Thursday 8 November 2012

CINTA BUAT AKU -BAB 9

kepada yg drop komen...arigatou gozaimas..hihi..kalau sudi komen lagi ye :)..jom ikuti sambungannya..n3 kali ni yg plg panjang kot..harap semua suka baca :)..enjoy

BAB 9

 

“Mama, kalau Emma nak tanya boleh tak?” Soal Emma Saffiya sambil bermain-main dengan jemari Sara Adelina yang leka menonoton siaran telivisyen.

            “Erm.” Sahut Sara Adelina tanpa memalingkan wajah.

            “Mama, tengokla Emma ni, Emma nak cakap la.” Kata Emma Saffiya seraya menarik tangan Sara Adelina supaya berpaling memandang wajahnya.

            “Nak soal apa sayang.” Tutur Sara Adelina lembut sambil membuang pandang ke wajah comel Emma Saffiya.

            “Mama tutuplah tv dulu, baru Emma tanya.” Suruh Emma Saffiya sambil menghulurkan alat kawalan televisyen kepada Sara Adelina.

            Sara Adelina tersenyum menanggapi tingkah Emma Saffiya itu. Anak kecil itu memang terlalu bijak.

            “Pandai betul budak comel ni ajar mama ye.” Kata Sara Adelina sambil mencuit dagu runcing Emma Saffiya.

            Sara Adelina menekan butang merah pada alat kawalan televisyen dan menfokuskan perhatiannya pada Emma Saffiya.

            “Sayang nak tanya apa?” Soal Sara Adelina kemudiannya.

            “Emmm..mama, nama papa Emma Syed Ziqri kan?” Tanya Emma Saffiya petah.

            “A..ha.” Jawab Sara Adelina lembut. Hairan pula bila Emma Saffiya membangkitkan isu itu.

            “Kenapa Emma tanya?” Soal Sara Adelina lagi.

            Emma Saffiya mengecilkan matanya sebagai reaksi kepada pertanyaan mamanya.

            “Nama ‘uncle’ yang Emma panggil papa tu pun Ziqri jugak, Papa Ziqri. Papa Ziqri tu papa Emma ke mama?”Soal Emma Saffiya lurus.

            Terkesima Sara Adelina mendengarkan soalan yang keluar dari mulut kecil Emma Saffiya. Bagaimana dia harus memberi jawapan kepada persoalan anak kecil itu. Sara Adelina sendiri sedar Emma Saffiya sudah bijak untuk mengeja dan membaca nama di belakang namanya. Sudah pasti dibenak anak gadis itu, dia turut tertanya-tanya akan persamaan nama yang dimiliki oleh lelaki yang menjadi bapanya dan lelaki yang baru ditemui itu.

            “Emma, kalau uncle Ziqri tu papa Emma, tentu dia tak tinggalkan Emma dan adik Am lama-lama kan?. Kalau dia papa Emma, tentu dia tinggal dengan kita. Hidup dengan kita dan jadi ayah Emma dan adik Am.” Akhirnya itu jawapan yang keluar dari bibir Sara Adelina. Sejujurnya apa yang dia katakan itu mungkin palsu, tetapi itu sahaja jawapan yang logik yang dia terfikirkan saat itu. Mana mungkin dia berterus terang akan hal yang sebenar kepada Emma Saffiya kerana anak kecil itu pasti belum mampu mengerti. Pasti akan lebih banyak persoalan yang terbit dari bibir kecil itu dan Sara Adelina sendiri tidak bersedia dengan jawapan untuk setiap persoalan yang bakal diajukan kepadanya. Dan itulah yang paling ditakuti oleh Sara Adelina.

 

 

Wajah mendung Syarifah Letisha dipandang tidak berkelip. Semenjak dia tiba tadi, gadis itu lebih banyak membuang pandang ke arah lain daripada menatap wajahnya.

            “Tisha marah?” Soal Syed Ziqri sambil meraih jemari Syarifah Letisha.

            Syarifah Letisha diam tidak menjawab.

            Please Tisha, I bukannya sengaja.” Kata Syed Ziqri membela diri.

            “Tak sengaja you kata?. You tengok jam sekarang, dah pukul berapa?. I tunggu you dah lebih setengah jam tau!. “Marah Syarifah Letisha serius.

            “I tahu, I mintak maaf okey.” Ujar Syed Ziqri lagi. Jemari Letisha dalam jemarinya dielus lembut.

            “Ziq, I nak you ambil serius hal kita. Hari tu you jugak yang beria-ia ajak I balik Malaysia. You cakap nak setllekan hal you cepat-cepat. You janji nak segerakan hal kita. Tapi bila balik sini, macam-macam alasan you bagi kat I, sibuklah. Takde masa lah. I call you banyak kali tapi tak dapat. Sekarang bila ajak jumpa macam ni, you pulak tak serius, biar i menunggu lama!.” Bentak Syarifah Letisha penuh emosi.

            “Maafla sayang, I memang tak sengaja.” Ucap Syed Ziqri manja. Faham benar dengan sikap Syarifah Letisha.

            “Tolonglah Ziq, I tak suka you buat I macam ni. Kalau betul you serius dengan I. Lain kali tolong jangan buat macam ni lagi.” Balas Syarifah Letisha. Nada suaranya sudah bertukar lembut.

            “I janji sayang, lain kali I tak buat lagi.” Janji Syed Ziqri sambil mengangkat sebelah tangannya separas kepala. Seolah-olah berikrar.

            “Janji mesti ditepati. Jangan hari ni berjanji, esok you buat lagi.” Sambut Syarifah Letisha senada.

            “Pernah ke I mungkir janji dengan you?” Balas Syed Ziqri kembali.

            “I bukan menyindir you Ziq, I cuma ingatkan you aje.” Kata Syarifah Letisha lagi. Dia kenal benar dengan Syed Ziqri. Sepanjang perkenalan mereka Syed Ziqri jarang sekali memungkiri janji. Itulah kali pertama. Dia bukan mencurigai lelaki itu kerana dia pasti cinta Syed Ziqri terhadapnya kuat cuma dia tidak suka bila perhatian lelaki itu seolah-olah lari terhadapnya sejak balik ke Malaysia seminggu lepas.

            “I sentiasa ingat.” Balas Syed Ziqri mengendur. Entahkan ikhlas entahkan tidak ucapannya itu.

            “You dah bagitahu umi pasal kita?” Soal Syarifah Letisha sambil meneguk air minuman dari gelas dihadapannya.

            Syed Ziqri termenung seketika sebelum menjawab.

            “Belum lagi.” Jawabnya pendek.

            Syarifah Letisha yang mendengarkan jawapan Syed Ziqri mengangkat tinggi keningnya.

            “Belum bagitahu lagi?” Soal Syarifah Letisha lagi.

            “Belum.” Jawab Syed Ziqri sepatah.

            “You cakap nak bagitahu cepat-cepat. Lepas tu nak balik England semula.” Balas Syarifah Letisha tidak puas hati. Kalau mengikut kata Syed Ziqri, berita itu akan segera disampaikan kepada keluarganya, kepada Sara Adelina supaya semua urusan boleh disegerakan. Dia juga sudah tidak boleh menangguh lagi. Dia ingin cepat-cepat berkahwin dengan Syed Ziqri.

            Syed Ziqri menghela nafas.

            “I belum bersedia.” Jawab lelaki itu dalam menungan jauh.

            Sekali lagi Syarifah Letisha terkejut.

            “Belum bersedia?” Soal Syarifah Letisha sekali lagi.

            Syed Ziqri diam tidak menjawab.

            “Sebelum balik hari tu, you kata you dah lebih dari bersedia. You jangan main-main dengan I Ziq. I tak suka macam ni. Kalau you betul-betul serius dengan I, tolong jangan bersikap macam ni. Tolong kotakan apa yang you dah janji pada I.” Kata Syarifah Letisha seraya bangun dah meraih tas tangannya. Dia berlalu meninggalkan Syed Ziqri yang masih termenung jauh. Entah kenapa dia rasakan ada kelainan pada tingkah Syed Ziqri itu. Kalau sebelum pulang ke Malaysia lelaki itu nampak seperti nekad tetapi kini Syed Ziqri dilihatnya seolah-olah teragak-agak dalam membuat keputusan. Dan dia tidak mahu bertoleransi dengan sikap Syed Ziqri yang begitu. Jika lelaki itu masih perlukan masa, dia hanya boleh membiarkan Syed Ziqri berfikir dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan dan dia sama sekali tidak mahu masuk campur dalam pertimbangan lelaki itu. Selepas Syed Ziqri menetapkan keputusannya, pasti lelaki itu akan pergi mencarinya semula.

