Wednesday 31 October 2012

CINTA BUAT AKU-BAB 5

kpd yg tinggalkan komen, terima kasih byk2 cik tulip ucapkan..jom ikuti sambungan CBA bab 5


BAB 5

Keriuhan pekerja-pekerja catering mengemas-ngemas halaman rumah membuatkan Sara Adelina merenung jauh ke luar tingkap. Majlis kenduri perkahwinannya dengan Syed Ziqri baru sahaja selesai. Dan dia bersyukur semuanya berjalan dengan lancar.

            Atas permintaan Syed Ziqri sendiri, hanya majlis akad nikah sahaja yang dijalankan. Tiada majlis persandingan seperti pasangan lain kerana Syed Ziqri hanya mahukan majlis yang ringkas sahaja. Bagi Sara Adelina sendiri, dia tidak kisah. Yang penting ialah mendahulukan yang wajib. Dia juga tidak pernah mengimpikan perkahwinan yang gilang gemilang. Cukuplah sekadar memenuhi tuntutan agama. Itu sudah mencukupi buatnya.

            Bunyi pintu bilik air dibuka mengejutkan Sara Adelina dari renungan jauh. Dia pantas berpaling dan matanya bertembung pandang dengan sepasang mata Syed Ziqri. Cepat-cepat Sara Adelina larikan matanya tatkala dia terpandangkan tubuh Syed Ziqri yang hanya berbalut tuala mandi.

            “Nanti Sara tolong basuhkan baju abang ni.” Pinta Syed Ziqri lembut. Baju ditangannya diletak perlahan ke atas katil yang dialas dengan cadar satin dengan corak bunga di setiap penjuru. Persalinan pengantinnya itu ditinggalkan di situ.

            Sara Adelina hanya tersenyum nipis menzahirkan jawapan kepada permintaan Syed Ziqri. Entah bila Syed Ziqri menanggalkan persalinan itu, dia sendiri tidak pasti. Sedar-sedar suaminya itu sudah keluar dari bilik air dan selesai mandi lalu meminta dia membasuhkan persalinan akad nikah mereka yang ditempah khas.

            “Encik Ziqri....” Seru Sara Adelina sebelum sempat Syed Ziqri melangkah ke pintu.

            Syed Ziqri pantas berpaling.

            “Kenapa panggil macam tu? Lepas ni Sara kena panggil abang, ABANG. Bukan Encik Ziqri lagi.” Kata Syed Ziqri sambil memanah tepat ke mata Sara Adelina. Hairan juga kerana panggilan itu sepatutnya sudah luput dari ingatan Sara Adelina setelah mereka sah menjadi suami isteri.

            Sara Adelina tertunduk malu. Bibirnya itu tadi lancar sahaja menyebut gelaran biasa Syed Ziqri. Dia sendiri tidak sedar tatkala panggilan itu meluncur keluar dari bibirnya. Setelah ditegur Syed Ziqri baru dia perasan.

            “Ada apa?” Soal Syed Ziqri.

            “Hah?” Sara Adelina angkat mukanya dengan riak pelik.

            “Tadi Sara panggil abang.” Ujar Syed Ziqri lagi.

            “Oh..tadi umi pesan, malam ni kawan abang nak datang. Diaorang call telefon rumah tadi sebab call abang tak angkat.” Ucap Sara Adelina lambat-lambat. Masih janggal lagi lidahnya mahu memanggil Syed Ziqri dengan panggilan mesra begitu.

            “Okey.” Balas Syed Ziqri dalam senyum nipis. Senyuman yang membuatkan hati Sara Adelina bergetar untuk seketika.

            Lelaki itu kemudiannya berlalu ke luar meninggalkan Sara Adelina yang hilang dalam senyuman Syed Ziqri.

           

“Tak sangka dah dua kali you kahwin.” Seloroh Azmizy dalam tawa halus.

            “Sorry la, siang tadi I sibuk sangat. Tak dapat datang kenduri you.” Sambungnya.

            Syed Ziqri hanya tersenyum nipis. Pada awal tadi memang dia rasa seperti mahu mengherdik sahabatnya itu kerana tidak hadir ke majlisnya tetapi mendengarkan selorohan Azmizy, tidak jadi pula dia hendak marah.

            “Itulah, i dah suruh cari calon tapi you buat lambat-lambat. Sekarang tengok, siapa hero?.I dah dua kali kahwin. You masih tak kahwin-kahwin. “ Syed Ziqri turut berseloroh.

            Pecah ketawa Azmizy mendengarkan kata-kata Syed Ziqri. Berlainan benar tingkah Syed Ziqri ketika itu. Jarang sekali sahabatnya itu boleh berseloroh begitu dengannya. Terutamanya apabila membincangkan hal rumah tangga. Syed Ziqri bukan jenis yang suka bercerita hal rumahtangganya.

            “I belum jumpa calon sesuai. Dah jumpa calon nanti I kahwin la. I nak carik empat terus. Cukupkan kuota.” Sambung Azmizy masih dalam nada seloroh.

            “macam la you hebat sangat nak cari calon sampai empat.”Sindir Syed Ziqri turut bernada seloroh.

            “I ni kan dah cukup package, kacak, bergaya, berharta.” Sambung Azmizy diselangi ketawa besar.

            “Yelah tu.” Balas Syed Ziqri dengan wajah tidak puas hati yang dibuat-buat.

            “Eh, kata tadi nk perkenalkan wife you. Mana dia?” Azmizy mengalih topik perbualan.

            “Tunggu dia hantar air kejap lagi.” Jawab Syed Ziqri.

            “Lawa tak?” Soal Azmizy tiba-tiba.

            Syed Ziqri hanya membalas kata-kata Azmizy dengan renungan tajam.

            “You tengokla sendiri.” Jawabnya kemudian.

            Perbualan kedua-duanya terhenti apabila kebetulan Sara Adelina datang membawa dulang berisi air kopi panas dengan kek mentega yang dipotong-potong kecil.

            Azmizy cepat-cepat mengalihkan pandangannya terus ke wajah Sara Adelina.

            “Manis wife you.” Kata Azmizy sejurus Sara Adelina berlalu.

            Syed Ziqri hanya tersenyum nipis. Tidak membalas kata-kata Azmizy.

            “Tapi kan, dulu you pernah kata, you kalau cari calon mesti nak yang berdikari, berkerjaya dan yang paling penting, yang kulitnya putih gebu. I tengok takde pun ciri-ciri tu pada wife you tu.” Sambung Azmizy sambil meraih cawan di hadapannya walaupun belum dipelawa.

            “Banyak cakap la you ni, dah la. Minum cepat. Lepas tu balik cepat. Ini malam pengantin I.” Kata Syed Ziqri selamba.

            Azmizy pula sudah ketawa besar.

            “You dah banyak berubah.” Ujar Azmizy dalam ketawa yang bersisa. Memang Syed Ziqri yang berada dihadapannya kini sudah tidak seperti Syed Ziqri yang dia kenal dulu. Lelaki itu sudah jauh berubah. Adakah mungkin disebabkan oleh kematian Syarifah Irma Sofiya ataupun adakah kerana lelaki itu sudah menemui pengganti isterinya itu? Azmizy sendiri tidak pasti sebab apakah yang membawa perubahan ke dalam diri sahabatnya itu.

 

Sara Adelina sedang menyisir rambut saat Syed Ziqri masuk semula ke bilik. Debaran yang ditampung dadanya terasa bertambah dua kali ganda berbanding awal tadi. Entah bagaimana untuk dia berhadapan dengan malam pengantinnya bersama Syed Ziqri. Sejujurnya dia sangat takut dan malu mahu berhadapan dengan semua itu.

            Syed Ziqri duduk di birai katil tanpa suara. Tidak dapat dinafikan yang dia turut terasa berdebar dengan kehadiran Sara Adelina bersamanya dalam satu bilik malam itu. Selama ini dia hanya beerkongsi bilik dengan Syarifah Irma Sofiya, namun semenjak kehilangan isterinya itu, kamarnya itu hanya didiami dia sendiri. Memang dia juga berasa sunyi dengan kehilangan isterinya itu. Semenjak Syarifah Irma Sofiya pergi, dia terlalu rindukan kehadiran wanita di sisinya.

            Syed Ziqri membuang pandang ke arah Sara Adelina yang sedang menyisir rambut semenjak dia masuk ke bilik tadi. Entah kenapa hatinya itu mendesak untuk dia bangun dan berjalan menuju ke arah Sara Adelina. Tanpa berfikir panjang, kaki Syed Ziqri melangkah perlahan menuju ke arah Sara Adelina sehingga tanpa sedar, dia sudahpun berdiri di belakang wanita itu.

            Syed Ziqri merenung wajah Sara Adelina dari biasan cermin kaca. Tanpa dia sendiri sedari, tangan kanannya dibawa ke rambut Sara Adelina lalu rambut wanita itu dielus lembut. Sementara tangan kirinya pula menangkap tangan Sara Adelina yang masih tekun menyisir rambut. Tangan Sara Adelina itu dielus lembut. Semenjak isterinya pergi, dia terlalu rindu untuk memanjai dan dimanjai.

            Sara Adelina tersentak dengan tindakan Syed Ziqri itu. Dia yang terkejut kaku dalam duduknya. Elusan lembut jari jemari Syed Ziqri dirambutnya membuatkan dia terbuai seketika. Perlakuan Syed Ziqri itu membuatkan hatinya cair dengan belaian lelaki itu, tanpa sedar dia turut meraih jari jemari Syed Ziqri ke dalam genggamannya. Jari jemarinya itu turut dielus lembut.

