Friday 23 March 2012

BUKAN ISTERI SEMPURNA-BAB 5 (b)

Ikuti sambungan bab 5...enjoy :)


Nina terjaga dari tidurnya apabila terasa perutnya semakin memulas-mulas. Dia terasa sakit yang teramat sangat dibahagian bawah perut. Nina memicit-micit bahagian perut yang sakit. Sekali sekala dia mengerang kesakitan. Apabila dirasakan sakitnya semakin kuat, Nina menggagahkan dirinya bangun, dia mengatur langkah perlahan-lahan menuju ke bilik air. Nasib baik juga bilik yang diduduki itu dilengkapi dengan bilik air.

            Sejurus masuk ke bilik air, Nina membuka lampu, namun dia terkejut apabila terlihat darah merah mengalir dari celah pehanya yang terdedah oleh gaun tidur pendek yang dipakainya. Nina panik.

            Nina bergerak perlahan-lahan menuju ke pintu bilik, saat itu dia tahu dia harus meminta pertolongan seseorang. Nina membuka pintu bilik air sambil memicit-micit perutnya yang semakin sakit. Tiba di depan pintu bilik Daniel Arman, pintu bilik itu diketuk bertalu-talu. Dia sudah tidak pedulikan lagi tentang pakaiannya yang terdedah, yang dia tahu, dia harus mendapatkan pertolongan Daniel Arman kala itu.

            Apabila ketukannya tidak bersambut, Nina mengetuk sekali lagi, kali ini lebih kuat dan kasar. Kesakitan yang dirasakan pada bahagian perut menyebabkan dia tidak mampu bertahan lalu jatuh terjelepuk di depan pintu.

            Sementara Daniel Arman bingkas bangun dari pembaringan bila terdengar ketukan dari pintu bilik. Jam disisi meja dikerling. Waktu sudah melewati jam tiga pagi. Pelik kerana pintu biliknya diketuk selewat itu. Dalam keadaan separuh sedar, Daniel Arman bergerak menuju ke pintu bilik. Tangannya memulas tombol pintu. Sejurus membuka pintu, dia terkejut melihat Nina yang terbaring lesu di luar pintu biliknya.

            Daniel Arman tunduk dan memanggil-manggil nama Nina, pelik kenapa wanita itu terbaring di situ. Apabila panggilannya tidak bersahut, Daniel Arman menepuk-nepuk pula pipi Nina. Namun keadaan Nina masih sama, masih tidak memberikan respon seperti yang diharapkan.

            Daniel Arman hampir berputus asa, apabila dia bangun berdiri semula, matanya menyoroti cecair pekat yang mengalir dicelah peha Nina. Daniel Arman kembali tunduk, dibawa jari jemarinya ke bahagian pangkal peha Nina, sebaik menyentuh bahagian itu, dia merasakan ada cecair pekat dan melekit dihujung jari. Daniel Arman cepat-cepat membuka lampu. Sejurus kawasan itu terang dengan simbahan cahaya lampu barulah Daniel Arman sedar cecair itu adalah darah. Daniel Arman panik. Pantas dicempungnya tubuh Nina ke kereta.





Daniel Arman duduk termanggu di kerusi menunggu. Sudah hampir dua jam Nina berada di dalam, masih belum ada berita yang disampaikan kepadanya. Daniel Arman buntu, dia tidak berpengalaman dalam hal-hal sebegitu. Dia cuma berharap tiada yang buruk berlaku kepada Nina. Walaupun tidak bersetuju dengan perkahwinan mereka namun Daniel Arman tidak pernah membenci gadis itu. Dia cuma marah kerana terperangkap dalam semua yang berlaku.

            Baru sebentar tadi dia memaklumkan hal tersebut kepada Datin Rogayah. Pada awalnya memang Datin Rogayah bertegas ingin terus pulang namun dia sempat meyakinkan Datin Rogayah yang dia mampu untuk menguruskan hal itu sendiri. Daniel Arman tidak mahu Datin Rogayah susah hati memikirkan semua yang berlaku.

