BAB 20
Ardini
duduk di birai katil sambil termenung jauh. Sudah terlalu lama dia tidak pulang
ke kampungnya di Gelang Patah. Semua kenangan manis dan pahit terpahat di
kampung itu semenjak dia kecil sehinggalah dia diterima masuk ke universiti.
Ardini masih rindu saat-saat dia menghabiskan masa bersama ibu dan ayahnya
namun kenangan itu hanya kekal diingatannya sahaja. Dia kini yatim piatu, ayah
dan ibunya telah pergi meninggalkan dia bersendirian menempuhi pahit manis
kehidupan.
Kenangan dengan ayahnya paling kuat
melekat dalam hati. Sepanjang hidup bersama ayahnya, tidak pernah sekali dia
menyakiti hati lelaki itu. Dia hanya mengenal kasih ayah semenjak ibunya pergi
menyahut panggilan Illahi. Disebabkan itu dia sangat mengasihi arwah Mohd
Nasir. Hanya dengan lelaki itu dia menumpahkan kasih. Sakit pening arwah Nasir
menjadi tanggungjawabnya semenjak ketiadaan ibu. Sungguh dia kasih akan arwah
Nasir sehingga sanggup merahsiakan sejarah hitamnya dari pengetahuan lelaki
itu. Biarlah dia sendiri menanggung beban daripada melihat ayah kesayangan
menderita memikirkan nasib malangnya.
Tanpa sedar Ardini mengalirkan air
mata. Terasa semua ingatan terhadap ayahnya begitu menghimpit dada. Sungguh dia
rindu untuk mengulangi semua kenangan itu. Kadangkala dia rasa teramat sunyi
kerana menjalani kehidupannya sendirian. Kalau dulu dia ditemani Kak Murni dan
Hilda, kini dia rasa terlalu sunyi kerana terkurung di istana Izhar tanpa teman
untuk dia meluahkan rasa yang terbuku di hati.
Ardini menyeka air mata dengan jari.
Walau sesukar manapun dugaannya, kehidupannya perlu diteruskan. Dia tidak boleh
terus-menerus menangisi nasib diri. Dia perlu bangun dan menguatkan hatinya.
Cuma harapannya suatu hari nanti dia akan dapat keluar dari semua bebanan
perasaan yang dirasai kini.
Ardini terfikir akan rumah
peninggalan ayahnya yang kini didiami oleh Makcik Nora dan Pakcik Darus.
Barang-barangnya masih ada lagi yang ditinggalkan di sana . Sijil-sijil pentingnya juga masih
berada di rumah itu. Ardini terfikir sendiri, dia sudah tiada lagi ikatan
persaudaraan dengan Makcik Nora sejak wanita itu sendiri menyisihkannya selepas
ayahnya meninggal dulu. Walaupun rumah itu diwariskan atas nama Ardini namun
dia tidak sampai hati untuk menghalau wanita yang pernah berkongsi hidup dengan
ayahnya itu untuk keluar dari situ. Biarlah Makcik Nora tinggal di situ,
lagipun dia tak mungkin lagi pulang untuk tinggal di situ.
Namun Ardini tetap akan pergi ke
situ untuk kali terakhir bagi mendapatkan semula barang-barang dan
sijil-sijilnya. Biarlah rumah itu hanya menjadi kenangan yang hanya akan
dikenang dalam ingatannya. Untuk kembali ke sana Ardini tidak betah. Terlalu banyak
kenangan manis dan pahitnya di situ. Setelah dia kehilangan insan yang paling
disayangi, tak mungkin lagi dia pulang. Sudah tiada sesiapa untuknya di sana .
Ardini akan memaklumkan hasratnya
kepada Izhar. Masih dia teringat kata-kata Izhar semasa menjemputnya di stesen
KTM dulu, kalau dia ingin keluar lagi Izhar akan turut sama. Ardini memang
memerlukan bantuan Izhar untuk menghantarnya dan mengambil kesemua
barang-barangnya yang masih tertinggal. Jarak yang jauh antara kampungnya dan
banglo Izhar menyebabkan agak sukar sekiranya Ardini ingin mencuba alternatif
lain.
Ardini bangun dan menuju ke almari
solek. Di situ dia melihat wajahnya dicermin. Sisa air mata disapu dengan jari
sehingga hilang kesemuanya. Tudung disarung ke kepala. Dia akan turun menemui
Izhar, memaklumkan perancangannya untuk pulang ke Kampung Gelang Patah untuk
mengambil barang-barangnya yang masih tertinggal.
Ardini melangkah menuju ke pintu,
tentu Izhar masih menonton tv di ruang tamu selepas makan malam tadi. Semasa
dia siap mengemas dapur, dilihatnya Izhar sedang leka menonton tv sementara dia
bergegas naik ke atas untuk solat isyak. Sejurus Ardini keluar dia bertembung
dengan Izhar semasa berjalan menuruni anak tangga.
“Saya ada hal nak bincang dengan
awak.” Ardini menghentikan langkah tatkala dia berselisih dengan Izhar di
tangga. Tubuhnya dipaling menghadap Izhar.
