Friday, 31 August 2012

Bidding Girl Part 10

Kepada yang mengikuti blog cik tulip, ikuti sambungannya..maaf lambat sikit sbb lappy ada masalah hard disk dan dihantar utk rawatan selama 4 hari,lps pulih, terus taip n3 ni.lps part ni, cik tulip akan buat last part...

Ashraf terkejut jaga apabila wajahnya disimbah dengan air. Perlahan-lahan matanya dibuka dan ditalakan ke arah wajah yang berbalam-balam dihadapannya. Sejurus pandangannya kembali terang, Ashraf gagahkan tubuhnya untuk bangun berdiri. Dia teringat kembali apa yang telah terjadi malam tadi.
            “Mana wife aku?” Soal Ashraf keras. Pandangannya dihalakan ke arah Roziman. Marahnya bertandang tatkala terpandangkan wajah Roziman. Teringat apa yang pernah Roziman lakukan pada Hannah Irdina dulu dan sekali lagi lelaki itu melakukan perkara yang sama.
            “Patutnya kau fikirkan nasib kau dulu berbanding orang lain.” Kata Roziman sinis. Dia tersenyum mengejek ke arah Ashraf.
            “Jawab soalan aku!” Jerkah Ashraf radang. Marah apabila soalannya dibiar tidak berjawab sedangkan dia sudah terlalu risaukan nasib Hannah Irdina. Bimbang Hannah Irdina diapa-apakan lelaki itu.
            Roziman hanya tergelak kuat tatkala menanggapi radang Ashraf. Sedikit pun dia tidak takut dengan suara kuat Ashraf itu.
            Sementara Ashraf yang semakin naik darah melihatkan reaksi Roziman itu pantas mula mengatur langkah ke arah lelaki itu. Dia tidak betah bila Roziman mempermain-mainkan dirinya begitu, terutama sekali saat dia terlalu bimbangkan Hannah Irdina. Lelaki seperti Roziman memang perlu diajar!.
            Ashraf mara laju ke hadapan Roziman, sejurus tiba dihadapan lelaki itu, tangannya dikepal, wajah Roziman menjadi sasarannya, namun belum sempat penumbuk padunya naik ke wajah Roziman, tubuhnya telah terlebih dahulu jatuh menyembah lantai. Perutnya yang sakit diusap-usap perlahan. Terpinga-pinga Ashraf seketika. Cuma yang kedengaran hanyalah ketawa kuat yang terhambur dari mulut Roziman.
            “Kau lupa yang kau sekarang berada dalam kawasan aku?” Soal Roziman sinis. Dia pantas menaikkan tangannya, memberi isyarat kepada lelaki-lelaki yang berada di situ supaya memegang Ashraf.
            Ashraf pantas berpaling memandang ke arah lelaki-lelaki yang berjalan menghampirinya. Salah seorang daripada lelaki itu juga yang bertanggungjawab menumbuk perutnya sebentar tadi. Tatkala lelaki-lelaki itu menyambar kasar kedua-dua tangannya supaya kembali berdiri, Ashraf cuba melawan, namun dengan keadaan dia yang baru tersedar dari pengsan, ditambah pula dengan kudratnya berseorangan untuk melawan empat lelaki-lelaki itu, dia pasti dia tidak akan berjaya.
            “Mana wife aku?” Sekali lagi Ashraf bertanya kasar. Risau dengan keadaan Hannah Irdina.
            Roziman tersenyum sinis sambil memandang benci wajah Ashraf.
            “Kalau kau nak bini kau selamat, ikut cakap aku.” Kata Roziman.
            “Pergi mampus!” Ashraf meronta lagi supaya terlepas dari pegangan kejap dua orang lelaki di kiri dan kanannya, sementara dua orang lagi bersiap sedia berhampiran Ashraf. Ingin dia menumbuk wajah angkuh Roziman. Andai dia bersendirian bersama Roziman kala itu, sudah pasti wajah lelaki itu pecah dia kerjakan.
            Roziman hanya tersenyum sinis sambil mengangguk kepada salah seorang lelaki yang sedang berdiri dalam keadaan sedia. Mengisyaratkan kepada lelaki itu supaya melakukan sesuatu kepada Ashraf. Dia kemudiannya berjalan meninggalkan Ashraf yang masih dipegang kemas oleh dua orang lelaki suruhannya.
            Ashraf yang tegang dengan tindakan Roziman itu cuba merungkai pegangan di tangannya namun sepantas itu juga lelaki-lelaki itu menumbuk perutnya sehingga dia jatuh terduduk. Belum sempat dia berdiri dan melawan, tubuhnya pula disepak-sepak oleh lelaki-lelaki itu. Dek kerana tidak terlawan dengan jumlah lelaki yang ramai itu, Ashraf akhirnya kalah, dia pengsan tidak sedarkan diri.

“Mana perempuan tu?” Soal tengku Zainal kepada Roziman. Kaca mata hitam yang dipakainya ditanggalkan. Dia memandang tepat ke arah Roziman.
            “Ada dalam kereta.” Jawab Roziman. Pandangannya ditalakan ke arah van yang diparkir di sisi jalan.
            “Suruh orang kau hantar ke tempat ni.” Arah Tengku Zainal sambil menghulurkan sekeping kertas kepada Roziman yang sudah tersenyum.
            “Bayarannya mana tengku?” Soal Roziman dalam senyum yang masih mekar. Sangkanya tadi, Tengku Zainal akan menyerahkan wang terlebih dahulu.
            Tengku Zainal pantas menyeluk poket seluarnya. Seikat wang kertas dikeluarkan lalu dihulurkan kepada Roziman yang sudah tersengih.
            “Cukup?” Soal Tengku Zainal kembali. Wang yang sudah bertukar tangan dikerling sekilas.
            Roziman hanya mempamirkan senyuman manis. Wang yang diberikan Tengku Zainal itu sudah lebih dari mencukupi. Dia tidak berhajat untuk meminta lebih. Bimbang akan disalahtafsir oleh Tengku Zainal. Jika dia mahu terus berurusan dengan Tengku Zainal, tentu sahaja dia perlu menunjukkan impresi yang baik kepada Tengku Zainal supaya pada masa hadapan, Tengku Zainal akan meneruskan ‘urus niaga’ antara mereka.
            “Cukup tengku.” Jawab Roziman kemudiannya.      
            “Nanti saya minta orang saya hantar kat tempat ni.” Sambungnya lembut dan bersopan.
            ‘Bagus.” Kata Tengku Zainal seraya memakai semula cermin mata hitamnya. Cermin kereta diturunkan semula lalu dia mengarahkan pemandunya supaya meninggalkan tempat itu.
            Roziman menghantar pemergian Tengku Zainal dengan senyuman yang masih tersungging dibibirnya. Gembira bukan kepalang dengan upah yang diberikan oleh Tengku Zainal. Memang beruntung besar dia dapat berurusan dengan lelaki kaya itu. Roziman kemudiannya berjalan perlahan-lahan mendekati tempat van diparkir.

Ashraf terjaga saat dia terasa matahari mencucuk-cucuk matanya. Pantas dicelikkan kembali mata yang tertutup. Mindanya kembali memproses apa yang sedang berlaku. Sepantas itu juga ingatannya teraih pada Hannah Irdina.
            Ashraf bingkas bangun dalam terpinga-pinga, dia memandang sekeliling sebelum menyedari yang dia kini sedang berada di hadapan kediaman ibu mertuanya; Jamaliah. Tentu lelaki-lelaki yang membelasahnya menghantarnya pulang semula semasa dia tidak sedarkan diri akibat dibelasah. Tubuhnya masih terasa sakit akibat di pukul lelaki-lelaki itu. Dalam langkah yang masih goyah, Ashraf gagahkan kakinya melangkah masuk ke dalam rumah.
            Sejurus melewati pintu rumah yang terbuka luas, Ashraf dapati Jamaliah masih terbaring tidak sedarkan diri, pantas dia meluru mendapatkan ibu mertuanya itu. Dilihatnya Jamaliah terbaring berhampiran dgn meja yang menempatkan telefon, mungkin sahaja ibu mertuanya itu cuba membuat panggilan ketika penceroboh-penceroboh memecah masuk ke rumah itu.
            Kemudian mata Ashraf tertangkap pula ke arah dua biji telefon bimbit yang tersadai atas meja ruang tamu. Patutlah Hannah Irdina tidak cuba membuat panggilan telefon untuk mendapatkan bantuan, rupa-rupanya telefon bimbit miliknya dan Hannah irdina tertinggal di meja ruang tamu. Ashraf menghela nafas berat.
            Ashraf pantas mencapai telefon di meja itu lalu membuat panggilan kecemasan, dia kemudiannya mengangkat tubuh Jamaliah dan dibaringkan ke atas sofa berkembar tiga, menunggu bantuan tiba. Untuk dia menghantar Jamaliah sendiri bagi mendapatkan rawatan, dia sendiri tidak berdaya. Dia juga tersangat memerlukan bantuan dengan tubuh yang lemah, dia juga memerlukan rawatan.

