Monday, 20 February 2012

AKU UNTUKMU BAB 14-PART 1

Kepada pembaca, sudilah kiranya meninggalkan komen anda selepas membaca kerana tanpa komen, saya tidak tahu sejauh mana cerita saya ni terkesan dalam hati pembaca semua. Dan kepada pengkomen2 tetap, terima kasih saya ucapkan kerana sentiasa memberi sokongan. Setiap komen yang kalian berikan mampu membuat saya tersenyum sepanjang hari,hehe. Well, pembaca boleh meneruskan pembacaan sambungan bab 13 tapi yang ini baru part 1 chapter 14, lepas ni akan dimasukkan separuh lagi....enjoy....

BAB 14



Izhar memjinjing briefcase menuju ke kereta. Usai sarapan tadi dia terus mengambil briefcase di sofa ruang tamu. Izhar mendongak ke arah balkoni bilik Ardini. Kelibat Ardini tidak kelihatan di dapur. Sejak kejadian hari itu Ardini mengelak dari bertemu dengannya. Tatkala mendongak, mata Izhar dan Ardini bertembung. Ardini lekas melarikan mata dan berlalu ke dalam bilik. Izhar menghela nafas berat. Ardini memang masih marahkan dirinya.

Izhar masuk ke dalam perut kereta, enjin kereta dihidupkan, pedal minyak ditekan kuat, meninggalkan perkarangan banglonya. Telah dua minggu kejadian hitam itu berlaku dan sejak itu jugalah Ardini mengelak dari bertemunya. Setiap kali selepas menyediakan sarapan atau makan malamnya, Ardini akan menghilang ke bilik sebelum sempat dia turun. Selama dua minggu itu juga Ardini lebih selesa mengunci diri dalam biliknya sendiri.

Izhar tahu Ardini masih marah dengan peristiwa hari itu. Namun Izhar sendiri tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk memperbetulkan keadaan mereka seperti sediakala. Walaupun hubungan mereka memang sedia dingin sebelumnya tetapi tidaklah sedingin ini. Izhar mengusap-ngusap rambut, mindanya sesak memikirkan bila semua ini akan berakhir. Dia terasa bersalah menyeksa Ardini dalam ikatan perkahwinan yang tidak memberi makna kepada Ardini.

Lamunan Izhar terhenti apabila telefon bimbitnya berdering. Izhar melihat nama pemanggil yang tertera di skrin, pantas dia menyumbat earphone di sebelah telinga kirinya.

“Hello mama.” Izhar memulakan bicara apabila nama Datin Rohana tertera di skrin telefon.

“Har kat mana ni?, mama ada hal sikit nak bincang.” Datin Rohana  memberitahu tujuan dia memanggil Izhar.

“Hal apa?, Har tengah drive ke office ni, kalau Har call mama semula boleh tak?” Sambung Izhar, tidak mahu membincangkan hal serius semasa memandu.

“Okey, sampai office terus call mama ye.” Datin Rohana bersuara lembut.

“Okey ma.” Izhar mematikan talian selepas memberikan persetujuan kepada Datin Rohana. Earphone di telinga dicabut semula. Izhar meneruskan pemanduan menuju DH Holdings Sdn Bhd.

Sejurus tiba di DH Holdings, Izhar memarkir kereta, kebetulan Rayyan juga baru sampai. Mereka jalan beriringan menuju ke bilik masing-masing.

Izhar meletakkan briefcase di sofa, langkahnya laju diatur ke arah telefon di atas mejanya, nombor handphone Datin Rohana didail.

“Hello Har.” Terdengar suara Datin Rohana menyambut talian dari hujung sana.

“Ada hal apa mama suruh call?” Izhar menyoal pelik. Jarang sekali Datin Rohana mahu berbincang hal penting dengannya dalam telefon.

“Har ingat tak Makcik Zizah?” Soalan Izhar dibalas soalan oleh Datin Rohana.

Maid kita dulu?” Izhar bertanya lagi untuk mendapatkan kepastian.

“Ha ah, dia nak buat kenduri dua minggu lagi.” Datin Rohana menjawab senada, memberitahu maksud dia menyuruh Izhar menghubunginya tadi.

