BAB 9
“Mama, kalau Emma nak tanya boleh tak?” Soal Emma Saffiya sambil
bermain-main dengan jemari Sara Adelina yang leka menonoton siaran telivisyen.
“Erm.” Sahut Sara
Adelina tanpa memalingkan wajah.
“Mama, tengokla
Emma ni, Emma nak cakap la.” Kata Emma Saffiya seraya menarik tangan Sara
Adelina supaya berpaling memandang wajahnya.
“Nak soal apa
sayang.” Tutur Sara Adelina lembut sambil membuang pandang ke wajah comel Emma
Saffiya.
“Mama tutuplah tv
dulu, baru Emma tanya.” Suruh Emma Saffiya sambil menghulurkan alat kawalan
televisyen kepada Sara Adelina.
Sara Adelina
tersenyum menanggapi tingkah Emma Saffiya itu. Anak kecil itu memang terlalu
bijak.
“Pandai betul budak
comel ni ajar mama ye.” Kata Sara Adelina sambil mencuit dagu runcing Emma
Saffiya.
Sara Adelina
menekan butang merah pada alat kawalan televisyen dan menfokuskan perhatiannya
pada Emma Saffiya.
“Sayang nak tanya
apa?” Soal Sara Adelina kemudiannya.
“Emmm..mama, nama
papa Emma Syed Ziqri kan?” Tanya Emma Saffiya petah.
“A..ha.” Jawab Sara
Adelina lembut. Hairan pula bila Emma Saffiya membangkitkan isu itu.
“Kenapa Emma
tanya?” Soal Sara Adelina lagi.
Emma Saffiya
mengecilkan matanya sebagai reaksi kepada pertanyaan mamanya.
“Nama ‘uncle’ yang Emma panggil papa tu pun
Ziqri jugak, Papa Ziqri. Papa Ziqri tu papa Emma ke mama?”Soal Emma Saffiya
lurus.
Terkesima Sara
Adelina mendengarkan soalan yang keluar dari mulut kecil Emma Saffiya.
Bagaimana dia harus memberi jawapan kepada persoalan anak kecil itu. Sara
Adelina sendiri sedar Emma Saffiya sudah bijak untuk mengeja dan membaca nama
di belakang namanya. Sudah pasti dibenak anak gadis itu, dia turut
tertanya-tanya akan persamaan nama yang dimiliki oleh lelaki yang menjadi
bapanya dan lelaki yang baru ditemui itu.
“Emma, kalau uncle Ziqri tu papa Emma, tentu dia tak
tinggalkan Emma dan adik Am lama-lama kan?. Kalau dia papa Emma, tentu dia
tinggal dengan kita. Hidup dengan kita dan jadi ayah Emma dan adik Am.”
Akhirnya itu jawapan yang keluar dari bibir Sara Adelina. Sejujurnya apa yang
dia katakan itu mungkin palsu, tetapi itu sahaja jawapan yang logik yang dia
terfikirkan saat itu. Mana mungkin dia berterus terang akan hal yang sebenar
kepada Emma Saffiya kerana anak kecil itu pasti belum mampu mengerti. Pasti
akan lebih banyak persoalan yang terbit dari bibir kecil itu dan Sara Adelina
sendiri tidak bersedia dengan jawapan untuk setiap persoalan yang bakal
diajukan kepadanya. Dan itulah yang paling ditakuti oleh Sara Adelina.
Wajah mendung Syarifah Letisha dipandang tidak berkelip. Semenjak dia tiba
tadi, gadis itu lebih banyak membuang pandang ke arah lain daripada menatap
wajahnya.
“Tisha marah?” Soal
Syed Ziqri sambil meraih jemari Syarifah Letisha.
Syarifah Letisha
diam tidak menjawab.
“Please Tisha, I bukannya sengaja.” Kata
Syed Ziqri membela diri.
“Tak sengaja you
kata?. You tengok jam sekarang, dah pukul berapa?. I tunggu you dah lebih
setengah jam tau!. “Marah Syarifah Letisha serius.
“I tahu, I mintak
maaf okey.” Ujar Syed Ziqri lagi. Jemari Letisha dalam jemarinya dielus lembut.
“Ziq, I nak you ambil
serius hal kita. Hari tu you jugak yang beria-ia ajak I balik Malaysia. You
cakap nak setllekan hal you
cepat-cepat. You janji nak segerakan hal kita. Tapi bila balik sini,
macam-macam alasan you bagi kat I, sibuklah. Takde masa lah. I call you banyak
kali tapi tak dapat. Sekarang bila ajak jumpa macam ni, you pulak tak serius,
biar i menunggu lama!.” Bentak Syarifah Letisha penuh emosi.
“Maafla sayang, I
memang tak sengaja.” Ucap Syed Ziqri manja. Faham benar dengan sikap Syarifah
Letisha.
“Tolonglah Ziq, I
tak suka you buat I macam ni. Kalau betul you serius dengan I. Lain kali tolong
jangan buat macam ni lagi.” Balas Syarifah Letisha. Nada suaranya sudah
bertukar lembut.