Hannah Irdina mengerling tubuhnya yang terdedah. Sejurus tersedar dari pengsannya, dia perasan yang dia sedang berada di bilik asing. Satu situasi yang menakutkan dirinya. Bertambah takut lagi apabila beberapa orang lelaki datang lalu memaksanya menukar pakaian. Dia yang takut diapa-apakan, tidak membantah apabila wajah bengis salah seorang dari lelaki itu menjamah matanya. Dek kerana rasa takut yang sarat, Hannah Irdina turutkan sahaja walaupun dia sedar baju yang diberikan kepadanya itu terlalu mendedahkan tubuhnya. Sehelai dress pendek tanpa lengan separas peha. Yang menampung baju seksi itu di tubuhnya hanyalah dua tali nipis yang perlu diikat kemas dilehernya. Sungguh Hannah Irdina rasa malu mengenakan pakaian terdedah seperti itu, namun untuk dia melawan, tidak berani pula dirinya. Bimbang jika nasibnya akan lebih buruk.
            Hannah Irdina terkejut tatkala bilik tempat dia ditempatkan dikuak dari luar. Sesusuk tubuh berdiri di tengah-tengah pintu sambil memandang tubuhnya dari atas ke bawah. Satu pandangan yang membuatkan Hannah Irdina bertambah tidak selesa. Pandangan liar yang membawa suatu makna yang tersirat yang cukup dia fahami. Pantas Hannah Irdina panjatkan doa didalam hati. Dia tidak ingin disentuh oleh lelaki-lelaki lain selain Ashraf. Ya, hanya suaminya itu sahaja yang berhak ke atas tubuhnya. Dan menanggapi pandangan berahi lelaki dihadapannya kala itu membuatkan hatinya bertambah kecut.
            “Keluar!.” Arah lelaki itu tegas.
            Hannah Irdina tersentak. Dengan perasaan takut yang kuat mengepung dada, dia gagahkan kakinya melangkah, membuntuti lelaki yang melemparkan pandangan liar terhadapnya sebentar tadi.
            Tiba di satu bilik lain, tangannya ditarik kasar lalu tubuhnya ditolak kasar supaya masuk ke dalam bilik itu.
            “Cantik dan seksi.” Puji lelaki yang sedang duduk di satu kerusi kayu yang tersedia di situ. Pujian yang lebih kepada sindiran.
            Hannah Irdina diam tidak menjawab. Bukan seorang lelaki yang berada di situ, malah ada lebih dari lima lelaki, dan matanya juga tidak berani dilemparkan kepada kesemua yang ada dalam bilik itu kerana dia sedar setiap mata yang ada sedang merenungnya dengan pandangan jahat, dan hatinya cukup kecut berhadapan dengan semua itu.
            “Aku nak kau buat sesuatu untuk aku.” Kata lelaki itu sambil memandang Hannah Irdina yang menalakan pandangan ke lantai.
            “Kalau kau nak selamat, ikut cakap aku.” Sambung lelaki itu.
            “Tengku nak apa dari saya?” Soal Hannah Irdina tergagap-gagap. Dalam takut-takut itu, terluah juga soalan itu dari bibirnya. Sejujurnya dia memang terlalu ingin tahu bagaimana dia boleh berada di situ. Seingatnya, dia diculik oleh Roziman tetapi bagaimana pula Tengku Zainal yang berada bersamanya ketika itu.
            “banyak yang aku nak dari kau.....kalau kau tak keberatan untuk tunaikan.” Sinis kata-kata tengku Zainal menyapa gegendang telinga Hannah Irdina.
            “tengku nak apa?” Soal Hannah Irdina lagi.
            Tengku Zainal hanya tersenyum sinis.
            “Zul, ambil kertas tadi.” Arah tengku Zainal tanpa mempedulikan soalan Hannah irdina.
            “Kau hanya perlu baca ini sahaja.” Kata Tengku Zainal sambil membaling kertas ditangannya ke kaki Hannah Irdina.
            Hannah Irdina yang terpinga-pinga mengutip kertas di kakinya lalu dibawa ke pandangan matanya.
            “Kau hanya perlu baca ayat yang ada dalam kertas tu sambil berdiri depan kamera tu, aku nak ajar laki kau yang sombong tu, biar dia tahu langit tu tinggi ke rendah.” Ucap Tengku Zainal sinis.
            Dalam teragak-agak, Hannah Irdina penuhi permintaan Tengku Zainal itu. Kerana rasa takut yang mengganggu perasaannya saat itu, dia turutkan apa sahaja permintaan Tengku Zainal.
            “bagus.” Ucap Tengku Zainal sejurus Hannah Irdina melakukan segala suruhannya. Dia menyungging senyum.
            “sekarang kau boleh masuk dalam bilik kau semula.” Sambung lelaki itu sambil mengarahkan salah seorang lelaki tadi membawa Hannah Irdina kembali ke bilik.
            Hannah Irdina hanya menurut.

Ashraf mundar mandir sambil memerhatikan sampul yang tersadai di atas meja di tengah-tengah ruangan sofa. Tuan Aliyes, Puan Yati, Nek Nab dan Jamaliah turut memerhatikan tingkah Ashraf itu. Sampul yang tertulis nama Ashraf itu turut mengundang tanda tanya di benak mereka. Sudah dua hari Hannah Irdina di culik dan mereka masih belum menerima sebarang berita. Laporan polis juga sudah di buat dan polis juga sedang menjalankan siasatan mereka.
            Namun kehadiran sampul yang berisi sesuatu itu seolah-olah membawa khabar baru tentang kehilangan Hannah Irdina. Dan seisi rumah berdebar-debar mahu mengetahui isi kandungan. Lantaran itu Ashraf masih lagi mundar mandir, rasa takut kuat menyelimuti hatinya.Bimbang khabar buruk yang singgah menyapa.
            “Daddy rasa elok kita buka sampul tu segera.” Saran Tuan Aliyes yang sedari tadi hanya memerhatikan perilaku Ashraf. Dalam debar, dia turut ingin tahu.
            “Betul kata daddy tu.” Tambah Puan Yati serius.
            Ashraf hanya memerhatikan kedua-dua ibu bapa itu tanpa berkelip. Memang dia juga mahu lakukan perkara itu, Cuma yang menghalangnya ketika itu hanyalah rasa takutnya. Takut bukan khabar baik yang diterima sebaliknya khabar duka.
            Perlahan-lahan Ashraf membuka sampul yang baru diraih dari atas meja. Sejurus membuka sampul itu, dilihatnya ada sekeping CD di dalamnya, pantas dikeluarkan CD itu dari sampul dan melemparkan pandangan pelik ke arah seisi rumah.
            “Cuba pasang CD tu.” Saran Tuan Aliyes.
            Ashraf hanya menurut arahan Tuan Aliyes tanpa banyak bicara.
            Sejurus Skrin TV dipasang, seluruh rumah terkejut kerana imej Hannah Irdina menyapa mata mereka. Dan yang lebih memeranjatkan ialah baju yang dipakai oleh Hannah Irdina beserta mesej yang disampaikan oleh Hannah Irdina yang berbunyi;
            “Atas permintaan Tengku Zainal, Dina nak sampaikan mesej ni untuk Ashraf. Tengku Zainal pesan, kalau tak mahu Dina diapa-apakan, abang perlu dengar arahan dia. Lima jam sejurus abang dapat mesej ni, Tengku Zainal akan call abang dan aturkan perjanjian. Kalau abang enggan turuti permintaan tengku Zainal, dia akan jual Dina di rumah pelacuran.”
            Mesej pendek dari Hannah Irdina itu cukup memeranjatkan seisi rumah. Ashraf sudah terketar-ketar, antara marah dan risau, kedua-dua rasa itu bergabung menjadi satu. Memang berani betul Tengku Zainal cuba bermain api dengannya. Namun bukan itu yang dia runsingkan kala itu. Yang menjadi kebimbangannya ialah nasib Hannah Irdina. Patutlah isterinya itu dihias begitu, rupa-rupanya Tengku Zainal sudah menyediakan rancangan untuknya.
            Baran dia rasakan saat matanya dijamu dengan keadaan Hannah Irdina yang separuh berbogel itu. Dan rasa marah itu berkumpul menjadi dendam. Jika Tengku Zainal berani bermain api, dia juga tidak akan teragak-agak untuk turut memainkan permainan yang sama. Yang penting dia hanya perlu bijak mengatur perancangan. Biar lelaki itu turut membayar apa yang dia telah lakukan terhadap Hannah Irdina!.
            “Habis sekarang macam mana?” Soal Jamaliah tiba-tiba. Dia juga buntu dalam menemukan penyelesaian kepada perkara itu.
            “Raf ada rancangan,kita tunggu panggilan Tengku Zainal dulu.” Jawab Ashraf penuh yakin. Sedikit sebanyak, dia sudah mampu menebak apa yang sedang dirancangkan oleh tengku Zainal dan dia juga bersedia untuk turut bermain permainan yang diaturkan oleh Tengku Zainal itu. Ashraf tersenyum.

“Apa yang tengku nak?” Soal Ashraf tatkala dia menyambut panggilan dari Tengku Zainal.
            “Apa yang aku nak mudah aje...” Kata Tengku Zainal.
            Dia berhenti seketika sebelum menyambung.
            “Kau kahwin dengan DeAnna.” Sambung Tengku Zainal.
            Sementara Ashraf sudah meleret senyum. Memang dia sudah menjangkakan hal itu. Dan dia juga sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan.
            “Saya setuju.” Sambut Ashraf serius.
            Jawapan Ashraf itu membuatkan Tengku Zainal terdiam seketika.
            “Semudah tu kau setuju?” Soal Tengku Zainal pelik.
            “Bukan ke itu yang tengku nak, kalau tidak takkan maruah isteri saya dipertaruhkan. Dan saya nak tengku tahu, saya terima bukan sebab tengku tapi sebab isteri saya dijadikan taruhan. Apa pilihan yang saya ada?” Jawab Ashraf dalam nada serius. Mengembalikan soalan untuk membawa Tengku Zainal berfikir.
            “bagus, sampai juga mesej aku pada kau.” Sinis suara Tengku Zainal menjawab.
            “Apa sahaja yang tengku nak,asalkan isteri saya selamat.” Sambut Ashraf lagi.
            “Rancangan seterusnya, aku akan bagitahu kemudian.” Ujar tengku Zainal lagi seraya mematikan talian.
            Ashraf hanya tersenyum. Sejurus talian dimatikan, dia kemudiannya mendail beberapa nombor. Dia turut membuat panggilan.