            Syed Ziqri melurut kasar rambutnya, entah kenapa dia tidak mampu untuk membuat keputusan setelah dia kembali ke rumah Syarifah Raziah. Kalau dulu dia nekad, kini hatinya itu berbelah bahagi pula. Fikirannya berkecamuk, dia tidak mampu untuk berfikir dengan tenang. Semenjak dia pulang, bertemu semula dengan Sara Adelina dan anak-anaknya. Hatinya itu tiba-tiba jadi berat mahu membuat keputusan. Apatah lagi dia teringat akan kata-kata Syarifah Letisha.

 

Skrin komputer dihadapannya dipandang dengan pandangan kosong. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh berada di situ. Awalnya tadi dia mahu terus merebahkan diri dan tidur tetapi apabila dia teringat kembali perjumpaannya dengan Syarifah Letisha siang tadi, hilang sudah rasa mengantuknya. Kata-kata Syarifah letisha diulang kembali ke dalam kepalanya. Pening Syed Ziqri dibuatnya. Apabila teringat kembali perbualannya dengan Syarifah Letisha sebulan sebelum dia pulang ke Malaysia, bertambah serabut kepalanya. Tidak disangka, perbualan yang dia sangka perbualan biasa itu bisa membuatkan kepalanya pening dan berserabut.

            “Apa perancangan you?” Soal Syarifah Letisha.

            “You ikut I balik Malaysia. I nak bincang ngan family I pasal kita. I nak bagitahu umi, I nak kahwin dengan you.” Balas Syed Ziqri dalam senyum nipis.

            Wife you macam mana?” Soal Syarifah Letisha lagi.

            “I akan berterus terang dengan dia juga.” Jawab Syed Ziqri yakin. Jemari Syarifah Letisha diraih ke dalam genggamannya. Meyakinkan gadis itu supaya menerima kata-katanya.

            “Harap you tak lupa lagi pendirian I.” Ujar Syarifah Letisha kemudiannya.

            Syed Ziqri hanya mengangguk. Menzahirkan jawapannya.

            “I tak nak bermadu. You faham kan?” Soal Syarifah Letisha. Memang dia sudah beberapa kali maklumkan hal itu kepada Syed Ziqri. Dia memang tidak suka berkongsi apatah lagi apabila melibatkan hal-hal hati begitu. Dia tidak mahu berkongsi.

            Sekali lagi Syed Ziqri mengangguk dalam senyum nipis.

            “Kalau you faham, tentu you tahu apa yang you kena buat kan?” Tanya Syarifah Letisha lagi untuk kepastian.

            “I tahu dan I akan buat apa yang perlu supaya kita boleh bersama.” Jawab Syed Ziqri yakin.

            “I percaya dengan kata-kata you dan I sayangkan you.” Ujar Syarifah Letisha sambil melentukkan kepalanya ke bahu Syed Ziqri.

            “I pun sayangkan you juga.” Balas Syed Ziqri seraya menarik tubuh Syarifah Letisha rapat dengan tubuhnya.

            Ketukan di pintu bilik mengejutkan Syed Ziqri dari lamunannya. Segala ingatannya terhadap kata-kata Syarifah Letisha berhamburan pergi. Syed Ziqri pantas bangun dan menuju ke pintu bilik.

            “Umi.” Tegur Syed Ziqri sejurus pintu bilik dibuka.

            “Ziq tak turun makan?” Soal Syarifah Raziah lembut.

            “Dah pukul berapa ni umi?” Soalan Syarifah  Raziah dibalas soalan oleh Syed Ziqri.

            “Dah dekat pukul sembilan malam, tadi umi tunggu Ziq turun makan tapi Ziq tak turun. Umi dah makan dengan Sara dan anak-anak.”  Jawab Syarifah Raziah. Hairan dia lihat sikap Syed Ziqri sejak pulang tengahari tadi. Anaknya itu dilihatnya kerap bermenung dan waktu makan juga sudah terlepas.

            “Sekejap lagi Ziq turun.” Kata Syed Ziqri.

            “Ziq tak sihat?” Soal Syarifah Raziah tatkala Syed Ziqri ingin berlalu semula ke dalam bilik.

            Syed Ziqri hanya menggeleng perlahan.

            “Kalau macam tu, cepat turun makan, takut perut masuk angin pula lambat-lambat makan.” Sambung Syarifah Raziah lembut.

            Syed Ziqri hanya mengangguk menzahirkan jawapannya.

 

 

Langkah Syed Ziqri terhenti seketika saat dia melewati sofa di ruang tamu. Suara Irfan Amsyar yang sedang menangis menarik perhatiannya. Syed Ziqri hanya memerhatikan dari birai tangga.

            “Itulah, kan mama dah pesan kalau nak duduk tu tengok dulu. Kan dah jatuh.” Terdengar bebelan Sara Adelina sambil meraih tubuh Irfan Amsyar ke dalam pelukannya. Anak kecil itu masih menangis teresak-esak.

            “Kat mana sakitnya?” Soal Sara Adelina lembut.

            “Sini.” Jawab Irfan Amsyar sambil menunjukkan jari kakinya.

            “Sini mama tengok.” Suruh Sara Adelina lagi.

            Pantas anak kecil itu menghulurkan kakinya kepada Sara Adelina.

            “Lepas ni mesti terus baik.” Kata Sara Adelina seraya menarik kaki Irfan Amsyar dekat ke wajahnya. Pantas kaki anak kecil itu dikucup lembut.

            “Terima kasih mama.” Ucap Irfan Amsyar riang. Anak kecil itu kemudiannya meneruskan main seperti biasa. Seolah-olah ciuman Sara Adelina sebentar tadi mempunyai kuasa penyembuh yang menerbang pergi segala kesakitan yang dialami.

            Syed Ziqri yang memerhatikan tingkah Sara Adelina itu tersenyum tanpa sedar. Bijak betul Sara Adelina memujuk Irfan Amsyar. Kali pertama dia lihat sisi ibu yang dipamirkan oleh Sara Adelina. Entah kenapa hatinya senang melihat semua itu.

            Syed Ziqri kemudiannya meneruskan langkahnya menuju ke dapur. Bila tiba di situ, dilihatnya meja makan sudah siap berkemas. Setelah beberapa minit berfikir, Syed Ziqri tersenyum, dia mula mengatur langkah menuju ke ruang tamu. Berjalan menghampiri Sara Adelina dan Emma Saffiya yang sedang bermain playdoh  bersama Irfan Amsyar.

            “Sara boleh tolong abang?” Tegur Syed Ziqri sejurus dia berdiri di belakang Sara Adelina yang leka menonton siaran televisyen.

            Sara Adelina yang terkejut pantas berpaling memandang Syed Ziqri dibelakangnya.

            “Abang nak makan nasi tapi meja makan dah berkemas. Boleh Sara tolong hidangkan?” Terang Syed Ziqri sambil menyoal.

            Sara Adelina diam tidak menjawab. Panas hatinya mendengarkan permintaan lelaki itu. Namun untuk membantah kata-kata Syed Ziqri dihadapan Emma Saffiya dan Irfan Amsyar, dia tidak tergamak melakukannya. Demi menjaga aib lelaki itu dia rela turutkan, tambahan pula apabila teringatkan kedua-dua anaknya itu, pasti sahaja perlakuannya itu akan menjadi contoh kepada Emma Saffiya dan Irfan Amsyar dan dia tidak mahu menjadi contoh yang tidak elok kepada kedua-duanya.

Tanpa banyak bicara Sara Adelina terus bangun dan berjalan perlahan menuju ke meja makan. Manakala Syed Ziqri pula melabuhkan duduk di salah satu sofa dan memerhatikan Emma Saffiya yang sedang leka melayani Irfan Amsyar bermain tanah liat. Tiba-tiba dia tersenyum melihat keriangan kedua-duanya bermain riang. Timbul satu rasa dihatinya ketika itu. Rasa bangga dan gembira melihat kedua-duanya.

            Leka merenung kedua-duanya akhirnya Syed Ziqri bingkas bangun dan berjalan menuju ke dapur. Sara Adelina dilihatnya masih sibuk menghidang di meja makan. Syed Ziqri kemudiannya menarik salah satu kerusi dan duduk.

            “Sara teman abang makan.” Pinta Syed Ziqri sejurus Sara Adelina menghidang dan berkira-kira untuk kembali ke ruang tamu.

            “Sara dah makan.” Jawab Sara Adelina tanpa memandang wajah Syed Ziqri.

            “Abang tahu. Abang cuma nak Sara temankan abang sementara abang makan.” Kata Syed Ziqri lagi.

            Sara Adelina diam tidak menjawab. Sejujurnya dia malas mahu berbaik-baik dengan Syed Ziqri. Bukan dia membenci tetapi marahnya masih bersisa.

