Friday, 28 December 2012

SAAT HADIRNYA CINTA-BAB 4

kepada yang tinggalkan komen, terima kasih banyak2 atas sokongan kalian. jom ikuti sambungannya n cik tulip nk minta maaf sekiranya ada kesilapan ejaan atau nama atau lain2 sbb xsempat nak edit..Cik tulip taip laju2 n tak sempat nak baca smula..harap2 tiada kesilapan la yerk...huhu...harap semua suka dgn n3 kali ni...n lagi satu, ada yg tanya ini cerpen or e-novel...utk pengetahuan smua ini merupakan e-novel yg akan habis di blog :)

BAB 4

Suasana di dalam kereta hanya senyap sejak mereka bertolak awal tadi. Zaliya lebih banyak membuang pandang ke arah pemandangan di luar kereta sementara Ridza lebih menumpukan perhatiannya pada pemanduan sahaja. Tiada perbualan yang tercetus antara keduanya. Zaliya sebenarnya masih marah dengan keputusan Ridza untuk berbulan madu ke Kedah. Tidak tahu bulan madu yang bagaimana yang dimaksudkan oleh lelaki itu kerana dia tiada hati mahu berbulan madu dengan lelaki itu.

            Zaliya leka memerhatikan jalanraya sehinggalah kereta yang dipandu oleh Ridza memasuki jalan kecil yang terdapat tanaman pokok pisang di kiri kanan jalan. Melihatkan pada suasana di tempat itu, dia tahu tempat yang akan mereka tuju itu jauh dari dunia luar. Setelah hampir satu kilometer, hanya pohonan pisang sahaja yang mengisi ruangan matanya. Tiada kedai atau pondok-pondok rumah seperti rumah kampung yang dilihat seawal mereka masuk ke kawasan kampung itu tadi.

            Setelah hampir dua kilometer melepasi kebun pisang itu, Ridza perlahankan keretanya saat dia tiba di sebuah rumah yang dibina dengan kayu. Rumah dua tingkat itu dihiasi dengan ukiran-ukiran unik yang terdapat pada bumbung dan tingkap rumah. Cantik dan indah, desis hati Zaliya. Namun sejurus dia teringatkan akan kesunyian di situ, dia rasa takut pula. Bimbang kerana hanya tinggal dia dan Ridza sahaja di rumah itu kelak. Tiba-tiba jantungnya berdegup laju.

            “Tolong keluarkan semua beg-beg kat bonet tu.” Suruh Ridza sejurus dia berjalan menuju ke pintu rumah.

            Zaliya hanya menurut. Belakang Ridza diperhatikan dari tempat dia berdiri. Benarkah Ridza sekejam yang dia sangka?. Atau sebenarnya dia yang tidak melembutkan hatinya untuk mendengar penjelasan lelaki itu? Entah kenapa tiba-tiba pula dia terfikirkan perkara itu. Bunyi kunci yang jatuh ke lantai menyentak seketika lamunan Zaliya. Dia pantas menuju ke belakang kereta. Bonet yang sedia dibuka oleh Ridza di angkat dan sejurus itu dia mengeluarkan kesemua beg-beg yang ada.

Beg-beg itu kemudiannya diangkat ke hadapan pintu rumah. Ridza dilihatnya turut melakukan perkara yang sama. Sepanjang seminggu menjadi isteri lelaki itu, dia tidak nampak sisi Ridza yang tidak menyenangkan hatinya, cuma pada malam perkahwinan mereka sahaja lelaki itu seolah-olah mahu mengasarinya tetapi tidak jadi meneruskan niatnya. Hal itu berlakupun kerana berpunca dari dirinya juga. Dia yang terlebih ‘kurang ajar’ dengan lelaki itu. Namun apabila difikir-fikir semula, memang Ridza bersalah kerana merahsiakan perkara perkahwinan lelaki itu. Jika semenjak awal lagi Ridza berterus terang dengannya, mungkin penerimaannya tidak akan sebegitu teruk.

            Zaliya tarik nafasnya dalam-dalam. Bagaimana dia mahu menwujudkan ‘mood’ baik antara mereka kerana asas perhubungan mereka sebenarnya dibina di atas satu pembohongan. Pembohongan yang pada pandangan Zaliya terlalu besar untuk dimaafkan dalam sekelip mata. Dia juga hanya manusia biasa, yang punyai perasaan marah apabila tahu diri dikhianati.

            “Apa yang tercegat lagi tu, cepatlah masuk.” Kata-kata Ridza mematikan lamunan Zaliya. Dia pantas tanggalkan sandalnya lalu melangkah masuk ke dalam ruang bawah rumah tumpangan itu. Dilihatnya hiasan dalaman rumah itu lengkap. Semua perabot rumah tersusun rapi. Lengkap, bisik hati Zaliya. Benar, memang tiada apa yang kurang dalam rumah itu. Segalanya lengkap. Dengan susun atur perabot dan ruang dapur yang luas serta dilengkapi dengan peralatan memasak.

            “Abang nak keluar sekejap, nak pergi ke kedai, cari barang untuk bekalan memasak seminggu dua ni.” Kata Ridza tiba-tiba.

            Zaliya yang leka memandang ke segenap ruang rumah tersentak. Wajah Ridza dipandang seketika. Kacak, detik hati Zaliya. Lelaki sekacak Ridza dan perempuan serba kekurangan sepertinya. Entah bagaimana dia boleh terperangkap dengan lelaki itu. Zaliya berdesis dalam hati.

“Tolong bawa beg abang ni ke bilik kat tingkat atas.” Sambung Ridza apabila Zaliya hanya memandangnya tanpa balasan kata. Tidak mengerti dengan pandangan Zaliya. Panangan marah, suka atau benci?.

Sekali lagi Zaliya hanya menurut arahan Ridza. Lidahnya masih kelu mahu membalas kata-kata lelaki itu. Tidak tahu kata apa yang boleh diluah kerana jauh di sudut hatinya, dia masih marahkan lelaki itu.

 

Terkejut Zaliya apabila pintu biliknya tiba-tiba dikuak dari luar. Dilihatnya Ridza sudah masuk ke dalam bilik keletihan. Zaliya kerling jam di dinding bilik tidur utama utama itu. Jam sudah menunjukkan pukul 9 malam. Bermakna lelaki itu sudah keluar selama tiga jam.

            Zaliya sangkutkan telekungnya ke penyidai kayu yang tersedia. Dia tidak berminat mahu bertanya lanjut ke mana Ridza menghilang kerana dia tidak mahu mengambil tahu perihal lelaki itu.

            “Abang ada beli makan malam. Nanti Liya tolong hidangkan. Abang nak mandi dulu. Lepas ni kita makan sama-sama.” Ujar Ridza seraya membuka baju T-shirtnya. Besar harapannya bulan madu itu akan merapatkan hubungannya dengan Zaliya. Dia tahu Zaliya masih marah namun dia juga perlukan Zaliya memberinya ruang dan peluang supaya dia boleh berterus terang.

            Zaliya hanya berlalu ke tingkat bawah tanpa membalas kata-kata Ridza. Malah dia juga tidak berani mahu memandang tubuh lelaki itu yang terdedah. Walaupun dia sedar, dia juga tidak dapat melarikan matanya dari mencuri pandang tubuh Ridza sekali sekala. Tubuh sasa yang menggetarkan naluri wanitanya. Namun dia tawar hati untuk bermesra dengan lelaki itu lantaran penipuan Ridza terhadapnya.

