh, kata tadi nk
perkenalkan wife you. Mana dia?”
Azmizy mengalih topik perbualan.
“Tunggu dia hantar
air kejap lagi.” Jawab Syed Ziqri.
“Lawa tak?” Soal Azmizy
tiba-tiba.
Syed Ziqri hanya
membalas kata-kata Azmizy dengan renungan tajam.
“You tengokla
sendiri.” Jawabnya kemudian.
Perbualan
kedua-duanya terhenti apabila kebetulan Sara Adelina datang membawa dulang
berisi air kopi panas dengan kek mentega yang dipotong-potong kecil.
Azmizy cepat-cepat
mengalihkan pandangannya terus ke wajah Sara Adelina.
“Manis wife you.” Kata Azmizy sejurus Sara
Adelina berlalu.
Syed Ziqri hanya
tersenyum nipis. Tidak membalas kata-kata Azmizy.
“Tapi kan, dulu you
pernah kata, you kalau cari calon mesti nak yang berdikari, berkerjaya dan yang
paling penting, yang kulitnya putih gebu. I tengok takde pun ciri-ciri tu pada
wife you tu.” Sambung Azmizy sambil
meraih cawan di hadapannya walaupun belum dipelawa.
“Banyak cakap la
you ni, dah la. Minum cepat. Lepas tu balik cepat. Ini malam pengantin I.” Kata
Syed Ziqri selamba.
Azmizy pula sudah
ketawa besar.
“You dah banyak
berubah.” Ujar Azmizy dalam ketawa yang bersisa. Memang Syed Ziqri yang berada
dihadapannya kini sudah tidak seperti Syed Ziqri yang dia kenal dulu. Lelaki
itu sudah jauh berubah. Adakah mungkin disebabkan oleh kematian Syarifah Irma
Sofiya ataupun adakah kerana lelaki itu sudah menemui pengganti isterinya itu?
Azmizy sendiri tidak pasti sebab apakah yang membawa perubahan ke dalam diri
sahabatnya itu.
Sara Adelina sedang menyisir rambut saat Syed Ziqri masuk semula ke bilik.
Debaran yang ditampung dadanya terasa bertambah dua kali ganda berbanding awal
tadi. Entah bagaimana untuk dia berhadapan dengan malam pengantinnya bersama
Syed Ziqri. Sejujurnya dia sangat takut dan malu mahu berhadapan dengan semua
itu.
Syed Ziqri duduk di
birai katil tanpa suara. Tidak dapat dinafikan yang dia turut terasa berdebar
dengan kehadiran Sara Adelina bersamanya dalam satu bilik malam itu. Selama ini
dia hanya beerkongsi bilik dengan Syarifah Irma Sofiya, namun semenjak
kehilangan isterinya itu, kamarnya itu hanya didiami dia sendiri. Memang dia
juga berasa sunyi dengan kehilangan isterinya itu. Semenjak Syarifah Irma Sofiya
pergi, dia terlalu rindukan kehadiran wanita di sisinya.
Syed Ziqri membuang
pandang ke arah Sara Adelina yang sedang menyisir rambut semenjak dia masuk ke
bilik tadi. Entah kenapa hatinya itu mendesak untuk dia bangun dan berjalan
menuju ke arah Sara Adelina. Tanpa berfikir panjang, kaki Syed Ziqri melangkah
perlahan menuju ke arah Sara Adelina sehingga tanpa sedar, dia sudahpun berdiri
di belakang wanita itu.
Syed Ziqri merenung
wajah Sara Adelina dari biasan cermin kaca. Tanpa dia sendiri sedari, tangan
kanannya dibawa ke rambut Sara Adelina lalu rambut wanita itu dielus lembut.
Sementara tangan kirinya pula menangkap tangan Sara Adelina yang masih tekun
menyisir rambut. Tangan Sara Adelina itu dielus lembut. Semenjak isterinya
pergi, dia terlalu rindu untuk memanjai dan dimanjai.