            “Duduklah dulu.” Suruh Syed Ziqri lembut bila dilihatnya Sara Adelina masih berdiri kaku.

            Sara Adelina menarik kerusi dihadapan Syed Ziqri lalu melabuhkan duduknya di situ. Entah kenapa lembut pula hatinya saat suara lembut Syed Ziqri menerjah gegendang telinganya.

            “Abang suka tengok budak-budak tu main.” Kata Syed Ziqri seraya menyenduk lauk ke dalam pinggannya.

            Sara Adelina diam tidak membalas kata-kata Syed Ziqri. Dia tidak mahu menyambut perbualan lelaki itu. Seboleh-bolehnya dia masih mahu menjaga jarak diantara mereka. Melayani Syed Ziqri berbual hanya akan mewujudkan peluang untuk lelaki itu menyakiti hatinya sekali lagi.

            “Esok abang nak bawa diaorang keluar.” Sambung Syed Ziqri bila Sara Adelina hanya mengambil pendirian berdiam diri. Dia sebenarnya tidak merancang pun akan perkara itu tetapi melihatkan kedinginan Sara Adelina, tergerak pula dihatinya mahu menguji hati wanita itu.

            “Tak boleh.” Balas Sara Adelina tegas.

            “Kenapa tak boleh?” Soal Syed Ziqri tenang. Dia meneruskan suapan nasi ke mulut. Kata-kata Sara Adelina sedikit pun tidak memeranjatkannya. Dia memang sudah menjangkakan reaksi Sara Adelina itu. Dalam hatinya dia tersenyum. Berjaya juga dia membuatkan Sara Adelina mengeluarkan suara.

            “Sara ada program lain.” Jawab Sara Adelina dingin. Walaupun duduk berhadapan dengan Syed Ziqri, dia lebih banyak membuang pandang ke arah Emma Saffiya dan Irfan Amsyar.

            “Program apa?” Tanya lelaki itu lagi.

            “Sara nak bawa diaorang shopping.” Jawab Sara Adelina ringkas.

            ‘Kalau macam tu lagi senang, abang ikut Sara.” Balas Syed Ziqri selamba.

            Sara Adelina yang tidak puas hati dengan jawapan Syed Ziqri membuang pandang ke wajah lelaki itu. Sakit hati, itulah yang dia rasakan ketika itu. Apa yang cuba lelaki itu lakukan?. Apa yang Syed Ziqri cuba buktikan?. Adakah lelaki itu cuba memperlihatkan bahawa dia mengambil berat akan anak-anaknya.

            “Tak perlu. Selama ni pun Sara bawa diaorang sendiri.” Jawab Sara Adelina seraya bangun dan meninggalkan Syed Ziqri menyambung makan sendirian.

            Syed Ziqri hanya memerhatikan Sara Adelina dari belakang. Dia tahu Sara Adelina masih marah terhadapnya. Dia juga tidak tahu bagaimana untuk meredakan marah Sara Adelina itu. Memang semua itu diluar jangkaannya. Dia menyangka dengan mudah dia boleh menetapkan keputusan untuk memberitahu perihal dirinya dan Syarifah Letisha kepada Sara Adelina dan uminya. Tidak disangka itulah satu-satunya perkara yang paling susah untuk dia lakukan ketika itu.

 

Syed Ziqri melabuhkan duduk di sisi Sara Adelina usai makan malam sebentar tadi. Dia kemudiannya turut memandang kaca telivisyen yang leka ditonton oleh Sara Adelina.

            Sementara Sara Adelina sudah tidak senang dengan kehadiran Syed Ziqri secara tiba-tiba. Tidak mahu berlama-lama bersama Syed Ziqri, Sara Adelina akhirnya mengambil keputusan untuk bangun dan berlalu. Namun belum sempat dia mengangkat punggung, Syed Ziqri sudah terlebih dahulu memegang tangannya.

            “Jangan tinggalkan abang.” Kata Syed Ziqri sambil matanya memandang rancangan di kaca telivisyen.

            Sara Adelina rentap tangannya dari pegangan Syed Ziqri. Dia tidak suka dengan cara Syed Ziqri itu. Mudah benar lelaki itu memperlekehkan dirinya begitu.

            “Kalau Sara tak nak abang peluk cium Sara kat depan diaorang, lebih baik Sara dengar kata abang.” Ugut Syed Ziqri sambil membuang pandang ke arah Emma Saffiya dan Irfan Amsyar yang masih leka bermain.

            Terkedu Sara Adelina dengan ugutan Syed Ziqri. Dia tidak jadi bangun. Wajah Syed Ziqri yang tidak memandangnya dijeling dengan penuh rasa marah.

            “Emma, mari sini sekejap.” Panggil Syed Ziqri selamba.

            Emma Saffiya yang leka bermain berhenti apabila namanya diseru oleh Syed Ziqri. Anak kecil itu kemudiannya memandang ke arah Syed Ziqri seraya bangun dan berjalan menghampiri Syed Ziqri. Tindakan Emma Saffiya itu turut diikuti oleh Irfan Amsyar.

            “Esok Emma nak pergi mana?” Soal Syed Ziqri sambil menarik Emma Saffiya duduk disebelahnya. Irfan Amsyar pula diangkat supaya duduk di ribanya.

            Emma Saffiya membuang pandang seketika ke arah Sara Adelina sebelum menjawab soalan Syed Ziqri. Teringat kembali amaran Sara Adelina supaya tidak terlalu rapat dengan Syed Ziqri.

            “Mama nak bawa pergi makan KFC.” Jawab Emma Saffiya kemudiannya.

            “Mama nak belikan mainan.” Tambah Irfan Amsyar petah.

            “Erm..kalau papa nak ikut boleh?” Soal Syed Ziqri sambil membetulkan duduk Irfan Amsyar yang sedari tadi tidak duduk diam.

            “Boleh.” Lancar Irfan Amsyar menjawab sambil bermain-main dengan kapal terbang mainannya.

            “Boleh. Tapi kena tanya mama dulu.” Jawab Emma Saffiya sambil memandang lama ke arah Sara Adelina.

            “Papa dah tanya mama tadi, mama kata papa boleh ikut sekali.” Kata Syed Ziqri tanpa mempedulikan pandangan Emma Saffiya yang seolah-olah teragak-agak.

            “Kalau macam tu, esok papa naiklah kereta mama. Nanti mama boleh belanja KFC.” Sahut Emma Saffiya sambil tersenyum riang. Hilang sudah riak bimbang diwajahnya mendengarkan kata-kata Syed Ziqri sebentar tadi.

            Syed Ziqri turut tersenyum lebar.

            “Siapa nak tidur dengan papa malam ni?” Soal Syed Ziqri kemudiannya. Selamba lagaknya.

            Sementara Sara Adelina sudah membeliakkan matanya. Tidak puas hati dengan tindakan Syed Ziqri itu.

            “Emma nak!.”

            “Am pun nak!.”

            Jawab kedua-duanya serentak.

            “Erm...kalau macam tu, malam ni Emma dan Am tidur dengan papa.” Sahut Syed Ziqri sambil meraih kedua-dua anak kecil itu ke dalam dukungannya. Wajah Sara Adelina sedikit pun tidak dijelingnya. Dia bukan tidak tahu reaksi Sara Adelina. Pasti sahaja wanita itu sudah berwajah cemberut. Syed Ziqri tersenyum di dalam hati. Akhirnya berjaya juga dia menarik perhatian Emma Saffiya dan Irfan Amsyar dan yang paling dia suka saat itu, pasti sahaja tindakannya itu akan menarik perhatian Sara Adelina. Walaupun dia tahu Sara Adelina bakal marah dengan tindakannya itu, namun dia tetap berlapang hati. Entah kenapa dia suka menarik perhatian Sara Adelina dengan cara itu. Syed Ziqri sambung tersenyum di dalam hati.

            Sementara Sara Adelina sudah panas hati. Marah!, itulah yang dia rasakan terhadap Syed Ziqri. Mudah-mudah sahaja lelaki itu cuba meraih perhatian Emma Saffiya dan Irfan Asmyar. Jika tidak difikirkan kerana akal warasnya, mahu sahaja dia menampar pipi Syed Ziqri ketika itu juga. Namun mengenangkan yang Emma Saffiya dan Irfan Amsyar bakal menjadi saksi. Dia simpan sahaja marahnya dalam hati. Pada pandangannya Syed Ziqri memang sudah melampau. Dan dia sama sekali tidak akan membenarkan Syed Ziqri mempermainkan mereka sekali lagi. Kalau malam itu Syed Ziqri berjaya menggula-gulakan perasaan kedua-duanya, dia akan pastikan itu satu-satunya peluang yang wujud buat lelaki itu. Peluang yang lain mungkin tiada!.