            Saat tubuhnya didorong untuk berdiri, Sara Adelina hanya menurut dan kakinya hanya menurut seolah-olah terpukau dengan keasyikan yang dibawa oleh Syed Ziqri malam itu. Langkahnya diatur perlahan mengikuti langkah Syed Ziqri menuju ke katil yang indah dihias dengan cadar pengantin. Dan tanpa Sara Adelina sedar, dia sudah terbaring di katil empuk milik Syed Ziqri.

            Apabila pipinya dielus lembut oleh jemari Syed Ziqri, Sara Adelina hanya membiarkan. Hanya bahagia yang dia rasakan saat itu. Bahagia kerana dia kini menjadi milik abadi seorang lelaki bernama Syed Ziqri.

            “Abang jatuh hati pada kelembutan Sara.” Tutur Syed Ziqri perlahan sambil mengucup lembut bibir isterinya.

            “Abang terpikat pada pandangan redup Sara.” Kucupannya beralih ke leher Sara Adelina.

            “Sara akan bahagiakan abang.” Ucap Sara Adelina romantik. Bahagia kerana Syed Ziqri mengakui perasaannya. Bahagia kerana dirinya diberi kesempatan untuk turut berkongsi kasih sayang bersama lelaki itu.

 

“Sara, abang ada perkara nak dibincangkan dengan Sara.” Tegur Syed Ziqri sejurus Sara Adelina siap menyangkut telekungnya di penyidai.

            “Mari duduk sini.” Panggil Syed Ziqri sambil menunjukkan ruang kosong disebelahnya di birai katil.

            Sara Adelina hanya menurut tanpa banyak bicara. Dia mengambil tempat di sisi lelaki itu. Riak wajah Syed Ziqri yang serius mengundang tanda tanya dibenaknya.

            “Abang harap Sara terima kata-kata abang ni dengan hati yang terbuka.” Kata Syed Ziqri memulakan bicara.

            Sementara Sara Adelina sudah semakin pelik dengan kata-kata dan tingkah Syed Ziqri yang serius itu.

            Syed Ziqri terdiam seketika sebelum dia mula membuka kata. Serba salah dia rasakan saat dia ingin berterus terang kepada Sara Adelina. Namun jika dia tidak menyatakan kebenaran, dia akan lebih menyakiti Sara Adelina. Menyakiti hati wanita itu sehingga luka parah. Hanya melalui kebenaran sahaja dia boleh menghilangkan apa jua rasa yang dia rasakan saat itu. Rasa bersalah kerana dia telah mengkhianati cintanya kepada arwah isterinya.

            “Maafkan abang, abang tak dapat nak terima Sara. Perkara yang terjadi antara kita malam tadi sebenarnya salah.” Kata Syed Ziqri dalam menungan jauh.

            Terkesima Sara Adelina mendengar kata-kata Syed Ziqri yang baru menerjah gegendang telinganya. Apa maksud Syed Ziqri yang lelaki itu tidak dapat menerima dirinya. Adakah Syed Ziqri tidak dapat menerima dirinya sebagai isteri?Andai begitu, kenapa baru sekarang lelaki itu menyedari kehendak hatinya?. Kenapa selepas mereka menghabiskan malam bersama pula lelaki itu berkata begitu terhadapnya?. Adakah Syed Ziqri hanya ingin mengambil kesempatan ke atas dirinya sahaja?. Pilu, itulah yang Sara Adelina rasakan saat itu. Tegar benar Syed Ziqri menghukum dirinya begitu. Apa salah yang telah dia lakukan?.

            “Apa maksud abang?” Soal Sara Adelina dengan suara yang bergetar. Hatinya itu hancur luluh, terasa disiat-siat dengan pengakuan Syed Ziqri sebentar tadi.

            “Abang masih teringatkan Sofiya. Saat abang bersama Sara malam tadi. Abang terbayangkan abang bersama Sofiya. Tiada siapa yang boleh gantikan tempat Sofiya di hati abang. Abang tak mungkin boleh berlaku adil pada Sara. Berkahwin dengan Sara tetapi dalam hati abang, hanya ada cinta Sofiya. Tentu tak adil bagi Sara.” Jawab Syed Ziqri dalam nada mengendur.

            Sebak, pilu dan sedih. Semuanya bergabung menjadi satu perasaan yang tidak dapat Sara Adelina ungkapkan. Mudahnya bagi Syed Ziqri untuk menghancurkan hatinya begitu. Mudahnya lelaki itu bersetuju untuk mengahwininya sedangkan Syed Ziqri sendiri tidak pasti dengan perasaannya yang sebenarnya. Kenapa tegar benar lelaki itu mempertaruhkan hati dan perasaannya?. Mengapa mudah benar bagi Syed Ziqri menghancurkan harapan dan sekeping hati miliknya?. Mudah benar bagi Syed Ziqri untuk meletakkan dirinya di dalam situasi itu. Apakah perkahwinan yang baru berlansung lansung tidak memberi makna kepada lelaki itu sehingga lelaki itu tegar berkata-kata begitu terhadapnya?. Terasa matanya mula memberat menampung air mata.

            “Kenapa abang setuju kahwin dengan Sara kalau abang masih cintakan arwah isteri abang?” Soal Sara Adelina lirih. Memang kata-kata Syed Ziqri terhadapnya itu terlalu kejam. Terutamanya apabila mengenangkan lelaki itu baru sahaja menidurinya. Dah lebih perit lagi, perkahwinan mereka baru berusia sehari tetapi Syed Ziqri sudah mula mahu menyisihkan hati dan perasaannya tanpa memberi dirinya peluang.

            “Abang cuba nak lupakan Sofiya dengan mengahwini Sara tapi abang tak boleh nak tipu diri abang sendiri. Abang masih cintakan Sofiya. Maafkan abang.” Terang Syed Ziqri dalam kenduran suara.

            Sara Adelina sudah tidak mampu bersuara. Hatinya terlalu lirih. Terlalu pedih dengan kenyataan yang dibentangkan Syed Ziqri dihadapan matanya. Dia tidak ubah seperti satu pertaruhan kepada Syed Ziqri. Lelaki itu mempertaruhkan hati dan perasaannya dalam perkahwinan itu.

            “Abang akan pindah keluar dari bilik ni.” Ucap Syed Ziqri lagi.

            Sekali lagi Sara Adelina tersentak namun lidahnya kelu untuk membalas kata-kata Syed Ziqri. Jika benar tiada cinta yang wujud untuknya di hati lelaki itu dia terpaksa redha walaupun usia perkahwinannya itu masih terlalu awal untuk diakhiri. Apalah dayanya mahu meraih cinta Syed Ziqri yang nyata bukan untuknya. Kerana terpaksa dia merelakan.

            “Ini bilik abang. Biar Sara sahaja yang keluar.” Kata Sara Adelina kemudiannya. Air matanya ditahan supaya tidak mengalir. Dia perlu kuat. Kuat menghadapi apa jua dugaan kerana dia tahu, tiada sesiapa yang ada untuknya mengadu nasib.

            “Nanti abang akan bincang semula dengan umi. Abang tak nak berlaku kejam ke atas Sara. Berkahwin dengan Sara tapi hati abang masih pada arwah isteri abang.” Ucap Syed Ziqri lagi.

            Sara Adelina hanya termenung jauh tatkala Syed Ziqri bangun dan berlalu keluar dari bilik. Air yang bergenang di tubir matanya disapu dengan jari sebelum sempat jatuh. Namun semakin di seka air matanya itu, semakin banyak pula yang keluar mengalir. Perasaan sedihnya itu tidak mampu dia buang jauh. Dia akhirnya menangis teresak-esak dengan nasib yang baru menimpa dirinya itu. Walaupun tahu dia harus kuat menanggapi semua itu namun sebagai wanita yang dikurniakan dengan hati yang halus, dia tidak dapat lari dari merasa sedih dan pedih. Kenapa malang benar nasibnya?

 

“Ziq dah gila?!” Soal Syarifah Raziah keras. Marahnya meluap-luap saat Syed Ziqri meluahkan rasa hatinya sebentar tadi.

            “Bukan ke Ziq yang dengan rela hati kahwin dengan Sara? Umi tak pernah paksa Ziq tapi kenapa Ziq buat macam ni?. Tak adil bagi Sara kalau Ziq buat macam ni.” Sambung Syarifah Raziah lagi.

            “Umi, kalau Ziq teruskan juga, Ziq tak mungkin boleh berlaku adil pada Sara. Cinta Ziq hanya pada Sofiya. Tak mungkin Ziq boleh terima Sara kalau dalam hati Ziq ni hanya ada Sofiya.” Balas Syed Ziqri. Nadanya turut tegas.

            “Sepatutnya Ziq fikirkan cadangan umi sebaik-baiknya sebelum Ziq buat keputusan untuk setuju kahwin dengan Sara hari tu.” Selar Syarifah Raziah.

            “Ziq pun tak sangka akan jadi macam ni. Ziq sangka lepas kahwin dengan Sara, Ziq akan dapat lupakan bayangan Sofiya tapi sebaliknya ingatan Ziq lebih kuat teringatkan Sofiya.” Akui Syed Ziqri. Kedua-dua tangannya meraup wajahnya yang bercukur bersih.

            Syarifah Raziah hanya mampu mengeluh berat. Terasa bersalah pada Sara Adelina kerana meminta gadis itu mengahwini Syed Ziqri sedangkan dia sendiri tahu cinta Syed Ziqri pada arwah Syarifah Irma Sofiya terlalu kuat.

