BAB 1
Terkocoh-kocoh
tangan
Zaliya menuangkan air minuman kepada lelaki yang duduk tenang di meja makan
itu. Kendi yang terisi air untuk membasuh tangan di sorong kepada lelaki itu
kemudiannya. Setelah memastikan tugasnya selesai, dia berlalu semula ke dapur.
“Jemputlah makan. Maaflah lauk tak
seberapa. Mungkin tak mewah macam rumah Ridza.” Kata Zamri sambil mula menyuap
nasi ke mulutnya.
“Ini pun dah lebih dari cukup
pakcik. Saya pun bukannya cerewet sangat.” Balas lelaki yang duduk berhadapan
dengan Zamri yang dipanggil Ridza sebentar tadi dalam senyum nipis.
“Jemputlah, kalau tak cukup
bagitahu. Nanti mintak Zaliya tambah.” Sambung Zamri sambil meneruskan suapan.
Ridza hanya tersenyum menanggapi
kata-kata lelaki itu. Dia kemudiannya membuang pandang ke arah dapur. Cuba
mencari kelibat Zaliya yang pada pandangannya cukup kelam kabut dalam segala
hal. Hairan pula dia melihat perwatakan anak gadis Zamri yang nampak seperti
takut-takut semasa melayaninya. Tidak tahulah atas sebab apa gadis itu bersikap
begitu. Mungkin sahaja gadis itu masih segan dengannya.
“Kaki Ridza macam mana. Dah ok?”
Soal Zamri sambil memandang ke wajah Ridza.
Tersentak seketika Ridza dengan
teguran Zamri. Matanya terus dialih supaya memandang lelaki yang hampir berusia
separuh abad itu.
“Alhamdulillah dah semakin elok,
Lepas dah sembuh, bolehlah saya balik semula ke rumah.” Jawab Ridza sambil
menyuap nasi ke mulut.
“Maafla, malam tu memang silap
pakcik tak tengok betul-betul masa nak masuk simpang tu. Nasib baikla tak jadi
apa-apa pada Ridza. Kalau tak, tak tahulah pakcik nak buat macam mana. Pasal
motor besar Ridza tu, pakcik tak tahulah nak ganti rugi macam mana. Macam yang
Ridza tengokla, pakcik ni bukan orang yang berada.” Keluh Zamri sambil berhenti
menyuap nasi ke mulut.
“Takpelah pakcik, pakcik dah sanggup
nak jaga saya yang sakit ni pun dah cukup bertuah. Kalau pakcik lari tinggalkan
saya masa tu, tak tahula apa jadi pada saya. Pasal motor saya tu, pakcik tak
payahla risau, saya ada insurans..nanti boleh claim.” Sahut Ridza.
Zamri hanya tersenyum mendengarkan
kata-kata Ridza. Suapannya diteruskan tatkala hatinya lega dengan bicara anak
muda dihadapannya itu.
“Lepas makan ni berehatla. Kalau nak
apa-apa bagitahu je. Si Zaliya tu boleh tolong uruskan.” Sambung Zamri lagi.
Ridza hanya mampu tersenyum
menanggapi kata-kata lelaki dihadapannya itu. Baik sungguh. Sekurang-kurangnya
itulah pendapatnya sepanjang semalaman dia menghabiskan masanya disitu setelah
motosikal Kawasaki R6 miliknya dirempuh oleh kereta buruk lelaki yang dikenali
dengan nama Zamri itu.
Usai makan malam Zamri dilihatnya
sudah menghilang keluar rumah. Dia pula menapak masuk semula ke bilik yang
dihuni sejak dia datang ke situ sejurus dia dibawa untuk mendapatkan rawatan di
klinik kesihatan yang berhampiran. Untunglah lukanya itu tidak parah. Jika
tidak susah juga dia mahu tinggal di situ lama-lama sementara menunggu kakinya
sembuh.
Ridza merenung jauh ke bumbung rumah
yang tidak bersyiling itu. Rumah yang cukup lusuh pada pengamatannya. Teringat
akan kedua-dua ibubapanya yang sedang berada di luar negara ketika itu. Dia
belum pun sempat hendak mengirimkan berita kepada ibu dan papanya tentang
kemalangan yang dia alami sementelah telefonnya hancur berkecai kerana insiden
tersebut. Ingin mengguna telefon milik keluarga Zamri; rumah itu pula yang
tiada telefon rumah. Penyudahnya dia terdampar di rumah lelaki itu tanpa dapat
memaklumkan kemalangan yang menimpanya kepada ahli keluarga dan rakan
terdekatnya. Pasti sahaja tiada sesiapa yang merisaukan dirinya kerana memang
sudah biasa dia ‘menghilangkan’ diri apabila bersama-sama sahabat lain
menyertai ekspedisi kembara geng bermotosikal besar.
Dia cuba melelapkan matanya walaupun
dia tahu waktu masih awal untuk dia tidur; namun duduk tanpa berbuat apa-apa
begitu membuatkan dia rasa bosan. Puas matanya dipejam celik; cuba untuk tidur
walaupun mata tidak mengantuk namun dia gagal melelapkan mata. Pantas
ingatannya teraih kembali kepada peristiwa yang membawa dirinya disitu pada
ketika itu.
“Kau jalan la dulu. Aku ikut
belakang. Aku nak pergi buang air sekejap.” Kata Ridza sambil membuka glove kulit yang tersarung kemas
ditangannya.
“Okey jangan lambat sangat takut
jauh tertinggal ke belakang.” Sahut sahabatnya lalu menyarungkan helmet dan membetul-betulkan glove tangannya sebelum enjin
motosikalnya dihidupkan.
Ridza hanya mengangkat ibu jari
tanda faham dengan kata-kata sahabatnya itu. Sejurus sahabatnya berlalu dia
bergegas ke tandas yang tersedia di hentian rehat itu.
Ridza lurutkan rambutnya perlahan-lahan.
Ingatannya mati. Andai Kamarul menunggunya pagi tadi; tentu dia tidak akan menumpang
di rumah Zamri. Tentu sahaja dia sudah baring selesa di atas katil empuk di
mana-mana hotel yang dia sewa. Ridza mengeluh seketika.
Jauh termenung; Ridza tersentak.
Ketukan bertalu-talu di muka pintu mengejutkan dia dari menungan jauh. Ridza
bingkas bangun dari perbaringan. Dia berjalan perlahan lantaran sakit di
kakinya masih terasa. Sejurus tiba di pintu bilik; dikuak pintu yang diperbuat
dari playwood nipis itu.
