Thursday, 16 February 2012

AKU UNTUKMU-BAB 11

nampaknya tak boleh tunggu lama, nak juga publish bab 11 ni...enjoy....


BAB 11



Ardini baru usai mengemas bilik selepas menyediakan sarapan Izhar tadi. Pada cuti hujung minggu selalunya dia lebih suka menghabiskan masa di dalam bilik kerana Izhar jarang keluar rumah pada hari minggu. Dia masih janggal berhadapan dengan lelaki itu. Walaupun telah lama berada di banglo itu, hubungan mereka masih terbatas. Kedinginan Izhar juga memaksa dia untuk menjarakkan diri dari lelaki itu.

Ardini mengemas-ngemas almari pakaiannya. Matanya tertancap pada susunan baju body shirtnya. Telah lama disimpan baju-baju itu. Sepanjang berada di rumah Izhar dia lebih selesa mengenakan baju kurung longgar yang selalu dipakai untuk ke kuliah dulu. Hubungan dingin antara dia dan Izhar membataskan penampilannya, dia masih janggal. Perasaan malu masih menebal dalam hati. Auratnya masih dijaga walaupun antara dia dengan Izhar sudah mempunyai ikatan yang sah dan tiada batasan aurat lagi.

Ardini menyapu-nyapu habuk yang terlekat di dalam almari. Sedang leka dia menyambung tugas, terdengar ketukan dari luar pintu bilik. Ardini lekas-lekas menyarung tudung dan meluru ke arah pintu.

Sebaik pintu dibuka, terlihat batang tubuh Izhar berdiri betul-betul dihadapan pintu.

“Cepat bersiap, ikut I pergi Jusco.” Izhar memberi arahan seraya meninggalkan Ardini yang terpinga-pinga.

Ardini cepat-cepat menutup pintu, arahan Izhar membuatkan dia tertanya-tanya. Dia bingkas menuju ke bilik air, mandi dan bersiap-siap. Usai menyiapkan diri, Ardini turun ke tingkat bawah.

Sampai di tingkat bawah, Izhar telah pun menunggunya di kerusi kayu halaman. Ardini  menghampiri tempat Izhar menunggu, ditenungnya Izhar dari sisi tepi. Izhar kemas dengan kemeja T hitam dipadankan dengan jeans biru dan berpenampilan lebih santai dari biasa.

 Untuk seketika Ardini terleka. Namun Ardini cepat mengalihkan mata bila Izhar bertindak menjeling tajam ke arahnya. Ternyata Izhar menyedari perlakuannya. Ardini terasa malu sendiri. Dia menundukkan wajah.

Izhar menghidupkan kereta sejurus masuk, Ardini mengikut Izhar dari belakang. Rasa malunya masih bersisa. Ardini hanya membisukan diri walhal hatinya meronta-ronta ingin bertanya tujuan mereka keluar.

Kereta meluncur laju menuju ke destinasi. Antara mereka tiada perbualan, masing-masing hanya mendiamkan diri. Ardini hanya membuang pandang keluar tingkap kereta. Telinganya difokuskan pada lagu ‘Already Gone’ nyanyian Kelly Clarkson. Dia terasa hanyut dibuai lagu.

Fokus Izhar terhadap pemanduan terganggu apabila terdengar bunyi telefon. Jarinya pantas menyumbat earphone ke telinga untuk menjawab panggilan, tidak sempat melihat nama pemanggil, pemanduan tetap diteruskan.

“Hello sayang.” Kedengaran suara manja perempuan dari hujung talian.

“Hai.” Izhar menjawab acuh tak acuh selepas mengenalpasti suara itu milik Delia. Dia tidak berminat selepas Delia sering mendiamkan diri dari menjawab panggilannya dan jarang-jarang juga Delia menghubunginya kembali.

U tak rindu kat I ke.” Delia bersuara lebih manja apabila menyedari Izhar melayannya dengan dingin.