Sara Adelina
tersentak dengan tindakan Syed Ziqri itu. Dia yang terkejut kaku dalam
duduknya. Elusan lembut jari jemari Syed Ziqri dirambutnya membuatkan dia
terbuai seketika. Perlakuan Syed Ziqri itu membuatkan hatinya cair dengan
belaian lelaki itu, tanpa sedar dia turut meraih jari jemari Syed Ziqri ke
dalam genggamannya. Jari jemarinya itu turut dielus lembut.
Saat tubuhnya
didorong untuk berdiri, Sara Adelina hanya menurut dan kakinya hanya menurut
seolah-olah terpukau dengan keasyikan yang dibawa oleh Syed Ziqri malam itu.
Langkahnya diatur perlahan mengikuti langkah Syed Ziqri menuju ke katil yang
indah dihias dengan cadar pengantin. Dan tanpa Sara Adelina sedar, dia sudah
terbaring di katil empuk milik Syed Ziqri.
Apabila pipinya
dielus lembut oleh jemari Syed Ziqri, Sara Adelina hanya membiarkan. Hanya
bahagia yang dia rasakan saat itu. Bahagia kerana dia kini menjadi milik abadi
seorang lelaki bernama Syed Ziqri.
“Abang jatuh hati
pada kelembutan Sara.” Tutur Syed Ziqri perlahan sambil mengucup lembut bibir
isterinya.
“Abang terpikat
pada pandangan redup Sara.” Kucupannya beralih ke leher Sara Adelina.
“Sara akan bahagiakan
abang.” Ucap Sara Adelina romantik. Bahagia kerana Syed Ziqri mengakui
perasaannya. Bahagia kerana dirinya diberi kesempatan untuk turut berkongsi
kasih sayang bersama lelaki itu.
“Sara, abang ada perkara nak dibincangkan dengan Sara.” Tegur Syed Ziqri
sejurus Sara Adelina siap menyangkut telekungnya di penyidai.
“Mari duduk sini.”
Panggil Syed Ziqri sambil menunjukkan ruang kosong disebelahnya di birai katil.
Sara Adelina hanya
menurut tanpa banyak bicara. Dia mengambil tempat di sisi lelaki itu. Riak
wajah Syed Ziqri yang serius mengundang tanda tanya dibenaknya.
“Abang harap Sara
terima kata-kata abang ni dengan hati yang terbuka.” Kata Syed Ziqri memulakan
bicara.
Sementara Sara
Adelina sudah semakin pelik dengan kata-kata dan tingkah Syed Ziqri yang serius
itu.
Syed Ziqri terdiam
seketika sebelum dia mula membuka kata. Serba salah dia rasakan saat dia ingin
berterus terang kepada Sara Adelina. Namun jika dia tidak menyatakan kebenaran,
dia akan lebih menyakiti Sara Adelina. Menyakiti hati wanita itu sehingga luka
parah. Hanya melalui kebenaran sahaja dia boleh menghilangkan apa jua rasa yang
dia rasakan saat itu. Rasa bersalah kerana dia telah mengkhianati cintanya
kepada arwah isterinya.
“Maafkan abang,
abang tak dapat nak terima Sara. Perkara yang terjadi antara kita malam tadi
sebenarnya salah.” Kata Syed Ziqri dalam menungan jauh.
Terkesima Sara
Adelina mendengar kata-kata Syed Ziqri yang baru menerjah gegendang telinganya.
Apa maksud Syed Ziqri yang lelaki itu tidak dapat menerima dirinya. Adakah Syed
Ziqri tidak dapat menerima dirinya sebagai isteri?Andai begitu, kenapa baru
sekarang lelaki itu menyedari kehendak hatinya?. Kenapa selepas mereka
menghabiskan malam bersama pula lelaki itu berkata begitu terhadapnya?. Adakah
Syed Ziqri hanya ingin mengambil kesempatan ke atas dirinya sahaja?. Pilu,
itulah yang Sara Adelina rasakan saat itu. Tegar benar Syed Ziqri menghukum
dirinya begitu. Apa salah yang telah dia lakukan?.
