Tuesday 6 November 2012

CINTA BUAT AKU-BAB 8

kepada yang tinggalkan komen, terima kasih banyak2..cik tulip amat2 hargai..jom ikuti sambungannya...

BAB 8

Terpanar Syed Ziqri saat matanya terpandangkan Sara Adelina yang melangkah perlahan menuruni anak-anak tangga dari tingkat dua banglo itu. Disebelah wanita itu, kelihatan Emma Safiyya yang turut kemas memakai uniform sekolah. Penampilan Sara Adelina yang anggun dan bergaya itu berjaya menarik perhatiannya seketika. Dan matanya itu seolah-olah tidak dapat dilarikan dari terus merenung Sara Adelina yang cantik mengenakan kurung Pahang di tubuh. Dengan penuh kusyuk, Sara Adelina direnung. Memang tidak dapat dia nafikan, Sara Adelina sudah jauh berubah, sudah tidak mencerminkan kenaifannya dahulu. Wanita dihadapannya itu wanita anggun yang berkerjaya, yang penuh dengan keyakinan diri, matang dan berdikari.

            “Sara tak sarapan dulu?” Tegur Syarifah Raziah setelah dilihatnya Sara Adelina berjalan terus menuju ke pintu depan bersama Emma Safiyya.

            “Sara dah lewat umi, hari ni ada perhimpunan pagi.” Sahut Sara Adelina dari muka pintu sambil mengeluarkan kasut tumit tingginya dan kasut sekolah Emma Safiyya dari dalam rak kasut.

            Kan awal lagi ni.” Kata Syarifah Raziah lagi. Faham sangat dia dengan reaksi Sara Adelina itu. Wanita itu cuba mengelak diri dari Syed Ziqri.

            “takpelah umi, nanti Sara sarapan di AC je.” Jawab Sara Adelina seraya berjalan ke kereta dan memasukkan beg-beg yang berisi buku ke dalam kereta Vivanya.

            Sara Adelina kemudiannya kembali masuk ke dalam rumah bersama Emma Safiyya, terus menuju ke meja makan lalu bersalaman dengan Syarifah Raziah. Pipi ibu mertuanya itu dikucup lembut. Satu-satunya ibu yang masih tinggal untuknya. Perlakuannya itu kemudiannya ditiru oleh Emma Safiyya.

            ‘Hari ni balik awal ke lewat?” Soal Syarifah Raziah lagi.

            “Tak tahu lagi umi, Sara takut tiba-tiba ada mesyuarat. Kalau Sara balik lambat, Sara telefon umi.” Jawab Sara Adelina.

            Syarifah Raziah hanya mengangguk perlahan. Memang dia sudah faham dengan rutin Sara Adelina itu, jika ada mesyuarat di waktu petang, pasti Sara Adelina akan memaklumkan kepadanya, dan dia pula akan meminta driver syarikat untuk pergi mengambil Emma Safiyya di sekolah dan di bawa ke pejabatnya sementara Irfan Amsyar pula ditinggalkan di rumah bersama Nadha. Memang begitulah rutin mereka semenjak Sara Adelina berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sebuah pusat Autisme persendirian hampir setahun lepas.

            Syarifah Raziah meneruskan bersarapan berdua dengan Syed Ziqri apabila Sara Adelina berlalu. Wajah Syed Ziqri yang sedikit berubah menarik perhatiannya.

            “Ziq bagila masa pada Sara, umi yakin  nanti-nanti hilanglah marah Sara. Hati perempuan ni macam kerak nasi, lama-lama akan lembut juga.” Kata Syarifah Raziah. Cuba menenangkan apa jua gelodak hati yang dirasakan oleh syed Ziqri ketika itu. Sebagai ibu dia juga mahukan yang terbaik buat kedua-duanya. Walaupun dia tahu Syed Ziqri memang bersalah dalam hal itu namun dia juga harus bijak dalam berkata-kata. Jika dimarah Syed Ziqri, dia bimbang anak lelakinya membuat pertimbangan tidak wajar untuk kali yang kedua. Memikirkan cucu-cucunya yang masih kecil, hanya itu sahaja yang mampu dia lakukan. Menerima kepulangan Syed Ziqri dengan baik.