“I janji sayang,
lain kali I tak buat lagi.” Janji Syed Ziqri sambil mengangkat sebelah
tangannya separas kepala. Seolah-olah berikrar.
“Janji mesti
ditepati. Jangan hari ni berjanji, esok you buat lagi.” Sambut Syarifah Letisha
senada.
“Pernah ke I
mungkir janji dengan you?” Balas Syed Ziqri kembali.
“I bukan menyindir
you Ziq, I cuma ingatkan you aje.” Kata Syarifah Letisha lagi. Dia kenal benar
dengan Syed Ziqri. Sepanjang perkenalan mereka Syed Ziqri jarang sekali
memungkiri janji. Itulah kali pertama. Dia bukan mencurigai lelaki itu kerana
dia pasti cinta Syed Ziqri terhadapnya kuat cuma dia tidak suka bila perhatian
lelaki itu seolah-olah lari terhadapnya sejak balik ke Malaysia seminggu lepas.
“I sentiasa ingat.”
Balas Syed Ziqri mengendur. Entahkan ikhlas entahkan tidak ucapannya itu.
“You dah bagitahu
umi pasal kita?” Soal Syarifah Letisha sambil meneguk air minuman dari gelas
dihadapannya.
Syed Ziqri
termenung seketika sebelum menjawab.
“Belum lagi.”
Jawabnya pendek.
Syarifah Letisha
yang mendengarkan jawapan Syed Ziqri mengangkat tinggi keningnya.
“Belum bagitahu lagi?”
Soal Syarifah Letisha lagi.
“Belum.” Jawab Syed
Ziqri sepatah.
“You cakap nak
bagitahu cepat-cepat. Lepas tu nak balik England semula.” Balas Syarifah
Letisha tidak puas hati. Kalau mengikut kata Syed Ziqri, berita itu akan segera
disampaikan kepada keluarganya, kepada Sara Adelina supaya semua urusan boleh
disegerakan. Dia juga sudah tidak boleh menangguh lagi. Dia ingin cepat-cepat
berkahwin dengan Syed Ziqri.
Syed Ziqri menghela
nafas.
“I belum bersedia.”
Jawab lelaki itu dalam menungan jauh.
Sekali lagi
Syarifah Letisha terkejut.
“Belum bersedia?”
Soal Syarifah Letisha sekali lagi.
Syed Ziqri diam
tidak menjawab.
“Sebelum balik hari
tu, you kata you dah lebih dari bersedia. You jangan main-main dengan I Ziq. I
tak suka macam ni. Kalau you betul-betul serius dengan I, tolong jangan
bersikap macam ni. Tolong kotakan apa yang you dah janji pada I.” Kata Syarifah
Letisha seraya bangun dah meraih tas tangannya. Dia berlalu meninggalkan Syed
Ziqri yang masih termenung jauh. Entah kenapa dia rasakan ada kelainan pada
tingkah Syed Ziqri itu. Kalau sebelum pulang ke Malaysia lelaki itu nampak
seperti nekad tetapi kini Syed Ziqri dilihatnya seolah-olah teragak-agak dalam
membuat keputusan. Dan dia tidak mahu bertoleransi dengan sikap Syed Ziqri yang
begitu. Jika lelaki itu masih perlukan masa, dia hanya boleh membiarkan Syed
Ziqri berfikir dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan dan dia sama sekali
tidak mahu masuk campur dalam pertimbangan lelaki itu. Selepas Syed Ziqri
menetapkan keputusannya, pasti lelaki itu akan pergi mencarinya semula.
Syed Ziqri melurut
kasar rambutnya, entah kenapa dia tidak mampu untuk membuat keputusan setelah
dia kembali ke rumah Syarifah Raziah. Kalau dulu dia nekad, kini hatinya itu
berbelah bahagi pula. Fikirannya berkecamuk, dia tidak mampu untuk berfikir
dengan tenang. Semenjak dia pulang, bertemu semula dengan Sara Adelina dan
anak-anaknya. Hatinya itu tiba-tiba jadi berat mahu membuat keputusan. Apatah
lagi dia teringat akan kata-kata Syarifah Letisha.
Skrin komputer dihadapannya dipandang dengan pandangan kosong. Dia sendiri tidak
tahu kenapa dia boleh berada di situ. Awalnya tadi dia mahu terus merebahkan
diri dan tidur tetapi apabila dia teringat kembali perjumpaannya dengan
Syarifah Letisha siang tadi, hilang sudah rasa mengantuknya. Kata-kata Syarifah
letisha diulang kembali ke dalam kepalanya. Pening Syed Ziqri dibuatnya.
Apabila teringat kembali perbualannya dengan Syarifah Letisha sebulan sebelum
dia pulang ke Malaysia, bertambah serabut kepalanya. Tidak disangka, perbualan
yang dia sangka perbualan biasa itu bisa membuatkan kepalanya pening dan
berserabut.
“Apa perancangan
you?” Soal Syarifah Letisha.
