Friday, 3 February 2012

AKU UNTUMU-BAB 3


BAB 3



Honda Accord milik Datuk Hassan meluncur laju meninggalkan perkarangan Universiti Malaya. Pak Musa telah datang ke kolej untuk membawa Ardini ke kediaman Datuk Hassan. Dalam hati, Ardini memuji-muji sikap kesederhanaan yang dimiliki oleh Datuk Hassan. Walaupun memiliki kekayaan, namun Datuk Hassan tetap dengan cara hidup sederhana. Tidak ramai seperti Datuk Hassan, kaya namun memiliki hati yang baik dan bersederhana. Memang seorang calon mertua yang baik, namun Ardini merasakan dirinya bukanlah calon terbaik untuk menjadi menantu Datuk Hassan.

Sepanjang perjalanan, Ardini hanya mendiamkan diri. Sesekali dia menjeling ke arah Pak Musa yang sedang menumpukan perhatian terhadap pemanduannya. Dalam fikiran, Ardini cuba menyusun atur ayat-ayat yang sesuai untuk diberitahu kepada Datuk Hassan sekeluarga. Ardini tidak kisah sekiranya dia perlu membuka pekung di dada. Biarlah rahsia yang selama ini dipendam sendirian dibuka kepada keluarga Datuk Hassan. Ardini tidak mahu Datuk Hassan tertipu dengan keadaan dirinya. Biar Datuk Hassan sendiri membuat keputusan apabila dia menyampaikan kebenaran tersebut.

Disebabkan jalanraya yang lengang pada awal pagi, kurang satu jam Ardini sudah tiba di perkarangan banglo dua tingkat milik Datuk Hassan. Hati Ardini bertambah berdebar-debar tatkala kakinya melangkah menghampiri pintu masuk banglo. Tambahan pula, Ardini hanya kenal rapat dengan Datuk Hassan, dengan Datin Rohana, Ardini tidak pernah berjumpa. Kali pertama dia berkunjung ke banglo Datuk Hassan, Datin Rohana tiada di rumah kerana menghadiri mesyuarat persatuan. Hati Ardini bertambah berdebar mengenangkan perkara itu. Ditambah pula, dia akan bertentang mata dengan Izhar, orang penting dalam perbincangan mereka. Dalam perasaan yang masih berperang, Ardini menyusun langkah perlahan ke pintu masuk.

Kehadiran Ardini disambut mesra oleh pembantu rumah Datuk Hassan, Mak Tom. Mak Tom menghulurkan tangan, salam tanda perkenalan. Ardini menyambut seraya mencium tangan Mak Tom. Walaupun Mak Tom hanya merupakan orang gaji kepada keluarga Datuk Hassan, Ardini tetap menghormati Mak Tom yang lebih tua. Itu merupakan didikan ayah dan ibunya sejak dia masih anak kecil.

“ Sila masuk Cik Ardini.” Sapa Mak Tom mesra, dia sedia maklum dengan kehadiran Ardini.

Ardini hanya mengangguk tanpa suara, dia mengukir senyuman manis kepada Mak Tom. Ruang tamu dilihatnya kosong, masih tiada kelibat penghuni banglo.

“Sila duduk Cik Ardini, sekejap lagi family datuk turun.” Terang Mak Tom yang menyedari riak muka Ardini.

“Terima kasih.” Ardini menjawab ringkas.

Selang sepuluh minit, kelihatan Datuk Hassan menuruni anak tangga bersama-sama Datin Rohana.

“ Dini, dah lama sampai?” Sapa Datuk Hassan

“Baru lagi.” Jawab Ardini ringkas seraya dia bangun, menghulurkan tangan menyalami tangan Datin Rohana. Tangan Datin Rohana dikucup lembut, tanda awal perkenalan dengan wanita itu. Datin Rohana mengambil tempat disisi suaminya.