            Setelah menanti hampir tiga jam seorang doktor keluar dari bilik yang menempatkan Nina. Apabila ternampak Daniel Arman, dia pantas mempamit supaya Daniel Arman mengikutnya ke bilik. Ada perkara yang harus disampaikan kepada Daniel Arman.

            “Encik ni yang hantar Puan Nayli Imanina tadi kan?” Soal Doktor Azhar sejurus duduk.

            “Ya, saya Daniel Arman, suami dia.” Terang Daniel Arman, untunglah dia dan Nina sudah diijab Kabul, kalau tidak susah juga hendak menjawab pertanyaan doktor yang merawat Nina.

            “Apa yang saya nak sampaikan ni mungkin tak enak untuk didengar tapi saya harap encik anggaplah apa yang terjadi ni ketentuan Allah.” Doktor Azhar berbasa basi sebelum menyampaikan maksudnya.

            “maksud doktor?” Soal Daniel Arman, dia sudah dapat mengagak apa yang bakal disampaikan kepadanya.

            “Isteri encik keguguran, kami tak dapat nak selamatkan anak encik, masa encik hantar tadi, memang dah terlewat. Maafkan pihak kami.” Terang Doktor Azhar.

            Daniel Arman termenung jauh, tidak tahu apa perasaannya kini, dia tidak pernah menyangka akan perkara-perkara yang sebegitu. Jauh disudut hatinya dia lega, kerana mungkin ada hikmah anak itu tidak jadi lahir ke dunia kerana hakikat kejadiannya juga tidak indah. Namun dalam kelegaan itu dia berasa simpati kepada Nina kerana terpaksa menanggung semua itu.

            “Saya faham perasaan encik, mungkin belum rezeki encik. Lagipun encik muda lagi, boleh cuba lagi lain kali untuk dapatkan anak. Yang penting jangan putus ada dan berdoa, insyallah..” Kata Doktor Azhar, pengalamannya selama 10 tahun menjadi doktor menjadikan dia cukup berpengalaman untuk menghadapi situasi seperti itu.

            “Mungkin ada hikmah disebalik semua yang berlaku.” Sambung Doktor Azhar.

            “Macam mana keadaan dia sekarang?” Soal Daniel Arman.

            “Buat masa ni masih belum sedar, kesan ubat akan hilang dalam masa tiga jam lagi tapi encik boleh terus melawat dia sekarang dan Puan Nayli kena duduk dulu sehari dua, kalau dah betul-betul stabil, pihak hospital akan benarkan pesakit discharge.” Terang Doktor Azhar.

            “Terima kasih doktor.”Daniel Arman untuk berlalu.

            “Encik Daniel Arman.”Panggil Doktor Azhar sebelum Daniel Arman sempat keluar pintu.

            Daniel Arman berpaling memandang Doktor Azhar.

            “Setiap yang berlaku tu ada sebab musababnya, pasti ada hikmah disebalik setiap kejadian, sebagai umatNya, kita harus menerima segala Qada dan Qadar Allah dengan redha kerana sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik buat kita.” Doktor Azhar menyelitkan nasihat dalam kata-katanya.

            Daniel Arman hanya tersenyum sebaris, kata-kata Doktor Azhar terlalu dalam maksudnya. Walaupun Doktor Azhar tidak tahu gelodak perasaannya namun kata-kata doktor itu menusuk jauh ke dalam jiwanya, seolah-olah satu kata peransang bagi menguatkan keyakinannya kepada ketentuan takdir Allah..





Wajah pucat Nina ditenung tanpa berkelip. Untuk seketika dia rasa simpati pada gadis itu, menjadi mangsa kepada saudara kandungnya sendiri. Dia kesal dengan apa yang berlaku, kerana terlalu mengikut perasaan Danish Arham sanggup mengkhianati Nina.

            Daniel Arman bawa jari jemarinya ke wajah Nina, pipi gadis itu dielus-elus lembut. Jika tidak kerana Datuk Zainudin pasti pertemuan mereka tidak akan bermula begitu. Dia tidak pernah membenci Nina, malah tidak pernah berniat menyakiti hati gadis itu. Hanya kerana terlalu marahkan Datuk Zainudin, marahnya turut dilampiaskan pada gadis itu.

