Thursday, 24 May 2012

CINTAI AKU PART 2

Disebabkan ada yang sudah bertanya tentang n3 CA ni, jadi cik tulip masukkan dulu part 2 ni.lps ni akan n3 part 3-part last..cadangnya nak habiskan dulu baru publish n3 kali ni tp tak sempat nk habiskan..harap enjoy ngan n3 kali ni :)

“Kalau mak long tak percaya, boleh tanya Raz sendiri. Dia yang kata dia tak bahagia dengan perkahwinan tu. Dia pun tak pernah jalankan tanggungjawab dia sebagai suami. Kalau mak long nak kan kepastian, mak long tanya la Raz tapi mak long jangan pula bagitahu Muni yang bagitahu sebab Muni bukannya apa, Muni cuma kasihankan Dhia je.” Terang Tengku Munira panjang lebar. Melihatkan riak muka Tengku Asiah itu dia sudah dapat menjangkakan bahawa wanita itu tidak berpuas hati dengan kata-katanya tadi.

            Puas hatinya dapat mengkhabarkan berita itu. Memang dia sakit hati apabila Tengku Raziq dikahwinkan dengan Dhia Nabila kerana antara dirinya dan Tengku Raziq sudah lama terjalinnya ikatan hati namun hubungan mereka itu hanya berjalan dalam sembunyi-sembunyi. Hanya mereka sahaja yang tahu.

            “Macamana pula Muni boleh tahu tentang hal ni?” Soal Tengku Asiah pelik. Memang dia tahu Tengku Raziq benci akan perkahwinan yang dia aturkan namun bagaimana pula Tengku Munira juga tahu akan hal itu. Tidak mungkin tengku Raziq yang menceritakan hal rumahtangganya kepada orang luar.

            “Raz yang cerita pada Muni.” Terang Tengku Munira ringkas. Harapannya supaya kata-katanya itu akan membawa ibu saudaranya itu berfikir. Hubungan yang dijalin antara Tengku Raziq dan Dhia Nabila itu tidak akan ke mana-mana. Kalau kena pada caranya, tentu sahaja Tengku Asiah akan mempertimbangkan semula perihal hubungan Tengku Raziq dan Dhia Nabila itu. lagi cepat hubungan itu putus, lebih bagus kerana dia pula akan menggantikan tempat Dhia Nabila. Walaupun selama ini hubungan dia dan Tengku Raziq hanya berlaku secara sembunyi-sembunyi, namun selepas hal diantara Dhia Nabila dan Tengku Raziq selesai, dia akan berterus terang. Terasa kesal pula kerana selama ini dia menghalang Tengku Raziq daripada mendedahkan hubungan mereka. Dia bukan tidak mahu semua ahli keluarga tahu tentang hubungan itu cuma dia masih belum bersedia. Namun apabila tiba-tiba sahaja Tengku Raziq dikahwinkan dengan Dhia Nabila, baru dia rasa menyesal kerana lambat bertindak.

            “Kalau macam tu, nanti mak long berbincang dengan Raz.” Kata Tengku Asiah pendek. Dia sebenarnya panas hati juga apabila perkara yang sampai di telinganya itu dikhabarkan oleh orang luar. Tidak menyangka bahawa Tengku Raziq sampai menceritakan hal rumahtangganya bersama Tengku Munira. Memang dia tahu Tengku Raziq dan Tengku Munira rapat tetapi dia juga tidak bersetuju bila kisah keluarganya itu dijaja-jaja begitu terutamanya apabila yang menjaja cerita itu ialah Tengku Munira, anak buah yang sememangnya mulut murai. Hari ini mungkin dia sahaja yang tahu, tidak mustahil hari-hari yang berikutnya, seluruh keluarga mereka akan tahu hal itu.

            Tengku Munira tersenyum manis mendengarkan kata-kata Tengku Asiah. Pasti selepas ini Tengku Asiah akan meminta Tengku Raziq dan Dhia Nabila bercerai. Dia amat pasti akan hal itu. Melalui reaksi yang terlukis di wajah ibu saudaranya itu tadi, dia tahu Tengku Asiah tidak berpuas hati dengan berita yang dia sampaikan.





