Thursday, 20 December 2012

SAAT HADIRNYA CINTA-BAB 2

terima kasih yang tinggalkan komen..jom ikuti sambungannya...tiba-tiba je button koma ni ok smula..harap smua suka :)

BAB 2

Terlopong Zaiton dan Musa memerhatikan susuk tubuh Ridza di muka pintu. Anak lelaki mereka itu dilihatnya berpakaian lusuh dan pulang tanpa motosikal besarnya.

            “Ridz; mana motor?” Soal Zaiton sambil bergegas ke muka pintu. Tiada kedengaran deruman motor membuatkan dia berasa pelik dan hairan. Sejurus tiba di pintu hadapan; wanita itu jengahkan kepalanya keluar. Mencari-cari motorsikal Ridza namun apa yang terlihat oleh matanya amat mengejutkan dirinya.

            “Siapa ni?” Soal Zaiton dengan wajah kurang senang. Tidak sempat Ridza menjawab soalan pertama dia sudah ajukan pula soalan kedua. Pandangan matanya dialihkan ke wajah Ridza. Sesusuk tubuh gadis berbaju kurung Pahang membuatkan hatinya tertanya-tanya.

            “Bakal isteri Ridz.” Jawab Ridza selamba. Tidak memikirkan perasaan ibunya. Perasaan Zaliya khususnya.

            Zaiton dan Zaliya sudah membiaskan riak terkejut. Zaliya yang terperanjat sudah beriak tidak senang. Bila masa pula dia tersenarai sebagai calon isteri lelaki itu? Bila masa pula dia hadir ke situ sebagai calon isteri? Ridza hanya memberitahunya yang dia akan diberi kerja.

            “Isteri?” Soal Zaiton tidak percaya. Dia berpusing masuk ke ruang tamu semula. Pening dan bingung.

            Musa yang masih duduk sedari tadi terpinga-pinga melihat kerut di wajah isterinya.

            “Jom masuk.” Jemput Ridza bila dilihatnya Zaliya masih tercegat berdiri di hadapan pintu rumah.

            “Kenapa cakap macam tu. Kata nak bagi saya kerja.” Kata Zaliya tidak puas hati. Malu dia bila dicanang begitu oleh Ridza. Kot ya mahu berlawak pun; kna juga tengok tempat dan waktu yang sesuai. Desis Zaliya sendiri.

            “Nanti kita bincang dalam rumah.” Kata Ridza senada. Dia masuk dahulu dan diikuti oleh Zaliya. Mengikut sahaja kerana yakin dengan janji Ridza.

            Zaiton masih lagi dalam keadaan bingung. Tidak mampu bersuara walau sepatah. Mindanya masih mencerna kata-kata Ridza sebentar tadi.

            “Siapa ni?” Giliran Musa menyoal dengan riak pelik di wajah. Wajah Zaliya ditenung tidak berkelip. Kepalanya sudah mula terfikirkan suatu perkara.

            “Ridz nak naik mandi dulu. Ibu dengan papa tolong tunjukkan bilik dia ni.” Balas Ridza tanpa mahu menerang lanjut tentang kisahnya. Dia letih dan mahu menyegarkan diri terlebih dahulu sebelum dia bertemu mata dengan semua untuk menerang lanjut.

            Zaiton dan Musa memandang wajah Zaliya dengan pandangan tidak berkelip. Terkejut sehingga tidak mempelawa anak gadis itu untuk duduk terlebih dahulu atau menunjukkan bilik seperti diminta oleh Ridza sebentar tadi.

            Zaliya yang tidak faham akan renungan itu melarikan anak mata. Berpura-pura memandang ke segenap penjuru rumah seraya duduk walau tidak dipelawa. Lenguh berdiri lama-lama. Renungan kedua-dua ibu bapa Ridza yang jelas dari ekor matanya dibiarkan sahaja. Tidak tahu bagaimana dia mahu memulakan bicara sementelah kedua-duanya juga bisu tanpa kata dan bicara.

            Hampir lima belas minit berlalu. Ridza dilihatnya berjalan turun dari anak-anak tangga rumah Semi D dua tingkat itu. Zaliya hanya memakukan pandangan ke arah lelaki itu. Berharap lelaki itu akan bersuara bagi menerangkan mengenai pekerjaannya, menerangkan kepada ibu bapanya siapakah dirinya.

            “Hai, kenapa ibu tak tunjukkan bilik dia?” Soal Ridza seraya berdiri di hadapan ketiga-tiganya. Selamba riaknya.

            Musa dan Zaiton masih terpinga-pinga. Sungguh mereka tidak faham dengan apa yang sedang berlaku.

            “Jom, aku tunjukkan bilik.” Kata Ridza seraya berjalan mendahului.

            Zaliya bangun cepat-cepat. Langkah Ridza disaingi.

            “Kata nak carikan saya kerja.” Tutur Zaliya lebih kepada pertanyaan.

            “Pergi bersihkan badan dulu. Nanti kita bincang. Bilik air di sana.” Kata Ridza menunjuk seraya meninggalkan Zaliya di hadapan pintu bilik. Dia kemudiannya mengatur langkah menuju ke arah ibu bapanya yang sedang diam di sofa.

            “Apa semua ni Ridz?” Soal Zaiton mendahului suaminya.

            “Apa kenapa?” Soal Ridza kembali. Pura-pura tidak faham.

            “Perempuan tu.” Sambung Zaiton lagi.

            “Bakal isteri Ridz. Kan ibu yang sibuk suruh Ridz kahwin.” Balas Ridza selamba.

            “Ridz jangan buat main-main hal macam ni.” Tukas Musa pula. Hairan dengan sikap Ridza itu.

            “Ridz ada macam main-main ke papa?. Papa tak nampak Ridz serius ni?” Jawab Ridza serius.

            “Habis tu Haziqah macam mana?” Soal Zaiton lagi. Dia sudah serik dengan permainan anak lelakinya itu. Tidak sudah-sudah.