            Daniel Arman mengeluh, terasa kesal kerana melayan Nina dengan layanan dingin walhal gadis itu turut menjadi mangsa keadaan malahan keadaan Nina lebih teruk berbanding dirinya. Gadis itu terpaksa menanggung penderitaan kerana dikhianati abangnya, ditambah pula dengan berita kematian ibunya, kini terpaksa pula terikat dalam ikatan yang dia sendiri tidak rela.

            Daniel Arman menjeling jam ditangan, sudah hampir dua jam dia disitu. Kerana terlalu leka merenung wajah Nina, dia terlupa akan waktu yang berlalu. Daniel Arman bangun dari duduk. Dia perlu balik dan menyegarkan dirinya sebelum kembali melawat Nina.





Sudah seminggu Nina pulang dari hospital, keadaannya sudah bertambah baik dari hari ke hari. Semenjak dia pulang Rosyanti, pembantu rumah Datin Rogayah yang banyak membantunya. Kadangkala dia terdengar Daniel Arman memberikan arahan kepada bibiknya itu untuk menyediakan keperluan Nina. Walaupun jarang berkomunikasi, Daniel Arman masih prihatin menjaga kebajikannya disitu. Nina tahu Daniel Arman mengambil berat akan dirinya cuma mungkin kerana perkahwinan mereka bukanlah atas dasar cinta seperti pasangan lain menyebabkan ada jurang yang luas antara mereka.

            “Puan Nina mahu apa-apa lagi?” Tanya Rosyanti setelah meletakkan bubur nasi ke atas meja kecil di tepi katil.

            “Tak.” Jawab Nina ringkas. Sebenarnya dia terlalu bosan kerana terpaksa berkurung di dalam bilik sepanjang masa.

            “Ros, Encik El dah keluar pergi kerja?” Soal Nina sebelum sempat Rosyanti keluar.

            “Sudah puan, baru sahaja keluar, kenapa?”Rosyanti bertanya kembali, pada awal dulu dia turut pelik kerana Nina dan Daniel Arman tinggal dalam bilik berasingan sedangkan mereka sudah berkahwin namun persoalan itu dibiarkan berlalu kerana dia tiada hak untuk mengambil tahu urusan keluarga itu. Dia berada disitu hanya atas urusan kerja semata-mata. Tidak boleh lebih dari itu.

            “Boleh tak bawa turun semula makanan saya, saya nak makan kat taman diluar.” Kata Nina lagi.

            “Enggak boleh begitu puan, nanti saya bisa dimarah Encik El, puan kan masih belum sihat lagi.”Kata Rosyanti takut-takut.

            “Tolonglah, saya dah bosan duduk terperuk je dalam bilik, kalau selalu macam ni, lagi bertambah parah sakit saya nanti.” Pujuk Nina.

            “Aduh puan, kalau begitu nanti saya bawakan makanannya tapi puan mesti janji, jangan dikasi tahu sama Encik El, nanti saya juga yang susah.” Rayu Rosyanti.

            “Terima kasih, saya janji akan rahsiakan hal ni.”Nina tersenyum manis. Kadangkala terhibur juga dia tengok ulah Rosyanti yang mementingkan masa depan kerjayanya.

            Rosyanti pantas mengambil semula dulang berisi makanan Nina dan dibawa turun ke halaman depan. Nina hanya membuntuti lambat-lambat dari belakang. Walaupun belum pulih sepenuhnya, Nina rasa dia semakin kuat. Kalau mula-mula dulu dia perlu dipapah untuk bergerak ke mana-mana tetapi kini semua itu boleh dilakukan sendiri.

            Nina nekad, selepas dia sihat kembali, dia akan mengakhiri semua itu. Perkahwinan yang terjadi atas dasar keterpaksaan itu tidak membawa apa-apa makna kepada dirinya mahupun Daniel Arman, tiada guna sekiranya dia masih berada di banglo besar itu. Sudah tentu Daniel Arman turut ingin bebas dari rantai yang mengikatnya kini. Selepas ini tiada alasan lagi untuk lelaki itu meneruskan perkahwinan mereka. Daniel Arman akan kembali bebas untuk mencorak kehidupannya sendiri, tidak perlu lagi dibebankan dengan ikatan yang lelaki itu sendiri benci.