Tengku Raziq bergegas naik mendaki anak-anak tangga kecil banglo tiga tingkat itu. Hatinya panas dengan kata-kata yang baru di luahkan oleh ibunya, Tengku Asiah.  Tiada orang lain yang bermain-main di kepalanya saat itu. Tentu sahaja Dhia Nabila yang bertanggungjawab ke atas semua itu. Pasti Dhia Nabila yang mengadukan hal itu kepada ibunya. Jika tidak masakan ibunya itu membangkitkan hal itu dihadapannya. Siapa lagi yang tahu tentang hubungan mereka melainkan Dhia Nabila dan dirinya sahaja. Jika ada orang asing yang tahu pun, hanya Tengku Munira sahaja. Hanya dengan sepupunya itu sahaja dia selalu meluah rasa. Itupun kerana diantara dirinya dan Tengku Munira, ada tersimpul ikatan hati.

            Tengku Raziq menguak kasar pintu bilik itu. Matanya meliar mencari kelibat Dhia Nabila sejurus pintu terbuka. Apabila terlihat Dhia Nabila baharu sahaja menyidai telekung di penyangkut, dia bergegas menghampiri Dhia Nabila.

            “Apa yang kau bagitahu mummy?” Soal Tengku Raziq kasar. Tubuh Dhia yang berdiri membelakanginya di tarik kasar sehingga berpaling menghadapnya.

            Dhia Nabila terkejut. Sejurus berpaling tiba-tiba sahaja tangan Tengku Raziq sudah hinggap di pipinya. Pijar dan pedih dia rasa saat itu. Wajah keruh Tengku Raziq ditenung dengan penuh tanda tanya. Apa pula kesalahannya kali ini. Tengku Raziq seringkali melayani dia begitu. Seringkali kasar apabila berhadapan dengannya. Jarang sekali tuturnya lembut, tingkahnya baik. Selalunya hanya baran yang dipamirkan oleh lelaki itu kepadanya.

            “Apa yang kau cakap, sampai mummy bising-bising.” Tengku Raziq sambung menyoal. Wajahnya memerah menahan marah. Wajah Dhia Nabila direnung tajam. Apabila teringat kembali kata-kata Tengku Asiah sebentar tadi, dia naik angin.

            Dhia Nabila hanya menundukkan wajah, memang itulah reaksinya setiap kali menanggapi baran Tengku Raziq. Tidak pernah sekalipun dia berani menentang mata Tengku Raziq tatkala lelaki itu diamuk rasa marah.

            “Kau dah bisu ke?” Soal tengku Raziq lagi. Entah kenapa setiap kali berhadapan dengan Dhia Nabila, dia jadi sakit hati. Dan kata-kata ibunya sebentar tadi, menambahkan sakit di hatinya.

            “Apa salah Dhia?” Soalan Tengku Raziq dibalas soalan kembali oleh Dhia Nabila.Sungguh dia tidak tahu apa kesalahan yang telah dia lakukan sehingga Tengku Raziq tegar menampar pipinya.

            “Dah tahu masih nak tanya lagi?” Soal Tengku Raziq sinis. Wajah Dhia Nabila yang tunduk memandang lantai dipandang tidak berkelip. Malam itu dia akan mengajar Dhia Nabila. Semakin lama, gadis itu sudah semakin berani. Berani mengadukan hal antara mereka kepada ibunya. Dan dia memang tidak suka dengan keberanian tidak bertempat Dhia Nabila itu.

            Sementara Dhia Nabila masih tertunduk lemah memandang lantai. Pedih dipipinya masih terasa. Pedih dihatinya sudah tidak dapat diceritakan lagi. Sudah jenuh air matanya menangis atas layanan dingin Tengku Raziq terhadapnya namun semenjak dia sedar hubungannya dengan Tengku Raziq tidak akan ke mana, dia sudah berhenti menangis. Tiada guna dia menghabiskan air mata kepada lelaki yang tidak pernah menginginkan dirinya itu.

            Melihatkan reaksi Dhia Nabila itu, Tengku Raziq bertambah naik angin. Hilang sabarnya menanggapi sikap Dhia Nabila yang satu itu. Pantas tangannya menarik kasar tangan Dhia Nabila ke arah katil.

            “Kau dah teringin sangat nak aku jalankan tanggungjawab kan?” Kata Tengku Raziq sejurus menghempas tubuh Dhia Nabila ke tilam.

            Sementara Dhia Nabila terpempan, terkejut dengan tindakan kasar Tengku Raziq itu. Dia mengengsot ke kepala katil apabila tersedar Tengku Raziq sudah mula memandangnya dengan pandangan yang sukar untuk dia mengertikan maksudnya.

            “Kenapa?, kau takut?” Soal Tengku Raziq sinis.

            Sementara air mata Dhia Nabila sudah mulai bergenangan di tubir mata. Takut dia melihat tingkah Tengku Raziq. Selama ini lelaki itu hanya berbicara kasar dengannya. Tidak pernah lagi dia melihat sikap Tengku Raziq begitu.