I dah banyak kali call U tapi U yang tak layan.” Izhar menjawab ringkas, meluahkan rasa yang terbuku dihati akibat diabaikan Delia.

I rindu sangat kat U, boleh kita jumpa?”Delia bersuara lagi, kali ini dia sengaja meleretkan suaranya supaya kedengaran lebih menggoda.

“Dah bosan kerja ke?” Izhar menyoal dalam nada sinis. Dia sudah tawar hati dengan sikap Delia.

U janganla macam ni, I tengah break for the moment, at the mean time, we can spend time together.”Luah Delia.

so after your ‘break time’, U akan tinggalkan I semula la.”Izhar masih menyoal sinis. Sengaja ditekankan perkataan break time.

“kenapa U ni, dulu tak pernah pun gaduh-gaduh macam ni, I kan kerja biasala macam tu, bila I dah ada masa nak spend dengan U, U pulak dingin dengan I, sindir-sindir I kenapa?.”Delia bersuara meninggi, tidak faham dengan Izhar yang menyindir-nyindir dirinya.

I sibuk buat masa ni, lain kali la sembang lagi.” Izhar mematikan talian. Bosan melayani kerenah Delia yang tak tentu pasang surutnya.

Delia terkejut dengan perubahan Izhar. Kalau dulu Izhar sering berlembut dengannya. Lebih banyak bertolak ansur dengan kerenahnya tapi kali ini tindakan Izhar berbeza dari kebiasaan. Delia menghempas telefon bimbit ke katil. Geram dengan reaksi Izhar terhadapnya.

Ardini yang sedari tadi menjadi pendengar hanya mendiamkan diri dalam kereta. Perbualan Izhar sebentar tadi membuatkan dia tertanya-tanya dengan siapa Izhar berbicara. Daripada cara Izhar bercakap dia dapat menangkap pemanggil tadi merupakan seorang perempuan, mungkin juga orang yang kenal rapat dengan Izhar. Untuk bertanya, dia tidak mampu, sudahnya Ardini membiarkan persoalan itu berlalu. Dia tiada hak untuk mencampuri urusan Izhar.

Izhar hanya berwajah selamba, dia malas memikirkan hal antara dirinya dengan Delia. Dia sudah bosan dengan kerenah Delia yang sentiasa membuatkan dia menunggu. Dia telah lama bersabar dengan Delia. Kenangan awal pertemuan dengan Delia terlayar difikirannya.

 Dia pernah melamar Delia suatu ketika dulu walaupun tempoh perkenalan masih setahun jagung. Walaupun hubungan mereka tidak serius seperti pasangan lain tapi Izhar turut mahukan komitmen dalam hubungan. Disebabkan itulah dia mengambil keputusan melamar tetapi jelas Delia masih belum bersedia. Lamarannya ditolak mentah-mentah. Sejak itu dia hanya mampu bertahan sehinggalah papanya bertindak mencarikan jodoh untuknya. Belumpun satu masalahnya selesai, papanya menghantar satu lagi masalah lain.

Ardini tergerak bersuara apabila menyedari Izhar hilang dalam lamunan sendiri.

“nak buat apa pergi Jusco?” Lambat-lambat Ardini bersuara. Memang sedari tadi dia tertanya-tanya tujuan mereka keluar hari itu.

Lamunan Izhar terhenti apabila terdengar soalan Ardini.

“ikut je, jangan banyak tanya.” Izhar bersuara senada. Dia memang malas berbaik-baik dengan Ardini, apatah lagi melayani perbualan Ardini.

Demi mendengar jawapan Izhar, Ardini mendiamkan diri. Tidak berani meningkah kata-kata Izhar. Walaupun berjauh hati dengan reaksi Izhar, dia tidak menzahirkan rasa itu, sekadar dipendam sendiri. Kalau Izhar sendiri yang mencipta jarak antara mereka, apa hak dia untuk merapatkan jurang itu.