“Ayah suruh bagi ni pada abang
Ridza.” Kata Zaliya seraya menghulurkan selimut yang sedikit lusuh ke arah
Ridza.
“Terima kasih.” Sambut Ridza sambil
memandang wajah Zaliya yang tunduk. Tidak jelas kerana terlindung dengan awning
tudung yang tersemat kemas sejak pertama kali dia melihat gadis itu seawal tiba
tadi. Tingkah anak gadis Zamri yang terkocoh-kocoh dalam gabra itu dilihat
penuh minat. Hairan dengan perilaku gadis itu. Namun perkataan ‘abang’ yang
meluncur laju dari bibir gadis itu menarik perhatiannya. Agaknya begitulah adat di kampung; cara hormat untuk
memanggil orang adalah dengan memanggil dengan cara yang begitu. Kalau dibandar
pasti sahaja panggilan ‘encik’ yang digunakan. Tanpa sedar Ridza tersenyum
sendiri.
Langkah Ridza
mati di anak tangga yang memisahkan ruang dapur yang menempatkan bilik air
dengan ruang tamu. Dialog anak dan ayah itu cukup menarik perhatiannya. Dia
hanya berdiri statik; cuba memasang anak telinga sambil mendengar apa yang
sedang diperkatakan oleh kedua-duanya.
“Pastikan keperluan dia cukup. Kalau
aku tahu ada yang kurang siap kau!.” Keras bahasa yang digunakan Zamri
kedengaran di telinga Ridza.
“Apa yang dia nak; kau sediakan.
Bukan senang nak jaga hati dia terutama lepas aku dah rosakkan motor dia. Duit
aku bukannya banyak nak ganti rugi harta dia. Kalau kau tak puaskan hati dia;
aku jual kau buat ganti rugi bayar pada dia!.”
Terpempan Ridza dengan suara kasar
yang dijamah telinganya. Tiada balasan kata dari gadis yang bernama Zaliya itu.
Dari pengamatannya semalam hubungan bapa dan anak itu tidak pula dia tahu
setegang itu kerana dia lihat Zaliya hanya melakukan kerja-kerja yang
sewajarnya dilakukan oleh anak kepada bapa. Menyediakan keperluan dan menjaga
hal ehwal rumahtangga. Memang sudah adatnya kehidupan gadis kampung begitu.
Melakukan kerja-kerja rumah setelah kematian ibu. Itu telahan Ridza kerana dia
tidak terlihat kelibat wanita yang digelar ‘ibu’ dalam rumah itu. Seketika
kemudian Ridza kembali teringat. Zaliya yang kelihatan takut-takut semasa
melayaninya semalam bukan takut kepadanya tetapi takut kepada Zamri. Mendengar
sahaja suara keras Zamri cukup memberitahunya yang hubungan Zaliya dan bapanya
tidaklah semesra yang disangka.
Rumput-rumput pendek
yang tumbuh meliar di atas kubur ibunya dicabut berhati-hati. Rasa kasih dan
sayang yang masih bersisa buat ibunya itu membuatkan dia seolah-olah
mencurahkan kasih sayangnya kepada kubur ibunya itu. Zaliya duduk bertimpuh;
surah yassin dari paper bag yang
dijinjing tadi dikeluarkan. Dia kemudiaannya membacakan surah yassin untuk
disedekahkan kepada arwah ibunya. Sejurus mengaminkan bacaan; Zaliya bangun
dari duduknya. Langkahnya dihayun kembali menuju ke rumah.
Tatkala langkahnya maju ke halaman
rumah; dilihatnya Ridza sedang duduk berehat dipangkin di sudut kiri halaman
yang luas itu. Pangkin yang dibina arwah bapanya semasa hidup dulu. Pangkin
untuk merehatkan lelah dan kadangkala tempat untuk dia bersantai waktu petang
sambil menikmati buat jambu air yang dicecah dengan kicap yang dicampur gula;
beberapa biji lada dan sedikit belacan. Manisnya kenangan sewaktu bapa; ibu dan
dia hidup sekeluarga. Manis yang telah tawar sejak kedua-duanya pergi
meninggalkan dirinya bersama bapa tiri dan seorang abang tiri. Tanpa sedar
Zaliya mengeluh. Keluhan yang menarik perhatian Ridza yang sudah menyedari
kepulangan gadis itu beberapa minit yang lalu.
“Boleh buatkan saya kopi?” tiba-tiba
Ridza bertanya dan dalam masa yang sama dia berniat menegur.
Zaliya hanya memandang sekilas
kepada lelaki itu. Tidak lama kemudian dia mengangguk tanpa suara.
“Terima kasih.” Ucap Ridza walaupun
dia tahu ucapannya itu umpama angin yang menyapa sahaja. Gadis itu tidak
mungkin akan membalas kata-katanya. Sejak awal bertemu dengan gadis itu hanya
sekali Zaliya menegurnya iaitu ketika menawarkan dia selimut malam pertama dia
bermalam di situ. Selepas itu tiada lagi kata-kata yang diluah gadis itu untuknya.
Bagi Ridza; kelainan pada tingkah
Zaliya itu memang menarik perhatiaannya kerana sepanjang dia hidup; Zaliya
wanita pertama yang dilihat sedingin itu. Dia belum pernah bertemu barang
seorang.
“Esok pukul 10 pagi pastikan
kau pakai baju yang aku beli tu. Umar nak datang tengok kau.” Beritahu Zamri
kasar. Sudah terlupa yang dalam rumahnya itu ada tetamu lain. Tetamu yang tidak
tahu hujung pangkal hubungannya dengan Zaliya; anak tirinya.
Zaliya membalas pandangan tajam bapa
tirinya itu. Sejak ibunya meninggal empat bulan yang lalu. Zamri tidak
putus-putus menyeksa hati dan perasaannya. Kalau masa ibunya masih hidup dahulu
pandai sahaja lelaki itu menyembunyikan marahnya. Tapi kini; bila dia
kehilangan ibu; Zamri pula bertindak mengambil alih tanggungjawab itu tetapi
apa yang menjengkelkan; bapa tirinya itu bukannya mementingkan kebahagian
dirinya tetapi keuntungan diri sendiri.
