Thursday 26 July 2012

Bidding Girl Part 6

Kepada yang tinggalkan komen, terima kasih banyak2..sayang semua ketat2,hehe sekarang jom baca selanjutnya. dan kepada yg bg saranan..arigatou gozaimas...cik tulip dah gunakan idea kalian diblend ngan idea cik tulip ;) hehe
Ikuti sambunganya :)


Ruang halaman rumah ibunya yang sempit itu ditenung lama. Kata-kata Nek Nab dalam telefon awal pagi tadi diimbas kembali. Benarkah apa yang Nek Nab katakan itu. Benarkah Ashraf benar-benar mahu mengahwini dirinya. Hannah Irdina menarik nafas panjang sambil menghirup Nescafe O yang disediakan ibunya sebentar tadi. Kusut kepalanya memikirkan kata-kata Nek Nab. Sikap ‘unpredictable’ Ashraf memang membuatkan dia pening kepala. Apa lagi agaknya agenda lelaki itu.

            Apabila teringat yang keluarga Ashraf akan menghantar rombongan peminangan pada hujung minggu itu, kepalanya lebih berserabut. Bagaimana harus dia menolak sekiranya dia sendiri tidak pasti dengan keputusan yang bakal diambil nanti. Masih dia teringat akan kata-katanya semasa di dalam kereta Ashraf tempoh hari, kata-kata yang menyebabkan lelaki itu mencium bibirnya. Kata-kata yang mungkin menghina lelaki itu. Kata-kata yang menegaskan dia tidak mungkin akan mengahwini lelaki itu walaupun lelaki lain sudah pupus dimuka bumi ini.

Kini dia terfikirkan akan bahana kelancangan tuturnya itu. Mungkinkah Ashraf hanya cuba mahu mempermainkan dirinya dengan mengatakan bahawa lelaki itu ingin mengahwininya. Mungkinkah lelaki itu cuma mahu mengahwininya untuk menyeksanya. Memikirkan hal itu juga sudah cukup memeningkan kepalanya, apatah lagi kalau disatukan dengan lelaki itu nanti.

“Kenapa Dina termenung ni?” Tegur Jamaliah lembut. Semenjak menerima panggilan dari Nek Nab awal pagi tadi, anak gadisnya itu dilihatnya kerap termenung.

Hannah Irdina menghela nafas berat. Untuk diceritakan terasa berat mulutnya, hendak disembunyikan, lambat laun ibunya itu perlu tahu juga.

“Ibu ingat pada Ashraf?” Soal Hannah Irdina senada.

“Cucu Nek Nab tu?, yang selamatkan kamu hari tu?” Soal Jamaliah kembali.

“Tadi Nek Nab kata, dia nak jadikan Dina isteri.” Kata Hannah Irdina berlapik. Cuba menyampaikan berita itu setenang yang mungkin.

Jamaliah tersentak seketika.

“Nek Nab minta Dina fikir-fikirkan, kalau setuju bagi jawapan sebelum hari jumaat ni sebab diaorang nak hantar rombongan peminangan.” Terang Hannah Irdina.

Jamaliah tersenyum mendengarkan kata-kata anak gadisnya itu.

“Apa pendapat Dina?” Soal Jamaliah. Ingin dia uji isi hati anak daranya itu. Selama ini bukan dia tidak tahu anak tunggalnya itu tiada teman istimewa.

“Entahlah, apa pendapat ibu?” Tanya Hannah Irdina kembali.

“Eh, kamu ni, yang nak kahwin bukannya ibu, tapi kamu. Kamu lah yang kena buat keputusan.” Jawab Jamaliah dalam senyuman lebar. Jika benar Nek Nab ingin menjodohkan Hannah Irdina dengan cucunya, dia tiada halangan. Dia bukan tidak kenal dengan Nek Nab, tidak mungkin wanita tua itu bermain-main dengan perkara seserius itu. Kepercayaan yang ditanam terhadap wanita itu terlalu dalam sehingga apa jua yang dirasakan baik oleh Nek Nab turut dirasakan baik buat dirinya juga.

“Dina tak kenal sangat dengan cucu Nek Nab tu.” Luah Hannah Irdina dalam kenduran suara. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menolak mentah-mentah tanpa berfikir panjang, namun ada satu perasaan dalam hatinya yang melarang dia membuat keputusan tanpa berfikir terlebih dahulu. Memang Ashraf nakal, degil, ego dan lepas laku tetapi ada satu sikap lelaki itu yang membuatkan dia rasa selamat, rasa dilindungi. Walau puas ditepis rasa itu dalam hatinya, namun ia tetap hadir.

“Kalau tak kenal maka tak cinta. Apa kata kalau Dina kenal-kenal dengan cucu Nek Nab dulu.” Saran Jamaliah. Dia masih tersenyum manis tatkala membicarakan perihal hati anak gadisnya itu.

“Dina buntu la bu, bukan kahwin yang Dina rancang dulu tapi kerja, Dina nak cari kerja dulu.” Sahut Hannah Irdina dalam kenduran suara.

Sekali lagi Jamaliah tersenyum.

“Orang kata kalau kita kahwin, rezeki akan bertambah.” Jawab Jamaliah berhemah. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu mendesak Hannah Irdina, sebagai ibu adalah wajar baginya memberi kata-kata peransang. Selebihnya perlu diputuskan sendiri oleh Hannah Irdina.

“Peningla kepala Dina bu.” Keluh Hannah Irdina lagi.

“Apa kata kalau Dina jumpa dulu ngan cucu Nek Nab, bincang dengan dia elok-elok, kenal isi hati dia.” Akhirnya Jamaliah memberikan saranan. Kasihan pula dia lihat Hannah Irdina seakan-akan kehilangan arah dalam membuat keputusan.

Hannah Irdina menarik nafas sekali lagi. Apa sebenarnya keputusan yang harus diambil. Dia sendiri keliru.

“Ibu restu kalau Dina kahwin?” Soal Hannah Irdina sambil memandang wajah ibunya. Kalau ibunya itu tiada halangan, dia juga harus berfikir panjang akan permintaan Nek Nab itu. Untuk menolak, entah kenapa dia rasakan dia tidak mahu. Mungkinkah kerana dia rasa selamat disamping Ashraf walaupun seringkali lelaki itu hilang pertimbangan saat bersama dengannya. Atau mungkin kerana dia sebenarnya sudah jatuh cinta kepada lelaki itu!. Ah!, tidak mungkin. Yang pasti perasaannya itu bukan cinta, desis Hannah Irdina dalam hati.

“Ibu tiada halangan, kalau Nek Nab yang carikan calon, ibu setuju sahaja, Ibu percaya Nek Nab serius nak jodohkan Dina dengan cucu dia.”Sahut Jamaliah dalam senyum yang masih belum mampu dibuang.

Hannah Irdina menarik nafas dalam. Kalau ibunya itu turut bersetuju, dia juga sudah membulat tekad. Dia akan cuba fikirkan keputusan terbaik. Pertama; dia akan bertemu empat mata dengan Ahsraf, ingin dia bertanya betapa seriusnya lelaki itu dengan niatnya. Dan yang kedua; dia akan membuat sembahyang istikarah, memohon petunjuk dari Allah, jika baik untuknya maka dia akan meneruskan keputusan untuk mengahwini Ashraf. Walaupun jauh di sudut hatinya, dia masih keliru dengan apa yang dia rasakan terhadap lelaki itu. tapi yang pasti, dia menyandarkan semuanya kepada takdir, andai Ashraf lelaki yang diciptakan untuknya, maka dia akan pasrah. Dia akan mengahwini Ashraf!.



Resah hati Hannah Irdina apabila jam sudah melewati pukul 3.00 petang. Janji Ashraf, mereka akan bertemu disitu. Memang dia sengaja mengajak lelaki itu ke restoren KFC sahaja. Mudah bagi mereka untuk berbicara tanpa gangguan orang lain. Ingin dia selami hati lelaki itu, ingin dia tahu sejauh manakah lelaki itu benar-benar serius ingin mengahwininya. Semua itu penting dalam membantu dia membuat keputusan sama ada akan meneruskan niatnya menerima lamaran lelaki itu ataupun tidak.

            Lamunan Hannah Irdina terhambur pergi apabila Ashraf sampai tiba-tiba lantas duduk dihadapannya.

            “Kenapa lambat sangat?” Soal Hannah Irdina dengan dahi yang berkerut. Sementara lelaki itu berwajah selamba dengan lagak tidak bersalahnya. Itulah satu-satunya sikap Ashraf yang tidak disukainya. Lelaki itu terlalu sukar dibaca!.

            “Dah lama saya tunggu.” Kata Hannah Irdina lagi, berharap yang Ashraf akan menyambut kata-katanya dengan jawapan yang memuaskan hatinya kerana sejujurnya, dia ingin mengenali cara dan rentak lelaki itu.

            Ada hal apa nak jumpa?” Soal Ashraf sambil membuang pandang ke arah orang ramai yang beratur lurus untuk membuat pesanan makanan di kaunter hadapan. Kemudian matanya dikerling pula pada beberapa ketul ayam KFC yang terdapat dalam pinggan di hadapan Hannah Irdina.