“kalau nak buat kenduri kenapa pulak?” Izhar bersoal pelik, tidak tahu kenapa Datin Rohana memaklumkan kepadanya perihal tersebut.

“Mama nak ajak Har pergi.” Datin Rohana bersuara lembut.

“Kenapa tak ajak papa?” Izhar masih mengajukan soalan.

“Itulah masalahnya, papa kena outstation awal minggu kenduri tu. Tak dapat nak pergi kenduri Makcik Zizah sebab seminggu outstation.” Datin Rohana bersuara kecewa.

“Kalau macam tu tak payah la pergi.” Izhar membuat keputusan sendiri.

“Mana boleh macam tu, Makcik Zizah tu banyak berjasa pada keluarga kita, mama dah anggap dia macam keluarga sendiri, dulu masa Har kecik, dia la yang selalu basuh berak Har tau.” Datin Rohana bersuara mengendur sambil berseloroh, dia memancing perhatian Izhar supaya bersetuju dengan cadangannya.

“Mama ni ke situ pulak.” Tukas  Izhar.

“Habis tu macam mana, setuju tak?” Datin Rohana bertanya lagi.

“Ikut mama la.” Izhar menyatakan persetujuan.

“Kalau macam tu, hujung minggu ni balik rumah mama ye, boleh kita bincang-bincang, lagipun mama rindu nak jumpa Dini, dah lama tak sembang dengan dia, pasal kenduri Makcik Zizah tu Har bincang sekali la dengan Dini.” Sambung Datin Rohana.

“Yelah.” Izhar jawab meleret menyatakan persetujuan.

Sejurus menjawab salam Datin Rohana, Izhar mematikan talian.

Izhar duduk termenung di kerusi. Perjanjian yang dibuat bersama Datin Rohana tadi perlu dilunaskan sedangkan dia masih belum ada peluang untuk berkomunikasi dengan Ardini. Ardini masih marahkan dirinya ekoran kejadian lewat petang dua minggu lepas. Setiap kali dia pulang ke rumah Ardini sudah masuk ke bilik. Sebelum dia turun untuk bersarapan, Ardini telah mengunci diri dalam bilik. Bagaimana dia ingin menyampaikan pesanan Datin Rohana kalau keadaan Ardini masih seperti itu.

Izhar pening, tidak tahu bagaimana mahu menyampaikan pesanan Datin Rohana tadi kepada Ardini kalau Ardini sendiri sering mengelak dari bertembung dengannya.





Izhar duduk-duduk di ruang tamu selepas siap makan malam. Dia menonton tv sementara menunggu Ardini turun untuk mengemas. Kebiasaannya pada hari bekerja begitu dia akan terus ke bilik bacaan, menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh tetapi apabila memikirkan pesanan dari Datin Rohana tadi Izhar membuat keputusan untuk menunggu Ardini turun.

Hampir dua jam berlalu namun kelibat Ardini masih tidak kelihatan. Izhar tidak tahu apa yang harus dilakukan apabila kelibat Ardini masih tidak kelihatan diruang bawah, dia lantas mengambil keputusan untuk mengetuk pintu bilik Ardini. Izhar berjalan laju menuju anak-anak tangga. Setibanya dihadapan bilik Ardini Izhar mengangkat tangan, hendak mengetuk pintu bilik. Izhar masih teragak-agak, bimbang menganggu Ardini, bimbang juga Ardini masih menyimpan rasa marah padanya. Apa yang dia lakukan dulu memang tidak patut. Tetapi kini dia sudah kesal. Dia pun sudah berniat untuk meminta maaf dari Ardini.

Selang beberapa minit berfikir, Izhar mengambil keputusan untuk mengetuk. Izhar mengetuk dua kali tapi tidak bersambut, Izhar pelik, mustahil ketukannya yang kuat tidak didengari Ardini dari dalam bilik. Kali ini Izhar merapatkan tangannya ke dinding, diketuknya untuk kali kedua dan ketiga tapi hasilnya masih sama. Ketukannya tidak bersambut.

Izhar turun kembali ke tingkat bawah, mendapatkan kunci pendua bilik Ardini. Setelah ketukannya tidak bersambut, Izhar jadi risau, bimbang sekiranya apa-apa terjadi kepada Ardini ataupun Ardini demam. Siapa tahu kalau-kalau Ardini jatuh pitam di dalam biliknya.

