jom ikuti bab 2 CBA, kalau suka bgtahu ye...
BAB 2
Sapari melempar beberapa keping wang RM50 kepada beberapa orang lelaki yang
sedang duduk-duduk di kedai kopinya. Hangat hatinya melihat wajah selamba orang
suruhannya itu.
“Tak kan banyak ni je bang
Sapar.” Kata Burn, lelaki berjambang lebat itu merungut.
‘Kerja korang macam
taik, nak suruh aku bagi banyak-banyak.” Sahut Sapari kasar. Hilang sabarnya
bila anak-anak buahnya itu lansung tidak berjaya melaksanakan tugas yang diberi
malah bila mendapat upah masih mahu merungut-rungut.
“Ala bang, kitaorang pun penat juga, kejar
tengah-tengah malam buta tapi banyak ni je abang bagi.” Kata Jerung sambil
menunjuk wang kertas lima
puluh ringgit itu dimata Sapari.
“Aku suruh korang
tangkap perempuan tu pun korang tak dapat, ini nak mintak upah lebih-lebih. Dia
sorang tapi korang bertiga!. Itu belum masuk lagi bab dia tu perempuan tapi
korang lelaki. Buat kerja macam pondan. Nama je lelaki tapi nak tangkap sorang
perempuan pun tak mampu!.” Tukas Sapari sinis.
“Ala
bang, kan
waktu tu waktu malam, mana la kitaorang nampak dia lari kat mana.” Sahut Rudi
sekaligus membela dirinya dan rakan-rakan yang lain.
“Habis tu macam mana
dengan gerai aku ni, sekarang Sara dan takde, makin kurang la pelanggan aku
nanti.” Rungut Sapari, wajah anak-anak buahnya itu dipandang geram. Sudahlah
kerja yang diberi tak selesai tapi upah mahu lebih. Panas hatinya bila
mendengar rungutan mereka itu.
“Abang cari la
perempuan lain ganti dia, bukan takde anak dara kat kampung ni, ramai lagi.
Lagipun ramai yang tengah cari kerja sekarang ni. Kalau bang Sapar offer mesti ramai yang nak kerja.” Kata
Burn lagi.
“betul tu bang,
setakat buat air, goreng mee, buat nasi lemak tu, sape-sape pun boleh buat.
Bukan susah sangat pun.” Tambah Rudi.
“Bodoh betul la
korang ni, kalau ambik perempuan lain, tentu la aku kena bagi upah. Kalau Sara
tu je kerja, tak payah aku keluar duit. Dia tu anak buah bini aku.”Tukas
Sapari.
“Betul juga tu.”
Kata Burn. Dia tersenyum sumbing memperlihatkan giginya yang jarang dan
kekuningan.
“Kalau dah bodoh
tu, sampai ke mati pun bodoh juga.” Sindir Sapari. Dia kemudiannya bangun dan
berlalu meninggalkan anak-anak buahnya yang hanya tersenyum sumbing
mendengarkan kata-katanya.
Beg plastik berisi pakaian di lantai rumahnya disepak kasar. Terburai isi
plastik apabila plastik itu terlanggar dinding. Sapari merengus geram. Pakaian
dari dalam plastik yang bertaburan di lantai dilihat geram. Pakaian yang baru
dibeli seminggu lalu itu cadangnya hendak diberi kepada Sara Adelina tetapi
apabila Sara Adelina bertindak melarikan diri dari rumahnya, semua rancangannya
musnah.
Sapari duduk di
kerusi kayu yang usang. Rambutnya yang sedikit beruban di bahagian kiri dan
kanan dilurut kasar. Dia tahu kenapa Sara Adelina melarikan diri. Gadis itu
pastinya tidak bersetuju dengan cadangannya beberapa minggu lepas. Sapari
mengimbas kembali perbualannya bersama anak buah isterinya itu. Dia amat-amat
pasti kerana itulah Sara Adelina melarikan diri.
“Sara tak nak buat
macam pak usu suruh.” Kata Sara Adelina tegas. Mustahil untuk dia bersetuju
dengan permintaan Sapari.