            “Putuskan.” Jawab Ridza sepatah.

            “Ridz dah gila.” Balas Musa kemudiannya. Tidak percaya anaknya akan berkata-kata begitu. Ridza tidak pernah serius dengan perkara-perkara begitu.

            “Kalau gila elok juga, nanti-nanti papa dengan ibu tak payah pening kepala lagi.” Ucapnya tidak bersalah.

            “Ibu nak cakap apa dengan keluarga Tengku Sani. Takkan nak beritahu Ridz nak kahwin dengan perempuan yang ibu dengan papa tak kenal?.” Tanya Zaiton lagi.

            “Cakap lah apa-apapun. Yang penting ibu dengan papa jelas dengan keputusan Ridz. Ridz nak kahwin dengan perempuan tu.” Jawab Ridza seraya bangun dan berlalu ke halaman rumah. Merokok.

            “Kenapa dengan budak tu bang?” Soal Zaiton tidak mengerti.

            “Entahlah Ton. Tapi Ton perasan tak apa yang abang perasan?” Soalan isterinya dibalas soalan kembali.

            Zaiton membalas pandangan suaminya.

            “Perempuan tu?” Musa hanya mengangguk perlahan.

            “Macam sama cuma yang ini lebih gelap.” Sambung Musa.

            “Hitam manis la bang.”Tukas Zaiton dalam nada tidak puas hati kerana dia juga berkulit gelap tapi masih dalam kategori hitam manis.

            “Abang rasa sebab tu ke?” Zaiton sambung menyoal.

            “Tak mustahil. Mungkin atas sebab tu.” Jawab Musa senada.

            Perbualan suami isteri itu terhenti saat tubuh Zaliya terpacul di situ. Musa dan Zaiton yang masih janggal walaupun dalam rumah sendiri hanya diam tanpa suara.

            “Duduk.” Arah Ridza yang muncul tiba-tiba dari arah depan.

            Zaliya menurut tanpa banyak bicara. Tidak sabar pula dia mahu tahu tentang perbincangan yang bakal berlaku. Tidak sabar mahu tahu perihal kerjanya.

            “Papa dengan ibu dah jelas kan?” Soal Ridza seraya melabuhkan duduknya.

            Zaiton dan Musa mengangguk serentak walaupun kurang pasti. Zaliya pula duduk membisu.

            “Ini calon isteri Ridz, Zaliya. Lepas ni papa dengan ibu boleh buat persiapan kahwin kami.”

            Bagai petir yang membelah bumi, Zaliya terperanjat!. Calon isteri?. Kenapa tiba-tiba boleh jadi calon isteri?. Bukankah perbincangan itu akan berkisarkan tentang pekerjaannya?. Dia sudah membiaskan riak terkejut.

            “Ridz kan dah bertunang. Bagaimana dengan pertunangan Ridz dengan Haziqah. Takkan nak putuskan.” Balas Zaiton lembut. Tidak mahu berkasar kerana dia tahu jika berkasar tentu sahaja anak lelakinya itu akan memberontak.

            Sekali lagi Zaliya terperanjat. Kerja gila ke apa?. Sudahlah dia diangkat sebagai calon isteri tanpa dia sendiri sedari. Kini lelaki itu pula sebenarnya tunangan orang. Mana mungkin perkara itu akan terjadi.

            “Muka ibu dengan papa ni dah malu sangat dengan perangai Ridz ni. Selalu sangat tak serius bab-bab ni.” Luah Zaiton perlahan.

            “Kalau ibu nak Ridz berhenti buat perangai macam ni, ibu kena restui perkahwinan ni. Ridz tak minta banyak. Ridz cuma minta ibu dan papa putuskan pertunangan Ridz dan beri restu Ridz kahwin dengan pilihan hati Ridz. Lepas ni Ridz akan berhenti buat perangai lagi.” Jawab Ridza panjang lebar.

            Zaliya yang duduk termanggu hanya mendengar perbincangan itu. Tidak tahu untuk menyampuk. Tambahan pula kepalanya itu pening memikirkan langkah seterusnya. Nak terus berlari keluar, dia tidak berani pula meredah gelap malam. Nak membantah terasa dia sendiri tidak faham keseluruhan butir perbincangan. Akhirnya dia hanya senyap tidak bersuara. Menunggu sehingga ketiga-tiga beranak itu siap berbincang dan dia akan bertanya terus dengan Ridza. Dan jikalau Ridza benar-benar mahu berkahwin dengannya. Dia akan pergi mencari arah sendiri. Tidak tahu apa rasionalnya lelaki itu mahu menjadikan dia isteri.

            Zaiton dan Musa mengeluh nafas yang terasa sesak. Hendak dibantah Ridza bukannya jenis yang mendengar kata. Hendak bersetuju pula dia tidak tahu dari mana asal usul perempuan yang mahu diangkat menjadi menantu itu. Penyudahnya terpaksalah mereka membiarkan Ridza membuat keputusan sendiri.

            “Ridz rasa perbincangan kita dah selesai. Ridz naik dulu.” Kata Ridza seraya menapak naik ke biliknya. Meninggalkan ibu bapanya yang kebingungan dan meninggalkan Zaliya yang kekeliruan dan masih menagih penjelasannya.

            “Boleh saya naik jumpa anak pakcik?” Setelah sepuluh minit berlalu tanpa kata dan bicara, Zaliya pula terfikir untuk bertemu Ridza. Dia inginkan penjelasan.

            Musa hanya mengangguk tanda bersetuju.

            Zaliya pantas berlalu ke tingkat atas. Walaupun tahu tingkahnya itu tidak elok pada pandangan mata namun diteruskan jua. Mana mungkin perkara buruk boleh terjadi sedang mereka berdua berada dalam rumah ibu bapa lelaki itu.