            Rosyanti berlalu meninggalkan Nina mengambil angin pagi di halaman rumah. Dia kembali ke dalam rumah bagi meneruskan pekerjaannya yang tertangguh. Nina menghirup kopi panas yang disediakan untuknya. Terasa segar dapat keluar sekali sekala untuk mengambil angin di luar.

            Di situ segala-galanya indah pada pandangan mata kasar namun bagi Nina, banglo Datuk Zainudin tidak lebih dari penjara yang merantainya disitu. Datuk Zainudin sendiri tidak pernah melayannya dengan baik, jika tidak sebagai menantu sekalipun dia mengharapkan lelaki itu melayannya sebagai anak kepada bekas pekerjanya dulu. Namun Nina pasrah, Datuk Zainudin tidak mungkin dapat menerimanya disitu, kehadirannya hanya dianggap sebagai musibah kepada keluarga besar itu oleh Datuk Zainudin walhal Datuk Zainudin lupa bahawa yang membawa kepada semua peristiwa yang berlaku adalah akibat perbuatan anaknya sendiri. Samada dia lupa ataupun dia terlalu ego untuk mengakui kesilapan yang dilakukan oleh anak kesayangannya sendiri.

            Selepas ini tentu Datuk Zainudin tidak sabar-sabar untuk melepaskannya pergi dari situ. Keluarga Datuk Zainudin sudah terlepas dari satu bebanan tanggungjawab yang besar. Mustahil bagi Datuk Zainudin untuk membenarkan Nina tinggal disitu lagi. Nina pasrah, apapun keputusan Datuk Zainudin dia akan terima. Hatta diceraikan oleh Daniel Arman juga dia sanggup kerana selama ini dia hanya mengikat lelaki itu dalam ikatan yang bersimpul. Bertanggungjawab ke atas kesalahan orang lain. Sesiapapun di tempat Daniel Arman pasti akan marah.

            Bubur yang disediakan oleh Rosyanti disuap perlahan-lahan. Seleranya mati setelah terbeban dengan semua yang terjadi namun kehidupannya perlu diteruskan. Walaupun terasa pahit dengan hakikat hidupnya namun Nina pasrah. Tiada apa yang boleh dia lakukan, dia hanya menerima ketentuan takdir. Mustahil bagi dirinya untuk mengundur kembali masa lalu.





Usai mandi tadi, Nina berdiri di balkoni bilik. Dia membuang pandang ke arah kereta yang lalu-lalang dijalan raya. Kesihatannya sudah semakin pulih. Angin malam menyapa lembut tubuhnya, terasa sedikit segar dengan udara yang disedutnya.

            Nina kembali ke bilik apabila menyedari malam semakin menginjak. Tubuhnya direbah ke katil. Dia termenung jauh sambil merenung syiling. Sepanjang dia tidak sihat itu, dia dijaga dengan baik. Daniel Arman seringkali mengambil berat akan hal dirinya walaupun hanya melalui bibiknya Rosyanti. Nina tahu Daniel Arman lelaki baik. Lelaki itu juga sepertinya, menjadi mangsa keadaan.

            Dalam jauh mengelamun, mata Nina terasa berat, tanpa dia sedari dia sendiri tertidur. Sudah lama dia tidak dapat tidur lena. Mimpi malamnya kadangkala diganggu oleh bayangan Danish Arham yang cuba menodainya. Sekali sekala dia terjaga bila dirasakan mimpi yang dialami seolah-olah benar-benar berlaku. Cuma dia rasakan beberapa hari kebelakangan ini, tidurnya tidak lagi diganggu oleh bayangan itu.

            Nina yang nyenyak tidur tiba-tiba terjaga apabila dia merasakan ada jari-jemari yang mengelus-ngelus lembut wajahnya. Nina buka matanya. Apabila terlihat ada kelibat yang sedang berdiri di tepi katilnya Nina jadi panik. Dia bingkas bangun lalu mengensot ke kepala katil.