            “Aku punya ada?” Soalnya lagi dengan mata yang masih melekat pada ketulan KFC Hannah Irdina.

            Hannah Irdina mencebik, lain yang ditanya, lain yang dijawab. Memang lelaki itu jenis yang tak reti bahasa.

            “Awak, saya serius ni tanya pada awak, bukannya main-main.” Kali ini Hannah Irdina bersuara tegas. Bosan dengan sikap Ashraf yang tidak serius.

            “Aku pun serius.” Jawab lelaki itu pendek. Dia kemudiannya menarik pinggan Hannah Irdina yang berisi ayam goreng lalu menyuapkan ke mulutnya.

            “Ashraf!” Hannah Irdina bersuara menekan. Dikawal suaranya supaya tidak terlalu kuat, bimbang menarik perhatian pengunjung-pengunjung yang lain.

            Kali ini dia berjaya menarik perhatian lelaki itu.

            “Apa?” Soal Ashraf dengan kedua-dua keningnya terangkat tinggi.

            “Boleh tak tolong serius sikit, kalau macam ni perangai awak, saya tolak pinangan keluarga awak mentah-mentah!” Ugut Hannah Irdina serius.

            Kata-kata Hannah Irdina itu menyebabkan lelaki itu mengangkat tinggi kedua-dua keningnya dengan mata yang difokus tepat ke mata Hannah Irdina.

            ‘Tahu takut.” Ucap Hannah Irdina. Melonjak seketika hatinya kerana berjaya menarik perhatian lelaki itu.

            “Siapa kata aku takut?” lelaki itu menyoal kemudiannya, dia meneruskan makan tanpa mempedulikan Hannah Irdina yang sudah menarik muka tidak puas hati.

            “Saya nak balik!.” Ujar Hannah Irdina tidak puas hati lantas bangun. Malas dia melayani sikap acuh tak acuh Ashraf, kalau begitu sikap lelaki itu, dia malas mahu mempertimbangkan keputusannya.

            “Nanti!.” Ashraf memegang pergelangan tangan Hannah Irdina sebelum sempat Hannah Irdina berlalu pergi.

            “Duduk.” Arah lelaki itu tegas.

            Hannah Irdina memerhatikan sekeliling, beberapa mata memandang ke arah mereka. Tangannya ditarik dari pegangan Ashraf. Dia kemudiannya duduk semula. Jika tidak difikirkan tentang mata-mata yang memandang, sudah tentu dia akan terus berlalu pergi.

            “Nak cakap pasal apa?” Soal Ashraf sejurus Hannah Irdina duduk.

            “Betul awak serius dengan hajat awak?” Soal Hannah Irdina serius.

            “Hajat apa?” Soal lelaki itu kembali.

            Hannah Irdina mendengus, Ashraf benar-benar mencabar kesabarannya.

            “Hal tentang keluarga awak nak pinang saya.” Terang Hannah Irdina lagi. Tembok kesabarannya di bina setinggi yang mungkin. Jika dia mahu tahu niat sebenar lelaki itu, pasti sahaja dia perlu tahu lanjut akan keihklasan lelaki itu ingin mengambilnya sebagai isteri.

            “Aku serius.” Jawab lelaki itu pendek sambil membuang pandang ke cermin lutsinar yang memisahkan antara kawasan luar dan kawasan dalam restoren itu.

            “Kenapa awak nak kahwin dengan saya?” Tanya Hannah Irdina lagi.

            Soalan Hannah Irdina itu menyebabkan Ashraf termenung seketika.

            “Sebab aku nak dapatkan kau dengan cara yang sah, aku takut aku buat sesuatu yang tidak sepatutnya di luar kerelaan kau.” Sahut lelaki itu dalam renungan jauh.

            “Apa maksud awak?” Soal Hannah Irdina tidak faham.

            “Aku nak jadikan hubungan kita sah, senang aku nak peluk cium kau.” Sambung lelaki itu selamba.

            Bicara Ashraf membuatkan Hannah Irdina mengerutkan dahinya. Hanya kerana sebab itu, lelaki itu sampai mahu mengahwininya. Alasan yang pada pandangannya tidak dapat diterima sepenuhnya.

            “Hal kahwin bukan perkara main-main, kalau awak tak serius, jangan jadikan saya mangsa, jangan permainkan perasaan saya.” Kata Hannah Irdina dalam kenduran suara. Dia tidak mahu lelaki itu hanya sekadar bermain-main dengan perasaannya. Jika dikahwini secara tidak ikhlas, dia tidak sanggup memperjudikan nasibnya ditangan lelaki itu.

            “Aku serius.” Ucap lelaki itu lagi.

            “Awak ikhlas?” Soal Hannah Irdina lagi. Entah kenapa kata-kata lelaki itu sangat meyakinkan namun dia tidak sekadar mahu mendengar betapa seriusnya niat Ashraf, dia juga perlu tahu jika lelaki itu benar-benar ikhlas.

            “Aku serius.” Ucap Ashraf tanpa menjawab soalan Hannah Irdina.

            Kecewa Hannah Irdina mendengarkan jawapan Ashraf, bukan jawapan itu yang dia harapkan dari lelaki itu. Namun dalam kecewa, tidak dapat dia nafikan yang hatinya turut yakin dengan jaminan Ashraf itu.

            “Kalau betul awak serius, ada syarat yang perlu awak tahu sebelum kita kahwin.” Kata Hannah Irdina lagi, dia sudah malas mahu bersoal jawab dengan Ashraf, sukar benar dia mahu membaca hati lelaki itu.

            “Syarat apa?” Soal Ashraf sambil mengeluarkan kotak rokok dari poket seluar. Logo larangan merokok di dalam restoren itu seolah-olah tidak mendatangkan kesan kepadanya.

            Hannah Irdina yang melihat perlakuan Ashraf sempat mengerling ke arah pelayan yang menjaga kaunter. Bimbang tindakan Ashraf akan menyebabkan orang lain kurang selesa.

            “Yang pertama; berhenti merokok.” Kata Hannah Irdina dengan mata yang memandang tepat ke arah sebatang rokok yang telahpun terselit di bibir Ashraf yang sedikit lebam.

            Sorry, syarat pertama, aku tak boleh terima.” Putus lelaki itu. Rokok ditangannya ditarik semula dan diletakkan di sisi pinggan yang terisi tulang-tulang ayam.

            “Syarat lain?” Sambung lelaki itu.

            Hannah Irdina menarik nafas dan menghembusnya berat. Ashraf lelaki degil!.

            “Syarat kedua; awak kena belajar agama. Jadi suami yang boleh bimbing saya.” Sambung Hannah Irdina.

            Ashraf hanya mengangguk sambil menyelitkan kembali rokok di bibir. Dia kemudiannya menyalakan hujung rokok dan menyedut dalam.

            “Syarat ketiga; jangan sia-siakan saya lepas kahwin nanti.” Hannah Irdina menyambung.

            “Syarat keempat; jangan paksa saya buat perkara yang saya tak suka, dan syarat kelima; tinggalkan perangai buruk awak, lepas kahwin kena tumpukan perhatian pada keluarga sahaja.” Kata Hannah Irdina lagi.

            “Itu sahaja.” Soal lelaki itu sambil mengetuk habuk rokok ke dalam pinggan.

            Hannah Irdina hanya mengangguk.

            “Aku terima, tapi aku pun ada syarat.” Sambung lelaki itu.

            Hannah Irdina terkejut, kedua-dua keningnya diangkat tinggi.

            “Kita tak payah bertunang, terus kahwin.” Kata Ashraf lagi.

            Tersentak Hannah Irdina dengan bicara lelaki itu.

            “Tapi saya belum sedia.” Ucap Hannah Irdina lambat-lambat.

            “Sedia atau tidak, sebulan akan datang, kita kahwin.” Tegas Ashraf.

            Hannah Irdina menghela nafas berat, sangkanya mereka akan bertunang dulu. Dalam tempoh bertunang itu dia berhajat untuk lebih mengenali lelaki itu tetapi kini, bila lelaki itu membuat keputusan tergesa-gesa begitu, dia rasa kurang senang. Namun untuk dia menarik balik keputusannya, dia rasa tidak boleh. Pertamanya, kerana hatinya meningkahnya dari berbuat demikian dan keduanya, dia sudah mendapat jawapan hasil solat istikarahnya, memang Ashraf lelaki sesuai untuknya. Berlandaskan kedua-dua itu, dia pasrah dan redha dengan jodohnya.

            “Datang naik apa?” Soal Ashraf seraya bangun.

            “Bas.” Jawab Hannah Irdina sepatah.

            “Aku hantar balik.” Kata lelaki itu seraya berlalu keluar.



“Mulai sekarang, ubah panggilan.” Ucap Ashraf tiba-tiba.

            Hannah Irdina yang sedari tadi membuang pandang ke luar tingkap kereta berpaling memandang ke arah Ashraf.

            “Kau panggil aku ABANG, aku panggil kau SAYANG.” Sambung lelaki itu lagi namun perhatian matanya masih di jalanraya.

            Hannah Irdina jungkit tinggi kedua-dua keningnya. Benarkah telinganya baru menangkap kata-kata yang terbit dari bibir Ashraf itu.