 

Suasana bingit dalam restoren KFC sedikit pun tidak mengganggu Emma Saffiya dan Irfan Amsyar yang sedang asyik menguyah ayam goreng. Syed Ziqri pula sibuk melayani kedua-duanya. Hanya Sara Adelina sahaja yang masih berwajah serius sejak keluar awal tadi. Benci, itulah yang dia rasakan tatkala matanya melihat layanan Syed Ziqri terhadap Emma Saffiya dan Irfan Amsyar. Setelah lima tahun Syed Ziqri pergi meninggalkan mereka, dia tidak lansung berasa kagum dengan keprihatinan Syed Ziqri itu.

            “Am nak lagi?” Soal Syed Ziqri tatkala Irfan Amsyar habis menyuap baki ayam di dalam pinggan.

            “Nak.” Jawab Irfan Amsyar sungguh-sungguh.

            “Emma nak Chessy wedges lagi.” Tambah Emma Safiyya kemudiannya.

            “Tunggu sini dengan mama, biar papa pergi beli lagi.” Sambut Syed Ziqri seraya bangun meninggalkan meja yang sedang mereka duduki terus menuju ke kaunter.

            Sementara Sara Adelina hanya memerhatikan Irfan Amsyar dan Emma Saffiya. Terasa sayu hati pula tatkala terlihatkan wajah Emma Safiyya dan Irfan Amsyar yang bersinar tatkala Syed Ziqri menyatakan akan menambah beli makanan mereka. Andai anak-anak kecil itu tahu bahawa Syed Ziqrilah ayah sebenar mereka, bagaimana agaknya reaksi kedua-duanya?. Sara Adelina cukup takut ingin berhadapan dengan semua kemungkinan itu. Dia bimbang kedua-duanya akan kecewa. Bimbang kedua-duanya dikecewakan oleh Syed Ziqri sebagaimana lelaki itu mengecewakan dirinya. Lantaran itu dia seboleh mungkin tidak mahu Emma Saffiya dan Irfan Amsyar terlalu rapat dengan Syed Ziqri. Bukan kerana dia mahu menafikan hak kedua-duanya tetapi dia hanya mahu melindungi hati mereka dari disakiti dan dikecewakan.

            Sejujurnya Sara Adelina sendiri tidak tahu apa tujuan Syed Ziqri pulang ke pangkuan mereka. Jika lelaki itu berniat mahu menunaikan tanggungjawabnya, mengapa sesudah lima tahun baru lelaki itu kembali? Mengapa tidak setahun selepas lelaki itu pergi? Saat bila mana dia melahirkan Irfan Amsyar. Kalau benar Syed Ziqri mahu kembali kepadanya dan anak-anak, sudah tentu lama dahulu lelaki itu melakukannya. Entah kenapa dia sendiri tidak pernah yakin yang Syed Ziqri kembali semata-mata untuk anak-anaknya, jauh sekali untuk dirinya sendiri.

            Lamunan Sara Adelina tersentak tatkala Syed Ziqri kembali duduk dikerusinya. Lelaki itu kemudiannya terus menarik pinggan kosong dan digantikan dengan pinggan baru yang terhidang ketulan ayam KFC.

            “Emma nak ini kan?” Soal Syed Ziqri sambil menghulurkan kotak chessy wedges ditangannya.

            “Yeay!.” Sorak Emma Saffiya gembira sambil tangannya tangkas menyambut huluran Syed Ziqri.

            “Sayang makan dulu ye, mama nak ke bilik air.” Kata Sara Adelina tiba-tiba. Dia bangun dan berlalu. Entah kenapa hatinya terlalu sebak melihatkan wajah ceria anak-anak kecil itu tatkala menerima layanan istimewa dari Syed Ziqri.

Memang sejak dahulu lagi itulah impiannya. Mahu melihat kedua-keduanya merasai kasih sayang seorang ayah. Sepanjang lima tahun dia menjaga kedua-duanya, hatinya itu tidak pernah lari dari perasaan sedih. Tatkala Emma Saffiya bertanyakan perihal ‘bapa’, lidahnya kelu mahu memberikan jawapan. Bagaimana dia mahu menerangkan letak duduk perkara yang sebenar kerana Emma Saffiya dan Irfan Amsyar masih terlalu kecil untuk memahami segalanya. Bagaimana mahu dia khabarkan kepada keduanya yang bapa mereka lari meninggalkan mereka?.

 Setiap kali dia mahu berterus terang dengan Emma Saffiya, suaranya seolah-olah hilang. Dia takut mahu berhadapan dengan reaksi Emma Saffiya dan Irfan Amsyar jika anak-anak itu tahu perkara yang sebenar.

Tetapi apabila dia melihat kemesraan kedua-duanya menerima layanan Syed Ziqri, hatinya itu bertambah sebak dan pilu. Sampai bila anak-anak itu akan menerima perhatian Syed Ziqri sedangkan dia sendiri tidak pasti sehingga bila Syed Ziqri akan tinggal bersama meraka. Andai Syed Ziqri sekali lagi pergi tanpa kata, apa yang akan dia perkatakan kepada kedua-duanya?. Memikirkan semua itu, hatinya bertambah berat mahu berterus terang dengan kedua-duanya. Biarlah rahsia itu kekal rahsia. Demi menjaga hati keduanya, dia lebih rela jika Emma Saffiya dan Irfan Amsyar tidak tahu siapa sebenarnya Syed Ziqri kepada mereka. Sekurang-kurangnya itulah yang terbaik buat kedua-duanya.

 

Sara Adelina memimpin tangan Emma Saffiya dengan sebelah tangannya manakala Irfan Amsyar pula didukung di pelukannya. Kepalanya ditoleh ke kiri dan kanan bagi memastikan tiada kenderaan yang lalu lintas saat dia ingin menuju ke kawasan parking kereta di seberang jalan. Apabila Syed Ziqri meminta diri untuk ke tandas selepas habis makan di restoren KFC tadi, dia mengambil keputusan untuk terus menunggu lelaki itu di kereta.

            Apabila Sara Adelina yakin tiada kereta yang melintas, dia melangkah laju untuk melintas. Namun belum sempat dia melangkah jauh terdengar bunyi hon yang kuat dari arah kanan. Dan tidak semena-mena dia terasa tubuhnya ditarik ke belakang. Berderau darah Sara Adelina apabila sebuah MPV meluncur laju dihadapannya. Terkejut dan tersentak Sara Adelina. Jantungnya berdegup kencang. Mujurlah tubuhnya ditarik pantas, jika tidak sudah pasti dia, Emma Saffiya dan Irfan Amsyar sudah dirempuh sebentar tadi.

            “Kenapa keluar tak tunggu abang!.” Tiba-tiba suara keras Syed Ziqri menerjah gegendang telinganya.

            Sara Adelina tergamam seketika. Irfan Amsyar dari dukungannya diambil oleh Syed Ziqri. Tangannya yang kosong kemudiannya diraih oleh Syed Ziqri lalu lelaki itu menarik tubuhnya untuk melintas jalan. Tangan Emma Saffiya masih kemas dalam genggamannya. Jantungnya yang masih berdegup kencang lantaran kejadian tadi masih belum reda degupnya. Memang betul-betul Sara Adelina terkejut dan takut.

            Syed Ziqri membuka pintu kereta lalu meletakkan Irfan Amsyar ke tempat duduk belakang, manakala tubuh Emma Saffiya pula didorong perlahan untuk masuk ke kereta. Sara Adelina pula kemudiannya turut masuk. Tubuhnya masih menggigil takut.

            “Lain kali jangan pandai-pandai sendiri.” Ucap Syed Ziqri tegas. Marah nadanya. Kereta dipandu meninggalkan perkarangan parkir kereta.

            Sara Adelina hanya diam menanggapi marah Syed Ziqri. Sejujurnya dia juga tidak menjangkakan perkara itu akan berlaku.

            “Boleh tak Sara jangan degil sangat. Jangan fikir marah Sara je.” Sambung Syed Ziqri menyindir. Dia bukan tidak tahu Sara Adelina cuba mengelak darinya. Dia tahu Sara Adelina tidak senang dengan kehadiran dia bersama dan tindakan Sara Adelina meninggalkan dia membawa Emma Saffiya dan Irfan Amsyar adalah kerana Sara Adelina ingin mengelak darinya. Dia cukup faham dengan marah Sara Adelina itu.

            Sara Adelina masih diam tidak menjawab. Degupan jantungnya sudah semakin reda. Walaupun dia tahu Syed Ziqri mahu menyindirnya, namun dia lebih senang berdiam diri. Berbalas kata dengan Syed Ziqri hanya akan memanjangkan perkara itu. Lebih baik dia berdiam diri dan bereaksi biasa sahaja.

