Nina terjaga dari tidurnya apabila
terasa perutnya semakin memulas-mulas. Dia terasa sakit yang teramat sangat
dibahagian bawah perut. Nina memicit-micit bahagian perut yang sakit. Sekali sekala
dia mengerang kesakitan. Apabila dirasakan sakitnya semakin kuat, Nina
menggagahkan dirinya bangun, dia mengatur langkah perlahan-lahan menuju ke
bilik air. Nasib baik juga bilik yang diduduki itu dilengkapi dengan bilik air.
Sejurus masuk ke bilik air, Nina
membuka lampu, namun dia terkejut apabila terlihat darah merah mengalir dari
celah pehanya yang terdedah oleh gaun tidur pendek yang dipakainya. Nina panik.
Nina bergerak perlahan-lahan menuju
ke pintu bilik, saat itu dia tahu dia harus meminta pertolongan seseorang. Nina
membuka pintu bilik air sambil memicit-micit perutnya yang semakin sakit. Tiba
di depan pintu bilik Daniel Arman, pintu bilik itu diketuk bertalu-talu. Dia
sudah tidak pedulikan lagi tentang pakaiannya yang terdedah, yang dia tahu, dia
harus mendapatkan pertolongan Daniel Arman kala itu.
Apabila ketukannya tidak bersambut,
Nina mengetuk sekali lagi, kali ini lebih kuat dan kasar. Kesakitan yang
dirasakan pada bahagian perut menyebabkan dia tidak mampu bertahan lalu jatuh
terjelepuk di depan pintu.
Sementara Daniel Arman bingkas
bangun dari pembaringan bila terdengar ketukan dari pintu bilik. Jam disisi
meja dikerling. Waktu sudah melewati jam tiga pagi. Pelik kerana pintu biliknya
diketuk selewat itu. Dalam keadaan separuh sedar, Daniel Arman bergerak menuju
ke pintu bilik. Tangannya memulas tombol pintu. Sejurus membuka pintu, dia
terkejut melihat Nina yang terbaring lesu di luar pintu biliknya.
Daniel Arman tunduk dan
memanggil-manggil nama Nina, pelik kenapa wanita itu terbaring di situ. Apabila
panggilannya tidak bersahut, Daniel Arman menepuk-nepuk pula pipi Nina. Namun
keadaan Nina masih sama, masih tidak memberikan respon seperti yang diharapkan.
Daniel Arman hampir berputus asa,
apabila dia bangun berdiri semula, matanya menyoroti cecair pekat yang mengalir
dicelah peha Nina. Daniel Arman kembali tunduk, dibawa jari jemarinya ke
bahagian pangkal peha Nina, sebaik menyentuh bahagian itu, dia merasakan ada
cecair pekat dan melekit dihujung jari. Daniel Arman cepat-cepat membuka lampu.
Sejurus kawasan itu terang dengan simbahan cahaya lampu barulah Daniel Arman
sedar cecair itu adalah darah. Daniel Arman panik. Pantas dicempungnya tubuh
Nina ke kereta.
Daniel Arman duduk termanggu di kerusi
menunggu. Sudah hampir dua jam Nina berada di dalam, masih belum ada berita
yang disampaikan kepadanya. Daniel Arman buntu, dia tidak berpengalaman dalam
hal-hal sebegitu. Dia cuma berharap tiada yang buruk berlaku kepada Nina.
Walaupun tidak bersetuju dengan perkahwinan mereka namun Daniel Arman tidak
pernah membenci gadis itu. Dia cuma marah kerana terperangkap dalam semua yang
berlaku.
Baru sebentar tadi dia memaklumkan
hal tersebut kepada Datin Rogayah. Pada awalnya memang Datin Rogayah bertegas
ingin terus pulang namun dia sempat meyakinkan Datin Rogayah yang dia mampu
untuk menguruskan hal itu sendiri. Daniel Arman tidak mahu Datin Rogayah susah
hati memikirkan semua yang berlaku.
Setelah menanti hampir tiga jam
seorang doktor keluar dari bilik yang menempatkan Nina. Apabila ternampak Daniel
Arman, dia pantas mempamit supaya Daniel Arman mengikutnya ke bilik. Ada perkara yang harus
disampaikan kepada Daniel Arman.
