Wednesday, 21 March 2012

BUKAN ISTERI SEMPURNA BAB 2 DAN BAB 3

Ermm..nampaknya ada sambutan juga,hehe :). Cik Tulip baru found out novel ni ada ala-ala e-novel kahwin ganti di penulisan2u. Sejujurnya cik tulip tulis 'bukan isteri sempurna' ni dah lama, cuma masih tergantung belum ada ending. kalau ada rakan pembaca yang terperasan ada keserupaan atau persamaan ngan novel tu, harap boleh maklumkan pada Cik Tulip di ruangan komen sebab dalam entry seterusnya Cik Tulip akan ubahsuai sikit jalan ceritanya. Tapi cik tulip rasa mungkin ada sikit je persamaan-bab cerita pasal si kembar. Mungkin sama tapi tak serupa. :)


BAB 2

                                                                        

Skrin komputer riba yang terpasang sedari tadi dipandang dengan pandangan kosong. Nina lebih banyak termenung dari menyiapkan minit mesyuarat hasil perbincangan mesyuarat siang tadi. Dia teringat pada Daniel Arman. Lelaki itu sangat tenang semasa berucap dalam mensyuarat siang tadi. Seolah-olah mereka saling tidak kenal antara satu sama lain.

Nina menarik nafas dalam-dalam, cuba mencari kekuatan untuk meneruskan kerja-kerjanya yang tertangguh. Ingatan masa silamnya cuba dilempar jauh-jauh, biar berlalu pergi dari hidupnya sekarang. Dia sudah mahu melupakan kenangan silam. Segala yang dia usahakan selama ini adalah untuk masa depannya. Masa depan yang dia harus corakkan sendiri.

Nina memandang skrin komputer, dia mula menaip patah-patah perkataan dari nota ringkasnya. Setiap nota ringkas yang tercatat pada buku notanya dikarang-karang sehingga menjadi barisan ayat-ayat yang mudah difahami. Esok, minit itu akan dihantar kepada Encik Zachary untuk disemak sebelum diterima untuk difailkan.

Hampir dua jam berlalu, Nina berjaya menyiapkan tugasannya. Jam di dinding bilik dikerling dengan hujung mata, sudah hampir jam dua belas malam tapi matanya belum mengantuk lagi, masih segar apabila teringatkan perjumpaannya dengan Daniel Arman siang tadi.

Nina merebahkan tubuhnya ke katil, dia merenung syiling sambil termenung jauh. Terasa kenangan masa lalu menghimpit kembali. Dia tidak dapat membuang jauh kenangan-kenangan lampau. Satu-persatu kenangan itu diraih kembali.



BAB 3

Salamah menangis teresak-esak sambil ditenangkan oleh Maksu Zana sementara Nina memencilkan diri di satu sudut biliknya. Air matanya turut mengalir seiring tangisan ibunya. Terlalu pedih hakikat yang dilalui kala itu. Terasa dadanya sesak dan pedih memikirkan nasib dirinya. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

            “Akak janganlah macam ni, akak sedih-sedih macam ni akan burukkan kesihatan akak.”Zana menenangkan satu-satunya kakak yang dia miliki.

            “Macam mana aku tak sedih, Nina tu buat aku macam ni. Kalau jadi kat kau pun, kau akan sedih macam aku jugak.”Salamah masih mengalirkan air mata. Hatinya pedih memikirkan Nina.

            “Kalau akak berterusan macam ni, nanti akak jatuh sakit semula, baru minggu lepas akak keluar wad.” Zana terus memujuk.

            “Kalau aku mati lagi baik, tak payah nak fikir-fikir lagi masalah Nina. Dia pun suka kalau aku mati agaknya!”

            “Astagfirullahalazim, apa akak cakap ni, mengucap kak, jangan cakap macam tu, Allah tak suka.”Mata Zana sudah mula berair mendengar kata-kata Salamah.

            “Kalau aku hidup lama pun mana aku nak letak muka. Si Nina tu dah malukan kan aku. Nanti apa kata orang bila semua dah terbongkar. Aku malu dengan orang taman ni. Orang akan kata aku tak pandai didik anak. Nina tu bertudung, aurat tak pernah bukak tapi mengandung anak luar nikah. Mana aku nak letak muka aku. Tak cukup ke ilmu agama yang aku bagi dia sampai dia tergamak buat aku macam ni. Aku sedih, lebih baik aku mati daripada ada anak macam tu.” Salamah menghamburkan marahnya.