            Syed Ziqri hanya membalas kata-kata uminya dengan senyum tawar. Walaupun bukan perasaan kecewa yang dia ingin rasa, namun perasaan itu jugalah yang datang bertandang, mengusik sikit ketenangan tasik hatinya. Dia sangkakan segalanya mudah, memberitahu uminya itu akan tujuan dia balik itu mudah, namun semenjak bertemu semula dengan Sara Adelina, semenjak melihat sendiri Emma Saffiya dan Irfan Asmyar terasa berat pula dia ingin meneruskan niatnya. Apa yang dia rasakan sangat mudah selama ini, rupa-rupanya terlalu sukar untuk dilaksanakan. Memberitahu uminya akan hasrat hatinya itu terlalu sukar!.

 

Syiling biliknya direnung dengan pandangan kosong. Semenjak pulang tempoh hari, itulah rutin seharian Syed Ziqri, lebih banyak termenung dari melakukan kerja-kerja lain. Ingatan terhadap Sara Adelina tiba-tiba datang tidak dijemput.

            “Maafkan abang.” Terluah kata-kata itu dari mulut Syed Ziqri tanpa dia sendiri sedari.

            Dalam kelekaan Syed Ziqri mengelamun, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Pantas dia meraih telefon bimbitnya dan dilekapkan ke telinga.

            “Hello, assalamualaikum.” Sapa suara dari hujung talian sebelum sempat Syed Ziqri menjawab.

            “Umi, ada hal apa?” Soal Syed Ziqri tatkala suara Syarifah Raziah menyapa telinganya. Jarang-jarang sekali ibunya itu memanggilnya.

            “Ziq kat mana sekarang?” Soal Syarifah tanpa menjawab soalan Syed Ziqri terlebih dahulu.

            “Kat rumah la mi, ada hal apa?” Soal Syed Ziqri untuk kali kedua. Ada rasa pelik yang bertandang dihatinya tatkala menerima panggilan Syarifah Raziah itu.

            “Umi nak minta Ziq tolong pergi jemput Emma di sekolah sebab Sara tak balik pula tengahari ni, ada mesyuarat. Umi selalu hantar driver syarikat pergi jemput Emma selalunya tapi hari ni dia MC pula. Ziq boleh tolong pergi ambil tak?” Terang Syarifah Raziah panjang lebar.

            Syed Ziqri tersenyum.

            “Boleh mi, Ziq pun bukan ada buat apa-apa pun kat rumah.” Balas Syed Ziqri. Permintaan Syarifah Raziah itu dilihat sebagai peluang untuknya cuba mendekati Emma Saffiya.

            “Elok la macam tu. Setengah jam lagi Ziq pergilah, Emma keluar pukul 12.” Kata Syarifah Raziah lagi.

            “Baik mi.” Syed Ziqri nyatakan persetujuan lalu meletak ganggang selapas Syarifah Raziah ucapkan salam.

 

Tangan kecil Emma Saffiya digenggam erat sewaktu dia memimpin anak kecil itu untuk melintas jalan. Tatkala hangat jari jemari Emma bertaut dengan jari jemarinya, ada satu perasaan aneh yang menjalar dalam hati Syed Ziqri. Terasa ada naluri kebapaan yang baru berputik dalam hatinya untuk Emma Saffiya.

            Syed Ziqri mendorong tubuh Emma Saffiya untuk masuk ke dalam kereta, dia kemudiannya mengambil tempat di kerusi pemandu dan mula menghidupkan enjin kereta.

            “Emma belajar apa hari ni?” Soal Syed Ziqri lembut. Entah kenapa terasa ringan mulutnya ingin membuka bicara bersama Emma Saffiya.

            “Belajar pasal family.” Jawab Emma Saffiya petah.

            Family?” Soal Syed Ziqri lagi sambil memandu semula kereta ke atas jalan raya.

            “Emm, belajar pasal mama, papa, kakak dengan adik.” Jawab Emma Saffiya lagi.

            Best tak belajar?” Syed Ziqri sambung bertanya. Jawapan Emma Saffiya itu menarik perhatiannya untuk menyoal lanjut.

            “Tak best..” Jawab Emma Saffiya dalam nada mengendur.

            “Kenapa tak best?” Soal Syed Ziqri ingin tahu. Jawapan bernada keluhan dari bibir kecil itu cukup menarik perhatiannya.

            “Sebab Emma takde papa, cuma ada mama dengan adik je.” Jawab Emma Saffiya jujur.

            Terkesima Syed Ziqri mendengarkan jawapan Emma Saffiya. Rasa terpukul dengan kata-kata anak kecil itu.