“Mana Anna?” Soal Ashraf sambil membuang pandang ke arah wajah Tengku Zainal.
            “Ada dalam kereta.” Jawab Tengku Zainal pendek. Semenjak membuat perjanjian dengan Ashraf sehari lepas, dia terpaksa menurut permintaan lelaki itu untuk berjumpa dengan DeAnna walaupun pada asalnya dia tidak bersetuju, namun apabila Ashraf bertegas mahu berjumpa dengan DeAnna, dia tiada pilihan lain melainkan menurut sahaja.
            “Panggil dia.” Kata Ashraf tegas. Sinar matanya yang liar seolah-olah mengembalikan sikapnya sebelum diijabkabulkan dengan Hannah Irdina.
            Tengku Zainal pantas mengarahkan orangnya untuk memanggil anak gadisnya itu.
            “Anna ikut abang.” Kata Ashraf seraya menarik tangan DeAnna tanpa mempedulikan renungan tajam Tengku Zainal.
            “Kau tak boleh bawa anak aku jauh dari kawasan ni!” Ujar Tengku Zainal tegas.
            Ashraf pantas memberi isyarat mata ke arah DeAnna.
            “Kalau nak abang kahwin dengan Anna, bagitahu ‘bapak’ Anna, Anna akan ikut abang.” Suara Ashraf turut tegas, sengaja dia menekankan perkataan ‘bapak’ itu.
            DeAnna hanya menunduk memandang tanah. Dia sendiri keliru dengan semua yang berlaku. Tatkala Tengku Zainal mengajaknya ke situ awal tadi, dia sendiri tidak tahu atas tujuan apa. Namun apabila tiba ke tempat itu, baru dia tahu, bapanya itu cuba mengaturkan perjumpaan dirinya dengan Ashraf.
            “Pa, tolonglah...” Kata DeAnna lembut. Dia tahu Ashraf tidak mungkin akan melakukan perkara yang tidak elok ke atasnya.

“Abang buat apa ni?!” Soal DeAnna takut-takut. Tatkala matanya menjamah beberapa susuk tubuh lelaki tegap yang sedang menunggu Ashraf di gudang lama itu, hatinya sudah mula kecut.
            “Kalau ‘bapak’ Anna boleh guna cara kotor, abang pun boleh guna cara yang sama.” Jawab Ashraf kasar dan sinis.
            “Apa maksud abang?” Soal DeAnna tidak faham.
            “Papa Anna dah culik isteri abang. Dan kalau dia boleh gunakan cara kotor untuk paksa abang kahwin dengan Anna, abang pun akan gunakan cara kotor untuk pastikan perkara tu tak terjadi.” Jawab Ashraf selamba.
            “Tapi abang bukan jenis yang macam ni.” Kata DeAnna dalam nada mengendur. Takut pula dia dengan tingkah kasar Ashraf. Selama dia kenal dengan Ashraf, lelaki itu tidak pernah sekalipun berbahasa kasar dengannya. Malah semasa diminta bertunang dengannya dahulu pun, Ashraf tidak pernah memberontak.
            “Jenis yang macam mana?, Jenis yang jahat macam yang Anna nampak sekarang?” Soal Ashraf sinis.
            “Abang lelaki baik....” Kata DeAnna lambat-lambat.
            “Lelaki baik sebelum keluarga Anna jadikan abang lelaki jahat.” Sinis jawapan Ashraf. Masih dia teringat sewaktu dia belum bergelar tunangan DeAnna, memang dia lelaki baik, lelaki yang menurut semuanya. Namun Tengku Zainal yang telah menjadikan dia lelaki liar. Dek kerana marah dengan tindakan Tuan Aliyes mengikat tali pertunangannya dengan DeAnna, dia jadi liar. Sejujurnya dia juga tidak menyalahkan kedua ibu bapanya kerana dia tahu mereka juga terpaksa sepertinya. Cuma dulu akalnya itu terlalu cetek, dia menyalahkan takdir, dan dari situ dia mula memberontak. Menjadi liar dan nakal demi untuk melawan apa jua rasa tidak puas hati yang bertandang di hatinya kala itu.
            “Abang nak buat apa dengan Anna?” Soal DeAnna takut-takut.
            “Abang tak nak buat apa-apa, cuma nak Anna buat sesuatu untuk abang.” Sahut Ashraf serius.
            “Buat apa?” Soal DeAnna cuak.
            Ashraf hanya tersenyum sambil memandang tajam ke arah DeAnna.

“Celaka!” Lantang suara Tengku Zainal memecah kesunyian rumah kosong itu.
            Lelaki-lelaki yang setia menunggu arahannya juga turut terkejut. Orang suruhannya itu tersentak.
            “Macam mana boleh jadi macam ni?, kan aku dah suruh korang ikut budak bedebah tu!” Marah Tengku Zainal kepada dua orang lelaki yang berdiri dihadapannya sambil menundukkan kepala.
            “Sekarang korang tengok, dia dah gunakan anak aku untuk ugut aku balik!” Sambungnya.
            Saat menerima sekeping CD atas namanya sejam lepas, dia tahu Ashraf membalas permainannya dengan cara yang sama. Melihatkan sesusuk tubuh anaknya dalam CD itu, dia tahu Ashraf juga bijak mengatur rancangan. Dia sepatutnya tahu yang Ashraf tidak mungkin serius dengan persetujuannya untuk berkahwin dengan DeAnna. Ada helah disebalik persetujuan Ashraf itu.
            “habis tu sekarang macam mana bos?” Soal satu lelaki lain.
            “Pulangkan bini dia seperti yang dia minta dalam mesej tu!” Jawab Tengku Zainal sambil menjuih bibir pada skrin TV dihadapannya. Apa lagi yang boleh dia lakukan melainkan menurut sahaja kehendak Ashraf. Sejurus terpandangkan anak gadisnya yang berpakaian hampir sama dengan Hannah Irdina itu dikelilingi oleh lelaki-lelaki yang tidak berbaju itu, hatinya jadi kecut. Jika Hannah Irdina tidak dipulangkan pada masa dan tempat yang ditetapkan oleh Ashraf seperti dalam mesej bergambar itu, pasti anaknya pula yang akan menjadi mangsa rakus lelaki-lelaki itu. Bukanlah penampilan seksi anaknya itu yang menjadi kerisauannya kerana DeAnna sudah biasa berpakaian begitu. Yang paling dia runsingkan ialah lelaki-lelaki tegap tidak berbaju itu bergilir-gilir menodai anak kesayangannya. Tidak dapat dia membayangkan jika itu yang terjadi.
Saat itu baru dia tahu dia sudah tersalah memilih lawan. Ashraf yang dia kenal rupanya punyai karekter yang tersembunyi. Yang tidak pernah dia kenali!.

Hannah Irdina berlari laju menuju ke arah Ashraf. Sepantas itu juga beberapa orang lelaki bersenjata datang mengepung lelaki-lelaki yang membawa Hannah Irdina tadi.
Sejurus tiba dihadapan Ashraf, Hannah Irdina pantas memeluk erat tubuh Ashraf. Lega hatinya tatkala tubuhnya dan tubuh Ashraf bersatu. Selamat, itulah yang dia rasakan ketika itu. Segala kerisauannya berhari-hari itu berakhir juga. Dia dibebaskan tanpa diapa-apakan oleh tengku Zainal mahupun orang suruhan lelaki itu.
            “Dina takut...” Kata Hannah Irdina dalam sebak. Wajahnya disembam ke dada Ashraf. Air matanya terasa bergenang di tubir mata. Bersyukur dia kini selamat dalam pelukan Ashraf.
            “Dina dah selamat, jom abang bawa balik.” Kata Ashraf lembut sambil mengusap-usap belakang Hannah Irdina yang terdedah dengan gaun pendek itu.
            Hannah Irdina tidak dapat menampung rasa sedihnya, mengalir juga air matanya. Antara rasa takut dan rasa bersyukur, kedua-duanya bercantum menjadi satu.
            “Diaorang ada apa-apakan sayang?” Soal Ashraf lagi. Tubuh Hannah Irdina di dorong supaya mengikut langkahnya menuju ke kereta. Untung sahaja dia sudah menyediakan Back up plan. Lelaki-lelaki yang membawa Hannah Irdina tadi dilihatnya sudahpun diberkas oleh polis-polis yang menyamar dan berpakaian biasa. Selepas ini, tentu nasib Tengku Zainal dan Roziman pula yang akan menyusul.
            Hannah Irdina hanya menggeleng sebagai memberi jawapan kepada persoalan Ashraf. Pautan erat lengan Ashraf dibahunya membuatkan dia rasa terlalu selamat.
            “Lepas ni Roziman dan Tengku zainal takkan ganggu kita lagi, abang akan pastikan diaorang ditangkap.” Kata Ashraf dalam senyum manis. Dia turut lega Hannah Irdina selamat dan tidak diapa-apakan.
            Hannah Irdina hanya membalas kata-kata Ashraf dengan senyuman kerana dia rasakan tubuhnya terlalu letih untuk dia berbalas kata dengan suaminya itu.
            “Busuk la wife abang, mesti tak mandi beberapa hari ni.” Kata Ashraf dalam senyum mengusik.
            Hannah Irdina tidak berdaya mahu membalas usikan berbaur sindiran suaminya itu. Dia hanya mencubit lengan Ashraf sebagai tanda protes dan tidak setuju dengan kenyataan Ashraf itu. Terjerit kecil lelaki itu saat cubitan Hannah Irdina mendarat dua kali di tangannya.
            “Takpe, balik ni abang mandikan sayang.” Ucap Ashraf nakal.
            Sekali lagi Hannah Irdina mengetam lengan suaminya itu.
            “Dina takde, abang rindu sangat. Malam ni sayang kena balas budi abang selamatkan sayang. Lagipun abang tak tahan tengok sayang seksi macam ni.” Sambung Ashraf lagi.
            Kali ini Hannah Irdina tidak mencubit lengan Ashraf tapi dia menumbuk manja dada Ashraf.
            “Aaa...tak sabarla tu.” Usik Ashraf lagi.
            “Abangggg....” Marah Hannah Irdina. Malu dia disakat-sakat begitu.
            Ashraf kemudiannya tersenyum nipis sambil mendorong tubuh Hannah Irdina masuk ke dalam kereta. Rasa syukur dipanjat apabila Hannah Irdina kini telah kembali ke pangkuannya. Berada selamat bersamanya.
           