            Zaliya menghidangkan laksa yang dibeli oleh Ridza di atas meja makan. Dia kemudiannya beralih ke sofa ruang tamu sementara menunggu Ridza turun. Janggal pula dia rasakan apabila terpaksa berdua-duaan begitu dengan lelaki itu. Tidak tahu bagaimana untuk bereaksi.

            “Jom makan.” Tiba-tiba terdengar suara Ridza menegurnya dari belakang.

            Zaliya bingkas bangun dari duduk. Sejurus berpaling dia terpanar melihat Ridza. Matanya itu seolah-olah terpaku pada Ridza yang hanya berseluar trek tanpa baju menutupi tubuhnya. Berdegup kencang jantung Zaliya untuk seketika. Terasa debaran dadanya meningkat dua kali ganda. Melihat Ridza berkeadaan begitu membuatkan hatinya itu tidak senang. Mengapa harus ada getar jika hatinya membenci? Mengapa dia harus berdebar jika hatinya itu tidak sudi?

            Ridza tersenyum memandang Zaliya yang sudah merah muka.

            “Abang panas. Lepas ni pakai semula baju.” Tutur Ridza kemudiaannya.

            Panas konon. Entah-entah cuba nak cairkan hati aku. Detik Zaliya sendiri. Dia pantas melangkah menuju ke dapur tanpa memandang wajah Ridza. Entah apa perasaan yang baru bertandang itu dia tidak tahu. Tetapi yang dia pasti, dia tidak mahu hanyut dengan Ridza. Biar seribu kali Ridza mendekat, dia akan beribu-ribu kali juga menjauh. Penipuan Ridza masih mengisi ruang mindanya, dan dia tidak mahu tunduk kepada lelaki seperti Ridza. Itu nekad Zaliya dalam hati.

 

“Ini untuk Liya.” Kata Ridza seraya meletakkan beg kertas di tangan ke sisi Zaliya yang duduk di birai katil. Dia turut melabuhkan duduknya bersebelahan beg yang baru diletakkan sebentar tadi.

            “Bukalah.” Katanya lembut sejurus duduk. Walaupun Zaliya masih dingin dengannya, namun dia masih tidak putus asa untuk memenangi hati wanita itu terlanjur Zaliya sudah menjadi isterinya.

            Zaliya tanpa suara membuka bungkusan itu. Namun sejurus dia melihat isinya, pantas tangannya membaling isi beg itu ke lantai.

            “Tak perlu nak buat semua ni sebab hati ni masih belum berubah!.” Keras nada Zaliya menuturkan kata-kata itu.

            Ridza yang tertegun dengan tindakan Zaliya terperanjat. Dia pantas bangun dan meraih kembali gaun tidur nipis yang dibelikan untuk Zaliya petang tadi. Terasa panas hati pula bila Zaliya seolah-olah tidak menghargai pemberiaannya sedangkan dia berusaha membeli baju itu di pekan. Puas mencari kedai pakaian dalam sehingga dia keletihan dan hasilnya Zaliya pula tidak menghargai pemberiaannya. Perbuatan Zaliya itu memang membuatkan hatinya hangat.

            Dia sudah berusaha mahu meraih perhatian Zaliya namun Zaliya yang seolah-olah keras hati dengannya.

            “Tolonglah Liya, bagi abang peluang untuk ceritakan hal sebenar.” Kata Ridza. Seboleh-bolehnya dia merendahkan egonya supaya Zaliya memberinya peluang.

            “Tak perlu!.” Kata Zaliya dingin.

            “Macam mana hubungan kita nak elok kalau Liya masih bersikap macam ni.” Kata Ridza lagi. Sejujurnya dia juga sudah semakin hilang sabar dengan sikap dingin Zaliya.

            “Hubungan kita setakat ni sahaja. Tak perlu lebih-lebih.” Balas Zaliya senada. Dingin dan keras.

            “Liya jangan paksa abang sesuatu yang abang sendiri tak suka.” Cabar Ridza apabila Zaliya membalas kata-katanya begitu. Dia tidak mahu mengasari Zaliya. Tetapi jika Zaliya terus mendesaknya, mahu juga dia mengajar Zaliya supaya lebih menghormatinya sebagai suami.

            “Kalau tak suka kita bercerai.” Balas Zaliya tanpa perasaan bersalah. Entah kenapa hatinya itu keras pula mahu berbaik-baik dengan Ridza walaupun dia sebenarnya tidak berniat menuturkan kata-kata itu. Memang dia tidak rela menjadi isteri kedua Ridza namun dia juga tidak boleh menafikan yang ikatan mereka masih terlalu awal untuk ditamatkan.

            Hati Ridza yang semakin panas dibakar dengan kata-kata Zaliya semakin hilang sabar. Dia kemudiannya tersenyum sinis. Mahu menjinakkan Zaliya memang tidak boleh dengan cara lembut. Desisnya dalam hati. Zaliya memang perlu diajar. Diajar supaya lebih menghormatinya.

            “Kalau tak nak pakai baju yang abang bagi pun takpe, tapi yang penting malam ni abang tetap mahukan layanan dari Liya.” Putus Ridza seraya berdiri hampir dengan Zaliya. Dia sudah penat menanti Zaliya datang kepadanya dengan rela hati. Wajah Zaliya direnung dalam. Cukup tajam supaya maksud yang cuba disampaikan melalui pandangan mata itu mampu difahami oleh Zaliya.

            “Jangan harap yang lebih-lebih sebab hubungan kita takkan ke mana-mana!.” Balas Zaliya tegas. Dia mahu berlalu meninggalkan Ridza namun belum sempat dia melangkah, pergelangan tangannya sudah ditangkap oleh Ridza.

            “Kalau Liya tak relakan, abang akan paksa. Cuba la halang abang.” Kata Ridza seraya menolak tubuh Zaliya rapat ke dinding.

            Jantung Zaliya sudah berdebar kencang. Ridza memang nampak nekad. Dan dia pula sudah tersilap kerana mencabar lelaki itu ditahap maksimum. Bukan dia tidak tahu Ridza memang selalu bertindak di ‘luar batasan’ apabila dia bertindak melawan kata-kata lelaki itu.

            “Macam mana?..nak abang paksa atau Liya nak menyerah sendiri?” Soal Ridza dalam senyum sinis. Zaliya memang perlu diajar sekali sekala.

            Zaliya yang sudah sesak nafas dihimpit oleh tubuh Ridza cuba menolak tubuh lelaki itu menjauh walaupun dia tahu usahanya itu hanya sia-sia. Tiba-tiba ada rasa sebak yang menyerbu dadanya. Tegarnya Ridza memberinya pilihan begitu.

            “Abang dah bosan merayu-rayu pada Liya.” Sambung lelaki itu seraya memainkan jari jemarinya di bibir Zaliya lalu memagut kasar bibir Zaliya.

            Zaliya hanya terpaku berdiri tanpa mampu melawan perbuatan Ridza. Dia tahu andai melawan sekalipun belum pasti dia boleh menandingi kudrat Ridza. Penyudahnya dia hanya membiarkan Ridza memperlakukan apa sahaja padanya.

            Sejurus beberapa minit berlalu, Ridza melepaskan bibirnya. Zaliya memejam rapat matanya, tidak rela Ridza memperlakukan dirinya begitu.