            “Bukan ke kau yang nak sangat aku jalankan tanggungjawab aku. Bukan ke kau yang mengadu kat mummy cakap aku tak jalankan tanggungjawab aku pada kau. So sekarang biar aku jalankan tanggungjawab aku yang aku abaikan tu.” Sambung Tengku Raziq sambil membuka butang-butang baju kemejanya. Dia belumpun sempat melepaskan lelah, Tengku Asiah sudah ‘menerangkan’ tentang tanggungjawabjawabnya kepada Dhia Nabila. Disebabkan itu dia naik angin. Berani sungguh Dhia Nabila mengadu perihalnya kepada Tengku Asiah. Tidak dia sangka Dhia Nabila yang nampak naïf itu boleh bertindak sejauh itu. Baru tiga bulan, Dhia Nabila sudah mula bertindak berani.

            Air mata Dhia Nabila bertambah mengalir laju apabila kata-kata kasar Tengku Raziq disapa telinganya. Mengadu apa. Sedangkan dia sendiri tidak faham dengan butir bicara yang dikatakan Tengku Raziq itu.

            “Kalau kau nak sangat aku jalankan tanggungjawab aku, malam ni juga aku bayar hutang aku tu!” Kasar kata-kata Tengku Raziq.

            Sementara air mata Dhia Nabila semakin melebat apabila Tengku Raziq bertindak naik ke katil dan menarik kasar tubuhnya. Apabila dia terbaring di atas tilam, tubuh Tengku Raziq pantas menindih tubuhnya sehingga menyebabkan dia tidak mampu untuk kembali bangun.

            “Tolong jangan buat Dhia macam ni, apa salah Dhia pada Tengku..” Rayu Dhia Nabila dalam esak tangis. Sungguh dia tidak tahu apa yang diperkatakan oleh Tengku Raziq ketika itu. Apa salah yang sudah dia lakukan sehingga tengku Raziq bertindak melayannya begitu sekali.

            Tengku Raziq tidak mempedulikan rayuan Dhia Nabila, kedua-dua tangan Dhia Nabila yang menolak kasar tubuhnya dipegang kemas dan ditekan ke tilam. Memang dia marah dengan tindakan bodoh Dhia Nabila mengadu akan hal mereka kepada ibunya. Malam itu akan dia ajar Dhia Nabila, biar Dhia Nabila dapat pengajaran, biar Dhia Nabila tahu. Dia memang pantang dicabar!.

            “Tolong lepaskan Dhia.” Rayu Dhia Nabila lagi. Kedua-dua tangannya yang dipaku kuat oleh Tengku Raziq cuba dileraikan namun tangan Tengku Raziq lebih gagah menekan tangannya dari bergerak. Air matanya hanya mengalir laju saat Tengku Raziq mencium kasar lehernya. Apabila dia meronta-ronta melawan, Tengku Raziq bertindak lebih kasar. Pipinya di tampar untuk kali kedua.

            “Kalau kau melawan lagi, lagi kasar aku layan kau!”  Ugut Tengku Raziq sambil menjalarkan tangannya ke dada Dhia Nabila. Sementara Dhia Nabila hanya memejam rapatkan matanya. Takut dia menanggapi tingkah Tengku Raziq itu. Akhirnya dia hanya membiarkan Tengku Raziq memperlakukannya seperti dia tiada harga diri. Hanya air matanya sahaja yang mengalir menzahirkan kehancuran hatinya dengan layanan Tengku Raziq terhadapnya.



Selimut tebal ditarik supaya menutup semula tubuhnya yang terdedah. Tengku Raziq baru meninggalkan dirinya sendirian selepas lelaki itu mendatanginya dengan cara yang kotor. Dhia Nabila berbaring mengiring sambil menyapu air matanya yang masih mengalir. Hancur hatinya ketika itu. Sampai hati Tengku Raziq melayannya begitu. Apa kesalahan yang sudah dia lakukan sehingga mendatangkan marah lelaki itu. Jika benar pun dia bersalah, Tengku Raziq tiada hak merentap kasar maruahnya begitu.



Tengku Raziq membuang pandang keluar kereta. lampu-lampu kecil pelbagai warna yang berkerdipan menghiasi pokok-pokok dikawasan itu sedikit menyenangkan hatinya yang merusuh. Entah kenapa walaupun puas dengan tindakannya terhadap Dhia Nabila sebentar tadi namun masih ada terselit rasa kesal di hatinya.

            Kotak rokok dari dashboard kereta dikeluarkan, sebatang rokok ditarik lalu diselitkan di bibirnya yang sedikit lebam. Sejurus dihidupkan, rokok dibibirnya disedut dalam.