“You ikut I balik
Malaysia. I nak bincang ngan family I pasal kita. I nak bagitahu umi, I nak
kahwin dengan you.” Balas Syed Ziqri dalam senyum nipis.
“Wife you macam mana?” Soal Syarifah
Letisha lagi.
“I akan berterus
terang dengan dia juga.” Jawab Syed Ziqri yakin. Jemari Syarifah Letisha diraih
ke dalam genggamannya. Meyakinkan gadis itu supaya menerima kata-katanya.
“Harap you tak lupa
lagi pendirian I.” Ujar Syarifah Letisha kemudiannya.
Syed Ziqri hanya
mengangguk. Menzahirkan jawapannya.
“I tak nak bermadu.
You faham kan?” Soal Syarifah Letisha. Memang dia sudah beberapa kali maklumkan
hal itu kepada Syed Ziqri. Dia memang tidak suka berkongsi apatah lagi apabila
melibatkan hal-hal hati begitu. Dia tidak mahu berkongsi.
Sekali lagi Syed
Ziqri mengangguk dalam senyum nipis.
“Kalau you faham,
tentu you tahu apa yang you kena buat kan?” Tanya Syarifah Letisha lagi untuk
kepastian.
“I tahu dan I akan
buat apa yang perlu supaya kita boleh bersama.” Jawab Syed Ziqri yakin.
“I percaya dengan
kata-kata you dan I sayangkan you.” Ujar Syarifah Letisha sambil melentukkan
kepalanya ke bahu Syed Ziqri.
“I pun sayangkan
you juga.” Balas Syed Ziqri seraya menarik tubuh Syarifah Letisha rapat dengan
tubuhnya.
Ketukan di pintu
bilik mengejutkan Syed Ziqri dari lamunannya. Segala ingatannya terhadap
kata-kata Syarifah Letisha berhamburan pergi. Syed Ziqri pantas bangun dan
menuju ke pintu bilik.
“Umi.” Tegur Syed
Ziqri sejurus pintu bilik dibuka.
“Ziq tak turun
makan?” Soal Syarifah Raziah lembut.
“Dah pukul berapa
ni umi?” Soalan Syarifah Raziah dibalas
soalan oleh Syed Ziqri.
“Dah dekat pukul
sembilan malam, tadi umi tunggu Ziq turun makan tapi Ziq tak turun. Umi dah
makan dengan Sara dan anak-anak.” Jawab
Syarifah Raziah. Hairan dia lihat sikap Syed Ziqri sejak pulang tengahari tadi.
Anaknya itu dilihatnya kerap bermenung dan waktu makan juga sudah terlepas.
“Sekejap lagi Ziq
turun.” Kata Syed Ziqri.
“Ziq tak sihat?”
Soal Syarifah Raziah tatkala Syed Ziqri ingin berlalu semula ke dalam bilik.
Syed Ziqri hanya
menggeleng perlahan.
“Kalau macam tu,
cepat turun makan, takut perut masuk angin pula lambat-lambat makan.” Sambung
Syarifah Raziah lembut.
Syed Ziqri hanya
mengangguk menzahirkan jawapannya.
Langkah Syed Ziqri terhenti seketika saat dia melewati sofa di ruang tamu.
Suara Irfan Amsyar yang sedang menangis menarik perhatiannya. Syed Ziqri hanya
memerhatikan dari birai tangga.
“Itulah, kan mama
dah pesan kalau nak duduk tu tengok dulu. Kan dah jatuh.” Terdengar bebelan
Sara Adelina sambil meraih tubuh Irfan Amsyar ke dalam pelukannya. Anak kecil
itu masih menangis teresak-esak.
“Kat mana
sakitnya?” Soal Sara Adelina lembut.
“Sini.” Jawab Irfan
Amsyar sambil menunjukkan jari kakinya.
“Sini mama tengok.”
Suruh Sara Adelina lagi.
Pantas anak kecil
itu menghulurkan kakinya kepada Sara Adelina.
“Lepas ni mesti
terus baik.” Kata Sara Adelina seraya menarik kaki Irfan Amsyar dekat ke
wajahnya. Pantas kaki anak kecil itu dikucup lembut.
“Terima kasih
mama.” Ucap Irfan Amsyar riang. Anak kecil itu kemudiannya meneruskan main
seperti biasa. Seolah-olah ciuman Sara Adelina sebentar tadi mempunyai kuasa
penyembuh yang menerbang pergi segala kesakitan yang dialami.
Syed Ziqri yang
memerhatikan tingkah Sara Adelina itu tersenyum tanpa sedar. Bijak betul Sara
Adelina memujuk Irfan Amsyar. Kali pertama dia lihat sisi ibu yang dipamirkan
oleh Sara Adelina. Entah kenapa hatinya senang melihat semua itu.