            “Kalau Liya tak melawan sangat, tentu abang tak layan Liya macam ni.” Tutur Ridza seraya menarik tangan Zaliya ke katil.

            “Jangan salahkan abang sebab Liya yang suka abang gunakan cara macam ni.” Ujar Ridza lagi seraya menolak Zaliya ke tilam.

            Sekali lagi Zaliya pejamkan matanya. Dia tidak rela. Tidak rela menyerah kepada Ridza namun dia tidak berdaya mahu melawan. Dalam hatinya dia menyumpah-nyumpah lelaki itu. Bencinya semakin mengunung. Sejurus lelaki itu membuka pakaiannya, hatinya menangis sedih, merintih pilu. Sungguh dia tidak rela diperlakukan begitu. Dia bencikan Ridza! Benci kerana lelaki itu menggunakan cara yang kotor untuk mendapatkannya!.

 

Zaliya bingkas bangun sejurus Ridza berlalu ke bilik air. Hujan lebat diluar seolah-olah memahami pilu hatinya saat itu. Air matanya yang mengalir laju sejurus Ridza ‘menakhluki’nya tadi masih bersisa. Rasa sedihnya tidak mampu dibendung, Zaliya menangis lagi. Sungguh Ridza kejam!.

            Zaliya pantas sarungkan semula baju ke tubuhnya yang tidak dibaluti apa-apa. Tidak betah dia mahu menghadap muka Ridza selepas apa yang lelaki itu lakukan padanya sebentar tadi. Dia tidak mahu tinggal bersama-sama lelaki itu lagi. Dia benci pada Ridza! Sungguh dia benci!. Zaliya berlari keluar dari bilik dalam air mata yang masih setia mengalir. Marah, geram, sedih dan pilu bergabung menjadi satu rasa yang bergayut dihatinya saat itu. Dia sudah tidak peduli, dia tidak mahu hidup bersama dengan lelaki kejam seperti Ridza.

            Zaliya buka pintu utama rumah tumpangan itu lalu dia berlari keluar. Tidak peduli lagi pada hujan yang mencurah-curah lebatnya. Hatinya itu terlalu pedih dan sedih. Dia tidak tahu mahu berlari ke mana namun yang pasti dia mahu lari jauh dari Ridza. Jauh sehingga lelaki itu tidak akan menemuinya lagi. Zaliya berlari dan terus berlari, meninggalkan rumah tumpangan itu jauh dibelakang. Sekali sekala dia terlanggar dengan daun-daun pisang yang lebat namun dia teruskan jua lariannya. dia kesatkan air matanya yang bersatu dengan air hujan yang jatuh ke pipinya. Sedihnya sudah tidak mampu dibendung, pilunya sudah tidak tertanggung. Kakinya yang lenguh dan sakit tidak dipedulikan lagi. Dipaksakan jua kakinya melangkah walaupun dia sudah tidak berdaya.

            Zaliya sapu kasar air matanya yang masih mengalir, kakinya serasa sudah tidak berdaya lagi. Penat, namun dia masih belum mahu berhenti, Zaliya gagahkan jua namun dia tersungkur akhirnya. Zaliya teresak-esak menangis. Sebahagian wajahnya tenggelam dalam air hujan yang menakung di tanah tempat dia terjatuh. Untuk bangun dia rasa sudah tidak berdaya. Kepenatan dan kesedihan menjadikan dia lemah. Kesejukan yang dirasakan pada tubuhnya sudah tidak dipedulikan lagi. Wajah Zamri, Umar, Amirul dan Ridza bersilih ganti mengisi ruang mindanya. Mengapa?, mengapa mereka terlalu kejam terhadapnya?. Zaliya hanya mampu mengalirkan air matanya dalam kepenatan. Dalam rasa sedih yang tidak mampu dia hilangkan Zaliya akhirnya tidak sedarkan diri. Dia pengsan.

 

Ridza keluar dari bilik air dengan hanya tuala yang membaluti tubuhnya. Dia membuang pandang ke katil yang kosong. Tiada kelibat Zaliya di situ. Ridza mara ke arah katil untuk memastikan matanya tidak silap. Namun yang hanya tertangkap oleh matanya hanyalah pakaian dalam Zaliya yang ditinggalkan di lantai. Persalinan Zaliya juga sudah tiada. Hairan, itulah yang Ridza rasakan saat itu. Hatinya itu sudah tidak sedap apabila Zaliya tiada di situ.

            Ridza pantas menyarungkan pakaian ke tubuhnya. Dia kemudiannya bergegas ke tingkat bawah. Mana tahu jikalau Zaliya marahkannya dan menyendiri di tingkat bawah. Ridza langkahkan kakinya laju ke arah tangga, namun sejurus dia tiba dipertengahan anak-anak tangga itu, dilihatnya pintu hadapan rumah sudah terbuka luas. Jantungnya tiba-tiba berdetak laju. Ridza berlari ke segenap ruang rumah. Memeriksa sekiranya Zaliya masih ada di situ. Namun dia tidak menemukan Zaliya di mana-mana. Mungkinkah?. Mungkinkah Zaliya lari keluar dari rumah itu?. Jam di dinding rumah dikerling sekilas, sudah jam 12 malam. Ke mana Zaliya menghilang? Ridza laju berlari menuju ke pintu hadapan. Matanya dibuang ke arah gelap malam di hadapan. Dia takut memikirkan kemungkinan itu. Ada rasa risau dan bimbang yang bergabung menjadi satu. Tiba-tiba dia kesal dengan perbuatannya terhadap Zaliya tadi. Jika dia tidak mengasari Zaliya sudah tentu Zaliya tidak senekad itu.

            “Liya!” Panggil Ridza kuat ke arah hadapan. Rambutnya dilurut kasar.

            “Zaliya!.” Panggil Ridza lagi namun tiada sahutan yang dia terima. Berdegup laju jantung Ridza memikirkan kemungkinan yang berlaku. Kemungkinan yang Zaliya berada di luar sana dalam hujan lebat yang mencurah-curah.

            “Liya!” Panggil Ridza lagi. Buntu.

            “Liya, tolong jangan buat abang risau macam ni.” Akhirnya Ridza mengeluh perlahan. Kesal dengan perlakuan tidak matangnya sehingga Zaliya melarikan diri.

            Puas memanggil Zaliya Ridza akhirnya berlari keluar, kerisauannya membuatkan dia tidak mampu berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa. Dia perlu mencari Zaliya!.

            “Liya!.” Panggil Ridza lagi seiring dengan lariannya dalam hujan. Buntu tidak tahu di mana harus dia mulakan pencariannya.

            “Liya!, tolong jangan buat abang macam ni. Maafkan abang.” Laung Ridza kuat namun kakinya tetap laju berlari. Sekali sekala wajahnya yang dipenuhi air hujan di raup dengan tangan.

            “Liya! Maafkan abang!.” Kata Ridza lagi. Dia berlari ke kanan dan kiri. Mencari-cari kelibat Zaliya.

            Puas berlari dan mencari, Ridza akhirnya berhenti seketika. Tiba-tiba hatinya jadi sebak. Teringatkan akan perbuatannya pada Zaliya. Mendatangi Zaliya tanpa kerelaan wanita itu.

            “Maafkan abang.” Tutur Ridza kesal sambil menyapu air hujan yang sudah bersatu dengan air matanya.

            “Abang janji takkan buat lagi.” Rintihnya sendiri. “Tolong jangan buat abang risau macam ni.” Sambungnya sebak.