            “Habis tu sekarang macam mana?” Soal Syarifah Raziah senada. Dia turut buntu sebenarnya.

            “Kami akan duduk di bilik lain-lain. Macam sebelum ni.” Sahut Syed Ziqri. Dia turut kesal dengan apa yang berlaku. Namun apakan daya. Hati dan perasaannya tidak mampu dipaksa. Cinta yang dipahat buat arwh isterinya masih kekal utuh.

            Hampir menitis air mata Syarifah Raziah mendengarkan kata-kata anak lelakinya itu. Betapa dia telah sia-siakan masa hadapan Sara Adelina dengan menikahkan kedua-duanya. Kesal kerana nasib Sara Adelina tidak terbela. Andai Syed Ziqri sendiri sudah tidak rela, siapalah dia mahu memaksa perasaan dan hati anak lelakinya itu.

            “Macam mana dengan Sara?” Soal Syarifah Raziah lagi. Mengenali Sara Adelina menyebabkan dia sudah terlalu kasih pada gadis itu. Sara Adelina sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Dan demi kerana itu juga dia mencadangkan Syed Ziqri menikahi gadis itu. Tidak pula dia menyangka hal itu akan terjadi.

            “Ziq pasti Sara pun akan faham.” Jawab Syed Ziqri ringkas.

            Syarifah Raziah hanya mengeluh. Tidak tahu apa yang boleh dia lakukan untuk menjernihkan semula keadaan. Tentu sahaja hati Sara Adelina hancur berkecai dengan perkara itu namun untuk memaksa Syed Ziqri menerima Sara Adelina adalah mustahil kerana dia tidak mampu memaksa perasaan Syed Ziqri.

 

“Boleh umi masuk?” Soal Syarifah Raziah dari muka pintu sekaligus menghentikan Sara Adelina dari meneruskan kerjanya menyusun semula pakaiannya ke dalam almari.

            “Umi, masuklah.” Pelawa Sara Adelina dalam senyum nipis.

            Syarifah Raziah berjalan perlahan menghampiri tempat Sara Adelina. Dia kemudiannya mengambil tempat di birai katil sambil memerhatikan Sara Adelina meneruskan kerja-kerjanya.

            “Ziq dah bagitahu umi.” Kata Syarifah Raziah sambil merenung Sara Adelina dari belakang.

            Kata-kata Syarifah Raziah itu mematikan pergerakan tangan Sara Adelina yang cekap menyusun atur baju. Gadis itu kemudiannya bangun dan melabuhkan duduknya dibirai katil. Menyertai Syarifah Raziah.

            “maafkan umi.” Ucap Syarifah Raziah dengan suara yang mengendur.

            Sara Adelina hanya tersenyum tawar.

            “Mungkin bukan jodoh kami.” Jawab Sara Adelina dalam keluhan.

            “Umi tak dapat nak paksa Ziq.” Sambung Syarifah Raziah dalam nada kesal.

            “Takpelah umi, perihal hati dan perasaan mana boleh dipaksa-paksa.” Jawab Sara Adelina lembut sambil meraih jemari Syarifah Raziah ke dalam tangannya. Cuba menenangkan rasa hati wanita itu sekaligus mencari kekuatan buat dirinya sendiri.

            “Umi kesal sangat sebab jodohkan Sara dengan Ziq sedangkan umi tahu isteri Ziq baru je pergi. Mana mungkin Ziq boleh lupakan arwah Sofiya dalam masa yang terlalu singkat.” Sambung Syarifah Raziah sambil membalas genggaman tangan Sara Adelina.

            “Sara faham.” Balas Sara Adelina tenang walaupun jauh di sudut hatinya itu dia terlalu sebak.

            “Umi bersalah pada Sara.” Kata Syarifah Raziah lagi.

            “Bukan salah umi. Umi tak salah apa-apa. Mungkin dah takdir Sara begini, mungkin bukan jodoh Sara dengan abang Ziq” Jawab Sara Adelina lagi. Dia kemudiannya melemparkan senyum kepada Syarifah Raziah. Walaupun sedar senyuman itu tawar namun dipaksakan juga bibirnya mengukir senyum manis.

            “Sara berilah Ziq masa, siapa tahu, suatu hari nanti Ziq boleh terima Sara.” Kata Syarifah Raziah penuh berharap.

            Sara Adelina hanya mengangguk perlahan. Namun jauh disudut hatinya, dia kurang yakin dengan kata-kata wanita yang baru menjadi ibu mertuanya itu. Entah sampai bila gelaran isteri itu akan disandangnya. Entah-entah tak sampai sebulan, Syed Ziqri akan terus menceraikannya. Mengenangkan yang lelaki itu tidak dapat menerima dirinya, tidak mustahil lelaki itu akan mengakhiri perkahwinan mereka dalam masa yang singkat.

            Syarifah Raziah kemudiannya menarik tubuh Sara Adelina ke dalam pelukannya. Sungguh dia kasihan dan simpati pada nasib yang menimpa Sara Adelina. Sudahlah sebatang kara. Kini terpaksa pula menerima nasib sebegitu.

            “Umi sayangkan Sara.” Ucap Syarifah Raziah sebak.

            “Sara pun sayangkan umi.” Balas Sara Adelina dalam getaran suara. Pelukan Syarifah Raziah dibalas erat. Seolah-olah berharap kehangatan tubuh wanita itu menyerapkan kekuatan pada dirinya.

harap semua suka...tak tahula best ke tak?..hihi :)

Monday 29 October 2012

CINTA BUAT AKU-BAB 4

maaf, n3 kali ni pendek sangat..


BAB 4

Sara Adelina menghantar minuman dan sedikit kuih muih yang sempat dia buat petang tadi ke kerusi batu di halaman rumah. Syarifah Raziah dan Syed Ziqri dilihatnya sudah duduk bersantai sambil bersembang di situ. Sejurus meletakkan minuman dan kuih muih, Sara Adelina berpaling, berkira-kira untuk meninggalkan kedua beranak itu untuk meneruskan perbualan namun belum pun sempat dia melangkah, namanya sudah diseru oleh Syarifah Raziah.

            “Sara duduk dulu.” Pelawa Syarifah Raziah. Senyuman dilempar kepada Sara Adelina tatkala mata mereka bertentang.

            Sara Adelina menurut tanpa banyak bicara. Memang dia selalu meneman Syarifah Raziah minum bersama namun petang itu dia terasa sedikit janggal. Kehadiran Syed Ziqri bersama menyebabkan ada rasa malu yang menebal di hatinya.

            “Ada perkara umi nak bincangkan dengan Sara.” Sambung Syarifah Raziah membuka bicara.

            Sara Adelina hanya membalas kata-kata Syarifah Raziah dengan pandangan redup. Pandangan yang selalu mengiringi ke mana sahaja dia pergi. Mata redup miliknya cukup mendamaikan. Memperlihatkan sisinya yang lembut.

Walau hatinya tertanya-tanya akan tujuan dia diajak untuk bersama dalam perbualan itu, namun tidak dizahirkan persoalan itu diraut wajahnya. Tetap tenang menanti Syarifah Raziah membuka cerita terlebih dahulu.

            Sementara Syed Ziqri seboleh mungkin melarikan anak matanya dari merenung Sara Adelina. Sungguh dia tidak pernah berada sehampir itu dengan Sara Adelina. Selalunya gadis itu hanya menegurnya untuk mengajak minum atau apabila menerima arahan dari Syarifah Raziah untuk disampaikan kepadanya sahaja. Tetapi ketika itu, Syarifah Raziah telah membuka peluang untuk dia duduk semeja dengan Sara Adelina bagi membincangkan hal yang pernah disuarakan uminya itu beberapa hari yang lepas.

            Sejujurnya Syed Ziqri sudah mempertimbangkan saranan uminya itu. Dia bersetuju untuk dijodohkan dengan Sara Adelina. Itupun setelah dia memikirkan banyak perkara. Setelah ditimbang tara, dia mengambil keputusan untuk bersetuju dengan cadangan Syarifah Raziah untuk memperisterikan Sara Adelina. Antara sebab utamanya ialah Emma Saffiya. Dia perlu berhenti memikirkan dirinya sendiri. Apabila teringatkan janji yang pernah dibuat kepada arwah isterinya dahulu, dia tahu dia perlu menunaikan janji itu. Memberikan kehidupan yang lebih baik kepada Emma Saffiya.

            Syed Ziqri termenung untuk seketika. Sejujurnya dia bukan sahaja memikirkan Emma Saffiya sahaja. Dia turut bersetuju dengan cadangan itu kerana dia mahu melupakan kenangan bersama Syarifah Irma Sofiya. Hidup dalam kenangan arwah isterinya itu cukup membebankan fikiran dan perasaannya dan dia perlu lari dari semua rasa yang membebani fikirannya. Dia perlu bertukar angin. Membuat keputusan drastik supaya perhatiannya dilarikan dari terus mengingati Syarifah Irma Sofiya.

            Dan antara sebab lain mengapa dia bersetuju ialah kerana dia kasihan kepada Sara Adelina. Setelah diceritakan oleh uminya akan latar belakang Sara Adelina, dia jatuh belas pada gadis itu. Entah kenapa setiap kali bertentang mata dengan pandangan redup Sara Adelina, dia rasa ada satu perasaan aneh yang menjalar dihatinya. Perasaan yang dia sendiri sukar mengertikan namun hatinya kuat mengatakan perasaan itu ialah perasaan kasihan dengan nasib dan latar belakang Sara Adelina. Sekurang-kurangnya itulah yang dia benar-benar pasti ketika itu.