            Zaliya ketuk pintu bilik Ridza berkali-kali. Menunggu lelaki itu membuka pintu. Dia inginkan penjelasan lanjut. Tentang pekerjaan khususnya.

            “Ada apa?” Soal Ridza sejurus membuka pintu.

            “Awak kata nak bincangkan pasal kerja?” Soalan Ridza dibalas soalan kembali.

            “Dah bincang tadi.” Balas Ridza ringkas.

            “Tadi?” Soal Zaliya tidak faham.

            “Kau jadi isteri aku. Kerja halal la tu kan?” Soalan Zaliya dibalas soalan dengan keningnya dijungkit tinggi.

            “Saya nak cari kerja bukan nak kahwin.” Jawab Zaliya keras.

            “Jadi isteri aku pun kerja juga. Ada tanggungjawab. Jaga rumah. Jaga makan pakai aku. Layan aku.” Balas Ridza selamba.

            “Tapi bukan ini yang saya nak. Mana boleh awak paksa-paksa saya kahwin macam ni. Saya datang sini bukan untuk kahwin dengan awak. Saya nak cari kerja.” Kata Zaliya kasar, namun nadanya masih dikawal sebaik mungkin.

            Ridza tanpa banyak bicara menarik Zaliya masuk ke dalam biliknya segera. Sempat dijeling papa dan ibunya. Bimbang kedua-duanya nampak dengan perlakuannya itu.

            “Aku dah dapatkan kau kerja, jadi isteri aku. Dah dapatkan tempat tinggal untuk kau. Rumah aku, aku dah tolong kau.” Terangnya pendek.

            “jadi sekarang kau kena tolong aku pulak. Kahwin dengan aku.” Sambungnya tanpa sempat Zaliya membuka mulut.

            “Tapi ini tak termasuk dalam rancangan saya.” Balas Zaliya kemudiannya.

            “Apa sijil yang kau ada?” Soal Ridza pula.

            “PMR.” Jawab Zaliya perlahan. Antara dengar dan tidak. Dia terlalu sibuk membantu ibunya mencari duit sehingga dia terpaksa berhenti sekolah sebelum waktunya.

            “Dengar sini, aku bagi kau pilihan mudah. Kau dah takde family, belajar pun tak tinggi. Jadi sekarang kau boleh setuju dengan cadangan aku. Kau kahwin dengan aku. Lepas ni kau tak payah fikir apa-apa lagi.” Lanjut Ridza.

            “Kita kenal pun tidak, macam mana nak jadi suami isteri.” Tukas Zaliya pula.

            “Cinta tak penting. Yang penting kau setuju dan aku pun setuju.” Jawab Ridza lagi.

            Zaliya diam sejenak. Memikirkan kata-kata lelaki itu. Walaupun pelik kenapa lelaki itu terlalu terdesak ingin mengahwininya namun dia tidak dapat nafikan yang tawaran lelaki itu memang sukar ditolak. Dia sudah tiada keluarga. Pelajaran pun tidak tinggi. Ingin pula mencari pekerjaan di bandar besar begitu. Apa peluang yang terbentang untuknya?. Hampir tiada. Zaliya menjawab sendiri persoalannya.

            “Atau kau nak balik kepada Zamri?” Soal Ridza sinis.

            Zaliya diam tidak menjawab sindiran lelaki itu.

            “Kau fikirlah dulu. Kalau tak setuju, esok aku hantar kau ke stesen bas.” Ujar Ridza seraya memegang daun pintu. Mengisyaratkan supaya Zaliya keluar.

            “Saya setuju.” Kata Zaliya tiba-tiba. Memikirkan banyak perkara yang harus diambil kira. Dia bertindak bersetuju.

            Ridza sudah meleret senyum.

            “Bagus, nanti aku suruh ibu dengan papa segerakan.” Sahut Ridza kemudiaannya.

            Zaliya mengangguk perlahan dan berkira-kira untuk berlalu.

            “Nanti dulu…” Panggil Ridza tiba-tiba.

            “Apa lagi?” Soal Zaliya tidak puas hati.

            “Kalau dah kahwin, kau faham kan tanggungjawab kau…maksud aku kita bukan kahwin paksa, bukan juga kahwin kontrak. Jadi kau kena jalankan tanggungjawab kau macam isteri-isteri yang ‘normal’.” Ucap Ridza sambil menggerak-gerakkan kedua-dua jari telujuknya sejurus dia menyebut perkataan NORMAL itu.

            Zaliya geleng kepala tidak faham.

            “Maksud awak?” Soal Zaliya lurus.

            “Kau kena layan aku selayaknya seorang isteri melayan suami.” Jawab Ridza.

            “Tidur dengan aku..” Sambungnya.

            Berona merah wajah Zaliya mendengarkan kata-kata Ridza. Belumpun diijab kabul, lelaki itu sudah berkata begitu. Memang sungguh tidak beradap. Bisik Zaliya dalam hati. Dia bukannya tidak tahu perihal itu. Hairan kenapa Ridza boleh membangkitkan isu seperti itu. Jika menjadi isteri lelaki itu, sudah pastilah dia akan menunaikan tanggungjawabnya dengan sewajarnya.

            “Dah pergilah masuk tidur.” Kata Ridza kemudiannya. Lucu pula dia melihat wajah Zaliya yang sudah merah padam.

 

“Boleh pakcik jumpa sekejap.” Musa berlalu ke salah satu sofa lalu duduk.

            Zaliya tidak mengangguk mengiakan namun dia tetap membuntuti lelaki itu ke ruang tamu. Sejurus bangun pagi tadi, dilihatnya sarapan sudah tersedia di meja makan. Ridza pula sudah menghilang ke tempat kerja. Itu kata pembantu rumah itu. Hairan juga Zaliya kerana pada hari sebelumnya dia tidak terlihat pun batang hidung pembantu rumah tersebut.