Izhar membawa kunci ke depan bilik Ardini. Percubaan kali pertama Izhar membuka pintu berjaya, Izhar melangkah masuk namun dia terperanjat tatkala matanya bertembung dengan mata Ardini.

Sementara Ardini berdiri kaku apabila terlihat Izhar berdiri betul-betul dalam biliknya. Dia baru keluar dari bilik mandi semasa Izhar masuk. Tidak disangka Izhar berani menceroboh masuk ke biliknya. Hairan juga kerana dia tidak pernah lupa mengunci pintu.

Izhar masih terpaku berdiri memandang Ardini dengan mata terbuntang. Ardini hanya bertuala mandi separas dada sehingga pangkal peha. Rambut Ardini yang panjang melepasi bahu basah dengan air yang masih menitis dari hujung rambut. Untuk seketika dia terasa ada getar pada naluri lelakinya memandang Ardini dalam keadaan begitu. Terasa jantungnya berdegup kencang melihat sebahagian tubuh Ardini yang terdedah.

Demi melihat Izhar yang masih terpaku berdiri, Ardini bingkas berlari ke arah katil. Sehelai comforter nipis ditarik bagi membaluti bahagian tubuhnya yang terdedah. Tangan kanannya pantas mencapai sesuatu di bawah bantal sementara tangan kirinya kejap memegang bucu comforter di bahagian dada. Ardini mengundur sedikit ke belakang, berdiri berhadapan Izhar dalam jarak lima meter. Dia bersiaga dengan sebilah pisau terhunus ke hadapan. Sejak kejadian lewat petang dua minggu lepas, Ardini mengambil keputusan menyimpan pisau dibawah bantalnya, bimbang Izhar hilang pertimbangan untuk kali kedua.

Izhar terkejut tatkala matanya terlihat objek ditangan Ardini. Bimbang Ardini bertindak melulu, Izhar menapak selangkah ke hadapan.

“Jangan dekat.” Ardini bersuara cemas apabila Izhar cuba menghampiri.

“Bagi I pisau tu.” Izhar bersuara memujuk. Bimbang Ardini menerpa dengan pisau terhunus.

“Awak jangan berani buat apa-apa kat saya!” Ardini bersuara meninggi, nadanya serius.

I tak berniat buruk.” Izhar memujuk lagi, dia menapak selangkah lagi ke hadapan.

“Jangan ingat saya tak berani tikam awak kalau awak cuba apa-apakan saya.” Ardini bersuara lagi, tangannya terketar-ketar, tangan kirinya masih kejap memegang bucu comforter.

“bagi I pisau tu, percayalah U tak kan berani buat macam tu.” Izhar bersuara mengendur.

“Kalau macam tu, saya berani buat macam ni!” Ardini memusing arah hujung pisau, kini mata pisau ditujukan ke tubuhnya sendiri. Daripada diapa-apakan Izhar, Ardini lebih rela mencederakan dirinya sendiri.

“Okey-okey, I keluar.” Izhar mengangkat kedua-dua tangan sambil mengundur langkah. Dia bimbang Ardini serius dengan ugutannya sebentar tadi. Tidak dapat dia bayangkan sekiranya Ardini mengotakan kata-katanya, bagaimana kalau Ardini cedera, dia juga tidak sanggup memikirkan kebarangkalian perkara itu berlaku. Silap-silap dia juga dituduh mencederakan Ardini.

Ardini menghela nafas lega apabila Izhar berlalu keluar ke arah pintu. Pisau yang terhunus ke hadapan diturunkan ke bawah. Sementara Izhar menghela lemah nafasnya. Tujuannya masuk ke bilik Ardini telah disalah tafsir tetapi dia tidak menyalahkan Ardini kerana Ardini bertindak sedemikian disebabkan tindakan bodohnya sendiri. Dia meraup muka, menzahirkan kekesalan terhadap perlakuannya dulu. Izhar menarik pintu bilik Ardini perlahan-lahan. Sebelum menghilang dia bersuara dari sebalik pintu yang dibiarkan terbuka sedikit.

“Tadi mama call, sebenarnya I ada pesanan daripada mama nak bagitahu U.” Izhar bersuara lemah dan berlalu.