            “Memandangkan Ziq pun ada sekali, umi rasa umi tak nak tangguh-tangguh pasal perkara ni.” Suara Syarifah Raziah mengejutkan Syed Ziqri dari lamunan jauh.

            Sara Adelina hanya setia mendengar sementara Syed Ziqri sudah mula memberikan perhatian.

            “Umi harap Sara tak marah tentang perkara yang umi nak sampaikan ni.”

            Syarifah Raziah berhenti sebentar sebelum menyambung semula kata-katanya.

            “Umi nak jodohkan Sara dengan Ziq. Itupun kalau Sara setuju.”

            Sara Adelina tersentak seketika. Tidak percaya dengan apa yang dijamah telinganya ketika itu. Benarkah Syarifah Raziah baru menyatakan hasrat untuk menjadikan dia menantu di rumah itu?.

            “Umi nak jadikan Sara isteri Encik Ziqri?” Soal Sara Adelina untuk mendapatkan kepastian. Dia menjeling sekilas ke arah Syed Ziqri. Lelaki itu tenang dengan duduknya. Tiada lansung reaksi terperanjat diwajah Syed Ziqri. Seolah-olah lelaki itu sudah lama tahu akan hal itu.

            “Kalau Sara setuju. Umi nak kahwinkan Sara dengan Ziq. Jadi ibu kepada Emma Saffiya. Umi harap Sara faham kenapa umi buat permintaan ni. Emma masih kecil dan dia perlukan kasih sayang seorang ibu, sentuhan seorang ibu dan sejak Sara ada di sini, Sara dah jadi macam ibu kepada Emma. Dan umi harap sangat Sara boleh terus jadi ibu kepada Emma, sampai bila-bila.” Luah Syarifah Raziah penuh harapan.

            Sara Adelina tertunduk. Tidak tahu apa perasaannya ketika itu. Dia tidak pernah menyimpan hati terhadap Syed Ziqri, jauh sekali terlintas difikirannya untuk menjadi isteri kepada lelaki itu. Antara mereka bagai pipit dengan enggang. Manakan boleh berjalan bersama.

            “Umi tak paksa Sara cuma umi harap Sara boleh penuhi permintaan umi. Umi kasihan tengok Emma. Dia perlukan kasih sayang seorang ibu dan hanya Sara sahaja yang boleh beri semua tu.” Tambah Syarifah Raziah lagi.

            “Bagaimana dengan Encik Ziqri?” Soal Sara Adelina kembali. Berona merah wajahnya saat dia kemukan persoalan itu. Sejujurnya dia juga harus tahu apa yang Syed Ziqri rasakan. Dia tidak mahu Syed Ziqri dipaksa menerimanya. Biarlah lelaki itu rela mengahwininya.

            “Saya tiada masalah.” Jawab Syed Ziqri bagi pihak dirinya sendiri.

            “Saya setuju dengan cadangan umi.” Sambungnya.

            Sara Adelina tertunduk, tidak berani dia mengangkat wajah. Bimbang Syarifah Raziah dan Syed Ziqri menyedari wajahnya yang sudah bertukar warna.

            “Sara setuju?” Soal Syarifah Raziah penuh pengharapan.

            “Kalau Encik Ziqri setuju, Sara ikut sahaja.” Jawab Sara Adelina akhirnya. Lancar bibirnya menyatakan persetujuan. Tidak tahu kenapa, tetapi dia amat menyenangi perkara itu. Bukan kerana dia inginkan kekayaan Syed Ziqri cuma dia ingin sekali berkongsi kebahagian dan kasih sayang ahli dalam rumah itu. Dia ingin sekali menjadi sebahagian dari kegembiraan itu. Menjadi sebahagian dari ahli keluarga Syarifah Raziah. Menjadi ibu kepada Emma Saffiya, anak kecil yang telah dia curahkan kasih sayangnya melimpah ruah. Dan dia ingin sekali semua itu berterusan dan cadangan Syarifah Raziah akan merealisasikan impiannya itu.

            Syarifah Raziah tersenyum gembira. Pantas tubuh Sara Adelina diraih dalam pelukannya. Lega hatinya saat kata persetujuan itu meluncur laju dari bibir nipis Sara Adelina. Sesungguhnya itulah harapannya. Persetujuan Sara Adelina itu akan menyelesaikan banyak perkara dan dia cukup bahagia dan gembira tatkala Sara Adelina dan Syed Ziqri bersetuju tanpa membantah sedikitpun.

            “Terima kasih Sara.” Kata Syarifah Raziah riang.

 

Sara Adelina berbaring mengiring sambil memangku kepalanya dilengan kanan. Perbincangan bersama Syarifah Raziah dan Syed Ziqri lewat petang tadi menyebabkan dia tersenyum tanpa sedar. Sungguh dia tidak pernah membayangkan perkara itu terjadi jauh sekali menjangkakan ia benar-benar akan terjadi. Dia hadir dalam keluarga itu secara kebetulan. Tidak disangka pula kebetulan itu akhirnya akan membawa dirinya kepada jodoh. Walaupun Syed Ziqri pernah beristeri namun sedikit pun perkara itu tidak merunsingkannya. Andai sudah ditakdirkan jodohnya bersama Syed Ziqri, dia akan menerima. Cuma ada perkara yang masih meninggalkan tanda tanya dibenaknya. Mengapa mudah benar Syed Ziqri menerima cadangan itu? Syed Ziqri bukanlah calang-calang lelaki. Walaupun bukanlah dikategorikan lelaki paling kacak dan paling kaya namun daya tarikannya masih mampu  membuatkan hati wanita cair. Hartanya walaupun tidak sebanyak orang-orang kaya lain, namun cukup untuk memberikan kemewahan kepada mereka sekeluarga. Tiada yang kurang pada Syed Ziqri. Jika hendak dibandingkan dengan dirinya, lelaki itu lebih dalam segala hal. Jika Syed Ziqri sendiri ingin, dia boleh mencari gadis lain, yang jauh lebih baik dari diri Sara Adelina sendiri.

            Sara Adelina kembali bermenung. Andai sudah tertulis jodohnya bersama lelaki itu, dia tidak akan menolak. Semoga rumahtangga yang bakal dia bina aman bahagia hendaknya. Untung sahaja dia sebatang kara, tidak perlulah dia membincangkan perkara itu dengan sesiapa. Persetujuan dia sendiri sudah mencukupi. Namun jauh disudut hatinya, dia tetap berasa sunyi. Sunyi kerana tiada sesiapa bersamanya untuk dia berkongsi rasa itu malah apa jua rasa-rasa lain. Besar harapannya semoga perkahwinan itu akan mengusir pergi segala kesunyian yang dia rasakan selama ini. Lama bermenung dan berfikir, Sara Adelina kemudiannya tertidur sendiri.

 

Jari jemarinya meletup perlahan saat dia mematah-matahkannya. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa seram sejuk. Kalau awal tadi dia rasakan cukup berani untuk meneruskan niatnya, kini apabila dia berdiri betul-betul dihadapan bilik Syed Ziqri, hatinya dilanda debar pula.

            Sara Adelina tidak jadi meneruskan niatnya. Pantas dia berpaling, mahu kembali ke biliknya namun belum sempat dia melangkah pergi, pintu bilik Syed Ziqri pula terbuka dari dalam.

            “Sara.” Tegur Syed Ziqri senada.

            Sara Adelina berpaling menghadap Syed Ziqri. Tatkala mata mereka bertembung, cepat-cepat Sara Adelina melarikan anak mata. Selepas peristiwa Syarifah Raziah meminta jawapannya petang semalam, rasa malunya menebal tatkala dia bertembung muka dengan Syed Ziqri.

            “Sara nak jumpa saya?” Teka Syed Ziqri.

            Sara Adelina hanya mengangguk. Menafikan perkara itu hanya akan menambah persoalan di hati Syed Ziqri. Lebih baik dia berterus terang sahaja dengan niatnya.

            “Kita turun.” Saran Syed Ziqri.

            Sekali lagi Sara Adelina mengangguk.

            Syed Ziqri berjalan mendahului. Sara Adelina hanya membuntuti dari belakang.

            Sejurus tiba di ruang tamu, Syed Ziqri labuhkan duduknya di salah satu sofa, manakala Sara Adelina pula duduk di sofa bahagian tepi. Mengelak dari bertembung mata dengan Syed Ziqri.

            “Ada hal apa Sara nak jumpa dengan saya?” Soal Syed Ziqri sambil memandang Sara Adelina.

            “Boleh Sara nak tanyakan sesuatu?” Soalan Syed Ziqri dibalas soalan kembali. Sara Adelina beranikan diri menentang pandangan Syed Ziqri.

            “Tanyalah.” Balas Syed Ziqri penuh minat.

            “Kenapa Encik Ziqri setuju dengan cadangan umi?” Soal Sara Adelina ingin tahu. Memang sejak pagi tadi, hatinya meronta-ronta ingin tahu. Ikhlaskah Syed Ziqri menerimanya atau lelaki itu sebenarnya dipaksa.

            “Sara tak suka?” Soalan Sara Adelina di balas soalan kembali.

            Terperanjat Sara Adelina dengan soalan yang meluncur dari bibir Syed Ziqri. Sejujurnya bukan soalan itu yang dia jangkakan dari mulut Syed Ziqri kerana dia sendiri tidak bersedia dengan jawapan kepada persoalan itu.

            “Sara tak suka kahwin dengan saya?” Soal Syed Ziqri untuk kali yang kedua.

