BAB 1
Sara Adelina berlari dan terus berlari. Sejauh mana kakinya membawa, sejauh
itulah dia pergi. Detak jantungnya yang pada awalnya tadi berdegup laju sudah
semakin mengendur. Sesekali dia menoleh ke belakang, memerhatikan sekiranya
jejaknya dapat dikesan oleh konco-konco Pak Usunya. Beg kecil ditangannya
didakap kejap. Cukup erat pelukan pada beg yang diisi dengan beberapa helai
pakaiannya dan juga beberapa dokumen penting miliknya, satu-satu hartanya yang
dibawa lari dari rumah kecil Pak Usu.
Setelah pasti dia
tidak diekori, Sara Adelina memperlahankan langkah. Setelah hampir satu jam
berlari, barulah dia terasa sakit yang teramat sangat pada kakinya. Lantas
dibawa pandangan matanya ke arah kaki. Kakinya itu tidak berlapik, selama dia
berlari tadi dia tidak menyedari akan hal itu, bila rasa sakit terasa
menyengat-nyengat kaki, barulah dia tersedar yang dia tidak memakai alas kaki.
Dalam kelam kabut tadi, dia lupa untuk menyarungkan seliparnya.
Nafas Sara Adelina
turun naik, sekali sekala dadanya terasa sakit kerana kepenatan berlari tadi.
Dia yang tadinya berlari-lari kecil mula berjalan perlahan-lahan. Keperitan
yang dirasakan pada tapak kakinya menyebabkan dia tidak berdaya untuk berlari
lagi. Namun Sara Adelina masih tidak berhenti berjalan, bimbang ditemui lelaki-lelaki
yang mengejarnya tadi.
Sara Adelina
membuang pandang ke arah jalan raya yang gelap.
Ketika itu waktu mungkin sudah menginjak ke jam 12 malam dan selalunya
pada waktu begitu, dia sudah lena diulit mimpi, namun malam itu dia terdampar
di kawasan asing itu. Sara Adelina mula memperlahankan langkah apabila tiba di sebatang
pokok besar, Disitu dia berhenti, tubuhnya disandarkan pada sebatang pohon
besar di tepi jalan itu, dia sudah terlalu letih berlari lagi.
Namun belum pun
sempat dia melepaskan lelahnya, dari kejauhan dia ternampak balam-balam sinar cahaya
dari lampu suluh di penghujung jalan. Dia pasti sinar lampu itu milik
pengikut-pengikut Pak Usunya, Sara Adelina buntu. Baru tadi dia ingat dia sudah
lari jauh, namun jejaknya terlalu mudah dikesan. Sara Adelina memandang
sekeliling, dimana lagi dia mahu lari, sedangkan dia sudah tidak berdaya.
Kudratnya sudah habis dikerah sepanjang hampir satu jam berlari tadi. Kakinya
juga sudah melecet akibat bergeseran dengan tar jalan yang kasar.
Air mata Sara Adelina
mengalir , sungguh dia kehilangan ikhtiar saat itu. Tidak tahu bagaimana
nasibnya sekiranya ditemui oleh lelaki-lelaki yang mengejarnya sebentar tadi.
Lantas doa dipanjatkan, memohon perlindungan dari Allah, berharap dirinya
selamat ketika itu.
Sara Adelina
gagahkan jua kakinya untuk melangkah, waktu itu dirasakan tubuhnya seakan-akan
melayang. Kesakitan yang dirasakan pada tapak kaki dirasakan terlalu perit sehingga
tidak tertanggung. Pandangan matanya mulai berbalam-balam. Dan dalam sinar
lampu jalan yang malap itu, matanya tertangkap sebuah rumah banglo besar. Dilihatnya
pintu pagar banglo itu terbuka luas, Sara Adelina tiada pilihan melainkan
bersembunyi disitu, langkahnya diatur laju menuju ke halaman banglo. Dia sudah
tidak peduli, hanya itu sahaja peluang yang dilihat ketika itu. Dia mengambil
keputusan untuk berlindung disitu buat sementara waktu, pasti dia akan selamat
dan tidak akan dijumpai, desis hatinya.