“Kau bukan tak tahu
pelanggan aku tu semua suka kat kau. Aku cuma nak majukan lagi perniagaan aku,
nanti kau pun tumpang senang juga.”Sahut Sapari.
“Tapi apa yang pak
usu suruh Sara buat tu berdosa, pak usu suruh Sara buka tudung, pakai baju
seksi. Sara tak nak buat semua tu. Sara tak nak buat benda yang Allah tak suka.”
Kata Sara Adelina lagi. Baginya permintaan Sapari amat keterlaluan. Dia tidak
boleh bersetuju sahaja apabila Sapari memintanya membuka tudung. Tambahan lagi
Sapari turut menyuruhnya mengenakan pakaian ketat yang mendedahkan sebahagian
tubuhnya. Sebagai seorang yang terdidik dengan ajaran agama, dia tidak mahu
lakukan semua itu. Dia takutkan dosa, takutkan neraka.
“kau setuju atau
tak, aku tak peduli, yang aku tahu minggu depan kau pakai baju yang aku beli
tu.” Kata Sapari kasar. Dia bangun untuk berlalu sejurus mengeluarkan kata-kata
itu. Panas hatinya bila Sara Adelina membantah kata-katanya.
Sara Adelina
dilihatnya sudah terduduk di kerusi kayu di tengah-tengah rumah. Ugutan itu
membuatkan Sara Adelina rasa cuak dan
sebak dalam masa yang sama. Semenjak mak usunya meninggal dunia, Sapari tanpa
segan silu cuba
mencorak kehidupannya. Dan yang paling dia tidak tahan, lelaki itu sudah berani
memerintahkan dirinya melakukan dosa. Dia tidak betah lagi berada disitu lagi.
Bimbang dengan nasib dirinya. Entah apa lagi perancangan Sapari sekiranya dia
terus tinggal di situ.
Sapari menyedut dalam rokok yang terselit dijarinya. Semua perancangan
sudah dia aturkan dengan baik. Dia amat pasti Sara Adelina akan mengikut
kata-katanya. Namun apabila Sara Adelina bertindak melarikan diri dari
rumahnya, dia jadi berang. Jika dia berjumpa di mana Sara Adelina bersembunyi,
tahulah dia bagaimana dia mahu mengajar anak saudara arwah isterinya itu.
Semenjak isterinya meninggal dunia, memang Sara Adelina seringkali sahaja
meningkah kata-katanya.
Jika tidak
difikirkan perniagaan kecilnya itu, sudah lama dia kahwinkan Sara Adelina
dengan sesiapa sahaja yang bertanya. Namun memikirkan semua pelanggannya
menyukai kehadiran dan layanan dari Sara Adelina, dia tidak bercadang
menyerahkan Sara Adelina kepada orang lain dahulu. Biarlah Sara Adelina menjadi
sumber pandapatannya dahulu. Jika kewangannya sudah stabil barulah dia akan
memikirkan langkah seterusnya samaada mahu menikahkan Sara Adelina atau
sebaliknya.
Namun semua itu
hanya tinggal impiannya sahaja. Anak buah isterinya itu dengan beraninya
melarikan diri dari rumahnya. Sapari memang cukup marah dengan tindakan Sara
Adelina itu. Kerana Sara Adelina, kini dia dimarahi oleh kesemua pelanggan
gerainya. Ada juga sebahagiannya yang sudah tidak lagi berkunjung ke gerainya
malah ada yang mengugut, sekiranya Sara Adelina tidak kembali bekerja, mereka
akan terus berhenti dari mengunjungi warung Sapari itu.
Bertambah bingung
kepala Sapari memikirkan semua itu. Jika Sara Adelina tidak ditemukan secepat
mungkin, perniagaan kecil miliknya akan musnah. Hancurlah perancangan masa
depannya. Bagaimana dia ingin menyara hidupnya jika perniagaannya musnah. Hanya
itu sahaja sumber pendapatan yang dia miliki.
Syed Ziqri duduk termenung lama di tepi tasik itu. Sejak dua bulan yang
lalu itulah rutin sehariannya. Dia tidak betah berlama-lama di rumah, masanya
banyak diluang di luar rumah. Kerja pejabatnya juga sudah dua bulan tertangguh.