            “Awak nak saya panggil awak abang. Dan awak pula panggil saya sayang?” Soal Hannah Irdina untuk kepastian.

            “Erm.” Jawab lelaki itu ringkas.

            “Abang tak nak sayang panggil abang AWAK lagi lepas ni.” Sambung lelaki itu senada.

            Hannah Irdina mengerling lelaki disebelahnya itu, wajah dingin dan selamba Ashraf dijamah matanya, entah kenapa walaupun wajah lelaki itu selamba, namun sebutan ‘sayang’ dan ‘abang’ itu tidak kedengaran janggal ditelinga Hannah Irdina.

            “Awak..”

            “Abang.” Pintas Ashraf sebelum sempat Hannah Irdina melanjutkan kata-katanya.

            “A..a..abang….” Tak dapat Hannah Irdina melanjutkan kata-katanya. Entah kenapa janggal lidahnya mahu menyebut perkataan itu. Penyudahnya dia hanya mampu mendiamkan diri sepanjang pemanduan Ashraf. Lelaki itu hanya tersenyum nipis dengan mata yang masih fokus pada jalanraya.

            Keliru Hannah Irdina dengan sikap Ashraf, entah kenapa kedinginan lelaki itu seolah-olah tidak ada pasang surutnya. Tidak faham dirinya dengan sikap Ashraf. Arghh..susahnya dia mahu membaca lelaki itu!.



“Liyes, kamu nak ke mana tu?” Soal Nek Nab dari muka pintu.

            “Eh mak ni, tanya pulak dia?, bukan ke kita nak pergi rumah Kak Jamaliah?, nak bincang hal anak saya dengan anak kak Jamaliah.” Sahut Tuan Aliyes dengan dahi berkerut.

            “Iyelah, nak berbincang pun, kamu tu jangan la gelojoh sangat, tengok sandal siapa yang kamu sarung tu?” Sambut Nek Nab sambil matanya mengarah ke bahagian kaki Tuan Aliyes.

            Tuan Aliyes turut membuang pandang ke arah yang sama. Tatkala terpandangkan sandal putih bertumit tebal dengan sekuntum bunga besar di atasnya, dia tersenyum sumbing.

            “Eh, sandal Yatt!.” Kata Tuan Aliyes sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

            “Umur dah dekat separuh abad, perangai macam budak-budak lagi, makin lama makin nyanyuk.” Bebel Nek Nab seraya berlalu keluar.

            “Eh mak ni, kita pulak dibebelnya.” Rungut Tuan Aliyes.

            “Eh, yang kamu tercegat lagi tu kenapa?, pergi panggil bini kamu tu, kita nak cepat ni, nanti tertunggu-tunggu pulak Si Jamaliah tu.” Kata Nek Nab lagi.

            “Yelah mak.” Sambut Tuan Aliyes seraya berlalu ke dalam bagi mendapatkan Puan Yati. Sikap cemerkap Tuan Aliyes seringkali membuatkan dirinya dilayan seperti anak kecil oleh ibunya itu. Untung sahaja isterinya juga “sporting’, jika tidak pasti berantakan rumah tangga mereka lantaran sifatnya itu.



“Dina runsing?” Soal Jamaliah tatkala terlihat Hannah Irdina termenung jauh melangkaui skrin televisyen dihadapan.

            Hannah Irdina hanya mengangguk.

            “Apa yang nak dirunsingkan, keluarga Nek Nab cuma nak cepatkan majlis aje, tak perlu bertunang, terus kahwin. Kan lebih mudah macam tu.” Kata Jamaliah lembut. Dia tahu anak daranya itu susah hati memikirkan majlis yang akan berlansung dua minggu lagi. Baru dua hari lepas, keluarga Nek Nab datang untuk berbincang dengannya tentang hal itu.

            “Dina rasa macam belum bersedia la bu.” Ujar Hannah Irdina.

            “Insyaallah bila tiba masanya, Dina pasti akan bersedia. Ibu dulu pun macam tu juga, masa mula-mula ayah masuk meminang, ibu rasa macam belum bersedia tapi bila dah lepas akad nikah, ibu redha dengan jodoh ibu. Dan ibu tak pernah menyesal. Buktinya, ibu dapat Dina.” Sambung Jamaliah sambil memandang wajah Hannah Irdina dengan pandangan redup. Seboleh-bolehnya dia mahu anak gadisnya itu lebih tenang dalam menghadapi semua itu.

            “Terima kasih bu, lega sikit Dina dengar ibu cakap macam tu.” Sahut Hannah Irdina sambil tersenyum kepada Jamaliah. Sedikit sebanyak, kata-kata ibunya itu menghantar rasa tenang dihatinya.



Hannah Irdina memandang Ashraf yang segak berbaju melayu berwarna krim lengkap dengan songkok hitam dan juga samping hitam bersulam benang berwarna emas. Lelaki itu sedang berdiri dihadapannya yang juga anggun dengan persalinan kurung moden dari jenis dan warna kain yang sama.

            Baru beberapa minit yang lalu dia sah menjadi isteri kepada lelaki itu. Sungguh dia tidak sangka waktu itu tiba juga akhirnya. Dalam pada dia masih keliru dengan keputusannya, Ashraf kini sudahpun menjadi suaminya. Suami yang diharapkan boleh membimbing dirinya. Walaupun komunikasi diantara mereka jarang terjadi, namun Hannah Irdina berharap agar rumahtangga yang dibina itu membawa seribu kebaikan.

            Terkejut Hannah Irdina saat Ashraf menarik jemarinya untuk disarungkan cincin. Bagai dipukau, Hannah Irdina hanya membiarkan Ashraf menyarung masuk sebentuk cincin bertatahkan permata putih ke jari manisnya.

            Hannah Irdina kemudiannya menyalami tangan Ashraf lalu mengucupnya lembut. Syahdu rasa hatinya ketika itu. Dan sekali lagi Hannah Irdina tersentak apabila Ashraf mengucup lembut dahinya. Tersentuh hatinya. Redup pandangan mata lelaki itu memanah tepat ke dalam anak matanya. Hilang kedinginan dan keegoan yang menghiasi wajah lelaki itu selama ini.

            Beberapa jurugambar yang sedari tadi tidak putus-putus merakamkan peristiwa itu sibuk mengarahkan kedua-duanya supaya membuat ‘posing’. Hannah Irdina hanya menurut sahaja arahan jurugambar. Terasa janggal pula apabila berada dekat dengan tubuh Ashraf. Terasa ada satu getaran halus yang meresap ke dalam jiwanya saat tubuhnya dan tubuh Ashraf bersatu apabila diminta berbuat demikian oleh jurugambar.

            Lelaki itu juga dilihatnya cukup ‘sporting’ dan memberi kerjasama. Satu lagi sisi Ashraf yang dia tidak kenal. Memang tidak dinafikan dia belum kenal rapat dengan lelaki itu. dan dia nekad, mulai saat itu, dia akan belajar mengenali Ashraf dengan lebih dekat…….

Bersambung....
harap semua enjoy :)

Tuesday 24 July 2012

Bidding Girl Part 5

Jom baca sambungannya..harap semua enjoy :)


Ashraf pantas mengeluarkan telefon bimbit dari poket jeansnya. Setelah mendail beberapa nombor, dia menunggu panggilannya bersambut.

            “Hello.” Kata Ashraf laju sejurus panggilannya bersambut.

            Yo bro, whats up?” Sahut suara dihujung talian.

            “Zack, aku nak minta tolong.” Kata Ashraf lagi.

            “Tolong apa?” Soal lelaki bernama Zack itu.

            “Hantar orang pada aku.” Jawab Ashraf pendek.

            “Berapa orang?, kat mana?.” Soal Zack lagi.

            Lima orang, kat jalan Pudu.” Terang Ashraf lagi.

            okey, roger.” Sambut Zack lalu mematikan talian.

            Ashraf membuang pandang ke arah van yang melarikan Hannah Irdina hampir tiga jam yang lalu. Untung dia mengekori Hannah Irdina awal malam tadi semasa gadis itu bertindak melarikan diri darinya semasa di hadapan klinik tadi. Apabila ternampak Hannah Irdina ditarik masuk ke dalam van itu, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku, namun untuk dia terus menyerbu dan menyelamatkan Hannah Irdina pada ketika itu, dia rasakan keputusannya itu kurang bijak.

 Lantaran itu apabila dia tiba di jalan Pudu, dia bertindak meminta pertolongan Zack. Untung sahaja Hannah Irdina di bawa ke situ, sekurang-kurangnya kawan-kawannya ramai di kawasan itu. Jika di tempat lain, memang dia akan bersendirian berhadapan dengan lelaki-lelaki yang menculik Hannah Irdina.

Ashraf keluar dari kereta apabila dia lihat dua orang dari lelaki tadi keluar dari perut Van untuk menghisap rokok. Perlahan-lahan kakinya diatur melangkah menghampiri lelaki-lelaki tadi.

“Aku rasa korang terambil barang aku.” Kata Ashraf sejurus dia berdiri berhadapan dengan lelaki-lelaki yang menghisap rokok itu.

Lelaki-lelaki itu terkejut dengan kehadiran Ashraf, mata kedua-duanya pantas meneliti wajah Ashraf dan memandang Ashraf dari hujung rambut ke hujung kaki. Mereka kemudiannya hanya tersenyum sinis tanpa membalas kata-kata Ashraf.

