Monday, 26 March 2012

BUKAN ISTERI SEMPURNA BAB 8 DAN BAB 9

ikuti sambungannya :)...


BAB 8

                                                                              

Suasana di kelab dangdut itu cukup membingitkan telinga dengan suara-suara sumbang lelaki separuh abad menyanyi. Datuk Zainudin sedang duduk menikmati air minuman bersama-sama dengan rakannya yang lain, di sisi mereka terdapat beberapa orang gadis muda yang menemani. Datuk Zainudin sendiri ditemani seorang gadis muda. Wajahnya yang cantik dan penampilannya yang seksi menyebabkan Datuk Zainudin lupa diri. Semenjak dia mula berjinak-jinak dengan kelab dangdut, dia sudah mula ketagihan.

            Datuk Zainudin kemudian bangun dari duduk. Dia melilitkan tangannya dipinggang gadis muda itu.

            “Sayang, jom kita nyanyi.” Saran Datuk Zainudin apabila salah seorang rakannya selesai menyanyi.

            Zara hanya tersenyum manja. Liuk lintuk tubuhnya sengaja dibuat-buat untuk menarik perhatian Datuk Zainudin. Kalau tidak kerana poket Datuk Zainudin yang dipenuhi dengan duit, dia tidak ingin melayani kerenah lelaki tua itu. Dia lebih suka kalau clientnya terdiri daripada lelaki-lelaki muda yang kaya. Tetapi semenjak Datuk Zainudin menjadi pengunjung setia di situ, dia lebih kerap diminta untuk melayani Datuk Zainudin. Dia tidak merungut malah melihat peluang itu sebagai lubuk emas kepadanya. Dia bukannya bodoh untuk melepaskan semua itu.

            Datuk Zainudin menjeling nakal ke arah Zara. Cara Zara berpakaian dan berjalan membuatkan hati lelakinya cair. Walaupun Zara lebih muda, hampir sebaya dengan anak-anaknya tapi dia tidak kisah.

            Sejak kebelakangan ini dia juga sudah jarang mengambil tahu tentang urusan perniagaannya. Masanya banyak dihabiskan untuk bersama Zara. Urusan bisnes diserahkan bulat-bulat kepada Daniel Arman. Anak lelakinya itu walaupun bukan anak kesayangannya namun Daniel Arman telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Untuk itu dia bersyukur kerana segala urusan perniagaannya diuruskan oleh Daniel Arman seorang.

            Datuk Zainudin juga sudah semakin alpa dengan tanggungjawabnya terhadap Datin Rogayah. Segala perasaannya yang pernah hadir untuk Datin Rogayah dulu semakin terhakis hari demi hari. Jarang sekali dia mengambil berat akan isterinya itu. Apabila ditanya mengapa sering pulang lewat ke rumah, dia akan memberi alasan dia sibuk bekerja. Dia tahu, Datin Rogayah terlalu naïf untuk menghidu perbuatannya itu. Apalah yang perempuan itu tahu kerana sepenuh masanya hanya dihabiskan di rumah. Menjadi surirumah sepenuh masa. Kesempatan itulah digunakan untuk berseronok. Tentang Datin Rogayah, Datuk Zainudin tidak terlalu risau, dia tahu Datin Rogayah mempercayainya seratus peratus. Yang menjadi kebimbangannya ialah Daniel Arman. Pasti lambat laun anak lelaki itu akan dapat menghidu perubahan tingkah lakunya.

            Tapi Datuk Zainudin hanya membiarkan kebimbangannya itu berlalu. Kala itu yang ada dikepalanya cumalah keseronokan. Dia tidak mahu keseronokan yang baru dinikmati itu dicemari dengan pemikiran negatifnya. Biarlah dia mengecap semua keindahan itu dahulu sebelum dia berfikir untuk membuat tindakan selanjutnya.





Pokok Orkid yang tersusun di tepi halaman banglo Datin Rogayah kelihatan begitu cantik dengan bunga yang pelbagai warna. Memang sudah menjadi kegemaran dan hobi Datin Rogayah untuk menanam orkid. Sebahagian daripada benih-benih orkidnya juga diperoleh dari luar negara. Sebahagian lagi hanya dibeli dari nurseri berdekatan dengan kawasan tempat dia tinggal. Kadangkala Daniel Arman akan menghadiahkan anak bunga orkid kepadanya.