            Ridza berjalan perlahan apabila panggilannya tidak bersambut, luahannya tidak bersahut. Dia menapak tanpa arah tujuan. Hanya berjalan dengan harapan Zaliya akan kembali kepadanya.

            “Maafkan abang Liya. Abang janji takkan buat lagi.” Katanya sendiri.

            Lima minit berjalan tanpa arah tujuan, Ridza terhenti seketika. Sekujur tubuh yang terbaring lesu di sebalik pokok-pokok pisang menarik perhatiannya.

            “Liya!.” Ridza pantas berlari ke arah sekujur tubuh yang tidak sedarkan diri itu.

            Ridza terduduk di sisi tubuh Zaliya. Pantas tubuh Zaliya ditarik ke dalam pelukannya.

            “Liya!.” Seru Ridza seraya menepuk pipi Zaliya dan bila Zaliya tidak bereaksi, Ridza tarik Zaliya ke dalam pelukannya.

            “Maafkan abang.” Tutur Ridza seraya mencempung tubuh Zaliya menuju ke arah rumah tumpangannya kembali.

            Ridza balutkan tubuh Zaliya yang basah dengan selimut tebal. Tubuh Zaliya yang berbungkus kemas dengan selimut itu akhirnya dipeluk erat. Kepala Zaliya dicium berkali-kali.

            “Maafkan abang, maafkan abang sayang.” Tutur Ridza lagi. Kekesalan yang dia rasakan membuatkan dia rasa bersalah kepada Zaliya.

            Ridza tiba-tiba teringatkan sahabatnya Doktor Ramzi yang kebetulan tinggal di daerah itu. Zaliya perlukan rawatan. Dan pada waktu selewat itu, tidak semua klinik yang masih menawarkan perkhidmatan. Dan apabila teringatkan sahabat yang sama-sama menyertai kelab motor besar yang turut disertainya, dia tahu dia boleh memohon bantuan sahabatnya itu.

            Ridza pantas turun dari katil. Telefonnya diraih lalu nombor Doktor Ramzi di dail. Sejurus bercakap beberapa minit Ridza matikan talian. Dia kemudiannya bergerak semula ke arah Zaliya. Selimut yang membalut tubuh Zaliya dibuka semula dan dia mula menukarkan baju Zaliya. Menukarkan baju yang basah kepada yang kering dan dia duduk di sisi Zaliya sementara menunggu kehadiran Doktor Ramzi. Tubuh longlai Zaliya yang sejuk diraih  ke dalam pelukannya.

 

“Wife kau okey je.” Kata Doktor Ramzi sejurus memeriksa Zaliya. Dia tersenyum nipis ke arah Ridza yang sudah terbias dengan rasa bimbang di wajahnya.

            “Aku risau pulak bila dia tak sedar macam ni.” Kata Ridza jujur.

            “Ini business card aku, ada alamat klinik. Esok kalau kau nak, boleh bawa dia pergi klinik aku, boleh buat futher check up. Tapi setakat ni, aku rasa dia cuma keletihan je.” Kata Doktor Ramzi untuk meredakan kerisauan Ridza. Dia kemudiannya menghulurkan kadnya kepada Ridza.

            “Kau buat apa kat sini?” Soal Doktor muda itu kemudiannya. Setahunya Ridza bukan tinggal di situ.

            “Aku honeymoon, baru seminggu kahwin.” Jawab Ridza tanpa segan silu.

            Doktor Ramzi tersenyum nipis. Dia dan Ridza bukanlah kenalan rapat. Hanya sekadar teman yang sama-sama berkongsi hobi. Berjumpa hanya ketika mereka sama-sama berkonvoi dengan motor besar. Selebihnya masing-masing ada kehidupan sendiri.

            Honeymoon pun kena take it slow. Jangan rush sangat. Bila gelojoh ini la jadinya.” Balas Doktor Ramzi dalam nada seloroh.

            Ridza hanya tersenyum membalas kata-kata Doktor Ramzi.

            “Okeylah, kalau takde apa-apa lagi aku nak balik dulu. Apa-apa hal boleh call aku. Nombor klinik pun ada kat business card tu.” Ujar Doktor Ramzi seraya bangun dan berlalu ke pintu bilik.

            Ridza turut bangun dan berjalan mengiringi Doktor Ramzi sehingga ke pintu hadapan rumah.

            Thanks for your time Ramzi.” Ucap Ridza sejurus berdiri di muka pintu.

            “Small matter je tu. Tapi kena ingat, nak ‘belasah’ wife pun kena berpada-pada. Jangan sampai pengsan lagi lepas ni.” Seloroh Doktor Ramzi seraya menghulurkan tangan tanda ingin berpisah.

            “I’ll remember that.” Balas Ridza dalam senyuman. Sengaja menyambut sahabatnya itu berseloroh.

 

Zaliya menolak tubuh Ridza yang memeluknya erat. Marah pada Ridza masih belum surut dan apabila dia tersedar, lelaki itu elok sahaja tidur dengan memeluk tubuhnya.

            “Liya dah sedar.” Kata Ridza sejurus matanya terbuka.

            Zaliya hanya mendiamkan diri. Dia berpaling dari tubuh Ridza. Masih marahkan lelaki itu. Kejadian malam tadi diimbas kembali. Satu persatu melayari kembali mindanya. Dan apabila teringatkan kejadian dia terjatuh di kebun pisang, dia tahu Ridza telah menemuinya. Tanpa sedar air matanya mengalir perlahan.

            “Kita pergi klinik pagi ni.” Kata Ridza seraya bingkas bangun. Ingin bersiap-siap.

            “Liya, kita pergi klinik ye. Malam tadi Liya pengsan. Abang risau kalau Liya masih tak sihat.” Kata Ridza seraya berlalu ke almari untuk mendapatkan tuala.

            Sementara Zaliya sudah mengesak tangis. Kenapa Ridza perlu mengambil berat terhadapnya kerana malam tadi, lelaki itu juga yang mengasarinya.

            Ridza yang terdengar esakan Zaliya tersentak. Pantas dia pandang tubuh Zaliya yang membelakanginya. Terhinjut-hinjut tubuh itu seiring dengan tangisan yang kedengaran. Pilu seketika hatinya melihat Zaliya begitu. Terasa bersalah kerana dialah punca semua itu berlaku. Ridza berjalan perlahan menuju ke arah Zaliya. Duduknya dilabuhkan di sisi Zaliya.

            “Liya, maafkan abang. Abang salah pada Liya malam tadi. Abang janji abang takkan ulangi lagi.” Kata Ridza lembut. Dia kemudiannya berbaring semula di sisi Zaliya. Tubuh Zaliya ditarik ke dalam pelukannya dari belakang. Sungguh dia kesal.

            Zaliya yang kesedihan bertambah sedih dengan luahan kata Ridza. Tangis yang cuba ditahan semakin melebat pula.

            “Berilah peluang kepada abang untuk tebus kesalahan abang. Untuk berterus terang pada Liya tentang semua kisah abang.” Luah Ridza perlahan. Tengkuk Zaliya dikucup penuh kasih. Walaupun perkahwinan mereka dibina bukan berasaskan cinta namun dia yakin dia boleh bahagia dengan Zaliya jika wanita itu mengizinkan. Dia akan belajar menyintai Zaliya dan begitu juga sebaliknya.

