Wednesday 29 February 2012

AKU UNTUKMU BAB 20

Ikuti sambungannya....


BAB 20

                                                                             

            Ardini duduk di birai katil sambil termenung jauh. Sudah terlalu lama dia tidak pulang ke kampungnya di Gelang Patah. Semua kenangan manis dan pahit terpahat di kampung itu semenjak dia kecil sehinggalah dia diterima masuk ke universiti. Ardini masih rindu saat-saat dia menghabiskan masa bersama ibu dan ayahnya namun kenangan itu hanya kekal diingatannya sahaja. Dia kini yatim piatu, ayah dan ibunya telah pergi meninggalkan dia bersendirian menempuhi pahit manis kehidupan.

            Kenangan dengan ayahnya paling kuat melekat dalam hati. Sepanjang hidup bersama ayahnya, tidak pernah sekali dia menyakiti hati lelaki itu. Dia hanya mengenal kasih ayah semenjak ibunya pergi menyahut panggilan Illahi. Disebabkan itu dia sangat mengasihi arwah Mohd Nasir. Hanya dengan lelaki itu dia menumpahkan kasih. Sakit pening arwah Nasir menjadi tanggungjawabnya semenjak ketiadaan ibu. Sungguh dia kasih akan arwah Nasir sehingga sanggup merahsiakan sejarah hitamnya dari pengetahuan lelaki itu. Biarlah dia sendiri menanggung beban daripada melihat ayah kesayangan menderita memikirkan nasib malangnya.

            Tanpa sedar Ardini mengalirkan air mata. Terasa semua ingatan terhadap ayahnya begitu menghimpit dada. Sungguh dia rindu untuk mengulangi semua kenangan itu. Kadangkala dia rasa teramat sunyi kerana menjalani kehidupannya sendirian. Kalau dulu dia ditemani Kak Murni dan Hilda, kini dia rasa terlalu sunyi kerana terkurung di istana Izhar tanpa teman untuk dia meluahkan rasa yang terbuku di hati.

            Ardini menyeka air mata dengan jari. Walau sesukar manapun dugaannya, kehidupannya perlu diteruskan. Dia tidak boleh terus-menerus menangisi nasib diri. Dia perlu bangun dan menguatkan hatinya. Cuma harapannya suatu hari nanti dia akan dapat keluar dari semua bebanan perasaan yang dirasai kini.

            Ardini terfikir akan rumah peninggalan ayahnya yang kini didiami oleh Makcik Nora dan Pakcik Darus. Barang-barangnya masih ada lagi yang ditinggalkan di sana. Sijil-sijil pentingnya juga masih berada di rumah itu. Ardini terfikir sendiri, dia sudah tiada lagi ikatan persaudaraan dengan Makcik Nora sejak wanita itu sendiri menyisihkannya selepas ayahnya meninggal dulu. Walaupun rumah itu diwariskan atas nama Ardini namun dia tidak sampai hati untuk menghalau wanita yang pernah berkongsi hidup dengan ayahnya itu untuk keluar dari situ. Biarlah Makcik Nora tinggal di situ, lagipun dia tak mungkin lagi pulang untuk tinggal di situ.

            Namun Ardini tetap akan pergi ke situ untuk kali terakhir bagi mendapatkan semula barang-barang dan sijil-sijilnya. Biarlah rumah itu hanya menjadi kenangan yang hanya akan dikenang dalam ingatannya. Untuk kembali ke sana Ardini tidak betah. Terlalu banyak kenangan manis dan pahitnya di situ. Setelah dia kehilangan insan yang paling disayangi, tak mungkin lagi dia pulang. Sudah tiada sesiapa untuknya di sana.

            Ardini akan memaklumkan hasratnya kepada Izhar. Masih dia teringat kata-kata Izhar semasa menjemputnya di stesen KTM dulu, kalau dia ingin keluar lagi Izhar akan turut sama. Ardini memang memerlukan bantuan Izhar untuk menghantarnya dan mengambil kesemua barang-barangnya yang masih tertinggal. Jarak yang jauh antara kampungnya dan banglo Izhar menyebabkan agak sukar sekiranya Ardini ingin mencuba alternatif lain.

            Ardini bangun dan menuju ke almari solek. Di situ dia melihat wajahnya dicermin. Sisa air mata disapu dengan jari sehingga hilang kesemuanya. Tudung disarung ke kepala. Dia akan turun menemui Izhar, memaklumkan perancangannya untuk pulang ke Kampung Gelang Patah untuk mengambil barang-barangnya yang masih tertinggal.

            Ardini melangkah menuju ke pintu, tentu Izhar masih menonton tv di ruang tamu selepas makan malam tadi. Semasa dia siap mengemas dapur, dilihatnya Izhar sedang leka menonton tv sementara dia bergegas naik ke atas untuk solat isyak. Sejurus Ardini keluar dia bertembung dengan Izhar semasa berjalan menuruni anak tangga.

            “Saya ada hal nak bincang dengan awak.” Ardini menghentikan langkah tatkala dia berselisih dengan Izhar di tangga. Tubuhnya dipaling menghadap Izhar.

            “Hal apa?” Soal Izhar, dia turut mematikan langkah, jantungnya berdegup laju, bimbang Ardini membangkitkan hal yang sama hari itu.

            “Saya nak balik kampung.”Jawab Ardini ringkas, berterus terang dengan hajat hatinya.

            “Bila?”Izhar bertanya lanjut, berasa sedikit lega kerana Ardini tidak membangkitkan hal yang lalu.

            “Hujung minggu ni, nak ambil barang dan sijil yang masih kat sana.” Ardini menerang tanpa diminta.

            “Okey.” Izhar menjawab sepatah, menyatakan persetujuan. Dia berkira untuk berlalu pergi.

            “Boleh awak hantar?” Ardini bertanya lambat-lambat.

            Kan I dah pesan dulu, kalau nak keluar mana-mana, mesti dengan I” Izhar turut mematikan langkah tatkala menjawab pertanyaan Ardini namun tubuhnya tidak berpaling, sekadar bersuara secara membelakangkan Ardini.

            “Terima kasih.” Ardini tersenyum sebaris, selesai satu masalahnya mendengarkan persetujuan Izhar.

            “Esok pagi-pagi masuk bilik I.”Izhar bersuara semula sebelum mula melangkah menaiki anak-anak tangga. Menyambung langkah yang terhenti tadi.

            “Buat apa?”. Ardini bersoal pelik. Tidak pernah Izhar memintanya masuk ke bilik. Dia membuntuti Izhar, mula rasa tidak sedap hati dengan permintaan Izhar.

            “Kemas bilik I, tak kan nak ajak tidur sekali pulak.”Izhar bersuara senada, tubuhnya telah menghilang disebalik pagar-pagar tangga tingkat atas.

            Ardini menghela nafas lega, terasa malu pun ada bila dia yang terfikirkan hal yang bukan-bukan. Namun begitu Ardini berasa pelik dengan tingkah laku Izhar. Kalau dulu Izhar melarangnya dari memasuki bilik tapi kini dia di suruh masuk mengemas. Ardini mengangkat kedua-dua bahu, benar-benar tidak faham dengan Izhar. Kadang-kadang dirasakan Izhar seperti bermain tarik tali dengannya. Sekejap baik sekejap dingin.





Selesai menyediakan sarapan Izhar di dapur, Ardini melangkah menuju ke bilik Izhar untuk mengemas, Izhar telah berpesan kepadanya malam tadi untuk datang awal-awal pagi dan mengemas biliknya. Disebabkan itu Ardini bangun lebih awal pagi itu. Menyediakan sarapan Izhar dan terus menuju ke bilik Izhar.

            Tiba di bilik Izhar, Ardini mengetuk pintu bilik. Selang lima minit kemudian pintu dikuak dari dalam. Ardini teragak-agak untuk masuk dengan Izhar yang masih berada di bilik. Izhar yang tengah bersiap-siap ke pejabat memberi ruang untuk Ardini masuk. Rambutnya yang baru dikeringkan masih belum bersikat, kolar bajunya masih belum berlipat dan pergelangan kemejanya masih belum dibutangkan.

            Ardini mengambil peluang mencuri pandang ke arah Izhar semasa lelaki itu berpaling membelakangkannya sambil mengenakan butang pergelangan tangan baju kemeja yang berwarna krim dengan corak berjalur menegak. Ardini tersenyum sendiri, dalam keadaan begitu pun Izhar masih kelihatan kacak. Bertuahlah kepada sesiapa yang dapat memiliki hati lelaki itu. Untuk seketika Ardini termenung jauh, bayangan Maya terlayar dimindanya. Terasa hatinya tiba-tiba mencemburui Maya, satu-satunya wanita yang mengakui menjalinkan hubungan cinta dengan Izhar.

            “Tolong bukak cadar tu, dah dua bulan pakai yang sama tak bertukar.” Izhar bersuara. Sekaligus mematikan lamunan Ardini.

            Ardini tidak bersuara. Dia terus menuju ke katil, bertindak mengikut arahan yang diberikan Izhar.

            “Nanti ambil yang baru dalam almari, tolong pasangkan sekali.” Izhar memberikan arahan kedua.

            Ardini mengalihkan bantal-bantal Izhar ke atas permaidani di lantai, di satu sudut bilik. Walaupun telah dua bulan tidak bertukar, cadar itu masih wangi. Kuat dengan haruman minyak wangi Hugo Boss milik Izhar. Haruman yang dikesan hidung Ardini setiap kali Izhar berada dekat dengannya.

Tangan Ardini menarik cadar berwarna ungu muda yang bercorak bunga lavender dengan perlahan-lahan sambil matanya dikerling ke arah Izhar yang sedang menyikat rambut dihadapan meja solek yang terletak bertentangan dengan katil bersaiz Queen itu. Tidak tahu kenapa dia tidak dapat menahan kehendak matanya untuk mencuri pandang ke arah Izhar.

Menyedari renungan Ardini, Izhar bertindak memalingkan wajah. Matanya tepat menikam mata Ardini sehingga Ardini cepat-cepat mengalihkan wajah. Izhar menyimpan senyum dalam hati. Memang itu reaksi yang dia sering dapat apabila berhadapan dengan gadis-gadis. Pasti ramai yang mengambil kesempatan merenung wajahnya bila ada kesempatan, tapi dia tidak sangka Ardini juga seperti gadis-gadis lain yang suka merenung wajahnya. Seingatnya dulu, Ardini jarang memandang wajahnya ketika mereka berkomunikasi. Hanya sekali dia tangkap Ardini sedang merenungnya semasa kali pertama mereka keluar bersama. Izhar tersenyum dalam hati.

Ardini pantas menarik cadar dan membuka sarung bantal, berpura-pura sibuk apabila menyedari Izhar perasan akan renungannya sebentar tadi. Dia terasa malu sendiri. Melihatkan wajah Izhar yang kacak menggetarkan hati wanitanya. Sejak kebelakangan ini Izhar melayannya dengan baik tidak seperti awal perkahwinan dulu. Kadang-kadang jiwanya menjadi lembut dengan Izhar. Dia bimbang terlalu terbawa-bawa dengan anganan dan perasaannya itu.

U jatuh cinta pada I ke?” Izhar bertanya sambil menyisir rapi rambutnya, sekadar memecahkan kesunyian antara mereka dan dalam masa yang sama sengaja menggiat Ardini.

Ardini hanya mendiamkan diri. Tidak menunjukkan sebarang riak. Wajahnya ditunduk menghadap cadar katil yang baru di buka tadi. Walhal wajahnya yang berona merah itu dilarikan dari pandangan mata Izhar.

I caught U staring at me just now.”Kata Izhar lagi. Sengaja memancing perhatian Ardini untuk bersuara dengannya sambil memasang tie pada kolar baju.