            Nina hanya mampu mengalirkan air mata. Terasa setiap butir kata-kata ibunya menghiris hati. Terasa pedih hingga ke tangkai hati.

            “Akak janganlah macam ni, akak tanya la Nina dulu, tentu semuanya berlaku bersebab. Zana kenal Nina, dia tak kan buat benda yang akan memalukan akak.” Zana turut mengalirkan air mata.

            “Dah berbuih mulut aku tanya, jantan mana yang buntingkan dia tapi dia tak pernah nak bagitahu. Kalau bukan dia pun sama-sama suka, tak kan dia nak rahsiakan perkara ni, aku kecewa sangat Zana.” Luah Salamah dengan hati yang lirih.

            “Biar Zana yang tanya, mungkin dia takut nak berterus terang dengan keadaan akak macam ni.”Zana terus bangun meninggalkan Salamah menuju ke bilik Nina.

            Pintu bilik Nina dikuak dari luar, Nina memencilkan diri di satu sudut bilik sambil menangis teresak-esak. Bahunya terhenjut-henjut hiba. Dia betul-betul buntu. Tak tahu apa yang perlu dibuat. Berterus terang dengan ibunya tidak akan membawa perubahan apa-apa.

            Zana menghampiri satu-satu anak buahnya. Tubuh Nina yang terhenjut-henjut dalam tangisan ditarik ke dalam dakapannya. Dia kenal benar dengan sikap Nina. Tak mungkin Nina melakukan perkara yang boleh memalukan keluarga. Dia tahu Nina merahsiakan sesuatu dari pengetahuan Salamah.

            “Nina ceritalah perkara sebenar, Maksu tak percaya Nina sanggup nak malukan mak Nina macam ni.”Zana melembutkan tutur bicaranya, memujuk Nina supaya membuka cerita.

            “Bukan salah Nina maksu, Nina pun taknak benda macam ni jadi pada Nina, tapi Nina tak boleh nak terus terang dengan mak. Tengoklah keadaan mak, kalau mak tahu cerita sebenar, macam mana mak nak tanggung semuanya.” Luah Nina dalam esak tangis.

            “Kalau Nina buat macam ni, mak Nina lagi menderita. Dia patah hati, Nina kena bagitahu perkara sebenar, jangan selindung dari dia. Dia tu ibu Nina, ibu mana yang nak anak menderita, ibu mana yang tak sayang anak. Jom ikut maksu jumpa mak, Nina ceritakan pada dia macam mana benda ni terjadi. Maksu akan temankan, maksu akan sentiasa berada disamping Nina.”Zana menarik lembut tangan Nina sehingga gadis itu bangun dari duduknya.

            “Sekarang bagitahu mak Nina, apa dah berlaku.” Zana mendorong tubuh Nina duduk di hadapan Salamah sejurus tiba di luar bilik.

            “Mak, maafkan Nina, Nina tak salah dalam hal ni. Ada orang yang khianat pada Nina.” Nina bersuara dalam sendu, tangan tua ibunya digenggam ke dalam jari jemarinya.

            “Kalau bukan salah kau, kenapa ada benih dalam perut kau tu.” Salamah enggan memandang wajah Nina. Duduknya di kerusi juga sudah mulai goyah. Terasa tenaganya semakin lemah dengan kejadian yang berlaku.

            “Mak, memang betul bukan salah Nina, Nina pun tak nak benda macam ni terjadi, ada orang yang buat Nina jadi macam ni.”Tangisan Nina melebat apabila melihat reaksi dingin Salamah.

            “Kalau betul orang yang khianat kat kau, bagitahu aku siapa, biar aku suruh dia bertanggungjawab. Aku tak nak tanggung malu dengan jiran tetangga. Nanti orang cakap aku tak pandai didik anak.” Salamah bersuara mengendur. Kasihnya pada Nina tidak pernah susut. Anak tunggalnya itu la racun dan penawar hatinya. Kalau benar anak gadisnya itu dikhianati orang, biar orang yang bertanggungjawab melunaskan hutangnya.

            Nina hanya mendiamkan diri mendengarkan kata-kata Salamah. Perlu ke dia berterus terang. Bagaimana kalau ibunya tidak dapat menerima kebenaran yang bakal dia bentangkan nanti. Kalau ibunya tahu pun kebenarannya, nasib dia tidak akan berubah. Tak mungkin lelaki yang mengkhianatinya akan bertanggungjawab.