            Berona merah wajah Sara Adelina tatkala soalan itu ditanya untuk kali kedua. Dia bukan tidak suka, cuma dia tertanya-tanya akan keikhlasan Syed Ziqri bersetuju untuk mengahwininya.

            “Sara belum jawab soalan saya.” Kata Syed Ziqri senada.

            “Sara bukan tak suka, cuma Sara hairan Encik Ziqri tak membantah cadangan umi.” Luah Sara Adelina jujur.

            “Hairan?” Soal Syed Ziqri mendatar.

            Sara Adelina hanya menjawab persoalan Syed Ziqri dengan pandangan mata. Mengisyaratkan bahawa kata-katanya sebentar tadi harus disusuli dengan penjelasan oleh Syed Ziqri.

            “Apa yang nak dihairankan? Semalam umi dah bagitahu, Emma perlukan ibu dan Sara merupakan calon yang paling sesuai dan saya ikhlas terima Sara sebagai isteri. Sampai bila saya nak hidup dalam bayang-bayang arwah isteri saya. Kehidupan perlu diteruskan, yang pergi pasti takkan kembali.” Jawab Syed Ziqri walaupun dia sendiri tidak yakin dengan kata-katanya. Benarkah dia boleh teruskan hidup tanpa sekelumit pun ingatannya teraih pada arwah isterinya?. Walaupun tidak pasti dengan jawapannya sendiri namun dia rasa dia sudah berjaya meyakinkan Sara Adelina.

            “Terima kasih sebab sudi terima saya.” Balas Sara Adelina rendah diri.

            “Insyaallah saya akan cuba yang terbaik dalam perkahwinan ni.” Kata Syed Ziqri tanpa membalas kata-kata Sara Adelina. Sejujurnya itulah yang dia harapkan. Berharap agar perkahwinannya dengan Sara Adelina nanti akan mengusir pergi semua kenangan dan memori yang masih tinggal terhadap Syarifah Irma Sofiya.

harap semua suka :)

Sunday 21 October 2012

CINTA BUAT AKU -BAB 3

maaf la kalau n3 ni pendek sikit..tak sempat nak edit,huhu. harap semua enjoy..kalau suka bagitahu :)


BAB 3

Syarifah Raziah hanya memerhatikan Sara Adelina dari kejauhan. Sepanjang dua bulan Sara Adelina berada di situ dia cukup suka melihat Sara Adelina melakukan semua kerja-kerja dia rumahnya. Sejuk hatinya memerhatikan kelembutan Sara Adelina. Cara Sara Adelina melayani Emma Saffiya membuatkan hati ibunya tersentuh.

            Semenjak Sara Adelina bertindak mengambil alih tugas Mak Wati sepenuhnya, Syarifah Raziah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada gadis itu untuk menguruskan rumahnya. Sejurus Mak Wati menyatakan hasratnya untuk bersara, dia tidak lagi menghalang. Memandangkan wanita yang sudah dianggap seperti kakak itu sudah beberapa kali memohon untuk bersara kerana ingin menghabiskan masa bersama-sama anak-anak. Syarifah Raziah turutkan sahaja permintaan Mak Wati kerana dia tahu Sara Adelina sudah ada bagi menggantikan tempat yang akan ditinggalkan oleh wanita itu. Tiada guna dia menahan Mak Wati di situ kerana wanita itu juga ada perancangannya sendiri.

Syarifah Raziah sudah cukup bersyukur dengan kehadiran Sara Adelina. Andai dia dikurniakan anak perempuan suatu waktu dahulu, pasti dia mahukan anaknya itu persis Sara Adelina. Taat, setia dan baik hati. Terlalu naïf pada pandangan matanya. Tingkah gadis itu cukup menyejukkan hatinya.

            Syarifah Raziah kemudiannya termenung untuk seketika. Selama sebulan yang lepas, dia sudah mula terfikirkan sesuatu. Namun untuk dia suarakan hal itu kepada Syed Ziqri terasa berat pula mulutnya ingin berbicara. Takut sekiranya Syed Ziqri membantah. Dan lebih takut lagi kalau Syed Ziqri melenting. Namun memikirkan semua kebaikan yang perkara itu akan bawa membuatkan Syarifah Raziah nekad. Dia mahu menyuarakan rasa hatinya itu kepada Syed Ziqri. Selebihnya terpulanglah kepada Syed Ziqri untuk membuat keputusan. Walau Syed Ziqri menentang sekalipun, dia sudah cukup berpuas hati. Sekurang-kurangnya dia cuba menyampaikan perkara itu yang lama dipendam dalam hatinya.

            Syarifah Raziah bangun dan berlalu ke bilik Syed Ziqri. Ingin dia bincangkan hal itu bersama Syed Ziqri. Dia tidak mahu menangguh lebih lama lagi. Lebih cepat dia berbincang dengan Syed Ziqri, lebih cepat perkara itu selesai. Syarifah Raziah mula berlapang dada.

 

“Masuk.” Terdengar suara Syed Ziqri mengarahkan dari dalam bilik.

            Syarifah Raziah tanpa membuang masa terus menguak daun pintu bilik lalu berjalan perlahan memasuki bilik. Langkahnya dihayun menuju ke arah Syed Ziqri yang duduk santai di kerusi bersebelahan balkoni bilik sambil membuang pandang ke arah halaman rumah.

            “Ziq sibuk?” Soal Syarifah Raziah lembut seraya mengambil tempat bersebelahan Syed Ziqri. Dia turut membuang pandang ke arah yang diperhatikan oleh Syed Ziqri.

            Syed Ziqri hanya menjawab soalan Syarifah Raziah dengan memandang ke arah wajah ibunya itu.

            “Ziq tengok Sara?” Soal Syarifah Raziah dalam senyuman. Pandangan Syed Ziqri kepadanya cukup menjelaskan perlakuan anak lelakinya itu sebentar tadi.

            “Ada juga perempuan naïf macam tu.” Kata Syed Ziqri senada. Sejujurnya penampilan dan perlakuan Sara Adelina menarik perhatiannya. Kali pertama dia melihat gadis senaif Sara Adelina. Malah bukan sekadar naïf malah terlalu naïf pada pandangan matanya. Selama dia hidup, belum pernah dia bertemu dengan gadis begitu. Selalunya gadis yang pernah menjadi kenalannya terdiri daripada gadis-gadis yang berpenampilan menarik, berdikari dan yang paling dia suka, ramai antara kenalannya yang matang dan boleh membuat keputusan sendiri dan bukannya bertindak di atas arahan sebagaimana yang dia kesan ada pada Sara Adelina.

Malah arwah isterinya juga merupakan wanita dari golongan yang begitu. Bijak, berpenampilan menarik, berdikari dan boleh membuat keputusan sendiri. Namun tidak dapat dinafikan juga, kehadiran Sara Adelina turut membuatkan perhatiannya lari dari meratapi kehilangan isteri kesayangannya itu. Dia kini lebih banyak memerhati dan mengkaji kelainan pada perwatakan Sara Adelina. Ada sesuatu pada gadis itu yang menarik perhatiannya.

Syarifah Raziah hanya tersenyum nipis menanggapi kata-kata Syed Ziqri.

“Umi ada perkara nak dibincangkan dengan Ziq.” Suara Syarifah Raziah perlahan sambil matanya memandang ke arah Sara Adelina. Lama.

“Perkara apa?” Soal Syed Ziqri penuh minat. Semenjak kebelakangan ini, tidak pernah dia duduk berbincang bersama ibunya itu. Malah seingatnya semenjak Syarifah Irma Sofiya tiada, mereka belum pernah berbincang dari hati ke hati.

“Kalau umi suarakan hal ni, umi harap Ziq tak marah.” Ucap Syarifah Raziah perlahan. Tuturnya itu dilembutkan. Seboleh-bolehnya dia ingin menyampaikan hal itu dengan cara yang berhemah.

Syed Ziqri sudah mula mengerutkan keningnya. Pelik dengan bicara yang terluah dari bibir uminya itu.

“Umi harap Ziq boleh fikirkan cadangan umi ni.” Sambung Syarifah Raziah lagi.

Wanita itu kemudiannya menyambung.

“Umi ingat nak jodohkan Ziq dengan Sara.” Ucap Syarifah Raziah terus terang. Ringkas dan padat kata-katanya. Terus pada maksudnya. Memang sejak kebelakangan ini, itulah yang dia fikirkan.

Sementara Syed Ziqri sudahpun membiaskan riak terkejut diwajahnya. Hairan dengan saranan uminya itu.

“Umi nak Ziq kahwin dengan Sara?” Soal Syed Ziqri tenang. Sejujurnya dia inginkan kepastian untuk kali yang kedua.

Syarifah Raziah tidak menjawab sebaliknya hanya menggangguk menzahirkan jawapannya.

“Umi, Sofiya baru pergi empat bulan, tak mungkin secepat tu Ziq nak cari pengganti.” Ucap Syed Ziqri dalam nada mengendur. Tidak pula dia melenting dengan cadangan ibunya itu cuma dia tidak bersetuju untuk mencari pengganti Syarifah Irma Sofiya secepat itu. Ingatannya masih kuat terhadap arwah isterinya itu, cintanya masih hidup, rindunya masih bersisa.

“Ziq kena fikirkan tentang Emma. Yang dah pergi tak mungkin kembali. Kita yang masih hidup kena teruskan kehidupan. Jangan biar perkara yang berlaku menghalang kita dari teruskan kehidupan. Tak adil kalau Ziq masih hidup dalam kenangan. Tak adil bagi Ziq, tak adil bagi Emma. Sekurang-kurangnya Ziq bagi peluang pada diri sendiri untuk lupakan apa yang telah berlaku.” Sambut Syarifah Raziah lembut. Dia hanya mahu membawa anak lelakinya itu berfikir.