            “Papa Emma pergi mana?” Soalnya lagi. Bertambah tertarik dengan bicara Emma Saffiya itu.

            “Mama kata papa kerja jauh, tak boleh balik.” Balas Emma Safiyya lagi.

            Terdiam Syed Ziqri mendengarkan jawapan dari mulut Emma Safiyya itu. Entah kenapa tiba-tiba ada rasa bersalah yang bertamu dihatinya saat itu. Rasa bersalah kerana segala tanggungjawabnya terhadap gadis kecil itu diabai begitu sahaja.

            Uncle ada papa?” Kali ini Emma Saffiya pula bertindak mengajukan soalan.

            Sekali lagi Syed Ziqri rasa terpukul. Namun bukan soalan Emma Saffiya yang membuatkan dia rasa begitu tetapi gelaran yang digunakan oleh anak gadis itu yang membuatkan dia rasa tersentak. Sejujurnya bukan gelaran ‘uncle’ yang dia nantikan dari bibir kecil itu.

            “Boleh tak kalau Emma panggil uncle papa?” Balas Syed Ziqri tanpa menjawab soalan Emma Saffiya.

            “Boleh ke?, Emma takut mama marah. Dulu masa Emma selalu tanya pasal papa, mama marah-marah. Emma takut nanti mama marah.” Jawab Emma Saffiya petah.

            “Mama tu kawan dengan uncle, dia mesti tak marah. Lepas ni Emma panggil uncle papa ye”. Ujar Syed Ziqri lagi.

            Emma Saffiya hanya mengangguk laju sambil tersenyum manis. Manakala Syed Ziqri tanpa sedar telah mencuit dagu runcing Emma Saffiya.

            “Papa belum jawab soalan Emma.” Kata Emma Safiyya mengingatkan Syed Ziqri akan soalan yang ditanya awal tadi.

            Syed Ziqri tersenyum nipis.

            “Erm....ayah papa dah takde, dah lama meninggal dunia.” Sahut Syed Ziqri sambil mengimbau kenangan lalu. Arwah bapanya Syed Mukhriz telah lama meninggal dunia. Seingatnya sejak dia bersekolah menengah, dia sudah kehilangan kasih seorang ayah. Hanya ibunya sahaja yang menggalas tanggungjawab ibu dan ayah kepadanya.

            “Sama macam atuk, atuk pun dah lama meninggal dunia.” Sambut Emma Saffiya mendatar.

            Sekali lagi Syed Ziqri tersentak. Dia dan Emma Saffiya sebenarnya membicarakan mengenai orang yang sama, cuma Emma Saffiya masih terlalu muda untuk mengetahui perkaitan itu. Dia juga tidak menyalahkan gadis kecil itu kerana sejak Emma Saffiya mengenali dunia, dia sendiri tidak pernah kenal siapa ayahnya. Masakan anaknya itu faham akan segala perkaitan yang ada.

            Memikirkan hal itu membuatkan Syed Ziqri tambah menyesal. Tegar sungguh dia meninggalkan Emma Saffiya yang ketika itu masih kecil dan belum mengerti apa-apa. Lebih kesal lagi apabila dia teringatkan Irfan Amsyar. Anak itu lahir tanpa ada seorang ayah disisinya untuk mengazan dan mengiqamatkan ke telinga anak kecil itu. Tiba-tiba Syed Ziqri diserbu dengan rasa bersalah.

 

“Siapa jemput Emma tadi?” Tanya Sara Adelina seraya menyikat perlahan rambut Emma Saffiya yang ikal. Jika dilihat secara fizikal, dia dan Emma Saffiya memang jauh berbeza. Anak kecil itu berkulit cerah dengan rambut ikal. Sangat berbeza dengan rupa paras Sara Aedelina. Namun kasih yang disemi oleh Sara Adelina tiada tandingan. Sayangnya melebihi segala-galanya. Emma Saffiya, walaupun bukanlah anak yang dilahirkan dari rahimnya namun anak gadis itulah buah hati pengarang jantungnya. Sejak kali pertama dia melihat Emma Saffiya, kasihnya tertumpah buat anak gadis itu.

            “Papa jemput Emma.” Jawab Emma Saffiya sambil bermain-main dengan getah pengikat rambut beriben warna merah hati.

            Terkejut Sara Adelina mendengarkan jawapan Emma Saffiya itu.

            “Papa?” Soal Sara Adelina inginkan kepastian.