Syed Ziqri
kemudiannya meneruskan langkahnya menuju ke dapur. Bila tiba di situ,
dilihatnya meja makan sudah siap berkemas. Setelah beberapa minit berfikir,
Syed Ziqri tersenyum, dia mula mengatur langkah menuju ke ruang tamu. Berjalan
menghampiri Sara Adelina dan Emma Saffiya yang sedang bermain playdoh bersama Irfan Amsyar.
“Sara boleh tolong
abang?” Tegur Syed Ziqri sejurus dia berdiri di belakang Sara Adelina yang leka
menonton siaran televisyen.
Sara Adelina yang
terkejut pantas berpaling memandang Syed Ziqri dibelakangnya.
“Abang nak makan
nasi tapi meja makan dah berkemas. Boleh Sara tolong hidangkan?” Terang Syed
Ziqri sambil menyoal.
Sara Adelina diam
tidak menjawab. Panas hatinya mendengarkan permintaan lelaki itu. Namun untuk
membantah kata-kata Syed Ziqri dihadapan Emma Saffiya dan Irfan Amsyar, dia
tidak tergamak melakukannya. Demi menjaga aib lelaki itu dia rela turutkan,
tambahan pula apabila teringatkan kedua-dua anaknya itu, pasti sahaja perlakuannya
itu akan menjadi contoh kepada Emma Saffiya dan Irfan Amsyar dan dia tidak mahu
menjadi contoh yang tidak elok kepada kedua-duanya.
Tanpa banyak bicara Sara Adelina terus bangun dan berjalan perlahan
menuju ke meja makan. Manakala Syed Ziqri pula melabuhkan duduk di salah satu
sofa dan memerhatikan Emma Saffiya yang sedang leka melayani Irfan Amsyar
bermain tanah liat. Tiba-tiba dia tersenyum melihat keriangan kedua-duanya
bermain riang. Timbul satu rasa dihatinya ketika itu. Rasa bangga dan gembira melihat
kedua-duanya.
Leka merenung kedua-duanya
akhirnya Syed Ziqri bingkas bangun dan berjalan menuju ke dapur. Sara Adelina
dilihatnya masih sibuk menghidang di meja makan. Syed Ziqri kemudiannya menarik
salah satu kerusi dan duduk.
“Sara teman abang makan.”
Pinta Syed Ziqri sejurus Sara Adelina menghidang dan berkira-kira untuk kembali
ke ruang tamu.
“Sara dah makan.”
Jawab Sara Adelina tanpa memandang wajah Syed Ziqri.
“Abang tahu. Abang
cuma nak Sara temankan abang sementara abang makan.” Kata Syed Ziqri lagi.
Sara Adelina diam
tidak menjawab. Sejujurnya dia malas mahu berbaik-baik dengan Syed Ziqri. Bukan
dia membenci tetapi marahnya masih bersisa.
“Duduklah dulu.”
Suruh Syed Ziqri lembut bila dilihatnya Sara Adelina masih berdiri kaku.
Sara Adelina
menarik kerusi dihadapan Syed Ziqri lalu melabuhkan duduknya di situ. Entah
kenapa lembut pula hatinya saat suara lembut Syed Ziqri menerjah gegendang
telinganya.
“Abang suka tengok
budak-budak tu main.” Kata Syed Ziqri seraya menyenduk lauk ke dalam pinggannya.
Sara Adelina diam
tidak membalas kata-kata Syed Ziqri. Dia tidak mahu menyambut perbualan lelaki
itu. Seboleh-bolehnya dia masih mahu menjaga jarak diantara mereka. Melayani
Syed Ziqri berbual hanya akan mewujudkan peluang untuk lelaki itu menyakiti
hatinya sekali lagi.
“Esok abang nak
bawa diaorang keluar.” Sambung Syed Ziqri bila Sara Adelina hanya mengambil
pendirian berdiam diri. Dia sebenarnya tidak merancang pun akan perkara itu
tetapi melihatkan kedinginan Sara Adelina, tergerak pula dihatinya mahu menguji
hati wanita itu.
“Tak boleh.” Balas
Sara Adelina tegas.
“Kenapa tak boleh?”
Soal Syed Ziqri tenang. Dia meneruskan suapan nasi ke mulut. Kata-kata Sara
Adelina sedikit pun tidak memeranjatkannya. Dia memang sudah menjangkakan
reaksi Sara Adelina itu. Dalam hatinya dia tersenyum. Berjaya juga dia
membuatkan Sara Adelina mengeluarkan suara.
“Sara ada program
lain.” Jawab Sara Adelina dingin. Walaupun duduk berhadapan dengan Syed Ziqri,
dia lebih banyak membuang pandang ke arah Emma Saffiya dan Irfan Amsyar.
“Program apa?”
Tanya lelaki itu lagi.
“Sara nak bawa
diaorang shopping.” Jawab Sara
Adelina ringkas.
‘Kalau macam tu
lagi senang, abang ikut Sara.” Balas Syed Ziqri selamba.
Sara Adelina yang
tidak puas hati dengan jawapan Syed Ziqri membuang pandang ke wajah lelaki itu.