            “Tolong jangan apa-apakan saya.” Rayu Nina, tubuhnya menggigil menahan rasa takut. Airmatanya sudah mula mengalir. Terbayang kejadian hitam yang pernah dia alami.

            “Maaf, aku El.”Kata Daniel Arman, kasihan melihat wajah Nina yang ketakutan.

            “El, tolong jangan apa-apakan saya.” Rayu Nina lagi, bimbang Daniel Arman turut mengikut jejak langkah Danish Arham.

            “Aku tak berniat apa-apa.”Daniel Arman mengundur beberapa langkah ke belakang. Dia tahu kehadirannya disitu menyebabkan Nina takut.

            “Maafkan aku.”Daniel Arman terus berlalu. Kesal kerana tidak dapat menahan dirinya sehingga membawanya ke situ.

            Nina masih duduk menyandar di kepala katil sambil memeluk tubuhnya. Bayangan kejadian hitam yang pernah dialaminya terlayar semula diminda. Rasa takutnya masih bersisa. Dia sendiri tidak tahu niat Daniel Arman masuk ke biliknya. Rasa mengantuknya hilang lantaran kejadian itu.





Nina turun ke tingkat bawah, biasanya pada waktu begitu, Datin Rogayah akan bersantai-santai diruang tamu sambil membelek-belek buku resepi. Memang itu sudah menjadi hobi Datin Rogayah, walaupun perkenalan mereka masih baru, namun Nina sudah dapat membaca kegemaran wanita separuh abad itu.

Sudah hampir dua minggu Datuk Zainudin dan Datin Rogayah pulang dari Jepun. Nina rasa sudah tiba masanya dia memberitahu Datin Rogayah tentang perancangannya. Hanya wanita itu yang sudi menerima kehadirannya disitu, disebabkan itu juga dia lebih selesa untuk meluahkan apa yang dia rasa kepada Datin Rogayah.

“Datin, boleh tak Nina nak cakap sesuatu.” Nina bersuara apabila menghampiri sofa. Dia mengambil tempat di sofa bahagian kanan Datin Rogayah.

Datin Rogayah hanya mempamerkan senyuman sebaris. Walaupun sudah hampir sebulan menetap disitu, gelaran datin masih lagi meniti dibibir Nina, dia tahu Nina masih janggal untuk memanggilnya dengan paggilan mesra. Mungkin masih terasa ada jurang pemisah diantara mereka atau mungkin juga hubungan majikan dan pekerja yang sudah lama terjalin diantara keluarga Datuk Zainudin dengan arwah ibunya dulu.

Ada hal apa?” Tanya Datin Rogayah lembut.

“Nina nak cakap pasal hubungan Nina dengan El.” Ujar Nina lambat-lambat. Sudah tiba masanya dia mengakhiri semua itu.

“kenapa dengan hubungan Nina dan El?” Datin Rogayah berpura-pura bertanya, berharap prasangkanya tidak benar.

“Datin pun tahu macam mana hubungan Nina dengan El, semua yang berlaku bukan kehendak kami, kami terpaksa terima semua ni, tidak adil bagi El terpaksa terikat dengan Nina sedangkan dia ada perancangan masa depan sendiri.” Terang Nina, cuba menyampaikan maksud hatinya dengan cara yang paling lembut.

“Maksud Nina?” Datin Rogayah pura-pura bertanya walhal dia sudah dapat menangkap maksud kata-kata Nina.

“Nina nak minta El ceraikan Nina.” Kata Nina ringkas. Jari-jemarinya ditautkan antara satu sama lain. Mencari kekuatan untuk dia terus berterus terang.

“Astagfirullahalazim, kenapa Nina cakap macam tu.”Datin Rogayah kecewa kerana telahannya benar.

“Datin, tiada gunanya ikatan ni kalau El buat hal El, Nina buat hal Nina, lagipun El dah tak perlu nak pikul tanggungjawab lagi. El pun tak cintakan Nina, dia berhak tentukan masa depan dia, berkahwin dengan pilihan hati dia. Dia tak kan bahagia kalau masih terperangkap dalam ikatan ni.”

