Ikuti sambunganya :)
Ruang halaman rumah ibunya yang sempit
itu ditenung lama. Kata-kata Nek Nab dalam telefon awal pagi tadi diimbas
kembali. Benarkah apa yang Nek Nab katakan itu. Benarkah Ashraf benar-benar
mahu mengahwini dirinya. Hannah Irdina menarik nafas panjang sambil menghirup
Nescafe O yang disediakan ibunya sebentar tadi. Kusut kepalanya memikirkan
kata-kata Nek Nab. Sikap ‘unpredictable’
Ashraf memang membuatkan dia pening kepala. Apa lagi agaknya agenda lelaki itu.
Apabila teringat yang keluarga
Ashraf akan menghantar rombongan peminangan pada hujung minggu itu, kepalanya
lebih berserabut. Bagaimana harus dia menolak sekiranya dia sendiri tidak pasti
dengan keputusan yang bakal diambil nanti. Masih dia teringat akan kata-katanya
semasa di dalam kereta Ashraf tempoh hari, kata-kata yang menyebabkan lelaki
itu mencium bibirnya. Kata-kata yang mungkin menghina lelaki itu. Kata-kata yang
menegaskan dia tidak mungkin akan mengahwini lelaki itu walaupun lelaki lain
sudah pupus dimuka bumi ini.
Kini dia terfikirkan akan bahana kelancangan tuturnya itu. Mungkinkah
Ashraf hanya cuba
mahu mempermainkan dirinya dengan mengatakan bahawa lelaki itu ingin
mengahwininya. Mungkinkah lelaki itu cuma mahu mengahwininya untuk menyeksanya.
Memikirkan hal itu juga sudah cukup memeningkan kepalanya, apatah lagi kalau
disatukan dengan lelaki itu nanti.
“Kenapa Dina termenung ni?” Tegur Jamaliah lembut. Semenjak menerima
panggilan dari Nek Nab awal pagi tadi, anak gadisnya itu dilihatnya kerap
termenung.
Hannah Irdina menghela nafas berat. Untuk diceritakan terasa berat
mulutnya, hendak disembunyikan, lambat laun ibunya itu perlu tahu juga.
“Ibu ingat pada Ashraf?” Soal Hannah Irdina senada.
“Cucu Nek Nab tu?, yang selamatkan kamu hari tu?” Soal Jamaliah kembali.
“Tadi Nek Nab kata, dia nak jadikan Dina isteri.” Kata Hannah Irdina
berlapik. Cuba
menyampaikan berita itu setenang yang mungkin.
Jamaliah tersentak seketika.
“Nek Nab minta Dina fikir-fikirkan, kalau setuju bagi jawapan sebelum
hari jumaat ni sebab diaorang nak hantar rombongan peminangan.” Terang Hannah
Irdina.
Jamaliah tersenyum mendengarkan kata-kata anak gadisnya itu.
“Apa pendapat Dina?” Soal Jamaliah. Ingin dia uji isi hati anak daranya
itu. Selama ini bukan dia tidak tahu anak tunggalnya itu tiada teman istimewa.
“Entahlah, apa pendapat ibu?” Tanya Hannah Irdina kembali.
“Eh, kamu ni, yang nak kahwin bukannya ibu, tapi kamu. Kamu lah yang kena
buat keputusan.” Jawab Jamaliah dalam senyuman lebar. Jika benar Nek Nab ingin
menjodohkan Hannah Irdina dengan cucunya, dia tiada halangan. Dia bukan tidak
kenal dengan Nek Nab, tidak mungkin wanita tua itu bermain-main dengan perkara
seserius itu. Kepercayaan yang ditanam terhadap wanita itu terlalu dalam
sehingga apa jua yang dirasakan baik oleh Nek Nab turut dirasakan baik buat
dirinya juga.
“Dina tak kenal sangat dengan cucu Nek Nab tu.” Luah Hannah Irdina dalam
kenduran suara. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menolak mentah-mentah
tanpa berfikir panjang, namun ada satu perasaan dalam hatinya yang melarang dia
membuat keputusan tanpa berfikir terlebih dahulu. Memang Ashraf nakal, degil,
ego dan lepas laku tetapi ada satu sikap lelaki itu yang membuatkan dia rasa
selamat, rasa dilindungi. Walau puas ditepis rasa itu dalam hatinya, namun ia
tetap hadir.