            “Boleh tak Sara jawab kata-kata abang. Jangan kunci mulut tu.” Kata Syed Ziqri lagi. Kali ini nadanya lebih tegas. Marah dia menanggapi sikap berdiam diri Sara Adelina. Ingin benar dia mendengar Sara Adelina membela diri. Bukan dengan berdiam diri begitu.

            “Memang salah Sara.” Kata Sara Adelina mendatar.

            “Abang tahu Sara marahkan abang. Tapi jangan sampai jadikan anak-anak sebagai mangsa.” Sinis nada Syed Ziqri. Entah kenapa dia sakit hati melihat kesenyapan Sara Adelina.

            Sara Adelina tersentak seketika. Tidak faham kenapa Syed Ziqri berkata begitu walhal tiada lansung niat dihatinya untuk menjadikan anak-anaknya sebagai mangsa. Tuduhan Syed Ziqri lansung tidak berasas. Tiba-tiba Sara Adelina berasa terpukul dengan kata-kata Syed Ziqri. Darahnya tidak semena-mena menyirap.

            “Jangan kerana marah Sara, anak-anak abang yang terima bahananya.” Sindir Syed Ziqri lagi. Tindakan Sara Adelina yang mengunci bicara membuatkan dia bertambah sakit hati.

            Sara Adelina semakin hilang sabar. Syed Ziqri memang tidak sedar diri. Selama lima tahun lelaki itu menghilang, siapa lagi yang menjaga anak-anak itu kalau bukan dirinya. Syed Ziqri tiada hak mahu menuduhnya begitu. Tidak pernah sekalipun terselit dihatinya mahu menjadikan anak-anak itu sebagai mangsa. Kalau diberi pilihan dia lebih rela menderita dari meletakkan beban ke bahu Emma Saffiya dan Irfan Amsyar. Mungkin Syed Ziqri tidak sedar. Anak-anak itulah kekuatan dan kelemahan Sara Adelina. Tanpa keduanya, tidak mungkin Sara Adelina kuat menanggapi apa yang lelaki itu pernah buat kepada dirinya dahulu. Dan bersandarkan kasih sayang itu, tidak mungkin dia tegar menjadikan kedua-duanya sebagai mangsa.

            “Kenapa diam?” Soal Syed Ziqri sinis.

            “Sara dah rasa bersalah?” Sambungnya.

            “Abang sedar tak tuduhan abang tu melampau? Pernah abang fikir kesusahan Sara besarkan diaorang sendirian? Pernah abang ambil tahu tentang apa yang Sara alami? Abang yang sebenarnya terlalu pentingkan diri.Tak pernah ambil tahu tentang anak-anak dan isteri yang abang tinggalkan. Dan sekarang, selepas lima tahun, abang balik dan tuduh Sara nak jadikan anak-anak Sara sebagai mangsa. Siapa abang nak tuduh Sara macam tu?. Abang tiada hak. Dan abang tak akan pernah ada hak tu. Tak pernah sekalipun terselit dihati Sara nak jadikan Emma dan Am sebagai mangsa.

            Jangan tuduh Sara dengan tuduhan yang kejam kerana keperitan mengajar Sara erti kasih sayang. Selama lima tahun Sara jaga diorang tanpa abang. Sara tak pernah merungut. Abang sepatutnya fikir dua kali sebelum tuduh Sara yang bukan-bukan. Kalau betul Sara pentingkan diri, dah lama Sara tinggalkan diaorang, tinggalkan umi disebabkan perbuatan abang pada Sara. Tapi demi semua, Sara bertahan walaupun hati Sara sendiri yang sakit. Fikir dulu sebelum abang tuduh Sara kerana Sara bukannya abang, sanggup melarikan diri dari kenyataan hidup” Tukas Sara Adelina dalam sinis.

            Terdiam Syed Ziqri mendengarkan jawapan Sara Adelina. Kata-kata Sara Adelina walaupun tidak kasar namun bisanya terasa mencucuk-cucuk tangkai hatinya. Ketegasan Sara Adelina memang mampu menggugah hatinya. Walaubagaimanapun tegasnya dirinya namun dia terasa kalah apabila berhadapan dengan sisi Sara Adelina yang begitu. Sara Adelina memang sudah jauh berubah. Tiada lagi wanita lembut yang pernah dia kenali dahulu.

P/s-harap semua suka ngan n3 kali ni..harap semua puas hati :) 

Tuesday 6 November 2012

CINTA BUAT AKU-BAB 8

kepada yang tinggalkan komen, terima kasih banyak2..cik tulip amat2 hargai..jom ikuti sambungannya...

BAB 8

Terpanar Syed Ziqri saat matanya terpandangkan Sara Adelina yang melangkah perlahan menuruni anak-anak tangga dari tingkat dua banglo itu. Disebelah wanita itu, kelihatan Emma Safiyya yang turut kemas memakai uniform sekolah. Penampilan Sara Adelina yang anggun dan bergaya itu berjaya menarik perhatiannya seketika. Dan matanya itu seolah-olah tidak dapat dilarikan dari terus merenung Sara Adelina yang cantik mengenakan kurung Pahang di tubuh. Dengan penuh kusyuk, Sara Adelina direnung. Memang tidak dapat dia nafikan, Sara Adelina sudah jauh berubah, sudah tidak mencerminkan kenaifannya dahulu. Wanita dihadapannya itu wanita anggun yang berkerjaya, yang penuh dengan keyakinan diri, matang dan berdikari.

            “Sara tak sarapan dulu?” Tegur Syarifah Raziah setelah dilihatnya Sara Adelina berjalan terus menuju ke pintu depan bersama Emma Safiyya.

            “Sara dah lewat umi, hari ni ada perhimpunan pagi.” Sahut Sara Adelina dari muka pintu sambil mengeluarkan kasut tumit tingginya dan kasut sekolah Emma Safiyya dari dalam rak kasut.

            Kan awal lagi ni.” Kata Syarifah Raziah lagi. Faham sangat dia dengan reaksi Sara Adelina itu. Wanita itu cuba mengelak diri dari Syed Ziqri.

            “takpelah umi, nanti Sara sarapan di AC je.” Jawab Sara Adelina seraya berjalan ke kereta dan memasukkan beg-beg yang berisi buku ke dalam kereta Vivanya.

            Sara Adelina kemudiannya kembali masuk ke dalam rumah bersama Emma Safiyya, terus menuju ke meja makan lalu bersalaman dengan Syarifah Raziah. Pipi ibu mertuanya itu dikucup lembut. Satu-satunya ibu yang masih tinggal untuknya. Perlakuannya itu kemudiannya ditiru oleh Emma Safiyya.

            ‘Hari ni balik awal ke lewat?” Soal Syarifah Raziah lagi.

            “Tak tahu lagi umi, Sara takut tiba-tiba ada mesyuarat. Kalau Sara balik lambat, Sara telefon umi.” Jawab Sara Adelina.

            Syarifah Raziah hanya mengangguk perlahan. Memang dia sudah faham dengan rutin Sara Adelina itu, jika ada mesyuarat di waktu petang, pasti Sara Adelina akan memaklumkan kepadanya, dan dia pula akan meminta driver syarikat untuk pergi mengambil Emma Safiyya di sekolah dan di bawa ke pejabatnya sementara Irfan Amsyar pula ditinggalkan di rumah bersama Nadha. Memang begitulah rutin mereka semenjak Sara Adelina berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sebuah pusat Autisme persendirian hampir setahun lepas.

            Syarifah Raziah meneruskan bersarapan berdua dengan Syed Ziqri apabila Sara Adelina berlalu. Wajah Syed Ziqri yang sedikit berubah menarik perhatiannya.

            “Ziq bagila masa pada Sara, umi yakin  nanti-nanti hilanglah marah Sara. Hati perempuan ni macam kerak nasi, lama-lama akan lembut juga.” Kata Syarifah Raziah. Cuba menenangkan apa jua gelodak hati yang dirasakan oleh syed Ziqri ketika itu. Sebagai ibu dia juga mahukan yang terbaik buat kedua-duanya. Walaupun dia tahu Syed Ziqri memang bersalah dalam hal itu namun dia juga harus bijak dalam berkata-kata. Jika dimarah Syed Ziqri, dia bimbang anak lelakinya membuat pertimbangan tidak wajar untuk kali yang kedua. Memikirkan cucu-cucunya yang masih kecil, hanya itu sahaja yang mampu dia lakukan. Menerima kepulangan Syed Ziqri dengan baik.