            Tengku Raziq mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar jeansnya. Sejurus menekan beberapa nombor, telefon itu dilekapkan ke telinganya. Rokok yang masih bersisa masih disedut tatkala menunggu panggilannya bersambut.

            “Hello.” Sapa Tengku Raziq apabila taliannya bersambut.

            “Hai, kenapa call I lewat-lewat ni.” Kata satu suara lunak manja di hujung talian.

            “Jom teman I.” Kata Tengku Raziq pendek. Rokok ditangan yang sudah habis dihisap dijentik keluar dari tingkap kereta.

            “Ke mana?” Soal Tengku Munira.

            “Tempat biasa.” Jawab Tengku Raziq seraya mematikan talian. Memang itulah kebiasaannya. Menghabiskan masa malamnya bersama Tengku Munira di kelab malam.



Tengku Munira meninjau-ninjaukan kepalanya ke arah pengunjung kelab itu dalam samar-samar lampu. Sejurus terlihat kelibat Tengku Raziq sedang leka meneguk air dari gelas lutsinar pendek, Tengku Munira tersenyum manis. Bukan susah hendak mencari Tengu Raziq jika mereka ke situ. Cari sahaja di port biasa, pasti sahaja dia akan ketemu dengan Tengku Raziq di situ.

            Ada apa hal cari I pulak ni?” Soal Tengku Munira sejurus duduk di sisi Tengku Raziq.

            “I perlukan teman malam ni.” Kata Tengku Raziq pendek. Entah kenapa hatinya masih dihambat rasa kesal yang tidak berkesudahan.

            “Biasanya kalau macam ni, tandanya you ada masalah.” Sahut Tengku Munira.

            Sort Of.” Terang Tengku Raziq pendek. Dia tiada hati membincangkan hal yang berlaku dengan Tengku Munira.

            “Apa yang buatkan you susah hati ni, ceritalah. Tahulah I macam mana nak selesaikannya.” Kata Tengku Munira manja. Antara dirinya dan Tengku Raziq bukan sahaja sudah terikatnya simpulan hati malah mereka juga sudah seringkali menghabiskan masa malam bersama. Disebabkan itu jugalah dia susah hati apabila Dhia Nabila dan Tengku Raziq berkahwin. Ketelanjuran hubungan antara mereka menyebabkan dia rasa tergugat dengan kehadiran Dhia Nabila dalam hubungan mereka.

            None of your business, I just want you to be here, to accompany me.” Jawab Tengku Raziq dalam menungan panjang.

            Sementara Tengku Munira terdiam dengan kata-kata Tengku Raziq. Memang dia tahu Tengku Raziq jenis yang panas baran tetapi selama ini lelaki itu tidak pernah melayannya sedingin itu. Entah kenapa waktu itu dia mula rasa tergugat. Melihatkan perubahan sikap Tengku Raziq itu menyebabkan hatinya dihambat dengan rasa resah. Mungkinkah lelaki itu sudah mula mahu meminggirkan dirinya. Kalau itu yang Tengku Raziq cuba lakukan maka dia tiada pilihan melainkan menggunakan cara kotor. Kalau benar tengku Raziq sudah mula berubah hati, dia akan memaksa lelaki itu menerimanya semula. Selepas apa yang telah terjadi antara mereka, tidak mungkin dia akan lepaskan Tengku Raziq begitu sahaja. Biar lelaki itu turut bertanggungjawab dengan apa yang telah mereka lakukan bersama dahulu.



“Raz, duduk sekejap, mummy ada hal nak bincangkan dengan Raz.” Pamit Tengku Asiah apabila Tengku Raziq melintasi ruang tamu tempat dia sedang berehat-rehat.

            Tengku Raziq tanpa banyak bicara berjalan menghampiri ibunya itu lalu melabuhkan punggungnya di salah satu sofa berhadapan Tengku Asiah. Sejurus duduk, dia membuang pandang ke wajah ibunya itu.

            “Kalau mummy nak cakap pasal hal ni, mummy harap Raz jangan naik angin sebab mummy rasa kalau mummy terus biarkan, takut nanti jadi masalah pula di kemudian hari.” Kata Tengku Asiah membuka bicara.

             Sementara Tengku Raziq sudah mula tidak sedap hati dengan bicara ibunya itu. tentu ada lagi kesalahan yang ingin Tengku Asiah bentangkan kepadanya sebentar nanti. Dan dia paling malas mahu mendengar ‘nasihat’ Tengku Asiah itu. pada usia yang sudah cukup matang begitu, dia tidak mahu masih mendengar bebelan ibunya persis anak kecil.