            “Kalau Nina sayangkan mak, bagitahu mak siapa pelakunya, biar mak jumpa mak bapak dia, biar dia bertanggungjawab.” Lembut tutur kata Salamah memujuk anak gadisnya.

            Nina duduk bersimpuh, wajahnya ditunduk ke lantai rumah. Mengalir laju air matanya membasahi pipi. Bimbang kebenaran akan memburukkan lagi kesihatan ibunya.

            “Orang tu anak Datuk Zainudin.” Nina bersuara lambat-lambat. Bimbang dengan reaksi ibunya.

            “Anak Datuk Zainudin!, siapa! Dan ke El?!, betul kau tak bohong?” Bertalu-talu soalan dilempar kepada anak gadisnya itu. Salamah terperanjat. Tidak menyangka lelaki yang bertanggungjawab merupakan anak kepada majikannya sendiri.

            “Nina tak bohong mak, memang anak Datuk Zainudin.”Lambat-lambat Nina membalas, kecut perut mendengar ibunya bersuara lantang.

            “Siapa? Dan ke El?” Salamah bertanya lagi, menyedari Nina ketakutan, kali ni suaranya semakin mengendur.

            “Bukan El,… Dan mak.” Nina menunduk, takut melihat wajah ibunya yang merah padam akibat terperanjat dan marah.

            “Kau pasti?” Salamah bertanya lagi untuk kepastian.

            “Dan mak, Nina pasti.”Kata Nina lagi.

            “Kalau macam tu, biar dia bertanggungjawab, aku akan jumpa sendiri dengan Datuk Zainudin, bagitahu dia hal ni”.Salamah mengurut-ngurut dadanya. Terasa dadanya kembali sakit dengan berita yang baru sampai ke telinganya.

            “Tapi mak, diaorang orang kaya, tak kan nak dengar cakap orang macam kita.”Nina bersuara lagi, takut ibunya bertindak diluar batasan. Dia sedar hakikat diri mereka sekeluarga, cuma orang gaji yang mencari rezeki di rumah besar Datuk Zainudin.

            Zana hanya mendiamkan diri. Perkara yang dibincangkan diantara kakaknya dengan anak buahnya itu diluar ruang lingkup pengetahuannya. Dia hanya tahu kakaknya bekerja sebagai pembantu rumah di rumah seorang kenamaan, siapa orang itu dia tidak kenal.

            “Habis kau nak anak tu lahir tak berbapa, apapun diaorang kena bertanggungjawab, aku akan pastikan anak tu lahir ada bapa.” Salamah memberi janji kepada Nina. Dia kasihan melihat anak gadisnya yang selama ini ditatang bagai minyak yang penuh menjadi mangsa orang yang tak bertanggungjawab.

            Salamah bangun dari duduk, meninggalkan anak gadisnya yang masih dalam tangisan yang bersisa. Salamah nekad, dia tidak akan membiarkan nasib Nina semalang itu. Walaupun terperanjat dengan berita yang disampaikan oleh Nina, dia perlu kuat, sekurang-kurangnya sehingga dia betul-betul pasti nasib anaknya itu terbela.

            Zana turut bangun dari duduk, dia menghampiri Nina, tubuh gadis itu diraih dalam pelukannya. Dia turut kasihan dengan nasib yang menimpa anak buahnya itu namun tidak banyak yang boleh dia lakukan. Dia hanya mampu berdoa, semoga Salamah dan Nina kuat untuk mengharungi semua itu.





“Tolonglah Datuk, macam mana dengan anak saya kalau anak datuk tak bertanggungjawab, siapa yang nak ambik dia jadi isteri bila dah jadi macam ni. Macam mana dengan tanggapan orang pada keluarga saya nanti, anak tu nanti lahir tak berbapa.” Salamah merayu pada majikannya. Harapannya supaya jasa-jasanya berkhidmat bertahun-tahun di banglo itu diambil kira oleh Datuk Zainudin.

            “Betul ke anak saya yang bertanggungjawab, entah-entah anak Kak Mah yang buat benda tak senonoh dengan orang lain tapi tuduh anak teruna saya.” Sinis suara Datuk Zainudin menempelak Salamah.

            “Anak saya tak mungkin buat benda macam tu, tolonglah datuk,jangan buat macam ni.”Salamah masih merayu, berharap Datuk Zainudin memberi kata putus yang membela nasib anak gadisnya.

            “Jadi Kak Mah tuduh anak saya la yang jahat, yang sebabkan semua ni terjadi.” Merah padam muka Datuk Zainudin mendengar kata-kata Salamah. Memang pantang bagi dia apabila anak kesayangan dia dituduh dengan tuduhan begitu. Datuk Zainudin berlalu tanpa menghiraukan kata-kata Salamah.