Izhar memandu laju keretanya, suasana antara mereka kembali sunyi.

Tiba di perkarangan Jusco Balakong, Izhar memandu ke tempat parkir kereta. Dia memarkir kereta jauh di atas bumbung pasaraya untuk mengelakkan kesesakan. Ruang parkir ditingkat dua penuh kerana ramai pengunjung yang mengunjungi pasaraya itu pada hari cuti.

Turun dari kereta, Izhar berjalan laju ke arah tempat tujuan, Ardini hanya menuruti dari belakang. Sepatah arahan pun tidak keluar dari mulut Izhar, Ardini mengunci mulut, tidak berani untuk bertanya lanjut lantaran kejadian dalam kereta tadi.

“jom.” Izhar mengarah seraya masuk ke dalam salah satu butik muslimah.

“kenapa masuk sini?” Ardini memberanikan diri bertanya lanjut. Pelik apabila Izhar mula masuk ke butik pakaian wanita.

“beli baju baru, esok kawan-kawan I nak datang rumah, I tak nak U pakai baju-baju buruk.” Izhar bersuara tegas, dia mahu mencarikan persalinan baru untuk Ardini sebelum menyambut kehadiran sahabat-sahabatnya. Dia mahu Ardini kelihatan cantik di mata tetamu dan tidak memalukan dirinya dengan pakaian Ardini yang biasa-biasa.

Ardini menundukkan wajah, terasa hati dengan kata-kata Izhar. Dia masih berdiri statik. Nasib baik tiada pemilik butik disitu, kalau tidak tentu dia malu.

“cepatlah.” Tegur Izhar bila Ardini masih tidak berganjak.

Ardini berjalan ke arah susunan pakaian dihadapannya. Ada yang tergantung tinggi, ada juga yang dipamerkan di bawah sahaja. Ardini melirik mata, dia tidak pandai memilih baju-baju dihadapannya yang nampak eksklusif pada pandangan matanya.

Seorang pekerja butik datang menghampiri mereka berdua.

“boleh saya bantu abang, kakak?” Soal gadis berusia dalam lingkungan lapan belas tahun. Matanya dilirik ke arah Izhar dan Ardini.

Ada latest collections tak?” Soal Izhar. Matanya melirik ke arah susunan baju di dinding.

“Oh..ada, mari ikut saya.” Gadis tadi mempamit mereka untuk ikut ke bahagian kiri belakang butik.

“Ini semua koleksi terbaru, baru sampai semalam, tapi saya kena bagitahu, koleksi ni harganya mahal sikit berbanding yang dekat depan tadi.” Gadis tadi menerangkan serba sedikit. Tangannya mengunjur ke arah susunan baju yang tergantung.

Demi melihat Ardini yang masih terpinga-pinga, Izhar mengarahkan gadis itu mengambil beberapa helai baju kurung moden dari pelbagai warna. Sedari tadi dia lebih banyak memainkan peranan berbanding Ardini. Izhar sendiri pelik, kalau dulu semasa bershopping dengan Delia dia tidak pernah ambil berat. Selalunya Delia lebih suka memilih pakaian sendiri. Dan pilihan Delia juga lebih terarah kepada gaya kebaratan. Dengan Ardini dia lebih suka membuat keputusan bagi pihak gadis itu.

“Akak pakai saiz apa?” Soal gadis tadi lembut. Matanya dilirik ke arah Ardini.

“Ermmm…44” Ardini menjawab ringkas.

“Ambik 40 la, badan akak sedang-sedang je, kalau 44 besar sikit.” Gadis itu memberi saranan.

“Akak suka yang longgar sikit.” Ardini bertegas dengan keputusannya.

“Ambik saiz 40 je and tolong carikan tudung yang sesuai dengan baju tadi sekali.” Izhar menyampuk.

Ardini menjeling Izhar dengan ekor mata. Sementara gadis tadi telah menghilang ke bahagian belakang butik untuk mendapatkan stok baju dalam simpanan dan juga tudung.