            Mengenangkan itu semua membuatkan Datin Rogayah tersenyum panjang. Daniel Arman adalah seorang anak yang peka terhadap minatnya kepada bunga orkid. Daniel Arman jugalah penawar kepada kekecewaannya terhadap Danish Arham. Sudah terlalu lama abang kembar kepada Daniel Arman itu melarikan diri. Dia sendiri tidak pasti bagaimana keadaan anak lelakinya yang satu itu. Setiap kali dia menelefon, kerapkali juga tidak berangkat. Bila dia menyuarakan kerisauannya kepada Datuk Zainudin, suaminya itu lebih suka mendiamkan diri. Seolah-olah menyimpan suatu rahsia daripadanya.

            Sedang leka Datin Rogayah membelek-belek bunga-bunga orkidnya, kereta Daniel Arman masuk ke perkarangan banglo itu. Sejurus Daniel Arman keluar dari kereta, dia berjalan menuju ke arah Datin Rogayah. Tangan Datin Rogayah diraih lalu disalam dan dicium. Begitulah rutin Daniel Arman setiap kali pergi dan pulang dari kerja. Dia memang sentiasa taat dengan wanita separuh abad yang telah melahirkannya hampir 30 tahun yang lalu.

            “El ada belikan mummy benih orkid yang baru.” Kata Daniel Arman seraya duduk dibangku kayu yang terhias indah di sudut kanan halaman rumah.

            Kan baru minggu lepas El belikan mummy, mummy pun tak tahu nak letak kat mana, dah penuh sangat halaman ni.” Kata Datin Rogayah, dia turut mengambil tempat dihadapan Daniel Arman.

            “Daddy dah balik?” Daniel Arman mengubah topik perbualan mereka.

            “Sejak dua bulan ni daddy asyik sibuk je, El pun tahu perangai daddy kan, dia memang workaholic.”Jawab Datin Rogayah.

            “Kerja pun kerja jugak tapi janganlah sampai lupa family.”Luah Daniel Arman.

            “El bukannya tak tahu perangai daddy, dari dulu lagi macam tu.”

            “Dan ada call?” Soal Daniel Arman lagi, beralih kepada perihal kembarnya, Danish Arham.

            “Entah la El, mummy pun dah give up dengan Dan, dah lupakan mummy agaknya dia. Harapkan dia call entah bila. Bila mummy call tak berangkat pulak. Kadang-kadang mummy risau tentang Dan.” Datin Rogayah meluahkan rasa. Dia tidak dapat lari dari berasa risau terhadap Danish Arham.

            “Tak payah la mummy risau, Dan bukannya budak kecil lagi. Dia dah besar, dah pandai bawa diri. Lagipun El tahu, daddy selalu hantar duit kat dia tiap-tiap bulan.” Sambung Daniel Arman.

            “Mummy pun rasa macam tu, Dan tu biasanya kalau dah habis duit baru dia pandai balik.”

            “Mummy buat apa petang ni, ada kuih special tak? El lapar la.”Sekali lagi Daniel Arman mengubah topik perbualan mereka. Dia cuma tidak mahu Datin Rogayah terlalu memikirkan perihal Danish Arham.

            “Mummy buat seafood pizza kegemaran El, jom la kita masuk, makan kat dalam, nanti mummy suruh Rosyanti hidangkan.” Jawab Datin Rogayah.

            You are the best mummy in the world, sebab tu El bertambah sayang dengan mummy.” Sambung Daniel Arman.

            Datin Rogayah hanya tersenyum mendengar pujian dari Daniel Arman.

            “Itulah, dah banyak kali mummy suruh kahwin cepat-cepat tapi El degil, kalau kahwin sekarang kan dah ada orang jaga El, tak payah la berkepit je dengan mummy. Lagipun El pun bukan semakin muda, umur pun dah meningkat, mummy ni teringin juga nak main dengan cucu.” Bebel Datin Rogayah panjang lebar.

            “Pasal tu boleh tunggu la mummy. Lagipun El kena setlle down dulu, baru nak fikir pasal tu.” Tukas Daniel Arman.

            “Atau El masih ingat pada Nina, masih rasa terikat dengan dia?” Datin Rogayah cuba memancing perhatian Daniel Arman untuk membicarakan hal kahwin.