“Ziq belum sedia nak cari pengganti Sofiya.” Balas Syed Ziqri lembut. Dia kemudiannya membuang pandang ke arah Sara Adelina yang masih tekun mengemas ruang halaman banglo mereka.

“Sara bukan perempuan yang Ziq cari.” Tambah Syed Ziqri lagi dalam menungan jauh. Seolah-olah membayangkan karekter perempuan yang tersenarai dalam pilihannya. Perempuan seperti arwah isterinya.

“Mungkin bukan perempuan yang Ziq cari, tapi dia mungkin ibu yang Emma cari.” Ujar Syarifah Raziah perlahan. Dia mahu Syed Ziqri berfikir jauh. Dia tidak menyuarakan hal itu untuk kepentingan Syed Ziqri seorang malah dia juga memikirkan akan kepentingan Emma Saffiya. Anak kecil itu memang memerlukan seorang ibu dan pada pandangannya, hanya Sara Adelina sahaja yang layak.

“Umi dan bincang dengan Sara?” Soal Syed Ziqri kemudiannya. Terfikir juga adakah rancangan uminya itu sudah tersebar ke pengetahuan Sara Adelina.

“Belum.” Jawab Syarifah Raziah sepatah.

“Macam mana umi tahu dia akan setuju dengan cadangan umi ni?” Soal syed Ziqri lagi. Hairan juga kerana Syarifah Raziah seolah-olah cuba mengaturkan rancangan itu sendirian tanpa bertanyakan pendapat Sara Adelina terlebih dahulu.

“Sepanjang dua bulan ni umi perhatikan dia, dia bukan jenis yang suka membantah. Umi percaya kalau kena pada caranya, umi boleh pujuk dia terima Ziq.” Sahut Syarifah Raziah sambil memandang semula ke arah halaman rumah. Pandangannya jauh melangkaui Sara Adelina.

“Umi pasti?” Soal Syed Ziqri lagi.

Syarifah Raziah hanya mengangguk dalam senyuman.

Wanita itu kemudiannya bangun dari duduknya.

“Ziq fikirkanlah saranan umi tu. Fikirkan Emma.” Kata Syarifah Raziah seraya berlalu ke pintu. Dia mahu Syed Ziqri memikirkan kata-katanya. Ada sebab mengapa dia mengemukakan cadangan itu. Bukan kerana dia sudah melupakan arwah menantunya dahulu cuma dia perlu memikirkan kebajikan Emma Saffiya. Anak kecil itu perlukan perhatian dan kebetulan Sara Adelina hadir memberikan keperluan itu. Dan peluang itu dilihatnya sebagai peluang yang jarang-jarang hadir dan dia tidak sepatutnya melepaskan peluang itu berlalu begitu sahaja. Emma Saffiya masih terlalu kecil untuk mengharungi hidup tanpa kehadiran seorang ibu di sisi dan Syarifah Raziah hanya melakukan apa yang dirasakan perlu untuk anak kecil itu.

 

Syed Ziqri termenung jauh memandang syiling bilik. Pandangannya menjangkau pandangan matanya. Saranan uminya bermain-main di kepalanya. Seolah-olah perakam suara yang diulang main beberapa kali. Hairan pula dengan hatinya sendiri. Saranan Syarifah Raziah itu walaupun dirasakan terlalu aneh dan pelik, tetapi tidak pula dia rasa ingin marah dan melenting. Entah kenapa hatinya itu jadi lembut menanggapi permintaan uminya itu.

            Dalam menungan jauh itu fikiran Syed Ziqri teraih pada arwah isterinya sebulan sebelum Emma Saffiya dilahirkan.

            “Abang, boleh tak abang janji dengan Yaya satu perkara.” Pinta Syarifah Irma Sofiya lembut. Tangan suaminya itu diraih dan dikucup penuh kasih.

            “Janji apa?” Soal Syed Ziqri sambil menarik tubuh isterinya ke dalam pelukannya. Entah kenapa sejak kebelakangan ini dirasakan tingkah Syarifah Irma Sofiya sangat berlainan sekali. Isterinya itu kerapkali mahu bermanja dengannya. Barangkali pembawakan bayi yang sedang dialami oleh isterinya itu. Fikir Syed Ziqri sendiri.

            “Janji dengan Yaya, kalau jadi apa-apa pada Yaya, abang kena jaga baby kita baik-baik.” Luah Syarifah Irma Sofiya dalam sebak.

            “Yaya cakap apa ni?. Yaya tak kan apa-apa. Kita sama-sama besarkan anak kita.” Balas Syed Ziqri tidak senang. Semenjak usia kandungan mencecah lapan bulan, isterinya itu sudah suka berkata-kata yang bukan-bukan. Dia pula yang naik risau melihatkan perubahan isterinya itu.

            “Yaya tahu, tapi abang kena janji dengan Yaya. Kalau Yaya tak selamat masa lahirkan baby kita, abang kena jaga dia baik-baik.” Syarifah Irma Sofiya menuntut Syed Ziqri mengikat janji dengannya.

            Syed Ziqri membalas pandangan redup isterinya sambil meraih jemari Syarifah Irma Sofiya lalu mengucupnya lembut. Sungguh dia terlalu kasih kepada isterinya itu.

            “Abang janji.” Kata Syed Ziqri dalam senyuman nipis.

            Persetujuan Syed Ziqri itu mengundang senyum di bibir merah Syarifah Irma Sofiya.

 

Ketukan di muka pintu mengejutkan Syed Ziqri dari lamunan. Terhambur pergi segala kenangan yang pernah disulam bersama isterinya dahulu. Syed Ziqri melurut kasar rambutnya. Cuba mengusir pergi kenangan-kenangan yang masih bersisa. Benar kata uminya. Kehidupan perlu diteruskan dan dia tidak boleh terus terkurung dalam ingatan dan kenangan yang memenjarakan dirinya. Dia harus bangun dan melupakan semua yang telah berlaku. Yang pergi tidak mungkin akan kembali dan dia harus tegas dalam menerima hakikat itu.

            Syed Ziqri bangun dan berjalan ke pintu. Sejurus berdiri di depan pintu, dikuak luas pintu itu. Sara Adelina berdiri di muka pintu dengan senyuman.

            “Encik Ziqri, umi panggil turun makan.” Ajak Sara Adelina lembut. Hilang sudah panggilan Tuan Syed yang dia gunakan awal dahulu. Semenjak dengan terang Syed Ziqri melarang dia menggunakan panggilan itu, dia sudah menukarkan gelarannya dari ‘Tuan Syed’ kepada ‘ Encik Ziqri’ sahaja.

            “Sekejap lagi saya turun.” Jawab Syed Ziqri dalam senyum nipis.

            Sara Adelina hanya tersenyum menanggapi jawapan Syed Ziqri. Senyuman Syed Ziqri itu cukup menawan pada pandangan matanya. Dia kemudiannya berpaling sebelum berlalu.

            Sementara Syed Ziqri kembali duduk dibirai katil. Dia kembali termenung. Permintaan uminya tiba-tiba menerjah kembali. Dia mula memikirkan semula kata-kata Syarifah Raziah. Patutkah dia mempertimbangkan permintaan uminya itu?. Memang tidak dinafikan, Sara Adelina ada tarikannya tersendiri. Walaupun tidak secantik arwah isterinya dahulu namun ada sesuatu tentang Sara Adelina yang menarik perhatiannya. Yang membuatkan dia tidak jemu-jemu berfikir tentang gadis itu. Menanggapi Sara Adelina setiap hari membuatkan dia berubah karekter. Kalau dulu dia seorang yang sangat cerewet dan panas baran namun menanggapi redupnya sinar mata Sara Adelina membuatkan dia hilang jati dirinya sendiri.

            Syed Ziqri sedar perasaan yang hadir itu bukanlah satu perasaan istimewa, ianya hanyalah satu perasaan baru kerana dia baru bertemu dengan gadis seperti Sara Adelina. Seolah satu penemuan baru dalam hidupnya dan dia juga tidak lari dari rasa teruja untuk mengkaji dan membuat pemerhatian. Perasaannya terhadap Sara Adelina terhad setakat itu sahaja, tidak lebih dari itu. Dan dia amat pasti akan hal itu.

p/s-bab akan datang mungkin ambil masa sikit sbb part malam pertama tu tak siap2..cik tulip mmg ada kelemahan nak lakarkan peristiwa malam pertama ni..kalau skip blh tak? hihi

Tuesday 16 October 2012

CINTA BUAT AKU-BAB 2

Kepada yang tinggalkan komen, terima kasih byk2..berbunga hati cik tulip membaca komen semua :)
jom ikuti bab 2 CBA, kalau suka bgtahu ye...


BAB 2

 

Sapari melempar beberapa keping wang RM50 kepada beberapa orang lelaki yang sedang duduk-duduk di kedai kopinya. Hangat hatinya melihat wajah selamba orang suruhannya itu.

            “Tak kan banyak ni je bang Sapar.” Kata Burn, lelaki berjambang lebat itu merungut.

            ‘Kerja korang macam taik, nak suruh aku bagi banyak-banyak.” Sahut Sapari kasar. Hilang sabarnya bila anak-anak buahnya itu lansung tidak berjaya melaksanakan tugas yang diberi malah bila mendapat upah masih mahu merungut-rungut.