No I’m not.”Ardini menafikan walhal jelas di mata Izhar dia merenung wajah lelaki itu tadi.

Yes U are.”Izhar menggiat lagi. Memang jelas dimatanya Ardini merenung wajahnya sebentar tadi.

“Kalau ya pun kenapa?” Ardini bertanya, malu apabila Izhar mula menekannya dengan soalan.

“Kalau ya maknanya U dah jatuh cinta dengan I..”Kata Izhar lagi. Dia mencapai briefcase lalu berjalan meninggalkan bilik menuju ke tingkat bawah. Dalam hatinya dia tersenyum lebar.

Ardini terpana dengan kata-kata Izhar. Kata-katanya sendiri digunakan Izhar untuk mengenakan dirinya. Tidak disangka Izhar bijak membaca riak wajahnya. Ardini terasa malu sendiri. Memang dia sudah mula menyukai Izhar. Tidak tahu kenapa tetapi setiap kali bersama Izhar dia rasa berdebar. Degupan jantungnya menjadi tidak sekata bila haruman lelaki itu menusuk hidungnya. Selalunya dia akan mengawal debar hatinya sebaik mungkin, tidak pernah dizahirkan dalam riak wajah cuma kadang-kadang dia mencuri pandang ke arah Izhar bila dirasakan lelaki itu tidak perasan.

Ardini menarik nafas dalam-dalam. Memang dalam hatinya sudah terpahat nama Izhar cuma hati Izhar bukan untuknya. Cinta Izhar telah tertumpah pada gadis yang bernama Maya. Yang berkulit putih gebu dan bergaya seksi, lebih moden darinya. Jika dibandingkan dengan dirinya, jarak mereka bagaikan langit dan bumi. Tidak mungkin Izhar jatuh hati pada perempuan sepertinya. Yang serba kekurangan dalam banyak segi. Ardini menghela nafas berat, dia tidak boleh terlalu melayan perasaannya itu. Izhar tidak mungkin akan menjadi miliknya.






Tuesday 28 February 2012

AKU UNTUKMU BAB 18 DAN BAB 19

ikuti sambungannya....


BAB 18



            Maya berdiri di balkoni apartmennya sambil membuang pandang ke arah bangunan-bangunan tinggi. Hatinya masih bengkak rentetan kejadian ditinggalkan Izhar semasa makan malam seminggu yang lalu. Segala usaha yang dilakukan untuk memikat Izhar belumpun membuahkan hasil. Mengenangkan dia terpaksa bersaing dengan Ardini sebagai isteri Izhar menjadikan hatinya bertambah panas. Walaupun belum pernah berjumpa dengan Ardini, dia tetap merasakan Ardini pesaingnya yang paling hebat kerana berjaya menakhluki hati lelaki yang pernah digilai oleh ramai gadis sewaktu zaman persekolahannya dulu.

            Maya berkira-kira dalam hatinya. Walauapapun yang terjadi Izhar akan dipastikan menjadi miliknya. Maya mula membuat perancangan baru. Kalau begitu sukar sekali untuk dia mendekati Izhar, dia akan menggunakan cara baru. Mendekati Izhar melalui Ardini. Terasa benci apabila terfikirkan Ardini. Nama itu sendiri diketahui selepas dia dengan sengaja mematikan panggilan Ardini. Bukan itu sahaja malah Maya telahpun menyediakan ‘back up plan’. Dia bukan setakat mengenali nama isteri Izhar malah nombor telefon Ardini juga telah diambil.

            Jika Izhar tidak menunjukkan minat terhadapnya, dia akan menggunakan cara halus bagi mendapatkan lelaki itu. Maya tersenyum sendiri. Dalam kepalanya telah diatur rancangan dalam usaha dia meraih cinta Izhar. Senyumnya makin melebar tatkala membayangkan Izhar berada disampingnya setelah rancangannya berjaya kelak.





Ardini sedang mengemas bahagian ruang tamu semasa dia terdengar bunyi telefon bimbitnya. Izhar telah berlalu ke pejabat sejam yang lalu. Ardini berlari anak untuk mendapatkan telefon yang diletakkan di atas almari di satu sudut di sebelah kanan ruang tamu. Selepas mencapai telefon, Ardini melihat di skrin untuk memastikan nama pemanggil, namun yang tertera hanyalah nombor. Ardini membawa telefon ke telinga seraya menjawab panggilan.

            “Hello.” Ardini bersuara lambat-lambat. Menunggu orang dihujung talian menyambut.

            Hello, so..U must be Ardini right?”Terdengar suara perempuan dari hujung talian.

            Yes I am.”Ardini menjawab ringkas, meneka-neka siapa gerangan yang menelefonnya. Yang pasti dia tidak mengenali suara itu.

            I am Maya, Izhar’s girlfriend.” Maya memperkenalkan diri. Sengaja menekankan perkataan girlfriend.

            “Yes Cik Maya, can I help U?” Ardini bertanya pelik, sangsi dengan tujuan Maya, kenapa harus kawan perempuan Izhar menelefonnya. Ada rasa cemburu bertamu dihatinya kala itu.

            Can we see each other today?, I want to talk to U about Izhar.” Maya cuba mengatur perjumpaan dengan Ardini. Memang dia telah merencana semuanya, tinggal dilaksanakan sahaja rancangannya itu.

            “Actually I’m at home, if U want to see me, U can come here because I need to ask for Izhar’s permission before going out.”Ardini meletakkan syarat kepada pertemuan yang bakal dibuat. Dia masih teringat peristiwa seminggu yang lalu, Izhar telah memaklumkan sekiranya dia ingin keluar rumah haruslah bersama Izhar. Ardini bimbang Izhar akan marah lagi sekiranya dia keluar tanpa izin.

            Ardini turut pelik, kenapa Maya yang mengaku sebagai teman Izhar mahu berjumpa dengannya sedangkan dia tidak pernah mengenali Maya. Untuk seketika Ardini terfikir mungkinkan Maya merupakan teman wanita yang istimewa kepada Izhar. Kalau tidak masakan Maya boleh mengenalinya dan mempunyai nombor telefonnya. Tentu ada perkara yang ingin Maya sampaikan kepadanya.

 Ardini terfikir sendiri, mungkin Maya merupakan kekasih Izhar selama ini. Mungkin gadis itu ingin menemuinya untuk memaklumkan kepada dia tentang hubungan mereka selama ini. Memikirkan kebarangkalian itu, hati Ardini dipanah rasa cemburu.

Give me your address, I’ll come at 3.00p.m” Maya bersuara, dia bersetuju untuk menemui Ardini di kediaman Izhar.

Okey, I’ll text it to U.”Balas Ardini. Kata-kata Maya tadi menghentikan lamunan Ardini.

Ardini termenung seketika selepas menamatkan perbualan dengan Maya. Dia sendiri tidak pasti mengapa dengan mudah dia bersetuju untuk menemui Maya. Padahal dia sendiri tidak mengenali Maya. Mungkin jauh disudut hatinya dia terlalu ingin mengenali Maya, ingin mengetahui dengan lebih lanjut perkaitan antara Izhar dengan Maya.

Ardini mengeluh berat, tidak tahu bagaimana dia boleh bertindak sejauh itu hanya kerana satu perasaan yang hadir dalam hatinya. Dia tiada hak untuk cemburu dengan Izhar. Sejak awal lagi Izhar telah meletakkan jarak antara mereka. Dia tiada hak untuk mencampuri urusan Izhar.  Tiba-tiba dia berasa bersalah kerana bersetuju dengan cadangan Maya sebentar tadi.





Maya memandang ke arah sebuah banglo besar dihadapannya. Pantas tangannya mengeluarkan handphone dari tas tangan. Mesej dari Ardini dibuka semula, dia memerhatikan alamat di hadapan pintu gate  banglo tersebut dan membandingkan dengan alamat yang telah dikirim oleh Ardini. Setelah pasti itu rumah yang dicari olehnya, Maya turun dari kereta. Dia mengatur langkah menuju ke hadapan pintu gate lalu menekan loceng. Selang beberapa minit, muncul seorang perempuan menyambut kedatangannya.

            I datang nak jumpa Ardini.” Maya memberitahu.

            “Saya Ardini.”Ardini memperkenalkan diri seraya membuka pintu pagar.

            “Masuklah.” Ardini mempelawa sejurus pintu gate dibuka.

            Maya memandang Ardini atas dan bawah, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Penampilan Ardini begitu jauh dari jangkaannya. Ardini hanya berbaju kurung dengan tudung di kepala. Dia membayangkan Ardini sebagai seorang yang seksi sepertinya, pandai bergaya dan lebih moden dalam berfesyen. Ternyata sangkaannya meleset. Maya hairan bagaimana Izhar boleh terpikat dengan Ardini kerana dia tahu Izhar seorang lelaki yang suka mendampingi gadis-gadis seksi sepertinya. Malahan semasa di universiti di luar negara, ramai diantara kenalan perempuan Izhar terdiri dari gadis-gadis bergaya moden yang cenderung dengan fesyen yang ala kebaratan. Dia tahu kerana dia punyai rakan yang sama-sama belajar di satu universiti dengan Izhar.

            “Duduklah.” Ardini mempelawa Maya duduk di kerusi kayu di halaman. Minuman dan kuih juga telah sedia terhidang di atas meja.

            Maya melabuhkan punggungnya di salah satu kerusi. Skirt pendek separas peha ditarik-tarik sambil membetulkan duduk. Ardini turut mengambil tempat di kerusi yang bertentangan dengan tempat Maya duduk.

            So, ada apa nak jumpa saya.” Ardini memulakan bicara, berbicara dengan nada yang lembut.

            I just want U to know the relationship between Izhar and I.”Maya mula mengadakan cerita.

            “ What do U mean?” Ardini bersoal pelik, cuba memahami bait-bait kata yang keluar dari mulut Maya. Hatinya terasa berdebar. Bimbang kerisauannya menjadi kenyataan.

            I tak tahu apa yang Izhar bagitahu U, but at this moment of time, we are dating each other.”Maya cuba mencanang api cemburu Ardini. Walaupun apa yang diceritakan kepada Ardini merupakan rekaan semata-mata tapi dia puas. Sekiranya Izhar tidak dapat ditawan dengan cara biasa maka galang gantinya ialah keharmonian rumah tangga Izhar. Hanya dengan cara halus begitu sahaja yang membolehkan Izhar beralih arah kepadanya. Dari keruntuhan rumah tangga itu dia akan cuba masuk jarum. Semenjak kejadian malam ditinggalkan Izhar, hatinya panas. Jelas dimatanya sinar mata Izhar yang berlainan selepas menerima pesanan ringkas Ardini. Dari situ dia menyedari Izhar menyayangi Ardini dan pasti sukar untuk dia menakhluki cinta lelaki itu sekiranya rumah tangga mereka kekal bahagia. Dengan itu, dia nekad akan meruntuhkan rumah tangga Izhar tidak kira dengan cara apa sekalipun.

            Ardini mengeluh berat, terasa pedih hati seiring dengan rasa kecewa mendengarkan pengakuan Maya. Sungguh dia tidak pernah mengenali Izhar dengan rapat, hatta dengan siapa Izhar berkawan pun dia tidak pernah tahu. Lelaki itu memang telah menjarakkan dirinya semenjak awal perkahwinan mereka lagi. Namun kenyataan Maya terasa sangat mengguris hati, kalau benar Izhar tidak pernah rela mengahwininya mengapa Izhar tidak membantah permintaan Datuk Hassan dulu. Mengapa Izhar sengaja menerimanya sekadar mahu menyeksa hatinya. Izhar juga tidak pernah ingin mengotakan janjinya untuk mengakhiri hubungan mereka. Sehingga kini Ardini masih lagi tertanya-tanya dengan status dirinya. Dicintai pun dia tidak, dibuang jauh pun dia tidak. Izhar hanya menggantungnya tidak bertali.