            Syed Ziqri hanya membalas kata-kata uminya dengan senyum tawar. Walaupun bukan perasaan kecewa yang dia ingin rasa, namun perasaan itu jugalah yang datang bertandang, mengusik sikit ketenangan tasik hatinya. Dia sangkakan segalanya mudah, memberitahu uminya itu akan tujuan dia balik itu mudah, namun semenjak bertemu semula dengan Sara Adelina, semenjak melihat sendiri Emma Saffiya dan Irfan Asmyar terasa berat pula dia ingin meneruskan niatnya. Apa yang dia rasakan sangat mudah selama ini, rupa-rupanya terlalu sukar untuk dilaksanakan. Memberitahu uminya akan hasrat hatinya itu terlalu sukar!.

 

Syiling biliknya direnung dengan pandangan kosong. Semenjak pulang tempoh hari, itulah rutin seharian Syed Ziqri, lebih banyak termenung dari melakukan kerja-kerja lain. Ingatan terhadap Sara Adelina tiba-tiba datang tidak dijemput.

            “Maafkan abang.” Terluah kata-kata itu dari mulut Syed Ziqri tanpa dia sendiri sedari.

            Dalam kelekaan Syed Ziqri mengelamun, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Pantas dia meraih telefon bimbitnya dan dilekapkan ke telinga.

            “Hello, assalamualaikum.” Sapa suara dari hujung talian sebelum sempat Syed Ziqri menjawab.

            “Umi, ada hal apa?” Soal Syed Ziqri tatkala suara Syarifah Raziah menyapa telinganya. Jarang-jarang sekali ibunya itu memanggilnya.

            “Ziq kat mana sekarang?” Soal Syarifah tanpa menjawab soalan Syed Ziqri terlebih dahulu.

            “Kat rumah la mi, ada hal apa?” Soal Syed Ziqri untuk kali kedua. Ada rasa pelik yang bertandang dihatinya tatkala menerima panggilan Syarifah Raziah itu.

            “Umi nak minta Ziq tolong pergi jemput Emma di sekolah sebab Sara tak balik pula tengahari ni, ada mesyuarat. Umi selalu hantar driver syarikat pergi jemput Emma selalunya tapi hari ni dia MC pula. Ziq boleh tolong pergi ambil tak?” Terang Syarifah Raziah panjang lebar.

            Syed Ziqri tersenyum.

            “Boleh mi, Ziq pun bukan ada buat apa-apa pun kat rumah.” Balas Syed Ziqri. Permintaan Syarifah Raziah itu dilihat sebagai peluang untuknya cuba mendekati Emma Saffiya.

            “Elok la macam tu. Setengah jam lagi Ziq pergilah, Emma keluar pukul 12.” Kata Syarifah Raziah lagi.

            “Baik mi.” Syed Ziqri nyatakan persetujuan lalu meletak ganggang selapas Syarifah Raziah ucapkan salam.

 

Tangan kecil Emma Saffiya digenggam erat sewaktu dia memimpin anak kecil itu untuk melintas jalan. Tatkala hangat jari jemari Emma bertaut dengan jari jemarinya, ada satu perasaan aneh yang menjalar dalam hati Syed Ziqri. Terasa ada naluri kebapaan yang baru berputik dalam hatinya untuk Emma Saffiya.

            Syed Ziqri mendorong tubuh Emma Saffiya untuk masuk ke dalam kereta, dia kemudiannya mengambil tempat di kerusi pemandu dan mula menghidupkan enjin kereta.

            “Emma belajar apa hari ni?” Soal Syed Ziqri lembut. Entah kenapa terasa ringan mulutnya ingin membuka bicara bersama Emma Saffiya.

            “Belajar pasal family.” Jawab Emma Saffiya petah.

            Family?” Soal Syed Ziqri lagi sambil memandu semula kereta ke atas jalan raya.

            “Emm, belajar pasal mama, papa, kakak dengan adik.” Jawab Emma Saffiya lagi.

            Best tak belajar?” Syed Ziqri sambung bertanya. Jawapan Emma Saffiya itu menarik perhatiannya untuk menyoal lanjut.

            “Tak best..” Jawab Emma Saffiya dalam nada mengendur.

            “Kenapa tak best?” Soal Syed Ziqri ingin tahu. Jawapan bernada keluhan dari bibir kecil itu cukup menarik perhatiannya.

            “Sebab Emma takde papa, cuma ada mama dengan adik je.” Jawab Emma Saffiya jujur.

            Terkesima Syed Ziqri mendengarkan jawapan Emma Saffiya. Rasa terpukul dengan kata-kata anak kecil itu.

            “Papa Emma pergi mana?” Soalnya lagi. Bertambah tertarik dengan bicara Emma Saffiya itu.

            “Mama kata papa kerja jauh, tak boleh balik.” Balas Emma Safiyya lagi.

            Terdiam Syed Ziqri mendengarkan jawapan dari mulut Emma Safiyya itu. Entah kenapa tiba-tiba ada rasa bersalah yang bertamu dihatinya saat itu. Rasa bersalah kerana segala tanggungjawabnya terhadap gadis kecil itu diabai begitu sahaja.

            Uncle ada papa?” Kali ini Emma Saffiya pula bertindak mengajukan soalan.

            Sekali lagi Syed Ziqri rasa terpukul. Namun bukan soalan Emma Saffiya yang membuatkan dia rasa begitu tetapi gelaran yang digunakan oleh anak gadis itu yang membuatkan dia rasa tersentak. Sejujurnya bukan gelaran ‘uncle’ yang dia nantikan dari bibir kecil itu.

            “Boleh tak kalau Emma panggil uncle papa?” Balas Syed Ziqri tanpa menjawab soalan Emma Saffiya.

            “Boleh ke?, Emma takut mama marah. Dulu masa Emma selalu tanya pasal papa, mama marah-marah. Emma takut nanti mama marah.” Jawab Emma Saffiya petah.

            “Mama tu kawan dengan uncle, dia mesti tak marah. Lepas ni Emma panggil uncle papa ye”. Ujar Syed Ziqri lagi.

            Emma Saffiya hanya mengangguk laju sambil tersenyum manis. Manakala Syed Ziqri tanpa sedar telah mencuit dagu runcing Emma Saffiya.

            “Papa belum jawab soalan Emma.” Kata Emma Safiyya mengingatkan Syed Ziqri akan soalan yang ditanya awal tadi.

            Syed Ziqri tersenyum nipis.

            “Erm....ayah papa dah takde, dah lama meninggal dunia.” Sahut Syed Ziqri sambil mengimbau kenangan lalu. Arwah bapanya Syed Mukhriz telah lama meninggal dunia. Seingatnya sejak dia bersekolah menengah, dia sudah kehilangan kasih seorang ayah. Hanya ibunya sahaja yang menggalas tanggungjawab ibu dan ayah kepadanya.

            “Sama macam atuk, atuk pun dah lama meninggal dunia.” Sambut Emma Saffiya mendatar.

            Sekali lagi Syed Ziqri tersentak. Dia dan Emma Saffiya sebenarnya membicarakan mengenai orang yang sama, cuma Emma Saffiya masih terlalu muda untuk mengetahui perkaitan itu. Dia juga tidak menyalahkan gadis kecil itu kerana sejak Emma Saffiya mengenali dunia, dia sendiri tidak pernah kenal siapa ayahnya. Masakan anaknya itu faham akan segala perkaitan yang ada.

            Memikirkan hal itu membuatkan Syed Ziqri tambah menyesal. Tegar sungguh dia meninggalkan Emma Saffiya yang ketika itu masih kecil dan belum mengerti apa-apa. Lebih kesal lagi apabila dia teringatkan Irfan Amsyar. Anak itu lahir tanpa ada seorang ayah disisinya untuk mengazan dan mengiqamatkan ke telinga anak kecil itu. Tiba-tiba Syed Ziqri diserbu dengan rasa bersalah.

 

“Siapa jemput Emma tadi?” Tanya Sara Adelina seraya menyikat perlahan rambut Emma Saffiya yang ikal. Jika dilihat secara fizikal, dia dan Emma Saffiya memang jauh berbeza. Anak kecil itu berkulit cerah dengan rambut ikal. Sangat berbeza dengan rupa paras Sara Aedelina. Namun kasih yang disemi oleh Sara Adelina tiada tandingan. Sayangnya melebihi segala-galanya. Emma Saffiya, walaupun bukanlah anak yang dilahirkan dari rahimnya namun anak gadis itulah buah hati pengarang jantungnya. Sejak kali pertama dia melihat Emma Saffiya, kasihnya tertumpah buat anak gadis itu.

            “Papa jemput Emma.” Jawab Emma Saffiya sambil bermain-main dengan getah pengikat rambut beriben warna merah hati.

            Terkejut Sara Adelina mendengarkan jawapan Emma Saffiya itu.