Sejurus itu, Mak Tom datang dengan dulang berisi air dan cempedak goreng. Air dihidangkan di atas meja kaca ditengah-tengah barisan sofa. Usai Mak Tom meletak minuman, Datuk Hassan bersuara.

“Mak Tom, tolong panggilkan Izhar, tetamu dah sampai.” Arah Datuk Hassan.

“ Baik datuk.”. Mak Tom mengangguk dan meluru naik ke tingkat atas untuk mendapatkan Izhar.

Tidak lama kemudian Mak Tom turun diikuti oleh Izhar selang beberapa tapak dibelakang. Wajah Izhar keruh. Dia mengambil tempat di bahagian tepi sofa Datuk Hassan dan Datin Rohana. Berhadapan dengan Ardini, namun wajahnya ditunduk ke lantai. Tidak mahu bertentang mata dengan Datuk Hassan, Datin Rohana mahupun Ardini. Mak Tom meneruskan tugasnya menuang air yang tertangguh oleh arahan Datuk Hassan tadi.

so, Dini dah pertimbangkan permintaan uncle?” Datuk Hassan memulakan bicara, matanya memerhatikan Mak Tom menuang air teh ke dalam cawan.

Usai menuang teh, Mak Tom kembali ke dapur semula. Dia tidak mahu mencampuri urusan keluarga Datuk Hassan, lebih-lebih lagi urusan yang bersifat peribadi.

Datin Rohana hanya menjadi pendengar, menunggu suaminya membuka perbualan. Dia pun baru berjumpa Ardini untuk kali pertama, namun nalurinya kuat mengatakan Ardini adalah calon yang baik untuk Izhar. Datin Rohana mengalih pandangan kepada Izhar, Izhar hanya membatukan diri memandang lantai, tidak bersuara walaupun sepatah.

Ardini yang sedari tadi mendiamkan diri, membuka mulut bagi menjawab pertanyaan Datuk Hassan.

“Sebenarnya ada hal penting Dini datang berjumpa uncle sekeluarga.” Luah Ardini. Dia nekad memberitahu keluarga Datuk Hassan.

“Dini tak dapat nak penuhi permintaan uncle, bukan Dini tak sudi tapi ada perkara tentang Dini yang uncle tak tahu, dan Dini rasa penting untuk uncle sekeluarga tahu sebelum menetapkan sebarang keputusan tentang perkahwinan ni. Dini tak nak uncle buat keputusan tergesa-gesa sebab hal kahwin perkara yang serius.” Sambung Ardini. Datuk Hassan dan Datin Rohana hanya mendengar, tidak menyampuk walau sepatah, bimbang menganggu kata-kata Ardini.

Sementara Izhar masih lagi membatukan diri.

“Sebenarnya Dini bukanlah seperti yang uncle dan keluarga sangkakan. Dini tak dapat terima perkahwinan ni sebab Dini dah tak suci. Dini pernah jadi mangsa kekejaman lelaki. Perkara yang berlaku lama dulu, yang dipaksakan ke atas Dini.”Ardini bersuara sebak. Wajahnya ditunduk ke lantai, terasa ada air mata bergenang. Walaupun pahit, kebenaran itu harus diberitahu kepada Datuk Hassan sekeluarga. Dia tidak mahu menipu keluarga Datuk Hassan biarpun terpaksa membuka aib sendiri.

Izhar dan Datin Rohana terperanjat bukan kepalang dengan pengakuan Ardini, sedangkan Datuk Hassan masih beriak tenang. Masih diam menunggu Ardini meneruskan kata-kata. Izhar yang sedari tadi menunduk, membuntangkan mata, tidak mempercayai kata-kata yang baru diluah Ardini.

Dalam tangis yang ditahan Ardini menyambung bicara.

“Dini bukan calon sesuai untuk Izhar. Dini tahu harapan uncle supaya Dini terima permintaan uncle tapi Dini tak berdaya, Dini tak mau menangguk di air yang keruh dan mengambil kesempatan di atas kebaikan uncle.” Luah Ardini sebak. Datuk Hassan yang sedari tadi menjadi pendengar terus bersuara.