“Hal apa?” Soal Izhar, dia turut mematikan
langkah, jantungnya berdegup laju, bimbang Ardini membangkitkan hal yang sama
hari itu.
“Saya nak balik kampung.”Jawab
Ardini ringkas, berterus terang dengan hajat hatinya.
“Bila?”Izhar bertanya lanjut, berasa
sedikit lega kerana Ardini tidak membangkitkan hal yang lalu.
“Hujung minggu ni, nak ambil barang
dan sijil yang masih kat sana .”
Ardini menerang tanpa diminta.
“Okey.” Izhar menjawab sepatah,
menyatakan persetujuan. Dia berkira untuk berlalu pergi.
“Boleh awak hantar?” Ardini bertanya
lambat-lambat.
“Kan I dah
pesan dulu, kalau nak keluar
mana-mana, mesti dengan I” Izhar
turut mematikan langkah tatkala menjawab pertanyaan Ardini namun tubuhnya tidak
berpaling, sekadar bersuara secara membelakangkan Ardini.
“Terima kasih.” Ardini tersenyum
sebaris, selesai satu masalahnya mendengarkan persetujuan Izhar.
“Esok pagi-pagi masuk bilik I.”Izhar bersuara semula sebelum mula
melangkah menaiki anak-anak tangga. Menyambung langkah yang terhenti tadi.
“Buat apa?”. Ardini bersoal pelik.
Tidak pernah Izhar memintanya masuk ke bilik. Dia membuntuti Izhar, mula rasa
tidak sedap hati dengan permintaan Izhar.
“Kemas bilik I, tak kan
nak ajak tidur sekali pulak.”Izhar bersuara senada, tubuhnya telah menghilang
disebalik pagar-pagar tangga tingkat atas.
Ardini menghela nafas lega, terasa
malu pun ada bila dia yang terfikirkan hal yang bukan-bukan. Namun begitu
Ardini berasa pelik dengan tingkah laku Izhar. Kalau dulu Izhar melarangnya
dari memasuki bilik tapi kini dia di suruh masuk mengemas. Ardini mengangkat
kedua-dua bahu, benar-benar tidak faham dengan Izhar. Kadang-kadang dirasakan
Izhar seperti bermain tarik tali dengannya. Sekejap baik sekejap dingin.
Selesai menyediakan sarapan Izhar di
dapur, Ardini melangkah menuju ke bilik Izhar untuk mengemas, Izhar telah
berpesan kepadanya malam tadi untuk datang awal-awal pagi dan mengemas
biliknya. Disebabkan itu Ardini bangun lebih awal pagi itu. Menyediakan sarapan
Izhar dan terus menuju ke bilik Izhar.
Tiba di bilik Izhar, Ardini mengetuk
pintu bilik. Selang lima
minit kemudian pintu dikuak dari dalam. Ardini teragak-agak untuk masuk dengan
Izhar yang masih berada di bilik. Izhar yang tengah bersiap-siap ke pejabat
memberi ruang untuk Ardini masuk. Rambutnya yang baru dikeringkan masih belum
bersikat, kolar bajunya masih belum berlipat dan pergelangan kemejanya masih
belum dibutangkan.
Ardini mengambil peluang mencuri
pandang ke arah Izhar semasa lelaki itu berpaling membelakangkannya sambil
mengenakan butang pergelangan tangan baju kemeja yang berwarna krim dengan
corak berjalur menegak. Ardini tersenyum sendiri, dalam keadaan begitu pun
Izhar masih kelihatan kacak. Bertuahlah kepada sesiapa yang dapat memiliki hati
lelaki itu. Untuk seketika Ardini termenung jauh, bayangan Maya terlayar
dimindanya. Terasa hatinya tiba-tiba mencemburui Maya, satu-satunya wanita yang
mengakui menjalinkan hubungan cinta dengan Izhar.
“Tolong bukak cadar tu, dah dua
bulan pakai yang sama tak bertukar.” Izhar bersuara. Sekaligus mematikan
lamunan Ardini.
Ardini tidak bersuara. Dia terus
menuju ke katil, bertindak mengikut arahan yang diberikan Izhar.
“Nanti ambil yang baru dalam almari,
tolong pasangkan sekali.” Izhar memberikan arahan kedua.
Ardini mengalihkan bantal-bantal
Izhar ke atas permaidani di lantai, di satu sudut bilik. Walaupun telah dua
bulan tidak bertukar, cadar itu masih wangi. Kuat dengan haruman minyak wangi Hugo Boss milik Izhar. Haruman yang
dikesan hidung Ardini setiap kali Izhar berada dekat dengannya.
Tangan Ardini menarik cadar berwarna ungu muda yang bercorak bunga lavender dengan perlahan-lahan sambil
matanya dikerling ke arah Izhar yang sedang menyikat rambut dihadapan meja
solek yang terletak bertentangan dengan katil bersaiz Queen itu. Tidak tahu kenapa dia tidak dapat menahan kehendak
matanya untuk mencuri pandang ke arah Izhar.