            “Erm...papa. Uncle Ziqri suruh panggil dia papa. Mama tak marah kan?” Soal Emma Saffiya jujur.

            Sara Adelina termenung seketika sebelum menjawab persoalan Emma Saffiya.

            “Sara jangan rapat sangat dengan uncle Ziqri, dia bukan papa Emma.” Hanya itu jawapan yang terbit dari bibir Sara Adelina. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia berkata begitu tetapi yang dia pasti, dia tidak mahu Syed Ziqri mendekati Emma Saffiya dan Irfan Amsyar. Dia bimbang, bimbang jika lelaki itu mengulangi perbuatannya dahulu. Meninggalkan mereka untuk kali yang kedua. Sejujurnya dia tidak mahu Emma Saffiya dan Irfan Amsyar turut membina harapan. Bimbang kedua-dua buah hatinya itu akan dikecewakan oleh Syed Ziqri sebagaimana yang lelaki itu pernah lakukan terhadapnya dahulu.

 

Sara Adelina keluar dari bilik air sambil mengesat rambutnya yang basah. Sudah dua hari dia tidak mencuci rambut. Kepalanya itu sudah terasa gatal. Entah kenapa malam itu dia terasa ingin mandi dan mencuci rambut pula. Mungkin juga kerana selepas mandi petang tadi, dia membantu ibu mertuanya menyusun atur semula susunan pasu di halaman rumah. Rasa tidak selesa pula jika dia tidur dengan baju yang sudah berbau peluh. Sementara Emma Saffiya dan Irfan Amsyar pula merengek-rengek ingin tidur bersama Syarifah Raziah. Dan dia ikutkan sahaja kehendak mereka. Kerana memang kadangkala, kedua-duanya itu akan tidur bersama Syarifah Raziah.

            “Sara tak patut cakap macam tu dengan Emma.” Tiba-tiba terdengar suara Syed Ziqri dari birai katil.

            Tersentak Sara Adelina mendengarkan suara Syed Ziqri di dalam biliknya. Dia pantas berpaling menghadap katil. Mencari-cari kelibat Syed Ziqri dalam samar-samar lampu tidur.

            “Abang buat apa kat sini?!” Soal Sara Adelina kasar. Cepat-cepat dia menarik tuala lain dari dalam almari bagi menutupi bahagian tubuhnya yang terdedah. Terkejut dan marah dengan tindakan Syed Ziqri yang memecah masuk biliknya tanpa kebenaran.

            “Ada perkara abang nak bincangkan dengan Sara.” Jawab Syed Ziqri senada.

            “Abang tiada hak masuk dalam bilik Sara.” Balas Sara Adelina kasar.

            “Abang ada hak.” Ujar Syed Ziqri seraya bangun lalu berjalan perlahan menghampiri Sara Adelina yang sudah terpaku berdiri di hadapan almari baju.

            “Bilik Sara, bilik abang juga.” Sambungnya.

            Sementara Sara Adelina sudah berasa takut dan bimbang. Jika lelaki itu cuba ingin mendekatinya malam itu, dia akan pastikan lelaki itu tidak berjaya. Bukan mudah untuk dia memaafkan kesalahan Syed Ziqri yang pergi meninggalkan dirinya selama lima tahun lamanya. Meninggalkan dirinya yang ketika itu sedang mengandung dan Emma Saffiya yang masih kecil dan belum mengerti apa-apa. Mana mungkin marahnya itu surut dalam sekelip mata.

            “Keluar.” Arah Sara Adelina sambil tangannya mengarah ke arah pintu tanpa memandang wajah Syed Ziqri sebelum sempat lelaki itu menghampirinya.

            “Sara tiada hak nak halau abang, ini rumah abang.” Tegas Syed Ziqri seraya menapak ke hadapan Sara Adelina.

            Sara Adelina sudah semakin keresahan. Tingkah Syed Ziqri membuatkan dia bimbang. Bagaimana jika lelaki itu hilang kawalan diri?. Takut dia menanggapi semua persoalan itu.

            “Memang ini rumah abang tapi sekarang abang dalam bilik Sara. Dan Sara nak abang keluar dari bilik Sara sekarang.” Ulang Sara Adelina. Walaupun gugup dengan situasi itu namun dia harus berani menanggapi apa jua tingkah Syed Ziqri. Dia tidak mahu sekali lagi lelaki itu memperkotak katikkan dirinya. Cukuplah apa yang telah Syed Ziqri lakukan dulu kerana dia tidak ingin mengulangi semuanya semula.