“Liya dah bagitahu ayah; Liya tak
pernah setuju untuk ditunangkan dengan pakcik Umar; apatah lagi berkahwin
dengan dia.” Balas Zaliya berani. Sebal dengan tindakan Zamri yang cuba
menjodohkannya dengan lelaki yang sudah melepasi separuh abad; yang layak
digelar bapanya. Memandang Umar sahaja sudah membuatkan dia benci; apatah lagi
diikat dengan lelaki itu dengan ikatan pertunangan; ikatan perkahwinan. Dia
tambah tidak rela. Mengenangkan sikap Umar yang gatal dan miang. Membuatkan dia
ngeri membayangkan masa depannya dengan lelaki tua tidak sedar diri itu.
Pang! Tangan kasar Zamri naik ke
pipi Zaliya.
“Kau jangan kurang ajar! Untung aku
masih simpan kau dalam rumah ni. Ikutkan hati aku; nak je aku jual kau pada
Umar tu. Kahwin atau tak bukan masalah aku. Yang penting dia dapat apa yang dia
nak; aku dapat apa yang aku nak.” Balas Zamri lantang. Memang pantang bila-bila
kata-katanya disanggah Zaliya. Kadang-kadang pelik juga; selepas berkali-kali
‘makan’ penamparnya; Zaliya masih berani mahu berlawan kata dengannya.
“Siapa ayah mahu tentukan masa depan
Liya?. Liya kata Liya tak setuju maknanya Liya tak kan pernah setuju. Hidup
Liya biar Liya yang tentukan!.” Balas Zaliya lantang. Berhadapan dengan sikap
Zamri yang cepat naik tangan membuatkan sabarnya turut hilang. Kalau hanya
herdikan mungkin hatinya itu bisa kecut namun membiarkan lelaki itu
terus-terusan mengasarinya begitu; dia tidak betah biarkan sahaja.
Zamri yang berang dengan balasan
kata Zaliya menaikkan tangannya untuk kali yang kedua. Pantas ingin dihayunkan
kuat ke wajah Zaliya. Sementara Zaliya sudah menutup rapat matanya; bersedia
menerima ‘habuan’ untuk kali yang kedua. Andai melawan dia tahu dia tidak akan
pernah menang. Tenaganya mana standing dengan tenaga Zamri yang berkali-kali
ganda kuatnya.
Namun penampar Zamri tidak sampai
mencecah ke pipinya. Zaliya buka kembali matanya. Adakah Zamri tidak jadi
menampar pipinya?. Sejurus matanya terbuka; Zaliya tersentak. Tubuh Ridza sudah
berdiri di sebelah Zamri dengan tangannya menahan tangan Zamri dari menyentuh
pipi Zaliya.
“Saya rasa pakcik ni dah
berlebihan.” Kata Ridza tenang sambil memandang tepat ke wajah Zamri yang merah
padam menahan marah.
“Kau orang luar; jangan masuk campur
urusan rumah tangga aku!.” Tegas Zamri kasar.
“Kalau pakcik dah sampai pukul-pukul
anak macam ni; saya tak boleh biarkan. Walaupun anak pakcik bersalah; takkan
sampai naik tangan.” Ujar Ridza sambil memegang kemas tangan Zamri yang masih
kuat mahu meneruskan niatnya. Namun tenaga tua itu tidak mampu melawan tenaga
mudanya.
“Anak aku; ikut suka aku nak buat
apa!.” Balas Zamri kemudiaannya. Tangannya itu kemudiaannya dikendurkan setelah
dia pasti dia tidak mampu melawan kudrat lelaki muda dihadapannya itu.
“Liya bukan anak ayah!” Balas Zaliya
pula. Benar; dia bukan anak lelaki itu. Panggilan ‘ayah’ yang meniti dibibirnya
itu hanyalah penzahiran kepada rasa hormatnya kepada lelaki yang mengahwini
ibunya selepas kematian bapanya sahaja. Tidak lebih dari itu.
Zamri mengetap bibir. Marah dan
geram menjadi satu. Andai tiada Ridza di situ pasti sudah dibelasah lembik
tubuh Zaliya sehingga anak tirinya itu menangis sendu; sehingga anak tirinya
itu terjelepuk lesu!.
Zamri segera beredar; tahu yang dia
tidak akan mampu melawan tenaga muda Ridza. Hilang sudah bahasa sopannya
melayani lelaki itu sebelum ini. Entah kenapa dia boleh terlupa yang ada orang
asing di rumahnya sehingga dia terlanjur memarahi Zaliya. Andai dia lebih
berhati-hati sudah tentu Ridza tidak akan pernah tahu tentang perkara itu.
Ridza palingkan wajahnya memandang
wajah Zaliya sejurus Zamri menghilang.
“Zaliya okey?” Soal Ridza dengan
wajah serius.
“Saya boleh jaga diri sendiri.” Jawab
Zaliya senada. Dia tidak perlukan Ridza sebagai penyelamatnya. Apa sangatlah
yang boleh lelaki itu lakukan. Hanya orang luar yang singgah buat sementara
waktu. Ketika itu mungkin dia selamat dari amarah Zamri namun selepas Ridza
pulang ke tempat asalnya dia yakin dan pasti bapa tirinya itu akan lebih teruk
mengasarinya. Untuk seketika dia berasa marah pula dengan campur tangan lelaki
itu. Dia bukan tidak bersyukur dengan pertolongan lelaki itu cuma dia rasakan
yang dia tidak perlukan bantuan sesiapa untuk membela dirinya. Dia sendiri kuat
menanggapi sikap bapa tirinya. Biar dipukul lembik sekalipun dia sudah biasa.
Tubuhnya itu sudah kebas dengan rasa sakit dek kerana hatinya itu lebih sakit
daripada kesakitan fizikal yang dia rasai.
“Smart
respond..” Sindir Ridza perlahan; benar-benar pasti yang Zaliya tidak faham
dengan bahasanya. Terkejut dengan reaksi gadis itu. Sangkanya Zaliya akan
berterima kasih kepadanya. Nyata telahannya silap. Zaliya yang nampak lembut
dan takut-takut itu sebenarnya keras hati dan sombong. Itu kata hati Ridza
selepas Zaliya membalas kata-katanya sebentar tadi. Dia hanya berniat baik dan
bersopan. Tidak sangka pula reaksi Zaliya sedingin itu.