harap semua suka :)

Sunday, 12 August 2012

Bidding Girl Part 9

Post berikutnya untuk cerita Bidding Girl ini akan Cik Tulip sambung selepas raya kerana Cik Tulip nak memulakan projek membuat kuih raya, hehe..jadi mungkin akan busy sikit. Dikesempatan ini juga Cik Tulip nak mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua yang mengikuti blog Cik Tulip dan selamat menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi. Cik tulip menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan maaf diatas segala kekhilafan selama Cik Tulip berblog. Sudi la kiranya membaca n3 Bidding Girl sebelum sambut raya,hehe..harap berpuas hati :)


Tuan Aliyes bingkas bangun dari duduk tatkala dia terdengar bunyi nyaring deringan telefon di ruang tamu rumah. Kakinya diatur cepat-cepat menuju ke arah telefon yang terletak di sisi meja bersebelahan dengan set sofa rumah. Sejurus tiba, pantas diraihnya ganggang telefon itu.

            “Hello, assalamualaikum.” Sapa Tuan Aliyes ramah.

            “Waalikumusalam.” Jawab suara dari hujung talian pendek.

            “Tengku Zainal?” Soal Tuan Aliyes dalam was-was. Masih dia kenal dengan pemilik suara itu. sudah tentu ada lagi hal yang mahu dibincangkan lelaki itu bersamanya.

            “Iye, saya ada hal nak dibincangkan dengan Tuan Liyes.’ Jawab Tengku Zainal, membenarkan segala telahan Tuan Aliyes sebentar tadi.

            “Hal apa lagi?” Soal Tuan Aliyes pelik, seingatnya perbincangan mereka sudahpun selesai. Telahpun tamat!.

            “Saya sanggup bayar kalau Raf sudi berkahwin dengan Anna.” Ujar Tengku Zainal tanpa segan silu.

            “Apa?!” Kata Tuan Aliyes dalam nada terperanjat.                           

            “Saya sanggup bagi berapa sahaja yang Tuan Liyes mintak.” Sambung Tengku Zainal.

            “Tengku cakap apa ni?!” Kata Tuan Aliyes lagi.

            “Tuan Liyes pujuk Raf supaya ambil Anna jadi isteri dan saya akan bayar berapa sahaja yang Tuan Liyes mahu.” Terang tengku Zainal lagi.

            “Maafkan saya, saya rasa tiada lagi yang nak dipanjang-panjangkan tentang hal tu. keluarga saya telahpun buat keputusan. Antara Raf dan Anna, mereka dah putus.” Tegas Tuan Aliyes seraya mematikan talian. Malas dia mahu melayani kehendak Tengku Zainal yang tidak masuk akal itu.



Tengku Zainal merengus marah, sakit hatinya dengan sikap sombong Tuan Aliyes. Masakan lelaki itu tidak termakan dengan habuan yang ingin dia beri. Tawaran dia bukanlah tawaran biasa-biasa. Dia sanggup membayar berapa sahaja yang Tuan Aliyes mahu sekiranya Ashraf bersetuju menikahi anak perempuannya. Mengenangkan anak daranya itu kini sedang mengandungkan benih orang, dia tidak mahu perkara itu bocor ke pengetahuan umum. Dan sebelum orang tahu, dia berkira-kira mahu mencari kambing hitam yang sanggup menanggung semua beban itu dan tiada orang lain lagi yang dia nampak kecuali Ashraf memandangkan Ashraf pernah menjadi tunangan DeAnna.

            Namun setelah tawarannya tadi ditolak bulat-bulat oleh Tuan Aliyes, dia jadi panas hati. Ada juga orang yang tidak termakan dengan tawaran lumayan yang dia buat itu. Sakit hatinya dengan jawapan yang diberikan oleh Tuan Aliyes tadi. Ketika itu, dalam kepalanya hanya terbayang akan dendam yang mahu dia lunaskan kepada Tuan Aliyes. Sama sekali dia tidak akan membenarkan keluarga Tuan Aliyes hidup bahagia setelah dengan sombongnya keluarga itu memalukan dia dan keluarganya.

            “Aku akan pastikan keluarga kau hancur!.” Rengus Tengku Zainal dalam nada marah.



Ashraf memerhatikan Hannah Irdina yang kemas dengan persalinan kurung moden berwarna ungu lembut, sejak dari tadi, matanya tidak dapat lari dari memerhatikan isterinya yang anggun dalam persalinan pengantin mereka. Dua jam dari sekarang, mereka akan di sandingkan sebagai raja sehari walaupun sudah beberapa hari mereka diijab kabulkan dan Ashraf sudah tidak sabar untuk duduk bersanding dengan Hannah Irdina di atas satu pelamin.  

            Kecantikan solekan nipis pada wajah Hannah Irdina membawa getaran hebat dalam dadanya. Sungguh Hannah Irdina manis disolek dan dihias begitu dan dia rasa cukup bertuah kerana dapat memperisterikan Hannah Irdina. Gadis itu bukanlah yang paling cantik yang pernah dia temui namun sejak kali pertama terlihat Hannah Irdina di bida beberapa bulan dahulu, dia rasa terpaut pada manisnya wajah Hannah Irdina. Lantaran itu dia sanggup berhabis duit membida Hannah Irdina, walaupun pada ketika itu Hannah Irdina berpenampilan seksi dan dia sendiri tidak tahu dari mana asal usul gadis itu namun hatinya kuat mendesaknya supaya dia terus membida gadis itu sehingga jatuh ke tangannya. Untung sahaja waktu dia cuba mendekati Hannah Irdina dulu, gadis itu sempat melarikan diri. Jika tidak tentu sahaja pengakhiran kisah mereka bukan di situ, tentu sahaja jika dia terlanjur mengasari Hannah Irdina ketika itu, gadis itu pasti akan memusuhi dirinya, membenci dirinya.

            “Dina nampak cantik.” Puji Ashraf seraya mendekati Hannah Irdina setelah Mak Andam yang menyolek Hannah Irdina keluar sebentar.

            Hannah Irdina hanya membalas pujian Ashraf dengan senyuman manis. Berbunga riang hatinya dipuji begitu. Apatah lagi pujian itu datangnya dari mulut Ashraf, suaminya sendiri.

            “Tak sabar nak tunggu malam.” Kata Ashraf mengusik. Mata Hannah Irdina direnung dengan renungan nakal.

            Mati senyuman di bibir Hannah Irdina tatkala mendengarkan kata-kata Ashraf itu. Wajahnya tiba-tiba memerah menahan malu. Baru sahaja hatinya berbunga-bunga dengan pujian Ashraf, tiba-tiba pula lelaki itu membangkitkan hal itu.

            “Dina tengah bendera merah la bang.” Jawab Hannah Irdina selamba. Ingin diuji pula hati suaminya itu.

            “Ermmm…kalau bendera merah, yang ringan-ringan pun abang tak kisah.” Jawab Ashraf sambil menjungkit sebelah keningnya.

            “Kirim salam!.” Pintas Hannah Irdina.

            ‘Kita tengok la siapa yang kirim salam, abang ke Dina.” Jawab Ashraf selamba.

            “Menyampah cakap dengan abang.” Kata Hannah Irdina dalam nada merajuk.

            “Sayang cantik sangat, abang tak tahan la…” Jawab Ashraf dalam nada meleret.

            “Malam ni abang tidur bawah!.” Ujar Hannah Irdina serius. Marah bila rajuknya dibiar tidak berpujuk.

            “Mana boleh macam tu sayang, berdosa tau layan suami macam tu.” Kata Ashraf lagi. Faham benar dengan rajuk isterinya itu.

            Hannah Irdina diam tidak menyambut kata-kata Ashraf, makin dilayan makin menjadi-jadi sikap Ashraf itu.

            “Sayang merajuk ke?” Soal Ashraf lembut. Cepat-cepat pinggang Hannah Irdina dirangkul dari belakang.

            “Maafkan abang, abang saje nak sakat sayang, sayang janganla terasa hati. Abang janji malam ni abang tidur luar.” Seloroh Ashraf.

            Pujukan Ashraf itu menyebabkan Hannah Irdina tergelak kecil.