Sejurus masuk ke
halaman, Sara Adelina berjalan perlahan menuju ke susunan pasu besar. Cukup
perlahan sehingga langkah kakinya tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Dia
bimbang, bimbang penghuni rumah akan menyedari kehadirannya disitu. Dia hanya
berniat mahu menumpang bersembunyi. Seawal pagi esok, sebelum seisi rumah
bangun, dia akan pergi dari situ sebelum ada yang menyedari dia berada disitu.
Itu rancangan Sara Adelina.
Sara Adelina
menghampiri susunan pasu besar yang ditanam dengan pelbagai jenis pokok. Apa
jenis pokoknya Sara Adelina tidak tahu kerana samar malam menghalang
pandangannya, yang dia pasti saiz pasu yang besar itu berupaya menampung saiz
pokok yang juga besar. Hampir sebesar tubuhnya. Jika berselindung disebalik
pasu itu pasti dia tidak akan ditemui.
Disitu Sara Adelina duduk, menyandar pada tembok rumah yang memagari
kawasan banglo dua tingkat itu sambil memeluk lutut. Beg yang dibawa tadi
didakap erat didada. Tubuhnya disandar ke tembok batu untuk melepaskan lelah.
Tembok itu dibina tinggi sehingga melepasi paras kepalanya. Saat itu dia
merasakan dirinya selamat. Selamat dari lelaki-lelaki yang mengejarnya tadi.
Keletihan yang dialami oleh Sara Adelina membuatkan matanya
memberat. Semakin lama semakin memberat. Suasana suram menambahkan rasa
mengantuknya. Seketika kemudian tanpa dia sendiri sedari, dia terlena.
“Puan, mari tengok sini.”
Suara jeritan yang
ditangkap oleh telinga Sara Adelina membuatkan dia mencelikkan matanya
perlahan-lahan. Matanya digosok-gosok dengan jari, dalam kesamaran dia
ternampak batang tubuh orang sedang berdiri dihadapannya. Sebentar kemudian dia
ternampak pula satu lagi bayang-bayang menghampirinya dengan laju. Sara Adelina
masih lagi dalam keadaan mamai. Dia masih belum dapat mencerna apa yang sedang
berlaku.
Pandangannya yang pada awalnya kabur semakin jelas. Dan sepantas itu
dia memerhatikan sekeliling. Mindanya cuba memproses apa yang sedang
berlaku dihadapannya. Beberapa saat kemudian dia tersedar, tersedar yang dia
berada ditempat asing. Lantas kejadian malam tadi bermain semula dikepalanya.
Sara Adelina
bingkas bangun dari duduknya lalu berdiri. Tudungnya yang senget dan melurut ke
hadapan dibetulkan. Baru dia tersedar dia berada di halaman banglo orang.
“Kau siapa?” Soal
Syarifah Raziah. Matanya tidak lepas dari memandang Sara Adelina yang berbaju
kurung lusuh. Wajah Sara Adelina yang tertunduk itu cuba dijamah matanya.
Sementara seorang lagi perempuan yang berusia dalam lingkungan umur
60-an berdiri disebelahnya. Hanya menjadi pemerhati dan lebih senang berdiam
diri.
“Maafkan saya.”
Hanya itu yang terluah dari bibir Sara Adelina. Persoalan Syarifah Raziah
dibiarkan tidak berjawab. Wajahnya ditunduk memandang rumput hijau yang rata.
Dia sedar akan ketelanjuran dirinya berada disitu. Mengikut perancangannya, dia
akan meninggalkan banglo itu sebelum seisi rumah menyedari kehadirannya disitu
namun apa yang terjadi sebaliknya. Mungkin keletihan menyebabkan dia terlena
sehingga matahari terasa mencucuk-cucuk mata.
“Kau siapa?, macam
mana kau boleh masuk ke sini?” Soal Syarifah Raziah lagi. Tidak puas hati
dengan jawapan pertama Sara Adelina.
“Maafkan saya.”
Ucap Sara Adelina untuk kali yang kedua. Kali ini dia cepat-cepat melangkah.
Ingin meninggalkan dua orang wanita itu yang tertanya-tanya tentang dirinya.
Bagi Sara Adelina, tidak perlu dia menjelaskan siapa dirinya. Dia hanya
menumpang bersembunyi walaupun sedar tindakannya itu salah dan mendatangkan
kecurigaan penghuni banglo itu. Sebelum kedua-duanya melanjutkan pertanyaan
yang tidak boleh dia berikan jawapan, lebih baik dia segera beredar dari situ.