“Encik ni yang hantar Puan Nayli
Imanina tadi kan ?”
Soal Doktor Azhar sejurus duduk.
“Ya, saya Daniel Arman, suami dia.”
Terang Daniel Arman, untunglah dia dan Nina sudah diijab Kabul , kalau tidak susah juga hendak menjawab
pertanyaan doktor yang merawat Nina.
“Apa yang saya nak sampaikan ni
mungkin tak enak untuk didengar tapi saya harap encik anggaplah apa yang
terjadi ni ketentuan Allah.” Doktor Azhar berbasa basi sebelum menyampaikan
maksudnya.
“maksud doktor?” Soal Daniel Arman,
dia sudah dapat mengagak apa yang bakal disampaikan kepadanya.
“Isteri encik keguguran, kami tak
dapat nak selamatkan anak encik, masa encik hantar tadi, memang dah terlewat.
Maafkan pihak kami.” Terang Doktor Azhar.
Daniel Arman termenung jauh, tidak
tahu apa perasaannya kini, dia tidak pernah menyangka akan perkara-perkara yang
sebegitu. Jauh disudut hatinya dia lega, kerana mungkin ada hikmah anak itu
tidak jadi lahir ke dunia kerana hakikat kejadiannya juga tidak indah. Namun
dalam kelegaan itu dia berasa simpati kepada Nina kerana terpaksa menanggung
semua itu.
“Saya faham perasaan encik, mungkin
belum rezeki encik. Lagipun encik muda lagi, boleh cuba lagi lain kali untuk dapatkan
anak. Yang penting jangan putus ada dan berdoa, insyallah..” Kata Doktor Azhar,
pengalamannya selama 10 tahun menjadi doktor menjadikan dia cukup berpengalaman
untuk menghadapi situasi seperti itu.
“Mungkin ada hikmah disebalik semua
yang berlaku.” Sambung Doktor Azhar.
“Macam mana keadaan dia sekarang?”
Soal Daniel Arman.
“Buat masa ni masih belum sedar,
kesan ubat akan hilang dalam masa tiga jam lagi tapi encik boleh terus melawat
dia sekarang dan Puan Nayli kena duduk dulu sehari dua, kalau dah betul-betul
stabil, pihak hospital akan benarkan pesakit discharge.” Terang Doktor Azhar.
“Terima kasih doktor.”Daniel Arman
untuk berlalu.
“Encik Daniel Arman.”Panggil Doktor
Azhar sebelum Daniel Arman sempat keluar pintu.
Daniel Arman berpaling memandang
Doktor Azhar.
“Setiap yang berlaku tu ada sebab
musababnya, pasti ada hikmah disebalik setiap kejadian, sebagai umatNya, kita
harus menerima segala Qada dan Qadar Allah dengan redha kerana sesungguhnya
perancangan Allah adalah yang terbaik buat kita.” Doktor Azhar menyelitkan
nasihat dalam kata-katanya.
Daniel Arman hanya tersenyum
sebaris, kata-kata Doktor Azhar terlalu dalam maksudnya. Walaupun Doktor Azhar
tidak tahu gelodak perasaannya namun kata-kata doktor itu menusuk jauh ke dalam
jiwanya, seolah-olah satu kata peransang bagi menguatkan keyakinannya kepada
ketentuan takdir Allah..
Wajah pucat Nina ditenung tanpa
berkelip. Untuk seketika dia rasa simpati pada gadis itu, menjadi mangsa kepada
saudara kandungnya sendiri. Dia kesal dengan apa yang berlaku, kerana terlalu
mengikut perasaan Danish Arham sanggup mengkhianati Nina.
Daniel Arman bawa jari jemarinya ke
wajah Nina, pipi gadis itu dielus-elus lembut. Jika tidak kerana Datuk Zainudin
pasti pertemuan mereka tidak akan bermula begitu. Dia tidak pernah membenci
Nina, malah tidak pernah berniat menyakiti hati gadis itu. Hanya kerana terlalu
marahkan Datuk Zainudin, marahnya turut dilampiaskan pada gadis itu.