“Kalau macam tu, kita percepatkan majlis kahwin, tak payah bertunang, terus nikah.” Datuk Hassan memberikan kata putus.

“Anggap lah Dini membalas semua jasa-jasa uncle dengan perkahwinan ni.”Sambung Datuk Hassan lagi.

Semua yang mendengar kata-kata Datuk Hassan terlopong, tidak percaya dengan kata-kata Datuk Hassan. Dan yang lebih terperanjat adalah Izhar dan Ardini. Demi mendengar kata-kata Datuk Hassan Izhar bingkas bangun, terasa sebal hati dengan keputusan terburu-buru bapanya. Tiada guna dia berlawan kata dengan Datuk Hassan. Kakinya melangkah meninggalkan Datuk Hassan dan seisi rumah. Berlama di situ akan membuatkan dia hilang pertimbangan. Datuk Hassan dan Datin Rohana hanya membiarkan, mereka sudah faham dengan Izhar. Biar bagaimana degilnya Izhar, dia pasti akan menurut kehendak mereka.

Ardini pula  tidak menyangka Datuk Hassan akan mengeluarkan kata-kata tadi. Dia hanya menunduk. Tidak tahu riak bagaimana yang harus diberikan kepada keluarga Datuk Hassan sementara Datin Rohana tidak membantah, hanya menurut kata-kata suaminya.

uncle percaya arwah Nasir telah mendidik Ardini dengan sempurna. Uncle kagum dengan kejujuran Ardini, walaupun sedar Ardini terpaksa membuka aib sendiri Dini tetap lakukan, dan kerana itu uncle percaya Dini jujur. Sedangkan Dini punya pilihan untuk rahsiakan perkara itu dari pengetahuan kami. Kalau Dini nak ambik kesempatan pun, kami sekeluarga tak kan tahu tapi Dini bukan jenis yang macam tu. Dini jujur dengan kami tentang kekurangan yang Dini ada. Sikap Ardini tu dah cukup bagi uncle menilai peribadi Dini. Dalam suatu ikatan perkahwinan, selain keikhlasan, kejujuran adalah yang paling penting. Uncle percaya hanya Dini calon yang paling sesuai untuk Izhar.” Datuk Hassan menerangkan panjang lebar. Datin Rohana yang hanya mendengar mengangguk-angguk kepala, menyetujui setiap bait kata suaminya. Datuk Hassan memang bijak dalam membuat keputusan, Datin Rohana amat menyakini setiap keputusan yang diambil oleh suaminya itu.

Ardini serba salah mendengarkan kata-kata Datuk Hassan, dia berasa tersepit, tambah lagi melihatkan reaksi dan penerimaan Izhar yang seolah-olah menentang perancangan Datuk Hassan.

“Macam mana dengan Izhar, dapat ke dia terima Dini?” Soal Ardini, dia ragu-ragu dengan penerimaan Izhar terhadap dirinya.

“Izhar anak uncle, uncle tahu apa yang dia perlukan, sebagai bapa uncle nak yang terbaik untuk Izhar dan Dini adalah pilihan yang paling baik.Uncle percaya Dini akan dapat membentuk Izhar. Kelembutan Dini pasti akan mengubah Izhar. Suatu hari nanti Izhar akan berterima kasih kepada uncle.” Datuk Hassan meyakinkan Ardini. Besar harapannya Izhar akan berubah setelah mendirikan rumah tangga.

Ardini hanya menunduk memandang lantai, dia sudah tidak boleh menolak permintaan Datuk Hassan. Datuk Hassan telah menguncinya dengan kata-kata tadi. Sekiranya pengorbanannya sebagai galang ganti jasa-jasa Datuk Hassan, dia sanggup menerima permintaan tersebut.