            “Mungkin dia tak bagitahu sebab nak jaga hati U” Sambung Maya dalam nada lembut, sengaja mengapi-apikan kemarahan Ardini, dari riak wajah Ardini dia tahu Ardini kecewa dengan berita palsu yang baru disampaikan.

            “Dia berhak untuk memiliki lebih dari seorang isteri, dia bukan hak mutlak saya, kalau betul cinta dia tertumpah buat awak, siapa saya untuk menghalang, agama membenarkan dia berkahwin sampai empat, terpulanglah pada dia.” Ardini bersuara mengendur, dalam kecewa dia masih berfikiran waras. Ternyata dia bukan saingan Maya yang putih gebu dan bergaya seksi. Dia tidak akan melatah dengan berita yang baru didengar. Sekiranya benar hubungan yang dikatakan Maya itu wujud maka dia tiada hak untuk cemburu dan marah. Dia bukan sesiapa kepada Izhar. Lelaki itu berhak menentukan hidupnya sendiri. Memilih sesiapa sahaja yang menjadi pilihan hatinya sendiri, cuma Ardini kecewa kerana Izhar masih mengikatnya dengan ikatan perkahwinan. Bila masa dia akan dilepaskan, dia sendiri masih tertanya-tanya.

            “Well, I cuma tak nak U terus-terus ditipu. I pun tak nak terus berkeadaan macam ni, kalau boleh I nak kami disatukan.”Maya bangun sejurus berkata-kata, satu lagi pembohongan yang direka untuk memusnahkan rumah tangga Izhar. Namun melihatkan reaksi Ardini yang tenang membuatkan hatinya bertambah panas. Harapannya Ardini akan melenting dan marah dengan berita yang disampaikan tapi Ardini hanya beriak tenang. Menerima kata-katanya sebagai satu takdir.

            Ardini hanya mengiringi pemergian Maya dengan ekor mata. Kata-kata Maya tadi menyebabkan dia termenung panjang. Lama dia berkeadaan begitu sebelum dia mengambil keputusan untuk bangun dan membawa minuman dan kuih yang tidak disentuh masuk semula ke dapur. Andai benar kata-kata Maya tadi, dia akan bersemuka dengan Izhar. Sudah lama dia tertanya-tanya tentang hala tuju perkahwinan mereka.

Kalau benar Izhar sedang bercinta dengan Maya, dia akan mengundur diri. Sudah terlalu lama mereka berkeadaan begitu. Hidup dalam satu ikatan perkahwinan yang sah tetapi menjalani dua kehidupan yang jauh terpisah. Ardini sudah letih memujuk hati supaya terus bertahan dalam ikatan yang tidak pasti. Kedatangan Maya meruntuhkan tembok kesabarannya selama ini. Mana mungkin dia masih boleh bertahan selepas mengetahui semua itu. Tiada guna dia kekal dalam ikatan yang tidak membawa kebahagian kepada dia mahupun Izhar.





Izhar duduk disofa selepas hampir setengah jam menikmati makan malam. Dia leka menonton warta berita semasa Ardini mendatangi tempat dia sedang berehat. Walaupun pelik melihat tingkah laku Ardini, Izhar hanya membiarkan. Tatkala Ardini turut mengambil tempat di satu sudut sofa, Izhar memalingkan wajah. Jarang sekali Ardini datang menonton warta berita dengannya. Selalunya selepas siap mengemas Ardini akan terus naik ke bilik. Ardini hanya akan menonton tv di ruang tamu apabila dia beredar masuk ke bilik bacaan untuk menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh di pejabat.

            Ardini mengeluh nafas berat selepas melabuhkan punggung di sofa. Terasa berat mulutnya untuk memulakan perbualan bersama Izhar namun dia memberanikan diri untuk bertanyakan hal itu kepada Izhar. Pejumpaan diantara dia dan Maya dirahsiakan dari pengetahuan Izhar. Biarlah Izhar tidak tahu perihal perjumpaan tersebut.

            “Saya ada perkara nak bincang dengan awak.”Ardini memulakan bicara. Terasa berdebar-debar jantungnya hendak bertanyakan hal tersebut kepada Izhar.

            “Perkara apa?” Izhar mematikan tv, kini perhatiannya beralih kepada Ardini.

            “Tentang perkara yang pernah awak bagitahu saya masa awal kahwin dulu.” Luah Ardini, berharap Izhar dapat menangkap maksudnya.

            “Perkara yang mana satu?” Soal Izhar lagi, tidak dapat menangkap perkara apa yang dimaksudkan oleh Ardini. Kesempatan itu digunakan untuk merenung lama wajah Ardini.

            “Hal tentang awak nak mengakhiri semua ni.” Ardini masih berkias bicara. Berharap Izhar memahami  maksudnya. Tangan yang saling menggenggam diantara satu sama lain ditenung lama.

            “Kenapa dengan hal tu?” Izhar bersuara senada, tidak senang hati bila Ardini membangkitkan hal tersebut.

            “Awak pernah cakap, suatu hari nanti awak akan akhiri semua ni, saya cuma nak tahu sampai bila harus berkeadaan macam ni, awak buat hal awak, saya buat hal saya, kalau dah takde keserasian, tiada guna teruskan lagi.” Luah Ardini, berharap kali ini Izhar dapat menangkap maksud yang cuba disampaikan.

            “Belum tiba masanya.” Izhar menjawab ringkas. Tidak berminat meneruskan perbincangan itu. Dia sendiri tidak ada jawapan untuk permintaan Ardini walaupun hakikatnya dia yang membuat keputusan itu dulu. Tapi kini dia keliru, hatinya terasa dirantai untuk melepaskan Ardini. Dia masih belum bersedia mengotakan janjinya.

            “Tapi saya dah tak sanggup nak menipu mama dengan papa, berpura-pura bahagia tapi hakikatnya cuma kita yang tahu…”Ardini bersuara lemah. Terasa berdosa menipu Datin Rohana dan Datuk Hassan dengan mempamerkan kebahagiaan palsu yang sengaja mereka ciptakan.

            “Kalau U sanggup nak beritahu kebenaran pada diaorang silakan, I tak nak masuk campur.” Izhar memberi kata putus seraya berlalu meninggalkan Ardini, langkahnya diatur laju menuju ke bilik. Panas hatinya mendengar permintaan Ardini. Buat masa ini dia masih belum boleh melepaskan Ardini. Izhar pelik mengapa tiba-tiba Ardini membangkitkan hal tersebut walhal selama ini Ardini hanya mendiamkan diri sahaja.

            Ardini menarik nafas dalam-dalam, terasa hujahnya tadi digunakan Izhar untuk menjerat dirinya sendiri. Mana mungkin dia sanggup mengkhabarkan segala penipuan mereka selama ini kepada Datin Rohana dan Datuk Hassan. Tentu Datin Rohana dan Datuk Hassan akan turut kecewa dengannya kerana bersubahat dengan Izhar melakonkan kebahagiaan hubungan mereka yang sebenarnya tidak pernah wujud.

            Ardini meraup wajah dengan jari jemari. Terasa berat kepalanya memikirkan hal dia dan Izhar. Untuk meneruskan hubungan itu, dia rasa terseksa kerana digantung tidak bertali. Hatinya lirih bila mengetahui lelaki itu menyintai wanita lain dan dalam masa yang sama Izhar mengikatnya disitu, dia tidak boleh terbang bebas kerana terikat dengan ikatan itu. Izhar sendiri seakan-akan mahu merantainya di situ lebih lama lagi. Tidak mahu melepaskannya seperti yang pernah dikatakan dulu. Ardini tiada pilihan melainkan terus bertahan dalam hubungan itu.

            Membayangkan reaksi Datin Rohana dan Datuk Hassan sekiranya rahsia itu bocor membuatkan Ardini takut. Pasti selama-lamanya dia akan dibenci kerana bersubahat menipu mereka. Setitis air mata Ardini tumpah apabila mengenangkan perkara tersebut. Dia tersepit antara dua situasi, di telan mati emak, di luah mati bapak. Dia terpaksa bertahan, biarlah dia berkorban hati dan perasaan daripada melukakan dua hati yang selama ini menyayanginya.



BAB 19



            Nora memandang Darus dengan ekor mata, sungguh dia berasa sakit hati dengan Darus. Dari pagi tadi Darus keluar dan sudah lewat petang begini baru menampakkan batang hidung di rumah. Rutin lelaki itu berubah selepas setahun usia perkahwinan mereka. Darus mula berjinak-jinak dengan minuman todi dan dadah. Walaupun sudah berkali-kali keluar masuk pusat serenti, Darus masih belum serik. Segala wang yang diperoleh akan dibelanjakan untuk berjudi, membeli todi atau dadah. Kalau dulu, dadah hanya merupakan makanan sampingan kini dadah telah dijadikan satu keperluan oleh Darus. Sekiranya tidak mendapat dadah dalam satu hari, Darus akan hilang kewarasan. Tangan dan kakinya akan naik ke tubuh Nora.

            Walaupun sakit hati dengan tingkah laku Darus, Nora tidak berani melawan kata-kata Darus. Pengalamannya dipukul apabila melawan kata-kata Darus menjadikan dia serik namun kejadian tengahari tadi menyebabkan darah Nora menyirap kembali dengan perangai Darus. Tengahari tadi Nora didatangi beberapa orang lelaki berbangsa cina yang menuntut bayaran hutang yang dimeterai oleh Darus dengan mereka.

            Nora yang tidak tahu hujung pangkal cerita telah diherdik dan diugut. Rentetan peristiwa itu telah menyebabkan hatinya panas. Darus kini sudah pandai meminjam dari Ah Long. Nora bimbang tindakan Darus hanya akan membawa bencana kepada mereka. Mana mungkin dia mampu melangsaikan hutang Darus sebanyak sepuluh ribu.

Wang dua puluh ribu yang diperoleh dari Datuk Hassan juga digunakan untuk melangsaikan hutang judi Darus. Harapannya untuk bermewah-mewah dengan wang pemberian Datuk Hassan lenyap kerana Darus nyaris mati dipukul oleh geng-geng judinya. Kalau dia tahu Darus tidak pernah akan insaf, pasti dia biarkan sahaja Darus mati dipukul.

“Dari pagi keluar, baru ingat nak balik.” Nora mula membuka mulut apabila kelibat Darus melintasi tempat dia sedang duduk.

“Kau, kalau sehari tak bising tak boleh ke?” Darus serabut mendengar bebelan Nora.

“Sejak bila pandai pinjam duit Ah Long.” Kata-kata Nora lebih kepada sindiran tajam kepada Darus. Memang hatinya panas saat itu.

“Aku penat ni, kau diam boleh tak!”Darus hilang sabar mendengar pertanyaan Nora yang bernada sinis.

“Kalau hidup tak menyusahkan orang tak boleh ke?, sekarang sampai Ah Long datang rumah apa hal, kalau dah pandai berhutang, pandai-pandai lah bayar, jangan hidup harapkan bini je, kerja malas!” Nora meninggikan suara. Kejadian dikunjungi konco-konco Ah Long tengahari tadi menaikkan darahnya.

“Kau ni memang tak faham cakap aku kan…” Darus menghampiri Nora yang sedak duduk di sofa, rambut Nora ditarik kasar dan dihempas ke lantai. Tubuh Nora yang jatuh terjelepok disepak beberapa kali seiring dengan tamparan dimuka Nora. Nora yang tidak mampu berbuat apa-apa hanya mampu mengalirkan air mata. Setiap kali dia melawan kata-kata Darus pasti sepak terajang akan menjadi habuannya. Kadang-kadang dia terfikir mungkin ini merupakan balasan terhadapnya atas dosa besarnya kepada Ardini dulu.