            “Benda tu dah lama berlalu mummy, El pun malas nak ingat-ingat lagi.”Daniel Arman beri alasan, belum tiba masanya Datin Rogayah tahu tentang Nina yang kini telah menjadi pembantu peribadinya. Tentu keadaan akan bertambah rumit sekiranya keluarganya tahu tentang perkara itu. Daniel Arman berhasrat merahsiakan dahulu perkara tersebut. Dia hanya akan berterus terang apabila dia rasakan masanya sesuai.



BAB 9

Dua bulan berlalu dan Nina sudah boleh membiasakan dirinya dengan tugas barunya. Zachary juga banyak membantunya dalam menguruskan jadual hariannya. Nina merasakan dia lebih selesa untuk terus berurusan dengan Zachary berbanding Daniel Arman. Semenjak dia berada di situ juga, jarang ada komunikasi diantara dirinya dengan Daniel Arman. Mereka hanya berkomunikasi bila perlu sahaja, selebihnya masing-masing akan mendiamkan diri.

“Nina, masuk bilik saya.”Suara Daniel Arman dari interkom menyapa Nina pada awal pagi itu.

Nina mengeluh, selama seminggu Daniel Arman tiada di pejabat kerana outstation kini dia terpaksa berhadapan dengan lelaki itu lagi. Nina bingkas bangun, dia melangkah lambat-lambat menuju ke bilik Daniel Arman. Apabila pintu diketuk, Nina terus meloloskan dirinya masuk.

“Ya, Encik Arman.” Nina menyapa. Dia akan berusaha untuk lebih profesional apabila berhadapan dengan Daniel Arman.

Cuba semak schedule saya untuk esok.”

Nina bergegas keluar untuk mendapatkan diari aktiviti harian Daniel Arman. Macam mana dia boleh terlupa membawa diari itu tadi, sebagai PA Daniel Arman, dia sepatutnya tidak melakukan kesilapan kecil seperti itu. Sejurus masuk kembali ke bilik Daniel Arman, dilihatnya lelaki itu tiada di mejanya. Nina garu-garu kepalanya yang tidak gatal.

“kenapa, ada kutu ke?” Tiba-tiba Daniel Arman bersuara dari arah belakang sambil membawa secawan kopi.

“err, esok Encik Arman ada perjumpaan dengan Mr. Aaron, supplier untuk barang-barang baby.”Nina gugup.

“Duduk.” Arah Daniel Arman sejurus dia duduk semula di kerusinya.

Nina hanya menurut arahan Daniel Arman.

“Pukul berapa?”Soal Daniel Arman.

Nina menyemak kembali diari ditangannya.

“Pukul 3 petang.”

“Kat mana?”Soal Daniel Arman lagi. Dia mengambil kesempatan itu untuk merenung wajah Nina.

Nina buka kembali diari, entah kenapa dia berasa berdebar-debar berhadapan dengan Daniel Arman begitu.

“Di Senses Restaurant, Hilton Hotel.”

“Okey, esok awak ikut saya.” Arah Daniel Arman.

“Okey.” Jawab Nina gugup.

Nina bangun, dia ingin cepat-cepat beredar. Berada berdua-duan bersama Daniel Arman membuatkan dia rasa masa berlalu dengan lambat.

“Tolong tambah gula sikit, kopi ni tawar sikit. And starting tomorrow, you’ll be making my coffee, is it okey with you? Soal Daniel Arman sebelum Nina berlalu.

Nina hanya mengangguk. Bila mendengar arahan dari Daniel Arman dia merasakan seperti lembu yang dicucuk hidung. Hanya mampu bersetuju diatas setiap permintaan Daniel Arman.

Daniel Arman tersenyum sejurus kelibat Nina menghilang di luar bilik.







Suasana di Senses Restaurant kelihatan lengang kerana waktu makan tengahari sudahpun berlalu hampir dua jam yang lalu. Daniel Arman duduk di kerusi hitam yang disusun rapi di sekeliling meja bulat yang dilitupi alas meja dari kain berwarna putih. Di atas meja pula tersusun rapi sudu dan garfu bersebelahan dengan pinggan putih yang ditelungkup.

            Nina mengambil tempat bersebelahan dengan Daniel Arman. Mr. Aaron duduk berhadapan dengan mereka berdua. Matanya terlekap pada seraut wajah Nina semenjak Daniel Arman dan Nina tiba tadi. Nina yang perasan akan kelainan pada pandangan mata Mr. Aaron hanya memberikan senyuman manis. Ditangannya terdapat sebuah buku catatan bagi mencatat apa jua dapatan hasil dari perbincangan itu nanti.