Datin Rohana memandang Ardini dengan pandangan berkaca, penuh harapan agar Ardini tidak menolak hajat suaminya. Kata-kata suaminya memang benar, hanya Ardini calon terbaik untuk Izhar. Dia tidak kisah dengan cerita silam Ardini malah jatuh simpati kerana perkara yang berlaku.

“Bagaimana dengan Datin, apa pendapat Datin tentang perkahwinan ni? Perkahwinan ni perlukan restu seorang ibu…”Ardini ingin mendapatkan kepastian dari Datin Rohana. Sekiranya Datin Rohana juga tiada halangan maka dia akan turut bersetuju. Tiada alasan untuk dirinya membantah sekiranya Datin Rohana turut mengharapkan persetujuannya.

Auntie percaya Dini akan bawa perubahan dalam hidup Izhar. Auntie restui perkahwinan ini sepenuh hati dan auntie harap Dini jangan menolak permintaan kami.” Luah Datin Rohana ikhlas.

“Kalau macam tu kata uncle dan auntie, Dini tak mampu nak menolak lagi. Dini akan terima permintaan uncle dan Dini akan cuba untuk melakukan yang terbaik dan menunaikan hajat keluarga uncle membantu Izhar.” Ardini bersuara lemah, menyatakan persetujuan walaupun dia sendiri tidak pasti dengan keputusan yang diambil.

“Terima kasih Dini.” Serentak Datuk Hassan dan Datin Rohana mengucapkan penghargaan di atas kesanggupan Ardini berkorban.

“Tapi Dini kena maklumkan pada Makcik Nora dan Pakcik Darus dulu.” Ardini menyatakan keinginannya untuk memaklumkan perkara tersebut kepada ibu dan bapa tirinya walaupun hubungan antara mereka dingin.

Tiga tahun selepas kematian ibu Ardini, bapanya telah mengahwini Makcik Nora bagi membantu menguruskan kehidupan mereka berdua. Namun apabila bapa Ardini meninggal dunia, Makcik Nora telah berkahwin lain dengan Pakcik Darus. Rumah peninggalan arwah bapa Ardini dijadikan tempat tinggal mereka, disebabkan itu juga Ardini jarang pulang ke kampung. Dia berasa janggal berada bersama mereka.

            “Pasal tu Dini jangan bimbang, uncle akan uruskan, lagipun uncle kenal Makcik Nora semasa bapa Dini masih ada.” Datuk Hassan menyatakan kesanggupan memberitahu keluarga tiri Ardini.

Datuk Hassan sendiri maklum dengan kekeruhan hubungan Ardini dengan keluarga Nora. Malah dia sendiri masih ingat tentang bagaimana Mohd Nasir boleh mengambil Nora sebagai isteri setelah kematian ibu Ardini.  Jika diikutkan hati, Mohd Nasir memang tidak mahu beristeri lain kerana di hatinya hanya ada ibu Ardini, namun arwah isterinya telah berpesan supaya dia berkahwin lain setelah ketiadaan dia kerana dia mahu Ardini mendapat kasih sayang seorang ibu.

Perkahwinan yang diatur bersama Nora oleh seorang kenalan rapat Mohd Nasir diterima dengan separuh hati. Sungguh dia tidak mampu menyintai wanita lain selain arwah isterinya namun apabila memikirkan amanat isterinya, Mohd Nasir hanya menurut. Harapannya Nora dapat memberi kasih sayang seorang ibu kepada Ardini tapi semuanya hampa. Nora tidak mampu menjadi ibu yang baik kepada Ardini. Sebagai teman rapat kepada arwah Mohd Nasir, Datuk Hassan amat memahami gelodak jiwa Mohd Nasir.

            “Segala preparation untuk majlis kahwin nanti, uncle akan uruskan. Dini hanya perlu fokus pada paper exam aje, jangan banyak-banyak fikir. Habis exam, uncle akan mulakan persiapan.” Datuk Hassan menyambung, menjelaskan perancangan tentang majlis perkahwinan yang akan dilansungkan.