“Kalau tak kenal maka tak cinta. Apa kata kalau Dina kenal-kenal dengan
cucu Nek Nab dulu.” Saran Jamaliah. Dia masih tersenyum manis tatkala membicarakan
perihal hati anak gadisnya itu.
“Dina buntu la bu, bukan kahwin yang Dina rancang dulu tapi kerja, Dina
nak cari kerja dulu.” Sahut Hannah Irdina dalam kenduran suara.
Sekali lagi Jamaliah tersenyum.
“Orang kata kalau kita kahwin, rezeki akan bertambah.” Jawab Jamaliah
berhemah. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu mendesak Hannah Irdina, sebagai ibu
adalah wajar baginya memberi kata-kata peransang. Selebihnya perlu diputuskan
sendiri oleh Hannah Irdina.
“Peningla kepala Dina bu.” Keluh Hannah Irdina lagi.
“Apa kata kalau Dina jumpa dulu ngan cucu Nek Nab, bincang dengan dia
elok-elok, kenal isi hati dia.” Akhirnya Jamaliah memberikan saranan. Kasihan
pula dia lihat Hannah Irdina seakan-akan kehilangan arah dalam membuat
keputusan.
Hannah Irdina menarik nafas sekali lagi. Apa sebenarnya keputusan yang
harus diambil. Dia sendiri keliru.
“Ibu restu kalau Dina kahwin?” Soal Hannah Irdina sambil memandang wajah
ibunya. Kalau ibunya itu tiada halangan, dia juga harus berfikir panjang akan
permintaan Nek Nab itu. Untuk menolak, entah kenapa dia rasakan dia tidak mahu.
Mungkinkah kerana dia rasa selamat disamping Ashraf walaupun seringkali lelaki
itu hilang pertimbangan saat bersama dengannya. Atau mungkin kerana dia
sebenarnya sudah jatuh cinta kepada lelaki itu!. Ah!, tidak mungkin. Yang pasti
perasaannya itu bukan cinta, desis Hannah Irdina dalam hati.
“Ibu tiada halangan, kalau Nek Nab yang carikan calon, ibu setuju sahaja,
Ibu percaya Nek Nab serius nak jodohkan Dina dengan cucu dia.”Sahut Jamaliah
dalam senyum yang masih belum mampu dibuang.
Hannah Irdina menarik nafas dalam. Kalau ibunya itu turut bersetuju, dia
juga sudah membulat tekad. Dia akan cuba fikirkan keputusan terbaik.
Pertama; dia akan bertemu empat mata dengan Ahsraf, ingin dia bertanya betapa seriusnya
lelaki itu dengan niatnya. Dan yang kedua; dia akan membuat sembahyang
istikarah, memohon petunjuk dari Allah, jika baik untuknya maka dia akan
meneruskan keputusan untuk mengahwini Ashraf. Walaupun jauh di sudut hatinya,
dia masih keliru dengan apa yang dia rasakan terhadap lelaki itu. tapi yang
pasti, dia menyandarkan semuanya kepada takdir, andai Ashraf lelaki yang
diciptakan untuknya, maka dia akan pasrah. Dia akan mengahwini Ashraf!.
Resah hati Hannah Irdina apabila jam
sudah melewati pukul 3.00 petang. Janji Ashraf, mereka akan bertemu disitu.
Memang dia sengaja mengajak lelaki itu ke restoren KFC sahaja. Mudah bagi
mereka untuk berbicara tanpa gangguan orang lain. Ingin dia selami hati lelaki
itu, ingin dia tahu sejauh manakah lelaki itu benar-benar serius ingin
mengahwininya. Semua itu penting dalam membantu dia membuat keputusan sama ada
akan meneruskan niatnya menerima lamaran lelaki itu ataupun tidak.
Lamunan Hannah Irdina terhambur
pergi apabila Ashraf sampai tiba-tiba lantas duduk dihadapannya.
“Kenapa lambat sangat?” Soal Hannah
Irdina dengan dahi yang berkerut. Sementara lelaki itu berwajah selamba dengan
lagak tidak bersalahnya. Itulah satu-satunya sikap Ashraf yang tidak
disukainya. Lelaki itu terlalu sukar dibaca!.