            “Betul ke ni?” Soal Hannah Irdina. Berpura-pura serius.

            “Demi sayang, dalam tandas pun abang sanggup tidur.” Jawab Ashraf dalam nada serius yang dibuat-buat.

            “Kalau macam tu, malam ni abang tidur dalam tandas la.” Sambung Hannah Irdina dalam senyum mengusik.

            “kejam juga wife abang ni, sanggup suruh suami tidur dalam tandas, kan ke kotor.” Ucap Ashraf lagi.

            “Eeii..bukan Dina yang cakap la, abang yang kata sanggup tadi.” Tukas Hannah Irdina. Tangan Ashraf yang meraih pinggangnya dipegang mesra. Suka apabila dimanja-manja oleh Ashraf begitu.

            “Abang melawak je tadi tu, mana sanggup nak tidur dalam tandas, busukla. Tidur dengan sayang lagi best, sebusuk-busuk sayang, busuk lagi tandas tu tau.” Ashraf sambung menyakat.

            “Ala macam la abang tu wangi sangat, antara tandas tu ngan abang, abang lagi busuk.” Kata Hannah Irdina tidak mahu kalah.

            Pecah ketawa Ashraf mendengarkan kata-kata Hannah Irdina.

            “Sayang abang ni pandai juga menyakat kan.” Kata Ashraf sambil mencium pipi Hannah Irdina.

            “Tengokla siapa cikgunya.” Sindir Hannah Irdina kembali.

            “Okey…okey…abang mengaku kalah. Hebat juga sayang ni kan, lelaki gagah macam abang pun boleh kalah.” Sambung Ashraf sambil mengucup lembut leher Hannah Irdina.

            “Tahu takpe.” Sahut Hannah Irdina sambil mengelak ciuman Ashraf yang menghantar rasa geli di lehernya.

            “Erkk…hemmm.” Tiba-tiba suara Mak Andam terdengar di muka pintu.

            Tersentak Hannah Irdina dan Ashraf. Darah menyerbu naik ke muka mereka berdua. Tidak menyangka akan tertangkap saat sedang bermesra begitu. Terlalu asyik bergurau senda sehingga mereka lupa dimana mereka berada. Pantas Ashraf melepaskan rangkulan di pinggang Hannah Irdina.

            “Sabar la dulu, nanti malam-malam, bermesra la puas-puas.” Kata Kak Bibah selaku Mak Andam yang menyiapkan mereka berdua.

            “Kak Bibah pandai sangat make up wife saya ni. Sampai saya tengok pun, dah tak sabar nak tunggu malam.” Sahut Ashraf untuk membuang rasa malu yang bertandang.

            Tersenyum simpul Kak Bibah mendengarkan pujian Ashraf. Memang sudah menjadi lumrah kaum wanita, hati mereka mudah lembut dan berbunga-bunga tatkala dipuji-puji dan Kak Bibah turut tidak terkecuali.

            “Bukan main manisnya mulut kamu ye, patutlah si Dina ni boleh jatuh hati pada kamu.” Jawab Kak Bibah sambil menjeling Hannah Irdina di sisinya.

            Berona merah wajah Hannah Irdina mendengarkan usikan Kak Bibah itu.



Tengku Zainal memerhatikan majlis keraian yang meriah itu dengan rasa sakit dihatinya. Marahnya sudah berapi menyaksikan senyuman Tuan Aliyes dan keluarganya yang nyata sedang bergembira dengan majlis yang baru berlansung.

            Tengku Zainal merengus, stereng keretanya dihempas kuat. Dia sama sekali tidak akan membenarkan kebahagiaan keluarga Tuan Aliyes berkekalan. Sakit dihatinya itu tidak mampu diubati selagi Tuan Aliyes masih mampu tersenyum manis sedangkan dia sedang dilanda musibah. Dia akan pastikan, Tuan Aliyes mendapat balasan setimpal setelah menolak tawarannya bulat-bulat beberapa hari lepas.

            Sedang leka Tengku Zainal melayani amarahnya, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi ketukan di luar tingkap keretanya. Tengku Zainal membuang pandang ke arah seorang lelaki yang sedang berdiri di sebelah keretanya.

            Setelah lelaki itu mengisyaratkan supaya dia menurunkan cermin tingkap, Tengku Zainal hanya menurut.

            “Nak apa?” Soal Tengku Zainal acuh tak acuh, marah apabila diganggu oleh orang yang tidak dikenali itu.

            “Saya tahu apa yang tengku sedang fikirkan.” Kata lelaki itu membuka bicara.

            “Kau siapa?” Terpancul soalan Tengku Zainal tatkala dia sedar yang lelaki itu mengenalinya.

            “Saya Roziman.” Jawab Roziman yang sedari tadi memerhatikan Tengku Zainal. Dia juga tahu perihal Tengku Zainal dengan keluarga Tuan Aliyes. Duduk dalam satu kawasan begitu, tentu sahaja khabar angin cepat tersebar, tambahan pula, dia sendiri punyai banyak mata dan telinga yang sentiasa membekalkan maklumat kepadanya.

            “Aku tak kenal kau.” Jawab Tengku Zainal dingin.

            “Kenal atau tidak, itu tak penting. Yang penting, tengku tahu yang matlamat kita sama, kita sama-sama nak lihat keluarga Tuan Aliyes musnah.” Kata Roziman dalam senyum sinis. Sejak dia dibelasah beberapa minggu yang lalu, dia sudah menyuruh beberapa orang konconya untuk menyiasat siapa Ashraf. Dan apabila dia mendapat tahu Ashraf merupakan anak Tuan Aliyes dan cucu kepada Nek Nab, hatinya mulai puas, sekurang-kurangnya dia tahu dimana mahu mencari lelaki yang bertanggungjawab membelasahnya. Tambahan pula, Ashraf kini sudah merampas Hannah Irdina, gadis yang sepatutnya membawa untung kepadanya.

            “Maksud kau?” Soal Tengku Zainal tidak faham.

            “Kalau tak keberatan, bagilah saya masuk dulu, mudah kita nak berbincang lanjut.” Usul Roziman sambil mengerling tempat duduk bersebelahan Tengku Zainal di dalam kereta.

            “Boleh ke aku percayakan kau?” Soal Tengku Zainal was-was.

            “Terpulanglah, kalau tengku rasa nak lihat keluarga Tuan Aliyes jatuh, tengku kena percaya pada saya.” Ucap Roziman penuh yakin. Kalau berjaya bekerjasama dengan Tengku Zainal, itu sudah menjanjikan satu bonus kepadanya.

            “Masuklah.” Kata Tengku Zainal seraya membuka autolock kereta.

            Roziman tersenyum lalu berjalan ke bahagian bertentangan, pintu kereta ditarik dan dia masuk.

            “Sekarang terangkan perancangan kau.” Kata Tengku Zainal sambil memandang tepat ke wajah Roziman.

            Roziman tersenyum sinis lalu menerangkan tentang perancangan yang sudah dia sediakan untuk menghancurkan keluarga Tuan Aliyes. Dendamnya terhadap Ashraf dan Hannah Irdina akan dibalas!.

Akhirnya mereka berdua tersenyum, membayangkan kejayaan yang bakal diperolehi sekiranya perancangan mereka berjalan dengan lancar.



Sudah dua hari sejak majlis persandingan mereka selesai. Hannah Irdina mengajak Ashraf tinggal di rumah ibunya pula untuk seminggu. Memang sejak mereka diijabkabulkan, dia sudah memaklumkan kepada Ashraf yang dia turut mahu menghabiskan masanya bersama ibunya sebelum dia bersetuju untuk mengikut Ashraf pulang ke bandar dan tinggal bersama Ashraf. Tambahan pula, Ashraf sudahpun bersetuju untuk mempelajari serba sedikit tentang perniagaan keluarganya. Tentu sahaja selepas semuanya selesai, Dia terpaksa meninggalkan ibunya dan mengikut suaminya itu.

            Terfikirkan akan hal itu membuatkan Hannah Irdina sedih, tidak sanggup rasanya dia ingin meninggalkan ibunya sendirian di rumah.

            ‘Dina kenapa?” Soal Ashraf prihatin. Dia merebahkan tubuhnya disebelah Hannah Irdina yang sedari tadi merenung lama syiling bilik.

            “Takde apa-apalah.” Dalih Hannah Irdina, tidak mahu membincangkan hal yang merunsingkan kepalanya.

            “jangan tipu abang, abang tahu Dina tengah fikirkan sesuatu.” Kata Ashraf sambil menarik tubuh Hannah Irdina supaya berbaring dalam pelukannya.

            “Dina fikirkan ibu.” Jawab Hannah Irdina pendek. Kepalanya diangkat dan dibaringkan atas lengan berotot Ashraf.

            “Apa yang sayang fikirkan?” Soal Ashraf sambil mengelus-elus lembut anak rambut Hannah Irdina.

            Soalan Ashraf menyebabkan Hannah Irdina mengeluh.

            “Dina runsing nak tinggalkan ibu sorang-sorang kat rumah.” Luah Hannah Irdina dalam kenduran suara.

            “Sayang janganlah risau pasal tu, kita bukannya pergi tak balik-balik. Insyaallah kalau hujung minggu, kita tiada hal, kita balik la jenguk ibu dengan Nek Nab. Kalau nak balik tiap-tiap minggu pun boleh. Bukan jauh sangat pun.” Kata Ashraf memujuk.

            “Dina cuma risau ibu sunyi bila Dina tiada.” Kata Hannah Irdina lagi.