            “Papa?” Soal Sara Adelina inginkan kepastian.

            “Erm...papa. Uncle Ziqri suruh panggil dia papa. Mama tak marah kan?” Soal Emma Saffiya jujur.

            Sara Adelina termenung seketika sebelum menjawab persoalan Emma Saffiya.

            “Sara jangan rapat sangat dengan uncle Ziqri, dia bukan papa Emma.” Hanya itu jawapan yang terbit dari bibir Sara Adelina. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia berkata begitu tetapi yang dia pasti, dia tidak mahu Syed Ziqri mendekati Emma Saffiya dan Irfan Amsyar. Dia bimbang, bimbang jika lelaki itu mengulangi perbuatannya dahulu. Meninggalkan mereka untuk kali yang kedua. Sejujurnya dia tidak mahu Emma Saffiya dan Irfan Amsyar turut membina harapan. Bimbang kedua-dua buah hatinya itu akan dikecewakan oleh Syed Ziqri sebagaimana yang lelaki itu pernah lakukan terhadapnya dahulu.

 

Sara Adelina keluar dari bilik air sambil mengesat rambutnya yang basah. Sudah dua hari dia tidak mencuci rambut. Kepalanya itu sudah terasa gatal. Entah kenapa malam itu dia terasa ingin mandi dan mencuci rambut pula. Mungkin juga kerana selepas mandi petang tadi, dia membantu ibu mertuanya menyusun atur semula susunan pasu di halaman rumah. Rasa tidak selesa pula jika dia tidur dengan baju yang sudah berbau peluh. Sementara Emma Saffiya dan Irfan Amsyar pula merengek-rengek ingin tidur bersama Syarifah Raziah. Dan dia ikutkan sahaja kehendak mereka. Kerana memang kadangkala, kedua-duanya itu akan tidur bersama Syarifah Raziah.

            “Sara tak patut cakap macam tu dengan Emma.” Tiba-tiba terdengar suara Syed Ziqri dari birai katil.

            Tersentak Sara Adelina mendengarkan suara Syed Ziqri di dalam biliknya. Dia pantas berpaling menghadap katil. Mencari-cari kelibat Syed Ziqri dalam samar-samar lampu tidur.

            “Abang buat apa kat sini?!” Soal Sara Adelina kasar. Cepat-cepat dia menarik tuala lain dari dalam almari bagi menutupi bahagian tubuhnya yang terdedah. Terkejut dan marah dengan tindakan Syed Ziqri yang memecah masuk biliknya tanpa kebenaran.

            “Ada perkara abang nak bincangkan dengan Sara.” Jawab Syed Ziqri senada.

            “Abang tiada hak masuk dalam bilik Sara.” Balas Sara Adelina kasar.

            “Abang ada hak.” Ujar Syed Ziqri seraya bangun lalu berjalan perlahan menghampiri Sara Adelina yang sudah terpaku berdiri di hadapan almari baju.

            “Bilik Sara, bilik abang juga.” Sambungnya.

            Sementara Sara Adelina sudah berasa takut dan bimbang. Jika lelaki itu cuba ingin mendekatinya malam itu, dia akan pastikan lelaki itu tidak berjaya. Bukan mudah untuk dia memaafkan kesalahan Syed Ziqri yang pergi meninggalkan dirinya selama lima tahun lamanya. Meninggalkan dirinya yang ketika itu sedang mengandung dan Emma Saffiya yang masih kecil dan belum mengerti apa-apa. Mana mungkin marahnya itu surut dalam sekelip mata.

            “Keluar.” Arah Sara Adelina sambil tangannya mengarah ke arah pintu tanpa memandang wajah Syed Ziqri sebelum sempat lelaki itu menghampirinya.

            “Sara tiada hak nak halau abang, ini rumah abang.” Tegas Syed Ziqri seraya menapak ke hadapan Sara Adelina.

            Sara Adelina sudah semakin keresahan. Tingkah Syed Ziqri membuatkan dia bimbang. Bagaimana jika lelaki itu hilang kawalan diri?. Takut dia menanggapi semua persoalan itu.

            “Memang ini rumah abang tapi sekarang abang dalam bilik Sara. Dan Sara nak abang keluar dari bilik Sara sekarang.” Ulang Sara Adelina. Walaupun gugup dengan situasi itu namun dia harus berani menanggapi apa jua tingkah Syed Ziqri. Dia tidak mahu sekali lagi lelaki itu memperkotak katikkan dirinya. Cukuplah apa yang telah Syed Ziqri lakukan dulu kerana dia tidak ingin mengulangi semuanya semula.

            “Maaf, abang takkan keluar selagi kita tak selesaikan hal antara kita.” Ucap Syed Ziqri lagi. Langkahnya masih diteruskan.

            Sara Adelina sudah semakin takut dengan tingkah Syed Ziqri. Lelaki itu terlalu amat sukar diduga.

            Syed Ziqri menghampiri tubuh Sara Adelina yang semakin mengundur tatkala dia semakin mendekat. Bila betul-betul berdiri dihadapan wanita itu, dia elus rambut Sara Adelina yang basah. Tergugat nalurinya melihat keadaan Sara Adelina yang begitu. Benar-benar menggoyah naluri lelakinya.

            “Jangan sentuh Sara.” Kata Sara Adelina tegas. Entah kenapa dia sendiri terasa lemah berhadapan dengan sikap Syed Ziqri yang begitu.

            Syed Ziqri tidak mengendahkan amaran Sara Adelina. Tangan yang sedari tadi mengelus rambut Sara Adelina terus di bawa ke pipi wanita itu. Dia juga hilang pertimbangan saat terpandangkan Sara Adelina dalam keadaan begitu. Hilang sudah ingatannya terhadap Syarifah Letisha.

            “Jangan sentuh Sara!” Kata Sara Adelina keras. Dia tidak suka, tidak suka bila Syed Ziqri sewenang-wenangnya mendekatinya begitu. Lelaki itu seolah-olah cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya sahaja.

            Tersentak Syed Ziqri mendengar amaran keras Sara Adelina. Matanya tajam menikam wajah Sara Adelina yang sudah merah menahan marah.

            “Abang berhak ke atas Sara.” Kata Syed Ziqri senada. Penolakan Sara Adelina itu membuatkan dia rasa tegang seketika.

            “Abang dah hilang hak abang lima tahun yang lalu!” Balas Sara Adelina berani. Sinis nadanya.

            Syed Ziqri tersenyum sinis.

            “Selagi abang tak ceraikan Sara, abang tak pernah hilang hak abang.” Jawab Syed Ziqri dalam nada tegas.

            Geram Sara Adelina menanggapi jawapan Syed Ziqri. Dia pantas mengambil baju-bajunya dari dalam almari lalu berkira-kira untuk berlalu ke dalam bilik air. Malas dia mahu melayani perangai Syed Ziqri yang tak tentu pasang surutnya.

            “Abang belum habis.” Kata Syed Ziqri keras. Tangan Sara Adelina ditarik sebelum sempat Sara Adelina melangkah. Marah dia menanggapi sikap acuh tak acuh Sara Adelina sedangkan ada perkara yang ingin dia bincangkan bersama Sara Adelina.

            “Lepaskan Sara!” Lantang Sara Adelina bersuara. Dia juga marah dengan sikap Syed Ziqri. Mudah-mudah sahaja lelaki itu meninggalkan dirinya dan anak-anak dan mudah-mudah sahaja lelaki itu kembali dan cuba mengatur apa yang perlu dia lakukan. Sesungguhnya dia tidak suka lelaki itu mendesaknya begitu. Sudahlah Syed Ziqri memecah masuk biliknya tanpa izin, kini lelaki itu seolah-olah cuba memaksanya mengikut telunjuk lelaki itu pula.

            “Abang tak kan lepaskan selagi Sara tak ambil serius kata-kata abang!.” Ujar Syed Ziqri lagi. Dia sudah memegang kemas bahu Sara Adelina dan dipusing supaya menghadapnya, memandang wajahnya. Entah kenapa apabila menanggapi sikap Sara Adelina yang begitu, dia turut naik angin. Dia tidak pernah menyangka penerimaan Sara Adelina terhadapnya akan sedingin itu. Wanita itu tidak pernah bersikap begitu sewaktu dia meninggalkan Sara Adelina hampir lima tahun yang lalu. Terlalu banyak perubahan Sara Adelina dan dia tidak sukakan perubahan itu.

            Dada Sara Adelina sudah mula berombak. Sedih dan marah dengan sikap selamba Syed Ziqri. Tegar benar lelaki itu mengambil ringan akan hati dan perasaannya. Tidakkah Syed Ziqri tahu bahawa dia marah. Marah kerana lelaki itu tanpa kata-kata telah pergi meninggalkannya suatu waktu dahulu dan kini apabila kembali, Syed Ziqri bersikap seolah-olah dia tidak pernah melakukan kesalahan itu.