Seketika kemudian, gadis tadi kembali membawa baju-baju pilihan Izhar dengan saiz 40 dan juga tudung lalu diserahkan kepada Ardini.

“Akak cuba dulu dalam fitting room.”Gadis tadi mengarah seraya menunjukkan arah terletaknya fitting room.

Ardini hanya mengangguk lalu mengatur langkah ke arah yang ditunjukkan gadis tadi. Ardini mencuba kesemua pakaian yang dipilih Izhar, saiznya menonjolkan sikit potongan tubuh. Oleh kerana Izhar telah membuat pilihan, Ardini tiada pilihan, dia hanya menurut, entah kenapa dia tidak pernah berani melawan kata-kata Izhar.

“camane?” Gadis tadi bertanya sebaik Ardini keluar dari fitting room.

“Ok.” Ardini menjawab ringkas. Baju di tangan diserahkan kepada gadis tadi.

“Ikut saya, bayar di kaunter.” Gadis itu membawa Ardini dan Izhar ke kaunter bayaran.

“Berapa semua.” Izhar bertanya sebaik penjaga kaunter menekan-nekan mesin wang.

“RM2000.00.” Kata penjaga kaunter. Tangannya mengarah pada jumlah yang tertera di skrin mesin kira itu.

Izhar mengeluarkan sekeping kad kredit dari wallet sementara Ardini tertelan air liur mendengar harga lima pasang baju bersama tudung-tudung tadi. Kalau dia diberi pilihan, tentu dia tidak akan membazir wang sebanyak itu hanya untuk beberapa pasang baju dan tudung.

Siap urusan dibutik pakaian muslimah, Izhar keluar. Ardini hanya mengekori dari belakang dengan menjinjing beg plastik bercop nama butik berisi pakaian. Sebaik tiba di tengah-tengah ruangan pasaraya, plastik dari tangan Ardini diambil oleh Izhar.

“Tunggu sini, I hantar barang kat kereta.” Izhar memberitahu seraya berlalu meninggalkan Ardini.

Belum sempat Ardini bertanya lanjut, Izhar telah menghilang ke arah tangga lif. Ardini duduk dibangku kayu berwarna coklat sementara menunggu Izhar. Hampir sepuluh minit berlalu Izhar kembali ke tempat Ardini menunggu.

“Jom.” Izhar memberi arahan ringkas apabila melintasi tempat Ardini duduk.

Ardini bingkas bangun menyaingi langkah laju Izhar.

“Nak ke mana lagi?” Ardini memberanikan diri menyoal.

Econsave, cari barang-barang dapur.” Izhar berjalan laju menuruni tangga lif ke tingkat paling bawah.

Ardini berjalan cepat-cepat. Dari Jusco mereka berjalan keluar dari perkarangan pasaraya itu, berjalan melintasi jalan raya dan menuju ke pasaraya Econsave yang berada di bangunan sebelah dan dipisahkan dengan satu jalan utama.

Sebaik masuk ke dalam Econsave, Izhar mengambil troli dan menyorong ke arah simpanan barang-barang basah. Dia memberi pesanan kepada Ardini.

“cari barang nak masak esok.” Izhar berkata ringkas. Troli di tolak kepada Ardini

“nak masak apa?” Ardini bertanya.

“Kerapu tiga rasa, tom yam campur dengan goreng sayur sikit.” Izhar menerang ringkas seraya berlalu meninggalkan Ardini.

Ardini buntu, entah kenapa Izhar meninggalkan dia mencari barang sendirian. Tanpa berfikir panjang dia meneruskan tugasnya mencari barang-barang untuk memasak menu yang dimaklumkan oleh Izhar tadi. Selesai mengambil barang-barang basah, dia berdiri di satu sudut pasaraya, menunggu Izhar.