Semua diserahkan bulat-bulat pada uminya. Pada waktu itu, dia tidak mampu
berfikir dengan tenang. Fikirannya kacau, jiwanya galau.
Wajahnya yang
dipenuhi jambang diraup kasar, kehilangan Sofiya dua bulan yang lalu benar-benar membuatkan
dia hilang arah. Hidupnya terumbang ambing akibat kehilangan itu. Hatinya bagai
ditusuk-tusuk dengan pisau tajam dan sakitnya terasa menghiris. Tangkai hatinya
terasa direntap kasar. Walaupun bernyawa, namun dia umpama mayat hidup. Hidupnya kini tiada tujuan yang pasti.
Syed Ziqri membuang
pandang ke hujung tasik, empat tahun dahulu, disitu lah detik awal perkenalan
dirinya dan Sofiya. Tangannya pantas mengutip batu kecil dan membaling ke
tengah air tasik. Air tasik itu beriak kecil apabila batu mencecah permukaan
air. Sebentar kemudian, air tersebut kembali tenang.
Syed Ziqri memandang kosong ke pondok-pondok kecil yang dibina
sepanjang tasik. Hampir setiap pondok punyai penghuni dan kebanyakan penghuni
di situ adalah pasangan yang bercinta. Tiba-tiba Syed Ziqri berasa cemburu.
Cemburu kerana dia tidak mampu lagi merasai cinta yang sebegitu. Cemburu kerana
cintanya telah pergi dan hilang.
Puas termenung jauh, dia bangun. Menghayun langkah kakinya lemah
menuju ke kereta. sejak dua bulan yang lalu, itulah rutinnya. Berjalan tanpa
arah tujuan. Nasihat Uminya umpama mencurah air ke daun keladi. Lansung tidak terkesan
dihatinya.
Jam sudah menginjak ke angka satu pagi waktu Syed Ziqri tiba di rumah,
seluruh banglo itu sudah bergelap saat dia memarkir keretanya tadi. Terasa
sunyi apabila seluruh rumah sudah lama lena diulit mimpi. Lebih sunyi lagi
apabila tiada apa lagi yang tertinggal untuknya disitu.
Dia melangkah
keluar dari kereta, langkah lemahnya diatur laju menuju ke biliknya. Tiba di
tingkat dua banglo itu, Syed Ziqri hairan dan pelik, dilihatnya lampu bilik
tetamu bersebelahan biliknya terpasang terang. Bilik yang menghala ke halaman
belakang itu berkembar dengan biliknya. Bilik itu jugalah yang menempatkan Emma
Safiya pada waktu malam. Dan biasanya Syarifah Raziah akan membawa Emma Saffiya
tidur bersamanya di bilik tidur utama. Terdetik rasa hairan dihatinya saat itu.
Tidak mungkin Mak Wati bermalam disitu kerana selama ini tidak pernah Mak Wati
bermalam di rumah mereka. Biasanya Mak Wati akan pulang pada sebelah petang.
Paling lewat pun wanita melepasi separuh abad itu akan pulang selepas magrib.
Namun untuk
bertanya kepada Uminya, Syarifah Raziah tentang persoalan dalam kepalanya itu,
Syed Ziqri tidak berminat. Dia malas mengambil tahu tentang perkara itu. Lantas
langkahnya diatur laju menuju ke katil sejurus masuk ke bilik. Badannya yang
letih itu ingin direhatkan diatas katil. Sejurus tiba di katil, terus sahaja tubuhnya
direbahkan ke tilam. Tidak sampai sepuluh minit terdengar dengkuran kecil. Syed
Ziqri sudahpun terlena.
Syed Ziqri memandang pelik gadis yang sedang membantu Mak Wati di dapur, sejak
turun untuk bersarapan tadi, matanya tertangkap kelibat Sara Adelina. Kali
pertama melihat gadis muda di rumahnya. Dia hairan, setahunya Mak Wati tiada
anak perempuan, siapa pula yang datang membantu Mak Wati pagi itu? Namun, berat
untuk mulutnya utarakan pertanyaan kepada Mak Wati. Dia malas berfikir tentang
perkara yang tiada kaitan dengan dirinya.