            Zaliya pejam rapatkan matanya tatkala mendengarkan luahan kata Ridza. Adakah Ridza benar-benar kejam? Atau sebenarnya dia yang terlalu keras hati untuk mendengar dulu penjelasan lelaki itu?.

            “Liya nak balik.” Hanya kata-kata itu sahaja yang mampu diluah oleh Zaliya. Nadanya tidak lembut namun tidak juga sekasar seperti biasanya. Mungkin dia juga harus bertolak ansur dengan Ridza. Daripada terus berkasar dan menolak Ridza, dia juga boleh memilih untuk mendengar penjelasan lelaki itu. Bukankah dia yang bersetuju dengan perkahwinan itu dan dia pernah luahkan pada ibu dan bapa Ridza, baik buruk keputusannya itu akan dia tanggung sendiri kerana dia yang memilih perkahwinan itu….
p/s-harap semua suka dgn n3 kali ni....

           

Tuesday, 25 December 2012

SAAT HADIRNYA CINTA-BAB 3

Jom ikuti sambungannya...maafla lambat sikit sbb cik tulip kesibukan sikit seminggu ni...huhu..ke sana ke mari...harap semua enjoy n3 kali ni :)

BAB 3

Zaliya memalingkan tubuhnya membelakangi Ridza tatkala lelaki itu melangkah masuk ke dalam bilik. Hatinya sebal mengingatkan kejadian awal malam tadi. Ridza menipunya!. Tegar sekali lelaki itu tidak berterus terang akan statusnya sebelum mereka berkahwin. Memang dasar lelaki penipu!. Berbuku marahnya terhadap lelaki yang baru sehari menjadi suaminya itu. Jika sudah berkahwin mengapa tidak berterus terang sahaja? Mengapa harus memerangkapnya dengan cara yang begitu? Apa niat sebenar lelaki itu?

            Zaliya kakukan tubuhnya saat lelaki itu rebahkan tubuhnya ke tilam. Semenjak pertemuan dengan isteri pertama lelaki itu tadi, dia terus naik ke bilik. Hatinya itu panas terbakar. Permainan apa yang dimainkan oleh lelaki di sebelahnya itu? Sudah berkahwin tetapi sanggup memperisterikannya tanpa berterus terang. Sanggup menipunya sehingga dia terperangkap dalam perkahwinan itu. Andai dia tahu, pasti sahaja dia tidak akan pernah bersetuju dengan cadangan lelaki itu.

            “Maaf.” Tiba-tiba Ridza bersuara disebelahnya. Tangannya dilingkar ke pinggang Zaliya.

            Zaliya yang panas hati menolak kasar tangan lelaki itu. Jijik dan jelik dengan sentuhan Ridza. Sanggup ,menipu supaya dia menerima cadangan lelaki itu. Tidak sanggup rasanya mahu membiarkan lelaki itu menyentuhnya.

            “Liya…” sentuh Ridza lagi. Cuba mewujudkan mood baik pada malam perkahwinan mereka.

            “Jangan sentuh!” Kata Zaliya tiba-tiba. Kasar nadanya. Entah kenapa dalam situasi begitu air matanya sukar sekali mahu mengalir walaupun hatinya terasa dihambat pilu.

            Ridza tidak mempedulikan kata-kata Zaliya. Tubuh Zaliya yang mengiring membelakanginya cuba ditarik supaya menghadapnya. Dia tahu dirinya bersalah, jika Zaliya memberinya peluang, dia akan berterus terang. Menceritakan semuanya.

            “Pergi!.” Marah Zaliya lagi, tangan Ridza ditepis kasar. Benci dengan sikap hipokrit Ridza. Dia tidak akan menyerah dengan mudahnya kepada lelaki itu. Penipuan Ridza itu tidak mungkin dia boleh maafkan.

            “Dengar dulu penjelasan abang.” Kata Ridza lembut. Cuba untuk memujuk Zaliya supaya memberinya peluang.

            “Dasar lelaki penipu!.” Hambur Zaliya lagi. Enggan dia berpaling menghadap lelaki itu. Benci dia mendengar perkataan ‘abang’ dari bibir lelaki itu. Sungguh dia tertipu.

            Ridza yang tersentak dengan amukan Zaliya tiba-tiba naik angin. Bukahkah dia baru membuka peluang kepada Zaliya untuk mendengar penjelasannya? Kenapa pula wanita itu menolak? Sikap Zaliya itu membuatkan dia turut naik angin. Keikhlasannya itu dipertikai pula.

            “Abang ikhlas kahwin dengan Liya.” Sambungnya lagi. Hilang sudah aku-engkau yang biasa dia gunakan. Dia cuma mahu mulakan hubungan mereka dengan cara yang baik. Dia faham Zaliya marah, namun Zaliya juga seharusnya memberi peluang untuk dia berterus terang.

            “Pergi mampus dengan ikhlas kau!, dasar penipu!.” Zaliya bangun dari baringnya dan berkira-kira untuk bangun dan meninggalkan Ridza.

            Ridza tarik tangan Zaliya sebelum sempat gadis itu pergi.

            “Apa masalah Liya? kan abang nak berterus terang. Kenapa Liya perlu buat perangai macam ni. Kita kan dah kahwin, sepatutnya Liya bagi peluang pada abang untuk jelaskan semuanya.” Kata Ridza lagi. Sabarnya juga sudah menipis, namun suaranya itu dikawal sebaik mungkin. Tidak mahu mengejutkan seluruh rumah dengan pertengkaran mereka pada malam perkahwinan mereka.

            “Lepas!, jangan pegang aku dengan tangan kotor kau!.” Hambur Zaliya lagi.

            Berdesing telinga Ridza mendengarkan hamburan Zaliya. Sungguh!, Zaliya memang menaikkan marahnya. Dia sudah bertolak ansur namun Zaliya pula seolah-olah tidak mahu memberinya peluang.

            “Kotor?, kalau benar kotor, biar abang kotorkan tubuh Liya malam ni.” Kata Ridza sinis. Dia pandang Zaliya dengan pandangan tajam. Penuh makna. Pandangan yang turut diselangi marah. Marah kerana Zaliya terus-terusan menghinanya sedangkan gadis itu masih belum tahu letak duduk cerita yang sebenar.

            Ridza tarik tangan Zaliya yang masih dalam pegangannya. Ditarik sehingga tubuh Zaliya jatuh semula ke tilam. Dan apabila Zaliya terbaring, dia tindih tubuh gadis itu.

            “Jangan sentuh aku!.” Ronta Zaliya untuk melepaskan diri. Memang Ridza hina, sanggup memerangkapnya untuk berkahwin dan sanggup pula mendapatkannya dengan cara kotor.

            “Kalau benar abang kotor, biar abang kotorkan Liya sekali. Biar kita sama-sama kotor malam ni.” Sindir Ridza sambil mengunci kedua-dua tangan Zaliya. Apalah sangat tenaga Zaliya hendak berlawan dengannya. Kalau setakat rontaan begitu, mudah sahaja dia mahu menawan.

            “Lepas!, lepas!, lepas!” Kata Zaliya keras. Tangannya yang ditekan kuat oleh Ridza cuba dirungkai, bibirnya yang cuba dikucup oleh Ridza dilarikan namun apalah daya yang dia ada. Ternyata tenaga Ridza bukan tandingannya. Penolakannya hanya membuatkan Ridza lebih kasar. Lelaki itu tanpa belas memagut bibirnya, mencium kasar seluruh wajah dan lehernya.