Sakit hati, itulah yang dia rasakan ketika itu. Apa yang cuba lelaki itu
lakukan?. Apa yang Syed Ziqri cuba buktikan?. Adakah lelaki itu cuba
memperlihatkan bahawa dia mengambil berat akan anak-anaknya.
“Tak perlu. Selama
ni pun Sara bawa diaorang sendiri.” Jawab Sara Adelina seraya bangun dan
meninggalkan Syed Ziqri menyambung makan sendirian.
Syed Ziqri hanya
memerhatikan Sara Adelina dari belakang. Dia tahu Sara Adelina masih marah
terhadapnya. Dia juga tidak tahu bagaimana untuk meredakan marah Sara Adelina
itu. Memang semua itu diluar jangkaannya. Dia menyangka dengan mudah dia boleh
menetapkan keputusan untuk memberitahu perihal dirinya dan Syarifah Letisha
kepada Sara Adelina dan uminya. Tidak disangka itulah satu-satunya perkara yang
paling susah untuk dia lakukan ketika itu.
Syed Ziqri melabuhkan duduk di sisi Sara Adelina usai makan malam sebentar
tadi. Dia kemudiannya turut memandang kaca telivisyen yang leka ditonton oleh
Sara Adelina.
Sementara Sara Adelina
sudah tidak senang dengan kehadiran Syed Ziqri secara tiba-tiba. Tidak mahu
berlama-lama bersama Syed Ziqri, Sara Adelina akhirnya mengambil keputusan
untuk bangun dan berlalu. Namun belum sempat dia mengangkat punggung, Syed
Ziqri sudah terlebih dahulu memegang tangannya.
“Jangan tinggalkan
abang.” Kata Syed Ziqri sambil matanya memandang rancangan di kaca telivisyen.
Sara Adelina rentap
tangannya dari pegangan Syed Ziqri. Dia tidak suka dengan cara Syed Ziqri itu.
Mudah benar lelaki itu memperlekehkan dirinya begitu.
“Kalau Sara tak nak
abang peluk cium Sara kat depan diaorang, lebih baik Sara dengar kata abang.”
Ugut Syed Ziqri sambil membuang pandang ke arah Emma Saffiya dan Irfan Amsyar
yang masih leka bermain.
Terkedu Sara
Adelina dengan ugutan Syed Ziqri. Dia tidak jadi bangun. Wajah Syed Ziqri yang
tidak memandangnya dijeling dengan penuh rasa marah.
“Emma, mari sini
sekejap.” Panggil Syed Ziqri selamba.
Emma Saffiya yang
leka bermain berhenti apabila namanya diseru oleh Syed Ziqri. Anak kecil itu
kemudiannya memandang ke arah Syed Ziqri seraya bangun dan berjalan menghampiri
Syed Ziqri. Tindakan Emma Saffiya itu turut diikuti oleh Irfan Amsyar.
“Esok Emma nak
pergi mana?” Soal Syed Ziqri sambil menarik Emma Saffiya duduk disebelahnya. Irfan
Amsyar pula diangkat supaya duduk di ribanya.
Emma Saffiya
membuang pandang seketika ke arah Sara Adelina sebelum menjawab soalan Syed
Ziqri. Teringat kembali amaran Sara Adelina supaya tidak terlalu rapat dengan
Syed Ziqri.
“Mama nak bawa
pergi makan KFC.” Jawab Emma Saffiya kemudiannya.
“Mama nak belikan
mainan.” Tambah Irfan Amsyar petah.
“Erm..kalau papa
nak ikut boleh?” Soal Syed Ziqri sambil membetulkan duduk Irfan Amsyar yang
sedari tadi tidak duduk diam.
“Boleh.” Lancar
Irfan Amsyar menjawab sambil bermain-main dengan kapal terbang mainannya.
“Boleh. Tapi kena
tanya mama dulu.” Jawab Emma Saffiya sambil memandang lama ke arah Sara
Adelina.
“Papa dah tanya
mama tadi, mama kata papa boleh ikut sekali.” Kata Syed Ziqri tanpa
mempedulikan pandangan Emma Saffiya yang seolah-olah teragak-agak.
“Kalau macam tu,
esok papa naiklah kereta mama. Nanti mama boleh belanja KFC.” Sahut Emma
Saffiya sambil tersenyum riang. Hilang sudah riak bimbang diwajahnya
mendengarkan kata-kata Syed Ziqri sebentar tadi.
Syed Ziqri turut
tersenyum lebar.
“Siapa nak tidur
dengan papa malam ni?” Soal Syed Ziqri kemudiannya. Selamba lagaknya.
Sementara Sara
Adelina sudah membeliakkan matanya. Tidak puas hati dengan tindakan Syed Ziqri
itu.
“Emma nak!.”
“Am pun nak!.”
Jawab kedua-duanya
serentak.
“Erm...kalau macam
tu, malam ni Emma dan Am tidur dengan papa.” Sahut Syed Ziqri sambil meraih
kedua-dua anak kecil itu ke dalam dukungannya. Wajah Sara Adelina sedikit pun
tidak dijelingnya. Dia bukan tidak tahu reaksi Sara Adelina. Pasti sahaja
wanita itu sudah berwajah cemberut. Syed Ziqri tersenyum di dalam hati.