            Zaliya labuhkan duduknya di kerusi sambil membuang pandang ke wajah serius Musa.

            “Kau serius nak kahwin dengan dia?” Soal Musa. Terasa janggal pula kerana biasanya soalan itu ditanya oleh bapa perempuan kepada calon lelaki. Ini sebaliknya pula yang berlaku.

            Zaliya hanya mengangguk tanpa suara. Mengiakan pertanyaan lelaki itu sekaligus menyatakan pendiriannya.

            “Dia tu dah lima kali tunang dan lima kali jugalah putus. Pertunangan yang terbaru ni yang keenam, itu pun dia nak putuskan juga.” Tiba-tiba Zaiton bersuara dari anak-anak tangga.

            Zaliya terperanjat. Pertama dengan kehadiran Zaiton yang tiba-tiba dan kedua kerana kata-kata wanita itu. Enam kali bertunang. Biar betul?.

            “Ridz tu tak pernah serius dengan perempuan. Pilih perempuan macam pilih baju. Tukar perempuan pun macam tukar baju. Banyak kali tunang tapi takde satu pun yang lekat. Dan sekarang mengaku nak kahwin pulak tiba-tiba.” Giliran Musa meluah rasa.

            “Macam mana kami nak percaya.” Sambungnya.

            Zaliya tidak mampu berkata apa-apa. Walaupun terkejut dengan kata-kata ayah kepada lelaki yang beria-ia mahu memperisterikannya itu namun dia sudahpun membuat keputusan. Menerima Ridza kerana dia juga turut terdesak.

            “Ridza dulu pernah serius. Ada ikatan dengan gadis yang dia suka tapi….” Kata-kata Musa terhenti seketika.

            “Perempuan tu yang tak pandai nak jaga hati dia, dah diberi kepercayaan. Khianati pula.” Sambut Zaiton penuh emosi. Kerana itulah Ridza kecewa sehingga anak lelakinya itu bertindak mempersenda ikatan pertunangan itu sendiri. Bertunang dengan beberapa orang gadis tetapi memutuskan pertunangan itu kemudiaannya. Bila mereka menegah, Ridza yang beria-ia mahu. Bila dah jadi, diputuskan pula. Pening kepala mereka.

            Musa merenung anak gadis dihadapannya kini. Bimbang nasib yang sama menimpa Zaliya malah mungkin juga lebih parah. Jika gadis-gadis lain hanya kecewa kerana putus tunang sahaja, tapi Zaliya pula mungkin kecewa menjadi mangsa cerai jika perkara kahwin itu benar-benar berlaku.

            “Saya dah buat keputusan. Baik buruk keputusan tu saya akan tanggung.” Jawab Zaliya kemudiannya. Dia tahu mungkin bapa dan ibu itu bimbangkan nasibnya atau mungkin juga tidak menyukai anak mereka mengahwininya namun natijahnya tetap sama, dia yang akan menanggung baik buruk perkahwinan itu. Di sebabkan itu dia berserah. Berserah segala-galanya pada tuhan dan berdoa yang terbaik untuk dirinya. Untuk perkahwinan yang mungkin dibina.

 

“Bang, saya rasa susah hatilah.” Kata Zaiton sambil merenung syiling bilik.

            Musa diam tidak membalas kata-kata isterinya kerana jauh di sudut hatinya dia turut bimbang walaupun tidak dizahirkan rasa itu.

            “Abang rasa sebab apa Ridz tu beria-ia sangat nak kahwin dengan perempuan tu. Kalau nak dikata cantik, Ton tengok biasa-biasa je. Nak kata pandai pun nampak macam bodoh-bodoh alang je. Bekas-bekas tunang dia yang dulu lagi cantik. Tambah-tambah lagi Haziqah tu.” Rungut Zaiton tidak bersalah.

            “Awak ni kot ye pun tak suka, jangan la sampai menilai orang sampai macam tu. Mana awak tahu dia bodoh. Entah-entah lagi bijak dari awak.” Sindir Musa pula. Tidak suka dia apabila isterinya itu seolah-olah merendahkan orang sedangkan hati budi orang tu belum mereka ketahui.

            “Eh abang ni mengata kita pulak.” Zaiton berpaling membelakangi suaminya. Dia berjauh hati.

            “Eh awak ni cepat sangat nak merajuk kenapa?. Tadi kata nak berbincang.” Tutur Musa serius.

            Zaiton kembali berpusing mengadap suaminya. Hilang rajuknya mendengarkan nada serius suaminya itu.

            “Abang rasa kenapa Ridz tu beria-ia sangat kali ni?. Selalunya tak macam tu?” Zaiton ulang menyoal.

            Musa mengeluh seketika sebelum menjawab soalan isterinya.

            “Abang rasa mungkin sebab Nazirah.” Luah Musa perlahan dalam helaan nafas.

            “Ton pun rasa macam tu la bang.” Sambut Zaiton sambil turut membuang pandang ke syiling rumah.

            “Habis tu kita nak buat macam mana bang?” Soal Zaiton dalam nada putus asa.

            “Biarkan je lah. Nak buat macam mana kalau dah dia betul-betul nak.” Jawab Musa kemudiaannya.

            “Habis tu Haziqah macam mana?. Saya dah berkenan sangat-sangat dekat dia. Alih-alih Ridz buat macam ni pula.” Keluh Zaiton perlahan.

            “Pasal Haziqah tu, kita ikutkan aje la kata dia. Kalau dia nak putuskan, takkan kita nak paksa juga si Ridz tu teruskan. Kalau dah dia buat keputusan nak kahwin tu, agaknya betul-betul dia serius  la tu.” Jawab Musa seraya meletakkan tangan ke dahi. Lagak gaya mahu melelapkan mata sahaja.