Daniel Arman mengeluh, terasa kesal
kerana melayan Nina dengan layanan dingin walhal gadis itu turut menjadi mangsa
keadaan malahan keadaan Nina lebih teruk berbanding dirinya. Gadis itu terpaksa
menanggung penderitaan kerana dikhianati abangnya, ditambah pula dengan berita
kematian ibunya, kini terpaksa pula terikat dalam ikatan yang dia sendiri tidak
rela.
Daniel Arman menjeling jam ditangan,
sudah hampir dua jam dia disitu. Kerana terlalu leka merenung wajah Nina, dia
terlupa akan waktu yang berlalu. Daniel Arman bangun dari duduk. Dia perlu
balik dan menyegarkan dirinya sebelum kembali melawat Nina.
Sudah seminggu Nina pulang dari
hospital, keadaannya sudah bertambah baik dari hari ke hari. Semenjak dia
pulang Rosyanti, pembantu rumah Datin Rogayah yang banyak membantunya. Kadangkala
dia terdengar Daniel Arman memberikan arahan kepada bibiknya itu untuk
menyediakan keperluan Nina. Walaupun jarang berkomunikasi, Daniel Arman masih
prihatin menjaga kebajikannya disitu. Nina tahu Daniel Arman mengambil berat
akan dirinya cuma mungkin kerana perkahwinan mereka bukanlah atas dasar cinta
seperti pasangan lain menyebabkan ada jurang yang luas antara mereka.
“Puan Nina mahu apa-apa lagi?” Tanya
Rosyanti setelah meletakkan bubur nasi ke atas meja kecil di tepi katil.
“Tak.” Jawab Nina ringkas.
Sebenarnya dia terlalu bosan kerana terpaksa berkurung di dalam bilik sepanjang
masa.
“Ros, Encik El dah keluar pergi
kerja?” Soal Nina sebelum sempat Rosyanti keluar.
“Sudah puan, baru sahaja keluar,
kenapa?”Rosyanti bertanya kembali, pada awal dulu dia turut pelik kerana Nina
dan Daniel Arman tinggal dalam bilik berasingan sedangkan mereka sudah
berkahwin namun persoalan itu dibiarkan berlalu kerana dia tiada hak untuk
mengambil tahu urusan keluarga itu. Dia berada disitu hanya atas urusan kerja semata-mata.
Tidak boleh lebih dari itu.
“Boleh tak bawa turun semula makanan
saya, saya nak makan kat taman diluar.” Kata Nina lagi.
“Enggak boleh begitu puan, nanti
saya bisa dimarah Encik El, puan kan
masih belum sihat lagi.”Kata Rosyanti takut-takut.
“Tolonglah, saya dah bosan duduk
terperuk je dalam bilik, kalau selalu macam ni, lagi bertambah parah sakit saya
nanti.” Pujuk Nina.
“Aduh puan, kalau begitu nanti saya
bawakan makanannya tapi puan mesti janji, jangan dikasi tahu sama Encik El,
nanti saya juga yang susah.” Rayu Rosyanti.
“Terima kasih, saya janji akan
rahsiakan hal ni.”Nina tersenyum manis. Kadangkala terhibur juga dia tengok
ulah Rosyanti yang mementingkan masa depan kerjayanya.
Rosyanti pantas mengambil semula
dulang berisi makanan Nina dan dibawa turun ke halaman depan. Nina hanya
membuntuti lambat-lambat dari belakang. Walaupun belum pulih sepenuhnya, Nina rasa
dia semakin kuat. Kalau mula-mula dulu dia perlu dipapah untuk bergerak ke
mana-mana tetapi kini semua itu boleh dilakukan sendiri.
Nina nekad, selepas dia sihat
kembali, dia akan mengakhiri semua itu. Perkahwinan yang terjadi atas dasar
keterpaksaan itu tidak membawa apa-apa makna kepada dirinya mahupun Daniel
Arman, tiada guna sekiranya dia masih berada di banglo besar itu. Sudah tentu
Daniel Arman turut ingin bebas dari rantai yang mengikatnya kini. Selepas ini
tiada alasan lagi untuk lelaki itu meneruskan perkahwinan mereka. Daniel Arman
akan kembali bebas untuk mencorak kehidupannya sendiri, tidak perlu lagi
dibebankan dengan ikatan yang lelaki itu sendiri benci.