            Rontaan Zaliya yang kuat sebelumnya menjadi lemah. Dia tidak mampu lagi melawan kudrat lelaki yang bergelar suami itu. Akhirnya rontaannya mengendur, membiarkan Ridza berbuat apa sahaja. Dia tidak rela, dia tidak sanggup menyerahkan tubuhnya kepada lelaki penipu seperti Ridza, namun dia terpaksa merelakan jika lelaki itu terus-terusan memaksanya dengan cara kasar seperti itu.

            Ridza yang masih bersisa dengan rasa marah dan geram, tiba-tiba melepaskan tangan Zaliya. Dia bangun dari menindih tubuh yang lebih kecil dari tubuhnya itu. Seketika kemudian lelaki itu mendengus kasar. Memang dia marah dengan isterinya itu, sungguh marah dengan penghinaan Zaliya, namun tidak sanggup pula rasanya dia mahu ‘merampas’ haknya dari wanita yang dikahwini dengan cara memaksa begitu.

            Ridza bingkas turun dari katil, rambutnya dilurut kasar. Seketika kemudian dia keluar dari bilik. Pintu bilik dihempas kuat.

            Zaliya yang masih tersisa rasa cemasnya hanya mampu menangis. Tidak tahu apa perasaannya sendiri ketika itu. Sungguh dia keliru, marahnya terhadap penipuan Ridza membuatkan dia menuturkan kata-kata kasar kepada lelaki itu. Dan akibatnya, dia hampir dinoda suami sendiri. Entah kenapa dia rasakan dia buntu untuk berfikir langkah seterusnya. Tidak tahu apa yang boleh dia lakukan. Untuk terus menjalani kehidupan berumahtangga bersama Ridza, terasa hatinya tawar lantaran penipuan lelaki itu. Untuk mengundur diri pula dia sudah terlebih melangkah. Penat berfikir Zaliya akhirnya tertidur dalam air mata.

 

Ridza rebahkan tubuhnya di lantai gazebo yang dibina khas di halaman rumahnya. Telefon bimbitnya di letak di hujung kepala. Tabiatnya yang tidak pernah dia tinggalkan, membawa telefon bimbit ke mana sahaja kecuali ke tandas dan bilik air. Bintang-bintang yang begemerlapan di langit di pandang dalam renungan panjang. Teringatkan peristiwa ‘diserbu’ oleh Nazirah, dan peristiwa dia mengasari Zaliya. Kedua-duanya menambahkusutkan kepalanya. Kenapa di saat dia sudah melupakan wanita itu, Nazirah kembali semula. Kembali ke dalam hidupnya setelah dua tahun wanita itu menghilang tanpa berita. Ridza mengeluh perlahan. Nazirah, wanita yang pernah dia cinta namun wanita itu jugalah yang mengkhianati cintanya. Yang meninggalkannya terkapar-kapar merintih kehilangan.

            Ridza tersentak dari lamunan apabila telefon bimbitnya berbunyi. Telefon yang di letakkan di hujung kepala di raih ke dalam genggaman. Hairan dengan nombor tidak dikenali terpapar di skrin. Pada waktu selewat itupun masih ada yang mahu mengganggunya. Bisiknya sendiri.

            “Hello.” Sapa Ridza terlebih dahulu.

            “Hello.” Sapa pemanggil dari hujung talian. Lenggok nadanya gaya menggoda.

            “Zirah.” Kata Ridza sepatah.

            “Erm…tak sangka, you kenal lagi suara I, ingatkan dah lupa.” Kata Nazirah manja.

            “Zirah nak apa?” Soal Ridza tidak senang.

            “Emm..abang macam tak suka je Zirah call, atau abang ada janji dengan isteri muda abang, oppsss..Zirah lupa pulak, ini kan malam pertama abang. Zirah mengganggu ke?” Soal Nazirah selamba, sengaja dia gunakan kata ganti ‘abang-Zirah’. Sengaja mahu mengusik ketenangan Ridza dengan bicaranya.

            “Ada apa Zirah call? Dulu Zirah jugak yang beria-ia nak lari dari abang.” Soal Ridza tidak berminat.

            “Zirah rindu la. Dah lama tak jumpa abang. Bila dengar berita abang nak kahwin lagi satu. Zirah kecewa, sampai hati abang tak bagitahu Zirah.” Kata Nazirah dalam nada sayu yang dibuat-buat.

            “Zirah jangan nak pura-pura. Luar dalam diri Zirah tu abang kenal, abang tahu. Kalau Zirah kembali sebab nak balas dendam pada abang, baik Zirah lupakan sahaja. Abang dah lama lupakan Zirah. Kebetulan Zirah dah ada di Malaysia, lepas ni boleh kita uruskan hal penceraian kita.” Balas Ridza tegas.

            “Emmm, sampai hati abang, baru berjumpa dah nak cakap pasal cerai. Zirah masih cintakan abang tau.” Sambung Nazirah bersahaja.

            “Cinta?” Soal Ridza sinis.

            “Cinta pada abang atau cinta pada Mat Salleh mata biru tu?” Sindir Ridza keras.

            “Kalau Zirah kata cinta pada dua-dua?.” Soal Nazirah tidak bersalah. Sinis nadanya.

            “Sudahlah Zirah, antara kita dah habis.” Tutur Ridza lagi. Ingin mematikan talian.

            Nazirah tergelak manja sejurus mendengar kata-kata Ridza.

            “Antara kita masih belum habis. I masih isteri you, jangan lupa tu Ridz.” Nada Nazirah bertukar serius semula dan tanpa lanjutan kata, dia terus mematikan talian.

            Ridza hanya mampu mengeluh perlahan. Satu persatu kenangan lalunya bersama Nazirah menerjah mindanya kembali. Mengganggu sedikit ketenangan tasik hatinya. Nazirah, wanita yang terlalu berimpian tinggi. Yang mengejar cita-cita tanpa berfikir baik buruk terlebih dahulu. Wanita yang tahu apa yang dirinya mahukan. Wanita yang memegang prinsip matlamat menghalalkan cara.

 

 

Langkah Ridza ke ruang makan hanya dijeling dengan ekor mata. Seisi keluarga sudahpun memenuhi kerusi masing-masing, hanya menunggu Ridza sahaja. Zaliya sedar Ridza lewat masuk ke bilik malam tadi.. Dan dia juga tahu kenapa. Kerana lelaki itu terlanjur cuba mengasarinya atau mungkin sahaja marah dengan penolakannya. Namun dia tidak peduli, marahnya masih ada, bencinya masih bersisa.        

            Musa mula membacakan doa makan sejurus Ridza duduk. Memang sudah menjadi adat dalam keluarga itu, sekiranya mereka semua berkumpul sekali sekala, Musa akan pastikan anak-anak dan menantunya duduk semeja untuk sarapan pagi. Peraturan itu memang sudah dia laksanakan sejak awal lagi. Demi untuk memastikan kerukunan sentiasa wujud dalam keluarga itu. Jauh di sudut hatinya itu dia mendoakan kehidupan Ridza, setelah dua tahun hidup anak keduanya itu terumbang ambing, dia cuma mengharapkan perkahwinan kali ini membuahkan bahagia. Sejarah lalu biarlah berkubur.

            “Ridz nak bawa Liya bulan madu kat mana?” Soal Zaiton tiba-tiba memecah kesunyian suasana.