Darus keluar dari rumah setelah puas memukul Nora. Hatinya panas apabila Nora bertindak membebel sebaik dia pulang dalam keadaan penat. Kepalanya letih memikirkan tentang kekalahannya bermain judi, bila pulang ke rumah telinganya dijamu pula dengan bebelan Nora. Kehangatan yang sedia wujud dalam hatinya menjadi semakin panas, akibatnya Nora menjadi mangsa sepak terajangnya.


Monday 27 February 2012

AKU UNTUKMU BAB 16 DAN BAB 17

maaflah kalau entry kali ni lambat sikit...:)
BAB 16



Ardini bangun dari perbaringan apabila terdengar bunyi mesej yang masuk di telefon bimbitnya. Usai bersembahyang isyak tadi dia merebahkan tubuhnya ke katil. Penat kerana membantu majlis kenduri Makcik Zizah dua hari yang lalu masih terasa. Ardini mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja solek. Mesej dari Kak Murni dibuka dan dibaca.



Salam, hjg minggu ni Dini free tak?, akak nak hantar barang-barang  Dini.



Sejurus membaca mesej, Ardini terus mendail nombor Kak Murni. Dia lebih selesa berbicara dari mulut ke mulut daripada berbalas mesej. Sejurus talian bersambut, Ardini memulakan bicara.

“Assalamualaikum kak?” Ardini memulakan perbualan dengan ucapan salam.

“Waalaikumusalam.” Kak Murni menjawab ringkas, dia mengagak tentu Ardini call untuk berbincang akan hal berkaitan mesejnya tadi.

“Akak sihat?” Ardini berbasa basi sebelum menyampaikan maksud.

“Alhamdulillah sihat, Dini?” Kak Murni turut memperlihatkan keprihatinan.

“Dini sihat.” Ardini menjawab ringkas.

So camane, Ahad ni boleh tak kita jumpa?” Kak Murni bertanya, terus kepada maksudnya.

“Boleh, Dini sekarang pun belum kerja lagi, bila-bila jumpa pun takde masalah.” Ardini menyatakan persetujuan.

“Kalau macam tu baguslah, akak bukannya apa, sejak kerja ni sibuk je memanjang, payah nak keluar tak tentu masa.” Luah Kak Murni. Dia sudah hampir sebulan bekerja sebagai pegawai pemasaran di syarikat swasta.

“Biasalah kerja swasta, kenala berkorban sikit.” Ardini bersuara mengendur, awal bulan hari tu Kak Murni ada memaklumkan yang dia telah mendapat pekerjaan. Mungkin berjawatan sementara kerana mereka sama-sama belum menerima ijazah.

“Dini boleh datang ke stesen KTM Kuala Lumpur tak?, dekat sikit dengan tempat kerja akak, kebetulan akak ada meeting hari tu.” Kak Murni bertanya, dalam kata-katanya ada keluhan kerana terpaksa menghadiri mesyuarat pada cuti hujung minggu.

“Boleh, akak habis meeting pukul berapa?” Ardini bertanya lagi.

“Dini datang dalam pukul tiga petang la, mesyuarat mula pagi, maybe finish by three.”Kak Murni memaklumkan.

“Okey, jumpa akak nanti.” Kata Ardini, memberi isyarat untuk menamatkan perbualan.

“Okey, jumpa nanti, apa-apa hal akak SMS.” Kak Murni mematikan talian sejurus mengucap salam.

Ardini kembali merebahkan tubuh ke katil, dia akan memaklumkan kepada Izhar tentang perjanjian dan perancangan yang telah dibuat bersama Kak Murni pada hujung minggu yang akan datang.







Sejurus mengemas meja makan selepas Izhar selesai makan sarapan, Ardini bergerak ke ruang  tamu. Izhar sedang leka membaca akhbar dengan tv yang terpasang. Kebiasaan Izhar sejak kebelakangan ini yang Ardini perasan ialah Izhar suka membuka tv ketika dia duduk-duduk di ruang tamu, walaupun dia melakukan kerja-kerja lain disitu.

Ardini bergerak ke sofa sebelah kanan lalu duduk. Izhar yang masih leka dengan akhbar ditangan tidak menyedari kehadiran Ardini. Melihatkan Izhar yang masih leka membelek akhbar, Ardini memulakan bicara.

“Esok saya nak pergi pusat bandar, nak  ambik barang dari kawan.” Ardini memulakan bicara. Mengharapkan Izhar memberi kebenaran.

“Nak I hantar ke?” Izhar bersuara, matanya masih memandang surat khabar ditangan.

“Takpelah, saya naik KTM kat Bandar Tasik Selatan je, dia tunggu kat stesen KTM Kuala Lumpur.” Ardini menerang tanpa diminta, dia tidak mahu menganggu jadual Izhar pada hujung minggu.

“Terpulanglah.” Izhar menjawab sepatah, dia masih kusyuk membaca akhbar.

Ardini berlalu ke bilik selepas Izhar memberi kebenaran untuk dia keluar. Dia jarang-jarang sekali keluar dari banglo Izhar. Sejak berkahwin, inilah kali pertama dia akan keluar berjumpa kawan yang tidak ditemui semenjak hari perkahwinannya berlansung. Apabila masuk ke bilik, Ardini berjalan menuju balkoni, kebiasaannya apabila tidak turun ke laman dia paling suka berdiri di balkoni dan menikmati udara pagi yang nyaman.

Selesai membaca akhbar, Izhar bergerak ke halaman rumah, dia bercadang untuk membasuh kereta supaya pada hari berikutnya dia boleh melakukan kerja-kerja pejabat yang masih tertangguh.

Belum pun sampai sepuluh langkah, Izhar terdengar telefon bimbitnya berbunyi. Dia berpatah balik mendapatkan telefon. Sejurus melihat nama pemanggil, Izhar bawa telefon ke telinga, langkahnya diatur menuju ke halaman rumah. Izhar melabuhkan punggung ke atas kerusi kayu.

“Hello.” Izhar membuka bicara.

“Hi, ingat I lagi tak?” Terdengar suara manja dihujung talian.

“Maya right, I save your number.”Izhar bersuara senada.

“U sihat?” Maya bersuara manja, cuba memancing perhatian Izhar.

“I’m good. U?”Izhar menjawab ringkas.

I ni sakit rindu.”Jawab Maya.

“rindu? Kat sape?, bertuahlah orang tu.” Seloroh Izhar.

“Rindu kat U la.”Maya merengek manja.

“Ada-ada la U ni.” Izhar menganggap kata-kata Maya sekadar gurauan, masakan Maya masih mahu memikatnya setelah dia memaklumkan kepada gadis itu tentang statusnya sebagai suami orang.

I serius rindu kat U tau, sebenarnya I nak ajak U keluar petang esok.” Maya memberitahu tujuan panggilannya.

“Sebenarnya esok I ada kerja sikit.” Izhar memberitahu perancangannya untuk hari esok.

Ala please, remember your promise lagipun u owe me one.” Maya merengek manja, mengingatkan Izhar pada janji yang pernah dibuat.

Okey, I’ll make time.”Izhar memberikan persetujuan mengenangkan janji yang pernah dibuat bersama Maya.

okey, see U tomorrow.”Kata Maya lagi.

See U.Izhar mematikan perbualan bersama Maya. Butang merah pada telefon bimbitnya ditekan.

Ardini yang sedari tadi berdiri di balkoni biliknya membuang pandang, terus kepada Izhar, perbualan Izhar di ruang halaman rumah tadi tidak jelas ditangkap telinganya. Terdetik dalam hatinya dengan siapa Izhar bersembang di telefon. Memikirkan kebarangkalian Izhar bersembang dengan Delia membuatkan hatinya di panah rasa cemburu. Sejak kebelakangan ini Ardini merasakan terdapat satu perasaan istimewa terhadap Izhar. Perasaan itu menyebabkan dia terasa ingin terus mendekati Izhar namun apabila teringat akan kata-kata Izhar semasa awal dulu, Ardini melupakan hasratnya.

Dia tidak mahu terus membina angan-angan yang akhirnya akan runtuh dan menghempapkan. Sebelum dia bermimpi dengan lebih jauh, dia harus sedar tidak mungkin Izhar akan menyimpan rasa cinta kepadanya.

Ardini menghela nafas berat. Wajah Izhar ditenung dari sudut balkoni. Izhar lelaki baik, mungkin menerima dia sebagai isteri hanya sekadar memenuhi permintaan kedua ibu bapanya. Untuk seketika Ardini berasa bersalah kepada Izhar kerana mengheret lelaki itu ke dalam hidupnya. Izhar terpaksa menerima dirinya yang tidak sempurna. Setitis air mata Ardini tumpah mengalir. Tiba-tiba terasa kesal kerana lelaki itu terpaksa menerimanya tanpa rela.

Ardini menyeka air mata dengan hujung jari, nafasnya ditarik dalam-dalam. Masih ada air mata yang tersisa. Wajah Izhar ditenung lama, dalam hatinya memang ada menyimpan satu perasaan istimewa untuk Izhar. Sejak Izhar melafazkan akad, dia nekad akan menerima lelaki itu sebagai suami, mengasihi Izhar sepenuh hati. Semakin hari berlalu, rasa itu semakin kuat membungkus hatinya.

Air mata yang tumpah diseka lagi, matanya masih terlekat pada wajah Izhar. Air matanya mengalir lagi. Saat itu Izhar mendongak ke atas memandang tepat ke wajahnya. Untuk seketika mereka merenung antara satu sama lain. Ardini lekas-lekas melarikan wajah. Dia berpaling dan masuk semula ke dalam bilik. Bimbang Izhar menyedari keadaan dirinya.

Ardini merebahkan tubuhnya ke katil, air matanya masih bersisa. Sejak kebelakangan ini dia banyak berfikir mengenai hala tuju kehidupan yang dibina bersama Izhar. Dia tidak mahu terlalu berharap, kata-kata Izhar dulu masih dipegang kemas. Dia redha bagaimana Izhar akan mengakhiri hubungan mereka. Dia juga tidak betah terus menerus menyeksa diri dan mengikat Izhar dalam ikatan perkahwinan yang Izhar sendiri tidak redhai. Namun selagi dia bergelar isteri kepada lelaki itu dia akan menunaikan tanggungjawabnya kepada Izhar.

Izhar merenung jauh ke hujung sudut halaman, baru sebentar tadi dia terlihat Ardini menangis. Hatinya dipagut rasa pilu menyaksikan Ardini mengalirkan air mata. Apa sebab yang membuatkan gadis itu menangis dia sendiri tidak tahu. Sedang perasaannya sendiri berbaur. Memikirkan hala tuju perkahwinan dia dengan Ardini membuatkan kepalanya serabut. Untuk mengakhiri semua itu dalam masa yang terdekat ini dia masih belum bersedia. Perasaannya masih keliru.





BAB 17



Setelah setengah jam menunggu akhirnya Ardini berjaya menahan sebiji teksi yang lalu di hadapan tempat dia menunggu. Disebabkan Izhar tinggal dikawasan perumahan elit maka teksi jarang kedapatan di situ. Kebanyakan penduduk di situ mempunyai kenderaan sendiri yang membolehkan mereka keluar masuk tidak kira masa. Mungkin disebabkan itu juga jarang ada pemandu teksi yang masuk untuk mendapatkan penumpang di kawasan elit itu.

Disebabkan ramai diantara warga kota yang keluar berjalan pada hari minggu sebegitu menyebabkan jalan raya sedikit sibuk. Hampir sejam duduk di dalam teksi barulah Ardini tiba di stesen KTM Bandar Tasik Selatan. Dari situ Ardini menaiki tren dan perlu melalui empat stesen lain iaitu Salak Selatan yang terus menuju ke Seputeh dan MidValley serta KL Sentral sebelum sampai ke stesen Kuala Lumpur.