Rosyanti berlalu meninggalkan Nina
mengambil angin pagi di halaman rumah. Dia kembali ke dalam rumah bagi
meneruskan pekerjaannya yang tertangguh. Nina menghirup kopi panas yang
disediakan untuknya. Terasa segar dapat keluar sekali sekala untuk mengambil
angin di luar.
Di situ segala-galanya indah pada
pandangan mata kasar namun bagi Nina, banglo Datuk Zainudin tidak lebih dari
penjara yang merantainya disitu. Datuk Zainudin sendiri tidak pernah melayannya
dengan baik, jika tidak sebagai menantu sekalipun dia mengharapkan lelaki itu
melayannya sebagai anak kepada bekas pekerjanya dulu. Namun Nina pasrah, Datuk
Zainudin tidak mungkin dapat menerimanya disitu, kehadirannya hanya dianggap
sebagai musibah kepada keluarga besar itu oleh Datuk Zainudin walhal Datuk
Zainudin lupa bahawa yang membawa kepada semua peristiwa yang berlaku adalah
akibat perbuatan anaknya sendiri. Samada dia lupa ataupun dia terlalu ego untuk
mengakui kesilapan yang dilakukan oleh anak kesayangannya sendiri.
Selepas ini tentu Datuk Zainudin
tidak sabar-sabar untuk melepaskannya pergi dari situ. Keluarga Datuk Zainudin
sudah terlepas dari satu bebanan tanggungjawab yang besar. Mustahil bagi Datuk
Zainudin untuk membenarkan Nina tinggal disitu lagi. Nina pasrah, apapun
keputusan Datuk Zainudin dia akan terima. Hatta diceraikan oleh Daniel Arman
juga dia sanggup kerana selama ini dia hanya mengikat lelaki itu dalam ikatan
yang bersimpul. Bertanggungjawab ke atas kesalahan orang lain. Sesiapapun di tempat
Daniel Arman pasti akan marah.
Bubur yang disediakan oleh Rosyanti
disuap perlahan-lahan. Seleranya mati setelah terbeban dengan semua yang
terjadi namun kehidupannya perlu diteruskan. Walaupun terasa pahit dengan
hakikat hidupnya namun Nina pasrah. Tiada apa yang boleh dia lakukan, dia hanya
menerima ketentuan takdir. Mustahil bagi dirinya untuk mengundur kembali masa
lalu.
Usai mandi tadi, Nina berdiri di
balkoni bilik. Dia membuang pandang ke arah kereta yang lalu-lalang dijalan
raya. Kesihatannya sudah semakin pulih. Angin malam menyapa lembut tubuhnya,
terasa sedikit segar dengan udara yang disedutnya.
Nina kembali ke bilik apabila
menyedari malam semakin menginjak. Tubuhnya direbah ke katil. Dia termenung
jauh sambil merenung syiling. Sepanjang dia tidak sihat itu, dia dijaga dengan
baik. Daniel Arman seringkali mengambil berat akan hal dirinya walaupun hanya
melalui bibiknya Rosyanti. Nina tahu Daniel Arman lelaki baik. Lelaki itu juga
sepertinya, menjadi mangsa keadaan.
Dalam jauh mengelamun, mata Nina
terasa berat, tanpa dia sedari dia sendiri tertidur. Sudah lama dia tidak dapat
tidur lena. Mimpi malamnya kadangkala diganggu oleh bayangan Danish Arham yang cuba
menodainya. Sekali sekala dia terjaga bila dirasakan mimpi yang dialami seolah-olah
benar-benar berlaku. Cuma dia rasakan beberapa hari kebelakangan ini, tidurnya
tidak lagi diganggu oleh bayangan itu.
Nina yang nyenyak tidur tiba-tiba
terjaga apabila dia merasakan ada jari-jemari yang mengelus-ngelus lembut
wajahnya. Nina buka matanya. Apabila terlihat ada kelibat yang sedang berdiri
di tepi katilnya Nina jadi panik. Dia bingkas bangun lalu mengensot ke kepala
katil.
“Tolong jangan apa-apakan saya.”
Rayu Nina, tubuhnya menggigil menahan rasa takut. Airmatanya sudah mula
mengalir. Terbayang kejadian hitam yang pernah dia alami.