Sarapan yang
tersedia di depan mata dijamah separuh hati. Selera yang hilang sejak dua bulan
lalu masih lagi tidak berubah. Dia makan sekadar mengisi perutnya yang kosong.
Nikmat makan sudah tiada sejak Syarifah Irma Sofiya pergi meninggalkannya
sendirian untuk menjalani kehidupannya.
Usai bersarapan,
Syed Ziqri menapak ke halaman rumah. Dia tiada perancangan untuk hari itu.
Punggungnya dilabuhkan di salah satu barisan kerusi yang menghiasi halaman.
Sejak dua bulan yang lalu dia kerap menghilang di luar, itulah rutin barunya sejak
isterinya pergi, namun pada hari itu dia ingin berehat-rehat di rumah sahaja.
Entah kenapa, tubuhnya rasa terlalu penat dan letih. Mungkin penangan rutin
biasanya yang telah berubah sejak dua bulan yang lalu.
Mak Wati meminta Sara Adelina mengemas meja makan di ruang depan selepas Syed
Ziqri usai bersarapan tadi. Sebagai orang yang telah lama berkhidmat di situ,
dia sudah faham dengan kerenah Syed Ziqri. Bagi tuan mudanya itu, pantang kalau
meja makan lambat dikemas selepas mereka sekeluarga siap menjamu selera.
Walaupun semenjak dua bulan ini, sikap Syed Ziqri berubah dan tidak lagi
menitik beratkan akan hal-hal sebegitu namun sebagai pekerja berhemah, Mak Wati
tidak pernah mengambil kesempatan. Rutinnya masih diteruskan seperti biasa.
“Sara dah siap
kemas meja makan?” Tanya Mak Wati sejurus Sara Adelina mengaturkan semua lebihan
makanan di kaunter tengah yang terletak di tengah-tengah ruangan dapur basah
itu.
“Dah Mak Wati.”
Sahut Sara Adelina lembut. Sepanjang dia bersama Mak Wati seawal pagi tadi,
wanita tua itu tidak jemu-jemu mengajar dia itu dan ini. Tuturnya yang lembut
membuatkan Sara Adelina berasa selesa. Selesa dengan kemesraan yang dipamirkan
diwajah tua Mak Wati. Sekurang-kurangnya terubat sedikit rindunya pada arwah
maksunya dulu.
“Kalau dah siap,
pergi tanya Tuan Syed, dia ada perlukan apa-apa tak.” Suruh Mak Wati lagi.
Sebagai pekerja lama, dia sudah bersedia untuk menurunkan kerjanya kepada orang
baru. Tambahan pula usianya sudah meningkat tua. Dia tidak sekuat dahulu.
Terlanjur Sara Adelina bekerja di situ, akan diajarkan sedikit demi sedikit
kemahiran untuk Sara Adelina bekerja di situ. Supaya mudah mengambil alih
tugasnya kelak.
“Baik Mak Wati.”
Kata Sara Adelina lurus. Dia terus bergerak menuju ke pintu utama banglo.
Pengalaman bekerja sebagai pembantu rumah yang baru mula nak berputik
menyebabkan dia bertindak di atas arahan yang diberi. Segala kata-kata Mak Wati
diturut tanpa banyak soal.
Sejurus sampai di
meja batu, dilihatnya Syed Ziqri sedang leka menyelak akhbar di tangan. Akhbar
yang dihantar oleh seorang budak lelaki seawal pagi tadi. Pada mulanya dia
sendiri hairan kenapa tiba-tiba Mak Wati meminta dia keluar mengambil surat khabar di halaman
rumah. Apabila dia lihat sendiri, barulah dia tahu kawasan perumahan itu
disediakan dengan perkhidmatan penghantaran surat khabar seawal pagi. Untunglah menjadi
orang kaya, semua perkhidmatan ada tersedia.
“Tuan Syed ada
perlukan apa-apa?” Soal Sara Adelina lembut sejurus dia berdiri betul-betul
dihadapan Syed Ziqri. Wajah Syed Ziqri yang tertunduk tekun menyelak halaman
demi halaman akhbar ditangannya tidak jelas dimata Sara Adelina.