Ardini tiba di stesen Kuala Lumpur hampir jam empat petang. Dia menunggu Kak Murni sambil duduk di kerusi yang disediakan. Belum pun sampai sepuluh minit melabuhkan punggung, terdengar bunyi mesej masuk ke dalam telefonnya. Ardini mengeluarkan telefon bimbitnya dari beg sandang dan mesej dari Kak Murni dibuka dan dibaca.



Dini, akak mgkin lmbt sikit. Meeting start lmbt tadi. Kalau dh smpai, dini tggu dulu K. Dh siap akak SMS.



Ardini menyimpan kembali telefon bimbitnya ke dalam beg sandang. Ardini mengeluarkan novel The Seven Secrets Of Happiness tulisan Sharon Owens  dari beg sandangnya. Sehelai demi sehelai mukasurat dibuka dan dibaca sementara menunggu Kak Murni. Memang itu merupakan hobinya sejak dulu, kalau ada masa terluang dia akan memilih untuk membaca buku ilmiah ataupun karya fiksyen. Kadangkala hobinya itu diselang selikan dengan membaca kisah cinta fiksyen melayu mahupun inggeris.

Hampir sejam menunggu Ardini berasa letih, dia bangun dan menuju ke kedai runcit yang terdapat dalam stesen itu. Ardini membeli roti berinti coklat dengan air kotak soya untuk mengisi perut. Selesai membeli Ardini kembali ke tempat duduknya untuk sambung membaca. Suasana di stesen itu lengang menandakan tidak ramai pengunjung di situ. Disebabkan kedudukan stesen KTM Kuala Lumpur terletak di pusat Bandar maka stesen itu kurang dikunjungi kerana ramai pengguna pengangkutan awam mempunyai alternatif lain seperti LRT di stesen Kerinchi yang terletak hampir dengan stesen KTM Kuala Lumpur dan pengguna juga lebih suka menggunakan perkhidmatan bas yang boleh didapati di hadapan Pasar seni.

Hampir sejam Ardini menunggu, dia menerima mesej kedua dari Kak Murni yang mengatakan Kak Murni akan tiba lewat kerana mesyuaratnya masih belum selesai. Ardini mengerling jam di telefon bimbitnya, sudah hampir tiga jam dia menunggu, solat asarnya masih belum ditunaikan. Ardini menapak ke surau yang terletak di hujung sebelah kanan stesen untuk menunaikan solat.

Usai bersolat, Ardini duduk berehat di dalam surau kecil yang hanya boleh menempatkan paling ramai sebanyak lima orang dalam satu masa. Ardini mencongak-congak masa yang tinggal. Pasti dia akan sampai lewat ke banglo Izhar kerana hari sudah hampir menginjak ke waktu malam. Setelah menerima mesej dari Kak Murni yang mengatakan Kak Murni dalam perjalanan ke tempatnya, Ardini menapak kembali ke ruang menunggu di hadapan.

Dua puluh minit menunggu akhirnya Kak Murni tiba di stesen KTM. Perjumpaan semula selepas hampir tiga bulan menyebabkan mereka terharu. Masing-masing berpelukan melepaskan rindu.

“Dah lama Dini tunggu?” Kak Murni membuka bicara. Sekadar bertanya walhal dia sendiri sudah tahu Ardini telah lama menunggu.

“Hampir empat jam.” Ardini berterus terang. Memberitahu kebenaran walaupun dia tidak marah.

“Maafla, mesyuarat akak mula lambat tadi, tunggu bos punya pasal.” Rungut Kak Murni.

“Takpelah kak, bukannya selalu.” Ardini cuba meredakan Kak Murni.

“Kesian Dini kena tunggu lama.” Luah Kak Murni, bersimpati dengan Ardini yang terpaksa menunggunya.

“Takpe, Dini faham, lagipun bukannya senang nak jumpa macam ni, nak patah balik, rumah Dini pun jauh, Dini sanggup tunggu, demi nak jumpa akak tau.” Ardini melirik senyum, cuba meredakan rasa bersalah Kak Murni dengan kata-katanya.

“Terima kasih Dini sebab faham situasi akak, jomlah ambik barang, lepas ni akak nak kena balik office, ada benda nak selesaikan sebelum masuk kerja pagi esok, lagipun akak parking kereta kat luar tu, tak boleh lama-lama, takut dapat surat cinta DBKL pulak.” Sambung Kak Murni sambil berseloroh.

Mereka berjalan beriringan menuju ke kereta. Sejurus tiba Kak Murni mengeluarkan barang-barang dari bonet dan diserahkan kepada Ardini.

“Baik betul tunang akak bagi akak pinjam kereta.” Giat Ardini, dia memang kenal kereta tunangan Kak Murni yang selalu bertandang ke kolej semasa mereka bercinta dulu. Terselit rasa cemburu dengan layanan tunang Kak Murni kepada Kak Murni.

“Yelah, kat KL ni kalau takde kereta susah. Tambah-tambah macam akak ni kena selalu meeting kat luar, kereta dah jadi keperluan pulak.”Sambung Kak Murni.

“Bertuahlah badan.” Ardini tersenyum sebaris.

“Orang tu lagi bertuah, dapat anak orang kaya, handsome pulak tu.” Giat Kak Murni. Menganggap kata-kata Ardini sekadar gurauan mesra.

Ardini hanya tersenyum tawar, hakikat sebenarnya hanya dia sahaja yang tahu. Perkahwinannya dengan Izhar tidak ke mana-mana. Hanya kontrak atas kertas yang dipersetujui dalam terpaksa dan tanpa rela.

Kak Murni menyalami tangan Ardini selepas meminta diri untuk kembali ke pejabatnya. Mereka berpelukan sebelum berpisah. Ardini melambai tangan mengiringi permergian Kak Murni.

Suasana di luar telah hampir gelap keseluruhannya. Ardini mengambil keputusan untuk kembali masuk ke dalam bagi menunaikan solat magrib yang hampir tiba. Selepas itu dia akan menelefon Izhar, meminta Izhar datang menjemputnya disitu, kerana barang-barangnya yang banyak. Sekiranya hari masih siang dia tidak runsing, disebabkan hari semakin gelap, dia risau berjalan dengan membawa beg yang berat bersama barang-barang lain. Tentu akan melambatkan perjalanannya. Terasa menyesal kerana tidak menerima perlawaan Izhar untuk menghantarnya hari itu tapi hal yang terjadi tadi tidak dijangka. Dia sendiri tidak tahu Kak Murni akan lewat.

Ardini menapak menuruni lorong bawah yang dibina untuk memudahkan pengguna menyeberangi ke seberang landasan. Beg dan barang-barangnya di jinjing menggunakan kedua-dua  tangan. Semasa melalui lorong itu, terlihat dua orang warga asing yang sedang duduk dalam keadaan khayal. Pada masa itu, Ardini berbelah bahagi sama ada untuk berpatah balik atau terus berjalan. Saat itu dia terfikirkan keselamatan dirinya, namun mengenangkan jam dah hampir menginjak ke pukul lapan, Ardini memberanikan diri. Solat magribnya perlu ditunaikan terlebih dahulu. Dia bertawakal.

            Tiba di surau, Ardini bersegera menunaikan solat magrib. Di situ dia berehat seketika  sebelum membuat panggilan kepada Izhar.  Dia akan menunggu Izhar di ruang menunggu kerana tempat itu dekat dengan jalan keluar, sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangka dia akan terus keluar mencari perlindungan di luar. Kejadian yang berlaku kepadanya sepuluh tahun dulu, menjadikan dia lebih berhati-hati di tempat yang sunyi.

            Ardini mendail nombor Izhar, apabila terdengar deringan, Ardini menunggu taliannya disambut dari hujung sana. Selang beberapa deringan talian dimatikan dari hujung talian sebelum sempat disambut. Ardini pelik. Dia mencuba sekali lagi tapi perkara yang sama berlaku. Ardini mencuba untuk kali ketiga tetapi hasilnya masih sama. Talian disebelah sana dimatikan sebelum diangkat. Ardini pelik, mungkin telefon bimbit Izhar kehabisan bateri.

Ardini mengambil keputusan untuk menghubungi telefon rumah. Setelah mendail dia menunggu, lama dia menunggu namun taliannya tidak juga bersambut. Ardini mencuba sehingga lima kali, telefon rumah Izhar tidak diangkat. Mungkin Izhar tiada di rumah kerana telefon tidak berangkat. Tak mungkin Izhar berada di bilik kerana banglo besar itu dipasang dengan satu telefon disetiap bilik.

Ardini mengeluh nafas, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan pesanan ringkas ke telefon bimbit Izhar. Sekiranya masih tiada jawapan dia akan pulang sendiri menaiki tren.





Maya tersenyum manis tatkala terlihat kelibat Izhar yang menghampiri meja duduknya. Memang dia sengaja menunda masa yang telah dijanjikan kepada Izhar kerana dia mahu mengajak Izhar makan malam dengannya. Walaupun sekadar berjumpa di Macdonald Kota Raya dia berasa puas, dari situ dia akan jadikan titik permulaan hubungannya dengan Izhar.

Lima belas minit lalu, lelaki itu meminta kebenarannya untuk ke tandas dan terlupa membawa sekali telefon bimbitnya yang di letakkan di atas meja.

            Sejurus tiba di meja tempat Maya sedang duduk, Izhar melabuhkan punggung di kerusinya tadi.

            “Sini rupanya phone I, thought I lost it in the toilet.” Kata Izhar, telefon bimbit yang terletak di sisi meja diambil, dia berhasrat memasukkan handphonenya ke dalam poket tetapi tidak jadi melakukan apabila terdengar bunyi mesej masuk.



Blh dtg jmput saya kt KTM KL, brg2 byk sgt, susah nk naik tren,lgpun dh mlm.



            Izhar membaca pesanan ringkas Ardini. Hatinya berdegup kencang memikirkan Ardini yang bersendirian di stesen KTM yang dia sendiri tahu sentiasa suram dan tidak ramai pengunjung. Dia menyangka Ardini telahpun sampai ke rumah kerana dia keluar berjumpa Rayyan dari petang tadi sebelum dia datang untuk makan bersama Maya.

Maya menjeling sekilas ke arah Izhar, hatinya tertanya-tanya siapa yang baru menghantar mesej tersebut kepada Izhar, lima belas minit yang lalu telefon Izhar berbunyi semasa lelaki itu menghilang ke tandas. Kerana rasa ingin tahu yang kuat,  dia bertindak mengambil telefon Izhar dan melihat nama pemanggil. Apabila terlihat nama Ardini di skrin telefon, dia berasa sakit hati, tentu Ardini merupakan isteri Izhar. Walaupun lelaki itu tidak pernah menceritakan perihal isterinya, siapa lagi yang akan membuat panggilan kepada Izhar pada waktu malam. Terasa marahnya meluap tentang perkara itu, tidak mungkin dia akan membenarkan Ardini merosakkan malam indah yang telah dirancang dengan Izhar.

            Lantaran rasa sakit hati itu, dia bertindak mematikan panggilan Ardini sebanyak tiga kali. Dia sanggup melakukan perkara itu dalam usahanya memikat Izhar. Segala yang menjadi halangan kepadanya akan dipatahkan. Kali ini dia nekad tidak akan melepaskan Izhar lagi. Biar seribu cara yang harus digunakan untuk mendekati lelaki itu, dia akan lakukan apa sahaja.



Sorry Maya, I need to go to pick my wife. I’ll make up for you next time.”Izhar bangun selepas memaklumkan kepada Maya, walaupun terasa bersalah kepada Maya kerana terpaksa membatalkan perjumpaan mereka, hatinya lebih bimbang dengan keadaan Ardini. Sejak peristiwa dia terlihat Ardini menangis semalam, hatinya jatuh simpati pada Ardini. Terasa bersalah selama ini dia sering melayani Ardini dengan buruk.