“Nanti dulu.” Kata
Syarifah Raziah. Kali ini nadanya lebih tegas dari pertanyaan sebelumnya.
Sara Adelina
berhenti melangkah. Telapak kakinya terasa berdenyut-denyut walaupun hanya
beberapa tapak dia melangkah.
“Macam mana kau
boleh masuk ke sini?” Soal Syarifah Raziah lagi. Dia masih belum berpuas hati.
Bagaimana boleh orang asing yang tidak dikenali itu masuk ke perkarangan
banglonya. Apa tujuannya. Berniat buruk ataupun baik? Sebagai tuan rumah, dia
tidak dapat lari daripada memikirkan perkara itu. Kemunculan Sara Adelina di
halaman rumahnya menyebabkan hatinya terdetik rasa hairan.
“Maafkan saya,
pintu pagar rumah puan terbuka. Saya cuma menumpang tidur malam tadi.” Jawab
Sara Adelina gugup. Bimbang bila nada tegas Syarifah Raziah dijamah telinganya.
Memang salah dirinya menceroboh ke halaman rumah orang tanpa keizinan begitu.
“Kau datang dari
mana?” Soal Syarifah Raziah lagi, hairan apabila dilihatnya Sara Adelina
mendakap erat sebiji beg kecil. Penampilan Sara Adelina ditenung lama, dari
atas kepala hingga ke hujung kaki. Apabila matanya menyoroti kaki Sara Adelina
dilihatnya gadis itu tidak bersepatu, hanya berkaki ayam. Di tepi telapak
kakinya ada warna kemerah-merahan seperti darah yang sudah kering.
Daripada pemakaian Sara
Adelina, dia tahu gadis itu bukan orang jahat. Mungkin cuma gelandangan atau
orang yang lari dari rumah.
“Maafkan saya, saya tak berniat buruk, saya cuma menumpang tidur
malam tadi.” Kata Sara Adelina lagi. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu
mendedahkan siapa dirinya. Langkah yang terhenti tadi disambung semula. Namun
baru menapak beberapa langkah, dirinya disapa lagi.
“Nanti dulu.” Ucap Syarifah Raziah lagi.
Sara Adelina berhenti melangkah.
“Kau lari dari rumah?” Syarifah Raziah sambung menyoal.
Sara Adelina menghela nafas dalam, tentu tidak sukar bagi wanita
separuh abad itu untuk membaca tingkah lakunya. Memang jelas dimata siapa-siapa
pun, dengan beg yang dibawa. Tentu sahaja orang akan tahu yang dia sedang
melarikan diri.
“Kau ada tempat nak tuju?” Soal Syarifah Raziah lagi. Ada rasa kasihan yang
bertamu dihatinya saat itu. Wajah redup Sara Adelina seolah-olah menyimpan
suatu rahsia. Wajah lembut itu juga tidak memperlihatkan sebarang kejahatan.
Sara Adelina menggeleng jujur. Memang dia tidak tahu harus membawa
dirinya ke mana. Sejujurnya dia tiada tempat untuk dituju.
“Jom masuk dulu.” Pelawa Syarifah Raziah. Selepas puas dia
memerhatikan tingkah Sara Adelina, dia tahu gadis itu bukan orang jahat.
“Mak Wati, tolong buatkan air, keluarkan sarapan sekali.” Arah
Syarifah Raziah kepada wanita yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati.
Syarifah Raziah kemudiannya berjalan mendahului. Sementara Sara
Adelina teragak-agak berjalan mengekori dari belakang. Apa pilihan yang dia
ada. Untuk keluar dari situ, ke mana ingin dia tuju. Perlawaan Syarifah Raziah
itu dilihatnya seperti orang mengantuk yang disorongkan bantal. Untuk sementara
waktu, itu sahaja pilihan terbaik yang dia ada, menerima perlawaan wanita itu.
Ruang dalaman banglo dua tingkat itu nampak begitu indah di mata Sara
Adelina. Kelihatan seperti istana. Kali pertama dia melihat hiasan dalaman yang
begitu indah. Selama ini dia hanya kenal rumah kecil Pak Usunya. Yang ada pun
hanyalah perabot-perabot kayu yang sudah usang.