            “Eh..eh abang ni..abang pun dah jadi macam Ridz ke? Senangnya cakap abang kan? Senang bertunang senang pulak nak putuskan. Kalau sekali dua bolehlah saya tahan lagi. Tapi ini dah kali yang keenam. Muka saya ni dah tebal berinci-inci. Lepas ni tak tahu la nak taruk kat mana. Silap-silap haribulan ditendang pulak dari persatuan saya tu. Yelah, kan Tengku Fatimah tu pengerusinya. Kalau dia marah Ridz tu main-mainkan anak dara dia, tak mustahil saya ni juga kena tempiasnya…” Bebel Zaiton.

            “Bang…Oh bang…abang…ish orang tua ni. Kita luahkan perasaan boleh pulak dia berdengkur. Anak ngan bapak sama aje..tak pernah serius.” Rungut Zaiton geram apabila dengkuran Musa sudah masuk ke telinganya.

 

Terkejut Ridza saat makanan dan minuman yang terhidang diatas mejanya jatuh berselerakan di lantai.  Kot hitam yang tersarung kemas di tubuhnya juga sudah tercemar dengan tempias lauk pauk dan air yang jatuh. Mencerlung tajam matanya memandang gadis yang sedang berdiri di sisinya dengan wajah keruh.

            “Apa yang Ziqah buat ni?” soal Ridza tidak puas hati. Marah bila tiba-tiba sahaja gadis itu menolak pinggan dan air minumannya tengaharinya. Sudahlah perutnya lapar minta di isi.

            “Sampai hati abang buat Ziqah macam ni!.” Kata Haziqah kuat. Tidak dipedulikan mata-mata pelik yang memandang mereka.

            Ridza bangun dari duduk sejurus gadis itu meluahkan apa yang terbuku.

            ‘Ziqah balik dulu. Perkara macam ni elok kita bincang kat rumah. Kat tempat macam ni tak sesuai. Malu kat orang.” Pujuk Ridza namun terselit nada menyindir dalam kata-katanya. Perlakuan Haziqah seolah-olah tidak matang.

            “Tak nak!. Abang memang gila. Hari tu abang yang beria-ia nak bertunang dengan Ziqah. Sekarang abang nak putus pulak. Abang ingat Ziqah ni apa? Tunggul kayu?. Senang-senang abang nak, senang-senang abang tolak.” Hambur Haziqah lagi. Memang dia marah bila ibu bapa lelaki itu datang memutuskan tali pertunangan mereka sedangkan dia sudahpun beria-ia menyerahkan hati dan perasaannya pada lelaki itu. Tambahan pula ikatan itu diputuskan hanya melalui wakil itu sahaja. Dia tambah marah. Ridza memang pengecut kerana tidak berani berhadapan dengannya.

            “Ziqah, sabar dulu. Jangan jerit-jerit macam tu. Tak malu ke orang dengar.” Ucap Ridza dengan suara menekan.

            “Biar orang dengar. Biar orang tahu yang jantan macam abang memang pengecut!. Memang jantan tak guna!. Suka-suka mainkan perasaan perempuan. Kalau Ziqah tahu macam ni perangai abang, memang awal dulu Ziqah takkan terima lamaran abang. Kaki perempuan! Kasanova! Tak sedar diri!...jan….”

            Pang!. Belum sempat Haziqah menyudahkan kata-katanya, penampar Ridza sudah hinggap ke pipinya.

            “A..aa..abang…memang kejam.” Haziqah sentuh pipinya yang perit. Serentak itu dia menangis dan berlari meninggalkan Ridza yang sudah tertunduk memandang lantai.

           

Ridza termenung jauh mengingatkan kejadian siang tadi. Kata-kata hamburan Haziqah walaupun menyakitkan telinganya namun semua kata-kata itu benar. Memang salahnya bermain-main dengan hati dan perasaan perempuan. Salah kerana dia tidak pernah serius dengan perempuan selama ini.

            “Kalau Zirah tak buat abang macam ni, tentu abang tak jadi sekejam ni.” Luah Ridza perlahan. Antara dengar dan tidak.

            “Hoi! Berangan ke?” Sergah satu suara tiba-tiba.

            Ridza tersentak. “Aku teringat kat kau la…Apasal lambat sangat?” Soal Ridza kemudiaannya. Menjeling dengan mata nakalnya. Dia sudah menghabiskan sepinggan nasi tapi sahabatnya itu baru tiba. Lama menunggu, sempat dia merenung jauh.

            “Kau tengok jam pukul berapa, sekarang kan waktu orang balik kerja.” Kasar jawapan yang diberi. Dia menjeling pinggan kosong di hadapan Ridza. Nasi lagi, tak habis-habis makan nasi. Pagi petang siang malam. Rungutnya dalam hati, tahu benar dengan kegemaran Ridza, nasi berlauk kampung. Nasib baik badan masih maintain.

            “Kau ni kan, bila nak berubah agaknya?..muka dah cantik, body pun, aku tengok pun dah tak tahan tapi sayang perangai tak macam perempuan. Kemaruk sangat nak jadi lelaki.” Tukas Ridza dalam nada menyindir.

            “Oit!, kau jangan pandai-pandai nak nasihat aku. Tengok kau sendiri, tak la baik mana pun. Ada hati nak nasihat orang.” Balasnya turut dalam nada menyindir.

            “Aku bukan nasihat cuma ingatkan je. Kalau macam ni la cara kau, lelaki mana yang berani dekat ngan kau.” Kata Ridza mendatar.

            “Kau berani dekat dengan aku. Kalau takde lelaki nak kahwin ngan aku. Kau la lelaki bertuah tu. Aku tunggu kau.” Jawabnya selamba.

            “Joe, aku akan kahwin.” Tiba-tiba Ridza bersuara. Mengendur nadanya.

            “Apa?..Kahwin?...serius?.” Soal Joe bertub-tubi. Joe atau nama sebenarnya Juliah tapi lebih selesa dipanggil Joe kerana perwatakannya sedikit ‘kelelakian’.