            So, macam mana dengan perbincangan kita dulu, you setuju tak?” Soal Mr. Aaron dalam pelat cina.

            “Kalau you boleh bagi special price yang macam I minta dulu, I setuju.”Jawab Daniel Arman.

            “Oh, pasal itu tak perlu risau, syarikat I memang akan bagi special offer, janji you ambil barang dari kita punya syarikat.” Mr.Aaron menjeling sekilas kepada Nina.

            “Kalau macam tu, I setuju tapi terms and condition kena sama macam dalam proposal you dulu, kalau I tahu ada perubahan, the deals is off.”Sambung Daniel Arman tegas.

            “Kita tak akan buat macam tu, business is business especially with big company like yours.”Mr.Aaron tersenyum, apabila matanya dan Nina bertembung dia mengenyit mata kirinya kepada Nina.

            Nina yang sedari tadi perasan akan pandangan mata Mr. Aaron yang sukar untuk dia mengertikan maksudnya ternyata terkejut dengan perbuatan Mr.Aaron yang boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual itu. Nina bangun dan meminta diri untuk ke tandas. Dia tidak selesa apabila Mr.Aaron merenungnya begitu.

            Mr.Aaron mengekori lenggok Nina dengan pandangan nakal. Daniel Arman yang perasan akan perubahan tingkah laku Mr.Aaron turut berasa tidak selesa. Dia masih boleh bertoleransi apabila Mr.Aaron kerap mencuri pandang kepada Nina tetapi apabila ternampak lelaki berbangsa cina itu mengenyit mata dan mengekori pemergian Nina dengan pandangan nakal, dia hilang sabar.

            she’s married you know?”Kata Daniel Arman dalam nada suara yang cuba ditenangkan.

            Still in a good shape though.”Sahut Mr.Aaron dalam senyuman yang sukar untuk dimengertikan.

            What do you mean?”Daniel Arman memandang tepat ke mata Mr.Aaron. Rasa hormatnya kepada lelaki itu semakin terhakis.

            Her body just gave my heart a shake, I can imagine myself going to bed with her.”Sambung Mr.Aaron dalam ketawa.

            “Mr.Aaron, you know what. I think our deal is off.”Daniel Arman bangun seraya berlalu meninggalkan Mr.Aaron yang terpinga-pinga.

            Nina yang baru keluar dari bilik air turut terpinga-pinga bila tangannya terus diraih oleh Daniel Arman. Dia hanya menurut langkah laju Daniel Arman menuju ke kereta tanpa mengeluarkan sebarang kata-kata.





Daniel Arman hanya mendiamkan diri sepanjang pemanduan. Dia berwajah tegang semenjak meninggalkan perkarangan Hotel Hilton. Nina tidak berani menegur. Itu merupakan kali kedua dia melihat wajah tegang Daniel Arman, kali pertama ketika mereka mula-mula diijabkabulkan dulu. Ini kali kedua Daniel Arman memperlihatkan air muka sebegitu.

            “Lain kali saya tak nak tengok awak pakai baju macam tu!” Kata Daniel Arman tegas. Tumpuannya masih pada jalanraya.

            Nina angkat kening. Dia melihat semula pada pakaian yang dikenakan pada tubuhnya pada hari itu. Memang sedikit ‘seksi’ berbanding hari-hari lain. Kemeja pendek separas pinggang berwarna putih dengan corak jalur hitam  dan putih dipadankan dengan skirt labuh berwarna hitam. Tudungnya juga berwarna hitam, manakala lengan kemeja dilipat sehingga mendedahkan sebahagian lengan dan dibutang ditepi. Memang penampilannya sedikit ‘menjolok mata’ jika dibandingkan dengan hari-hari biasa, bentuk tubuhnya sedikit terserlah dengan pakaian yang dikenakan pada hari itu. Biasanya blouse atau kemeja yang dikenakan melebihi paras punggung. Mungkin itu yang dimaksudkan oleh Daniel Arman tadi.

            “Apa maksud Encik Arman?” Nina minta kepastian.

            “Suka sangat ke tayang body kat orang macam tu?” Balas Daniel Arman. Suaranya bernada sinis berbaur cemburu.

            “Tayang body?” Soal Nina mohon kepastian. Seingat dia pagi tadi Daniel Arman tidak pula mempersoalkan hal berkaitan pakaiannya. Kenapa baru sekarang pula isu itu dibangkitkan.