“Perempuan tu aku punya.” Kata Ashraf lagi setelah kata-katanya tadi dibiarkan sepi.

Berdekah-dekah kedua-dua lelaki itu mentertawakan Ashraf. Kelakar mendengar pengakuan Ashraf dan dalam masa yang sama menyindir Ashraf dengan tawa kuat itu.

Tiba-tiba terdengar satu suara menegur dari belakang Ashraf.

“Kenapa ni?” Soal Roziman tidak faham dengan situasi yang baru berlaku itu.

“Ni, ada orang gila mengaku perempuan abang tu, dia yang punya.” Jawab salah seorang lelaki yang sedang menghisap rokok tadi.

“Kau siapa?” Soal Roziman serius. Matanya tajam menikam wajah Ashraf.

“Perempuan yang kau culik tu,aku punya.” Ulang Ashraf kepada Roziman. Nada suaranya masih tenang.

“Kau gila ke apa?” Giliran Roziman menyoal Ashraf dengan soalan bernada sinis.

“Pulangkan dia pada aku.” Kata Ashraf tanpa mempedulikan soalan sinis Roziman.

“Baik kau berambus sebelum orang aku ni pukul kau!.” Arah Roziman tanpa mempedulikan permintaan Ashraf. Baginya, Ashraf hanyalah lelaki gila yang cuba mengganggu perancangannya, iaitu menjual Hannah Irdina untuk kali yang kedua!.

“Aku tak peduli, kalau korang sayangkan nyawa, pulangkan dia pada aku!.” Giliran Ashraf pula mengugut tegas.

Pecah ketawa Roziman mendengarkan ugutan Ashraf sebentar tadi. Dia kemudiannya berjalan menghampiri Ashraf, pantas tangannya dikepal dan dihayun tinggi, mahu menumbuk Ashraf namun belum sempat tangannya menyentuh wajah Ashraf, Ashraf sudahpun menepis tangannya terlebih dahulu, dan sebelum sempat dia mencerna apa yang berlaku, tangan Ashraf sudah terlebih dahulu hinggap di pipinya. Hampir rebah tubuhnya apabila penumbuk padu Ashraf hinggap di wajahnya.

Kedua-dua konco Roziman yang kaget, terus bertindak berjalan laju mendapatkan ketua mereka.

“Belasah budak tu!” Arah Roziman sambil mengusap-usap pipinya yang sakit.

Kedua-dua lelaki itu bertindak menghampiri Ashraf namun sebelum sempat mereka bertindak lanjut ke atas Ashraf, tubuh mereka terlebih dahulu rebah kerana dipukul bertalu-talu oleh beberapa orang lelaki tidak dikenali yang baru tiba di situ.

Tenaga dua orang pengikut Roziman itu tidak mampu menandingi tenaga lima orang lelaki yang menyerang mereka serentak. Hilang ikhtiar, mereka hanya membiarkan tubuh mereka dipukul sehingga lembik. Roziman juga tidak terkecuali. Dia turut dibelasah teruk.

Thanks guys.” Kata Ashraf sambil bersalaman dengan lelaki-lelaki yang dihantar oleh Zack tadi.

“No Problem, anytime bro..” Sahut salah seorang lelaki tadi seraya berlalu meninggalkan Ashraf.

Ashraf kemudiannya berjalan menuju ke keretanya, tempat duduk bersebelahan dengan tempat duduk pemandu direndahkan. Dia kemudiannya berjalan laju menuju ke van yang membawa Hannah Irdina tadi. Pantas pintu van ditolak kasar. Apabila ternampak tubuh Hannah Irdina terbaring tidak sedarkan diri, Ashraf bertindak mencempung tubuh gadis itu lalu dibawa masuk ke dalam keretanya, tubuh gadis itu dibaringkan ke tempat duduk di sebelahnya.



Ashraf terjaga dari tidur apabila Hannah Irdina yang berbaring di tempat duduk disebelahnya mengerak-gerakkan tubuh.

            “Awak!, awak buat apa pada saya?” Soal Hannah Irdina cemas. Pantas tangannya meraba-raba tubuhnya, ingin memastikan dia tidak diapa-apakan oleh Ashraf. Terkejut juga apabila terbangun, tiba-tiba dia berada dalam satu kereta dengan lelaki itu.

            Ashraf hanya mendiamkan diri tanpa menjawab persoalan Hannah Irdina. Lelaki itu kemudiannya keluar dari kereta lalu meregang-regangkan tubuhnya yang lenguh di hadapan kereta yang di parkirkan di tepi jalan sejurus menyelamatkan Hannah Irdina malam tadi.

            Hannah Irdina yang tidak berpuas hati terus meluru keluar. Apabila teringatkan kejadian malam tadi, dia tidak boleh mengelak dari bersangka buruk ke atas Ashraf. Kali pertama dia dijual oleh Roziman dahulu, lelaki itulah yang membelinya. Dan tidak mustahil juga semasa dia tidak sedarkan diri malam tadi, Roziman telah menjualnya semula kepada Ashraf.

            “Lelaki sial tu jual saya lagi?!” Soal Hannah Irdina kasar. Apabila terfikirkan Roziman dia jadi marah. Hatinya panas!.

            Ashraf masih mendiamkan diri tanpa mempedulikan kata-kata Hannah Irdina.

            “Awak ni bisu atau pekak?!” Soal Hannah Irdina sekali lagi. Kebisuan Ashraf menyebabkan dia naik angin. Sudahlah dia panas hati dengan Roziman, kini Ashraf pula diam apabila ditanya.

            Lelaki itu kemudiannya berpaling memandangnya.

            “Kalau jual pun, aku tak ingin beli, hutang yang ada pun kau tak mampu nak bayar, tak kan aku nak tanggung bayar untuk beli kau lagi.” Jawab lelaki itu sinis dan selamba.

“Habis tu macam mana saya boleh ada dalam kereta awak?!” Soal Hannah Irdina tidak puas hati.

“Habis tu kau nak aku biar kau kena rogol ngan jantan-jantan tu?” Soalan Hannah Irdina dibalas soalan kembali.

Hannah Irdina terdiam seketika. Pening kepala dia berfikir bagaimana dia boleh berada dalam kereta lelaki itu. Mungkinkah lelaki itu telah menyelamatkannya? Atau ada lagi permainan lelaki itu yang dia tidak tahu.

“Saya nak balik.” Arah Hannah Irdina pendek.

Ashraf tanpa banyak bicara terus masuk ke dalam kereta semula. Pantas tangannya menghidupkan kembali enjin kereta.

Hannah Irdina turut masuk ke dalam kereta. Dia yang masih curiga dengan Ashraf tidak dapat lari dari mengesyaki lelaki itu.

“Betul awak tak sentuh saya?” Soal Hannah Irdina sejurus membetulkan duduk, dia masih tidak puas hati.

Soalan Hannah Irdina itu menyebabkan Ashraf menjeling sekilas ke arahnya.

“Kau ada rasa pelik ke?” soal Ashraf kembali.

Sekali lagi bicara Hannah Irdina mati dengan pertanyaan lelaki itu. Memang dia tidak merasakan sebarang perubahan pada dirinya.

“Kalau aku nak apa-apakan kau, tak payah tunggu sampai malam tadi, lama dulu aku dah buat, masa aku ada peluang.” Sambung lelaki itu sinis.

Hannah Irdina terdiam. Kata-kata Ashraf memang berjaya mengunci bibirnya dari berbicara.



Nek Nab tergesa-gesa menuruni anak tangga apabila dia terdengar deruman kereta di halaman banglonya. Kakinya pantas diatur menuju ke pintu hadapan.

            “Raf, pergi mana sampai pagi baru balik?!” Soal Nek Nab cemas.

            Ashraf yang baru keluar dari pintu kereta hanya diam membisu.

            “Raf, nenek tanya ni, kamu bawa Dina ke mana sampai pagi baru balik?” Soal Nek Nab lagi sambil membuang pandang pada Hannah Irdina yang juga baru keluar dari kereta. Wajah lesu Hannah Irdina ditatap penuh prihatin. Hanya satu yang dia fikirkan; Ashraf telah melakukan sesuatu pada Hannah Irdina. Bukan dia tidak tahu dengan sikap Ashraf. Cucunya itu terlalu lepas laku.

            “Raf naik dulu, Raf penatlah nek.” Jawab Ashraf seraya berlalu. Soalan Nek Nab hanya dibiarkan tidak berjawab.

            Nek Nab hanya memerhatikan langkah laju Ashraf dengan rasa tidak puas hati. Dia tahu ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Ashraf dari pengetahuannya itu.

            “Dina, Dina ke mana dengan Raf sampai pagi baru balik?” Nek Nab beralih arah, kali ini pertanyaannya diajukan pula kepada Hannah Irdina. Dia tidak akan berpuas hati selagi kekusutan fikirannya tidak dirungkai dengan segera.

            Hannah Irdina turut terdiam. Dia tidak tahu bagaimana harus dia terang dan ceritakan pada Nek Nab. Untuk menipu dia tidak sampai hati, untuk berterus terang, dia juga bimbang, takut wanita tua itu lebih dirundung resah. Tambahan pula kejadian malam tadi berlaku rentetan kejadian Ashraf mencium bibirnya semasa di dalam kereta.