Izhar bergegas keluar dari restoren Mcdonald. Langkahnya di atur laju menuju ke stesen KTM. Sesekali langkahnya diselangi larian anak.

Maya panas hati dengan tindakan Izhar. Dia telah merancang pelbagai plan untuk memikat Izhar malam itu, tidak disangka lelaki itu akan meninggalkannya begitu sahaja. Maya menghentak meja, menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap rancangannya yang gagal. Beberapa mata mengerling ke arahnya. Suatu situasi yang jarang dilihat dalam restoren keluarga itu. Maya hanya membiarkan, dihatinya terhimpun satu dendam yang baru menyala.





Ardini menunggu beberapa minit selepas menghantar mesej kepada Izhar sebelum dia melangkah keluar. Dalam hatinya dia berharap lelaki warga asing yang sedang khayal tadi telah pergi. Dengan hati yang diamuk risau, Ardini berjalan menuju ke lorong bawah, hasratnya untuk menuju ke ruang menunggu di hadapan. Ardini berjalan lambat-lambat.

Tiba dilorong bawah, dilihatnya dua orang lelaki tadi masih ada duduk-duduk disitu. Ardini berasa takut tatkala melihat dua orang lelaki tadi merenung tajam ke arahnya, seakan-akan mempunyai niat buruk kepadanya. Ardini memberanikan diri berjalan, wajahnya ditundukkan ke lantai, takut bertentang mata dengan dua orang lelaki tadi. Beg yang berat dan barang-barang yang penuh ditangan membataskan langkahnya untuk lebih laju.

Semasa melintasi tempat dua lelaki tadi, hati Ardini berasa kecut yang teramat. Tiba-tiba dia terasa tangannya diraih dari belakang, Ardini bertambah takut. Kepalanya yang ditunduk sedari tadi didongakkan, mahu bertentang mata dengan lelaki yang memaut tangannya. Tatkala Ardini mengangkat wajah, dia terlihat Izhar telah meraih tangannya dan mengambil beg dari tangannya. Barang-barang lain dibiarkan ditangan Ardini. Izhar tidak mengeluarkan sepatah kata sebaliknya terus menarik tubuh Ardini sehingga Ardini terdorong untuk menyaingi langkah laju Izhar. 

Ardini sendiri pelik bagaimana Izhar boleh sampai secepat itu sedangkan dia baru sahaja menghantar pesanan ringkas kurang setengah jam yang lalu. Untuk bertanya Izhar, dia tidak berani melihatkan wajah Izhar yang serius. Persoalan itu hanya dibiarkan berlalu.

“Tak cukup ke kena rogol sekali.” Izhar bernada sinis sejurus tiba di ruang menunggu. Wajahnya serius. Langkahnya masih laju, memegang kejap pergelangan tangan Ardini. Terasa hatinya panas kerana Ardini tidak memaklumkan dengan lebih awal. Makluman pun sekadar melalui pesanan ringkas sahaja.

Ardini menjeling dengan ekor mata, kakinya turut melangkah laju. Dia tidak faham mengapa Izhar mengeluarkan kata-kata sebegitu terhadapnya.

“Saya call banyak kali tadi.” Ardini bersuara mengendur, membela diri setelah mendengar sindiran Izhar.

Izhar tidak mempedulikan kata-kata Ardini. Langkahnya laju di atur ke bahagian parking kereta, bersebelahan dengan gedung besar Mydin. Tangan Ardini masih dipegang kejap. Keadaan Ardini yang berjalan tergesa-gesa menyaingi langkahnya tidak dipedulikan.

Tiba di bahagian parking, Izhar masih memegang tangan Ardini. Ardini yang masih tercungap-cungap menarik nafas bersuara.

You’re hurting me.”Ardini berkata-kata dengan wajah yang suram. Terasa Izhar mengasarinya dengan menggenggam kuat pergelangan tangannya.

Izhar yang seperti baru tersedar dengan tindakan terus melepaskan tangan Ardini.

“I’m sorry.”Terasa marahnya tadi mengendur apabila wajah suram Ardini dijamah matanya.

Setelah menghidupkan alarm kereta, Izhar masuk disusuli Ardini. Barang-barang Ardini sekadar di letak di kerusi belakang.

“Next time U go out, I’ll go with U.”Kata Izhar sejurus menghidupkan enjin kereta. Bimbang perkara yang sama berulang kembali. Sejak kebelakangan ini perasaannya berbeza sekali. Terasa Ardini telah menjadi tanggungjawabnya. Mungkin kerana dalam hatinya telah ditumbuhi benih-benih kasih kepada Ardini atau mungkin juga ini kali pertama Ardini keluar dari banglonya. Dia sendiri tidak pasti tapi yang dia rasa saat itu, Ardini perlu dilindungi.

Ardini hanya mendiamkan diri, tidak mahu membalas kata-kata Izhar. Tiada guna membela diri di saat Izhar sedang diamuk perasaan marah. Dia hanya mendengar bait-bait yang keluar dari mulut Izhar. Dia sendiri tidak faham kenapa Izhar terlalu marah sedangkan dia telah cuba menghubungi lelaki itu banyak kali. Tak mungkin Izhar tidak tahu dia yang membuat panggilan kerana pesanan ringkasnya diterima oleh Izhar.




Thursday 23 February 2012

AKU UNTUKMU BAB 15

Terima kasih kepada yang meninggalkan komen.tak lekang senyum dibibir cik tulip apabila membaca komen-komen sahabat pembaca. Terima kasih sekali lagi. Well...sekarang boleh lah enjoy bab 15 pula...selamat membaca..

BAB 15



Izhar memasukkan semua barang-barang dan beg ke dalam bonet kereta dibantu oleh Ardini sementara Datin Rohana mengunci pintu banglo sebelum bergerak ke Sungai Lembing, Kuantan. Datin Rohana memastikan setiap pintu dikunci dengan kemas sebelum meninggalkan rumah selama dua hari. Mak Tom dan dua orang tukang kebun telah diberi cuti sepanjang ketiadaan Datin Rohana.

Setelah memastikan semuanya selesai, Izhar memandu keretanya meninggalkan banglo Datuk Hassan. Datin Rohana memilih untuk duduk di kerusi bahagian belakang walaupun Ardini berkeras memintanya duduk bersebelahan Izhar. Alasan yang diberikan ialah dia lebih selesa duduk di belakang, mudah kalau nak tidur. Ardini hanya mampu bersetuju demi keselesaan Datin Rohana.

Sepanjang perjalanan mereka hanya mendiamkan diri. Antara Ardini dan Izhar juga tiada komunikasi. Datin Rohana telah hampir setengah jam terlelap di kerusi belakang. Izhar hanya mengerling mamanya dari cermin tengah yang terlekat pada bumbung kereta. Memang itulah kebiasaan mamanya apabila naik kereta, belum sampai sepuluh minit dah terlelap.

Hampir dua jam masa berlalu, Ardini berasa tidak sedap tekak, dia terasa loya mungkin kerana berada dalam kereta hampir dua jam tanpa henti. Perutnya juga terasa memulas-mulas tapi bukan untuk ke tandas, kepalanya turut pening. Ardini cuba menahan rasa loya sebaik mungkin, kepala yang berdenyut-denyut dipicit-picit lembut. Izhar yang perasan akan perubahan Ardini mula bertanya.

U okey  ke?” Soal Izhar.

“Pening kepala, mungkin masuk angin kot.” Ardini menjawab ringkas. Memang kebiasaannya kalau kepalanya masuk angin, dia akan berasa loya dan sakit dibahagian kepala.

Datin Rohana yang sedari tadi lena terjaga dengan perbualan Izhar dan Ardini. Dia membetulkan duduk dan memerhatikan Ardini yang sendawa angin sejak lima minit yang lalu. Tangan Datin Rohana pantas menepuk bahu Izhar dari belakang. Izhar yang terperanjat dengan tindakan Datin Rohana berpaling ke belakang dengan riak wajah pelik.

“Tak nampak ke Dini nak muntah tu, berhenti dulu kat tepi.” Datin Rohana bersuara serius, menegur ketidakprihatinan Izhar terhadap keadaan Ardini.

Izhar lekas-lekas membawa kereta ke bahagian kiri jalan. Kereta diparkir sebentar di tepi jalan bagi memberi ruang kepada Ardini.

“Dini kenapa?” Datin Rohana menyoal pelik setelah Ardini berhenti dari sendawa angin.

“Rasa loya pulak, mungkin perut masuk angin.” Ardini menjawab ringkas, jawapan sama yang diberikan kepada Izhar.

“Entah-entah Dini mengandung kot?” Datin Rohana membuat telahan sendiri.

Izhar yang baru sahaja meneguk air dari botol mineral tersedak. Air di dalam mulutnya tersembur keluar demi mendengar kata-kata Datin Rohana. Mana mungkin Ardini mengandung kerana diantara mereka masih belum ada apa-apa. Izhar menutup kembali botol dan menyapu sisa-sisa air di mulut.

Datin Rohana menepuk bahu Izhar untuk kali kedua.

“Lain kali ambik berat sikit hal bini, entah-entah bini mengandung pun tak tahu.” Datin Rohana bersuara lagi, pelik melihat reaksi Izhar dengan kata-katanya.

Ardini yang sedari tadi beriak tenang cuba mententeramkan suasana. Melihatkan wajah Izhar yang terperanjat membuatkan dia rasa perlu menjelaskan salah faham Datin Rohana.

“Taklah mama, rasanya Dini nak datang bulan, biasanya petanda awalnya macam tu.”Ardini menjelaskan kekeliruan Datin Rohana sekaligus meredakan perasaan Izhar.

“Kalau macam tu tak pe la, tapi kalau mengandung kena jaga baik-baik kesihatan, balik nanti ajak Har pergi check doktor, manalah tahu kot-kot dah lekat.” Datin Rohana masih berharap.

Ardini dan Izhar hanya mendiamkan diri. Hakikatnya hanya mereka berdua yang tahu. Antara mereka masih tiada apa-apa. Mana mungkin Ardini mengandung sedangkan dia dan Izhar masih terpisah tempat tidur. Kata-kata Datin Rohana dibiarkan sepi.

Hampir tiga jam memandu akhirnya mereka tiba di sebuah perkampungan di Sungai Lembing. Datin Rohana yang samar-samar memori mengenai jalan ke rumah Makcik Zizah mendapatkan pertolongan orang-orang di sekitar dengan memberitahu alamat rumah Makcik Zizah. Hampir lima belas minit mencari berdasarkan petua yang diberi, Datin Rohana bersama Izhar dan Ardini tiba di rumah Makcik Zizah.

Rumah Makcik Zizah yang terletak di hujung Kampung Sungai Tiga hampir sembilan puluh peratusnya dibina dengan binaan berasaskan kayu. Rumah kayu lama itu nampak usang. Izhar yang sedari tadi menjadi pemandu memandang pelik ke arah rumah Makcik Zizah. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Selama ini dia hanya mengenal banglo mewah semata-mata. Sejak kecil lagi dia telah tinggal di banglo. Selepas membuat keputusan untuk berdikari juga Datuk Hassan menghadiahkan dia sebiji banglo. Keadaan rumah kayu yang usang menyebabkan dia rasa kurang selesa untuk bertandang. Hatinya mulai berat untuk turun dari kereta.

“Mama pasti ke ini rumahnya?” Izhar bertanya walaupun jelas kelihatan beberapa biji kanopi telah terpasang di halaman rumah.

“Yelah, mama ingat lagi rumah Makcik Zizah, memang dari dulu macam ni. Tak berubah lansung.”Datin Rohana menjawab.