“Saya naik dulu.” Kata Ridza
kemudiaannya sejurus dia sedar yang kehadirannya tidak membantu Zaliya
sedikitpun. Malas melayani sikap sombong perempuan macam Zaliya. Yang merasakan
diri sendiri kuat tapi sebenarnya lemah.
“Abang cuba buat apa ni?” Kuat
suara Zaliya memarahi lelaki yang semakin mara ke arahnya itu.
“Ayah takde; ibu kau pun takde.
Sekarang tinggal aku dengan kau aje; aku nak buat apa-apapun boleh.” Kata
Amirul dengan senyum sinis yang tersungging di bibir. Bukan senang dia mahu
menunggu waktu emas begitu. Zaliya bersendirian di rumah. Sudah lama dia
perhatikan adik tirinya itu. Nafsunya bergolak hebat saat terpandangkan tubuh
Zaliya. Apatah lagi apabila teringat yang dia sering menghendap anak gadis ibu
tirinya itu mandi berkemban. Bertambah berkocak hebat nalurinya. Peluang
keemasan begitu jarang-jarang hadir. Ayahnya tiada di rumah. Dia yang kebetulan
baru pulang dari bandar yang sedar akan peluang yang terentang di depan mata
itu tidak mungkin akan melepaskan peluang itu berlalu begitu sahaja. Bodohlah
kalau dia lepaskan benda yang terhidang di depan mata!.
“Abang jangan cuba buat benda tak
senonoh . Liya adik abang..” tegas Zaliya mengingatkan.
“Adik tiri; bukan adik kandung aku.”
Balas Amirul sinis. Dia tambah mendekat saat Zaliya menjarakkan tubuh mereka.
Zaliya sudah mulai cuak; saat itu
dia teringatkan Ridza. Kenapa Ridza tidak keluar? Mustahil lelaki itu tidak
terdengar suaranya yang kuat sebentar tadi. Saat itu barulah dia sedar yang dia
amat-amat memerlukan bantuan lelaki itu dalam menanggapi sikap gila abang
tirinya itu. Terasa kesal pula kerana bereaksi dingin terhadap pertolongan
lelaki itu siang tadi.
Zaliya tersentak saat tubuhnya
ditolak kasar ke dinding; sementara Amirul pula sudah berdiri dekat dengan
tubuhnya. Terlalu dekat sehingga tubuh mereka bersentuhan. Situasi yang
menambah debar dan takut dalam hati Zaliya.
“Abang!.” Jerit Zaliya kuat apabila
tangan Amirul sudah merayap ke dadanya. Turun naik dadanya menahan tangis yang
baru menyerbu tiba. Kedua-dua tangannya pantas dilekapkan ke dada Amirul. Cuba
menolak sekuat yang mungkin namun sedikitpun tubuh Amirul tidak berganjak.
Malah lelaki itu makin galak ketawa melihat tingkahnya.
“Aku akan pastikan malam ni kau jadi
milik aku.” Kata Amirul seraya mendekatkan wajahnya ke wajah Zaliya. Tudung
yang tersarung kemas direntap kasar. Kulit Zaliya yang cerah dibahagian leher
membuatkan nafasnya tidak sekata. Pantas didekatkan bibirnya ke leher Zaliya.
Zaliya kaku dalam kepungan Amirul. Apalah dayanya mahu melawan tenaga Amirul
yang nyata lebih kuat. Matanya dipejam rapat. Takut!. Namun sepantas itu juga
dia terasa tubuh Amirul tiba-tiba menjauh tiba-tiba. Zaliya bukakan matanya
untuk melihat apa yang sudah berlaku.
Amirul sudah terduduk di lantai dan
Ridza pula sudah berdiri diantara tubuhnya dengan tubuh Amirul.
“Bukan macam tu nak pikat
perempuan.” Sindir Ridza sambil memandang wajah Amirul yang sudah bengang.
“Dasar perempuan jalang; dalam diam
kau simpan lelaki dalam rumah. Berlagak suci tapi sebenarnya jual diri pada
lelaki yang entah dari mana ni!” Tutur Amirul seraya bangun berdiri. Matanya
mencerlung tajam memandang Ridza dan Zaliya bersilih ganti.
Zaliya yang baru berasa lega kembali
merasa marah. Dituduh dengan tuduhan begitu memang membuatkan hatinya berapi
marah.
“Berambus sebelum aku ubah fikiran.”
Ujar Ridza kemudiannya.
Amirul hanya memandang geram wajah
kedua-duanya. Jika tidak difikirkan tubuh Ridza yang jauh lebih tegap darinya
sudah pasti dia melawan lelaki dihadapannya itu tetapi dia sedar dan tahu dia
tidak mungkin akan menang andai berlawan dengan Ridza. Lantaran itu kakinya
diatur laju menuju ke pintu rumah.
Ridza kemudiannya berpaling
memandang Zaliya yang tegak berdiri. Seketika kemudian dia tersenyum sinis.
“Pandai jaga diri?...takla sekuat
mana pun kan?” Perli Ridza sambil memanah tepat ke wajah Zaliya yang jelas
masih tersisa dengan rasa takut.
Zaliya terpempan dengan sindiran
Ridza. Ucapan terima kasih yang berlegar-legar dalam kepalanya itu diluputkan.
Baru dia bercadang mahu berbahasa dengan Ridza; lelaki itu sudah terlebih
‘berbahasa’ dengannya.
“Pergi masuk bilik. Kunci pintu dan
tidur; sekali lagi dia datang cari kau; aku tak nak ambik peduli.” Arah Ridza
sambil berpaling dan berlalu semula ke biliknya.
Bumbung rumah
dipandang tidak berkelip. Tiada apa-apa yang menarik di rumah itu menyebabkan
dia hanya memaku pandangan pada bumbung kosong bilik itu. Dalam satu hari itu
sahaja ada dua perkara yang tidak pernah dia jangka sudah berlaku. Tidak pernah
menyangka rumah yang dilihat tenang beberapa hari yang lalu berubah menjadi
tunggang terbalik. Teringat kata-kata sahabatnya seketika dahulu. Di sebalik
pintu yang tertutup; tiada siapa yang tahu apa yang berlaku di dalamnya. Ridza
mengeluh perlahan. Kedua-dua kejadian tadi menyebabkan dia tidak betah lagi
berlama di situ. Dia hanya orang luar yang tanpa sengaja terlibat dalam kerumitan
penghuni rumah. Sungguh dia tidak pernah menyangka perkara seperti itu akan
berlaku. Andai dia tahu; sudah pasti dia menolak keras perlawaan Zamri yang
kelihatan sopan sewaktu awal pertemuan mereka.