            “Mummy tak suka Raz ceritakan hal rumah tangga Raz pada orang luar.” Kata Tengku Asiah membuka kata.

            Tengku Raziq terkejut. Apa yang cuba dimaksudkan oleh Tengku Asiah itu.

            “Maksud mummy?” Soal Tengku Raziq tidak faham.

            “Mummy tak suka Raz bercerita hal Raz dengan Dhia pada Tengku Munira. Memang mummy tahu dia rapat dengan Raz, sepupu Raz tapi hal rumahtangga Raz, jangan bawa keluar. Membuka aib rumahtangga sendiri tak digalakkan dalam agama kita. Kalaupun ada masalah, Raz selesaikan sendiri, tak perlu ceritakan pada Muni. Dah banyak kali Muni datang jumpa mummy, cerita pasal hubungan keruh Raz dengan Dhia. Mummy tak suka. Cukuplah sekali dulu mummy nasihat Raz, mummy tak nak banyak-banyak kali cakap perkara yang sama.” Luah Tengku Asiah tenang. Memang apabila Tengku Munira bertindak mengadu kepadanya hal Tengku Raziq dan Dhia Nabila, dia kecewa. Kecewa kerana anak lelakinya itu bertindak menceritakan hal peribadi kepada orang luar. Walaupun dia tidak tahu apa motifnya Tengku Munira menceritakan hal itu kepadanya tetapi dia tetap tidak suka, hal peribadi keluarga itu dijaja sehingga ke luar.

            “Maksud mummy, Raz tak faham?” Soal Tengku Raziq lagi.memang dia tidak faham dengan bicara ibunya itu.

            “Dah banyak kali Muni datang jumpa mummy, bagitahu pasal hubungan Raz dengan Dhia yang keruh tu. Mummy tak suka kalau Raz ceritakan hal tu kepada Muni, Raz bukan tak tahu, kalau Muni tahu maknanya nanti-nanti pasti seluruh keluarga tahu. Siapa yang akan dapat malu?. Keluarga kita juga.” Luah Tengku Asiah dalam nada kecewa.

            “Maksud mummy selama ni, Muni yang ceritakan semua hal Raz dengan Dhia pada mummy?. Bukan ke Dhia yang mengadu pada mummy?” Tengku Raziq terus menyoal. Tiba-tiba dia rasa tidak sedap hati.

            “Bila masa pula Dhia mengadu pada mummy, Muni yang ceritakan semuanya pada mummy, Dhia tak pernah cakap apa-apapun.” Sambung Tengku Asiah dengan riak pelik diwajahnya.

            Tengku Raziq terdiam, jika benar kata ibunya itu, maka dia sudah tersalah menghukum Dhia, mendatangi dia dengan cara kasar kerana dia menyangka Dhia lah punca mengapa Tengku Asiah meleterinya tempoh hari. Tengku Raziq hanya mampu termenung panjang, kesal dihatinya tatkala membayangkan semula layanan buruknya terhadap Dhia Nabila. Rambutnya yang terjuntai di dahi, dikuis ke belakang dengan jari jemari. Ada rasa kesal yang mendalam bertamu dihatinya ketika itu. Dhia Nabila tidak bersalah.



Tengku Raziq memerhatikan Dhia Nabila dari sebalik cermin kaca yang memisahkan balkoni bilik dengan ruang biliknya. Dhia Nabila yang sedang bersembang mesra dengan jiran sebelah ditenung dari jauh. Senyum manis yang terukir di bibir Dhia Nabila benar-benar membuatkan dia terasa seperti hatinya dihiris-hiris. Senyuman itulah yang membunuh semua rasanya. Entah kenapa setiap kali dia lihat Dhia Nabila tersenyum manis, hatinya seolah-olah disiat-siat. Selepas apa yang dia lakukan pada Dhia Nabila, gadis itu masih mampu tersenyum, seolah-olah sentiasa gembira. Tiada lansung tanda-tanda dirundung resah. Seolah-olah hidupnya merupakan hidup yang paling bahagia.

            Melihatkan senyuman itu juga lah yang membuatkan dia semakin dihambat rasa bersalah. Benarkan Dhia Nabila benar-benar gembira, benar-benar bahagia. Atau Dhia Nabila sebenarnya bijak menyembunyikan rasa hatinya. Semenjak dia dan Dhia Nabila diijabkabulkan, Tidak pernah dia lihat Dhia Nabila berduka, hanya senyum manis sahaja yang sentiasa menghiasi bibir Dhia Nabila. Kalau dahulu memang dia sakit hati melihatkan senyuman itu tetapi kini senyuman itu mampu membunuhnya, menghambatnya dengan semua rasa bersalah yang semakin hari semakin menghimpitnya.