            “Pasal tu lagi sayang tak perlu risau, abang jamin, Nek Nab mesti ‘import’ ibu pergi rumah dia. Bukan sayang tak tahu hubungan Nek Nab dengan ibu, macam aur dengan tebing, saling perlu dan memerlukan.” Seloroh Ashraf.

            “Abang ni…Dina serius la..” Kata Hannah Irdina meleret. Lengan Ashraf dicubit manja.

            “Ishhh…sayang ni, abang pun serius la.” Sambut Ashraf sambil mengurut-ngurut bekas cubitan.

            “Bang….”

            Belum sempat Hannah Irdina menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba terdengar suara Jamaliah menjerit meminta tolong dari arah ruang tamu. Sayu nada ibunya, seolah-olah ada sesuatu yang buruk sedang berlaku di luar bilik mereka.

            Terkejut Hannah Irdina dan Ashraf. Masing-masing berpandangan dengan wajah yang sudah berkerut bimbang.

            “Sayang tunggu sini, biar abang pergi tengok.” Ashraf bingkas bangun dari perbaringan.

            “Abang, Dina nak ikut.” Kata Hannah Irdina. Dia turut bangun.

            “Dina tunggu sini, biar abang pergi tengok.” Jawab Ashraf serius. Dia sudah tidak sedap hati. Pelbagai andaian bermain dibenaknya ketika itu.

            “Dina kunci pintu rapat-rapat, apapun yang terjadi, jangan buka pintu.” Pesan Ashraf sebelum berjalan menuju ke pintu.

            “Abang…hati-hati.” Sambut Hannah Irdina, entah kenapa, dia turut berasa tidak sedap hati.

            Ashraf hanya mengangguk seraya menghilang keluar bilik.

            Hannah Irdina cepat-cepat mengunci pintu. Walaupun bimbang dengan apa yang sedang berlaku namun pesanan Ashraf itu membuatkan dia yakin untuk mengunci dirinya dalam bilik.

            Lima minit selepas Ashraf meninggalkannya, Hannah Irdina terdengar Ashraf  pula menjerit, menyeru nama Allah.

            Jantung Hannah Irdina sudah berdegup kencang. Tidak tahu apa yang sedang berlaku diluar biliknya. Dia mula terfikir ingin keluar dan melihat sendiri apa yang sedang terjadi, namun pesanan Ashraf sebelum keluar tadi menyebabkan dia tidak jadi untuk keluar.

            Tubuhnya sudah menggigil ketakutan, air matanya mengalir tanpa diminta. Hannah Irdina takut. Takut dengan apa yang sedang berlaku. Dia juga bimbang. Bimbang dengan apa yang sudah terjadi kepada ibu dan suaminya. Adakah Ashraf dan ibunya dicederakan atau mungkin kedua-duanya sudah…..

            Tidak sanggup Hannah Irdina memikirkan kebarangkalian itu. Ketakutannya bertukar menjadi rasa sebak. Pantas dia panjatkan doa kepada Allah, supaya ibu dan suaminya itu selamat dari sebarang malapetaka.

            Leka melayani fikirannya, tiba-tiba pintu biliknya diketuk kasar. Hannah Irdina duduk memeluk lutut di atas katilnya. Esak tangisnya di tahan supaya tidak mengeluarkan bunyi. Takut untuk berhadapan dengan apa sahaja yang sedang berlaku diluar biliknya.

            Bertubi-tubi pintu bilik itu diketuk. Hannah Irdina menekup telinganya dengan tangan. Ketakutannya sudah membungkus hati. Terkumat kamit bibirnya membaca doa. Berharap agar semuanya berlalu dengan cepat.

            Namun hasrat Hannah Irdina itu tidak kesampaian apabila tiba-tiba pintu biliknya dirempuh sehingga terbuka luas. Hannah Irdina hanya memandang kosong ke arah tiga orang lelaki bertopeng yang berjalan laju menuju ke arahnya. Saat itu, fikiran Hannah Irdina kosong. Hanya bibirnya sahaja yang masih setia membaca doa tanpa mengeluarkan bunyi.

            Kedua-dua tangan Hannah Irdina ditarik kasar keluar dari bilik. Sewaktu melewati ruang tamu, dia terlihat ibunya yang terbaring dalam keadaan lemah. Masih dalam keadaan sedar tetapi ibunya itu tidak mampu untuk bangun.

            “Ibuuu….” Seru Hannah Irdina sayu. Namun rintihannya itu tidak sedikitpun membuatkan lelaki-lelaki itu simpati padanya. Tubuhnya ditarik kasar sehingga keluar dari rumah.

            Saat itu ingatan Hannah Irdina teraih pula pada suaminya Ashraf. Dimana Ashraf, kerana semasa melewati ruang tamu tadi, tiada kelibat Ashraf di situ. Apa yang sudah terjadi kepada Ashraf?. Air mata Hannah Irdina bertambah laju mengalir.

            ‘Ya Allah, kau selamatkanlah suami dan ibuku.’ Doa Hannah Irdina dalam hati.

            Saat tubuhnya di dorong naik ke dalam Van, Hannah Irdina hanya menurut dalam terpaksa. Tubuhnya dicampak kasar ke dalam van sehingga menyebabkan Hannah Irdina jatuh. Digagahkan badannya untuk bangun dan tatkala tubuhnya itu duduk dalam keadaan stabil, Hannah Irdina terpandangkan seraut wajah yang sedang tersenyum sinis memandangnya, dia tersentak.

            ‘Kita jumpa lagi.” Tegur lelaki itu.

            “Abang Rozi!, kenapa abang Rozi buat semua ni?” Soal Hannah Irdina memohon pengertian. Tidak faham kenapa lelaki itu tidak putus-putus mahu mengganggu hidupnya.

            “Sebab aku berdendam dengan kau!, dengan budak mentah tu!.” Jawab Rozima tanpa riak bersalah. Dia menjuihkan bibirnya ke arah sekujur tubuh yang sedang terbaring lesu di kerusi belakangnya.

            “Abang!.” Hannah Irdina terperanjat melihat arah yang ditunjukkan oleh Roziman. Dia bingkas bangun untuk pergi mendapatkan Ashraf namun ketika itu juga dia terasa tubuhnya dipaut dari belakang. Dan tanpa sempat dia mencerna apa yang berlaku, terasa ada tangan kasar yang menutup mulutnya dengan tuala yang lembap. Hannah Irdina kemudiannya terkulai tidak sedarkan diri..

P/s-akan bersambung selepas raya...harap semua suka la hendaknya ; )
             

           

           

Monday, 6 August 2012

Bidding Girl Part 8

Ada yang bertanya, Bidding Girl ni novel or cerpen. utk makluman semua, BG ni merupakan mini novel yang akan dihabiskan di blog...jom baca sambungannya...


“Tengku Zainal, jemput duduk dulu.” Kata Tuan Aliyes lembut. Sopan nadanya.

            “Saya harap,  Tuan Liyes ada penjelasan ke atas semua ni.” Ujar Tengku Zainal senada. Dia mengambil tempat di salah satu sofa yang telah dikosongkan oleh anak-anak Tuan Aliyes. Manakala gadis yang mengekorinya sebentar tadi turut duduk.

            Ashraf juga duduk selepas mendapat isyarat mata dari Tuan Aliyes sementara Hannah Irdina masih terpaku berdiri dalam keadaan yang masih bingung sebenarnya.

            “Dina duduk sekali.” Arah Tuan Aliyes selepas dilihatnya Hannah Irdina masih berdiri dalam keliru.

            Sementara Nek Nab dan Puan Yati sudah pun bersedia di tempat masing-masing. Bersedia untuk berhadapan dengan apa yang bakal berlaku sebentar lagi.

            “Kenapa Tuan Liyes buat anak saya macam ni?” Soal Tengku Zainal sambil matanya memanah tepat ke mata Tuan Aliyes.

            ‘Saya minta maaf.” Hanya kata-kata itu sahaja yang mampu diluah dari bibir Tuan Aliyes. Entah kenapa buntu kepalanya mahu merungkai semua persoalan yang yang diutarakan oleh Tengku Zainal itu.

            “Kan Raf dan DeAnna dah bertunang, kenapa pula tiba-tiba Raf boleh berkahwin dengan orang lain.” Soal Tengku Zainal serius.

            Hannah Irdina tersentak, pantas dia palingkan wajahnya memandang Ashraf. Dilontarkan pandangan penuh tanda tanya kepada Ashraf namun lelaki itu hanya tertunduk memandang lantai.

            “Tengku dah lupa ke pada perjanjian kita masa mula-mula diorang bertunang dulu. Kalau dalam masa dua bulan, tiada usul dari keluarga Tengku untuk menikahkan mereka berdua, secara automatiknya pertunangan mereka putus.” Luah Tuan Aliyes dalam satu nafas.

            “Abang Raf tak boleh buat Anna macam ni.” Celah DeAnna sambil memandang wajah Ashraf.

            Ashraf masih menekur memandang karpet. Tidak tahu bagaimana reaksi yang seharusnya dia pamirkan saat itu.

            “Sepatutnya keluarga Tuan Liyes berjumpa dengan kami sekeluarga sebelum menetapkan sebarang keputusan.” Selar Tengku Zainal keras.