“Apa maksud abang?”
Soal Sara Adelina dengan suara yang bergetar. Hatinya itu hancur luluh, terasa
disiat-siat dengan pengakuan Syed Ziqri sebentar tadi.
“Abang masih
teringatkan Sofiya. Saat abang bersama Sara malam tadi. Abang terbayangkan
abang bersama Sofiya. Tiada siapa yang boleh gantikan tempat Sofiya di hati
abang. Abang tak mungkin boleh berlaku adil pada Sara. Berkahwin dengan Sara
tetapi dalam hati abang, hanya ada cinta Sofiya. Tentu tak adil bagi Sara.”
Jawab Syed Ziqri dalam nada mengendur.
Sebak, pilu dan
sedih. Semuanya bergabung menjadi satu perasaan yang tidak dapat Sara Adelina
ungkapkan. Mudahnya bagi Syed Ziqri untuk menghancurkan hatinya begitu.
Mudahnya lelaki itu bersetuju untuk mengahwininya sedangkan Syed Ziqri sendiri
tidak pasti dengan perasaannya yang sebenarnya. Kenapa tegar benar lelaki itu
mempertaruhkan hati dan perasaannya?. Mengapa mudah benar bagi Syed Ziqri
menghancurkan harapan dan sekeping hati miliknya?. Mudah benar bagi Syed Ziqri
untuk meletakkan dirinya di dalam situasi itu. Apakah perkahwinan yang baru
berlansung lansung tidak memberi makna kepada lelaki itu sehingga lelaki itu
tegar berkata-kata begitu terhadapnya?. Terasa matanya mula memberat menampung
air mata.
“Kenapa abang
setuju kahwin dengan Sara kalau abang masih cintakan arwah isteri abang?” Soal
Sara Adelina lirih. Memang kata-kata Syed Ziqri terhadapnya itu terlalu kejam.
Terutamanya apabila mengenangkan lelaki itu baru sahaja menidurinya. Dah lebih
perit lagi, perkahwinan mereka baru berusia sehari tetapi Syed Ziqri sudah mula
mahu menyisihkan hati dan perasaannya tanpa memberi dirinya peluang.
“Abang cuba nak
lupakan Sofiya dengan mengahwini Sara tapi abang tak boleh nak tipu diri abang
sendiri. Abang masih cintakan Sofiya. Maafkan abang.” Terang Syed Ziqri dalam
kenduran suara.
Sara Adelina sudah
tidak mampu bersuara. Hatinya terlalu lirih. Terlalu pedih dengan kenyataan
yang dibentangkan Syed Ziqri dihadapan matanya. Dia tidak ubah seperti satu pertaruhan
kepada Syed Ziqri. Lelaki itu mempertaruhkan hati dan perasaannya dalam
perkahwinan itu.
“Abang akan pindah
keluar dari bilik ni.” Ucap Syed Ziqri lagi.
Sekali lagi Sara
Adelina tersentak namun lidahnya kelu untuk membalas kata-kata Syed Ziqri. Jika
benar tiada cinta yang wujud untuknya di hati lelaki itu dia terpaksa redha
walaupun usia perkahwinannya itu masih terlalu awal untuk diakhiri. Apalah
dayanya mahu meraih cinta Syed Ziqri yang nyata bukan untuknya. Kerana terpaksa
dia merelakan.
“Ini bilik abang.
Biar Sara sahaja yang keluar.” Kata Sara Adelina kemudiannya. Air matanya
ditahan supaya tidak mengalir. Dia perlu kuat. Kuat menghadapi apa jua dugaan
kerana dia tahu, tiada sesiapa yang ada untuknya mengadu nasib.
“Nanti abang akan
bincang semula dengan umi. Abang tak nak berlaku kejam ke atas Sara. Berkahwin
dengan Sara tapi hati abang masih pada arwah isteri abang.” Ucap Syed Ziqri
lagi.