“Nina, semua ni takdir, kita kena redha dengan ketentuan Allah. Jangan permainkan hukum Allah, hubungan perkahwinan bukannya benda yang boleh dibuat main, senang-senang kahwin kemudian senang-senang pula cerai, berdosa. Walaupun Islam membenarkan penceraian tapi ia tetap perkara yang tidak Allah sukai.” Datin Rogayah berharap kata-katanya menyedarkan Nina.

“Tapi macam mana kami nak teruskan kalau masih macam ni sampai bila-bila.”Sambung Nina, berharap Datin Rogayah memahami situasi yang dialami dia dan Daniel Arman.

“Kebahagian tak kan muncul kalau kita  tak berusaha, ambil lah masa.” Datin Rogayah masih berusaha memujuk. Dia pasti Daniel Arman akan dapat menerima Nina suatu hari nanti.

“Maafkan Nina datin, Nina rasa tiada apa-apa untuk dipertahankan lagi, perkahwinan kami pun dalam keadaan terpaksa, sekarang El tak perlu nak bertanggungjawab atas apa-apa lagi, Nina rasa penceraian jalan terbaik buat kami. Biar El pilih  jalan hidup dia sendiri daripada terus terikat dengan Nina.” Sambung Nina.

“Oh, jadi selama ni kau hanya nak gunakan El sahaja?” Tiba-tiba Datuk Zainudin menyoal dari anak tangga.

“Lepas anak haram tu dah tak ada, kau  nak larikan diri, selama ni kau hanya gunakan keluarga aku untuk tutup malu kau. Orang kebanyakan macam kau memang suka ambil kesempatan atas orang kaya macam kami.” Datuk Zainudin bersuara sinis seraya mengambil tempat disebelah Datin Rogayah. Akhbar ditangan dibelek-belek.

“Astagfirullahalazim, kenapa abang cakap macam tu, anak tu tetap cucu abang.”Datin Rogayah kecewa dengan kata-kata Datuk Zainudin.

“Datuk, saya tak pernah berniat nak ambil kesempatan ke atas keluarga datuk, selama ni saya cuma harap Dan bertanggungjawab atas perbuatan dia. Saya cuma kasihankan El sebab terpaksa terikat dengan perkahwinan yang dia sendiri tidak rela. Tak lebih dari itu.” Nina membela diri, tuduhan Datuk Zainudin kepadanya sangat keterlaluan.

“Bukan ke dulu, kau sangat yang nak jadi menantu keluarga ni, kenapa sekarang nak minta cerai pula. Kau ingat lepas anak tu mati, kau senang-senang je boleh lari. Disebabkan kau yang beria-ia nak kahwin dengan anak aku dulu, jadi sekarang ni, El tak kan ceraikan kau, tapi dia akan gantung kau tak bertali. Kau peganglah gelaran isteri tu sampai bila-bila. Aku tak kan benarkan El ceraikan kau. Kalau dia nak ceraikan juga, langkah mayat aku dulu. Aku cuma nak bagi apa yang kau beria-ia minta dulu. Lepas ni kau boleh keluar dari rumah ni, tapi untuk El ceraikan kau, perkara tu tak kan terjadi.” Datuk Zainudin bersuara lantang. Memang sejak dulu dia bencikan orang seperti Nina.

Datin Rogayah sudah berlinangan air mata mendengarkan kata-kata suaminya. Dia kecewa kerana Datuk Zainudin membuat keputusan terburu-buru.

“Bang, kenapa cakap macam tu, kita tunggulah El balik. Bagi dia buat keputusan sendiri.” Rayu Datin Rogayah.

“Keputusan aku, keputusan dia!” Tegas Datuk Zanudin memberi keputusan.

“Saya boleh pergi dari sini, tapi datuk kena ingat, datuk bukan sahaja merantai saya tapi datuk turut merantai anak datuk dalam ikatan ni.” Nina hilang sabar. Dia bangun untuk berlalu dari situ. Ketegasan Datuk Zainudin tidak bertempat.

“Dan kau pun jangan lupa, El boleh berkahwin empat, dia lebih daripada mampu. Masih ada tiga lagi tempat kosong. Dia tak pernah terikat dengan kau!” Kata Datuk Zanudin sebelum Nina berlalu.