Selepas mengenakan pakaian, Ardini duduk di birai katil, kata-kata Izhar sebelum meninggalkan biliknya tadi terngiang-ngiang. Ada hal apa yang ingin disampaikan Datin Rohana kepadanya. Kejadian tadi diulang tayang diminda, Ardini keliru, dia tidak pasti akan tujuan Izhar menceroboh masuk ke biliknya. Mungkin benar kata Izhar yang dia cuma ingin menyampaikan pesanan Datin Rohana.  

Ardini terfikir sendiri, sejak kejadian lewat petang dua minggu yang lalu, dia lebih banyak mengelak dari berselisih dengan Izhar. Perbualan antara mereka juga tiada. Mungkin disebabkan itu Izhar bertindak masuk sendiri ke dalam biliknya. Ardini bangun dari duduk, dia berjalan melewati pintu bilik. Waktu sudah menghampiri jam dua belas malam, memang dia sengaja mandi malam kerana terasa badan terlalu panas selepas menyiapkan makan malam Izhar tadi.

Ardini mengintai ke tingkat bawah dari hujung tangga. Mencari-cari kelibat Izhar. Dia ingin mendapatkan kepastian tentang pesanan Datin Rohana yang diperkatakan Izhar tadi. Ruang tamu tingkat bawah masih lagi diterangi cahaya lampu. Perlahan-lahan Ardini melangkah menuruni anak-anak tangga. Rasa takut yang bersarang dihati telahpun hilang. Dia semakin yakin Izhar tidak berniat buruk terhadapnya tadi.

Izhar merenung kosong siaran tv dihadapannya, walaupun matanya memandang tv namun mindanya sedang mengulang tayang peristiwa di bilik Ardini. Izhar tersenyum mengenangkan riak wajah Ardini yang cemas dengan kemunculannya di bilik tadi. Ardini telah menyalah tafsirkan maksudnya. Masih terbayang-bayang di matanya, tubuh Ardini yang hanya dibaluti tuala dengan rambut yang masih basah. Keadaan Ardini tadi sedikit sebanyak berjaya menggoyah naluri lelakinya. Izhar tersenyum lagi.

Lamunan Izhar terhenti apabila Ardini menegurnya dari belakang.

“Pesanan apa yang mama nak sampaikan?” Ardini bersuara dari belakang Izhar. Suaranya mengendur. Tidak terasa janggal memanggil Datin Rohana dengan panggilan mama.

“Ermm, duduklah dulu.” Izhar turut bersuara mengendur.

Peristiwa yang baru berlaku antara mereka menyebabkan kedua-duanya terasa janggal antara satu sama lain.

Ardini bergerak menuju ke bahagian kanan sofa. Pandangan dibuang ke arah tv. Masih ada kejanggalan yang dirasai tatkala bersemuka dengan Izhar terutama selepas Izhar terlihat keadaannya selepas mandi tadi. Tambahan pula dia telah mengelak dari bertembung dengan lelaki itu sejak dua minggu yang lalu.

“Pagi tadi mama ada call, inform pasal majlis kenduri bekas maid dulu, mama ajak kita pergi sebab papa ada hal lain.” Izhar memulakan bicara, menerang serba sedikit tentang pesanan dari Datin Rohana.

Ardini hanya mendengar, tidak mencelah kata-kata Izhar. Walaupun wajahnya dipaling ke arah Izhar, namun dia hanya duduk menunduk. Terasa malu bertentang mata dengan Izhar. Sejak kebelakangan ini terlalu banyak perkara yang berlaku antara dia dan Izhar. Perasaan Ardini sendiri bercampur baur. Semua yang terjadi menambah kejanggalan antara mereka.

“Hujung minggu ni, mama suruh pergi sana, ada perkara yang dia nak bincangkan pasal kenduri tu.” Sambung Izhar. Matanya di arah kepada Ardini yang menunduk ke lantai, dia cuba mencari wajah Ardini yang terlindung di sebalik awning tudung.

 Entah kenapa sejak kebelakangan ini perasaannya turut berbaur. Dia sendiri tidak pasti dengan apa yang dirasai sejak kehadiran Ardini dalam hidupnya. Kalau dulu dia benci dengan Ardini, sekarang dia tidak dapat mentafsir perasaannya sendiri. Terasa aneh apabila berada berhampiran Ardini. Terasa ada getar yang berbeza. Perasaan yang bercampur baur membuatkan dia sering membuat pertimbangan yang dia sendiri tidak jangka.