            Ala bang, kitaorang pun penat juga, kejar tengah-tengah malam buta tapi banyak ni je abang bagi.” Kata Jerung sambil menunjuk wang kertas lima puluh ringgit itu dimata Sapari.

            “Aku suruh korang tangkap perempuan tu pun korang tak dapat, ini nak mintak upah lebih-lebih. Dia sorang tapi korang bertiga!. Itu belum masuk lagi bab dia tu perempuan tapi korang lelaki. Buat kerja macam pondan. Nama je lelaki tapi nak tangkap sorang perempuan pun tak mampu!.” Tukas Sapari sinis.

            Ala bang, kan waktu tu waktu malam, mana la kitaorang nampak dia lari kat mana.” Sahut Rudi sekaligus membela dirinya dan rakan-rakan yang lain.

            “Habis tu macam mana dengan gerai aku ni, sekarang Sara dan takde, makin kurang la pelanggan aku nanti.” Rungut Sapari, wajah anak-anak buahnya itu dipandang geram. Sudahlah kerja yang diberi tak selesai tapi upah mahu lebih. Panas hatinya bila mendengar rungutan mereka itu.

            “Abang cari la perempuan lain ganti dia, bukan takde anak dara kat kampung ni, ramai lagi. Lagipun ramai yang tengah cari kerja sekarang ni. Kalau bang Sapar offer mesti ramai yang nak kerja.” Kata Burn lagi.

            “betul tu bang, setakat buat air, goreng mee, buat nasi lemak tu, sape-sape pun boleh buat. Bukan susah sangat pun.” Tambah Rudi.

            “Bodoh betul la korang ni, kalau ambik perempuan lain, tentu la aku kena bagi upah. Kalau Sara tu je kerja, tak payah aku keluar duit. Dia tu anak buah bini aku.”Tukas Sapari.

            “Betul juga tu.” Kata Burn. Dia tersenyum sumbing memperlihatkan giginya yang jarang dan kekuningan.

            “Kalau dah bodoh tu, sampai ke mati pun bodoh juga.” Sindir Sapari. Dia kemudiannya bangun dan berlalu meninggalkan anak-anak buahnya yang hanya tersenyum sumbing mendengarkan kata-katanya.

 

 

Beg plastik berisi pakaian di lantai rumahnya disepak kasar. Terburai isi plastik apabila plastik itu terlanggar dinding. Sapari merengus geram. Pakaian dari dalam plastik yang bertaburan di lantai dilihat geram. Pakaian yang baru dibeli seminggu lalu itu cadangnya hendak diberi kepada Sara Adelina tetapi apabila Sara Adelina bertindak melarikan diri dari rumahnya, semua rancangannya musnah.

            Sapari duduk di kerusi kayu yang usang. Rambutnya yang sedikit beruban di bahagian kiri dan kanan dilurut kasar. Dia tahu kenapa Sara Adelina melarikan diri. Gadis itu pastinya tidak bersetuju dengan cadangannya beberapa minggu lepas. Sapari mengimbas kembali perbualannya bersama anak buah isterinya itu. Dia amat-amat pasti kerana itulah Sara Adelina melarikan diri.

            “Sara tak nak buat macam pak usu suruh.” Kata Sara Adelina tegas. Mustahil untuk dia bersetuju dengan permintaan Sapari.

            “Kau bukan tak tahu pelanggan aku tu semua suka kat kau. Aku cuma nak majukan lagi perniagaan aku, nanti kau pun tumpang senang juga.”Sahut Sapari.

            “Tapi apa yang pak usu suruh Sara buat tu berdosa, pak usu suruh Sara buka tudung, pakai baju seksi. Sara tak nak buat semua tu. Sara tak nak buat benda yang Allah tak suka.” Kata Sara Adelina lagi. Baginya permintaan Sapari amat keterlaluan. Dia tidak boleh bersetuju sahaja apabila Sapari memintanya membuka tudung. Tambahan lagi Sapari turut menyuruhnya mengenakan pakaian ketat yang mendedahkan sebahagian tubuhnya. Sebagai seorang yang terdidik dengan ajaran agama, dia tidak mahu lakukan semua itu. Dia takutkan dosa, takutkan neraka.

            “kau setuju atau tak, aku tak peduli, yang aku tahu minggu depan kau pakai baju yang aku beli tu.” Kata Sapari kasar. Dia bangun untuk berlalu sejurus mengeluarkan kata-kata itu. Panas hatinya bila Sara Adelina membantah kata-katanya.

            Sara Adelina dilihatnya sudah terduduk di kerusi kayu di tengah-tengah rumah. Ugutan itu membuatkan Sara Adelina  rasa cuak dan sebak dalam masa yang sama. Semenjak mak usunya meninggal dunia, Sapari tanpa segan silu cuba mencorak kehidupannya. Dan yang paling dia tidak tahan, lelaki itu sudah berani memerintahkan dirinya melakukan dosa. Dia tidak betah lagi berada disitu lagi. Bimbang dengan nasib dirinya. Entah apa lagi perancangan Sapari sekiranya dia terus tinggal di situ.

 

Sapari menyedut dalam rokok yang terselit dijarinya. Semua perancangan sudah dia aturkan dengan baik. Dia amat pasti Sara Adelina akan mengikut kata-katanya. Namun apabila Sara Adelina bertindak melarikan diri dari rumahnya, dia jadi berang. Jika dia berjumpa di mana Sara Adelina bersembunyi, tahulah dia bagaimana dia mahu mengajar anak saudara arwah isterinya itu. Semenjak isterinya meninggal dunia, memang Sara Adelina seringkali sahaja meningkah kata-katanya.

            Jika tidak difikirkan perniagaan kecilnya itu, sudah lama dia kahwinkan Sara Adelina dengan sesiapa sahaja yang bertanya. Namun memikirkan semua pelanggannya menyukai kehadiran dan layanan dari Sara Adelina, dia tidak bercadang menyerahkan Sara Adelina kepada orang lain dahulu. Biarlah Sara Adelina menjadi sumber pandapatannya dahulu. Jika kewangannya sudah stabil barulah dia akan memikirkan langkah seterusnya samaada mahu menikahkan Sara Adelina atau sebaliknya.

            Namun semua itu hanya tinggal impiannya sahaja. Anak buah isterinya itu dengan beraninya melarikan diri dari rumahnya. Sapari memang cukup marah dengan tindakan Sara Adelina itu. Kerana Sara Adelina, kini dia dimarahi oleh kesemua pelanggan gerainya. Ada juga sebahagiannya yang sudah tidak lagi berkunjung ke gerainya malah ada yang mengugut, sekiranya Sara Adelina tidak kembali bekerja, mereka akan terus berhenti dari mengunjungi warung Sapari itu.

            Bertambah bingung kepala Sapari memikirkan semua itu. Jika Sara Adelina tidak ditemukan secepat mungkin, perniagaan kecil miliknya akan musnah. Hancurlah perancangan masa depannya. Bagaimana dia ingin menyara hidupnya jika perniagaannya musnah. Hanya itu sahaja sumber pendapatan yang dia miliki.

 

 

Syed Ziqri duduk termenung lama di tepi tasik itu. Sejak dua bulan yang lalu itulah rutin sehariannya. Dia tidak betah berlama-lama di rumah, masanya banyak diluang di luar rumah. Kerja pejabatnya juga sudah dua bulan tertangguh. Semua diserahkan bulat-bulat pada uminya. Pada waktu itu, dia tidak mampu berfikir dengan tenang. Fikirannya kacau, jiwanya galau.

            Wajahnya yang dipenuhi jambang diraup kasar, kehilangan Sofiya  dua bulan yang lalu benar-benar membuatkan dia hilang arah. Hidupnya terumbang ambing akibat kehilangan itu. Hatinya bagai ditusuk-tusuk dengan pisau tajam dan sakitnya terasa menghiris. Tangkai hatinya terasa direntap kasar. Walaupun bernyawa, namun dia umpama mayat hidup.  Hidupnya kini tiada tujuan yang pasti.

            Syed Ziqri membuang pandang ke hujung tasik, empat tahun dahulu, disitu lah detik awal perkenalan dirinya dan Sofiya. Tangannya pantas mengutip batu kecil dan membaling ke tengah air tasik. Air tasik itu beriak kecil apabila batu mencecah permukaan air. Sebentar kemudian, air tersebut kembali tenang.

Syed Ziqri memandang kosong ke pondok-pondok kecil yang dibina sepanjang tasik. Hampir setiap pondok punyai penghuni dan kebanyakan penghuni di situ adalah pasangan yang bercinta. Tiba-tiba Syed Ziqri berasa cemburu. Cemburu kerana dia tidak mampu lagi merasai cinta yang sebegitu. Cemburu kerana cintanya telah pergi dan hilang.

Puas termenung jauh, dia bangun. Menghayun langkah kakinya lemah menuju ke kereta. sejak dua bulan yang lalu, itulah rutinnya. Berjalan tanpa arah tujuan. Nasihat Uminya umpama mencurah air ke daun keladi. Lansung tidak terkesan dihatinya.

 

Jam sudah menginjak ke angka satu pagi waktu Syed Ziqri tiba di rumah, seluruh banglo itu sudah bergelap saat dia memarkir keretanya tadi. Terasa sunyi apabila seluruh rumah sudah lama lena diulit mimpi. Lebih sunyi lagi apabila tiada apa lagi yang tertinggal untuknya disitu.