            Semua mata memandang Ridza sementara Amirah pula sudah tersenyum sumbing. Sudah mula membayangkan yang bukan-bukan.

            Zaliya yang sedang menyuap perlahan mee goreng ke mulut, terhenti seketika. Bulan madu?, sesuatu yang dia tidak jangkakan. Dalam tenang wajah itu sebenarnya dia resah. Resah menunggu jawapan Ridza. Resah memikirkan bulan madu yang hanya akan ada mereka berdua.

            “Ridz ingat nak balik kedah la ibu, nak menginap di homestay family kat Kampung Kuala Rimau tu, duduk dalam seminggu dua.” Balas Ridza senada. Teringatkan rumah tumpangan keluarganya yang dibina di kampung itu. Kawasan kampung yang tenang dan aman. Sunyi dari keriuhan Bandar kerana kedudukan rumah tumpangan itu yang jauh terpencil dari dunia luar.

            “Erm, elok juga. Lagipun dah lama takde orang yang menyewa. Elok sangat kalau Ridz pergi tengok. Kebetulan Pak Rejab pula takde, berkunjung rumah anak dia di Grik katanya, papa cadang nak pergi sendiri tengok tapi kalau Ridz dah rancang nak ke sana, papa serahkan pada Ridz je lah untuk jenguk-jenguk.” Sambut Musa. Teringat akan warga kampung itu yang bernama Rejab yang diamanahkan menjaga rumah tumpangan itu. Kebetulan lelaki itu tiada kerana berkunjung ke rumah anak tunggalnya di Grik.

            Ridza hanya mengangguk perlahan, sementara Zaliya sudah menunduk ke bawah. Geram!, Ridza membuat keputusan tanpa bertanyakan keputusannya terlebih dahulu. Siapa kata dia bersetuju dengan rancangan bulan madu tersebut?. Ridza memang mementingkan diri!. Sudahlah mengahwininya dengan cara menipu, cuba pula untuk menodainya pada malam perkahwinan mereka dan kini, merancang pula bulan madu yang dia tidak inginkan!.

            Seisi rumah kembali makan tanpa bicara, hanya Amirah sahaja yang tersengih-sengih penuh makna. Dalam kepalanya itu sudah mula membayangkan bulan madu abang dan kakak iparnya itu. Dia tersenyum lagi. Tiba-tiba…

            “Aduh!.” Amirah terjerit kecil. Garfu di tangan terpelanting ke hadapan. Matanya mencerlung tajam ke arah Arifah.

            “Berangan!.” Kata Arifah tidak bersalah.

            “Sakit, tahu tak!.” Marah Amirah.

            “Padan muka.” Sambut Arifah selamba. Dia angkat semula sikunya, berpura-pura mahu mengulang perbuatannya menyiku perut Amirah untuk kali yang kedua.

            “Beranila!.” Ugut Amirah sambil mengangkat gelas berisi jus oren.

            “Mira….Ipah…kan tengah sarapan ni.” Keras nada Zaiton mengingatkan. Sengaja dia tekankan suaranya.

            Amirah dan Arifah menghentikan perbuatan mereka. Sarapan diteruskan dalam suasana aman selepas itu.

            Usai bersarapan satu keluarga, masing-masing meneruskan aktiviti sendiri. Radzi dan isterinya Tini bercadang mahu bershopping, Arifah pula sudah mula mengemas untuk kembali ke UUM, Amirah juga tergesa-gesa hendak pulang ke Negeri Sembilan untuk menyambung tugasnya sebagai doktor di Hospital Kuala Pilah. Sementara Musa dan Zaiton pula sudah merancang untuk melawat kenalan mereka di Melaka yang baru pulang ke Malaysia. Tinggal Ridza dan Zaliya sahaja yang tiada rancangan untuk ke mana-mana.

            Zaliya melangkah naik semula ke biliknya. Sementara Ridza keluar membawa keretanya. Untuk ke mana? Zaliya tidak tahu. Zaliya labuhkan duduknya sejurus siap mengemas serba sedikit bilik tidur itu. Seketika kemudian terdengar ketukan di muka pintu.

            “Boleh Mira masuk?” Soal satu suara dari luar bilik.

            Zaliya terkejut seketika. Kemudiaan dia menjawab.

            “Masuklah.”

            Amirah dilihatnya berjalan perlahan masuk ke dalam bilik Ridza lalu duduk di sebelahnya.

            “Abang tak bagitahu kak Liya dia dah pernah kahwin?” Soal Amirah tiba-tiba. Sejak kejadian malam Nazirah datang ke rumah mereka, dia tahu Zaliya tidak tahu menahu yang abangnya itu pernah berkahwin sebelum ini.

            Zaliya menggeleng perlahan. Tidak menafikan telahan adik iparnya itu. Rasanya seluruh keluarga tahu akan reaksi terkejutnya malam itu.

            “Mungkin abang ada sebab sendiri.” Keluh Amirah dalam renungan jauh.

            Zaliya hanya diam tidak menjawab. Tidak berniat untuk bertanya lanjut, tidak berminat juga untuk ambil tahu lantaran hatinya itu masih diamuk geram kerana ditipu.

            “Kak Zirah tu….” Amirah terhenti seketika.

            “Bukan perempuan baik.” Lanjutnya kemudian.

            “Mungkin ada sebab abang Ridz tak ceritakan pada kak Liya.” Sambung Amirah lagi.

            Zaliya hanya diam. Walau dalam hatinya tertanya-tanya maksud kata-kata adik iparnya itu namun terasa berat mulutnya mahu bertanya lanjut.

            “Mira dah siap mengemas?” Sebaliknya Zaliya mengalih topik perbualan.

            Amirah hanya mengangguk perlahan menzahirkan jawapannya.

            “Mira doakan akak bahagia dengan abang Ridz. Dia tu nampak macam kasar tapi hati dia tu baik.” Luah Amirah seraya bangun.

            “Liya keluar pukul berapa?” Soal Zaliya tanpa mempedulikan luahan kata Amirah.

            “Pukul 10 Mira keluar.” Jawab Amirah ringkas. Gadis itu kemudiannya bangun dan berlalu. Meninggalkan Zaliya yang masih duduk.

 

Zaliya masuk semula ke dalam rumah sejurus semua ahli keluarga keluar dalam masa yang sama. Masing-masing sudah menuju ke destinasi masing. Meninggalkan dirinya keseorangan dalam rumah itu. Pembantu rumah yang hanya dikenali sebagai Kak Ita itu pula telah meminta izin untuk bercuti setelah penat dengan kenduri pada hari sebelumnya. Nasib baik semua kerja sudah dibereskan sejurus kenduri selesai. Lega sikit hati Musa dan Zaiton membenarkan orang gaji mereka bercuti.

            Zaliya menapak menuju ke ruang tamu, namun belumpun sempat dia melabuhkan punggung, terdengar deruman enjin kereta masuk ke perkarangan rumah. Ridza, tentu sahaja lelaki sudah pulang kerana keluar sejak pagi lagi. Zaliya labuhkan jua duduknya, tidak berminat mahu menyambut Ridza di muka pintu. Sejak kejadian malam tadi, dia masih belum lagi bertegur sapa dengan lelaki itu.

            Alat kawalan jauh tv di tekan, sejurus siaran tv dijamah matanya, Zaliya diam tidak bersuara walaupun Ridza sudahpun berjalan masuk ke dalam rumah. Dibiarkan sahaja lelaki itu. Lagi pula rumah itu milik Ridza, untuk apa dia pula beria-ia menyambut. Detik Zaliya dalam hati. Leka termenung dalam pemikirannya, tiba-tiba Zaliya tersentak. Ridza sudahpun duduk di sebelahnya.