            “Dina, tolong cerita pada Nek Nab, apa dah jadi malam tadi sampai pagi ni baru balik, Nek Nab risau sangat, call Raf tak dapat, call Dina pun engaged je. Dina tahu tak Nek Nab ni risau macam nak gila, risau kalau apa-apa terjadi kat korang berdua, risau takut-takut Raf apa-apakan Dina.” Luah Nek Nab serius. Sebagai orang tua, dia tidak dapat lari dari merasa runsing akan kehilangan kedua-duanya malam tadi.

            Serba salah Hannah Irdina mendengarkan bicara Nek Nab. Tidak sampai hati dia mahu membiarkan hati tua itu semakin bimbang. Namun untuk menceritakan peristiwa sebenar dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan ceritanya. Haruskah dia menerangkan semua yang berlaku ke atasnya adalah berpunca dari kelakuan kurang ajar Ashraf.

            “Dina diculik.” Kata Hannah Irdina lambat-lambat. Setelah berfikir panjang, dia luahkan juga apa yang terjadi kepadanya malam tadi.

            “Apa!, kena culik?!” Soal Nek Nab terperanjat. Wajah Hannah Irdina ditenung lama, cuba mencari kebenaran kata-kata Hannah Irdina. Ingin dia pastikan yang Hannah Irdina tidak berseloroh dengannya.

            “Dina kena culik malam tadi, Ashraf yang tolong selamatkan Dina.” Terang Hannah Irdina lagi. Entah kenapa dia menjadikan Ashraf ‘hero’ di mata Nek Nab. Walhal kerana lelaki itulah dia diculik.

            “Astagfirullahalazim, macam mana boleh jadi macam tu?, kan semalam Dina pergi dengan Raf, kenapa sampai boleh kena culik pula?” Soal Nek Nab lagi. Dia masih belum faham sepenuhnya kronologi cerita yang disampaikan Hannah Irdina itu dan seboleh-bolehnya dia mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku, siapa yang terlibat dan yang paling dia ingin tahu ialah bagaimana dan apa puncanya perkara sebegitu boleh berlaku pada Hannah Irdina kerana setahunya Hannah Irdina pergi bertemankan Ashraf.

            Hannah Irdina terdiam sekali lagi. Bagaimana untuk dia terangkan yang semuanya berpunca daripada tindakan Ashraf menciumnya. Dek kerana rasa terhina diperlakukan begitu maka dia bertindak melarikan diri dari Ashraf sehingga membawa kepada peristiwa dia diculik.

            “Dina tolong ceritakan pada Nek Nab, macam mana Dina boleh kena culik, Nek Nab tak faham kalau Dina tak mahu ceritakan.” Kata Nek Nab dalam kenduran suara. Sedih hatinya apabila Hannah Irdina seolah-olah mahu merahsiakan sesuatu daripadanya. Sudahlah Ashraf juga bertindak mendiamkan diri, kini Hannah Irdina juga berat mulut untuk bercerita.

Nek Nab kemudiannya mengambil tempat di kerusi batu yang menghiasi halaman rumahnya. Lenguh dia berbicara dalam keadaan berdiri begitu. Sementara Hannah Irdina sudah berwajah keruh, dia turut mengambil tempat berhadapan dengan Nek Nab. Kata-kata Nek Nab menyebabkan dia tidak betah merahsiakan lagi hal itu daripada pengetahuan wanita tua itu.

“Dina lari dari Ashraf.” Terang Hannah Irdina pendek.

Nek Nab tersentak, kenapa pula Hannah Irdina melarikan diri dari Ashraf, apa yang telah dibuat oleh cucunya itu sehingga Hannah Irdina bertindak melarikan diri dari Ashraf. Sekali lagi kata-kata gadis itu mengundang rasa pelik dihatinya.

“Kenapa Dina lari dari Ashraf?” Soal Nek Nab ingin tahu.

“Ashraf….Ashraf cium Dina dalam kereta.” Jawab Hannah Irdina dalam kenduran suara. Tiba-tiba dia rasa sebak apabila teringat kembali perbuatan Ashraf kepadanya malam tadi.

“Astagfirullah budak ni!, apa nak jadi agaknya!” Sambut Nek Nab keras. Sakit hatinya mendengar luahan hati Hannah Irdina. Kata-kata Hannah Irdina itu sedikit pun tidak dia ragui kerana dia tahu cucunya itu memang selalu lepas laku, Cuma yang dia tidak sangka Ashraf tegar memusnahkan kepercayaan yang dia tanamkan buat cucunya itu. Tidak disangka harapkan pagar, pagar makan padi.

“Apa lagi yang dia buat pada Dina?” Soal Nek Nab lagi. Entah kenapa hatinya kuat mengatakan bukan itu sahaja yang Ashraf telah lakukan pada Hannah Irdina. Hati tuanya dapat membaca lebih dari itu.

“Petang semalam dia peluk Dina.” Terang Hannah Irdina lurus.

Sekali lagi penerangan Hannah Irdina menyebabkan Nek Nab beristigfar panjang.

“Dina baliklah dulu, nanti Nek Nab suruh Encik Razak hantar Dina balik. Pasal Ashraf biar Nek Nab uruskan, tahulah Nek Nab macam mana nak mengajar dia. Dina pulang dulu, nanti Nek Nab pergi jumpa ibu Dina, terangkan semuanya. Biar Nek Nab selesaikan dengan Ashraf dulu.” Kata Nek Nab seakan-akan mengikat janji dengan Hannah Irdina.

Hannah Irdina hanya mengangguk lemah. Dia kemudiannya melangkah lemah menuju ke bilik penginapannya lalu mengemas semula baju-bajunya untuk dibawa pulang.



“Betul kau buat macam tu?!” Soal Tuan Aliyes pada Ashraf. Keras suaranya saat soalan itu diajukan.

            Ashraf hanya diam di sofa tanpa menjawab soalan keras papanya.

            “Raf, jawab soalan papa tu!” Kali ini giliran Puan Yati pula bersuara tegas.

            “Raf suka-suka aje.” Jawab Ashraf selamba.

            “Suka kepala hotak kau!, kalau dan sentuh-sentuh anak dara orang, kau boleh cakap suka-suka?!, habis sekarang macam mana?. Kau ingat anak dara orang tu macam anak patung, kau nak peluk, kau nak cium pastu kau nak lupakan macam tu sahaja.” Kata Tuan Aliyes lagi. Memang panas hatinya mendengarkan jawapan anak lelakinya itu. Memang dari dulu anak bongsunya itu lebih banyak mendatangkan masalah dari menyenangkan hatinya.

            Sementara Nek Nab hanya menjadi pendengar dan pemerhati sahaja dalam perbicangan anak dan cucunya itu. Tiada niat dia mahu campur tangan, cukuplah dia sekadar mengetengahkan hal itu kepada anaknya; Tuan Aliyes. Selebihnya biar anaknya sendiri yang menyelesaikan dengan cucunya, Ashraf.

            “Habis sekarang Raf nak buat apa?!” Tanya Puan Yati pula, nadanya juga tegas seperti suaminya itu.

            “Nak buat apa, buat macam biasa aje la.” Sahut Ashraf tanpa ada rasa bersalah.

            “Apa nak jadi dengan kau ni?, lepas cabul anak orang, kau kata nak buat macam biasa. Kau ni fikir guna otak ke kepala lutut?” Ucap Tuan Aliyes dalam kenduran suara sambil mengurut-ngurut dadanya. Sakit hatinya mendengar jawapan selamba Ashraf.

            “Raf kena minta maaf dengan keluarga perempuan tu, jangan ingat lepas apa yang Raf dah buat pada dia, Raf nak lepas tangan macam tu aje. Jangan main-mainkan maruah anak dara orang!” Sekali lagi Puan Yati berhujah tegas.

            “Raf akan ambil dia buat isteri.” Kata Ashraf tiba-tiba.

            “Apa?!” Soal Tuan Aliyes, Puan Yati dan Nek Nab serentak. Terperanjat dengan kenyataan Ashraf yang tiba-tiba.

            “Raf akan kahwin dengan dia.” Jawab Ashraf seraya berlalu dan meninggalkan ketiga-tiganya yang masih terpinga-pinga.

            “Mak, mak dengar apa yang saya dengar?” Soal Tuan Aliyes dalam bingung.

            Nek Nab hanya membuang pandangan kosong kepada anak lelakinya itu tanpa suara. Dia sendiri tidak percaya dengan apa yang didengar oleh kedua-dua telinganya itu.

            “Betul Raf baru kata dia nak kahwin?” Soal Puan Yati pula, dia juga bingung.

            “Kalau itu yang dia nak. Mak rasa elok kita ikut aje.” Sahut Nek Nab, dia juga sebenarnya bingung. Tidak yakin dengan kata-katanya sendiri.