“Dah lama saya tunggu.” Kata Hannah
Irdina lagi, berharap yang Ashraf akan menyambut kata-katanya dengan jawapan
yang memuaskan hatinya kerana sejujurnya, dia ingin mengenali cara dan rentak
lelaki itu.
“Ada hal apa nak jumpa?” Soal Ashraf sambil
membuang pandang ke arah orang ramai yang beratur lurus untuk membuat pesanan
makanan di kaunter hadapan. Kemudian matanya dikerling pula pada beberapa ketul
ayam KFC yang terdapat dalam pinggan di hadapan Hannah Irdina.
“Aku punya ada?” Soalnya lagi dengan
mata yang masih melekat pada ketulan KFC Hannah Irdina.
Hannah Irdina mencebik, lain yang
ditanya, lain yang dijawab. Memang lelaki itu jenis yang tak reti bahasa.
“Awak, saya serius ni tanya pada
awak, bukannya main-main.” Kali ini Hannah Irdina bersuara tegas. Bosan dengan
sikap Ashraf yang tidak serius.
“Aku pun serius.” Jawab lelaki itu
pendek. Dia kemudiannya menarik pinggan Hannah Irdina yang berisi ayam goreng
lalu menyuapkan ke mulutnya.
“Ashraf!” Hannah Irdina bersuara
menekan. Dikawal suaranya supaya tidak terlalu kuat, bimbang menarik perhatian
pengunjung-pengunjung yang lain.
Kali ini dia berjaya menarik
perhatian lelaki itu.
“Apa?” Soal Ashraf dengan kedua-dua
keningnya terangkat tinggi.
“Boleh tak tolong serius sikit,
kalau macam ni perangai awak, saya tolak pinangan keluarga awak mentah-mentah!”
Ugut Hannah Irdina serius.
Kata-kata Hannah Irdina itu
menyebabkan lelaki itu mengangkat tinggi kedua-dua keningnya dengan mata yang
difokus tepat ke mata Hannah Irdina.
‘Tahu takut.” Ucap Hannah Irdina.
Melonjak seketika hatinya kerana berjaya menarik perhatian lelaki itu.
“Siapa kata aku takut?” lelaki itu
menyoal kemudiannya, dia meneruskan makan tanpa mempedulikan Hannah Irdina yang
sudah menarik muka tidak puas hati.
“Saya nak balik!.” Ujar Hannah
Irdina tidak puas hati lantas bangun. Malas dia melayani sikap acuh tak acuh
Ashraf, kalau begitu sikap lelaki itu, dia malas mahu mempertimbangkan
keputusannya.
“Nanti!.” Ashraf memegang
pergelangan tangan Hannah Irdina sebelum sempat Hannah Irdina berlalu pergi.
“Duduk.” Arah lelaki itu tegas.
Hannah Irdina memerhatikan
sekeliling, beberapa mata memandang ke arah mereka. Tangannya ditarik dari
pegangan Ashraf. Dia kemudiannya duduk semula. Jika tidak difikirkan tentang
mata-mata yang memandang, sudah tentu dia akan terus berlalu pergi.
“Nak cakap pasal apa?” Soal Ashraf
sejurus Hannah Irdina duduk.
“Betul awak serius dengan hajat
awak?” Soal Hannah Irdina serius.
“Hajat apa?” Soal lelaki itu
kembali.
Hannah Irdina mendengus, Ashraf
benar-benar mencabar kesabarannya.
“Hal tentang keluarga awak nak
pinang saya.” Terang Hannah Irdina lagi. Tembok kesabarannya di bina setinggi
yang mungkin. Jika dia mahu tahu niat sebenar lelaki itu, pasti sahaja dia
perlu tahu lanjut akan keihklasan lelaki itu ingin mengambilnya sebagai isteri.
“Aku serius.” Jawab lelaki itu
pendek sambil membuang pandang ke cermin lutsinar yang memisahkan antara
kawasan luar dan kawasan dalam restoren itu.
“Kenapa awak nak kahwin dengan
saya?” Tanya Hannah Irdina lagi.
Soalan Hannah Irdina itu menyebabkan
Ashraf termenung seketika.
“Sebab aku nak dapatkan kau dengan
cara yang sah, aku takut aku buat sesuatu yang tidak sepatutnya di luar
kerelaan kau.” Sahut lelaki itu dalam renungan jauh.