            “Maaf, abang takkan keluar selagi kita tak selesaikan hal antara kita.” Ucap Syed Ziqri lagi. Langkahnya masih diteruskan.

            Sara Adelina sudah semakin takut dengan tingkah Syed Ziqri. Lelaki itu terlalu amat sukar diduga.

            Syed Ziqri menghampiri tubuh Sara Adelina yang semakin mengundur tatkala dia semakin mendekat. Bila betul-betul berdiri dihadapan wanita itu, dia elus rambut Sara Adelina yang basah. Tergugat nalurinya melihat keadaan Sara Adelina yang begitu. Benar-benar menggoyah naluri lelakinya.

            “Jangan sentuh Sara.” Kata Sara Adelina tegas. Entah kenapa dia sendiri terasa lemah berhadapan dengan sikap Syed Ziqri yang begitu.

            Syed Ziqri tidak mengendahkan amaran Sara Adelina. Tangan yang sedari tadi mengelus rambut Sara Adelina terus di bawa ke pipi wanita itu. Dia juga hilang pertimbangan saat terpandangkan Sara Adelina dalam keadaan begitu. Hilang sudah ingatannya terhadap Syarifah Letisha.

            “Jangan sentuh Sara!” Kata Sara Adelina keras. Dia tidak suka, tidak suka bila Syed Ziqri sewenang-wenangnya mendekatinya begitu. Lelaki itu seolah-olah cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya sahaja.

            Tersentak Syed Ziqri mendengar amaran keras Sara Adelina. Matanya tajam menikam wajah Sara Adelina yang sudah merah menahan marah.

            “Abang berhak ke atas Sara.” Kata Syed Ziqri senada. Penolakan Sara Adelina itu membuatkan dia rasa tegang seketika.

            “Abang dah hilang hak abang lima tahun yang lalu!” Balas Sara Adelina berani. Sinis nadanya.

            Syed Ziqri tersenyum sinis.

            “Selagi abang tak ceraikan Sara, abang tak pernah hilang hak abang.” Jawab Syed Ziqri dalam nada tegas.

            Geram Sara Adelina menanggapi jawapan Syed Ziqri. Dia pantas mengambil baju-bajunya dari dalam almari lalu berkira-kira untuk berlalu ke dalam bilik air. Malas dia mahu melayani perangai Syed Ziqri yang tak tentu pasang surutnya.

            “Abang belum habis.” Kata Syed Ziqri keras. Tangan Sara Adelina ditarik sebelum sempat Sara Adelina melangkah. Marah dia menanggapi sikap acuh tak acuh Sara Adelina sedangkan ada perkara yang ingin dia bincangkan bersama Sara Adelina.

            “Lepaskan Sara!” Lantang Sara Adelina bersuara. Dia juga marah dengan sikap Syed Ziqri. Mudah-mudah sahaja lelaki itu meninggalkan dirinya dan anak-anak dan mudah-mudah sahaja lelaki itu kembali dan cuba mengatur apa yang perlu dia lakukan. Sesungguhnya dia tidak suka lelaki itu mendesaknya begitu. Sudahlah Syed Ziqri memecah masuk biliknya tanpa izin, kini lelaki itu seolah-olah cuba memaksanya mengikut telunjuk lelaki itu pula.

            “Abang tak kan lepaskan selagi Sara tak ambil serius kata-kata abang!.” Ujar Syed Ziqri lagi. Dia sudah memegang kemas bahu Sara Adelina dan dipusing supaya menghadapnya, memandang wajahnya. Entah kenapa apabila menanggapi sikap Sara Adelina yang begitu, dia turut naik angin. Dia tidak pernah menyangka penerimaan Sara Adelina terhadapnya akan sedingin itu. Wanita itu tidak pernah bersikap begitu sewaktu dia meninggalkan Sara Adelina hampir lima tahun yang lalu. Terlalu banyak perubahan Sara Adelina dan dia tidak sukakan perubahan itu.

            Dada Sara Adelina sudah mula berombak. Sedih dan marah dengan sikap selamba Syed Ziqri. Tegar benar lelaki itu mengambil ringan akan hati dan perasaannya. Tidakkah Syed Ziqri tahu bahawa dia marah. Marah kerana lelaki itu tanpa kata-kata telah pergi meninggalkannya suatu waktu dahulu dan kini apabila kembali, Syed Ziqri bersikap seolah-olah dia tidak pernah melakukan kesalahan itu.