            “Maafkan keluarga kami, bukan kami tak nak putuskan dengan beradat cuma masa kami nak selesaikan dengan keluarga tengku, tengku yang larikan diri ke luar negara. Sekarang tengku nak menyalahkan keluarga kami. Sepatutnya tengku kena tahu, siapa yang menolong siapa sebenarnya. Jika anak lelaki saya tiada, agak-agaknya macam mana dengan air muka tengku ketika itu. dan sekarang tengku datang semata-mata nak menyalahkan keluarga kami, sedangkan tengku tahu keluarga tengku yang bersalah, memaksa Raf lakukan sesuatu yang kami sendiri tak setuju. Kalau tengku rasa kami bersalah terhadap tengku, rasanya kesalahan kami tu tak dapat dibandingkan dengan kesalahan tengku terhadap keluarga kami!” Tukas Puan Yati pula panjang lebar. Dia tidak betah bila keluarganya dituduh dengan tuduhan melulu kerana bagi dirinya semua yang berlaku bermula dengan keluarga Tengku Zainal.

            Terdiam Tengku Zainal mendengar kata-kata Puan Yati. Wajahnya kering dengan darah. Pucat.

            “Saya rasa betul kata menantu saya tu, hubungan cucu saya dengan anak tengku dah lama putus. Tengku sepatutnya berterima kasih pada keluarga kami sebab selamatkan air muka tengku, jika tidak, pasti sampai sekarang tengku sekeluarga menanggung malu yang besar.” Sambung Nek Nab pula.

            Sekali lagi Tengku Zainal tersentak. Memang dia akui apa yang berlaku antara DeAnna dan Ashraf dahulu ialah perancangannya. Merancang pertunangan kedua-duanya setelah dia kematian ikhtiar untuk menutup malunya.

            “Saya rasa hal ni tak perlulah dipanjangkan lagi, DeAnna boleh pulangkan cincin pertunangan pada keluarga kami semula, biar semuanya selesai disini, hari ini.” Ucap Tuan Aliyes dalam kenduran suara.

            Tengku Zainal diam tidak berkutik, mana mungkin dia bisa membidas semua kata-kata dari keluarga Tuan Aliyes kerana semua yang diperkatakan itu benar-benar belaka.

            “Anna tak nak putuskan pertunangan dengan Abang Raf, Anna nak kahwin dengan abang Raf!.” Kata DeAnna tiba-tiba. Air matanya yang bergenang di tubir matanya sudahpun mula mengalirkan air hangat.

            Seisi rumah tersentak dengan pengakuan DeAnna. Semua mata memanah tepat ke arah wajah putih gebu gadis itu.

            Sementara Hannah Irdina turut tersentak. Matanya juga sudah mulai berair. Baru sahaja mendirikan rumahtangga, dia sudah diuji sehebat itu.

            “Anna cakap apa ni?” Soal Ashraf tiba-tiba.

            “Anna nak kahwin dengan abang, Anna sanggup jadi isteri kedua abang.” Jawab DeAnna tanpa segan silu.

            Hannah Irdina yang mendengarkan pengakuan dari gadis kecil molek itu terus mengangkat punggung dalam bingung, tidak sanggup rasanya dia mendengar semua itu, hatinya luluh dengan pengakuan gadis yang bernama DeAnna itu.

            Pantas kakinya diatur menaiki anak-anak tangga menuju ke biliknya. Tidak lagi dia pedulikan dengan semua yang ada di ruang tamu itu. Yang dia rasakan saat itu ialah hatinya hancur, hancur dengan permintaan DeAnna.

Tombol pintu ditekan cepat-cepat, dia hanya mahu bersendirian ketika itu. memikirkan semula semua tindakannya. Dia mahu pergi dari semua yang sedang melanda keluarga Ashraf,  tidak sanggup rasanya dia mahu berhadapan dengan semua itu.

            “Dina, buka pintu ni.” Seru Ashraf dari sebalik pintu.

            Hannah Irdina tidak menjawab, dia menuju ke almari yang terisi dengan baju-bajunya, pantas tangannya menarik semula pakaiannya dari dalam almari lalu disumbatkan ke dalam beg baju yang dibawa ke situ seawal kenduri berlansung. Dia mahu pergi menenangkan dirinya seketika. Bingung dengan apa yang berlaku dan dia tidak tahu apa yang terbaik yang seharusnya dilakukan, cuma ketika itu, hatinya kuat mengatakan bahawa dia harus pergi dari banglo Nek Nab.

            Usai memasukkan baju-bajunya ke dalam beg pakaian, dia pantas berjalan menuju ke pintu. Di kuak kasar daun pintu sehingga Ashraf yang berdiri di hadapan pintu tersentak seketika.

            “Dina nak pergi mana ni?” Soal Ashraf tatkala matanya tertangkap beg pakaian yang dibimbit Hannah Irdina.

            “Dina nak balik rumah ibu.” Jawab Hannah Irdina sambil berjalan melepasi Ashraf.

            “Nanti dulu.” Ujar Ashraf lalu meraih pergelangan tangan Hannah Irdina.

            “Lepaskan Dina!.” Kata Hannah Irdina kasar. Tangannya cuba direntap dari pegangan Ashraf namun pegangan Ashraf terlalu kejap.

            “Biar abang explain dulu.” Sambung Ashraf dengan wajah yang serius. Dia tidak mahu Hannah Irdina salah sangka dan membuat pertimbangan sendiri.

            “Tak perlu explain, Dina dah dengar semua!” Jawab Hannah Irdina. Nadanya bertambah kasar lantaran Ashraf tidak mahu melepaskan pautan di tangannya.

            “Dina kena dengar sendiri dari mulut abang, bukan buat pertimbangan sendiri!” Ashraf turut bersuara keras. Tangannya menarik kasar tangan Hannah Irdina supaya masuk semula ke dalam bilik bersamanya.

 Pantang bila kata-katanya diambil ringan oleh Hannah Irdina. Dia seboleh mungkin mahu bertoleransi dengan Hannah Irdina tapi Hannah Irdina pula yang menunjukkan sikap degilnya. Dan dia memang tidak boleh bertahan dengan sikap yang begitu. Hilang rasa sabar yang dia kumpul semenjak diijabkabul dengan Hannah Irdina.

“Lepaslah!, Dina sakit!.” Tegas Hannah Irdina. Air matanya sudah mula mengalir.

“Kalau sakit, jangan buat abang marah, nanti lagi sakit Dina abang kerjakan!” Ashraf turut bersuara tegas. Hilang sudah kelembutan yang dia pamirkan semalam.

“Kenapa buat Dina macam ni.” Ucap Hannah Irdina dalam lirih.

“Sebab abang nak Dina dengar penjelasan abang dulu, bukan buat penilaian sendiri.” Jawab Ashraf. Ditariknya tangan Hannah Irdina untuk duduk di birai katil.

“Abang tipu Dina.” Sambung Hannah Irdina.

“Abang tak tipu, semua yang berlaku, bukan salah abang. Abang terpaksa bertunang dengan DeAnna.” Terang Ashraf dalam kenduran suara. Hilang sebentar amarahnya melihatkan air mata Hannah Irdina.

“Masa bertunang dengan dia, abang sendiri tak rela, papa dengan mama pun tak rela, tapi kami terpaksa terima usul Tengku Zainal sebab tengku ugut akan lucutkan jawatan papa yang pada masa tu bekerja dibawah naungan Tengku Zainal. Bila sumber rezeki keluarga yang jadi taruhan, papa tak boleh menolak, terpaksa ikut kata tengku. Masa tu Abang Ridza pun dah berkahwin, tak  mungkin papa boleh nak tunangkan dengan DeAnna, yang ada cuma abang sahaja, sebab tu abang yang terpaksa jadi korban. Tapi papa pun tak mudah ikut saranan tengku membuta tuli, papa pun ada rancangan sendiri untuk jaga kepentingan kami sekeluarga. Papa ikat perjanjian dengan keluarga Tengku Zainal, kalau dalam masa dua bulan, kami tak dikahwinkan, papa mahu pertunangan abang dengan DeAnna terputus secara automatik sebab papa tak mahu keluarga kami dipergunakan lagi selepas tu. Papa letakkan syarat macam tu sebab papa yakin, tak mungkin dalam masa dua bulan kami akan berkahwin.” Sambung Ashraf panjang lebar.

“Tapi, kenapa tengku nak abang bertunang dengan anak dia, tentu ada sebabnya?” Soal Hannah Irdina ingin tahu. Hilang sudah air matanya mendengarkan cerita Ashraf.

Ashraf menghela nafas berat.

“Anak tengku kena tangkap khalwat dengan sorang lelaki inggeris, tapi lelaki tu lari masa tengku paksa dia bertanggungjawab. Disebabkan takut dapat malu besar, tengku paksa keluarga abang tutup malu diorang, tengku ugut kalau papa tak ikut kata tengku, jawatan papa akan dilucutkan.” Jawab Ashraf senada. Dia merenung kosong ke pintu bilik.

“Abang memang tak pernah sukakan DeAnna, abang terpaksa bertunang dengan dia.” Luah Ashraf mengendur.

“Habis tu, sekarang macam mana, dia tak nak putuskan pertunangan dengan abang.” Luah Hannah Irdina pula.

“Abang tak mampu nak beristeri lebih dari satu, abang tak mungkin akan berkahwin dengan dia. Cukuplah Dina sorang je.” Jawab Ashraf sambil meraih jari jemari Hannah Irdina.

“Dina kena percaya pada abang.” Sambung Ashraf dalam kenduran suara.

Hannah Irdina membalas kata-kata Ashraf dengan meramas kembali tangan suaminya itu.

“Dina percaya pada abang.” Jawab Hannah Irdina ringkas.

“Baju tu kemas balik, nanti apa pula kata papa dengan mama. Baru semalam kahwin, hari ni dah nak lari, majlis resepsi pun belum selesai lagi.” Usik Ashraf dalam senyum nipis.