            Dia melangkah keluar dari kereta, langkah lemahnya diatur laju menuju ke biliknya. Tiba di tingkat dua banglo itu, Syed Ziqri hairan dan pelik, dilihatnya lampu bilik tetamu bersebelahan biliknya terpasang terang. Bilik yang menghala ke halaman belakang itu berkembar dengan biliknya. Bilik itu jugalah yang menempatkan Emma Safiya pada waktu malam. Dan biasanya Syarifah Raziah akan membawa Emma Saffiya tidur bersamanya di bilik tidur utama. Terdetik rasa hairan dihatinya saat itu. Tidak mungkin Mak Wati bermalam disitu kerana selama ini tidak pernah Mak Wati bermalam di rumah mereka. Biasanya Mak Wati akan pulang pada sebelah petang. Paling lewat pun wanita melepasi separuh abad itu akan pulang selepas magrib.

            Namun untuk bertanya kepada Uminya, Syarifah Raziah tentang persoalan dalam kepalanya itu, Syed Ziqri tidak berminat. Dia malas mengambil tahu tentang perkara itu. Lantas langkahnya diatur laju menuju ke katil sejurus masuk ke bilik. Badannya yang letih itu ingin direhatkan diatas katil. Sejurus tiba di katil, terus sahaja tubuhnya direbahkan ke tilam. Tidak sampai sepuluh minit terdengar dengkuran kecil. Syed Ziqri sudahpun terlena.

 

 

Syed Ziqri memandang pelik gadis yang sedang membantu Mak Wati di dapur, sejak turun untuk bersarapan tadi, matanya tertangkap kelibat Sara Adelina. Kali pertama melihat gadis muda di rumahnya. Dia hairan, setahunya Mak Wati tiada anak perempuan, siapa pula yang datang membantu Mak Wati pagi itu? Namun, berat untuk mulutnya utarakan pertanyaan kepada Mak Wati. Dia malas berfikir tentang perkara yang tiada kaitan dengan dirinya.

            Sarapan yang tersedia di depan mata dijamah separuh hati. Selera yang hilang sejak dua bulan lalu masih lagi tidak berubah. Dia makan sekadar mengisi perutnya yang kosong. Nikmat makan sudah tiada sejak Syarifah Irma Sofiya pergi meninggalkannya sendirian untuk menjalani kehidupannya.

            Usai bersarapan, Syed Ziqri menapak ke halaman rumah. Dia tiada perancangan untuk hari itu. Punggungnya dilabuhkan di salah satu barisan kerusi yang menghiasi halaman. Sejak dua bulan yang lalu dia kerap menghilang di luar, itulah rutin barunya sejak isterinya pergi, namun pada hari itu dia ingin berehat-rehat di rumah sahaja. Entah kenapa, tubuhnya rasa terlalu penat dan letih. Mungkin penangan rutin biasanya yang telah berubah sejak dua bulan yang lalu.

 

 

Mak Wati meminta Sara Adelina mengemas meja makan di ruang depan selepas Syed Ziqri usai bersarapan tadi. Sebagai orang yang telah lama berkhidmat di situ, dia sudah faham dengan kerenah Syed Ziqri. Bagi tuan mudanya itu, pantang kalau meja makan lambat dikemas selepas mereka sekeluarga siap menjamu selera. Walaupun semenjak dua bulan ini, sikap Syed Ziqri berubah dan tidak lagi menitik beratkan akan hal-hal sebegitu namun sebagai pekerja berhemah, Mak Wati tidak pernah mengambil kesempatan. Rutinnya masih diteruskan seperti biasa.

            “Sara dah siap kemas meja makan?” Tanya Mak Wati sejurus Sara Adelina mengaturkan semua lebihan makanan di kaunter tengah yang terletak di tengah-tengah ruangan dapur basah itu.

            “Dah Mak Wati.” Sahut Sara Adelina lembut. Sepanjang dia bersama Mak Wati seawal pagi tadi, wanita tua itu tidak jemu-jemu mengajar dia itu dan ini. Tuturnya yang lembut membuatkan Sara Adelina berasa selesa. Selesa dengan kemesraan yang dipamirkan diwajah tua Mak Wati. Sekurang-kurangnya terubat sedikit rindunya pada arwah maksunya dulu.

            “Kalau dah siap, pergi tanya Tuan Syed, dia ada perlukan apa-apa tak.” Suruh Mak Wati lagi. Sebagai pekerja lama, dia sudah bersedia untuk menurunkan kerjanya kepada orang baru. Tambahan pula usianya sudah meningkat tua. Dia tidak sekuat dahulu. Terlanjur Sara Adelina bekerja di situ, akan diajarkan sedikit demi sedikit kemahiran untuk Sara Adelina bekerja di situ. Supaya mudah mengambil alih tugasnya kelak.

            “Baik Mak Wati.” Kata Sara Adelina lurus. Dia terus bergerak menuju ke pintu utama banglo. Pengalaman bekerja sebagai pembantu rumah yang baru mula nak berputik menyebabkan dia bertindak di atas arahan yang diberi. Segala kata-kata Mak Wati diturut tanpa banyak soal.

            Sejurus sampai di meja batu, dilihatnya Syed Ziqri sedang leka menyelak akhbar di tangan. Akhbar yang dihantar oleh seorang budak lelaki seawal pagi tadi. Pada mulanya dia sendiri hairan kenapa tiba-tiba Mak Wati meminta dia keluar mengambil surat khabar di halaman rumah. Apabila dia lihat sendiri, barulah dia tahu kawasan perumahan itu disediakan dengan perkhidmatan penghantaran surat khabar seawal pagi. Untunglah menjadi orang kaya, semua perkhidmatan ada tersedia.

            “Tuan Syed ada perlukan apa-apa?” Soal Sara Adelina lembut sejurus dia berdiri betul-betul dihadapan Syed Ziqri. Wajah Syed Ziqri yang tertunduk tekun menyelak halaman demi halaman akhbar ditangannya tidak jelas dimata Sara Adelina.

            “Ambilkan air kosong suam segelas.” Balas Syed Ziqri tanpa menoleh. Fokusnya masih pada akhbar.

            “baiklah.” Jawab Sara Adelina seraya berlalu ke dapur.

            Lima minit kemudian Sara Adelina kembali membawa segelas air kosong suam.

            “Ini airnya Tuan Syed.” Kata Sara Adelina seraya meletakkan gelas itu di atas meja. Dia kemudiannya berlalu apabila Syed Ziqri tidak bersuara dan masih tekun membaca.

 

 

“Siapa perempuan yang tolong Mak Wati tu?” Soal Syed Ziqri sambil membuang pandang ke arah Sara Adelina yang sedang leka mencabut rumput kecil di hujung sudut halaman.

            “Sara Adelina.” Jawab Syarifah Raziah pendek. Wajah Syed Ziqri yang dipenuhi jambang yang tumbuh meliar dilihat lama. Sudah lama anak lelakinya itu tidak lekat di rumah seperti hari itu.

            “Orang mana la yang umi kutip tu, macam naïf sangat Ziq tengok.” Kata Syed Ziqri. Dia teringat kembali penampilan Sara Adelina semasa kali pertama dia melihat Sara Adelina seawal pagi tadi.

            “Entah la, umi tengok macam perempuan baik.” Ucap Syarifah Raziah lagi. Dia turut membuang pandang ke arah yang sama. Kemudian matanya dialih supaya memandang Syed Ziqri semula. Sudah hampir dua bulan dia dan Syed Ziqri tidak berbual seperti itu. Melihatkan perubahan itu walaupun sedikit, hatinya terasa senang.

            “Dah takde calon lain lagi ke?” Kata Syed Ziqri berbaur sinis. Kenaifan Sara Adelina membuatkan dia rasa kurang selesa kerana dia tidak suka melihat perempuan yang kelihatan lemah. Baginya, kaum wanita harus berpenampilan menarik, tegas dan yang paling penting, haruslah berkerjaya.

            “Emma perlukan orang yang boleh jaga dia, dan umi tengok Sara tu macam sesuai.” Kata Syarifah Raziah tanpa menghiraukan nada sinis Syed Ziqri.

            Syed Ziqri terdiam. Memang setiap kali isu Emma Safiya dibangkitkan, dia lebih suka berdiam diri.

            “Ziq bila nak mula masuk office?” Soal Syarifah Raziah bila dia dapat mengesan perubahan tingkah laku anaknya itu apabila isu Emma Safiya dibangkitkan.

            “Entahlah umi, Ziq masih belum sedia, masih perlukan masa.” Kata Syed Ziqri dalam keluhan.

            “Sampai bila Ziq nak macam ni, Emma tu perlukan kasih sayang ayah. Janganlah Ziq salahkan dia atas apa yang berlaku. Emma tak berdosa, Ziq tak boleh hukum Emma atas takdir Allah ni. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Dan Ziq kena jalankan tanggungjawab Ziq pada Emma.” Luah Syarifah Raziah sekaligus menyelitkan kata-kata nasihat.

            “Ziq naik dulu la umi, nak rehat-rehat.” Kata Syed Ziqri seraya bangun dan berlalu. Sejujurnya dia tidak mahu melanjutkan perbincangan itu bersama Syarifah Raziah. Entah kenapa, hatinya belum terbuka untuk membincangkan isu itu dari hati ke hati. Dia belum bersedia mahu membuka semula cerita yang memalitkan rasa pedih di hatinya.

            Sementara Syarifah Raziah pula mengeluh dalam. Kusut kepalanya memikirkan Syed Ziqri. Satu-satunya anak lelaki yang dia miliki itu memang keras kepala. Selalu suka membuat pertimbangan sendiri. Jarang sekali mahu menerima nasihat orang.

harap semua suka :)