            “Tahniah!, kahwin jugak kau ngan Haziqah. Aku ingat yang itu pun stok tak habis kau.” Ikhlas kata-kata Joe namun terselit sindiran juga.

            “Bukan dengan Haziqah, dengan perempuan lain.” Jawab Ridza kemudiaannya dalam menungan jauh.

            “Apa!, kalau bukan dengan Haziqah dengan perempuan mana pulak?” Soal Joe terperanjat.

            “Nanti-nanti kau kenal la.” Jawab Ridza enggan berterus terang.

            “Macam-macam la kau ni Ridz. Kejap tunang, kejap putus. Stok girlfriend tak pernah putus-putus. Suka hati kau la. Asalkan kau bahagia, aku tak kisah. Tapi melepas lah aku nak jadi bini kau kan?.” Ujar joe dalam nada seloroh. Kalau benar Ridza sudah nekad keputusan, dia hanya menurut sahaja. Walau berlainan jantina, namun dia cukup faham dengan isi hati lelaki di hadapannya itu.

            “kalau dah tak laku sangat, aku masukla meminang kau..” Kata Ridza meleret.

            Pecah ketawa Joe, lagak ketawa lelaki tingkahnya.

            “ Habis bini kau macam mana?. Aku tak nak kena kejar dengan penyapu.” Sambung Joe dengan ketawa yang masih bersisa.

            “Aku kan boleh kahwin empat.” Sambung Ridza dalam senyum manis.

            “Satu pun belum tentu, ada hati nak kahwin sampai empat.” Tukas Joe dengan wajah sinis.

            “Aku kan gagah perkasa, berharta pulak tu…” Sambung Ridza dalam ketawa.

            “Nampak je gagah kat luar, kat dalam tu siapa tahu..entahkan lembik.” Balas Joe menyindir. Bibirnya di juih ke dada lelaki itu.

            “Mana kau tahu aku lembik. Nak cuba?” Soal Ridza mengusik. Dia tahu hati Joe ibarat hati lelaki. Tidak termakan walau kata apa pun yang terbit dari bibirnya.

            “Tak ingin aku!, simpan je la untuk bini kau.” Ujar Joe selamba.

            So, bila majlis kau?. Aku nak datang.” Sambung Joe.

            “Nanti aku bagi kad.” Jawab Ridza pendek.

            “Oklah, nanti bagitahu aku. Aku nak balik dulu. Penat la.” Kata Joe seraya bangun.

            “Eh kau tak nak makan dulu ke? Aku belanja.”

            “Aku dah kenyangla, tadi Zurina belanja aku.” Balasnya seraya berjalan.

            “Zurina tu nak kat kau..baik hati-hati. Aku takut kau kena rogol dengan dia…” Usik Ridza dengan suara yang sedikit tinggi.

            Joe hanya mencebikkan bibirnya tanda marah. Penumbuknya diangkat tinggi supaya Ridza nampak.

            Ridza hanya tergelak kecil. Joe, perempuan berhati lelaki namun jauh disudut hati gadis itu dia tahu masih ada sifat-sifat wanita di dalamnya. Kalau Joe berpewatakan seperti gadis-gadis lain, pasti banyak hati yang akan goyah. Barangkali hatinya juga mungkin terusik.

 

Majlis kahwin kecil-kecilan yang berlansung beberapa jam tadi berakhir dengan baik. Para tetamu juga sudah meninggalkan rumah Musa dan Zaiton. Semua jemputan hadir memeriahkan majlis kecuali keluarga Tengku Fatimah yang turut dijemput. Mungkin sahaja marah kerana pertunangan anak mereka diputuskan tiba-tiba. Tanpa sebab munasabah pula.

            Zaiton dan Musa sudah terduduk lesu. Radzi, anak sulungnya, Amirah adik Ridza dan Arifah anak bongsu mereka, turut terduduk keletihan.

            “Isteri kamu mana Radz?” Soal Musa sambil membuang pandang ke keliling rumah. Mencari-cari kelibat menantunya.

            “Tini kat dapur lagi. Tolong orang basuh-basuh periuk.” Jawab Radzi pendek.

            “Panggil bini kamu tu, tak payahla sibuk-sibuk. Biar orang pakatan yang buat.” Celah Zaiton pula.

            “Alah, biarlah ibu, dia yang nak tolong.” Jawab Radzi pula.

            “Abang Ridz, mana kak Liya, Ipah nak kenal.” Kata Arifah sejurus ternampak kelibat Ridza berjalan melintasi mereka menuju ke pintu hadapan. Dia yang menuntut di UUM Sintok tidak berkeupayaan pulang awal. Hanya sehari sebelum majlis perkahwinan sahaja dia dibenarkan untuk balik. Itupun setelah dia merayu kepada pensyarah yang mengadakan kelas ganti pada hari Sabtu.

            “Ada kat atas. Tengah mandi.” Jawab Ridza senada. Langkahnya diteruskan ke tempat tujuan.

            “Erm..mandi. dari tadi terperuk dalam bilik, dah dekat magrib macam ni baru nak mandi.” Usik Amirah pula. Sejurus habis majlis pukul 4 petang tadi, abang dan kakak iparnya itu terperuk sahaja di dalam bilik. Dan fikirannya sudah mula memikirkan yang bukan-bukan.

            “Mira, jaga mulut tu sikit. Kamu tu perempuan. Tak manis cakap macam tu.” Selar Zaiton tiba-tiba.

            Amirah sudah tarik muka masam. Nak bergurau sikit pun tak boleh. Rungutnya sendiri.

            “Ipah naik ye bang..nak jumpa kak Liya.” Kata Arifah separuh melaung ke arah Ridza yang sudah hilang keluar rumah.

            Ridza hanya diam walaupun dengar kata-kata adik bongsunya itu. Andai dilarang pun, adiknya itu tetap akan naik. Maklumlah adik bongsu. Manjanya terlebih. Terkasar bahasa sikit, panjanglah rajuknya.