Mata Sara Adelina menangkap
beberapa perhiasan kaca yeng bersinar-sinar yang tersusun rapi di atas rak
almari kayu di satu sudut ruang tamu. Kemudian pandangannya dibuang pula pada
sudut yang terdapat di tengah-tengah banglo. Di situ terletaknya tangga yang
berlingkar hingga ke tingkat dua. Di sebelah kanan banglo itu terletaknya dapur
dan ruang makan yang luas. Melihatkan keluasan ruang itu sahaja telah
membuatkan Sara Adelina kagum, tentu penghuninya juga orang berada. Lahir dalam
keluarga yang sederhana sepertinya membuatkan dia berasa takjub dan kagum.
Sejurus masuk tadi,
dia diminta duduk menunggu disitu. Pada awalnya dia menolak untuk masuk kerana
sedar kakinya yang kotor, cukup sekadar dia menunggu di kerusi di luar sahaja,
namun wanita separuh abad yang baru dikenali itu berkeras mahukan dia menunggu
di dalam. Wanita yang belum dikenali namanya itu terus meluru ke tingkat atas
sejurus masuk tadi, meninggalkan dia berseorangan disitu. Sementara wanita
melepasi separuh abad yang dikenali sebagai Mak Wati tadi telahpun menghilang
ke ruang dapur.
Sedang leka Sara
Adelina membuang pandang ke segenap ruang banglo, telinganya menangkap tangisan
bayi kecil. Dia pantas mencari arah tangisan yang didengar. Setelah pasti dari
arah mana suara itu datang, Sara Adelina bangun dan berjalan menuju ke tempat
itu, dilihatnya terdapat sebiji katil bayi yang terletak bersebelahan dengan
tingkap. Sara Adelina berjalan perlahan menghampiri katil kecil itu. Sepanjang
pemerhatiannya tadi tidak pula dia perasan ada katil bayi disitu. Mungkin dia
terlalu takjub dengan hiasan dalaman rumah itu sehingga menyebabkan dia tidak
perasan dengan apa yang dilihatnya.
Semakin dekat,
semakin kuat bunyi tangisan yang ditangkap telinganya, tiba di katil kecil
berwarna merah jambu itu Sara Adelina lihat ada bayi kecil yang sedang
menangis. Tangannya terkapai-kapai seiring tangisan yang keluar dari bibir
kecil itu. Melihatkan tangisan bayi itu yang bertali arus, cepat-cepat Sara
Adelina angkat tubuh kecil itu ke dalam dukungannya. Didakapnya anak kecil itu
rapat ke dadanya. Botol susu yang terletak di sisi katil kecil itu diraih dan
kemudian disuapkan ke dalam mulut bayi itu. Serta merta tangisannya terhenti.
Sara Adelina mendodoikan bayi itu sehingga kembali terlena. Kemudian,
perlahan-lahan dibaringkan semula anak kecil yang tidak berbedung itu ke
katilnya.
Sementara disudut
tangga Syarifah Raziah memandang perlakuan Sara Adelina penuh syahdu. Terasa
matanya bergenang dengan air saat menyaksikan Sara Adelina menenangkan bayi
kecil itu. Dia melangkah perlahan menghampiri tepi katil kecil itu, tempat Sara
Adelina sedang berdiri.
“Cucu puan?” Soal
Sara Adelina apabila Syarifah Raziah berdiri betul-betul disebelahnya.
Syarifah Raziah
hanya mengangguk, dia kemudian berjalan menuju ke sofa diikuti Sara Adelina.
“Siapa nama kau?”
Soalan pertama yang keluar dari mulut Syarifah Raziah selepas mereka berdua
duduk di sofa.
“Sara Adelina,
panggil Sara je”. Jawab Sara Adelina pendek.
“Saya Syarifah
Raziah, panggil umi sahaja.”Ucap Syarifah Raziah tanpa ditanya.
“Sara ada tempat
tinggal?” Soal Syarifah Raziah lagi. Dia pasti gadis dihadapannya itu sedang
menghadapi masalah. Jika tidak masakan Sara Adelina keluar berkaki ayam dengan
membawa beg baju ditangan.