            Mendengarkan kata-kata terakhir Datuk Hassan Ardini bangun menyalami Datin Rohana. Datuk Hassan mempamit Pak Musa dan mengarahkan lelaki itu menghantar semula Ardini ke kolej. Ardini melangkah membuntuti Pak Musa dengan perasaan yang masih berbaur.







Izhar memecut laju keretanya meninggalkan banglo Datuk Hassan. Perasaannya sebal berbaur marah dengan keputusan Datuk Hassan. Handphone dikeluarkan, jarinya pantas mendail nombor.

            “Hello sayang.” Kedengaran suara manja dihujung talian.

            “Dell, U free tak, I nak jumpa U kejap.” Izhar bersuara lemah.

            I ada show ni, kenapa dengan U sayang, kalau U nak ajak I  keluar hari ni, memang tak boleh, show I sampai malam. U tau kan keja I sibuk.”.Cepat-cepat Delia menerangkan. Dia yang sedang sibuk dengan pertunjukan fesyen tidak mahu Izhar mengganggunya ketika itu.

            “Tapi I ada hal penting nak bincang dengan U, tentang masa depan kita.”Izhar cuba untuk menceritakan perancangan Datuk Hassan.

            “Kalau U nak cakap pasal ari tu, keputusan I masih sama. U tahu kan I masih belum bersedia. I nak develope carear dulu sebelum pikir pasal kahwin… I really have to go now, diaorang dah panggil nama I.  Talk later, love U, bye..” Delia mematikan talian sebelum Izhar sempat menceritakan hal sebenar.

            Izhar menghempas handphone ke seat penumpang. Kecewa dengan Delia. Dia berharap Delia memberikan perhatian kepadanya tapi Delia mementingkan kerjaya melebihi dirinya.

            Izhar teringat sesuatu, pantas tangannya meraih semula telefon bimbitnya, pantas nombor Rayyan didail.

hi, whats up?” Rayyan bersuara di hujung talian.

            I need to see U tonight…”Izhar menjawab ringkas.

            where? What time?” Soal Rayyan

            CRS, MidValley at 8.00 p.m.” Balas Izhar.

            will make time for U, see U tonight…” Rayyan menyatakan persetujuan.

            Okey, see U tonight.” Izhar mematikan talian. Keretanya dipandu laju menuju banglonya yang terletak di kawasan perumahan mewah Alam Damai.





******

            “Dini ke mana tadi?”Soal Kak Murni.Biasanya pada hujung minggu begitu mereka akan menghabiskan masa bersama. Awal-awal pagi lagi Ardini telah keluar. Mereka yang kebiasaannya tidur semula selepas solat subuh pada hari minggu tidak dimaklumkan oleh Ardini. Selain Kak Murni, Hilda juga merupakan teman sebilik Ardini.

            “Dini ke rumah Datuk Hassan, ada hal sikit.”Ardini memberitahu ringkas. Tidak mahu menjelaskan isi perbincangan di rumah Datuk Hassan tadi.

            Hilda yang baru usai bersolat zohor memandang pelik ke arah Ardini. Sebelum ini hanya Datuk Hassan sahaja yang sering mengunjungi Ardini di kolej. Sepanjang dia mengenali Ardini, belum pernah lagi Ardini pergi ke rumah Datuk Hassan. Walaupun berasa pelik, Hilda berat mulut untuk bertanya. Biar Ardini sendiri yang menceritakan.

            “Datuk Hassan yang selalu datang jumpa Dini tu ke, yang support pengajian Dini tu?”Soal Kak Murni untuk mendapatkan kepastian.

            “Siapa lagi kalau bukan sugar daddy tu.” Seloroh Hilda, dia tersenyum mengusik.

            “Hish Ida ni, bukan sugar daddy  Dini la, Datuk ada hal jumpa Dini.” Terang Ardini.