“Ambilkan air
kosong suam segelas.” Balas Syed Ziqri tanpa menoleh. Fokusnya masih pada
akhbar.
“baiklah.” Jawab
Sara Adelina seraya berlalu ke dapur.
“Ini airnya Tuan
Syed.” Kata Sara Adelina seraya meletakkan gelas itu di atas meja. Dia
kemudiannya berlalu apabila Syed Ziqri tidak bersuara dan masih tekun membaca.
“Siapa perempuan yang tolong Mak Wati tu?” Soal Syed Ziqri sambil membuang
pandang ke arah Sara Adelina yang sedang leka mencabut rumput kecil di hujung
sudut halaman.
“Sara Adelina.”
Jawab Syarifah Raziah pendek. Wajah Syed Ziqri yang dipenuhi jambang yang
tumbuh meliar dilihat lama. Sudah lama anak lelakinya itu tidak lekat di rumah
seperti hari itu.
“Orang mana la yang
umi kutip tu, macam naïf sangat Ziq tengok.” Kata Syed Ziqri. Dia teringat
kembali penampilan Sara Adelina semasa kali pertama dia melihat Sara Adelina
seawal pagi tadi.
“Entah la, umi
tengok macam perempuan baik.” Ucap Syarifah Raziah lagi. Dia turut membuang
pandang ke arah yang sama. Kemudian matanya dialih supaya memandang Syed Ziqri
semula. Sudah hampir dua bulan dia dan Syed Ziqri tidak berbual seperti itu.
Melihatkan perubahan itu walaupun sedikit, hatinya terasa senang.
“Dah takde calon
lain lagi ke?” Kata Syed Ziqri berbaur sinis. Kenaifan Sara Adelina membuatkan
dia rasa kurang selesa kerana dia tidak suka melihat perempuan yang kelihatan
lemah. Baginya, kaum wanita harus berpenampilan menarik, tegas dan yang paling
penting, haruslah berkerjaya.
“Emma perlukan
orang yang boleh jaga dia, dan umi tengok Sara tu macam sesuai.” Kata Syarifah
Raziah tanpa menghiraukan nada sinis Syed Ziqri.
Syed Ziqri terdiam.
Memang setiap kali isu Emma Safiya dibangkitkan, dia lebih suka berdiam diri.
“Ziq bila nak mula
masuk office?” Soal Syarifah Raziah
bila dia dapat mengesan perubahan tingkah laku anaknya itu apabila isu Emma Safiya
dibangkitkan.
“Entahlah umi, Ziq
masih belum sedia, masih perlukan masa.” Kata Syed Ziqri dalam keluhan.
“Sampai bila Ziq
nak macam ni, Emma tu perlukan kasih sayang ayah. Janganlah Ziq salahkan dia
atas apa yang berlaku. Emma tak berdosa, Ziq tak boleh hukum Emma atas takdir
Allah ni. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Dan Ziq kena jalankan tanggungjawab
Ziq pada Emma.” Luah Syarifah Raziah sekaligus menyelitkan kata-kata nasihat.
“Ziq naik dulu la
umi, nak rehat-rehat.” Kata Syed Ziqri seraya bangun dan berlalu. Sejujurnya
dia tidak mahu melanjutkan perbincangan itu bersama Syarifah Raziah. Entah
kenapa, hatinya belum terbuka untuk membincangkan isu itu dari hati ke hati.
Dia belum bersedia mahu membuka semula cerita yang memalitkan rasa pedih di
hatinya.
Sementara Syarifah
Raziah pula mengeluh dalam. Kusut kepalanya memikirkan Syed Ziqri. Satu-satunya
anak lelaki yang dia miliki itu memang keras kepala. Selalu suka membuat
pertimbangan sendiri. Jarang sekali mahu menerima nasihat orang.
harap semua suka :)
Wohooooo best3,,,,, xsabar tgu part Sara ngn ziqri kahwin nnti,,,,,
ReplyDeletesuka..suka..suka..sangat teruja nak baca chapter yg seterusnya..
ReplyDeleteteruja nak baca n3 seterus nye dek....lajy2 tempek ye dek!!!
ReplyDeletewaa... best3x.. next n3 pls.. hehehe melampau tak?
ReplyDelete