            “Raf tu bukannya serius mak, dia tu suka buat keputusan ikut kepala dia. Entah betul ke tidak otak dia masa cakap perkara tu.” Aliyes mempersoalkan semula kata-kata anak lelakinya itu. Memang dia tidak yakin dengan kenyataan Ashraf. Baginya, anak lelakinya itu selalu sahaja tidak serius dalam apa jua perkara. Apa yang dikata, dibuat semuanya bertentangan dengan apa yang sepatutnya. Disebabkan itu, dia tidak berapa yakin dengan kata-kata Ashraf.

            “Kamu ni Liyes, cuba cakap elok-elok sikit, Ashraf tu anak kamu.” Selar Nek Nab, tidak setuju bila anak lelakinya itu berkata-kata kasar begitu.

            “Maaf mak.” Jawab Tuan Aliyes, tersedar akan kekhilafannya menuturkan kata yang kurang sopan.

            “Mak, Yatt tak yakin la Raf tu nak kahwin, hal dia tu pun Yatt masih uruskan, inikan pula nak pegang status suami, ilmu agama pun cetek. Macam mana nak jadi suami yang baik.” Luah Puan Yati akan kegusaran hatinya. Memang dia tidak yakin akan kemampuan Ashraf yang kurang ilmu untuk menerajui sesebuah rumah tangga.

            “Nanti dia balik, kita tanyakan semula, kalau dia serius, biar mak yang aturkan segala-galanya. Mak pun tak nak perjudikan nasib anak orang ditangan dia.” Sahut Nek Nab. Kalau benar Ashraf serius dengan kata-katanya, dia sudah merancangkan sesuatu untuk cucunya itu. Tidak mungkin dia akan menyerahkan Hannah Irdina kepada Ashraf tanpa menyediakan Ashraf untuk menjadi suami yang bertanggungjawab terlebih dahulu.

            Tuan Aliyes dan Puan Yati hanya mengangguk tanda bersetuju. Apa jua cara yang dirasakan sesuai oleh Nek Nab, mereka hanya menurut sahaja. Tambahan pula mereka tahu, Ashraf memang lebih rapat dengan Nek Nab berbanding anak-anak mereka yang lain.



“Raf, duduk dulu.” Tegur Tuan Aliyes sejurus Ashraf masuk ke dalam rumah.

            Ashraf tanpa banyak bicara terus melabuhkan punggungnya di hadapan Tuan Aliyes, Puan Yati dan Nek Nab.

            “Raf serius pasal hal tadi?” Soal Nek Nab lembut. Sebelum Tuan Aliyes bertindak mengajukan soalan, dia sudah terlebih dahulu bertanya. Bimbang jika suasana akan menjadi tegang jika Tuan Aliyes yang mula bertanya dahulu.

            “Pasal hal apa?” Soal Ashraf acuh tak acuh.

            “Pasal…” belum sempat Tuan Aliyes bersuara tegas, Nek Nab sudahpun meletakkan tangannya di paha anak lelakinya itu. Mengisyaratkan kepada Tuan Aliyes supaya menyerahkan hal itu kepadanya untuk diselesaikan.

            “Pasal Raf nak kahwin dengan Dina.” Sambung Nek Nab.

            “Kenapa pasal tu?” Soal Ashraf sambil dengan selamba membuang pandang ke syiling rumah sambil melurut-lurut rambutnya yang tajam berceracak. Lansung dia tidak ambil kisah dengan kehadiran kedua-dua orang ibu bapanya itu.

            “Raf serius nak kahwin dengan Dina?” Soal Nek Nab lagi, lembut tuturnya. Ingin dia bawa perbincangan itu kepada sesuatu yang lebih bersifat tenang berbanding tegang.

            “Kan Raf dah bagitahu tadi, Raf akan ambil dia jadi isteri. Raf akan kahwin dengan dia. Mama dengan papa buat persiapan bertunang, Raf dah sedia.” Ucap Ashraf seraya bangun dan berlalu ke biliknya.

            Sekali lagi Tuan Aliyes dan Puan Yati tersentak. Serentak mereka mengurut-ngurut dahi yang berkerut. Benarkah apa yang mereka dengar itu, Ashraf serius mahu mengahwini Hannah Irdina!.


Pada pendapat anda, adakah Hannah Irdina akan terima lamaran tersebut dan apa harapan anda, adakah Hannah Irdina terima Ashraf ataupun tolak mentah2...hehe.jom kongsi jawapan...



Saturday 21 July 2012

Bidding Girl Part 4

Kepada yang meninggalkan komen, TERIMA KASIH DAUN KELADI, JANGAN LUPA KOMEN LAGI,hehe :)


Jamaliah membawa dulang berisi air milo panas ke tengah-tengah ruang tamu. Dia hanya memerhatikan Hannah Irdina yang kerapkali termenung semenjak pulang dari rumah Nek Nab awal pagi dua hari lepas. Melonjak-lonjak hati ibunya ingin mengorek rahsia hati satu-satunya anak gadisnya itu kerana hanya Hannah Irdina yang menjadi penyeri hidupnya setelah suaminya pergi dijemput illahi hampir sepuluh tahun yang lalu.

            “Dina fikirkan apa?. Daripada balik rumah Nek Nab hari tu, ibu tengok Dina selalu sangat termenung.” Soal Jamaliah prihatin.

            Soalan Jamaliah membuatkan Hannah Irdina tersentak. Pantas dia berpaling menghadap ibunya itu.

            “Takde apa-apalah bu, Dina cuma letih.” Dalih Hannah Irdina. Sejujurnya memang dia letih kerana tidak tidur malam pada hari kejadian dia dilarikan oleh Ashraf tetapi letihnya itu sudah beransur hilang. Namun hanya itu sahaja alasan yang kukuh yang boleh dia jadikan sandaran. Untuk menipu ibunya itu, dia tidak sampai hati.

            “Kalau letih, berehatlah. Tak payah tolong ibu buat kerja.” Sambut Jamaliah ringkas. Dia juga faham jika Hannah Irdina masih letih kerana menjadi tulang belakang Nek Nab semasa wanita tua itu menganjurkan majlis kenduri beberapa hari lepas.

            Hannah Irdina hanya membalas dengan senyuman nipis. Cawan berisi air milo yang dibawa ibunya sebentar tadi diraih dan dibawa ke bibir. Menghirup dua teguk lalu meletakkan semula ke dalam dulang.

            “Ibu nak ke pasar dengan Mak Long Zima kejap lagi, Dina nak ikut?” Lanjut Jamaliah.

            “Dina nak berehat je bu.” Jawab Hannah Irdina sambil menyambung menghirup air milo sehingga habis.

            Jamaliah kemudiannya mengangkat semula dulang yang terisi dengan cawan kosong itu untuk dibawa ke dapur.

            “Ibu..” panggil Hannah Irdina perlahan sejurus Jamaliah bangun dan berlalu.

            Jamaliah berpaling semula ke belakang sambil menatang dulang ditangan.

            “Kenapa?” Soal Jamaliah apabila dilihatnya Hannah Irdina masih diam.

            “Takde apa-apalah.” Jawab Hannah Irdina dalam kenduran suara. Tidak jadi meluahkan apa yang terbuku dihatinya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia ceritakan apa yang berlaku kepada ibunya namun dia tidak sampai hati. Dia tidak mahu ibunya itu bimbang.

            Jamaliah berlalu sambil menggeleng-gelengkan kepala. Tidak faham dengan  sikap anak daranya itu.



“Apa perancangan kau lepas ni Dina?” Soal Ziana sambil mencecah mempelam muda ke dalam gula yang dicampur kicap dan beberapa biji lada api merah.

            “Entahlah, aku ingat nak cari apa-apa kerja pun.” Jawab Hannah Irdina sambil meniru perlakuan Ziana.

            “Aku cadang nak pergi Johor, rumah abang aku,boleh cari kerja kat sana. Kerja kilang pun jadilah.” Kata Ziana lagi.

            Hannah Irdina mengeluh. Ziana sudahpun ada perancangannya sendiri.sedangkan dia masih lagi menimbang-nimbang akan langkah seterusnya yang harus diambil. Teringat kejadian dia di jual semasa cuba mendapatkan kerja beberapa bulan lepas membuatkan dia rasa takut untuk mengulangi perkara tersebut. Rasanya lebih selamat jika dia terus tinggal bersama ibunya sahaja. Mencari pekerjaan dikawasan dekat-dekat sahaja.

            “Kau nak ikut aku?” Soal Ziana sambil meneruskan makannya.

            Hannah Irdina tersentak dari lamunannya tadi.

            “Aku rasa aku malas la.” Dalih Hannah Irdina. Sejujurnya dia sebenarnya takut mahu mengulangi semua itu kembali. Bimbang perkara yang pernah berlaku kepadanya akan berlaku lagi. Bukan dia tidak percayakan Ziana, tetapi dia takut bernasib malang untuk kali kedua. Kan malang itu tidak berbau!.

            “Kalau jadi, minggu depan aku pergi.” Sambung Ziana.

            “Aku doakan kau berjaya dapat kerja.” Sahut Hannah Irdina.

            Semenjak habis belajar lima bulan yang lalu, begitulah dia menghabiskan masanya. Samaada berkunjung ke rumah Nek Nab, membantu ibunya ataupun meluangkan masa bersama Ziana seperti itu.

            Teringatkan malang yang menimpanya kali terakhir dia cuba mencari kerja menjadikan dia serik untuk mencuba nasib untuk kali yang kedua.