            “Hal apa?, mesti penting, kalau tak takkan bincang kat rumah Datuk.”Tukas Kak Murni. Mulai curiga dengan kata-kata Ardini.

            “Ntahla kak, pening kepala Dini fikir hal ni.” Ardini meluahkan rasa.

            “Cerita la pada kami, manala tau kami boleh tolong.” Hilda pula bersuara.

            “yelah, kita dah lama kenal, ada masalah Dini ceritalah, akak dan Ida sentiasa ada untuk bantu Dini.” Kak Murni menyetujui  kata-kata Hilda.

            “Datuk Hassan mintak Dini kahwin...”Ardini bersuara lemah.

            “Kahwin?!” Serentak jeritan kecil keluar dari mulut kedua-dua sahabat itu.

            “Dengan dia?!”Soal Hilda terperanjat.

            “Bukan dengan Datuk, dengan anak dia.”Ardini bersuara mengendur.

            “Betul ke?” Giliran Kak Murni bertanya.

            “Itu yang Dini pening sekarang.” Luah Ardini lagi.

            “Dini terima?” Soal Kak Murni lagi.

            “Datuk banyak berjasa pada Dini, Dini serba salah nak tolak.”Terang Ardini lagi.

            “Kalau dah selalu sangat makan budi, akhirnya tergadai body…”Seloroh Hilda sambil tersengih memandang Ardini.

            “Ida ni ke situ pulak, Dini tengah pening ni, nak main-main lagi.”Ardini bersuara serius.

            Ala…terima je la, anak Datuk, kalau Ida kat tempat Dini, langkah kanan.”Balas Hilda sambil menyisir rambutnya yang separas pinggang.

            “Betul tu Dini, kalau Datuk dah berkenan buat menantu, terima aje la.Cerah masa depan.” Balas Kak Murni.

            “Kalau lah semudah tu nak buat keputusan, tak la Dini pening kepala.” Sambung Ardini.

            “Apapun keputusan Dini, kami berdua sokong, kan Ida?.” Kak Murni bersuara mengendur sambil matanya dikerling kepada Hilda.

            “Betul kak, Ida pun tumpang gembira. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu?. Tambah Hilda sambil tersenyum.

            “Terima kasih akak, Ida sebab sentiasa ada untuk Dini.”Ardini bersuara sebak. Mereka berpelukan.

            Kak Murni dan Hilda telah lama mengenali Ardini. Sejak kali pertama menjejakkan kaki di Universiti mereka telah menjadi teman rapat kerana diletakkan dalam satu bilik yang sama. Ardini juga sering menghabiskan musim raya bersama keluarga mereka. Kak Murni dan Hilda juga tahu tentang hubungan dingin Ardini dan keluarga tirinya. Disebabkan itu, Kak Murni dan Hilda sering melayan Ardini seperti saudara sendiri.





*******

Izhar mempercepatkan langkah setelah dipamit oleh Rayyan dari dalam restoren. Dia menarik kerusi di hadapan Rayyan lalu duduk.

            so….apahal nak jumpa aku?” Rayyan bertanya tidak sabar.

            Order dulu, lepas makan baru cerita.” Izhar memanggil seorang pelayan dan menyatakan pesanan.

            This.. must be important?” Soal Rayyan. Mengisi kekosongan ruang antara mereka.

            Yes”. Izhar menjawab ringkas, belum mahu membuka cerita.

            Selang beberapa minit, seorang pelayan remaja menghampiri mereka dan menghantar pesanan.

            Selesai makan, Izhar memulakan bicara.

            I have big problem.” Luah Izhar.

            Problem?….what kind of problem?, aku tengok selera je makan, tak macam orang ada masalah pun.” Seloroh Rayyan.

            “Papa I……Dia paksa I kahwin.” Terang Izhar ringkas.

            What?...kahwin!, dengan sape?, Delia ke?. Rayyan menyoal tidak sabar.

            “Kalau dengan Delia tak la big trouble…..pilihan papa, I pun tak kenal.”Luah Izhar.