            “Sara nak abang keluar, kalau tak, Sara akan jerit.” Kata Sara Adelina dalam getaran suara. Dia tidak mahu berhadapan dengan lelaki itu. Apa sahaja yang ingin dibincangkan oleh lelaki itu bersamanya, dia tiada hati mahu mendengarnya.

            Mendengarkan ugutan Sara Adelina itu membuatkan Syed Ziqri tersentak. Segera bahu Sara Adelina dilepaskan.

            “Pakai baju dulu, sekejap lagi abang datang semula.” Sambut Syed Ziqri dalam nada perlahan. Entah kenapa tiba-tiba hatinya sayu tatkala suara sebak Sara Adelina menjamah telinganya. Dia berlalu sebelum sempat Sara Adelina membalas kata-katanya.

            Sementara Sara Adelina berjalan perlahan ke katil. Disitu dia terduduk seraya menghamburkan air matanya yang ditahan-tahan sejak Syed Ziqri pulang ke rumah itu. Rasa marah, benci dan keliru semuanya bergabung menjadi satu perasaan. Sejujurnya dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan pada saat dia menerima kembali kepulangan lelaki itu ke situ. Dia tidak pernah menyangka, Syed Ziqri akhirnya akan pulang dan dia tidak bersedia untuk berhadapan dengan Syed Ziqri setelah lima tahun terpisah. Sejak lelaki itu menghilang tanpa khabar berita, dia sudah berhenti berharap. Cukuplah dia menanti kepulangan Syed Ziqri selama dua tahun selepas lelaki itu menghilang. Dia sudah penat menunggu.

Dan apabila dia sudah mula belajar menerima hakikat yang Syed Ziqri mungkin tidak akan kembali, dia pasrah. Cinta yang pernah hadir dalam hatinya cuba diusir pergi. Dia tidak mahu terus berharap jika cinta lelaki itu bukan tercipta untuknya. Jika cinta lelaki itu benar-benar bukan untuknya. Tetapi setelah dia berjaya memujuk hati, kenapa lelaki itu kembali semula ke dalam hidupnya? Kenapa tasik hatinya itu kembali terusik dengan kepulangan Syed Ziqri? Dia benci. Benci untuk mengakui hakikat yang cinta lelaki itu tidak pernah mati di dalam hatinya.

Sara Adelina kesat air matanya yang jatuh ke pipi. Kata-kata Syed Ziqri sebentar tadi membuatkan dia sebal. Cepat-cepat dia kenakan baju ke tubuhnya. Dia tidak mahu Syed Ziqri kembali ke dalam biliknya. Jika lelaki itu mahu berbincang dengannya, dia tidak mahu perbincangan itu dilakukan di dalam biliknya. Tingkah Syed Ziqri sudah cukup menakutkannya. Lebih baik dia mengelak dari berdua-duaan dengan lelaki itu. Jika ingin berbincang sekalipun, lebih baik perbincangan itu dilakukan di tempat yang lebih terbuka. Hanya dengan cara itu sahaja Syed Ziqri akan lebih menjaga jarak antara mereka.

Sara Adelina keluar dari bilik apabila dia lengkap berpakaian. Sejurus tiba di hadapan bilik Syed Ziqri dia ketuk pintu bilik lelaki itu. Tatkala lelaki itu muncul dari sebalik pintu. Pantas dia bersuara tanpa memandang wajah Syed Ziqri.

“Sara tunggu di bawah.” Kata Sara Adelina sebelum menghilang.

           

Syed Ziqri melabuhkan duduknya di sofa berhadapan dengan Sara Adelina. Wajah suram Sara Adelina menarik perhatiannya. Bukan dia tidak tahu apa yang Sara Adelina rasakan, cuma dia tidak mahu membincangkan tentang perkara itu. Pada asalnya memang dia pulang berhajat, dan dia nekad. Nekad mahu meneruskan niatnya. Namun apabila dia bertemu semula dengan Sara Adelina, dia sendiri keliru dengan apa yang dia benar-benar mahukan. Tambahan pula tatkala dia terlihatkan wajah comel Emma Saffiya dan Irfan Amsyar. Bertambah berat rasanya dia mahu menetapkan keputusan.

            “Sara ada cakap apa-apa pada Emma?” Soal Syed Ziqri memulakan perbualan. Nadanya serius.