“Dina, tadi Nek Nab telefon, dia kata minta Dina pergi teman dia malam ni.” Kata Jamaliah sambil menyusun atur beberapa barangan basah yang dibeli tadi ke dalam peti sejuk.

            Hannah Irdina berhenti dari membasuh pinggan untuk seketika. Kalau diikutkan kata nek Nab beberapa hari lalu dalam telefon, cucunya Ashraf akan bertandang pada hujung mingggu itu. Tiba-tiba ibunya pula memaklumkan yang wanita tua itu turut mahukan dia meneman pada hujung minggu begitu. Kalau Ashraf sudah ada bersama, untuk apa lagi dia datang meneman. Tambahan pula, dia tidak pernah selesa bila berhadapan dengan Ashraf.

            Teringatkan pertemuan mereka kali terakhir dulu, dia sudah tidak mahu bertemu lagi dengan lelaki itu. Nasibnya sudah cukup baik bila lelaki itu bertindak melepaskannya tanpa mengapa-apakan dirinya. Kini bila terpaksa bertemu semula, tentu sahaja lelaki itu akan kembali menuntut janji.

            “Hari tu Nek Nab kata cucu dia nak datang, kenapa pula nak minta Dina teman pula bu?” Soal Dina sambil meneruskan membasuh pinggan. Entah kenapa dia bertindak mengajukan soalan itu kepada ibunya. Mungkin juga kerana dia sendiri pelik dengan permintaan Nek Nab itu.

            “Entahlah, agaknya adala nak minta Dina tolong dia apa-apa kot.” Jawab Jamaliah tanpa ada rasa curiga dalam hatinya.

            “Hah, hari ni Dina masaklah ye, ibu nak pergi makan kenduri.” Kata Jamaliah tiba-tiba. Teringat yang dia telah berjanji dengan Zaiton sebelah rumah untuk sama-sama pergi makan kenduri.

            “Kenduri rumah siapa pula bu?” Soal Hannah Irdina pelik. Seingatnya tiada pula ibunya itu pergi membantu merewang di rumah kenduri.

            “Rumah arwah Pakcik Rahman, isteri dia buat kenduri tunang anak perempuan dia yang baru habis maktab tu.” Terang Jamaliah.

            ‘Yang sebaya Dina tu ke bu?, cepatnya dia nak tunang.” Tanya Hannah Irdina lagi.

            “yelah, dia tu dah gerenti dapat kerja, sebab tu cepat bertunang, lagipun bakal suami dia tu pun cikgu. Sebab tu Makcik Hasnah tu terima je.” Sambung Jamaliah lagi.

            “Untunglah dia bu.” Luah Hannah Irdina.

            “Eh, kamu ni macam terkilan pula, kenapa?, kamu pun dah tak sabar nak bertunang ke?” Usik Jamaliah apabila terdengar keluhan anak gadisnya itu.

            “Eh ibu ni, ke situ pula dia, Dina bukan cemburu dia dah tunang, tapi Dina cemburu sebab masa depan dia dah terjamin, tak macam Dina ni. Entah dapat kerja ke tak.” Keluh Hannah Irdina.

            “Kamu ni jangan la merungut macam tu, Allah tak suka. Yang penting berusaha dan berdoa, rezeki Allah tu ada di mana-mana, yang penting kita je yang kena rajin cari. Ibu percaya Dina pun akan dapat kerja juga macam anak Makcik Hasnah.” Kata Jamaliah sekadar mahu mengingatkan Hannah Irdina supaya tidak berputus asa.

            Hannah Irdina mengesat tangan pada tuala setelah selesai membasuh pinggan, memang kata-kata ibunya itu tidak dapat dia nafikan, bumi Allah ini memang bertebaran pelbagai jenis pekerjaan dan tiada halangan kepada sesiapapun yang ingin mendapatkannya cuma dia sendiri tidak tahu dan tidak pasti apa yang terbentang dihadapan untuknya nanti.



Terkejut Hannah Irdina apabila tersedar Ashraf sudahpun berdiri rapat dibelakangnya tatkala dia sedang leka membasuh pinggan sebentar tadi. Entah bila lelaki itu sampai, dia pun tidak sedar.

            “Kenapa, takut?” Soal Ashraf selamba sambil mengambil tempat di salah satu kerusi di kaunter pulau sambil memandang tepat ke arah Hannah Irdina yang baru mula mengelap dapur yang kotor dengan kesan minyak usai membasuh pinggan seketika tadi.

            “Awak ada mahu apa-apa?” Soal Hannah Irdina tanpa mempedulikan soalan Ashraf sebentar tadi. Memang dia sudah membulat tekad akan berhadapan dengan apa jua kerenah Ashraf sebelum dia berkunjung ke situ tadi.

            “Aku nak kau.” Selamba jawapan Ashraf. Rokok dari poket jeansnya dikeluarkan lalu sebatang darinya ditarik perlahan lalu diselit ke bibirnya. Pantas tangannya mengeluarkan lighter dari poket yang satu lagi dan dicucuhkan api ke hujung rokok.

            Hannah Irdina ingin berlalu apabila kata-kata Ashraf sudah berbaur ugutan kepadanya. Tidak mahu dia berlama di situ, mendengarkan kata-kata mengarut dari mulut Ashraf. Pantas kakinya melangkah mahu meninggalkan Ashraf.

            “Aku belum habis.” Kata Ashraf sambil menangkap pergelangan tangan Hannah Irdina yang baharu jalan melepasinya.

            “Apa awak ni!.” Kata Hannah Irdina kasar sambil merentap tangannya. Namun tangan Ashraf lebih kemas memegang tangannya.

            “Cepat sangat kau lupakan budi aku kan. Kau dah cukup bernasib baik aku lepaskan kau hari tu, jadi jangan nak berlagak sombong sangat. Aku boleh buat lebih dari yang kau sangka, jangan sebab aku lepaskan kau sekali, kau ingat kau dah selamat dari aku, kau masih berhutang dengan aku. Ingat tu!.” Kata Ashraf tegas. Dia bingkas bangun dan berdiri dihadapan Hannah Irdina. Asap rokoknya dihembus ke muka Hannah Irdina dalam senyuman sinis.

            Hannah Irdina yang terkejut dengan tindakan Ashraf menjeling tajam ke arah lelaki itu. Tindakan Ashraf itu memang mencabar kesabarannya. Walaupun dia berhutang dengan lelaki itu, namun untuk diperlakukan begitu, dia rasa dia tidak layak. Kerana rasa kurang sabarnya, Hannah Irdina mengangkat tinggi tangannya, ingin dia menampar wajah Ashraf yang cukup kurang ajar itu. Pantas dihayunkan tangannya sehingga hampir menyentuh pipi Ashraf namun lelaki itu lebih cepat menangkap pergelangan tangannya.

            “Tangan lembut ni jangan jadikannya kasar dengan menampar orang!” kata Ashraf sinis.

            Hannah Irdina yang tergamam dengan tindakan Ashraf bertindak menarik tangannya semula. Namun semakin kuat dia menarik, semakin kuat juga Ashraf memegang. Lelaki itu kemudiannya mencium tangan Hannah Irdina dan ditekap lama ke bibirnya. Sebelah tangannya yang lain masih memegang kemas rokok yang masih belum habis dihisap.

            Hannah Irdina terkedu, belakang tangannya yang berlaga dengan bibir lelaki itu terasa kurang selesa apabila kumis nipis di atas bibir lelaki itu terasa tajam mencucuk-cucuk belakang tangannya itu.

            “Tangan yang halus ni kan bagus kalau digunakan untuk membelai orang.” Kata Ashraf lagi sambil kembali menyelitkan rokok dibibirnya. Dia kemudiannya, menarik sebelah lagi tangan Hannah Irdina sehingga gadis itu terpeluk tubuhnya.

            Pantas Ashraf memeluk erat tubuh Hannah Irdina.

            Hannah Irdina yang takut dengan tindakan Ashraf pantas meronta-ronta ingin melepaskan dirinya. Namun semakin dia meronta, semakin erat Ashraf memeluknya.

Hannah Irdina berasa terhina, tindakan Ashraf benar-benar membuatkan dia rasa terlalu murah dimata lelaki itu. Dimanakah Nek Nab saat lelaki itu memperlakukan dirinya sewenang-wenangnya.

            Kan bagus kalau macam ni.” Kata Ashraf selepas rontaan Hannah Irdina mati. Dia kemudiannya melepaskan tubuh Hannah Irdina perlahan-lahan.

            Sejurus dilepaskan, Hannah Irdina berlari pantas menuju ke bilik persinggahannya. Air matanya terasa murah mengalir di pipi. Tidak tahu apa perasaannya ketika itu, yang dia pasti, dia bencikan Ashraf, cukup bencikan lelaki itu kerana melayannya begitu. Pasang surutnya sikap Ashraf menyebabkan dia hanya mampu menanam perasaan benci yang tidak bertepi terhadap lelaki itu.



Ketukan bertalu-talu dipintu bilik menyebabkan Hannah Irdina terjaga dari tidurnya. Pantas jemarinya menggosok-gosok matanya yang kabur. Dia kemudiannya mencapai tudung dibirai katil lalu menyarungkan ke kepala lalu berjalan perlahan menuju ke arah pintu. Sejurus pintu dibuka, muncul Nek Nab di muka pintu.