Bibir Ridza tiba-tiba tersenyum
tanpa sedar; teringatkan wajah Zaliya yang ketakutan saat hampir dinodai
sebentar tadi. Pada awalnya memang dia berniat mendiamkan diri sahaja. Teringat
akan sikap dingin Zaliya ketika dibantu pada siang tadi menyebabkan dia malas
mahu keluar melihat apa yang berlaku. Namun apabila dia rasakan Zaliya
benar-benar perlukan bantuan; dia buang egonya ke tepi. Dia sanggup melangkah
keluar untuk melihat apa yang berlaku.
‘Nasib baikla aku ada. Kalau takde;
masakla kau kena rogol.” Bisik Ridza perlahan. Entah kenapa ketakutan pada
wajah Zaliya mencuit hatinya. Ridza tersenyum lagi. Entah apa-apa sahaja. Lama
berfikir tentang kejadian itu dia terlena sendiri.
Zaliya tidak
mampu melawan saat tubuhnya ditarik kasar menuju ke biliknya. Tenaga kuat Zamri
menyebabkan dia tidak mampu untuk membantah perbuatan bapa tirinya itu.
“Kau tukar baju tu sekarang atau aku
yang akan tukarkan untuk kau.” Lantang suara Zamri memecah sunyi rumah.
Untunglah rumah mereka jauh dari rumah-rumah lain. Jika tidak pasti sahaja
semua orang kampung dengar suaranya yang melengking itu.
“Cepat!” Arah Zamri kuat.
Zaliya jatuh terjelepuk di lantai
rumah. Sakit pada bahagian lengannya seolah-olah hilang apabila wajah bengis
Zamri disapa matanya. Zaliya bingkas bangun lalu berdiri. Dia berjalan perlahan
menuju ke almari lama yang terletak di hujung bilik. Sudah hilang malunya
terhadap Ridza; tetamu yang masih lagi menumpang di rumah mereka. Ridza sendiri
sudah menjadi saksi kepada semua itu; untuk apa lagi dia malu. Zamri juga
seolah-olah tidak ambil pusing akan Ridza lagi. Mungkin sahaja takut untuk
mengganti rugi harga motosikal Ridza yang rosak. Lantaran itu dia masih
membiarkan Ridza tinggal di rumahnya.
Zaliya berjalan menuju ke arah
pintu. Pintu bilik ingin ditutup segera namun sempat tangan bapa tirinya menahan.
“Liya nak pakai baju.” Kata Zaliya
seraya terus menutup pintu. Membiarkan Zamri di luar biliknya.
Sementara Zamri mengerling jam buruk
di dinding rumahnya. Ada lagi satu jam sebelum Umar datang. Datang meminang
Zaliya. Namun tiada rombongan; hanya lelaki itu seorang dan Zamri masih tidak
mahu ketinggalan menghias anak tirinya itu; bimbang Umar berubah hati pula.
Tambahan pula dia sudah banyak berhutang dengan Umar. Dan Umar juga pernah
berjanji akan memberi dia wang tambahan sekiranya dia bersetuju menikahkan
Zaliya dengan lelaki tua itu. Dia bukannya kisahkan sangat tentang pertunangan
itu cuma dia mahukan wang yang dijanjikan oleh lelaki itu sahaja. Zamri
tersenyum manis. Membayangkan ganjaran yang bakal diterima. Umpama menjual anak
pula dia rasakan.
Sejam berlalu tanpa disedari. Zamri membuka pintu
rumah apabila terdengar ada orang yang memberi salam. Sejurus dia membuka pintu
kelihatan Umar sudah tegak berdiri di hadapan tangga rumahnya. Bibir lelaki itu
turut tersungging senyuman.
“Jemput naik.” Zamri berbasa basi
menjemput tetamunya masuk.
Sejurus naik ke rumah Zamri; Umar
labuhkan punggungnya ke sofa rotan di sudut ruang tamu. Matanya kemudiaannya
meliar ke segenap penjuru rumah. Mencari-cari kelibat Zaliya.
Sementara Zamri sudah berjalan
menuju ke bilik Zaliya. Pintu bilik gadis itu diketuk kasar namun senyap tiada
jawapan dari Zaliya.
“Kalau kau tak bukak pintu ni aku
rempuh masuk.” Ugut Zamri keras. Suaranya itu dikawal sebaik mungkin; bimbang
Umar terdengar pula.
Mendengarkan amaran Zamri; Zaliya
pantas membuka pintu namun dia masih lagi berpakaian sama; lansung tidak
menukar pakaian yang diminta oleh bapa tirinya itu.
“Liya tak nak jumpa orang tua tu.”
Kata Zaliya berani. Dia menentang mata tajam Zamri.
Sementara Zamri sudah naik hantu.
Wajahnya merah padam menahan marah. Sepantas kilat tangan Zaliya dicengkam
kemas. Lalu tubuh Zaliya di heret ke ruang tamu dalam keadaan gadis itu
meronta-ronta supaya dilepaskan. Terus ke hadapan Umar yang terpinga-pinga
melihat tingkah dirinya dan Zamri.
“Liya tak nak kahwin dengan orang
tua kutuk ni!.” Kata Zaliya kuat. Wajah Umar yang dipenuhi jambang di pandang
jelik. Perut buncit lelaki itu membuatkan dia tambah tidak suka. Orang tua
gatal yang tak sedar diri!. Zaliya menyumpah dalam hati. Dia tidak rela
bersuamikan lelaki tua begitu. Yang tidak tahu hukum hakam agama; yang tidak
sedar diri!.
Umar yang terperanjat dengan bicara
Zaliya pantas bangun dari duduknya. Dia memandang Zamri memohon penjelasan.
“Apa ni Zam; kau kata semuanya
ok..sekarang apa cerita?” Soal Umar dengan mata mencerlung tajam memandang Zamri.
Sementara Ridza yang jauh mengelamun
sendirian di dalam bilik tersentak.
‘Apa lagi ni..’ Keluhnya dalam
hatinya.
“Tak habis-habis!” tuturnya perlahan
lalu bingkas bangun dari perbaringannya.
“Maafkan aku Umar; budak ni yang
degil sangat…” Jawab Zamri gugup.
“habis tu sekarang macam mana?” Soal
Umar kemudiaanya.