            Sara Adelina hanya membalas kata-kata Syed Ziqri dengan pandangan pelik. Memang dia tidak faham dengan apa yang Syed Ziqri cuba sampaikan kepadanya.

            “Emma kata Sara tak bagi dia rapat dengan abang, Sara kata abang bukan papa dia. Betul ke?” Soal Syed Ziqri inginkan kepastian. Memang dia ada berbual dengan Emma Saffiya petang tadi dan anak kecil itu yang memaklumkan hal itu kepadanya. Dan dia pula tidak suka bila Sara Adelina bertindak meracuni fikiran Emma Safiyya begitu kerana dia berhak untuk mendekati Emma Saffiya kerana anak kecil itu merupakan anaknya. Dan Sara Adelina tiada hak untuk menghalang hubungan mereka.

            Sara Adelina hanya menjawab persoalan Syed Ziqri dengan keluhan. Dia tidak mahu memanjangkan hal itu. Jika dia bertekak dengan Syed Ziqri sekalipun, dia tahu dia tidak akan menang. Lelaki itu terlalu dominan tatkala berhadapan dengannya dan dia juga seringkali mengalah dengan sikap Syed Ziqri.

            “Jawab soalan abang.” Kata Syed Ziqri tegas.

            “Betul.” Jawab Sara Adelina sepatah. Sengaja dia membuang pandang ke kaca TV, tidak mahu menentang mata tajam Syed Ziqri.

            Syed Ziqri membiaskan riak pelik diwajahnya.

            “Jadi betul la Sara racun fikiran Emma. Kenapa Sara buat macam tu?” Soal Syed Ziqri lagi. Sejujurnya dia juga ingin tahu kenapa Sara Adelina bertindak begitu. Adakah kerana rasa marah wanita itu terhadapnya maka Emma Saffiya diajar supaya menjarakkan dirinya daripada papanya sendiri.

            “Sara cakap macam tu bersebab.” Jawab Sara Adelina mendatar.

            “Bersebab?. Sebab apa?. Sebab Sara benci abang?. Sebab tu Sara sampai sanggup racun fikiran Emma supaya benci ayah dia sendiri?” Soal Syed Ziqri sinis.

            “Sara tak perlu jawab soalan abang.” Balas Sara Adelina seraya berdiri. Dia tidak mahu memanjangkan hal itu. Biarlah perkara itu berhenti di situ sahaja. Tidak perlulah dia menerang panjang lebar kenapa dia bertindak begitu. Syed Ziqri sepatutnya sudah faham sendiri.

            “Sara kena jawab soalan abang.” Tegas Syed Ziqri sambil menyambar tangan Sara Adelina yang berjalan melewatinya.

            Sara Adelina berpaling memandang tepat ke wajah Syed Ziqri. Kenapa Syed Ziqri masih tidak cuba faham apa yang cuba dia sampaikan kepada lelaki itu. Tentu tindakannya itu bersebab. Cuma Syed Ziqri sahaja yang tidak cuba untuk memahami setiap tindakannya.

            “Sara tak nak beri harapan pada diaorang.” Jawab Sara Adelina seraya menarik tangannya dari pegangan Syed Ziqri.

            “Apa maksud Sara?” Soal Syed Ziqri tidak faham.

            “Sara tak nak abang bagi harapan pada diaorang, kemudian abang hancurkan harapan tu. Sara tak nak diaorang kecewa sebagaimana Sara kecewa. Biarlah Sara sahaja yang rasa sakitnya. Sara tak nak diaorang alami apa yang pernah Sara alami.” Jawab Sara Adelina seraya berlalu meninggalkan Syed Ziqri.

            Terkesima Syed Ziqri mendengarkan jawapan Sara Adelina. Dia terduduk sambil melurut kasar rambutnya. Sejujurnya dia sendiri tidak pernah terfikirkan hal itu. Patutlah Sara Adelina bertindak begitu. Rupa-rupanya wanita itu cuba untuk melindungi hati Emma Saffiya dan Irfan Amsyar.