            Seingatnya hanya sekali dia lihat Dhia Nabila menangis, ketika dia mendatangi Dhia Nabila dengan cara paksa. Namun semenjak itu, tidak pernah pula dia lihat Dhia Nabila menangis lagi. Hanya tersenyum seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku diantara mereka. Tersenyum seolah-olah hidupnya baik-baik sahaja.

            Tengku Raziq mengeluh berat, entah kenapa rasa kesal yang bertamu itu seolah-olah satu sumpah yang mengikutinya ke mana sahaja dia pergi. Selepas dia khianati Dhia Nabila, hatinya tidak pernah tenang. Jiwanya berkocak dengan bebanan rasa bersalah. Senyuman yang tidak lekang dari bibir Dhia Nabila menambahkan lagi rasa bersalahnya. Dia tahu Dhia Nabila sekadar menyembunyikan perasaannya jauh di lubuk hati. Dia mulai terasa kesal dengan segala layanan buruknya terhadap Dhia Nabila kerana dalam senyum manis itu, dia nampak keikhlasan dan ketulusan hati Dhia Nabila.



            Tengku Raziq masih menunggu di ruangan sofa tatkala Dhia Nabila melangkah masuk ke dalam rumah. Sejurus menghantar kuih tadi, gadis itu berbual-bual sebentar dengan jiran sebelah banglo Tengku Asiah itu. Hari itu, Tengku Raziq tidak bekerja, dia bercuti, atas alasan apa cutinya itu dipohon, dia sendiri tidak tahu, tetapi apa yang dia tahu, dia mahu bersendirian dengan Dhia Nabila, dia ingin katakan sesuatu pada gadis itu.

            Sementara Dhia Nabila berjalan menuju ke pintu dapur, dia memang selalunya masuk awal ke dapur menyediakan bahan-bahan untuk memasak makanan tengahari Tengku Kadir pula. Namun belum sempat kakinya mencecah pintu dapur. Tengku Raziq sudahpun menegurnya.

            “Dhia..duduk sekejap, ada perkara saya nak cakap.” Kata Tengku Raziq. Bicaranya tidak sekasar awal dahulu.

            Dhia Nabila yang terkejut dengan sapaan Tengku Raziq membuang pandang ke arah lelaki itu, namun apabila matanya bertemu dengan mata Tengku Raziq, pantas Dhia Nabila larikan anak mata.

            “Duduk.” Arah Tengku Raziq apabila Dhia Nabila masih berdiri kaku di satu sudut ruang tamu.

            Dhia Nabila tanpa banyak bicara menurut sahaja permintaan lelaki itu. Apabila punggungnya dilabuhkan pada salah satu sofa, dia hanya membuang pandang ke lantai, tidak tahu reaksi bagaimana yang harus dia tunjukkan kepada lelaki itu kerana antara dirinya dan Tengku Raziq masih ada jurang pemisah yang luas. Lelaki itu masih terasa asing dalam hidupnya. Tambahan pula dia masih lagi tidak boleh melupakan apa yang telah Tengku Raziq lakukan terhadapnya beberapa waktu sebelum itu.

            ‘Saya nak minta maaf.” Kata Tengku Raziq dalam nada mengendur. Matanya masih dibuang pada seraut wajah Dhia Nabila yang menunduk ke lantai.

            Dhia Nabila terdiam. Sejujurnya dia juga terperanjat dengan ungkapan maaf itu namun untuk dia zahirkan rasanya itu dengan riak wajahnya, dia tidak mampu.

            “Maaf atas apa yang saya buat pada Dhia malam tu.” Ucap Tengku Raziq lagi. Memang dalam hatinya ketika itu, ada rasa kesal yang menggunung.

            Dhia Nabila hanya tersenyum tawar. Mudahnya memohon maaf setelah kesalahan berat lelaki itu lakukan terhadapnya. Jika kata maaf itu boleh berkata-kata, pastinya ia juga akan menyumpah laknat manusia kerana tegar sekali mempergunakannya sewenang-wenang.

            “Maafkan saya.” Luah Tengku Raziq untuk kali yang ketiga. Selepas dilihatnya Dhia Nabila masih diam seribu bahasa, dia rasa tidak senang hati. Selagi kata maafnya itu tidak diterima oleh Dhia Nabila, selagi itulah hatinya itu tidak tenteram.