“Aku serahkan dia pada kau; duit
hantaran tu tak perlu bagi aku lagi.” Sahut Zamri cepat-cepat.
Zaliya yang mendengarkan bicara
Zamri mencerlung mata memandang bapa tirinya itu. Marah!. Sikap Zamri yang
membuat keputusan bagi pihaknya memang membuatkan dia berang. Siapa Zamri untuk
menyerahkan dia begitu sahaja kepada lelaki yang dia tidak rela.
“Liya tak nak!” Kata Zaliya keras.
Tangannya yang dipaut Zamri direntap kasar.
“Nak atau tak; kau kena ikut dia!.”
Jawab Zamri juga dalam nada keras.
“Liya tak nak!.” Ronta Zaliya lagi.
Pang!
Zaliya terasa wajahnya pedih namun
yang lebih pedih ialah hatinya itu.
“Aku dah cagar kau pada dia; nak
atau tak kau kena ikut dia.” Balas Zamri kasar.
Terkesima Zaliya dengan kata-kata
Zamri. Tanpa sedar dia jatuh terduduk dan longlai dan seketika kemudian dia
menangis teresak-esak. Tergamak bapa tirinya mencagar dirinya. Dia bukan
barangan tapi manusia yang ada hati dan perasaan.
Zaliya terkejut saat lengannya di
raih supaya bangun. Dia buang pandang pada wajah Umar yang tersenyum sumbing.
Hatinya jadi sakit dan marah dalam masa yang sama.
“Lepas!.” Jerit Zaliya kasar. Tangan
kasar Umar ditepis kuat namun lelaki itu masih kemas memegang lengannya.
Ridza yang sedari tadi menjadi
pemerhati berjalan laju menuju ke arah keriuhan itu. Pantas tangan kasar Umar
di tangkap lalu di rungkai dari memegang Zaliya.
“Apa la yang tak kena dengan
keluarga ni?” Soalnya lalu menolak tubuh Umar menjauh sehingga menyebabkan Umar
tersentak.
“Pakcik ni dah takde rasa malu
ke…anak sendiri cagar pada orang?” Tambah Ridza sambil memandang tepat ke wajah
Zamri.
“Kalau saya buat report ni pakcik berdua ni boleh masuk
lokap.” Ridza sambung berbicara.
Terdiam Zamri dan Umar saat
terdengarkan perkataan lokap. Takut dan bimbang bergabung menjadi satu. Umar
pula sudah mulai mengundur tubuh menghala ke arah pintu lalu terus keluar dari
rumah Zamri.
“Terima kasih atas layanan pakcik
pada saya. Saya rasa saya dah tak boleh tinggal di sini lagi. Saya tak nak
ambil tahu hal masalah keluarga pakcik. Cuma nasihat saya; jagalah anak pakcik
ni baik-baik. Tindakan pakcik ni menyalahi undang-undang; kalau anak pakcik ni
buat laporan; pakcik boleh kena tangkap.” Nasihat Ridza seraya berlalu ke
pintu. Dia nekad; dia tidak mahu masuk campur lagi apa jua ‘urusan’ rumahtangga
itu. Bukan masalah dia untuk ambil tahu. Dan dia juga tidak peduli sementelah
dia hanya orang luar. Keluarga itu juga bukan sesiapa untuk dia ambil peduli.
Namun belumpun sempat dia menuruni anak-anak tangga di beranda rumah terdengar
Zaliya bersuara.
“Tunggu…” Ridza berpaling semula ke
belakang. Zaliya dilihatnya sudah menghilang ke bilik.
“Tolong bawa saya sekali..” Sambung
Zaliya dengan penuh pengharapan. Tangan kirinya membimbit beg.
Zamri yang melihatkan perkara itu
bertambah berang. Tidak mungkin dia akan melepaskan Zaliya begitu sahaja.
Bagaimana dengan hutangnya yang tertunggak dengan Umar. Jika Zaliya pergi
bermakna dia terpaksa membayar hutang itu dengan wang dan dia pula tidak punyai
wang. Memang dia akui dia takut dengan amaran Ridza; namun lelaki itu akan
pergi dari situ dan dia pula bebas untuk mempergunakan Zaliya sejurus lelaki
itu meninggalkan rumahnya.
Ridza yang pelik sudah mengerutkan
dahinya. Membawa anak dara orang?. Arghh…dia malas mahu ambil tahu;malas mahu
memikul tanggungjawab. Kenapalah dia harus tersepit dalam kemelut keluarga
itu?; bisiknya dalam hati.
“Kau gila!. Entah jantan mana pun
kau nak ikut.” Marah Zamri kuat.
Zaliya tidak mempedulikan kata-kata
Zamri sebaliknya dia memandang Ridza dengan wajah penuh berharap. Berharap
lelaki itu membawa dia pergi dari kekejaman Zamri. Dia tidak peduli; biarlah
dia menanggung risiko itu daripada dia bertahan dalam rumah itu dan berhadapan
dengan sikap gila bapa dan abang tirinya.
“Maaf ; aku tak mahu masuk campur
urusan keluarga ni.” Balas Ridza selamba seraya meneruskan langkah.
“Tolonglah.” Zaliya terus berlari ke
hadapan Ridza. Merayu kepada lelaki itu.
“Ini hal keluarga kau. Aku tak
peduli.” Kata Ridza pendek. Dia meneruskan langkah walaupun tubuh Zaliya
menghalang.
“Tolonglah saya; bawa saya sampai
bandar je. Nanti saya cari haluan sendiri.” Rayu Zaliya lagi. Dia hanya mahu ikut
lelaki itu keluar dari kampung itu. Selebihnya dia akan cari jalannya sendiri.
Zamri yang sedari tadi naik berang
terus melangkah ke arah kedua-duanya. Tangan Zaliya direntap kasar. Ditarik
supaya mengikut langkahnya.
“Tolonglah….” Rayu Zaliya lagi.
Wajah Ridza ditatap penuh harap.
Ridza mengeluh nafas. Geram! Kenapa
dia boleh terlibat dengan semua tu.
“Saya rasa elok pakcik lepaskan
dia.” Kata Ridza seraya membuang pandang ke arah Zamri.
“Kau jangan masuk campur hal
keluarga aku. Kau boleh berambus sekarang!.” Jerkah Zamri kuat.