Akhirnya berjaya juga dia menarik perhatian Emma Saffiya dan Irfan Amsyar dan
yang paling dia suka saat itu, pasti sahaja tindakannya itu akan menarik
perhatian Sara Adelina. Walaupun dia tahu Sara Adelina bakal marah dengan
tindakannya itu, namun dia tetap berlapang hati. Entah kenapa dia suka menarik
perhatian Sara Adelina dengan cara itu. Syed Ziqri sambung tersenyum di dalam
hati.
Sementara Sara
Adelina sudah panas hati. Marah!, itulah yang dia rasakan terhadap Syed Ziqri.
Mudah-mudah sahaja lelaki itu cuba meraih perhatian Emma Saffiya dan Irfan
Asmyar. Jika tidak difikirkan kerana akal warasnya, mahu sahaja dia menampar
pipi Syed Ziqri ketika itu juga. Namun mengenangkan yang Emma Saffiya dan Irfan
Amsyar bakal menjadi saksi. Dia simpan sahaja marahnya dalam hati. Pada
pandangannya Syed Ziqri memang sudah melampau. Dan dia sama sekali tidak akan
membenarkan Syed Ziqri mempermainkan mereka sekali lagi. Kalau malam itu Syed
Ziqri berjaya menggula-gulakan perasaan kedua-duanya, dia akan pastikan itu
satu-satunya peluang yang wujud buat lelaki itu. Peluang yang lain mungkin
tiada!.
Suasana bingit dalam restoren KFC sedikit pun tidak mengganggu Emma Saffiya
dan Irfan Amsyar yang sedang asyik menguyah ayam goreng. Syed Ziqri pula sibuk
melayani kedua-duanya. Hanya Sara Adelina sahaja yang masih berwajah serius
sejak keluar awal tadi. Benci, itulah yang dia rasakan tatkala matanya melihat
layanan Syed Ziqri terhadap Emma Saffiya dan Irfan Amsyar. Setelah lima tahun
Syed Ziqri pergi meninggalkan mereka, dia tidak lansung berasa kagum dengan
keprihatinan Syed Ziqri itu.
“Am nak lagi?” Soal
Syed Ziqri tatkala Irfan Amsyar habis menyuap baki ayam di dalam pinggan.
“Nak.” Jawab Irfan
Amsyar sungguh-sungguh.
“Emma nak Chessy wedges lagi.” Tambah Emma Safiyya
kemudiannya.
“Tunggu sini dengan
mama, biar papa pergi beli lagi.” Sambut Syed Ziqri seraya bangun meninggalkan
meja yang sedang mereka duduki terus menuju ke kaunter.
Sementara Sara
Adelina hanya memerhatikan Irfan Amsyar dan Emma Saffiya. Terasa sayu hati pula
tatkala terlihatkan wajah Emma Safiyya dan Irfan Amsyar yang bersinar tatkala
Syed Ziqri menyatakan akan menambah beli makanan mereka. Andai anak-anak kecil itu
tahu bahawa Syed Ziqrilah ayah sebenar mereka, bagaimana agaknya reaksi
kedua-duanya?. Sara Adelina cukup takut ingin berhadapan dengan semua
kemungkinan itu. Dia bimbang kedua-duanya akan kecewa. Bimbang kedua-duanya
dikecewakan oleh Syed Ziqri sebagaimana lelaki itu mengecewakan dirinya.
Lantaran itu dia seboleh mungkin tidak mahu Emma Saffiya dan Irfan Amsyar
terlalu rapat dengan Syed Ziqri. Bukan kerana dia mahu menafikan hak
kedua-duanya tetapi dia hanya mahu melindungi hati mereka dari disakiti dan
dikecewakan.
Sejujurnya Sara
Adelina sendiri tidak tahu apa tujuan Syed Ziqri pulang ke pangkuan mereka.
Jika lelaki itu berniat mahu menunaikan tanggungjawabnya, mengapa sesudah lima
tahun baru lelaki itu kembali? Mengapa tidak setahun selepas lelaki itu pergi?
Saat bila mana dia melahirkan Irfan Amsyar. Kalau benar Syed Ziqri mahu kembali
kepadanya dan anak-anak, sudah tentu lama dahulu lelaki itu melakukannya. Entah
kenapa dia sendiri tidak pernah yakin yang Syed Ziqri kembali semata-mata untuk
anak-anaknya, jauh sekali untuk dirinya sendiri.
Lamunan Sara
Adelina tersentak tatkala Syed Ziqri kembali duduk dikerusinya. Lelaki itu
kemudiannya terus menarik pinggan kosong dan digantikan dengan pinggan baru
yang terhidang ketulan ayam KFC.
“Emma nak ini kan?”
Soal Syed Ziqri sambil menghulurkan kotak chessy
wedges ditangannya.