Ardini hanya mendiamkan diri. Menunggu isyarat dari Datin Rohana untuk turun.

“Apa tunggu lagi, jom la turun.” Datin Rohana memberi arahan.

“Boleh ke duduk rumah macam ni, Har tak selesa la ma.” Izhar mengeluh berat.

“Apa pulak tak bolehnya, dulu sebelum Har lahir, mama dengan ayah pun pernah tinggal dalam rumah macam tu. Dah!, turun cepat.” Datin Rohana memberi arahan untuk kali kedua. Tidak mahu mendengar rungutan Izhar.

Ardini terus turun diikuti Datin Rohana sementara Izhar masih lagi termenung panjang di dalam SUVnya.

Makcik Zizah yang sedari tadi sibuk di dapur didatangi anak terunanya yang bakal melansungkan perkahwinan untuk memaklumkan tentang kehadiran Datin Rohana. Mendengarkan berita dari anaknya itu, Makcik Zizah bergegas meluru ke halaman, menjemput tetamu istimewa untuk masuk ke rumah.

“Eh, Datin sampai jugak ke sini?” Makcik Zizah menyoal, teruja dengan kehadiran bekas majikannya itu.

“Mestilah, Kak Zah dah jemput tak kan saya tak datang.” Datin Rohana menyalami tangan Makcik Zizah diikuti oleh Ardini.

“Datuk tak ikut ke?” Soal Makcik Zizah lagi apabila kelibat Datuk Hassan tidak kelihatan.

“Datuk kena outstation seminggu, tak dapat nak datang tapi dia kirim salam.” Datin Rohana menjawab persoalan Makcik Zizah.

“Oh macam tu.., jadi ni la menantu Datin.” Makcik Zizah menyoal sambil matanya dilirik ke arah Ardini.

“cantik orangnya, manis.” Sambung Makcik Zizah lagi.

“Ardini.” Datin Rohana memperkenalkan Ardini.

Ardini hanya tersenyum sebaris, sedari tadi dia hanya menjadi pemerhati pertemuan semula majikan dan pekerja itu.

“Maafla tak datang majlis kenduri Izhar, kesihatan akak dah berapa elok sejak kebelakangan ni, selalu sakit-sakit lutut, tak boleh nak berjalan jauh.” Makcik Zizah bernada kecewa.

“Takpe lah, saya faham.” Datin Rohana bersuara mengendur, cuba meredakan rasa bersalah Makcik Zizah.

“Izhar mana?, dari tadi tak nampak dia.” Makcik Zizah bersuara lagi, sedari tadi dia tidak nampak kelibat Izhar.

Ada dalam kereta, tengah lepaskan lelah la tu, dari tadi bawak kereta tak berhenti.” Datin Rohana mencipta alasan bagi pihak Izhar walhal dia tahu Izhar kurang selesa dengan keadaan rumah Makcik Zizah.

“Kalau macam tu, kejap lagi naik dulu, berehat-rehat dalam bilik.” Makcik Zizah memberi saranan.

“Dini pergi panggil Izhar, mintak dia keluarkan barang-barang sekali.”Datin Rohana mengarah Ardini memanggil Izhar.

Tanpa banyak bicara Ardini berjalan menghampiri kereta Izhar. Tiba di kereta dia membuka pintu dibahagian tempat duduk penumpang. Dilihatnya Izhar sedang termenung jauh seperti memikirkan sesuatu. Ardini tahu Izhar tidak selesa untuk tinggal di rumah makcik Zizah untuk dua hari ini. Lelaki itu lahir dalam keluarga berada, mana boleh bertahan dalam suasana serba kekurangan begitu.

“Mama panggil, dia suruh keluarkan semua barang-barang.” Ardini bersuara.

“Sekejap lagi.” Izhar menjawab ringkas.

Sejurus Ardini berlalu, Izhar keluar dari kereta. Barang dari bonet dikeluarkan. Izhar berjalan lemah menuju ke arah Datin Rohana dan Ardini yang sedang rancak berbual di halaman rumah. Kesemua barang diletakkan di beranda rumah kayu itu. Sebaik melihat kelibat Izhar berjalan melepasinya, Makcik Zizah bersuara.

“Dah besar panjang Izhar ni, hampir tak kenal Makcik tadi, muka pun bertambah kacak, dulu kecik-kecik hingus selalu meleleh-leleh kalau selesema, kadang-kadang sampai masuk mulut.” Makcik Zizah bersuara, menceritakan zaman kanak-kanak Izhar, mengimbau kembali kenangan lalu.

Izhar tertelan air liur mendengar kata-kata Makcik Zizah, matanya dilirik kepada Ardini, wajahnya berona merah, terasa malu bila kisah masa kecilnya dibangkitkan dihadapan Ardini. Dia sendiri tidak pernah ingat akan perkara itu, mungkin masih terlalu kecil untuk ingat perkara yang pernah berlaku. Sementara Ardini tersenyum hingga menampakkan barisan gigi, gelaknya disimpan. Kali pertama dia lihat Izhar malu. Datin Rohana hanya tersenyum sebaris dengan matanya dilirik ke arah Izhar.

Izhar hanya menunduk ke tanah, menyembunyikan wajah yang berona dari pandangan mata Ardini. Terbayang di matanya senyum lebar Ardini mendengarkan kata-kata makcik Zizah. Senyuman Ardini itu manis pada pandangan matanya. Tidak tahu kenapa tapi dia berasa malu dengan Ardini.

“Jom la masuk rumah, nanti saya tunjukkan bilik.” Makcik Zizah berjalan mendahului mereka ke dalam rumah.

Langkah Makcik Zizah dibuntuti oleh mereka sehingga tiba ke bilik.

“Datin gunalah bilik ni, maaflah rumah kami ni tak selesa macam banglo Datin.” Makcik Zizah bersuara mengendur, merendah diri.

“Ini pun dah cukup selesa, lagipun saya datang ni nak tolong-tolong, bukan nak duduk terperap dalam bilik.” Datin Rohana bersuara mengendur. Matanya di lirik ke dalam bilik bersaiz kecil yang menempatkan sebiji katil yang boleh memuatkan dua orang dan beberapa perabut.

Datin Rohana mengajak anak menantunya masuk untuk melepaskan lelah sebelum mula membantu keluarga Makcik Zizah untuk membuat persiapan majlis kenduri yang akan berlansung esok.





Datin Rohana masuk ke bilik disusuli Ardini. Terasa badannya sakit-sakit kerana sejak petang tadi membantu Makcik Zizah membuat persiapan kenduri. Izhar hanya duduk-duduk di bilik. Kadangkala apabila bosan dia akan pergi ke bahagian belakang rumah, membantu serba sedikit golongan lelaki. Selepas magrib tadi Izhar hanya berehat-rehat dalam bilik sementara Datin Rohana dan Ardini menyambung tugasan.

Menyedari kehadiran Datin Rohana dan Ardini, Izhar bingkas bangun dari perbaringan. Matanya dilirik ke arah kedua-duanya. Ardini hanya menundukkan wajah tatkala mata mereka bertaut. Ardini berjalan ke hujung bilik, terus menuju ke beg pakaiannya. Sementara Datin Rohana menyalin pakaian kerana pakaian sebelumnya sudah berbau peluh.

Ardini duduk lama dihadapan begnya. Masih janggal terpaksa berkongsi bilik dengan Izhar. Menyedari kelainan pada perilaku Ardini Datin Rohana bersuara.

“Dini kenapa tak bukak lagi tudung tu, walaupun sini rumah kampung, orang tak kan masuk bilik tanpa kebenaran, bukak la tudung tu, bukan ada orang lain kat sini, baju pun salin sekali.” Datin Rohana bersuara setelah dilihatnya Ardini masih terpaku dihadapan beg.

Ardini mengambil sehelai t-shirt dan kain batik. Pakaiannya disangkut dilengan dan Ardini bangun, mula mengatur langkah keluar dari bilik.

“Nak pergi mana tu?” Datin Rohana menegur pelik.

“Tukar baju dalam bilik air.” Sahut Ardini.

“tukar sini aje la, tak kan dengan mama pun nak malu, lagipun bilik air diaorang guna untuk basuh pinggan.”Datin Rohana bersuara lagi, pelik dengan Ardini yang malu tidak bertempat.

Ardini duduk semula di sisi beg, tidak jadi melangkah keluar. Lama dia berkeadaan begitu. Izhar yang sedari tadi duduk di birai katil hanya mendengar. Dia tersenyum sebaris dengan kata-kata Datin Rohana. Mustahil Ardini malu dengan mamanya, yang pasti Ardini malu dengannya.

Ardini yang tidak mahu Datin Rohana curiga mula menanggalkan tudungnya perlahan-lahan.

“Mama nak keluar kejap, bersembang dengan Makcik Zizah, korang tidurlah dulu.” Kata Datin Rohana lagi.

“Mama tidur atas katil lah. Biar Dini tidur bawah.” Ardini bersuara lagi sebelum Datin Rohana keluar. Janggal rasanya jika dia tidur bersama Izhar.

“Takkan la mama nak tidur dengan Izhar, dia tu dah besar panjang, nak tidur bawah ketiak mama lagi, mama tidur bawah je.” Seloroh Datin Rohana, menganggap kata-kata Ardini sekadar pelawaan sopan kepadanya.

Ardini tiada pilihan melainkan bersetuju dengan kata-kata Datin Rohana bagi mengelakkan Datin Rohana bertambah curiga sementara Izhar tidak mengeluarkan kata-kata. Entah kenapa terasa jantungnya bergetar hebat apabila terpaksa berkongsi bilik dengan Ardini. Dia yang hanya mengenakan t-shirt hitam dengan seluar track krim hanya duduk di birai katil sejurus Datin Rohana keluar dari bilik. Terasa janggal apabila berdua-duaan dengan Ardini begitu. Izhar memerhatikan Ardini yang duduk bersila di sisi katil, berhadapan dengan beg pakaiannya. Ardini duduk membelakangkan dirinya.

Dilihatnya Ardini sedang menyikat-nyikat rambut yang dibiarkan lepas ke belakang. Dia merenung Ardini dari belakang. Kali pertama dia melihat Ardini melepas rambut. Sebelum ini dia pernah melihat Ardini tidak bertudung, kali pertama semasa gadis itu pitam dan kali kedua semasa Ardini keluar dari bilik mandi. Kali ini dia berpeluang melihat keadaan sebenar rambut Ardini. Untuk seketika Izhar terleka.

Ardini yang sedari tadi tidak selesa bersendirian bersama Izhar memalingkan wajah, ingin melihat apa yang sedang dilakukan oleh Izhar. Tatkala dia berpaling, mata dia dan Izhar bertemu. Izhar yang tersedar dari renungannya cepat-cepat melarikan mata. Bimbang Ardini menyedari renungannya tadi. Ardini pula menundukkan wajah, malu direnung oleh Izhar. Pada waktu itu Izhar dan Ardini terasa jiwa mereka bergetar satu irama. Masing-masing terasa malu sendiri dengan peristiwa yang baru berlaku.

“Saya nak tukar baju, awak…jangan tengok.” Ardini bersuara lambat-lambat, mengingatkan Izhar dengan wajah yang tidak dipalingkan.

Izhar hanya mendiamkan diri, mengiakan tidak, menidakkan pun tidak. Dia masih duduk di birai katil.

Ardini membuka perlahan-lahan bajunya. Dalam hati dia berharap agar Izhar menghormati permintaannya. Walaupun dia halal untuk Izhar, dia masih belum bersedia membuka auratnya di hadapan lelaki itu.