Hampir satu jam Ardini menunggu tetapi kelibat Izhar masih tidak kelihatan. Puas menunggu, Ardini mengambil keputusan untuk meninggalkan troli dan pergi mencari Izhar. Sebaik tiba dibahagian makanan kering, Ardini terlihat Izhar sedang berbual mesra dengan seorang gadis cantik. Kelihatan gadis itu manja melayani bicara Izhar. Kadangkala terdengar ketawa manja. Ardini dipanah rasa cemburu melihatkan kemesraan antara kedua-duanya. Dia tidak jadi melangkah ke arah Izhar. Dia memusing badan, mengatur langkah kembali ke tempat meletak troli.

Ardini menunggu lagi. Setengah jam kemudian Izhar dilihatnya sedang berjalan menuju ke arahnya.

“Jom.” Izhar bersuara apabila melintasi tempat Ardini berdiri.

“Kenapa lambat sangat?” Ardini bersuara lemah. Dia penat menunggu Izhar. Rasa cemburunya juga masih bersisa.

“Jumpa kawan lama, bila berbual tak sedar pulak.” Izhar memberitahu ringkas, lansung dia tidak mempedulikan perasaan Ardini.

Ardini hanya mendiamkan diri. Ada satu perasaan yang hadir dalam dirinya tatkala melihat kemesraan antara Izhar dengan gadis tadi. Dia pun pelik dengan perasaannya sendiri. Cepat-cepat Ardini membuang jauh perasaan itu kerana dia tahu Izhar tidak mungkin mempunyai perasaan yang sama terhadapnya. Izhar pernah menyatakan tentang perasaannya terhadap perkahwinan mereka dulu dan dia tidak seharusnya berharapan tinggi.

Selesai membuat bayaran, mereka keluar dari Econsave. Kali ini Izhar yang membawa barang-barang. Selepas membuat bayaran tadi, Izhar terus mengambil barangan sebelum sempat Ardini mencapai. Langkahnya diatur laju, Ardini turut melangkah laju dari belakang, cuba menyaingi langkah Izhar.

Tiba di jalan besar, mereka berhenti sebelum melintas jalan. Tiba-tiba Ardini didatangi seorang tua berpakaian buruk dengan wajah yang kotor. Orang tua itu menghulurkan tangan, meminta sedekah sebelum sempat Ardini melintas, sedang Izhar telahpun menyeberangi jalan. Orang tua itu memandang wajah Ardini dengan penuh pengharapan. Demi melihat wajah suram lelaki tua itu, hati Ardini terasa diruntun belas.

Ardini pantas menyeluk tangan ke dalam beg sandang dan mengeluarkan pursenya. Belum pun sempat dia mengeluarkan wang, terasa tangannya diraih dari belakang. Ardini berpaling, mengangkat wajah, mahu melihat gerangan yang memegang kasar tangannya. Ardini terkejut apabila Izhar dengan pantas meraih tangan kirinya dan ditarik melintasi jalan raya. Ardini terdorong untuk mengikut langkah laju Izhar. Izhar lansung tidak berpaling ke arah Ardini. Dia terus melangkah laju menuju ke arah tempat kereta diparkir. Tangan kanannya membimbit barang-barang basah, manakala tangan kirinya menggenggam kemas pergelangan tangan Ardini.

Sampai ke kereta, Izhar melepaskan tangan Ardini. Alarm kereta dihidupkan.

“Masuk.” Satu arahan tegas dari Izhar. Dia terus menyimpan barang-barang ke dalam bonet kereta,

Ardini hanya mendiamkan diri. Mulutnya terkunci tatkala Izhar memegang kasar tangannya. Izhar masuk ke dalam perut kereta. Tali pinggang keledar dipakai. Wajahnya serius. Sejurus menghidupkan enjin, Izhar bersuara.

“Lain kali tak payah nak tunjuk baik sangat.” Izhar bersuara sinis merujuk kepada peristiwa di tepi jalan tadi. Pedal minyak ditekan.