“Pakcik nak selesaikan hal ni cara
baik atau cara kasar. Kalau setakat badan macam pakcik; saya bagi sekali pun dah cukup. Sampai esok
pagi pakcik tak sedar.” Ugut Ridza namun nadanya tetap tenang.
Zamri terkejut. Ugutan Ridza
membuatkan dia mula rasa takut. Memandang tubuh tegap lelaki muda itu
membuatkan dia cuak. Memang benar kata-kata Ridza; hanya dengan satu tumbukan
padu sahaja pasti akan membuatkan dia pengsan. Memikirkan tentang itu; tangan
Zaliya dilepaskan perlahan-lahan.
Zaliya pantas menjauhkan tubuhnya
dengan Zamri. Dia mendekati Ridza yang sudah berada di beranda rumah.
“Terima kasih.” Ucap Zaliya
perlahan.
“Tiada yang percuma dalam dunia
sekarang.” Balas Ridza seraya menapak menuruni anak-anak tangga kayu. Baju
abang tiri Zaliya yang tersarung ditubuhnya di bawa sekali. Dia meninggalkan
rumah itu sehelai sepinggang. Untunglah walletnya
‘selamat’ dalam kemalangan kecil itu. Jika tidak terpaksalah dia meminta
sedekah daripada orang untuk keluar dari kampung itu. Untung juga luka di
kakinya sudah sembuh; jika tidak dia masih lagi terperangkap di situ.
“Di mana ada transport nak keluar dari kampung ni?” Soalan Ridza menghambur
pergi pemikiran Zaliya yang hanyut dengan kata-kata lelaki itu sebentar tadi.
“Kena jalan 500 meter sampai hujung
sana; di situ ada bas untuk ke pekan.” Jawab Zaliya sambil menuding jari ke
arah sebelah kanannya.
“Alamat ni
jauh sangat encik. Sampai Kuala Lumpur. Saya tak pergi tempat-tempat jauh macam
tu. Kalau kawasan-kawasan sini je boleh la.” Kata pemandu teksi itu senada.
“Kalau abang hantar; saya bayar
berapa je yang abang minta. Kalau pasal jalanraya; saya boleh tunjukkan kalau
abang tak tahu.” Balas Ridza. Wang bukanlah masalah baginya. Dia sanggup
membayar berapa sahaja; asalkan pemandu teksi itu bersetuju.
“Baiklah.” Dalam berat hati lelaki
itu bersetuju. Melihatkan wajah Zaliya yang penuh berharap membuatkan dia tidak
sampai hati ingin menolak permintaan Ridza.
Sejam berlalu; Ridza toleh ke
belakang. Dilihatnya Zaliya sudah terlena di kerusi belakang.
“Isteri?.” Soal Pemandu teksi itu
ramah.
Ridza hanya menggeleng perlahan.
Tidak mengiakan tetapi dalam masa yang sama; dia juga tidak mahu menerang siapa
gadis yang mengikutnya itu. Daripada menipu; lebih baik berdiam diri. Itu
prinsipnya.
Matanya digosok-gosok
perlahan. Zaliya buang pandang keluar dari tingkap teksi. Yang tertangkap
matanya hanyalah bangunan-bangunan tinggi yang besar dengan pelbagai bentuk.
“Kita dah sampai ke?” Soal Zaliya.
Seingatnya seawall bertolak tadi dia sudah terlelap. Apabila terjaga; dia sudah
ternampak bangunan-bangunan tinggi.
Ridza keluar sejurus menghulurkan
wang kepada pemandu teksi tanpa menjawab soalan Zaliya terlebih dahulu.
Sementara Zaliya yang masih terpinga-pinga turut keluar.
“Saya nak sembahyang Asar dulu.”
Kata Zaliya tiba-tiba.
Ridza berhenti melangkah untuk
seketika.
“Aku bawa pergi masjid.” Balas Ridza
tanpa menoleh ke arah Zaliya yang berada di belakangnya. Dia kemudiannya
meneruskan langkah.
“Aku tunggu sini.” Kata Ridza
sejurus tiba dihadapan masjid. Tiada niat dia mahu turut serta.
Zaliya hanya mengangguk. Walaupun
terdetik pelik kerana Ridza tidak turut serta namun didiamkan sahaja rasa
hairannya itu. Untuk bertanya lanjut dia tidak berani. Untung lelaki itu mahu membantunya
‘lari’. Jika tidak pasti dia masih terperangkap di rumah Zamri.
Zaliya menaiki tangga menuju ke
tingkat atas masjid sejurus mengambil air sembahyang. Beg bajunya di letakkan
di dinding bahagian belakang masjid. Dia kemudiaannya menyarungkan telekung
lalu membentangkan sejadah. Rasa terlalu berdosa kerana telah meninggalkan
solat Zuhur kerana kekecohan di rumah Zamri pagi tadi.
Sejurus selesai menunaikan
tanggungjawabnya; Zaliya berjalan ke arah yang menempatkan beg bajunya namun
dia terkejut apabila melihat beg bajunya itu sudah terbuka zipnya. Pantas
tangannya mencari-cari dompetnya. Apabila diraih dompet itu; Zaliya bersegera
membukanya.
Terpempan Zaliya saat melihatkan
duit yang sekian lama disimpan dalam dompet itu tiada. Lansung tiada. Yang
tinggal hanyalah kad pengenalan diri dan beberapa kad-kad lain yang tidak
berapa penting. Zaliya terduduk. Siapalah yang tergamak sekali mencuri duitnya
dalam tempat suci begini. Dia tidak pernah menyangka di tempat begitu juga
masih ada lagi yang berani berbuat jahat. Terlalu naïf sehingga dia tidak tahu
yang manusia ini ragamnya pelbagai. Berbuat jahat tidak menunggu masa; tidak
mengira tempat.
Zaliya bungkam seketika. Bagaimana
dia mahu mencari Ika; sahabatnya yang ada tinggal di Kuala Lumpur itu sedangkan
semua wangnya habis dicuri orang. Buntu dia berfikir. Namun dia gagahkan jua
kakinya melangkah menuju ke tempat Ridza menunggunya. Untuk berpatah balik; dia
sudah pun membulat tekad.
“Kenapa lambat sangat?” Soal Ridza
tidak senang. Dia sudah tidak mahu ‘mengangkut anak dara orang ke sana ke
mari’. Dia cuma nak pulang ke rumahnya.