“Yeay!.” Sorak Emma
Saffiya gembira sambil tangannya tangkas menyambut huluran Syed Ziqri.
“Sayang makan dulu
ye, mama nak ke bilik air.” Kata Sara Adelina tiba-tiba. Dia bangun dan
berlalu. Entah kenapa hatinya terlalu sebak melihatkan wajah ceria anak-anak
kecil itu tatkala menerima layanan istimewa dari Syed Ziqri.
Memang sejak dahulu lagi itulah impiannya. Mahu melihat
kedua-keduanya merasai kasih sayang seorang ayah. Sepanjang lima tahun dia
menjaga kedua-duanya, hatinya itu tidak pernah lari dari perasaan sedih.
Tatkala Emma Saffiya bertanyakan perihal ‘bapa’, lidahnya kelu mahu memberikan
jawapan. Bagaimana dia mahu menerangkan letak duduk perkara yang sebenar kerana
Emma Saffiya dan Irfan Amsyar masih terlalu kecil untuk memahami segalanya.
Bagaimana mahu dia khabarkan kepada keduanya yang bapa mereka lari meninggalkan
mereka?.
Setiap kali dia mahu berterus
terang dengan Emma Saffiya, suaranya seolah-olah hilang. Dia takut mahu
berhadapan dengan reaksi Emma Saffiya dan Irfan Amsyar jika anak-anak itu tahu
perkara yang sebenar.
Tetapi apabila dia melihat kemesraan kedua-duanya menerima layanan
Syed Ziqri, hatinya itu bertambah sebak dan pilu. Sampai bila anak-anak itu
akan menerima perhatian Syed Ziqri sedangkan dia sendiri tidak pasti sehingga
bila Syed Ziqri akan tinggal bersama meraka. Andai Syed Ziqri sekali lagi pergi
tanpa kata, apa yang akan dia perkatakan kepada kedua-duanya?. Memikirkan semua
itu, hatinya bertambah berat mahu berterus terang dengan kedua-duanya. Biarlah
rahsia itu kekal rahsia. Demi menjaga hati keduanya, dia lebih rela jika Emma
Saffiya dan Irfan Amsyar tidak tahu siapa sebenarnya Syed Ziqri kepada mereka.
Sekurang-kurangnya itulah yang terbaik buat kedua-duanya.
Sara Adelina memimpin tangan Emma Saffiya dengan sebelah tangannya manakala Irfan
Amsyar pula didukung di pelukannya. Kepalanya ditoleh ke kiri dan kanan bagi
memastikan tiada kenderaan yang lalu lintas saat dia ingin menuju ke kawasan
parking kereta di seberang jalan. Apabila Syed Ziqri meminta diri untuk ke
tandas selepas habis makan di restoren KFC tadi, dia mengambil keputusan untuk
terus menunggu lelaki itu di kereta.
Apabila Sara
Adelina yakin tiada kereta yang melintas, dia melangkah laju untuk melintas.
Namun belum sempat dia melangkah jauh terdengar bunyi hon yang kuat dari arah
kanan. Dan tidak semena-mena dia terasa tubuhnya ditarik ke belakang. Berderau
darah Sara Adelina apabila sebuah MPV meluncur laju dihadapannya. Terkejut dan
tersentak Sara Adelina. Jantungnya berdegup kencang. Mujurlah tubuhnya ditarik
pantas, jika tidak sudah pasti dia, Emma Saffiya dan Irfan Amsyar sudah
dirempuh sebentar tadi.
“Kenapa keluar tak
tunggu abang!.” Tiba-tiba suara keras Syed Ziqri menerjah gegendang telinganya.
Sara Adelina
tergamam seketika. Irfan Amsyar dari dukungannya diambil oleh Syed Ziqri.
Tangannya yang kosong kemudiannya diraih oleh Syed Ziqri lalu lelaki itu
menarik tubuhnya untuk melintas jalan. Tangan Emma Saffiya masih kemas dalam
genggamannya. Jantungnya yang masih berdegup kencang lantaran kejadian tadi
masih belum reda degupnya. Memang betul-betul Sara Adelina terkejut dan takut.
Syed Ziqri membuka
pintu kereta lalu meletakkan Irfan Amsyar ke tempat duduk belakang, manakala tubuh
Emma Saffiya pula didorong perlahan untuk masuk ke kereta. Sara Adelina pula
kemudiannya turut masuk. Tubuhnya masih menggigil takut.
“Lain kali jangan
pandai-pandai sendiri.” Ucap Syed Ziqri tegas. Marah nadanya. Kereta dipandu
meninggalkan perkarangan parkir kereta.
Sara Adelina hanya
diam menanggapi marah Syed Ziqri. Sejujurnya dia juga tidak menjangkakan
perkara itu akan berlaku.
“Boleh tak Sara
jangan degil sangat. Jangan fikir marah Sara je.” Sambung Syed Ziqri menyindir.