“Apa maksud awak?” Soal Hannah
Irdina tidak faham.
“Aku nak jadikan hubungan kita sah,
senang aku nak peluk cium kau.” Sambung lelaki itu selamba.
Bicara Ashraf membuatkan Hannah
Irdina mengerutkan dahinya. Hanya kerana sebab itu, lelaki itu sampai mahu
mengahwininya. Alasan yang pada pandangannya tidak dapat diterima sepenuhnya.
“Hal kahwin bukan perkara main-main,
kalau awak tak serius, jangan jadikan saya mangsa, jangan permainkan perasaan
saya.” Kata Hannah Irdina dalam kenduran suara. Dia tidak mahu lelaki itu hanya
sekadar bermain-main dengan perasaannya. Jika dikahwini secara tidak ikhlas,
dia tidak sanggup memperjudikan nasibnya ditangan lelaki itu.
“Aku serius.” Ucap lelaki itu lagi.
“Awak ikhlas?” Soal Hannah Irdina
lagi. Entah kenapa kata-kata lelaki itu sangat meyakinkan namun dia tidak sekadar
mahu mendengar betapa seriusnya niat Ashraf, dia juga perlu tahu jika lelaki
itu benar-benar ikhlas.
“Aku serius.” Ucap Ashraf tanpa
menjawab soalan Hannah Irdina.
Kecewa Hannah Irdina mendengarkan
jawapan Ashraf, bukan jawapan itu yang dia harapkan dari lelaki itu. Namun
dalam kecewa, tidak dapat dia nafikan yang hatinya turut yakin dengan jaminan
Ashraf itu.
“Kalau betul awak serius, ada syarat
yang perlu awak tahu sebelum kita kahwin.” Kata Hannah Irdina lagi, dia sudah
malas mahu bersoal jawab dengan Ashraf, sukar benar dia mahu membaca hati
lelaki itu.
“Syarat apa?” Soal Ashraf sambil
mengeluarkan kotak rokok dari poket seluar. Logo larangan merokok di dalam
restoren itu seolah-olah tidak mendatangkan kesan kepadanya.
Hannah Irdina yang melihat perlakuan
Ashraf sempat mengerling ke arah pelayan yang menjaga kaunter. Bimbang tindakan
Ashraf akan menyebabkan orang lain kurang selesa.
“Yang pertama; berhenti merokok.”
Kata Hannah Irdina dengan mata yang memandang tepat ke arah sebatang rokok yang
telahpun terselit di bibir Ashraf yang sedikit lebam.
“Sorry,
syarat pertama, aku tak boleh terima.” Putus lelaki itu. Rokok ditangannya
ditarik semula dan diletakkan di sisi pinggan yang terisi tulang-tulang ayam.
“Syarat lain?” Sambung lelaki itu.
Hannah Irdina menarik nafas dan
menghembusnya berat. Ashraf lelaki degil!.
“Syarat kedua; awak kena belajar
agama. Jadi suami yang boleh bimbing saya.” Sambung Hannah Irdina.
Ashraf hanya mengangguk sambil
menyelitkan kembali rokok di bibir. Dia kemudiannya menyalakan hujung rokok dan
menyedut dalam.
“Syarat ketiga; jangan sia-siakan
saya lepas kahwin nanti.” Hannah Irdina menyambung.
“Syarat keempat; jangan paksa saya
buat perkara yang saya tak suka, dan syarat kelima; tinggalkan perangai buruk
awak, lepas kahwin kena tumpukan perhatian pada keluarga sahaja.” Kata Hannah
Irdina lagi.
“Itu sahaja.” Soal lelaki itu sambil
mengetuk habuk rokok ke dalam pinggan.
Hannah Irdina hanya mengangguk.
“Aku terima, tapi aku pun ada
syarat.” Sambung lelaki itu.
Hannah Irdina terkejut, kedua-dua
keningnya diangkat tinggi.
“Kita tak payah bertunang, terus
kahwin.” Kata Ashraf lagi.
Tersentak Hannah Irdina dengan
bicara lelaki itu.
“Tapi saya belum sedia.” Ucap Hannah
Irdina lambat-lambat.
“Sedia atau tidak, sebulan akan
datang, kita kahwin.” Tegas Ashraf.