“Saya cuma kesian pada pakcik tadi.” Ardini bersuara mengendur. Memang dia hanya berniat mahu membantu lelaki tua tersebut. Wajahnya ditunduk, takut melihat muka serius Izhar.

“Ingat semua orang kat KL ni baik sangat ke?”Izhar bersuara keras.

“Dia tak macam orang jahat pun…” Ardini mempertahankan diri. Tidak puas hati dengan tindakan Izhar memarahinya tidak bertempat.

“Ingat orang yang nampak baik tak jahat?” Izhar menyoal keras.

“hati orang mana kita tahu…” Ardini masih bersuara mengendur. Sekadar menjawab persoalan Izhar.

“Belum kena boleh la cakap, kalau dah kena baru tahu!” Izhar masih bersuara keras. Panas hati mendengar Ardini melawan kata-katanya.

Ardini tergamam, dia diam tidak menjawab. Ardini tidak tahu Izhar akan marah dengan tindakannya tadi. Dia hanya berniat baik mahu membantu orang tua tadi. Tidak disangka Izhar tidak suka dengan tindakannya.

Izhar meneruskan pemanduan, wajahnya masih serius. Tidak tahu kenapa dia begitu marah dengan tindakan Ardini. Walhal Ardini cuma berniat baik. Dia tidak pernah bersikap begitu semasa bersama Delia. Terasa lain apabila dia bersama-sama Ardini. Mungkin Ardini lebih mendengar kata-katanya berbanding Delia menyebabkan dia lebih dominan dalam membuat keputusan.


9 comments:

  1. nyampahnye dgn hero ni, ego tinggi mlangit

    ReplyDelete
  2. peliks juga kan tiba tiba nak suruh minah tu masak..dan pakai cantik cantik sbb kawan kawan dia nak datang..apakah motif izhar ek..nak suruh minah tu pakai cantik cantik dan memasak untuk kawan kawannya...macam tak masuk akal saja kan..apa reaksi dia bila tenguk minah tu pakai cantik dan memasak mmg rasanya setaraf ngan chef wan..dan apa pulak perasaan kawan kawan nya bila melihat ardini yg rupanya macam bidadari itu ek..adakah salah seorg kawan dia akan jatuh hati kat minah tu yg meyebabkan mamat sengal tu cemburu..

    ReplyDelete
  3. idA has left a new comment on your post "AKU UNTUKMU-BAB 11":

    peliks juga kan tiba tiba nak suruh minah tu masak..dan pakai cantik cantik sbb kawan kawan dia nak datang..apakah motif izhar ek..nak suruh minah tu pakai cantik cantik dan memasak untuk kawan kawannya...macam tak masuk akal saja kan..apa reaksi dia bila tenguk minah tu pakai cantik dan memasak mmg rasanya setaraf ngan chef wan..dan apa pulak perasaan kawan kawan nya bila melihat ardini yg rupanya macam bidadari itu ek..adakah salah seorg kawan dia akan jatuh hati kat minah tu yg meyebabkan mamat sengal tu cemburu..

    ReplyDelete
  4. cepat cepat cepat upload seterusnyerrrrrrrrrr.......

    ReplyDelete
  5. zawani mukhtar has left a new comment on your post "AKU UNTUKMU-BAB 11":

    nyampahnye dgn hero ni, ego tinggi mlangit

    ReplyDelete
  6. i don't know what went wrong, tapi both comments from ida and zawani mukhtar didn't appear at this wall, so i have to cut and paste it from my email.this thoughtful comments really meaningfull to me...just couldn't let it slips away...hehe

    ReplyDelete
  7. patutlh bila saya comment jer trus ilang, ingt cik writer x sudi

    ReplyDelete
  8. ahh..dah jumpa masalahnya kenapa komen tak masuk kat sini,rupa2nya ada kat spam.saya ni budak baru belajar.baru tahu...harap maaf atas kesulitan...

    ReplyDelete