Dia bukan tidak tahu Sara Adelina cuba mengelak darinya. Dia tahu Sara Adelina
tidak senang dengan kehadiran dia bersama dan tindakan Sara Adelina
meninggalkan dia membawa Emma Saffiya dan Irfan Amsyar adalah kerana Sara
Adelina ingin mengelak darinya. Dia cukup faham dengan marah Sara Adelina itu.
Sara Adelina masih
diam tidak menjawab. Degupan jantungnya sudah semakin reda. Walaupun dia tahu
Syed Ziqri mahu menyindirnya, namun dia lebih senang berdiam diri. Berbalas
kata dengan Syed Ziqri hanya akan memanjangkan perkara itu. Lebih baik dia
berdiam diri dan bereaksi biasa sahaja.
“Boleh tak Sara
jawab kata-kata abang. Jangan kunci mulut tu.” Kata Syed Ziqri lagi. Kali ini
nadanya lebih tegas. Marah dia menanggapi sikap berdiam diri Sara Adelina.
Ingin benar dia mendengar Sara Adelina membela diri. Bukan dengan berdiam diri
begitu.
“Memang salah
Sara.” Kata Sara Adelina mendatar.
“Abang tahu Sara
marahkan abang. Tapi jangan sampai jadikan anak-anak sebagai mangsa.” Sinis
nada Syed Ziqri. Entah kenapa dia sakit hati melihat kesenyapan Sara Adelina.
Sara Adelina
tersentak seketika. Tidak faham kenapa Syed Ziqri berkata begitu walhal tiada
lansung niat dihatinya untuk menjadikan anak-anaknya sebagai mangsa. Tuduhan
Syed Ziqri lansung tidak berasas. Tiba-tiba Sara Adelina berasa terpukul dengan
kata-kata Syed Ziqri. Darahnya tidak semena-mena menyirap.
“Jangan kerana
marah Sara, anak-anak abang yang terima bahananya.” Sindir Syed Ziqri lagi.
Tindakan Sara Adelina yang mengunci bicara membuatkan dia bertambah sakit hati.
Sara Adelina
semakin hilang sabar. Syed Ziqri memang tidak sedar diri. Selama lima tahun
lelaki itu menghilang, siapa lagi yang menjaga anak-anak itu kalau bukan
dirinya. Syed Ziqri tiada hak mahu menuduhnya begitu. Tidak pernah sekalipun
terselit dihatinya mahu menjadikan anak-anak itu sebagai mangsa. Kalau diberi
pilihan dia lebih rela menderita dari meletakkan beban ke bahu Emma Saffiya dan
Irfan Amsyar. Mungkin Syed Ziqri tidak sedar. Anak-anak itulah kekuatan dan
kelemahan Sara Adelina. Tanpa keduanya, tidak mungkin Sara Adelina kuat
menanggapi apa yang lelaki itu pernah buat kepada dirinya dahulu. Dan
bersandarkan kasih sayang itu, tidak mungkin dia tegar menjadikan kedua-duanya
sebagai mangsa.
“Kenapa diam?” Soal
Syed Ziqri sinis.
“Sara dah rasa
bersalah?” Sambungnya.
“Abang sedar tak
tuduhan abang tu melampau? Pernah abang fikir kesusahan Sara besarkan diaorang
sendirian? Pernah abang ambil tahu tentang apa yang Sara alami? Abang yang
sebenarnya terlalu pentingkan diri.Tak pernah ambil tahu tentang anak-anak dan
isteri yang abang tinggalkan. Dan sekarang, selepas lima tahun, abang balik dan
tuduh Sara nak jadikan anak-anak Sara sebagai mangsa. Siapa abang nak tuduh
Sara macam tu?. Abang tiada hak. Dan abang tak akan pernah ada hak tu. Tak pernah
sekalipun terselit dihati Sara nak jadikan Emma dan Am sebagai mangsa.
Jangan tuduh Sara
dengan tuduhan yang kejam kerana keperitan mengajar Sara erti kasih sayang. Selama
lima tahun Sara jaga diorang tanpa abang. Sara tak pernah merungut. Abang
sepatutnya fikir dua kali sebelum tuduh Sara yang bukan-bukan. Kalau betul Sara
pentingkan diri, dah lama Sara tinggalkan diaorang, tinggalkan umi disebabkan
perbuatan abang pada Sara. Tapi demi semua, Sara bertahan walaupun hati Sara
sendiri yang sakit. Fikir dulu sebelum abang tuduh Sara kerana Sara bukannya
abang, sanggup melarikan diri dari kenyataan hidup” Tukas Sara Adelina dalam
sinis.
Terdiam Syed Ziqri
mendengarkan jawapan Sara Adelina. Kata-kata Sara Adelina walaupun tidak kasar
namun bisanya terasa mencucuk-cucuk tangkai hatinya. Ketegasan Sara Adelina
memang mampu menggugah hatinya. Walaubagaimanapun tegasnya dirinya namun dia
terasa kalah apabila berhadapan dengan sisi Sara Adelina yang begitu. Sara
Adelina memang sudah jauh berubah. Tiada lagi wanita lembut yang pernah dia
kenali dahulu.