Sara Adelina hanya
termenung jauh tatkala Syed Ziqri bangun dan berlalu keluar dari bilik. Air
yang bergenang di tubir matanya disapu dengan jari sebelum sempat jatuh. Namun semakin
di seka air matanya itu, semakin banyak pula yang keluar mengalir. Perasaan sedihnya
itu tidak mampu dia buang jauh. Dia akhirnya menangis teresak-esak dengan nasib
yang baru menimpa dirinya itu. Walaupun tahu dia harus kuat menanggapi semua
itu namun sebagai wanita yang dikurniakan dengan hati yang halus, dia tidak
dapat lari dari merasa sedih dan pedih. Kenapa malang benar nasibnya?
“Ziq dah gila?!” Soal Syarifah Raziah keras. Marahnya meluap-luap saat Syed Ziqri
meluahkan rasa hatinya sebentar tadi.
“Bukan ke Ziq yang
dengan rela hati kahwin dengan Sara? Umi tak pernah paksa Ziq tapi kenapa Ziq
buat macam ni?. Tak adil bagi Sara kalau Ziq buat macam ni.” Sambung Syarifah
Raziah lagi.
“Umi, kalau Ziq
teruskan juga, Ziq tak mungkin boleh berlaku adil pada Sara. Cinta Ziq hanya
pada Sofiya. Tak mungkin Ziq boleh terima Sara kalau dalam hati Ziq ni hanya
ada Sofiya.” Balas Syed Ziqri. Nadanya turut tegas.
“Sepatutnya Ziq
fikirkan cadangan umi sebaik-baiknya sebelum Ziq buat keputusan untuk setuju
kahwin dengan Sara hari tu.” Selar Syarifah Raziah.
“Ziq pun tak sangka
akan jadi macam ni. Ziq sangka lepas kahwin dengan Sara, Ziq akan dapat lupakan
bayangan Sofiya tapi sebaliknya ingatan Ziq lebih kuat teringatkan Sofiya.”
Akui Syed Ziqri. Kedua-dua tangannya meraup wajahnya yang bercukur bersih.
Syarifah Raziah
hanya mampu mengeluh berat. Terasa bersalah pada Sara Adelina kerana meminta
gadis itu mengahwini Syed Ziqri sedangkan dia sendiri tahu cinta Syed Ziqri
pada arwah Syarifah Irma Sofiya terlalu kuat.
“Habis tu sekarang
macam mana?” Soal Syarifah Raziah senada. Dia turut buntu sebenarnya.
“Kami akan duduk di
bilik lain-lain. Macam sebelum ni.” Sahut Syed Ziqri. Dia turut kesal dengan
apa yang berlaku. Namun apakan daya. Hati dan perasaannya tidak mampu dipaksa.
Cinta yang dipahat buat arwh isterinya masih kekal utuh.
Hampir menitis air
mata Syarifah Raziah mendengarkan kata-kata anak lelakinya itu. Betapa dia
telah sia-siakan masa hadapan Sara Adelina dengan menikahkan kedua-duanya.
Kesal kerana nasib Sara Adelina tidak terbela. Andai Syed Ziqri sendiri sudah
tidak rela, siapalah dia mahu memaksa perasaan dan hati anak lelakinya itu.
“Macam mana dengan
Sara?” Soal Syarifah Raziah lagi. Mengenali Sara Adelina menyebabkan dia sudah
terlalu kasih pada gadis itu. Sara Adelina sudah dianggap seperti anaknya
sendiri. Dan demi kerana itu juga dia mencadangkan Syed Ziqri menikahi gadis
itu. Tidak pula dia menyangka hal itu akan terjadi.
“Ziq pasti Sara pun
akan faham.” Jawab Syed Ziqri ringkas.
Syarifah Raziah
hanya mengeluh. Tidak tahu apa yang boleh dia lakukan untuk menjernihkan semula
keadaan. Tentu sahaja hati Sara Adelina hancur berkecai dengan perkara itu
namun untuk memaksa Syed Ziqri menerima Sara Adelina adalah mustahil kerana dia
tidak mampu memaksa perasaan Syed Ziqri.