            Ridza labuhkan duduknya di gazebo yang dibina khas di sebelah kanan rumah semi D dua tingkat itu. Dia merenung remamg senja yang semakin berlabuh.

            “Boleh abang duduk?” Tiba-tiba Radzi menyapa dari tepinya.

            Ridza hanya mengangguk menzahirkan jawapannya.

            “Ridz betul-betul serius dengan semua ni?” Soal Radzi mendatar. Memang sejak dia dengar berita yang adiknya itu ingin bernikah segera, dia hairan. Hairan kerana Ridza tidak pernah mengambil keputusan sedrastik itu. Kalau setakat bertunang dia tidak hairan kerana dia juga tahu adiknya itu kerap bertunang dan mudah sahaja putus tunang.

            “kalau dah sampai kahwin bang, takkan la tak serius.” Jawab Ridza acuh tak acuh. Dia tidak mahu menerang lanjut. Tidak mahu juga bercerita panjang.

            ‘Habis tu macam mana dengan Zirah. Ridz dah fikir masak-masak?” Soal Radzi lagi.

            “Zirah dah tak wujud lagi bang. Dia dah jadi sejarah dalam hidup Ridz.” Balas Ridza pula. Selamba dan tidak serius.

            “Tapi…” Radzi belum sudah menuturkan kata-katanya tetapi ada sebiji kereta masuk ke perkarangan rumahnya.

            Kedua-duanya tergamam seketika. Kereta itu… Wajah disebalik cermin kereta itu….

 

“Akak suka makan apa?, nanti Ipah masakkan. Ipah pandai buat macam-macam.” Kata Arifah ramah. Sejak dari tadi dia asyik pot pet, pot pet berceloteh sementara Zaliya hanya mendengar sahaja. Hendak menyampuk, belumpun beberapa patah kata terluah, adik iparnya itu sudah menyambar. Penyudahnya dia diam sahaja. Erm…manusia ni macam-macam. Ada yang macam adik iparnya itu…suka bercakap tapi sukar mendengar. Zaliya tersenyum sendiri. Walaupun tidak berapa suka namun dia terhibur. Sekurang-kurangnya tidakla terasa terlalu asing.

            “Jom kita turun kak..selalunya waktu macam ni ada minum petang.” Kata Arifah lagi. Dia seraya bangun dari duduknya di birai katil. Tangannya dihulur kepada Zaliya. Mengisyaratkan supaya Zaliya menyambut.

            Sementara Zaliya mengerling pantas ke arah jam. Sudah jam 7.15 malam..minum apa lagi waktu-waktu macam ni, orang sah sedia-sedia nak sembahyang magrib pulak. Bisik Zaliya sendiri.

            “Ipah, akak rasa akak nak tunggu sembahyang dulu la. Lagipun dah nak masuk waktu magrib.” Balas Zaliya tanpa menyambut huluran tangan adik iparnya. Kemesraan yang dipamirkan oleh Arifah itu membuatkan dia juga tidak kekok melayani gadis kecil molek itu.

            “Oh ya tak ye. Ipah sembahyang sekali lah, dalam bilik kakak..” Kata Arifah lagi seraya kembali duduk.

            Zaliya hanya mengangguk perlahan walau hakikatnya dia rimas juga dengan tingkah ‘terlebih manja’ adik iparnya itu.

            “Ipah sembahyang lah dulu. Akak nak kemas sikit lagi baju akak.” Suruh Zaliya sejurus terdengar laungan azan. Sejak naik ke bilik usai majlis tadi, dia masih belum siap mengemas pakaiannya. Pakaian yang hanya beberapa helai di bawa. Dan selebihnya di beli oleh Zaiton, ibu mertuanya. Walaupun nampak seperti tidak berapa menyukainya namun Zaiton turut melayaninya mesra. Itu yang membuatkan Zaliya hilang rasa kekok.

            Arifah lantas bangun dari duduk. Bibirnya yang sejak awal tadi mengukir senyum, masih mengukir senyum. Hairan pula Zaliya lihat. Jarang-jarang ada manusia yang gembiranya 24 jam seperti adik iparnya itu. Tersengih memanjang!.

            Usai Arifah menunaikan solat Magrib, Zaliya pula mengambil tempat. Nasib baiklah ahli keluarga Ridza yang lain masih patuh pada ajaran agama, jika tidak, susah juga dia mahu menyesuaikan diri. Jika hanya Ridza yang lalai dan cuai, dia tiada masalah, sebagai isteri boleh juga dia dorong sikit-sikit. Tapi kalau memikirkan seluruh keluarga, pening juga kepala dia memikirnya.

            ‘Jom kak…kita turun. Mesti dinner dah siap.” Kata Arifah masih dalam senyum manis. Tangannya dihulur lagi supaya Zaliya sambut. Memang tidak menyempat-nyempat, baru sahaja kakak iparnya itu sangkut telekung dia sudah mengajak.

            Zaliya turutkan sahaja.

            Zaliya dan Arifah berjalan beriringan menuruni anak-anak tangga. Mulut gadis genit itu tidak berhenti-henti berceloteh. Sekejap tentang pelajarannya, sekejap tentang sahabatnya dan selebihnya tentang kemahirannya memasak, membuat kek khususnya.

            Dalam leka Arifah berceloteh, tiba-tiba langkah gadis itu terhenti. Langkah Zaliya turut terhenti. Dia pandang wajah Arifah yang memandang terus ke ruang tamu. Hairan pula dengan perubahan muka adik iparnya.

            “Kak Zirah..” Kata Arifah perlahan.