Izhar yang sedari tadi memalingkan wajah ke tempat lain tidak mampu melawan kehendak matanya untuk berpaling ke arah Ardini. Naluri lelakinya berombak kuat tatkala mendengar kata-kata Ardini. Dia berasa terdorong untuk melihat walaupun dilarang oleh Ardini. Izhar memalingkan wajah, dia pasti Ardini tidak akan perasan akan tindakannya itu kerana Ardini duduk membelakanginya. Sejurus berpaling, Izhar terperanjat apabila Ardini sedang merenung tajam ke arahnya. Izhar cepat-cepat memejam celik matanya persis mata yang dimasuki habuk.

“Awak….”Ardini bersuara menekan. Dia cepat-cepat menukar pakaian.

“Awak ni memang tak boleh percaya la…” Ardini bersuara mengendur, kecewa kerana Izhar tidak mengendahkan larangannya.

Izhar cepat-cepat berbaring di atas katil. Terasa malu apabila Ardini menangkapnya sedang merenung tubuh Ardini. Izhar mengiring membelakangkan Ardini. Terasa darah menyerbu ke muka apabila dia dicaught in the act oleh Ardini. Izhar sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh hilang kawalan diri. Dia menyumpah diri sendiri kerana gagal mengawal kehendak hatinya.

Izhar tersenyum sendiri memikirkan perkara yang baru terjadi. Sungguh dia pelik dengan perasaan barunya itu. Selama ini dia seboleh-bolehnya mengelak untuk tinggal sebilik dengan Ardini, bila terpaksa duduk sebilik begitu perasaannya lain. Ada rasa Indah. Kadang-kadang dia turut pelik dengan Ardini. Sejak awal perkahwinan hingga ke hari itu Ardini masih menjaga auratnya dari pandangan matanya walhal antara mereka sudah tiada batasan aurat lagi. Izhar tersenyum lagi. Kalau dulu, dia lebih menggemari gadis yang berpakaian seksi seperti Delia tapi apabila lama bersama Ardini, citarasanya mulai berubah.

Ardini mengetap bibir, rasa tidak puas hati dengan tingkah laku Izhar masih bersisa. Dia bangun, mengatur langkah ke katil, dia pasti Izhar belum tidur, lelaki itu hanya melarikan wajah kerana tertangkap dengan perbuatannya tadi.

“Saya tidur  bawah.” Ardini bersuara senada. Ada terselit rasa tidak puas hati.

Mendengarkan kata-kata Ardini, Izhar bingkas bangun dan berpaling ke arah Ardini.

U tidur atas la dengan mama, biar I tidur bawah.” Izhar bersuara mengendur, dia dapat mengesan rasa tidak puas hati Ardini.

Izhar bingkas turun dari katil, dia menuju ke almari di sudut bilik, comforter nipis yang terletak di  atas almari dicapai. Izhar baru berkira-kira hendak membentang comforter apabila pintu bilik dikuak dari luar. Datin Rohana muncul disebalik pintu.

“Har tidur atas la, mama tidur bilik Makcik Zizah.” Datin Rohana bersuara apabila ternampak Izhar membentang comforter.

Ardini yang baru merebahkan tubuh ke katil menelan air liur. Hatinya terasa berdebar-debar mendengar kata-kata Datin Rohana. Izhar tidak beriak, matanya dikerling ke arah Ardini. Dia tiada pilihan melainkan melipat semula comforter dan meletak kembali ke tempat asal. Datin Rohana yang duduk di tepi beg menyisir-nyisir rambut. Melihatkan Izhar yang masih berdiri di tepi katil membuatkan dia bersuara.

“Pergilah tidur, dah lewat ni, esok nak bangun awal.” Kata Datin Rohana.

Izhar tidak menjawab kata-kata Datin Rohana, dia merebahkan tubuhnya lambat-lambat ke katil. Berbaring di sisi paling tepi, menjarakkan tubuhnya dengan Ardini. Dia bimbang dituduh mengambil kesempatan rentetan peristiwa tadi.

Usai menyikat rambut, Datin Rohana menyarung semula tudungnya. Dia mengatur langkah menuju ke bilik Makcik Zizah. Dia sempat memesan supaya Izhar mengunci pintu sebelum beredar.

Izhar bangun dan melangkah menuju pintu, selak pintu dikemaskan. Dia kembali berbaring di katil. Dilihatnya Ardini berbaring mengiring memandang ke dinding kanan bilik sementara dia berbaring mengiring memandang ke sisi kiri bilik. Masing-masing menjarakkan diri, ruang tengah yang kosong boleh menempatkan seorang lagi. Mereka hanya mendiamkan diri apabila tiba-tiba Ardini bersuara.

“Awak jangan cuba buat benda pelik kat saya.” Kata Ardini, masih curiga dengan kejujuran Izhar. Jantungnya berdetak laju.

I masih boleh kawal diri.” Izhar menjawab senada walhal jantungnya terasa menendang-nendang dada.

“Boleh percaya ke?”Ardini menyoal sinis. Masih ragu-ragu.

“Kalau I buat benda tak senonoh, U backhand je la.” Giat Izhar, entah dari mana idea datang membuatkan dia berkata begitu kepada Ardini.

“malas layan awak, tidur lagi baik.”Ardini bernada marah. Tidak suka bila kata-katanya dibalas dengan gurauan.

Ardini menarik selimut menutupi seluruh badan. Izhar mengangkat bahu, tanda kemenangan dipihaknya. Degup jantung yang mulanya berdetak laju kembali normal. Izhar turut memjamkan mata. Senyum dilirik. Terasa indah tatkala bersama Ardini. Perasaan yang tidak pernah dirasai seumur hidupnya.







Majlis persandingan anak teruna Makcik Zizah baru selesai sejam yang lalu. Datin Rohana terkocoh-kocoh menuju ke bilik setelah membantu mengemas serba sedikit. Jam telah menunjukkan pukul empat petang. Dia perlu bersiap-siap untuk pulang semula ke Kuala Lumpur. Sejurus masuk ke bilik, dia meminta Ardini mengemas barang sebelum pergi mandi. Ardini hanya menurut. Kelibat Izhar masih tidak kelihatan, mungkin masih membantu golongan lelaki di bahagian belakang rumah.

Ardini kagum dengan Izhar, walaupun nampak seperti seorang lelaki yang dingin, Izhar tidak kekok membawa diri dikhalayak ramai. Ardini tersenyum sendiri, Izhar ada kelebihan yang tersendiri, desis hatinya. Siap mengemas barang-barang milik Datin Rohana, dia bergerak ke beg Izhar yang diletak disisi katil. Hatinya berbolak balik mahu mengemas barang-barang milik Izhar. Kalau tidak dikemas pasti Datin Rohana akan curiga, kalau dikemas apa pula pandangan Izhar terhadapnya. Ardini maju, dengan perasaan yang berbaur dia mengemas barang milik Izhar, bimbang Datin Rohana curiga.

Siap mengemas Ardini berjalan menuju ke bilik air, di tangannya tersangkut persalinan untuk dipakai pulang ke kuala Lumpur. Rumah Makcik Zizah masih dipenuhi sanak saudara yang menolong mengemas peralatan kenduri. Sejurus masuk ke bilik air, Ardini menyarung kain basahan untuk mandi. Bilik mandi yang terletak di luar rumah berasaskan binaan batu itu di cat dengan warna biru laut. Tandas turut dibina secara berkembar dengan bilik mandi. Di dalam bilik mandi tersebut terdapat satu kolah mandi besar.

Izhar mengerling jam di tangan yang telah mengijak ke pukul empat setengah. Dia bergegas masuk ke rumah untuk bersiap-siap pulang ke Kuala Lumpur. Tugas membuka khemah dan kanopi pakatan orang kampung ditinggalkan untuk diselesaikan oleh golongan lelaki warga kampung.

Izhar masuk ke bilik menuju ke beg pakaiannya, dia sedikit terkejut apabila menyedari semua baju-bajunya yang dipakai semalam telah dilipat dan di masukkan ke dalam plastik. Izhar duduk di birai katil melepas lelah untuk sementara waktu. Beberapa minit kemudian dia mengambil persalinan baru dan berjalan menuju ke bilik air. Tiba di pintu bilik air, Izhar menolak pintu, namun pintu yang dikunci dari dalam tidak boleh dibuka.

Ardini yang baru memakai kain basahan terkejut apabila pintu cuba dibuka dari luar.

“Ada orang kat dalam.” Ardini separuh melaung memaklumkan dia berada di dalam.

Izhar yang berdiri di luar hanya tersenyum sebaris tatkala mendengar suara Ardini. Dia mundar mandir di hadapan bilik air menunggu giliran. Belum pun sepuluh minit menunggu Ardini, Datin Rohana datang terkocoh-kocoh menghampiri Izhar dari belakang.

“Sape kat dalam?” Soal Datin Rohana setelah dilihatnya Izhar mundar mandir diluar bilik mandi.

“Ardini.”Izhar menjawab sepatah.

Demi mendengar nama Ardini, Datin Rohana bertindak mengetuk-ngetuk pintu bilik air dengan kasar dari luar. Ardini yang terkejut mendengar Datin Rohana menjerit namanya dari luar berjalan laju menuju ke pintu, kepalanya disarung dengan tuala. Sejurus membuka pintu, kepalanya disembulkan keluar, tubuhnya dilindung sebalik pintu.

“Mandi je la sekali, laki bini orang tak mengata, ramai lagi orang tengah tunggu nak mandi.” Datin Rohana bertindak menolak tubuh Izhar ke dalam bilik air.

Ardini yang terperanjat dengan tindakan Datin Rohana bertindak menundukkan wajah. Izhar masih terpaku berdiri sebaik tubuhnya terdorong ke dalam. Dia turut kaget dengan tindakan Datin Rohana.

Sejurus pintu bilik air ditutup Ardini berjalan laju menuju ke kolah air. Sementara Izhar masih berdiri statik. Terasa janggal berada bersama Ardini di dalam satu bilik air. Langkah Ardini yang laju disoroti dengan mata. Kali pertama dia melihat Ardini berkeadaan begitu. Walaupun dibaluti dengan kain basahan, susuk tubuh Ardini jelas kelihatan kerana basah.Terasa ada satu perasaan yang mengalir disegenap pembuluh darahnya. Izhar cepat-cepat melarikan anak mata, bimbang dirinya tersasar jauh.

Ardini hanya menunduk ke lantai, matanya lansung tidak dikerling, segayung demi segayung air dicurah laju ke tubuh. Dia mahu bersegera mandi, tidak selesa berkeadaan begitu dihadapan Izhar.

Izhar menunggu sehingga Ardini selesai mandi, hanya berdiri disudut yang paling tepi. Tubuhnya dipaling membelakangkan Ardini. Dia tahu Ardini tidak selesa dengan kehadirannya disitu, sebab itulah dia memberi ruang untuk Ardini menyelesaikan mandinya terlebih dahulu.

Usai mandi Ardini bergerak di hujung sudut, bertentangan dengan tempat Izhar berdiri. Dengan segera dia mengenakan pakaian, matanya tidak lepas dari mengawasi Izhar, bimbang lelaki itu mencuri pandang ke arahnya seperti kejadian malam sebelumnya.

Selesai mengenakan pakaian Ardini bergegas keluar dari bilik air. Meninggalkan Izhar bersendirian dalam bilik air. Dia melangkah laju menuju ke bilik.

Izhar tersenyum sendiri, riak wajah Ardini yang merah padam menahan malu terlayar kembali dimindanya. Kadangkala dia terfikir sendiri, ikatan suami isteri yang dibina, hanya atas nama sahaja, hakikatnya mereka seperti orang yang tidak kenal antara satu sama lain. Izhar sendiri tidak tahu bagaimana untuk mengakhiri semua itu, yang pasti dia kini berbelah bagi dengan keputusan yang pernah dicanangkan kepada Ardini suatu waktu dahulu.


Part mana yang paling romantik?...