Menyedari renungan Ardini, Izhar bertindak memalingkan wajah. Matanya
tepat menikam mata Ardini sehingga Ardini cepat-cepat mengalihkan wajah. Izhar
menyimpan senyum dalam hati. Memang itu reaksi yang dia sering dapat apabila
berhadapan dengan gadis-gadis. Pasti ramai yang mengambil kesempatan merenung
wajahnya bila ada kesempatan, tapi dia tidak sangka Ardini juga seperti
gadis-gadis lain yang suka merenung wajahnya. Seingatnya dulu, Ardini jarang
memandang wajahnya ketika mereka berkomunikasi. Hanya sekali dia tangkap Ardini
sedang merenungnya semasa kali pertama mereka keluar bersama. Izhar tersenyum
dalam hati.
Ardini pantas menarik cadar dan membuka sarung bantal, berpura-pura sibuk
apabila menyedari Izhar perasan akan renungannya sebentar tadi. Dia terasa malu
sendiri. Melihatkan wajah Izhar yang kacak menggetarkan hati wanitanya. Sejak
kebelakangan ini Izhar melayannya dengan baik tidak seperti awal perkahwinan
dulu. Kadang-kadang jiwanya menjadi lembut dengan Izhar. Dia bimbang terlalu
terbawa-bawa dengan anganan dan perasaannya itu.
“U jatuh cinta pada I ke?” Izhar bertanya sambil menyisir
rapi rambutnya, sekadar memecahkan kesunyian antara mereka dan dalam masa yang
sama sengaja menggiat Ardini.
Ardini hanya mendiamkan diri. Tidak menunjukkan sebarang riak. Wajahnya
ditunduk menghadap cadar katil yang baru di buka tadi. Walhal wajahnya yang
berona merah itu dilarikan dari pandangan mata Izhar.
“I caught U staring at me just
now.”Kata Izhar lagi. Sengaja memancing perhatian Ardini untuk bersuara
dengannya sambil memasang tie pada
kolar baju.
“No I’m not.”Ardini menafikan
walhal jelas di mata Izhar dia merenung wajah lelaki itu tadi.
“Yes U are.”Izhar menggiat
lagi. Memang jelas dimatanya Ardini merenung wajahnya sebentar tadi.
“Kalau ya pun kenapa?” Ardini bertanya, malu apabila Izhar mula
menekannya dengan soalan.
“Kalau ya maknanya U dah jatuh
cinta dengan I..”Kata Izhar lagi. Dia
mencapai briefcase lalu berjalan
meninggalkan bilik menuju ke tingkat bawah. Dalam hatinya dia tersenyum lebar.
Ardini terpana dengan kata-kata Izhar. Kata-katanya sendiri digunakan
Izhar untuk mengenakan dirinya. Tidak disangka Izhar bijak membaca riak
wajahnya. Ardini terasa malu sendiri. Memang dia sudah mula menyukai Izhar.
Tidak tahu kenapa tetapi setiap kali bersama Izhar dia rasa berdebar. Degupan
jantungnya menjadi tidak sekata bila haruman lelaki itu menusuk hidungnya.
Selalunya dia akan mengawal debar hatinya sebaik mungkin, tidak pernah
dizahirkan dalam riak wajah cuma kadang-kadang dia mencuri pandang ke arah
Izhar bila dirasakan lelaki itu tidak perasan.
Ardini menarik nafas dalam-dalam. Memang dalam hatinya sudah terpahat
nama Izhar cuma hati Izhar bukan untuknya. Cinta Izhar telah tertumpah pada
gadis yang bernama Maya. Yang berkulit putih gebu dan bergaya seksi, lebih
moden darinya. Jika dibandingkan dengan dirinya, jarak mereka bagaikan langit
dan bumi. Tidak mungkin Izhar jatuh hati pada perempuan sepertinya. Yang serba
kekurangan dalam banyak segi. Ardini menghela nafas berat, dia tidak boleh
terlalu melayan perasaannya itu. Izhar tidak mungkin akan menjadi miliknya.
besh2... hehe.. izhar saje je nk duga perasaan ardini.. padahal dia pon dh mule suka kt ardini.. but both of them such a sweet couple.. love it.. x suke dgn maya.. evil.. hehe..
ReplyDeleteizhar tu bongkak lah kan..
ReplyDeletebenci la maya ni, apsal dia muncul awal sngt, dah hbgn suami istri tu x bahagia lgi
ReplyDeleteerm,menyibuk betul maya ni.yg izhar pun satu,dia pun ada hati pada Dini tapi taknak mengaku juga,hehe...
ReplyDeletesemacam peliks kan bila mamat tu suruh minah kemas biliknya..apa motif ek..tak dapat den nak memikirinya..akak dah habis pening da pikir tapi masih tak ada jawapannya..teruja nak tahu sampai mana perhubungan ini ek..seperti ardini ..dia mmg telah sayang kat mamat sengal tu..kemungkinan mamat sengal tu pun ada perasaan kat minah tu..tapi macam mana ..ek..si mamat sengal tu..nak mendekati minah tu..dan melayari perkawenan mereka macam pasangan suami isteri yg lain..
ReplyDelete