            “Yelah, pakai seksi macam tu, sampai orang fikir nak buat macam-macam dengan awak.” Sambung Daniel Arman dengan wajah yang masih tegang.

            “Seksi?, macam ni pun seksi, setahu saya Cik Azzura punya baju lagi seksi, lagi menjolok mata. Kalau diikutkan pakaian saya ni takdela seksi sangat, yang Encik Arman nak persoalkan sangat kenapa pula.” Tempelak Nina, Daniel Arman tidak berhak menasihatinya kerana pakaian Azzura lebih seksi jika dibandingkan dengan dirinya tapi Daniel Arman kelihatan okey dengan semua itu. Kenapa bila tiba pada dirinya, Daniel Arman perlu mengungkit.

            “yes!, but you are my wife and she’s not!” Tukas Daniel Arman pula.

            Nina terdiam. Hujah Daniel Arman itu memang tidak dapat disangkal.

            “Awak suka la kalau orang fikir yang bukan-bukan pada awak?, fikir nak buat macam-macam dengan awak sampai fikir nak bawa awak tidur sekali?” Soal Daniel Arman sinis.

            “Apa orang nak fikir, itu hak diaorang. Saya tak boleh nak halang, ikut suka hati diaorang la nak fikir apa, saya tak kisah.” Balas Nina. bosan dengan sikap Daniel Arman yang terlalu mengongkong.

            “Jadi awak suka la?” Soal Daniel Arman seraya memberhentikan kereta di sisi jalan.

            “kenapa berhenti kat sini?” Soal Nina, soalan Daniel Arman dibiarkan berlalu.

            So, awak tak kisah la kalau saya pun fikir buruk tentang awak kan? Awak tahu tak, bukan Mr. Aaron je fikir nak buat macam-macam dengan awak. Saya pun terfikir juga benda-benda macam tu.” Sambung Daniel Arman. Dia memandang tepat ke wajah Nina.

            “Apa maksud Encik Arman?” Nina cuak apabila mata Daniel Arman merenung tepat ke matanya.

            Well, awak tak kisah kan apa yang orang fikir, jadi saya rasa, saya nak bawa awak balik malam ni.” Daniel Arman merenung tajam ke setiap inci tubuh Nina.

            “Jangan merepek! bawa saya balik office.”Nina bersuara tegas. Dadanya sudah mula berombak. Pandangan mata Daniel Arman membuatkan hatinya kecut. Tidak mungkin Daniel Arman juga seperti lelaki-lelaki lain, yang cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan dirinya.

            “Kenapa?, takut?. Saya kan suami awak, saya berhak. Lagipun awak tak kisah kan?. Apa yang orang fikir tentang awak, awak tak ambil peduli kan?, kalau orang nak bermalam dengan awak pun awak tak kisah kan?, kalau dengan orang lain awak tak kisah takkan dengan suami sendiri awak nak kisah pulak.”Daniel Arman masih merenung tajam wajah Nina.

            Dada Nina yang mulanya berombak perlahan semakin kuat. Nina menekup wajahnya dengan tangan. Esakkannya sudah tidak mampu dia sembunyikan. Dia menangis. Kenapa Daniel Arman harus melayan dirinya begitu. Kenapa Daniel Arman sanggup menghinanya sedemikian.

            “Bawa saya balik.” Kata Nina dalam sendu yang ditahan-tahan. Wajahnya ditundukkan.

            No, I’m taking you home!”Balas Daniel Arman. Dia masih belum berpuas hati.

            “Tolonglah jangan hina saya macam ni..” Rayu Nina.

            “Awak tak kisah kan?!, saya lelaki!, awak pun tahu apa yang saya perlukan, terutamanya bila tengok awak berpakaian macam ni. Awak faham maksud saya kan?” Soal Daniel Arman sinis.

            “Kenapa Encik Arman layan saya macam ni, apa Encik Arman nak sebenarnya.” Kali ini Nina merendahkan nada suaranya berbanding awal tadi. Daniel Arman seolah-olah nekad dengan tindakannya.