            “Anak saya tak kan menipu.”Salamah membela Nina bagi pihak anaknya itu.

            Datin Rogayah sudah berlinangan air mata, dia sedikit pun tidak menafikan kata-kata Salamah. Sebagai ibu dia tahu bagaimana sikap anak-anak terunanya. Memang anaknya yang satu itu terlalu liar untuk dijinakkan. Itulah akibatnya apabila Datuk Zainudin terlalu memanjakan anaknya itu.

            Nina hanya mampu menangis, perbalahan kecil antara ibunya dan Datuk Zainudin hanya menambah sesakkan pedih hatinya. Dia sudah dapat mengagak reaksi Datuk Zainudin. Tak mungkin lelaki kaya itu akan menerima semua tuduhan itu dengan mudah.

            Nina bangun menghampiri ibunya yang sudah mengalirkan air mata. Di pegang tangan ibunya. Tiada guna mereka masih berada disitu. Pendirian Datuk Zainudin tidak mungkin akan berubah.

            “Sudahlah mak, jom lah kita balik.” Nina bersuara lirih. Tidak mahu terus berada dalam istana besar yang dirasakan seperti neraka itu. Tempat dimana segala titik hitamnya bermula. Untuk kesekian kalinya dia kesal kerana mengikut ibunya ke situ pada awalnya. Akibatnya kini dia terpaksa menanggung malu besar.

            “Datin tolonglah saya, datin pun ibu, tentu datin faham perasaan saya, jangan buat anak saya macam ni, siapa yang nak bertanggungjawab ke atas kandungan dia kalau anak datin tak bertanggungjawab.” Salamah menarik tangannya dari pautan Nina lalu memeluk erat kaki Datin Rogayah.

            “Kak Mah, janganlah macam ni, saya janji anak saya akan bertanggungjawab atas apa yang dia dah buat pada anak Kak Mah.” Datin Rogayah meleraikan pautan tangan Salamah di kakinya. Dia faham dengan hati ibu Salamah, dia pun turut kasihan dengan nasib anak gadis Salamah akibat perbuatan tak bertanggungjawab anak lelakinya.

            Nina lirih hati melihat ibunya berkeadaan begitu. Begitu hina kedudukan mereka pada pandangan mata orang kaya seperti Datuk Zainudin. Tubuh longlai Salamah dipaut untuk bangun, esakan tangis ibunya meruntun hatinya. Dipapah tubuh Salamah yang lemah longlai berlalu dari rumah banglo Datuk Zanudin.





“Kenapa El yang kena bertanggungjawab?, El tak nak!” Kata Daniel Arman. Nadanya tegas dan kasar.

            “El tolonglah mummy, kalau El anak yang baik tentu El tak keberatan bantu mummy dalam hal ni.” Datin Rogayah memujuk. Kenal benar dengan sikap Daniel Arman. Anak terunanya itu seringkali mengalah dalam banyak hal.

            But why mummy, everytime Dan screw up, I need to fix it for him, tak adil bagi El macam ni.” Daniel Arman bersuara sayu. Memang setiap kali Danish Arham lakukan kesilapan, dia yang menjadi mangsa untuk menanggung segala kesalahan Danish Arham. Dia masih teringat semasa di zaman sekolah, dia seringkali menjadi mangsa guru disiplin kerana kesalahan yang dilakukan oleh abang kembarnya. Sikapnya yang mudah mengalah membuatkan Danish Arham selalu meletakkan kesalahan dibahunya walhal Danish yang selalu mencari masalah dengan teman sekolah. Akibatnya Daniel yang terpaksa menanggung beban kesalahan itu.

            Because you are a good son comparing to him, you always listen.” Datin Rogayah memujuk lagi.

            “What about my future, El pun ada plan sendiri, nak bina keluarga dengan perempuan yang El cinta, bukan jadi pak sanggup macam ni.” Luah Daniel Arman lagi. Pilu hatinya bila Datin Rogayah meminta dia bertanggungjawab ke atas kesalahan yang dilakukan oleh Danish Arham terhadap Nayli Imanina.

            “El tolonglah mummy untuk kali ni, tak kan nak biar anak  Mak Mah macam tu, dia pun tak bersalah jugak, dia jadi mangsa keadaan.” Datin Rogayah bersuara mengendur. Terasa dirinya sudah kehabisan idea untuk memujuk Daniel Arman.