“Maaf, aku El.”Kata Daniel Arman,
kasihan melihat wajah Nina yang ketakutan.
“El, tolong jangan apa-apakan saya.”
Rayu Nina lagi, bimbang Daniel Arman turut mengikut jejak langkah Danish Arham.
“Aku tak berniat apa-apa.”Daniel
Arman mengundur beberapa langkah ke belakang. Dia tahu kehadirannya disitu
menyebabkan Nina takut.
“Maafkan aku.”Daniel Arman terus
berlalu. Kesal kerana tidak dapat menahan dirinya sehingga membawanya ke situ.
Nina masih duduk menyandar di kepala
katil sambil memeluk tubuhnya. Bayangan kejadian hitam yang pernah dialaminya
terlayar semula diminda. Rasa takutnya masih bersisa. Dia sendiri tidak tahu
niat Daniel Arman masuk ke biliknya. Rasa mengantuknya hilang lantaran kejadian
itu.
Nina turun ke tingkat bawah, biasanya
pada waktu begitu, Datin Rogayah akan bersantai-santai diruang tamu sambil
membelek-belek buku resepi. Memang itu sudah menjadi hobi Datin Rogayah,
walaupun perkenalan mereka masih baru, namun Nina sudah dapat membaca kegemaran
wanita separuh abad itu.
Sudah hampir dua minggu Datuk Zainudin dan Datin Rogayah pulang dari
Jepun. Nina rasa sudah tiba masanya dia memberitahu Datin Rogayah tentang
perancangannya. Hanya wanita itu yang sudi menerima kehadirannya disitu, disebabkan
itu juga dia lebih selesa untuk meluahkan apa yang dia rasa kepada Datin
Rogayah.
“Datin, boleh tak Nina nak cakap sesuatu.” Nina bersuara apabila
menghampiri sofa. Dia mengambil tempat di sofa bahagian kanan Datin Rogayah.
Datin Rogayah hanya mempamerkan senyuman sebaris. Walaupun sudah hampir
sebulan menetap disitu, gelaran datin masih lagi meniti dibibir Nina, dia tahu
Nina masih janggal untuk memanggilnya dengan paggilan mesra. Mungkin masih
terasa ada jurang pemisah diantara mereka atau mungkin juga hubungan majikan
dan pekerja yang sudah lama terjalin diantara keluarga Datuk Zainudin dengan
arwah ibunya dulu.
“Ada hal
apa?” Tanya Datin Rogayah lembut.
“Nina nak cakap pasal hubungan Nina dengan El.” Ujar Nina lambat-lambat.
Sudah tiba masanya dia mengakhiri semua itu.
“kenapa dengan hubungan Nina dan El?” Datin Rogayah berpura-pura
bertanya, berharap prasangkanya tidak benar.
“Datin pun tahu macam mana hubungan Nina dengan El, semua yang berlaku
bukan kehendak kami, kami terpaksa terima semua ni, tidak adil bagi El terpaksa
terikat dengan Nina sedangkan dia ada perancangan masa depan sendiri.” Terang Nina , cuba menyampaikan maksud hatinya
dengan cara yang paling lembut.
“Maksud Nina?” Datin Rogayah pura-pura bertanya walhal dia sudah dapat
menangkap maksud kata-kata Nina.
“Nina nak minta El ceraikan Nina.” Kata Nina ringkas. Jari-jemarinya
ditautkan antara satu sama lain. Mencari kekuatan untuk dia terus berterus
terang.
“Astagfirullahalazim, kenapa Nina cakap macam tu.”Datin Rogayah kecewa
kerana telahannya benar.
“Datin, tiada gunanya ikatan ni kalau El buat hal El, Nina buat hal Nina,
lagipun El dah tak perlu nak pikul tanggungjawab lagi. El pun tak cintakan
Nina, dia berhak tentukan masa depan dia, berkahwin dengan pilihan hati dia.
Dia tak kan bahagia
kalau masih terperangkap dalam ikatan ni.”
“Nina, semua ni takdir, kita kena redha dengan ketentuan Allah. Jangan
permainkan hukum Allah, hubungan perkahwinan bukannya benda yang boleh dibuat
main, senang-senang kahwin kemudian senang-senang pula cerai, berdosa. Walaupun
Islam membenarkan penceraian tapi ia tetap perkara yang tidak Allah sukai.”