            “Sara nak abang keluar, kalau tak, Sara akan jerit.” Kata Sara Adelina dalam getaran suara. Dia tidak mahu berhadapan dengan lelaki itu. Apa sahaja yang ingin dibincangkan oleh lelaki itu bersamanya, dia tiada hati mahu mendengarnya.

            Mendengarkan ugutan Sara Adelina itu membuatkan Syed Ziqri tersentak. Segera bahu Sara Adelina dilepaskan.

            “Pakai baju dulu, sekejap lagi abang datang semula.” Sambut Syed Ziqri dalam nada perlahan. Entah kenapa tiba-tiba hatinya sayu tatkala suara sebak Sara Adelina menjamah telinganya. Dia berlalu sebelum sempat Sara Adelina membalas kata-katanya.

            Sementara Sara Adelina berjalan perlahan ke katil. Disitu dia terduduk seraya menghamburkan air matanya yang ditahan-tahan sejak Syed Ziqri pulang ke rumah itu. Rasa marah, benci dan keliru semuanya bergabung menjadi satu perasaan. Sejujurnya dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan pada saat dia menerima kembali kepulangan lelaki itu ke situ. Dia tidak pernah menyangka, Syed Ziqri akhirnya akan pulang dan dia tidak bersedia untuk berhadapan dengan Syed Ziqri setelah lima tahun terpisah. Sejak lelaki itu menghilang tanpa khabar berita, dia sudah berhenti berharap. Cukuplah dia menanti kepulangan Syed Ziqri selama dua tahun selepas lelaki itu menghilang. Dia sudah penat menunggu.

Dan apabila dia sudah mula belajar menerima hakikat yang Syed Ziqri mungkin tidak akan kembali, dia pasrah. Cinta yang pernah hadir dalam hatinya cuba diusir pergi. Dia tidak mahu terus berharap jika cinta lelaki itu bukan tercipta untuknya. Jika cinta lelaki itu benar-benar bukan untuknya. Tetapi setelah dia berjaya memujuk hati, kenapa lelaki itu kembali semula ke dalam hidupnya? Kenapa tasik hatinya itu kembali terusik dengan kepulangan Syed Ziqri? Dia benci. Benci untuk mengakui hakikat yang cinta lelaki itu tidak pernah mati di dalam hatinya.

Sara Adelina kesat air matanya yang jatuh ke pipi. Kata-kata Syed Ziqri sebentar tadi membuatkan dia sebal. Cepat-cepat dia kenakan baju ke tubuhnya. Dia tidak mahu Syed Ziqri kembali ke dalam biliknya. Jika lelaki itu mahu berbincang dengannya, dia tidak mahu perbincangan itu dilakukan di dalam biliknya. Tingkah Syed Ziqri sudah cukup menakutkannya. Lebih baik dia mengelak dari berdua-duaan dengan lelaki itu. Jika ingin berbincang sekalipun, lebih baik perbincangan itu dilakukan di tempat yang lebih terbuka. Hanya dengan cara itu sahaja Syed Ziqri akan lebih menjaga jarak antara mereka.

Sara Adelina keluar dari bilik apabila dia lengkap berpakaian. Sejurus tiba di hadapan bilik Syed Ziqri dia ketuk pintu bilik lelaki itu. Tatkala lelaki itu muncul dari sebalik pintu. Pantas dia bersuara tanpa memandang wajah Syed Ziqri.

“Sara tunggu di bawah.” Kata Sara Adelina sebelum menghilang.

           

Syed Ziqri melabuhkan duduknya di sofa berhadapan dengan Sara Adelina. Wajah suram Sara Adelina menarik perhatiannya. Bukan dia tidak tahu apa yang Sara Adelina rasakan, cuma dia tidak mahu membincangkan tentang perkara itu. Pada asalnya memang dia pulang berhajat, dan dia nekad. Nekad mahu meneruskan niatnya. Namun apabila dia bertemu semula dengan Sara Adelina, dia sendiri keliru dengan apa yang dia benar-benar mahukan. Tambahan pula tatkala dia terlihatkan wajah comel Emma Saffiya dan Irfan Amsyar. Bertambah berat rasanya dia mahu menetapkan keputusan.

            “Sara ada cakap apa-apa pada Emma?” Soal Syed Ziqri memulakan perbualan. Nadanya serius.

            Sara Adelina hanya membalas kata-kata Syed Ziqri dengan pandangan pelik. Memang dia tidak faham dengan apa yang Syed Ziqri cuba sampaikan kepadanya.

            “Emma kata Sara tak bagi dia rapat dengan abang, Sara kata abang bukan papa dia. Betul ke?” Soal Syed Ziqri inginkan kepastian. Memang dia ada berbual dengan Emma Saffiya petang tadi dan anak kecil itu yang memaklumkan hal itu kepadanya. Dan dia pula tidak suka bila Sara Adelina bertindak meracuni fikiran Emma Safiyya begitu kerana dia berhak untuk mendekati Emma Saffiya kerana anak kecil itu merupakan anaknya. Dan Sara Adelina tiada hak untuk menghalang hubungan mereka.

            Sara Adelina hanya menjawab persoalan Syed Ziqri dengan keluhan. Dia tidak mahu memanjangkan hal itu. Jika dia bertekak dengan Syed Ziqri sekalipun, dia tahu dia tidak akan menang. Lelaki itu terlalu dominan tatkala berhadapan dengannya dan dia juga seringkali mengalah dengan sikap Syed Ziqri.

            “Jawab soalan abang.” Kata Syed Ziqri tegas.

            “Betul.” Jawab Sara Adelina sepatah. Sengaja dia membuang pandang ke kaca TV, tidak mahu menentang mata tajam Syed Ziqri.

            Syed Ziqri membiaskan riak pelik diwajahnya.

            “Jadi betul la Sara racun fikiran Emma. Kenapa Sara buat macam tu?” Soal Syed Ziqri lagi. Sejujurnya dia juga ingin tahu kenapa Sara Adelina bertindak begitu. Adakah kerana rasa marah wanita itu terhadapnya maka Emma Saffiya diajar supaya menjarakkan dirinya daripada papanya sendiri.

            “Sara cakap macam tu bersebab.” Jawab Sara Adelina mendatar.

            “Bersebab?. Sebab apa?. Sebab Sara benci abang?. Sebab tu Sara sampai sanggup racun fikiran Emma supaya benci ayah dia sendiri?” Soal Syed Ziqri sinis.

            “Sara tak perlu jawab soalan abang.” Balas Sara Adelina seraya berdiri. Dia tidak mahu memanjangkan hal itu. Biarlah perkara itu berhenti di situ sahaja. Tidak perlulah dia menerang panjang lebar kenapa dia bertindak begitu. Syed Ziqri sepatutnya sudah faham sendiri.

            “Sara kena jawab soalan abang.” Tegas Syed Ziqri sambil menyambar tangan Sara Adelina yang berjalan melewatinya.

            Sara Adelina berpaling memandang tepat ke wajah Syed Ziqri. Kenapa Syed Ziqri masih tidak cuba faham apa yang cuba dia sampaikan kepada lelaki itu. Tentu tindakannya itu bersebab. Cuma Syed Ziqri sahaja yang tidak cuba untuk memahami setiap tindakannya.

            “Sara tak nak beri harapan pada diaorang.” Jawab Sara Adelina seraya menarik tangannya dari pegangan Syed Ziqri.

            “Apa maksud Sara?” Soal Syed Ziqri tidak faham.

            “Sara tak nak abang bagi harapan pada diaorang, kemudian abang hancurkan harapan tu. Sara tak nak diaorang kecewa sebagaimana Sara kecewa. Biarlah Sara sahaja yang rasa sakitnya. Sara tak nak diaorang alami apa yang pernah Sara alami.” Jawab Sara Adelina seraya berlalu meninggalkan Syed Ziqri.

            Terkesima Syed Ziqri mendengarkan jawapan Sara Adelina. Dia terduduk sambil melurut kasar rambutnya. Sejujurnya dia sendiri tidak pernah terfikirkan hal itu. Patutlah Sara Adelina bertindak begitu. Rupa-rupanya wanita itu cuba untuk melindungi hati Emma Saffiya dan Irfan Amsyar.

            Memang benar itulah yang dia lakukan pada Sara Adelina, dia memberikan wanita itu harapan dan dia juga yang menghancurkan harapan itu. Memikirkan itu semua membuatkan dia rasa kesal.
p/s-Harap semua suka ngan n3 kali ni... :)