            “Saya dah lama maafkan tengku. Sedangkan Allah juga pemurah dalam memberi maaf, inikan pula saya, hanya manusia biasa.” Jawab Dhia Nabila tenang. Dia memang telah lama maafkan Tengku Raziq, apa guna dia menyimpan dendam kerana dia tahu dendam itu hanya akan menyalakan api marah. Dan marah itu merupakan hasutan syaitan. Untuk apa dia marah jika dia mahu mencari keredhaan tuhan. Memang benar lelaki itu cukup bersalah terhadapnya, tetapi lelaki itu sudah terlanjur menjadi suaminya. Tiada guna dia menyimpan marah dan dendam kepada Tengku Raziq lagi.

            Tengku Raziq terkesima, jawapan Dhia Nabila ternyata menyentap tangkai hatinya. Benarkan hati Dhia Nabila setulus itu, benarkah semudah itu Dhia Nabila memaafkan segala kesalahan beratnya. Dia hanya mampu memandang bila Dhia Nabila bangun dan meninggalkannya sendirian di sofa. Lidahnya kelu, pergerakannya terasa kaku. Entah kenapa ketika itu, kata-kata Dhia Nabila itu umpama batu besar yang menindih dadanya sehingga nafasnya terasa sesak. Tidak pernah selama hidupnya dia merasakan perasaan yang sebegitu tetapi gadis biasa seperti Dhia Nabila sudah berjaya menggugah rasanya yang selama ini kukuh berbentengkan ego dan panas barannya. Gadis itu umpama air yang menyimbah api marahnya sehingga padam, umpama air yang merempuh kuat tembok egonya sehingga runtuh berkecai.



“Betul apa yang Muni cakap tu?!” Soal Tengku Asiah kasar.

            Tengku Raziq terdiam. Mulutnya terasa kelu untuk berbicara. Memang benar apa yang dikatakan oleh Tengku Munira sebentar tadi. Tiada lansung yang salahnya. Wajah Dhia Nabila yang duduk menunduk dihujung sofa dikerling sekilas. Jelas dimatanya wajah itu mendung. Barangkali Dhia Nabila turut terkesan dengan apa yang dikatakan oleh Tengku Munira sebentar tadi. Waktu terlihat wajah Dhia Nabila begitu, barulah dia rasa panas hati. Terasa ingin sahaja dia menampar wajah Tengku Munira waktu itu juga. Entah kenapa sejak kebelakangan ini, berlainan sekali perasaannya tatkala wajah Dhia Nabila dijamah matanya. Ada ketenangan pada wajah itu yang menyenangkan hatinya.

            “Muni tak peduli, Raz kena bertanggungjawab!” Kata Tengku Munira kasar. Sejak Tengku Raziq seringkali mengelak dari bertemunya, dia jadi sasau. Tidak mungkin Tengku Raziq dengan mudah sahaja boleh meminggirkan dirinya. Dia tidak mahu itu berlaku!.

            “Betul apa yang Muni cakap tu?!” Soal Tengku Asiah untuk kali yang kedua.

            Tengku Raziq hanya mengangguk lemah, dia turut membuang pandang pada lantai. Memang apa yang diperkatakan oleh Tengku Munira itu benar belaka. Memang mereka seringkali terlanjur bersama tetapi itu sewaktu dia belum mengenali Dhia Nabila. Selepas dia kenal Dhia Nabila, kenal budi pekerti Dhia Nabila, dia sudah mulai menjauhkan diri dari Tengku Munira. Dia sudah mulai takut bergelumang dengan dosa.

            “Kalau betul apa yang Muni cakap, mummy nak Raz bertanggungjawab. Jangan lepas tangan lepas apa yang Raz dan Muni dah buat bersama!.” Tegas kata-kata Tengku Asiah. Jika benar anak dan anak buahnya itu sudah terlanjur perbuatan, adalah menjadi tanggungjawab dia untuk menyatukan mereka. Walaupun dia sedar tindakannya itu mungkin akan menghancurkan sekeping hati milik Dhia Nabila namun apa yang dia terdaya dia lakukan. Dosa Tengku Raziq dan Tengku Munira itu juga perlu ditebus.

            Sementara tengku Raziq sudah tersentak. Dia membuang pandang ke wajah Dhia Nabila yang jelas kecewa dan terkejut dengan berita yang baru singgah ke telinga mereka saat itu. Pedihnya keputusan yang keluar dari mulut tengku Asiah ketika itu. Memang dia sedar dia salah, dan dia juga sedar dia perlu bertanggungjawab atas apa yang telah dia lakukan bersama Tengku Munira namun dia rasa tidak sampai hati untuk melukakan hati Dhia Nabila, cukuplah sekali dia lukakan hati gadis itu, dia sudah serik. Kesalahannya pada Dhia Nabila dahulu juga masih belum mampu dia buang rasa bersalahnya, masih lagi menghantui dirinya setiap saat dan dia tidak bersedia untuk melukakan hati Dhia Nabila untuk kali yang kedua. Sejujurnya dia tidak sanggup menangggung bebanan rasa bersalah yang akan menghantuinya.