            “Dan yang buat silap, biar dia yang betulkan, ini bukan perkara main-main, kahwin perkara yang nak dibawa sampai ke hujung nyawa, takkan El nak jadi pak sanggup untuk selamatkan malu diaorang sekeluarga.” Kata Daniel Arman lagi. Kali ini nadanya bertambah tinggi. Hilang sabar dengan permintaan Datin Rogayah.

            “Kalau Dan ada, tentulah mummy tak minta pertolongan El, El pun tahu, Dan lari keluar negara lepas tahu apa yang jadi pada anak Mak Mah.” Kata Datin Rogayah lagi.

            “Kalau kau sanggup bertanggungjawab, daddy akan terus wariskan perniagaan daddy kat kau, kau uruskan main branch mall kita.” Datuk Zainudin tiba-tiba bersuara dari hujung anak tangga.

            Daniel Arman dan Datin Rogayah berpaling memandang Datuk Zainudin.

            “Daddy, sampai bila semuanya daddy nak tebus dengan duit, jawatan. El tak nak tu semua, El cuma nak daddy layan El macam daddy layan Dan, El taknak daddy mintak El tanggung semua kesalahan Dan sebab daddy nak lepaskan Dan dari tanggungjawab yang dia sepatutnya tanggung.” Daniel Arman meluah rasa, memang sejak dulu dia dilayan dengan wang ringgit dan jarang sekali dengan kasih sayang.

            That’s all I can offer you as your father,take it or leave it.”Datuk Zainudin memberi kata putus. Memang jelas dia lebih menyayangi Danish Arham berbanding Daniel Arman.

            “Okey, kalau daddy rasa macam tu sahaja caranya daddy curahkan kasih sayang pada El, El akan ikut cakap daddy, but remember one thing, El pun anak daddy, one day soon, you’re going to realise that I’m the only son you can rely on.” Kata Daniel Arman dalam nada sinis. Hatinya membahang saat Datuk Zainudin dengan jelas dan terang menjadikan dia kambing hitam dalam hal tersebut.

            “Terima kasih El, mummy betul-betul hargai pengorbanan El.”Datin Rogayah berwajah ceria, sekurang-kurangnya satu masalah mereka telah selesai.

            “El terima sebab daddy, bukan sebab benda lain, kalau ini caranya daddy tunjukkan kasih sayang dia, El akan ikut cakap daddy tapi mummy kena tahu, El hanya Pak Sanggup dalam kes ni, jadi tak mungkin El akan jalankan tanggungjawab El seperti suami yang sebenarnya. Diaorang pun cuma nak anak Dan ada ayah sahaja, tak lebih dari itu. Jadi El akan tanggung semua kesilapan Dan kalau itu yang daddy mahukan.” Daniel Arman bersuara lagi. Dia mengalihkan pandangan kepada Datuk Zainudin. Walaupun tiada reaksi dari riak wajah Datuk Zainudin tetapi Daniel Arman puas hati. Dia sudah meluahkan apa yang terbuku dihatinya.

p/s-cik tulip minat sgt ketengahkan isu 'dara' ni sebab unik...kadang2 kita terlupa, ada dikalangan mereka yang berada diantara kita-kita ni. Just nak buat story indah2 hehe. mencari lelaki yang boleh menerima kekurangan tanpa syarat. Hehe, ada ke?..kadang2 ketidaksempurnaan itu pelengkap kepada kesempurnaan...

13 comments:

  1. ala cik tulip, pendeknye, sambung lgi ok

    ReplyDelete
  2. best2...kalo leh pnjg ckit citer yer ehehehe

    ReplyDelete
  3. akak tulip..like3!!heh~

    ReplyDelete
  4. Ada lelaki menerima kekurangan tanpa syarat.....tanpa mengunkit kekurangan itu...

    ReplyDelete
  5. Credit to kak tulip;) sy dh abis bc aku untukmu. Best sgt..x sabar nk tunggu novel yg ni.

    ReplyDelete
  6. bab ni mmg menarik sungguh... terimbau kisah silam yg pahit dan sadis .. aduh.. mcmna lah kehidupan dorg nti ye..

    ReplyDelete
  7. like this chapter, terpikir jugk ape ek jdik lepas nih? ececeh.. bru jumpa daa crita ini. nk beli real punya rasenya!

    ReplyDelete
  8. kakak,cerita ni sgt best tau.
    serius saya syg akak krana buat novel ni..............^^

    ReplyDelete