                Zaliya turut membuang pandang ke arah pandangan mata Arifah. Kali ini Zaliya pula yang kaku. Namun tidak tahu kenapa dia turut melangkah membuntuti langkah Arifah yang sudah laju ke ruang tamu. Seisi keluarga dilihatnya berkumpul di situ. Zaliya pandang sekilas wajah-wajah yang ada di situ dan matanya berhenti pada wajah Ridza dan wanita yang duduk di sebelah suami yang baru dinikahinya itu. Semua wajah dilihatnya keruh, kecuali wajah wanita yang duduk rapat disebelah Ridza itu. Terdetik rasa hairan di hati Zaliya.

            “Erm…bagus taste you Ridz, ada iras-iras muka I.” Kata wanita itu seraya bangun dan berjalan menghampiri Zaliya yang masih tegak berdiri. Tidak faham dengan situasi yang berlaku dihadapannya itu. Ridza pula dilihatnya sudah semakin resah.

            Zaliya hanya memandang wajah wanita yang tepat merenungnya. Jika dilihat pada saiz tubuh, potongan, ketinggian dan paras rupa. Memang wanita itu dan dirinya ada sedikit persamaan. Tapi apa makna semua itu?

            “Tapi…kulit berbeza sikit.” Sambung wanita itu.

            Memang benar kulit wanita di hadapannya cerah berbanding kulitnya. Namun Zaliya masih belum mampu merungkai, siapa gerangan wanita yang berada di hadapannya itu? Dan mengapa seluruh rumah seakan-akan kaku dengan apa yang sedang berlaku?.

            “Selamat berkenalan.” Kata wanita itu seraya menghulurkan tangan ke arah Zaliya.

            Zaliya menyambut juga walaupun dalam keadaan teragak-agak.

            “Nazirah…madu you….isteri pertama Ridz.” Ucap wanita itu dalam senyum sinis.

            Zaliya terkesima. Umpama petir yang membelah bumi, berita itu cukup mengejutkan dirinya. Benarkah apa yang dikata oleh wanita dihadapannya? Adakah benar semua itu?. Wajah Ridza dipandang memohon kepastian, namu lelaki itu hanya menunduk memandang lantai. Terkejut bukan kepalang, dia sebenarnya isteri kedua!.
p/s-harap smua suka...

19 comments:

  1. salam Tulip..

    Tersentap akak sat..speechless dan ayat yg dapat diluahkan..biaq betui..
    kenapa tetiba sahaja wanita itu muncul didepan mata dan kemanakah wanita ini menghilang sebelum ini..adakah benarnya kata wanita itu..
    Yang peliknya ..kenapa perilaku si Ridz tu ..kedua ayah dan ibunya tidak membantah..bagi akak cara Ridz mmg kurang ajar..tidak menghormati parents dia ..

    ReplyDelete
  2. Ape????isteriiiiii????lg lg lg sista...nk tau story

    Nana

    ReplyDelete
  3. isteri kedua la si liya ni rupanya...tp,knp parent dia sibuk sngt nk kahwinkan si ridz dgn tunang2 dia sebelum ni...hmm,citer ni byk konflik ke kak?sy hrp2kan mesti si ridz dgn nazirah dh bercerai,kesian la dkt liya kena tipu hidup2...

    ReplyDelete
  4. da ada istri ps2 tunang 5x tu apa ye?
    nak jugak dgn zaliya sbb ada iras nazirah?
    satu lg part bnyk kali tunang tu nape parent dia mcm restu je walupun tahu anak tu da kawin.....waaaaaaa geramnya n3 ni

    ReplyDelete
  5. WHATTT MADU U U U U OH PITAM PITAM PITAM, TAK NA A A A A A A K K K, aduh mcam mana ni?? Kasianya zaliya tk tau apa2 pun jd istri ke 2. Cepat2 sambung ya sist, suka sangat sangat, NANY

    ReplyDelete
  6. apa??? I dimadu rupanya... apa semua ni? best2 rajin2 TU letk n3 bru... klau boleh hri2 I nk...

    ReplyDelete
  7. kenapa isteri, kenapa bukan ex gelfren ker...jgn ridz tgglkan zaliya sudah..

    ReplyDelete
  8. Wahhhhh..... Sentap jap part yg akhir tu.
    Isteri kedua..????
    Kak Tulip, besttt... Mmg lain

    ReplyDelete
  9. kak tulipppp apa sudah jadi....adotaiiiii

    ReplyDelete
  10. biar betullll...adakah ini benar belaka???
    jeng jeng jeng
    ada sikit konpius nih..kata x suka zirah..dikhianati
    maknanya ms kawen?adoyai pening kapla k sal ni mikir!!
    tq ..i likeee suspense

    ReplyDelete
  11. TERBAEKKKKKKKK Best3

    ReplyDelete
  12. Wah,banyak kejutan lah,mau gak ridz ni kawin 3 hehehehe..ya lah si Joe tu pun leh tahan klu jadi pompuan...apa pun kkkeeelaaass cik tulip...best sesangat...

    ReplyDelete
  13. jangan lah nanti ridz menikahi zaliya sbp wajah mirip zira ,n berniat menyakitinya! ! Oh terkejut beruk lah saya, aduh. Terbaik lah, cepat lah sambung ya cik , emy

    ReplyDelete
  14. kesian zaliya..tlpas msok mulut harimau,msok mulut buaya..
    tp besh sgt!!

    ReplyDelete
  15. Respon 1st bila habis baca entri kali ni; Damn! Haha,,Ridza dah mula main kasar plak! Madu you konon,,Sabo je laa~

    ReplyDelete
  16. wow ! tak sangka bermadu .. terkejut sangatt ..

    ReplyDelete
  17. bila nak sambung ? -.-'

    ReplyDelete
  18. what!!!!'mmg wat naya kat liya lh ridz neh...oh alah... teramat cian nyer kat liya..namun ape kn daya andai itu jodoh n takdir nyer terima lh ngan redha ati..dari jd isteri si lelaki tua miang n dari jd santapan abg tiri yg cam hampeh tuh....pasti ade hikmah nyer liya...

    ReplyDelete