Zaliya hanya diam. Tidak tahu
bagaimana dia mahu berkata-kata. Fikirannya itu buntu. Duitnya hilang.
“Aku nak balik dah ni. Ada apa-apa
lagi tak?” Soal Ridza senada. Mahu segera meninggalkan Zaliya. Teringat
kata-kata Zaliya semasa di rumah Zamri; dia pasti Zaliya boleh menjaga diri
sendiri.
“Duit saya kena curi.” Kata Zaliya
tiba-tiba. Terpaksa berterus terang walaupun mulutnya terasa berat.
Ridza sudah mengangkat kening tanda
pelik. Seketika kemudian; dia mendengus kasar.
“Kau letak kat mana sembahyang
tadi?” Soalnya kasar.
“Kat belakang. Tapi saya sembahyang
kat depan.” Akui Zaliya setelah menyedari kekhilafan dirinya sendiri.
“Itulah naïf sangat! Ingat manusia
ni semuanya baik ke. Pergi masjid tak semestinya nak sembahyang.” Sindir Ridza
geram. Dia kemudiannya mengeluarkan dompetnya untuk mengeluarkan wang untuk
diberikan kepada Zaliya.
Zaliya hanya tunduk dalam diam.
Seketika kemudian terdengar Ridza mengeluh perlahan. Zaliya angkat kepalanya
memerhatikan lelaki itu. Hairan dengan keluhan yang ditangkap oleh telinganya.
“Duit aku pun dah habis. Tinggal
cukup-cukup aku nak buat bekal balik je.” Rungut Ridza sambil membelek-belek
kad-kad dalam dompetnya pula. Baru dia teringat yang dia membayar sejumlah wang
yang banyak kepada pemandu teksi tadi. Sebagai penghargaan kerana lelaki itu
sanggup bersusah payah menghantarnya sehingga sampai ke Kuala Lumpur. Teringat
pula dia akan penolakan pemandu teksi kerana jumlahnya terlalu banyak. Namun
dia sendiri yang berkeras mahukan lelaki itu ambil. Kini dia pula menyesali
tindakannya itu kerana terperangkap dalam masalah Zaliya.
Ridza belek sekali lagi compartment walletnya namun dia tidak
terjumpa pula kad-kad ATM; yang ada hanyalah kad kredit dan kad debit sahaja.
“Maaf; aku tak dapat nak tolong
kau.” Kata Ridza serius. Dia berpaling untuk berlalu.
“Tolonglah. Macam mana saya nak cari
kawan saya kalau saya takde duit; tolong bagi saya ikut awak.” Rayu Zaliya tiba-tiba.
Ridza tersenyum sinis.
“Hari tu kata hebat sangat. Boleh
jaga diri sendiri. Sekarang dah merayu-rayu kat aku.” Sindir Ridza.
“Tolonglah; saya takde tempat nak
tuju. Tolong bawa saya sekali.” Rayu Zaliya sekali lagi. Tidak peduli dengan
egonya. Memikirkan nasibnya; dia tidak mahu bertaruh.
“Bawa sekali?. Mana aku nak simpan
kau?” Soalnya dalam nada menyindir.
“Tolonglah saya. Awak boleh tolong
carikan kerja; tempat untuk saya tinggal.” Jawab Zaliya lagi. Hilang sudah
panggilan abang di bibirnya. Mungkin juga kerana Ridza sendiri membahasakan
diri dengan kata ganti diri ‘aku-kau’ sahaja.
“Kerja?. Kerja apa yang kau boleh
buat?” Sinis lagi nada pertanyaan Ridza.
“Apa-apa kerja; asalkan halal.”
Sambut Zaliya serius. Berharap sangat Ridza boleh membantunya.
Ridza diam sejenak. Dia kemudiannya
tersenyum.
“Apa-apa kerja pun tak kisah?” Soal
Ridza inginkan kepastian.
“Selagi halal; saya akan lakukan.”
Tutur Zaliya mengiakan.
“Baik. Aku ada satu kerja untuk kau.
Kerja halal.” Balas Ridza. Bersetuju dengan permintaan Zaliya. Dalam kepalanya
sudah terencana sesuatu. KERJA HALAL ; memang ada satu untuk gadis dihadapannya
itu.
p/s-harap semua suka ngan cerita ni :)
best ! suka 2 . rsa2nya bla nk smbung pulak eh ? hehe !
ReplyDeleteSyokkkkkkkkkk....... Speechless karya sis tulip mmg best2....
ReplyDeleteBestttt...terujaaaaaa nk tauuuu n3 seterusnyaaa.....keep it up sis
ReplyDeleteNana
Menarik, tp mcm dah biasa kita tau cerita ayah tiri n abg tiri ni... ermmmmm, tp xpa.. ep nak tau gak cam ner jln cita dr akk lak...
ReplyDeleteAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA bestnyaaaaaa nk lagiiiiii!!!! citer ni best!
ReplyDeletewahhh!!
ReplyDeleteapekah??apekah??hee~
sgt2 suka la cik tulip citer niiiii..apa keje halal tu yer?
ReplyDeletelebih2 lg cik tulip janji nk abeskan kt blog
ni yg buat rajin nk follow nih
sambung la lagi
tq!!muah!!
Wah,baru eps dah best baca ni cik tulip...cepat2 sambung ya...
ReplyDeleteapa yang ada dlam minda Ridza , nak tolong biar IKHLAS
Delete--za--
kak,knp wtk lelaki ni mcm pentingkn diri sndiri je?nk tlg mcm tk ikhlas pulak tu....apa krja halal tu???hrp2 bkn krja haram dikatakn krja halal...huhu..kak cpt la smbng...klau dihabiskn di blog kiranya ni mini novel la akak??
ReplyDeleteMemang dah jatuh suka pon,,Menunggu entri yang akan datang,,
ReplyDeleteKERJA HALAL alamat kahwin lah ni ya cik tulip.. Nany
ReplyDeleteBest sangat-2.
ReplyDeletekerja halal tu agaknya jdi pembantu kat rumah Redza ke..kalo jdi org gaji die snng lah dia jumpa hari kat Zaliah..lama jdi suke..hehee.:)
ReplyDeleteterbaik lah kak...
ReplyDeletex sbr nak tggu next n3.. :D
best nyer crite neh...cam ner akk leh terlepas lak n3 baru neh...hehe dh bab 3,but akk baru nk baca the first one...pape ur novel mmg the best lh dek tulip........
ReplyDelete