            “Dina, kenapa tak turun minum petang tadi?” Soal Nek Nab sambil merenung wajah Hannah Irdina yang sembab.

            “Dina tak sihat?” Soal Nek Nab lagi.

            Hannah Irdina hanya mengangguk, sengaja dia tidak mahu menceritakan kepada Nek Nab tentang buruknya perangai cucu wanita itu. Kalau Nek Nab tahu akan sikap Ashraf yang kurang ajar itu, pasti hati wanita itu akan terguris. Dia juga tidak mahu memanjang-manjangkan perkara itu. Selagi dia masih selamat, tidak perlulah dia kecoh-kecoh akan hal itu. Namun sampai bila dia mahu menanggapi sikap tidak menentu Ashraf, sekali dua mungkin dia boleh terlepas, kalau lain kali, siapa tahu nasib yang menantinya, silap-silap haribulan dia akan jatuh juga ke tangan lelaki itu. Mengenangkan itu semua, tanpa sedar Hannah Irdina mengeluh.

            “Kalau Dina tak sihat, nanti Nek Nab suruh Ashraf hantarkan ke klinik.” Saran Nek Nab tanpa mengesyaki apa-apa.

            “Eh tak payahlah Nek Nab, Dina sihat, cuma pening kepala je sikit.” Dalih Hannah Irdina. Kasihan dia lihat Nek Nab, pasti dia tidak menyangka punca semuanya adalah dari cucunya sendiri.

            “Tak elok kalau dibiarkan, takut melarat pula.” Sahut Nek Nab seraya berlalu.

            Sekali lagi Hannah Irdina mengeluh, belumpun dia sempat mahu memberikan alasan, Nek Nab sudahpun menghilang. Entah apalah yang akan dikhabarkan kepada cucunya itu. Bimbang pula jika Nek Nab berkeras mahu dia ke klinik bersama Ashraf. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu terus berhubung dengan lelaki itu. Sudah serik dilayan sewenag-wenangnya oleh lelaki itu tadi.



Hannah Irdina membuang pandang keluar tingkap. Perkara yang dibimbangi itu terjadi juga, Nek Nab memaksa dia ke klinik bersama Ashraf. Penyudahnya dia hanya menurut kerana wanita tua itu berkeras mahu dia membuat pemeriksaan lanjut.

            “Aku baru peluk, kau dah demam.” Kata Ashraf sambil tersenyum sinis.

            Hannah Irdina hanya diam membatu. Masih sebal dengan perbuatan lelaki itu, inikan pula bila lelaki itu mula membangkitkan semula hal itu. Bertambah sebal hatinya.

            “Agaknya kalau aku cium, kau mesti pengsan berhari-hari.” Sambung lelaki itu selamba.

            “Awak jangan kurang ajar!” Kata Hannah Irdina tanpa berpaling. Memang bicara lelaki itu kedengaran seperti lelaki itu memperlekehkannya, memijak-mijak maruahnya.

            “Siapa yang kurang ajar, aku atau kau?” Soal lelaki itu sinis.

            “Kalau sentuh perempuan tanpa rela tu boleh dikatakan sopan, tentu sahaja saya yang kurang ajar sebab cuba tolak awak!” Selar Hannah Irdina sinis. Memulang paku buah keras kepada lelaki itu.

            ha ha ha…” Pecah ketawa Ashraf mendengarkan kata-kata Hannah Irdina. Gamat kereta dengan ketawa besar lelaki itu.

            “Kalau aku sentuh kau, aku ambil buat isteri.” Balas lelaki itu selepas tawanya berhenti.

            “Kalau dah pupus lelaki dalam dunia ni pun, belum tentu saya akan pilih awak buat suami!” Balas Hannah Irdina sinis. Sengaja dia mahu membakar lelaki disebelahnya itu. Marahnya dengan kejadian petang tadi masih bersisa.

            Ashraf terdiam. Tidak pernah lagi ada wanita yang berbicara begitu dengannya. Entah kenapa dia rasa tercabar.

            “Siapa kata kau yang akan pilih aku, mungkin aku yang akan pilih kau!” Jawab lelaki itu lagi. Kata-kata Hannah Irdina tadi memang benar-benar membuatkan dia rasa tercabar. Belum pernah ada perempuan yang mencabarnya begitu. Hannah Irdina yang pertama, dan mungkin juga yang terakhir kerana dia akan pastikan tiada lagi perempuan yang berani berkata-kata begitu terhadapnya.

            “Seseorang kena buatkan saya gila dulu sebelum saya buat keputusan terima awak!” sahut Hannah Irdina tegas. Entah kenapa walaupun dia sudah mengesan ketegangan suara lelaki itu tetapi dia masih mahu mencabar. Lupa sebentar yang dia sebenarnya sedang bermain dengan api.

            Kata-kata Hannah Irdina memang berjaya memercikkan api kemarahan lelaki itu. Pantas Ashraf memberhentikan keretanya di tepi jalan. Panas hatinya menanggapi kata-kata berunsur hinaan daripada bibir Hannah Irdina.

            “Kau ni memang suka mencabar kan?” Kata Ashraf sejurus mematikan enjin kereta. Dia kemudiannya berpaling menghadap Hannah Irdina yang diam membisu disebelahnya.

            Sementara Hannah Irdina masih belum mampu mencerna sepenuhnya apa yang berlaku, hatinya turut dibakar dengan rasa marah terhadap Ashraf.

            “Tak perlu orang lain, aku sendiri akan buatkan kau gila!” Kata Ashraf tegas sambil menarik tubuh Hannah Irdina dekat dengan tubuhnya.

            “Awak nak buat apa ni?” Tanya Hannah Irdina cemas, tangan Ashraf sudah kemas memaut tubuhnya.

            “Jangan buat yang bukan-bukan atau saya menjerit!” Kata Hannah Irdina kuat. Namun sejurus dia habis menuturkan ayat itu bibirnya dipaut kasar.

            Hannah Irdina meronta-ronta ingin melepaskan diri namun tangan sasa Ashraf kuat memaut bahunya dari berganjak.

            Beberapa minit meronta, akhirnya Ashraf melepaskan bibirnya. Terasa ada air mata yang bergenang ditubir matanya. Sekali lagi lelaki itu bertindak kurang ajar kepadanya. Memijak-mijak maruahnya sesuka hati. Sekali lagi tangannya diangkat tinggi, ingin dilayangkan ke pipi lelaki itu namun belumpun sempat dia melakukannya, tangan Ashraf lebih cepat menangkap tangannya.

            “Ini yang akan aku buat setiap kali kau cabar aku, faham!” Kata Ashraf tegas seraya kembali membawa keretanya ke jalan raya.

            Sementara Hannah Irdina sudah mula mengalirkan air mata. Lama dia berkeadaan begitu sementara lelaki itu hanya membiarkan dia menangis. Tiba di hadapan sebuah klinik swasta kecil, Ashraf memberhentikan kereta dan membuka autolock keretanya.

            Hannah Irdina tanpa banyak bicara terus turun dan berlari keluar. Sudah dia tidak pedulikan apa yang berlaku pada waktu itu. Yang dia tahu, dia mahu melarikan diri dari lelaki jahat itu. Langkah kakinya pantas dihayun tanpa dia mahu menoleh lagi. Jeritan Ashraf memanggil-manggil namanya sudah tidak dipedulikan lagi. Sesungguhnya dia benci, Benci kepada lelaki yang bernama Ashraf itu!.

            Hampir lima belas minit berlari, Hannah Irdina tiba di tengah-tengah jalan diantara rumahnya dan juga rumah Nek Nab. Dia mengambil keputusan untuk terus balik ke rumah. Mengenangkan apa yang Ashraf lakukan padanya tadi, dia tidak betah untuk bertemu muka dengan lelaki itu lagi. Hatinya sakit dengan perlakuan Ashraf, terang lagi bersuluh yang lelaki itu terlalu lepas laku, terlalu memperlekehkan agama dengan memperlakukan dirinya begitu. Sejujurnya dia kecewa dengan semua itu.

            Hannah Irdina berjalan perlahan apabila dia rasakan kakinya sudah lenguh kerana berlari sebentar tadi. Dalam samar malam dia mengesat air matanya yang mengalir dan mengaburi pandangannya. Sedih hatinya ketika itu apabila terkenang kembali perbuatan Ashraf di dalam kereta tadi. Sungguh dia rasa terhina!.

            Leka melayani perasaan sendiri, Hannah Irdina tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran sebiji van yang berhenti dihadapannya secara mengejut. Sebelum sempat dia mencerna apa yang sedang berlaku ke atasnya, dia terasa tubuhnya dipaut dari belakang dan diheret masuk ke dalam perut van, belum sempat dia menjerit, terasa ada tangan kasar yang menekup mulutnya dengan kain yang basah. Tatkala dia terpandangkan wajah yang sedang tersenyum sinis memandangnya, Hannah Irdina hampir tidak percaya, Roziman!. Hannah Irdina rasakan pandangannya semakin kabur dan dia terkulai tidak sedarkan diri.

Bersambung.... :)