            “Ingat lagi janji Liya pada abang. Hutang abang malam tadi, abang harap Liya boleh tunaikan malam nanti.” Kata Ridza pendek. Sengaja dia rapatkan tubuhnya ke tubuh Zaliya.

            Zaliya diam tidak menjawab, tubuhnya dijarakkan dari tubuh Ridza. Janji atau tidak, dia sama sekali tidak akan menyerah kepada lelaki itu. Dasar lelaki penipu!, bentaknya dalam hati.

            Ridza yang perasan akan tingkah Zaliya terus mendekati Zaliya lagi. Biar berpuluh kali Zaliya menolak, dia akan berkeras mendekat. Sementara Zaliya yang tidak tahan dengan sikap Ridza bingkas bangun namun belum sempat dia melangkah, Ridza sudah terlebih dahulu menangkap pergelangan tangannya.

            “Liya nak ke mana?. Abang belum habis lagi.” Ujar Ridza tegas. Dia tidak suka Zaliya bersikap begitu. Andai di beri peluang, dia dengan rela hati akan berterus terang dengan Zaliya.

            “Lepas!.” Bentak Zaliya kasar. Tidak sedar yang dia sebenarnya sedang berhadapan dengan suami yang selayaknya dihormati.

            Ridza yang terasa egonya dicabar pantas menarik kasar tangan Zaliya sehingga Zaliya kembali duduk di sofa. Belumpun sempat Zaliya membentak untuk kali yang kedua, dia sudah memagut bibir Zaliya kasar.

            Zaliya yang terkejut dengan tindakan Ridza dibakar dengan rasa marah. Ridza terlalu kurang ajar!. Tangannya pantas menolak tubuh Ridza, kuat dan kasar namun sedikit pun tubuh lelaki itu tidak bergerak. Malah perlakuan Ridza bertambah kasar. Untuk beberapa ketika Ridza ‘menakluki’ bibirnya begitu, akhirnya lelaki itu lepaskan.

            Pang!. Zaliya menampar pipi Ridza.

            “Jangan kurang ajar!” Kata Zaliya dalam nada marah.

            Ridza hanya tersenyum sinis.

            “Kalau Liya boleh kurang ajar dengan abang, kenapa abang tak boleh buat benda yang sama?. Abang cuma nak Liya tahu, sejauh mana pun Liya lari, abang akan tetap dapat kejar. Jangan lupa yang Liya dah jadi isteri abang. Suatu hari nanti pasti Liya akan jatuh juga ke tangan abang. Cuma yang membezakan hanyalah samaada Liya nak dengan cara rela atau paksa.” Sinis jawapan Ridza. Senyum masih tersungging di bibirnya.

            Zaliya yang geram dengan kata-kata Ridza mendengus marah. Dalam hatinya dia membentak kasar. Rela atau paksa, dia sama sekali tidak akan pernah menyerah kepada Ridza. Pantas kakinya melangkah laju meninggalkan Ridza yang tergelak kecil. Gelak yang menandakan kemenangan berada di pihaknya. Jika Zaliya bermain ‘kasar’ dengannya, dia juga boleh membalas permainan itu dengan cara yang sama.

 

“Zirah nak apa?” Soal Ridza acuh tak acuh. Kalau dia tahu tetamunya Nazirah pasti dia akan menyuruh setiausahanya mengusir sahaja wanita itu dari ruang pejabatnya tadi.

            “Zirah rindu.” Balas Nazirah dalam nada manja. Gaun pendek seperas peha yang dipakainya itu ditarik sedikit saat dia melabuhkan duduk.

            “Rindu?” Balas Ridza sinis.

            “Emm..rindu pada suami yang dah lama tak jumpa. Rindu pada senyuman abang, rindu pada sentuhan abang dan rindu nak peluk badan abang yang tough tu.” Sambut Nazirah lagak menggoda. Sejujurnya memang dia rindukan Ridza walaupun selama ini dia sudah memiliki Alan. Lelaki berkulit putih yang berhubungan dengannya selama dua tahun kebelakangan ini. Namun sebagai wanita yang pernah berkongsi hidup dengan Ridza, dia tahu kelebihan dan kehebatan lelaki itu dan setelah dua tahun terpisah, dia terlalu rindukan lelaki itu. Rindukan belaian Ridza sebagai suami.

            “Apa yang mat salleh tu bagi tak cukup?” Soal Ridza sinis. Dia sudah serik untuk menerima Nazirah kembali. Wanita itu terlalu mengejar cita-cita sehingga sanggup meninggalkannya dan berpaling arah kepada lelaki asing.

            “Tak sebagus abang.” Katanya lagi bernada romantis.

            Ridza hanya tersenyum sinis.

            “Antara kita dah tinggal kenangan. Abang akan ceraikan Zirah. Dengan cara yang baik.” Sambut Ridza tenang. Apa jua yang pernah berlaku antara mereka sudah tinggal sejarah dan dia berharap agar dapat berpisah dengan wanita itu dengan cara baik biarpun wanita itu sudah mengkhianati cintanya dengan cara yang paling kejam sekali.

            “Kenapa abang pilih perempuan tu?” Soal Nazirah tidak puas hati. Dia kembali untuk Ridza sebaliknya Ridza bersikap dingin dengannya begitu.

            “Kenapa abang pilih dia tak penting. Yang penting abang mahukan dia sebagai isteri abang. Isteri yang taat.” Tukas Ridza kemudiaannya.

            “Kenapa abang tak cakap abang pilih dia sebab dia seiras Zirah. Zirah tahu abang masih tak dapat lupakan Zirah, sebab tu abang pilih dia.” Telah Nazirah lagi.

            Ridza terdiam seketika. Memang tidak dinafikan semasa kali pertama dia terlihat Zaliya, dia sudah boleh mengaitkan perkaitan antara keduanya. Disebabkan perkara itu juga dia bereaksi dingin. Tidak mahu campur tangan dalam urusan rumahtangga Zamri. Tidak mahu mengambil tahu perihal Zaliya, namun apabila gadis itu merayu ingin mengikutnya ke Bandar, dia jadi tidak sampai hati. Namun benarkah persamaan itu yang menyebabkan dia mahu Zaliya menjadi isterinya?.

            “Kalau bukan sebab abang masih tak dapat lupakan Zirah, maknanya abang kahwin dengan dia sebab abang nak balas dendam pada Zirah.” Sambung Nazirah selamba.

            Terpanar Ridza mendengarkan hujah Nazirah, benarkah dia sebenarnya mengahwini Zaliya kerana ingin membalas dendam? Dendam terhadap Nazirah yang akan dilampiaskan kepada Zaliya. Atau dia sebenarnya masih tidak boleh melupakan Nazirah, wanita pertama yang berjaya menghadirkan getar di hatinya?.

            Melihatkan kerut di wajah Ridza, Nazirah tersenyum manis.

            “Abang fikir-fikirkanlah kata-kata Zirah. Kalau abang masih belum lupakan Zirah. Zirah sedia untuk kembali pada abang.” Kata Nazirah seraya bangun dan berlalu. Meninggalkan Ridza supaya menimbang kata-katanya.
Kpd yg tinggalkan komen.. terima kasih banyak2...