Datin Rogayah berharap kata-katanya menyedarkan Nina.
“Tapi macam mana kami nak teruskan kalau masih macam ni sampai
bila-bila.”Sambung Nina, berharap Datin Rogayah memahami situasi yang dialami
dia dan Daniel Arman.
“Kebahagian tak kan
muncul kalau kita tak berusaha, ambil
lah masa.” Datin Rogayah masih berusaha memujuk. Dia pasti Daniel Arman akan
dapat menerima Nina suatu hari nanti.
“Maafkan Nina datin, Nina rasa tiada apa-apa untuk dipertahankan lagi,
perkahwinan kami pun dalam keadaan terpaksa, sekarang El tak perlu nak
bertanggungjawab atas apa-apa lagi, Nina rasa penceraian jalan terbaik buat
kami. Biar El pilih jalan hidup dia
sendiri daripada terus terikat dengan Nina.” Sambung Nina.
“Oh, jadi selama ni kau hanya nak gunakan El sahaja?” Tiba-tiba Datuk
Zainudin menyoal dari anak tangga.
“Lepas anak haram tu dah tak ada, kau
nak larikan diri, selama ni kau hanya gunakan keluarga aku untuk tutup
malu kau. Orang kebanyakan macam kau memang suka ambil kesempatan atas orang
kaya macam kami.” Datuk Zainudin bersuara sinis seraya mengambil tempat
disebelah Datin Rogayah. Akhbar ditangan dibelek-belek.
“Astagfirullahalazim, kenapa abang cakap macam tu, anak tu tetap cucu
abang.”Datin Rogayah kecewa dengan kata-kata Datuk Zainudin.
“Datuk, saya tak pernah berniat nak ambil kesempatan ke atas keluarga
datuk, selama ni saya cuma harap Dan bertanggungjawab atas perbuatan dia. Saya
cuma kasihankan El sebab terpaksa terikat dengan perkahwinan yang dia sendiri
tidak rela. Tak lebih dari itu.” Nina membela diri, tuduhan Datuk Zainudin
kepadanya sangat keterlaluan.
“Bukan ke dulu, kau sangat yang nak jadi menantu keluarga ni, kenapa
sekarang nak minta cerai pula. Kau ingat lepas anak tu mati, kau senang-senang
je boleh lari. Disebabkan kau yang beria-ia nak kahwin dengan anak aku dulu,
jadi sekarang ni, El tak kan
ceraikan kau, tapi dia akan gantung kau tak bertali. Kau peganglah gelaran
isteri tu sampai bila-bila. Aku tak kan
benarkan El ceraikan kau. Kalau dia nak ceraikan juga, langkah mayat aku dulu.
Aku cuma nak bagi apa yang kau beria-ia minta dulu. Lepas ni kau boleh keluar
dari rumah ni, tapi untuk El ceraikan kau, perkara tu tak kan terjadi.” Datuk Zainudin bersuara
lantang. Memang sejak dulu dia bencikan orang seperti Nina.
Datin Rogayah sudah berlinangan air mata mendengarkan kata-kata suaminya.
Dia kecewa kerana Datuk Zainudin membuat keputusan terburu-buru.
“Bang, kenapa cakap macam tu, kita tunggulah El balik. Bagi dia buat
keputusan sendiri.” Rayu Datin Rogayah.
“Keputusan aku, keputusan dia!” Tegas Datuk Zanudin memberi keputusan.
“Saya boleh pergi dari sini, tapi datuk kena ingat, datuk bukan sahaja
merantai saya tapi datuk turut merantai anak datuk dalam ikatan ni.” Nina
hilang sabar. Dia bangun untuk berlalu dari situ. Ketegasan Datuk Zainudin
tidak bertempat.
“Dan kau pun jangan lupa, El boleh berkahwin empat, dia lebih daripada
mampu. Masih ada tiga lagi tempat kosong. Dia tak pernah terikat dengan kau!”
Kata Datuk Zanudin sebelum Nina berlalu.