Nina sedih, begitu hina sekali dirinya dimata Datuk Zainudin. Datuk Zainudin sanggup menghukumnya sedemikian. Tidak cukupkah lagi dengan apa yang telah dilakukan Danish Arham. Kini Datuk Zainudin merantai kakinya dengan ikatan perkahwinan itu. Umpama burung yang dilepas dari sangkar tetapi kaki masih diikat dan tidak mampu untuk dia terbang bebas.

Airmata Nina mengalir laju, tiada apa-apa lagi yang tinggal untuknya disitu. Datuk Zainudin sudahpun menyuarakan keputusannya. Nina akan segera pergi, meninggalkan istana besar yang ibarat neraka baginya. Tiada kasih sayang di situ, yang ada hanya benci yang menyeliputi hati Datuk Zainudin.





Pemandangan indah di luar balkoni bilik sedikit pun tidak menarik perhatian Daniel Arman. Kata-kata Datin Rogayah masih terngiang-ngiang di telinganya. Kesal kerana kisahnya diakhiri begitu, lebih kesal lagi kerana Datuk Zainudin bertindak membuat keputusan bagi pihaknya. Dia cuma berharap dirinya punyai lebih masa untuk berfikir. Peristiwa perkahwinannya juga terjadi dengan tiba-tiba. Kini perngakhiran rumah tangganya juga berlaku dengan tiba-tiba.

            Daniel Arman tidak tahu apa yang dia lebih kesal, adakah kerana Nina dihalau tanpa diceraikan terlebih dahulu ataupun keputusan yang telah dibuat oleh Datuk Zainudin tanpa meminta pendapatnya terlebih dahulu.

            Selama dia hidup, begitulah sikap yang dipamerkan Datuk Zainudin, suka menentukan apa yang boleh dan tidak boleh untuk dirinya. Dia sentiasa berada dalam konkongan lelaki itu. Jika tidak kerana rasa hormat kerana lelaki itu bapanya, sudah lama dia melawan, namun memikirkan bukan itu yang menjadi didikan Datin Rogayah, dia bersabar melayani kerenah Datuk Zainudin.

            Daniel Arman menghela nafas. Perkenalan singkat antara dirinya dan Nayli Imanina dirasakan baru berputik. Dia baru merasakan rasa kasih yang menular dalam hatinya namun belum pun terungkap rasa kasih itu, Datuk Zainudin sudah mencantasnya. Terlanjur gadis itu menjadi isterinya, dia akan belajar menerima Nina, mencintai Nina sebagai seorang suami. Berharap agar rasa cinta, kasih dan sayang menyelimuti rumahtangga mereka walaupun pada dasarnya ia dibina bukan atas dasar cinta.

            Daniel Arman kembali ke katil, tubuhnya direbahkan. Dia merenung jauh ke syiling rumah. Setelah hampir sebulan meninggalkan bilik itu, dia kembali semula. Terasa kesal kerana selama Nina berada di rumah itu dia tidak pernah cuba untuk mengenali gadis itu dengan lebih rapat. Kini bila Nina telah pergi dari hidupnya, dia terasa kesunyian. Sunyi kerana ada satu perasaan istimewa yang menjalar dihatinya untuk Nina.

p/s-agak2nya dah ada putik2 cinta ke....


14 comments:

  1. Best citer ni. Bila nak sambung? Hihihi. Tak sabar nak bace.

    ReplyDelete
  2. simpati dgn daniel..npa la ayh dia wt dia cmtu..
    kesian jgk ngn nina..

    [hawa]

    ReplyDelete
  3. sudah ada rasa sayang di hati El.....

    ReplyDelete
  4. apa jadi dgn nina bla dia dah kuar dr rmah 2??

    ReplyDelete
  5. bila orang tu dah tak der depan mata baru la nak rindu2an...tanggung ler sorang2 El...

    ReplyDelete
  6. BEST NAK LAGI

    ReplyDelete
  7. bengong betul la datuk tu, eeeeeeeeiii. den geram la dgn org mcmni cik tulip...

    ReplyDelete