“Boleh umi masuk?” Soal Syarifah Raziah dari muka pintu sekaligus menghentikan Sara
Adelina dari meneruskan kerjanya menyusun semula pakaiannya ke dalam almari.
“Umi, masuklah.”
Pelawa Sara Adelina dalam senyum nipis.
Syarifah Raziah
berjalan perlahan menghampiri tempat Sara Adelina. Dia kemudiannya mengambil
tempat di birai katil sambil memerhatikan Sara Adelina meneruskan kerja-kerjanya.
“Ziq dah bagitahu
umi.” Kata Syarifah Raziah sambil merenung Sara Adelina dari belakang.
Kata-kata Syarifah
Raziah itu mematikan pergerakan tangan Sara Adelina yang cekap menyusun atur
baju. Gadis itu kemudiannya bangun dan melabuhkan duduknya dibirai katil.
Menyertai Syarifah Raziah.
“maafkan umi.” Ucap
Syarifah Raziah dengan suara yang mengendur.
Sara Adelina hanya
tersenyum tawar.
“Mungkin bukan
jodoh kami.” Jawab Sara Adelina dalam keluhan.
“Umi tak dapat nak
paksa Ziq.” Sambung Syarifah Raziah dalam nada kesal.
“Takpelah umi,
perihal hati dan perasaan mana boleh dipaksa-paksa.” Jawab Sara Adelina lembut
sambil meraih jemari Syarifah Raziah ke dalam tangannya. Cuba menenangkan rasa
hati wanita itu sekaligus mencari kekuatan buat dirinya sendiri.
“Umi kesal sangat
sebab jodohkan Sara dengan Ziq sedangkan umi tahu isteri Ziq baru je pergi.
Mana mungkin Ziq boleh lupakan arwah Sofiya dalam masa yang terlalu singkat.”
Sambung Syarifah Raziah sambil membalas genggaman tangan Sara Adelina.
“Sara faham.” Balas
Sara Adelina tenang walaupun jauh di sudut hatinya itu dia terlalu sebak.
“Umi bersalah pada
Sara.” Kata Syarifah Raziah lagi.
“Bukan salah umi.
Umi tak salah apa-apa. Mungkin dah takdir Sara begini, mungkin bukan jodoh Sara
dengan abang Ziq” Jawab Sara Adelina lagi. Dia kemudiannya melemparkan senyum
kepada Syarifah Raziah. Walaupun sedar senyuman itu tawar namun dipaksakan juga
bibirnya mengukir senyum manis.
“Sara berilah Ziq
masa, siapa tahu, suatu hari nanti Ziq boleh terima Sara.” Kata Syarifah Raziah
penuh berharap.
Sara Adelina hanya
mengangguk perlahan. Namun jauh disudut hatinya, dia kurang yakin dengan
kata-kata wanita yang baru menjadi ibu mertuanya itu. Entah sampai bila gelaran
isteri itu akan disandangnya. Entah-entah tak sampai sebulan, Syed Ziqri akan
terus menceraikannya. Mengenangkan yang lelaki itu tidak dapat menerima
dirinya, tidak mustahil lelaki itu akan mengakhiri perkahwinan mereka dalam
masa yang singkat.
Syarifah Raziah
kemudiannya menarik tubuh Sara Adelina ke dalam pelukannya. Sungguh dia kasihan
dan simpati pada nasib yang menimpa Sara Adelina. Sudahlah sebatang kara. Kini
terpaksa pula menerima nasib sebegitu.
“Umi sayangkan
Sara.” Ucap Syarifah Raziah sebak.
“Sara pun sayangkan
umi.” Balas Sara Adelina dalam getaran suara. Pelukan Syarifah Raziah dibalas
erat. Seolah-olah berharap kehangatan tubuh wanita itu menyerapkan kekuatan
pada dirinya.
harap semua suka...tak tahula best ke tak?..hihi :)