            “Zaman sekarang pun ada lagi yang kena kahwin paksa.” Seloroh Rayyan

            “Apa U cakap, I tak dengar la.” Izhar berkata sinis, tidak suka Rayyan menanggap kata-katanya sebagai bahan lawak.

            “Takde, I cakap bagusla dapat kahwin, dah siap calon lagi, full package.” Rayyan berseloroh, bibirnya melirik senyum mengusik.

            “Yang big problemnya, perempuan tu bekas orang.” Terang Izhar mengenai status calon isterinya.

            “Bekas orang!, U biar betul, janda orang ke?” Rayyan bersuara ingin tahu.

            “Bukan janda orang, dia kata pernah jadi mangsa rogol, aku pun tak tahu nak percaya apa. Perempuan sekarang bukan boleh percaya, cakap je kena paksa, entah-entah paksa rela.” Izhar menyuarakan rasa tidak puas hati.

            “ U terima ke?”. Soal Rayyan lagi.

            I don’t have a choice, U know my father kan?, kata-kata dia macam arahan, wajib kena ikut, kalau aku ingkar, I’ll loose my previlege as his son.”Izhar bersuara lemah.

            “Camane dengan Delia, dah bagitahu dia?” Rayyan teringatkan steady girlfriend Izhar.

            “Nak bagitahu macam mana, I call memanjang dia sibuk, buat sakit hati je.” Izhar meluahkan rasa kecewa.

            “Bukan U tak tahu, komitmen dia pada kerja melebihi segala-galanya, jenis macam Dell tak kan nak terikat.” Terang Rayyan

            “Ntahla, aku pun dah give up.” Izhar putus asa. Buntu mencari penyelesaian kepada masalahnya.

            “Mungkin salah U jugak, suka sangat clubbing, itu je la cara papa U nak ikat U.” Rayyan berseloroh lagi.

            I jumpa U sebab nak release tension bukan nak tambah lagi.”Izhar meninggikan nada suara. Tidak suka Rayyan berseloroh tak kena pada tempat.

            Okey, I gurau je. Well….U terima je la, mungkin dah Qada’ dan Qadar U. Dah tertulis di Loh Mahfuz jodoh U dengan dia.”Rayyan bersuara mengendur, cuba menenangkan hati Izhar.

            “ Banyakla kau punya Loh Mahfuz, tak kena batang hidung kau, boleh la cakap.”Izhar hilang sabar dengan kata-kata Rayyan.

            whatever your decision is, I’ll be supporting you.”Luah Rayyan serius, dia tidak berniat menyakiti hati Izhar, dia hanya mahu menasihati. Sekiranya sudah tersurat Izhar akan berkahwin dengan calon pilihan Datuk Hassan, tiada apa yang boleh menghalang suratan takdir. Rayyan sangat meyakini perkara itu.

            “Buat masa ni I berserah je la. Tak ada apa yang boleh I buat pun. Melawan pun tak guna, papa kalau dah buat keputusan bukan ada orang yang berani bangkang.” Izhar bersuara mengendur. Pasrah dengan kata-kata papanya. Memang Datuk Hassan seorang yang tegas dalam membuat keputusan. Di pejabat pun, Datuk Hassan disegani. Ketegasannya membuatkan semua pekerja amat menghormati Datuk Hassan. Setiap tutur kata dan arahan dari Datuk Hassan akan dipatuhi. Kredibiliti Datuk Hassan memang tidak boleh dipertikaikan, Izhar dan Rayyan sendiri mengakuinya. Lima tahun bekerja bersama Datuk Hassan menyebabkan mereka amat mengenali cara kerja Datuk Hassan. Keputusan yang diambil memang muktamad dan arahan yang diberi memang tidak boleh dibantah sama sekali.






3 comments:

  1. best-3 .. menarik la dini dah setuju .. ehehek . bermula kehidupan dorg nanti ..

    ReplyDelete