Sara Adelina
menggeleng lemah, wajahnya ditunduk ke lantai. Dia sendiri tidak pasti dengan
hala tujunya selepas itu. Tiada tempat untuk dia tujui.
“Sara nak kerja di
sini, bantu Mak Wati?” Soal Syarifah Raziah terus terang. Selepas terlihat Sara
Adelina mendukung anak kecil tadi, hatinya tersentuh. Tentu sahaja Sara Adelina
mampu membantu serba sedikit untuk menjaga bayi kecil itu.
Sara Adelina angkat
wajahnya, memandang terus ke arah Syarifah Raziah.
“Puan nak bagi Sara
kerja di sini?” Soal Sara Adelina dengan wajah yang penuh tanda tanya. Benarkah
apa yang didengarinya kala itu, Syarifah Raziah menawarkan dia pekerjaan,
betul-betul sesuatu yang diluar jangkaannya.
“Sara boleh bantu
Mak Wati, lagipun Mak Wati dah uzur, tak mampu nak uruskan rumah dan jaga Emma
Safiya dalam masa yang sama.” Lanjut Syarifah Raziah sambil membuang pandang ke
katil bayi kecil tadi. Tiba-tiba hatinya sayu mengenangkan nasib anak kecil
itu.
“Puan betul-betul
tawarkan Sara kerja di sini?” Soal Sara Adelina lagi, tidak percaya dengan apa
yang dijamah telinganya sebentar tadi. Kalau betul Syarifah Raziah serius
menawarkan dia kerja, dia lebih daripada gembira. Sekurang-kurangnya selesai
sudah satu masalahnya.
“Mak Wati dah 65
tahun, kadang-kadang tak sihat, kalau Sara kerja sini, boleh bantu Mak Wati
sikit-sikit, tambahan pula Emma tiada penjaga.” Sambung Syarifah Raziah.
Sara Adelina
tersenyum nipis, walaupun tidak faham sepenuhnya dengan hitam putih kisah
keluarga Syarifah Raziah, namun tawaran seperti itu memang tidak boleh ditolak.
Dia memang amat memerlukan sesuatu untuk bergantung untuk sementara waktu,
sekurang-kurangnya sehingga dia boleh memikirkan langkah seterusnya yang boleh
dia ambil.
“Macam mana?” Soal
Syarifah Raziah, meminta keputusan Sara Adelina.
“Kecil tapak tangan,
nyiru Sara tadahkan. Kalau Puan betul-betul percaya pada Sara, Sara berbesar
hati.” Ucap Sara Adelina dengan pandangan berkaca. Terasa sayu apabila Syarifah
Raziah sanggup menawarkan dirinya pekerjaan walaupun mereka baru berjumpa dan
berkenalan.
“Kalau macam tu,
Sara boleh terus mula bekerja. Pasal bilik Sara, nanti Umi minta Mak Wati
uruskan.” Lanjut Syarifah Raziah. Walaupun masih ragu-ragu dengan keputusan
yang diambil namun Syarifah Raziah tetap merasakan itu pilihan terbaik yang dia
ada saat itu. Bila melihat Sara Adelina mendukung Emma Safiya tadi, dia pasti
Sara Adelina merupakan pilihan tepat. Tidak mungkin gadis sepolos Sara Adelina
itu orang jahat. Itulah yang difikirkan Syarifah Raziah dalam hatinya. Dia
menaruh kepercayaan sepenuhnya pada Sara Adelina walaupun gadis itu baru
dikenalinya tidak sampai setengah hari.
alaalalaallalalala...jauh lg la critenye ye...update la slalu
ReplyDeleteBest :)))
ReplyDeleteregards,
Amoy Seop.
tak sabar nak tau cerita seterusnya..harap Cik Tulip cepat update ye...
ReplyDeletemukadimah jer dh trajis dek.....best n nk gggg
ReplyDeletebest dah nie sis...
ReplyDeleteBEST LE NAK LAGI BOLEH.....
ReplyDeleteSiapa sebenarnya Sara Adelina ni....
ReplyDeletebest....karya cik tulip memang selalu x menghampakan....cpt la upload next episod...x sbr nk tau citer ni...:)
ReplyDeletePermulaan yg baik... best!!! ♡♥♡♥
ReplyDelete-Ika Hatika-
kesian sara....
ReplyDelete