Hannah Irdina tersenyum.

“Macam tu kan lebih manis. Dina bukanlah cantik sangat, tapi kalau senyum, terserlah kemanisan tu.” Ashraf sambung menyakat.

“Kalau macam tu, padan muka abang sebab kahwin dengan perempuan tak cantik macam Dina.” Kata Hannah Irdina berjauh hati.

“Sayang, cantik tu kan subjektif, bagi abang, Dina perempuan paling cantik, paling manis. Beauty is in the eye of the beholder, di mata abang, sayang paling menawan.” Ucap Ashraf romantis.

“Habis tu masalah DeAnna macam mana?” Soal Hannah Irdina kembali. Teringat pula akan kejadian yang berlaku di tingkat bawah. Sudah lebih setengah jam dia meninggalkan tetamu tidak diundang itu.

“Yang itu biar abang fikirkan penyelesaiannya, cuma sekarang, abang tak nak sayang curiga dengan abang.” Ucap Ashraf serius.

“Dina cuma tak nak abang main-mainkan Dina.” Kata Hannah Irdina lagi. Bimbang jika Ashraf sekadar mahu mempermainkan perasaannya.

“Abang akan layan Dina seadilnya, selayaknya Dina sebangai isteri abang. Mungkin dulu abang nakal, tapi lepas Nek Nab brainwash abang, abang nak belajar jadi lelaki baik. Dan dengan Dina, abang nak mulakan semua tu. Belajar jadi suami yang baik dan dalam masa yang sama, belajar jadi lelaki baik. Tinggalkan sikap buruk abang dulu, tapi Dina kena bantu abang. Abang cuma manusia biasa, kadang-kadang abang takut terlupa, tersasar dari landasan yang sepatutnya. Mungkin sukar bagi Dina nak percaya pada abang, cuma abang mohon Dina berikan abang peluang. Abang ingin berubah. Mungkin perkara yang terjadi antara kita dulu merupakan petunjuk untuk abang berubah ke arah yang lebih baik.” Jawab Ashraf panjang lebar. Dia hanya mahu Hannah Irdina yakin dengan kata-katanya. Tidak mustahil jika dia ingin berubah. Bukankah sifat manusia itu sering berubah, dan bagi dirinya, biarlah perubahan yang datang itu membawa kebaikan kepada dirinya dan Hannah Irdina.

Setelah ditunjuk ajar oleh Nek Nab semasa dia menunggu tarikh diijabkabul dengan Hannah Irdina, dia sedar yang dia sudah jauh tersasar. Dan dia tidak mahu nasib Hannah Irdina dipercaturkan di atas kejahilannya terhadap agama. Lantaran itu dia berusaha mempelajari apa yang patut sebelum bergelar suami. Dan setakat ini, dia berjaya melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik. Dan besar harapannya supaya dirinya kekal begitu.

“Dina percaya pada abang.” Ucap Hannah Irdina lembut.

“Dah, jom kita turun, entah apa jadi kat bawah tu, lain kali jangan buat perangai macam ni, tak elok, sepatutnya tunggu sampai orang habis berbincang dulu.” Tegur Ashraf lembut. Dia bangun dan meraih tangan Hannah Irdina untuk turut bangun.

“Maafkan Dina.” Tutur Hannah Irdina dalam nada mengendur.

“Takpelah, abang tahu sayang cemburu tapi lain kali kalau Dina buat lagi, abang cium dalam-dalam.” Usik Ashraf lagi.

Hannah Irdina tidak menjawab, dia cuma menampar manja dada Ashraf.

‘Sabarlah sayang, malam ni bukan saje tampar, nak peluk abang pun boleh.” Sambung Ashraf dalam senyum nakal.

“Gatal!.” Kata Hannah Irdina manja.

“Kalau tak gatal, tak la kahwin dengan sayang.” Jawab Ashraf selamba seraya menghilang ke pintu.



“Tengku balik la dulu, saya rasa tiada apa lagi yang boleh kita bincangkan, Ashraf pun dah buat keputusan, dia dah beristeri dan tak mungkin dia akan beristeri lain lagi.” Ucap Tuan Aliyes sambil membuang pandang ke arah Tengku Zainal dan DeAnna.

            DeAnna sudah mula mengesak tangis, kecewa hatinya tatkala Ashraf menolak dirinya mentah-mentah.

            “Sampai hati abang buat Anna macam ni.” Kata DeAnna dalam lirih. Dia memandang tepat ke wajah Ashraf.

            Ashraf hanya membuang pandang ke luar rumah, jemari Hannah Irdina diramas kemas. Dia sama sekali tidak akan menuruti permintaan keluarga Tengku Zainal, cukuplah sekali mereka sekeluarga dipergunakan. Kali ini, dia akan pastikan sejarah lama tidak berulang kembali.

            Tengku Zainal yang malu dengan apa yang baru berlaku, bingkas bangun. Tangan anak gadisnya diraih lalu ditarik supaya mengikuti langkah lajunya. Malu menebal dihatinya saat itu.



Ashraf baru berkira-kira mahu melelapkan matanya tatkala dia terdengar bunyi deringan di telefon bimbitnya. Matanya yang semakin layu kembali segar, pantas tangannya meraih telefon bimbit di atas meja sisi katil. Hannah Irdina sudah lama terlena disebelahnya.

            “Hello.” Ucap Ashraf memulakan bicara.

            “Abang…” sambut suara dari hujung talian.

            “Siapa ni?.” Soal Ashraf tiba-tiba. Hatinya sudah mula menebak.

            “Ini Anna, Anna ada perkara nak dibincangkan dengan abang.” Jawab DeAnna.

            Ashraf bangun dari perbaringan, Hannah Irdina yang lena tidur dikerling sekilas. Dia kemudiannya turun dari katil dan berjalan menuju ke balkoni bilik. Lebih selesa untuk berbicara di luar, jauh dari Hannah Irdina. Bimbang perbualan itu akan mengejutkan Hannah Irdina dari tidur.

            “Nak bincangkan apa lagi?” Soal Ashraf dingin. Dia membuang pandang ke arah jalan raya yang lengang.

            “Abang tak boleh ke pertimbangkan permintaan Anna.” Kata DeAnna kemudiannya.

            Ashraf mengeluh nafas berat.

            “I’m not the same person anymore…apa yang pernah berlaku antara kita dah jadi sejarah, abang tak kan ubah kenyataan tu... I have my own life now…” Jawab Ashraf dalam kenduran suara. Dia memang tidak mahu mengulangi lagi apa yang pernah terjadi diantara dirinya dan DeAnna, biarlah yang berlaku kekal menjadi sejarah dalam hidupnya.

            “Tolonglah bang, Anna betul-betul mahu berkahwin dengan abang, jadi isteri kedua pun Anna tak kisah. Anna sanggup.” Sahut DeAnna sungguh-sungguh. Besar harapannya Ashraf akan menerima dirinya kembali.

            “I’m sorry…”Kata Ashraf seraya mematikan panggilan.

            Ashraf memusingkan tubuhnya, berkira-kira untuk masuk semula ke bilik, namun belumpun sempat dia melangkah, sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi.

            “Abang, tolonglah Anna, Anna memang betul-betul perlukan abang, abang kena tolong Anna.” Rayu DeAnna sebelum sempat Ashraf bersuara.

            “Apa lagi yang Anna tak faham, keadaan kita dah tak sama macam dulu.” Tegas Ashraf keras.

            “Tolonglah bang, Anna sanggup buat apa sahaja, Anna sanggup bayar abang.” Kata DeAnna penuh yakin.

            “Apa yang Anna cakap ni.” Tukas Ashraf serius.

            “Tolonglah bang, Anna…..Anna mengandung..” Kata DeAnna lambat-lambat, sayu nadanya.

            What?!” Soal Ashraf terperanjat.

            “Abang kena tolong Anna, Kevin tak nak bertanggungjawab, dia tinggalkan Anna. Abang tolonglah….Anna rayu pada abang.” Rayu DeAnna dalam tangisan.

            “Anna gila ke?, takkan abang nak bertanggungjawab pada perkara yang abang tak buat!.” Marah Ashraf keras.

            “Abang tolong lah Anna, cuma abang je yang Anna ada.” Rayu DeAnna lagi.

            “Maaf, abang tak boleh!.” Tegas Ashraf seraya mematikan talian. Dia tidak mahu mengikut kata-kata mengarut DeAnna.

            Pantas tubuhnya dipalingkan untuk masuk, namun tatkala itu juga dia terlihat Hannah Irdina sudah berdiri di bingkai pintu.

            “Apa abang buat tengah-tengah malam kat sini?” Soal Hannah Irdina dengan mata yang masih layu.

            “Takde apa-apalah, jom masuk tidur.” Jawab Ashraf seraya menarik tangan Hannah Irdina lalu masuk.



DeAnna menangis teresak-esak di birai katil, hancur sudah harapannya untuk memujuk Ashraf membantunya. Entah kenapa terasa lemah seluruh anggotanya, kelam masa depannya setelah apa yang berlaku. Kala dan saat itu barulah dia kesal dengan apa yang pernah dia lakukan bersama Kevin. Segala keseronokan itu rupanya hanya sementara. Kevin hanya mahu mempergunakan dirinya. sebak hatinya, air matanya mengalir laju, menzahirkan rasa hatinya yang sudah retak seribu.


Harap semua suka, jika ada cadangan dan saranan, bolehlah di share bersama..boleh blend kan dgn idea cik tulip :)