Hannah Irdina menghela nafas berat,
sangkanya mereka akan bertunang dulu. Dalam tempoh bertunang itu dia berhajat
untuk lebih mengenali lelaki itu tetapi kini, bila lelaki itu membuat keputusan
tergesa-gesa begitu, dia rasa kurang senang. Namun untuk dia menarik balik
keputusannya, dia rasa tidak boleh. Pertamanya, kerana hatinya meningkahnya
dari berbuat demikian dan keduanya, dia sudah mendapat jawapan hasil solat
istikarahnya, memang Ashraf lelaki sesuai untuknya. Berlandaskan kedua-dua itu,
dia pasrah dan redha dengan jodohnya.
“Datang naik apa?” Soal Ashraf
seraya bangun.
“Bas.” Jawab Hannah Irdina sepatah.
“Aku hantar balik.” Kata lelaki itu
seraya berlalu keluar.
“Mulai sekarang, ubah panggilan.” Ucap Ashraf
tiba-tiba.
Hannah Irdina yang sedari tadi
membuang pandang ke luar tingkap kereta berpaling memandang ke arah Ashraf.
“Kau panggil aku ABANG, aku panggil
kau SAYANG.” Sambung lelaki itu lagi namun perhatian matanya masih di
jalanraya.
Hannah Irdina jungkit tinggi
kedua-dua keningnya. Benarkah telinganya baru menangkap kata-kata yang terbit
dari bibir Ashraf itu.
“Awak nak saya panggil awak abang.
Dan awak pula panggil saya sayang?” Soal Hannah Irdina untuk kepastian.
“Erm.” Jawab lelaki itu ringkas.
“Abang tak nak sayang panggil abang
AWAK lagi lepas ni.” Sambung lelaki itu senada.
Hannah Irdina mengerling lelaki
disebelahnya itu, wajah dingin dan selamba Ashraf dijamah matanya, entah kenapa
walaupun wajah lelaki itu selamba, namun sebutan ‘sayang’ dan ‘abang’ itu tidak
kedengaran janggal ditelinga Hannah Irdina.
“Awak..”
“Abang.” Pintas Ashraf sebelum
sempat Hannah Irdina melanjutkan kata-katanya.
“A..a..abang….” Tak dapat Hannah
Irdina melanjutkan kata-katanya. Entah kenapa janggal lidahnya mahu menyebut
perkataan itu. Penyudahnya dia hanya mampu mendiamkan diri sepanjang pemanduan
Ashraf. Lelaki itu hanya tersenyum nipis dengan mata yang masih fokus pada
jalanraya.
Keliru Hannah Irdina dengan sikap
Ashraf, entah kenapa kedinginan lelaki itu seolah-olah tidak ada pasang
surutnya. Tidak faham dirinya dengan sikap Ashraf. Arghh..susahnya dia mahu
membaca lelaki itu!.
“Liyes, kamu nak ke mana tu?” Soal Nek
Nab dari muka pintu.
“Eh mak ni, tanya pulak dia?, bukan
ke kita nak pergi rumah Kak Jamaliah?, nak bincang hal anak saya dengan anak
kak Jamaliah.” Sahut Tuan Aliyes dengan dahi berkerut.
“Iyelah, nak berbincang pun, kamu tu
jangan la gelojoh sangat, tengok sandal siapa yang kamu sarung tu?” Sambut Nek
Nab sambil matanya mengarah ke bahagian kaki Tuan Aliyes.
Tuan Aliyes turut membuang pandang
ke arah yang sama. Tatkala terpandangkan sandal putih bertumit tebal dengan
sekuntum bunga besar di atasnya, dia tersenyum sumbing.
“Eh, sandal Yatt!.” Kata Tuan Aliyes
sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Umur dah dekat separuh abad,
perangai macam budak-budak lagi, makin lama makin nyanyuk.” Bebel Nek Nab
seraya berlalu keluar.
“Eh mak ni, kita pulak dibebelnya.”
Rungut Tuan Aliyes.
“Eh, yang kamu tercegat lagi tu
kenapa?, pergi panggil bini kamu tu, kita nak cepat ni, nanti tertunggu-tunggu
pulak Si Jamaliah tu.” Kata Nek Nab lagi.
“Yelah mak.” Sambut Tuan Aliyes
seraya berlalu ke dalam bagi mendapatkan Puan Yati. Sikap cemerkap Tuan Aliyes
seringkali membuatkan dirinya dilayan seperti anak kecil oleh ibunya itu.