Nina sedih, begitu hina sekali dirinya dimata Datuk Zainudin. Datuk
Zainudin sanggup menghukumnya sedemikian. Tidak cukupkah lagi dengan apa yang
telah dilakukan Danish Arham. Kini Datuk Zainudin merantai kakinya dengan
ikatan perkahwinan itu. Umpama burung yang dilepas dari sangkar tetapi kaki
masih diikat dan tidak mampu untuk dia terbang bebas.
Airmata Nina mengalir laju, tiada apa-apa lagi yang tinggal untuknya
disitu. Datuk Zainudin sudahpun menyuarakan keputusannya. Nina akan segera
pergi, meninggalkan istana besar yang ibarat neraka baginya. Tiada kasih sayang
di situ, yang ada hanya benci yang menyeliputi hati Datuk Zainudin.
Pemandangan indah di luar balkoni bilik
sedikit pun tidak menarik perhatian Daniel Arman. Kata-kata Datin Rogayah masih
terngiang-ngiang di telinganya. Kesal kerana kisahnya diakhiri begitu, lebih
kesal lagi kerana Datuk Zainudin bertindak membuat keputusan bagi pihaknya. Dia
cuma berharap dirinya punyai lebih masa untuk berfikir. Peristiwa
perkahwinannya juga terjadi dengan tiba-tiba. Kini perngakhiran rumah tangganya
juga berlaku dengan tiba-tiba.
Daniel Arman tidak tahu apa yang dia
lebih kesal, adakah kerana Nina dihalau tanpa diceraikan terlebih dahulu
ataupun keputusan yang telah dibuat oleh Datuk Zainudin tanpa meminta
pendapatnya terlebih dahulu.
Selama dia hidup, begitulah sikap
yang dipamerkan Datuk Zainudin, suka menentukan apa yang boleh dan tidak boleh
untuk dirinya. Dia sentiasa berada dalam konkongan lelaki itu. Jika tidak
kerana rasa hormat kerana lelaki itu bapanya, sudah lama dia melawan, namun
memikirkan bukan itu yang menjadi didikan Datin Rogayah, dia bersabar melayani
kerenah Datuk Zainudin.
Daniel Arman menghela nafas.
Perkenalan singkat antara dirinya dan Nayli Imanina dirasakan baru berputik.
Dia baru merasakan rasa kasih yang menular dalam hatinya namun belum pun
terungkap rasa kasih itu, Datuk Zainudin sudah mencantasnya. Terlanjur gadis
itu menjadi isterinya, dia akan belajar menerima Nina, mencintai Nina sebagai
seorang suami. Berharap agar rasa cinta, kasih dan sayang menyelimuti
rumahtangga mereka walaupun pada dasarnya ia dibina bukan atas dasar cinta.
Daniel Arman kembali ke katil,
tubuhnya direbahkan. Dia merenung jauh ke syiling rumah. Setelah hampir sebulan
meninggalkan bilik itu, dia kembali semula. Terasa kesal kerana selama Nina
berada di rumah itu dia tidak pernah cuba untuk mengenali gadis itu
dengan lebih rapat. Kini bila Nina telah pergi dari hidupnya, dia terasa
kesunyian. Sunyi kerana ada satu perasaan istimewa yang menjalar dihatinya
untuk Nina.
p/s-agak2nya dah ada putik2 cinta ke....
Dah berputik cik tulip keke
ReplyDeleteBest citer ni. Bila nak sambung? Hihihi. Tak sabar nak bace.
ReplyDeleteI follow
ReplyDeleteweeeee best
ReplyDeletesimpati dgn daniel..npa la ayh dia wt dia cmtu..
ReplyDeletekesian jgk ngn nina..
[hawa]
sudah ada rasa sayang di hati El.....
ReplyDeleteapa jadi dgn nina bla dia dah kuar dr rmah 2??
ReplyDeletebila orang tu dah tak der depan mata baru la nak rindu2an...tanggung ler sorang2 El...
ReplyDeletenk lg2..
ReplyDeleteda ada la tu...
ReplyDeleteBEST NAK LAGI
ReplyDeletebengong betul la datuk tu, eeeeeeeeiii. den geram la dgn org mcmni cik tulip...
ReplyDeletebestttttt
ReplyDeleteDah berdebar
ReplyDelete