            “Macam mana dengan Dhia, Raz tak sanggup lukakan hati Dhia.” Kata Tengku Raziq mengendur. Entah kenapa kata-katanya itu terasa ikhlas dituturkan dihadapan Tengku Asiah dan Tengku Munira.

            “Habis tu, hati I you sanggup nak lukakan. You cintakan I sebelum you kahwin dengan dia, I tak nak kerana dia, you lepaskan tanggungjawab you, sama-sama buat, sama-sama kita tanggung!.” Kasar bicara Tengku Munira. Panas hatinya mendengarkan kata-kata Tengku Raziq itu.

            “Macam mana dengan Dhia?” Soal tengku Raziq tanpa mempedulikan pandangan Tengku Munira. Apa yang penting hanyalah perasaan Dhia Nabila ketika itu.

            “tengku dah terlanjur bergelumang dengan dosa, lebih baik tengku kahwin dengan Tengku Munira.” Kata Dhia Nabila tenang, wajahnya masih ditunduk ke lantai. Walaupun kecewa dengan pengakuan Tengku Munira, namun dia juga tidak boleh pentingkan diri sendiri. Dia bingkas bangun selepas memberikan kata putus. Sejujurnya dia juga sudah tidak harapkan apa-apa lagi selepas mendengar bicara Tengku Munira itu. tiada apa lagi yang tinggal untuknya dalam perkahwinan itu. dia hanya berserah.

harap semua suka la ye..hehe

13 comments:

  1. oh noooooooooo...please x nk la kawin dgn muni!!!! x suke..x suke grrrrrrrr

    ReplyDelete
  2. sedih ! huhuuuu. kesian Dhia. sungguh.

    ReplyDelete
  3. kenapa dhia sangat tenang?? huhu... raziq nie memanglah! eii, geram ja dgn mamat sorang nie. Yang munirah tu pun satu hal... janganlah cakap munirah mgandungkan anak raziq plak. :(

    ReplyDelete
  4. euuuuuw bencinye..kenapa munirah tu gedik sangat?please jangan buat raziq kahwin ngn munirah tu. *emo tetibe*

    ReplyDelete
  5. apelah nak jadi ngan budak2 zaman sekarang. haish... macam dah takde agama... rosak..rosak kaum melayu....

    melayu semakin ditelan zaman...

    ReplyDelete
  6. alahai..sedihnya perjalanan hidup seorg wanita yg bernama Dhia ni..terlalu pasrah dan terlalu baik..sukar bagi akak untuk menerima yg Dhia telah give up ngan suaminya dgn memilih agar suaminya bekawen ngan T. Munira. Apa akan jadi ngan nasibnya..adakah kehidupannya kelak hanya berkisar pada menjaga bapa mertuanya dan menjadi babu dalam rumah agam tu..Adakah Dhia akan mengandungkan anak Tengku poyo tu dan adakah Tengku akan melepaskan Dhia kerana desakan dari T.Munira. Dimanakah ibu nya yg sepatutnya menjadi tempat dia mengadu dan berteduh..akak rasa ibunya terlalu selfish kan..aduhai..kesiannya nasib seorg Dhia ni..thanks Tulip for d E3..

    ReplyDelete
  7. sedey ye..nskm yesal dah x guna..huhuuu

    ReplyDelete
  8. euww..xska jgk raz kawen dgn muni tp diorg da trlnjur,kena la kawen.huhu..hope cik writer dpt slsaikan cta baek pny ;p

    ReplyDelete
  9. ye la..raz n muni saling cinta dan terlanjur...salah kalau tak tggungjawab kan? lainlah kalau muni jahat....main dgn org lain diblkg raz..
    sedih mmg sedih..cerita ni meletakkan erti pengorbanan pada byk sudut..

    ReplyDelete
  10. tak nak raz kahwin dengan munira, plzzzzzz

    ReplyDelete
  11. Sedihnya, kesian Dhia. Sob... sob... sob...

    ReplyDelete
  12. errr x payah la kahwin dgn murni.
    sure x best citer nanti!

    ReplyDelete
  13. writer nak ending plissssss x sabar nih

    ReplyDelete