Untung sahaja isterinya juga “sporting’, jika
tidak pasti berantakan rumah tangga mereka lantaran sifatnya itu.
“Dina runsing?” Soal Jamaliah tatkala
terlihat Hannah Irdina termenung jauh melangkaui skrin televisyen dihadapan.
Hannah Irdina hanya mengangguk.
“Apa yang nak dirunsingkan, keluarga
Nek Nab cuma nak cepatkan majlis aje, tak perlu bertunang, terus kahwin. Kan lebih mudah macam
tu.” Kata Jamaliah lembut. Dia tahu anak daranya itu susah hati memikirkan
majlis yang akan berlansung dua minggu lagi. Baru dua hari lepas, keluarga Nek
Nab datang untuk berbincang dengannya tentang hal itu.
“Dina rasa macam belum bersedia la
bu.” Ujar Hannah Irdina.
“Insyaallah bila tiba masanya, Dina
pasti akan bersedia. Ibu dulu pun macam tu juga, masa mula-mula ayah masuk
meminang, ibu rasa macam belum bersedia tapi bila dah lepas akad nikah, ibu
redha dengan jodoh ibu. Dan ibu tak pernah menyesal. Buktinya, ibu dapat Dina.”
Sambung Jamaliah sambil memandang wajah Hannah Irdina dengan pandangan redup.
Seboleh-bolehnya dia mahu anak gadisnya itu lebih tenang dalam menghadapi semua
itu.
“Terima kasih bu, lega sikit Dina
dengar ibu cakap macam tu.” Sahut Hannah Irdina sambil tersenyum kepada
Jamaliah. Sedikit sebanyak, kata-kata ibunya itu menghantar rasa tenang
dihatinya.
Hannah Irdina memandang Ashraf yang
segak berbaju melayu berwarna krim lengkap dengan songkok hitam dan juga
samping hitam bersulam benang berwarna emas. Lelaki itu sedang berdiri
dihadapannya yang juga anggun dengan persalinan kurung moden dari jenis dan
warna kain yang sama.
Baru beberapa minit yang lalu dia
sah menjadi isteri kepada lelaki itu. Sungguh dia tidak sangka waktu itu tiba
juga akhirnya. Dalam pada dia masih keliru dengan keputusannya, Ashraf kini
sudahpun menjadi suaminya. Suami yang diharapkan boleh membimbing dirinya.
Walaupun komunikasi diantara mereka jarang terjadi, namun Hannah Irdina
berharap agar rumahtangga yang dibina itu membawa seribu kebaikan.
Terkejut Hannah Irdina saat Ashraf
menarik jemarinya untuk disarungkan cincin. Bagai dipukau, Hannah Irdina hanya
membiarkan Ashraf menyarung masuk sebentuk cincin bertatahkan permata putih ke
jari manisnya.
Hannah Irdina kemudiannya menyalami
tangan Ashraf lalu mengucupnya lembut. Syahdu rasa hatinya ketika itu. Dan
sekali lagi Hannah Irdina tersentak apabila Ashraf mengucup lembut dahinya.
Tersentuh hatinya. Redup pandangan mata lelaki itu memanah tepat ke dalam anak
matanya. Hilang kedinginan dan keegoan yang menghiasi wajah lelaki itu selama
ini.
Beberapa jurugambar yang sedari tadi
tidak putus-putus merakamkan peristiwa itu sibuk mengarahkan kedua-duanya supaya
membuat ‘posing’. Hannah Irdina hanya
menurut sahaja arahan jurugambar. Terasa janggal pula apabila berada dekat
dengan tubuh Ashraf. Terasa ada satu getaran halus yang meresap ke dalam
jiwanya saat tubuhnya dan tubuh Ashraf bersatu apabila diminta berbuat demikian
oleh jurugambar.
Lelaki itu juga dilihatnya cukup ‘sporting’ dan memberi kerjasama. Satu
lagi sisi Ashraf yang dia tidak kenal. Memang tidak dinafikan dia belum kenal
rapat dengan lelaki itu. dan dia nekad, mulai saat itu, dia akan belajar
mengenali Ashraf dengan lebih dekat…….
Bersambung....
harap semua enjoy :)