            “Look Nina, saya tak berniat buruk, saya cuma nak awak ambil serius apa yang saya cakapkan tadi. Awak tak boleh cakap awak tak kisah dengan apa yang orang fikir. Kalau awak tak kisah nak pertahankan maruah sendiri, siapa yang akan pertahankan maruah awak. Saya tak suka tengok orang pandang awak dengan pandangan serong. Walaupun hubungan kita ada jurang yang luas terpisah tapi saya tak suka bila orang cakap bukan-bukan tentang awak. You’re still my wife, masih dibawah tanggungjawab saya.” Luah Daniel Arman.

            “Maafkan saya.” Kata Nina. Hanya itu yang mampu terluah dibibirnya. Dia tidak pernah menyangka Daniel Arman cuma sekadar mahu menakut-nakutkannya. Mengharapkan dirinya lebih sensitif dengan perkara itu dan tidak memandang remeh kata-kata yang terluah dari mulut Daniel Arman. Untuk seketika dia rasa terharu, terharu kerana Daniel Arman begitu mengambil berat akan hal dirinya. Daniel Arman tidak betah bila ada lelaki lain yang memandang rendah maruahnya.





“I’m sorry.” Daniel Arman memandang tepat ke wajah Nina sejurus berhenti dihadapan rumah sewa Nina.

            “Saya tak berniat nak hina awak, saya cuma nak awak fikirkan kata-kata saya.” Sambung Daniel Arman.

            Nina tidak menjawab, kesedihannya masih bersisa. Walaupun Daniel Arman berniat baik tetapi jauh disudut hatinya turut terkesan dengan cara Daniel Arman menyedarkan dirinya. Dia melangkah lemah menuju ke pintu gate. Sejurus membuka pintu, Nina terus masuk ke rumah. Memang ada benarnya kata-kata Daniel Arman. Memang salah dirinya kerana tidak sensitif dengan isu yang dibangkitkan tadi.

            Nina mengeluh, entah kenapa dia merasakan Daniel Arman terlalu mengambil berat akan dirinya, terlalu protective terhadap dirinya. Dia bimbang sekiranya Daniel Arman berterusan melayannya begitu dia mungkin akan jatuh hati pada lelaki itu, sedangkan Daniel Arman sudahpun punyai pilihan hati sendiri.

            Dia juga sedar ikatan yang terjalin antara mereka hanyalah sekadar perjanjian diatas kertas. Antara mereka tidak pernah wujud cinta. Bagaimana kalau dia sendiri jatuh cinta kepada lelaki itu sedangkan lelaki itu sudahpun menemui cinta hatinya, gadis yang memiliki segala-galanya yang melebihi apa yang Nina sendiri miliki. Dia tidak mahu terluka, cukuplah luka yang ditoreh dalam oleh Danish Arham. Dia hanya mahu menjaga hatinya sendiri. Melindungi hatinya dari disakiti sesiapapun kerana hanya itu yang dia benar-benar miliki.


bab yang paling anda suka?..

11 comments:

  1. ala cik tulip ... x puas la ... nk lagi ... nk lagi ... sweet sgt el tuu ... geram ase ... hehe

    ReplyDelete
  2. akak suka bab 8 & 9 yg menunjukkan perhubungan mereka. Nampak EL mmg suka pada wifenya. Kehilangan wifenya selama 4 tahun membuat kita terfikir apa yg ditunggu oleh lelaki yg bernama EL ni..sekiranya dia hendak berkawen..akak rasa dia sudah pun melakukannya..adakah disebabkan dia mmg telah jatuh cinta ngan nina dan kerana kehilangan nina baru dia sedar yg hatinya telah dibawa pergi oleh nina

    ReplyDelete
  3. Senyum.xperlu kata apa.Senyum

    ReplyDelete
  4. sungguh... dah jatuh hati dkt EL ni.... so caring...
    ermmm... lelaki yg baik memang utk wanita yg baik juga...

    ReplyDelete
  5. sy suker entry ni..bab el tu cared n protected his wife :))

    ReplyDelete
  6. grrr~~ rasa nak gigit je si El ni... awrrr... kiut... protective n a lil bit ego... sweet... hehe... :D

    ReplyDelete
  7. best2,tq cik tulip..

    ReplyDelete
  8. saya suka jalan citer ni..best suke dengan watak el yg caring n protective..rasanya dalam hati el sudah ada cinta utk nina..cuma ego yg mengatasi segalanya...hope azurra hanya pelakon tambahan je dlam novel ni...hehehe..apa2 pun cik tulip...i likeeee...

    ReplyDelete
  9. best...bila nk sambung? dh x sabar nk ikuti bab strusnya...

    ReplyDelete