“Kalau saya tinggal dengan mama untuk seminggu ni boleh tak?” Ardini bertanya dalam nada mengendur. Memecahkan kebisuannya sedari tadi.

Sejak kebelakangan ini terlalu banyak perkara yang difikirkan Ardini. Dia terasa sesak memikirkan hala tuju perkahwinannya bersama Izhar, seperti tiada kesudahan antara mereka. Untuk seketika dia berharap agar dapat bersendirian, dia perlukan masa untuk dirinya sendiri, jauh dari Izhar.

“Kalau U prefer macam tu, terpulanglah…” Izhar menghela nafas berat, dia turut bersuara mengendur. Rentetan peristiwa yang berlaku antara mereka, dia lebih bertoleransi dengan Ardini. Memberikan ruang kepada Ardini untuk diri sendiri.

Sedikit sebanyak Izhar terasa kesal kerana perkara yang berlaku timbul kerana kekhilafannya sendiri. Dia tidak mahu terus-terusan menyeksa Ardini, mengurung Ardini di banglonya. Sekiranya Ardini memerlukan ruang untuk dirinya sendiri, Izhar tidak akan menghalang. Biarlah Ardini mencari ketenangannya sendiri. Untuk melepaskan Ardini terus, hatinya terasa berat walhal di awal perkahwinan dulu dia tidak sabar menantikan saat-saat itu.

Banyak cara yang digunakan untuk membenci Ardini, mencari alasan kukuh untuk melepaskan Ardini namun yang berlaku sebaliknya, sejak kehadiran Ardini perasaannya bercampur baur. Dia sendiri tidak pasti kenapa. Ardini menghadirkan satu perasaan yang tidak pernah dirasai semasa dia berada bersama Delia.

“Terima kasih.” Ardini bersuara lembut sekaligus mematikan lamunan Izhar, Ardini bangun berkira-kira hendak menuju ke biliknya.

“Tadi tu, I dah ketuk banyak kali pintu bilik tapi takde jawapan, I cuma risau ada apa-apa.” Izhar bersuara mengendur, menerangkan tindakannya memasuki bilik Ardini tanpa kebenaran tadi.

“Saya mandi…” Ardini menjawab ringkas, mereka berkata-kata dengan keadaan saling membelakangkan antara satu sama lain. Ardini mengatur langkah, berlalu meninggalkan Izhar.

Ardini masih keliru dengan keputusannya meminta izin dari Izhar untuk tinggal bersama Datin Rohana untuk sementara waktu, namun dia merasakan itu merupakan keputusan terbaik pada waktu itu yang boleh diambil untuk memberi ruang antara mereka. Dia letih bermain emosi dengan Izhar. Walau sekuat manapun dirinya, dia masih seorang perempuan. Punyai hati dan perasaan yang halus, yang mudah terluka bila disakiti.

Izhar kembali termenung sebaik Ardini menghilang. Dia tahu dia telah melukakan hati Ardini dengan tindakannya dulu. Dia tidak berhak menghalang Ardini untuk memberikan ruang kepada diri sendiri. Izhar sendiri berasa bersalah dengan apa yang berlaku. Namun kekesalannya tak kan mampu merubah apa-apa. Izhar menghela nafas berat, tidak tahu bagaimana dia akan mengakhiri kisah hidup dia dengan Ardini. Persoalan itu dibiarkan berselirat dalam mindanya.


Part 2 chapter 14 akan disambung lagi.....hehe....

5 comments:

  1. tak tahu nak komn apa..huhu..
    tpi kan...padan muka izhar..hehe

    ReplyDelete
  2. bler nk berbaek nie... x sbar2 nk tunggu part dyeorg berbaek... smbg laju2 yer writer... n thnx 4 de n3...

    ReplyDelete
  3. hopefully lepasni hari2 ade n3 baru ye cik writer sbb saye sukeee lepak kat blog kamu~ =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. cik tulip akan cuba update segera post2 akan datang,hehe...

      Delete
  4. hahaha thanks cik tulip. sejuk mata dan hati bile bace =p

    ReplyDelete