            Memang benar itulah yang dia lakukan pada Sara Adelina, dia memberikan wanita itu harapan dan dia juga yang menghancurkan harapan itu. Memikirkan itu semua membuatkan dia rasa kesal.
p/s-Harap semua suka ngan n3 kali ni... :)
 

20 comments:

  1. suka sangat2 dgn n3 kali ni cik tulip..hah kn dh terkesima si SZ tuu..main tuduh2 je kt SA kannn..hah kn dh kena..ni bru sikit kn cik tulip..hehe

    n3 kali ni wat syafyy xsabar2 nk tggu yg seterusnya..weee~~

    ReplyDelete
  2. suka sangat dengan jawapan Sara...tak terjawab kau Ziqri..padan muka..hahaha...

    ReplyDelete
  3. Terima kasih Tulip untuk n3 ini..
    Suka Sara yang baru, yang tegas dan tidak lembut hati;
    Zikri itu hanya pentingkan diri, mesti dia balik kerana
    nak bercerai tetapi ubah pendirian kerana Sara yang semakin jelita...

    ReplyDelete
  4. Dari bab 1 smpai la bab 8 nie, x de satu pun karakter ziq yg sy bkenan... tinggal emma bby lg,sara tgh mgandung and umi dia.. bapa, suami dan anak yg x btanggungjawab... hmmm... bgos la sara ckp sbb ape dia x ske emma rapat dgn ziq pd ziq... amekaw ziq.. sentap kan?? pdn muke!!! hahahaha...

    ReplyDelete
  5. Huaaaaaaa best3,,,, syed ziqri dh sedar ...... Next entry,,,,

    ReplyDelete
  6. Sara,

    sila buat yg berikut kpd Syed-tak-berpendirian tu sebelum terima dia kembali:-

    - bagi backhand, fronthand, lefthand, righthand,
    - kick his backside, frontside, leftside, rightside,
    - punch his face, stomach and tuut.
    - slap his face left & right.
    - twist his hands.

    Torture him mentally, physically and spiritually.... Pls lah.... Senang2 jer dia tinggalkan isteri, 2 org anak kandungnya dan ibunya sendiri selama 5 long years... He's not a man, he's a vege....a wicked one....

    ReplyDelete
  7. Nak lagi. Tak puas . terima kasih :)
    cerita cik tulip smua best2 tak rugi baca

    ReplyDelete
  8. salam Tulip..

    Boleh kita minta kebenaran Tulip nak hempuk mamat poyo ni..

    pergh..baca E3 ni..mmg panas rasa hati..kan..ada ke patut ..setelah menghilang 5 tahun ..tetiba balik dengan bercita cita untuk kawen diUK dengan gadis yg mirip bininya..tetapi apabila terpandangkan bini dan anak anaknya yg comel..boleh marah bila mereka bersikap asing dan dingin dengan dirinya..macamlah apa yg dibuatnya itu tidak berdosa..

    Dan mmg tidak salah Sara untuk menyatakan bahawa dirinya bukan ayah pada anak anak nya kerana Sara tidak mahu anak anaknya akan rasa sedih dan sakit hati bila mengetahui diri ayahnya yg hanya berbin dan bintikan namanya sahaja tetapi tiada tanggungjawab dan kasih sayang yg dilontarkan kepada anak anaknya selama ini..dan dia bernasib baik kerana anak anaknya dipelihara dengan baikm oleh ibunya selama ini kerana dia tidak pernah memberi mereka nafkah ..apatah lagi kasih sayang..dan mmg wajar dan sara tidak hipokrit akak rasa ..bila haknya ditolak dan dinafikan oleh Sara..

    Kenapa mesti mamat poyo ni begitu marah..kenapa nak dipersoalkan haknya kerana selama ni dia yg menolaknya..kan..

    Teruja nak tahu..pendirian mamat poyo ni.. dan apa akan jadi dengan gadis yg ingin dikawininya..

    ReplyDelete
  9. teruskan...akak xnak komen apa2 krn semuanya berperasaan sprti akak...isteri adalah perhiasan diri kita..sekali kita biarkan prhiasan itu utk kita cemari ia pasti akn terasa buat selamanya...

    ReplyDelete
  10. sambung lg n3 nya ya kak tulip, penngen tau mcm mana nasip,buah hati mamat tu,,benci dngan mamat tu lah, enak2 ja main kayu 3

    ReplyDelete
  11. apa kah pilihan yg sz ada? tinggalkan keje dan buah hati yg serias tu....
    berusaha memenangi hati yg telah 'terluka'...errr emma tu ada iras emak dia ker?....biar hati si ayah tertambat....klau lh wajah serias yg tk dpt si ayah lupekan kononnnnn
    apa pula perasah syarifah raziah trhadap sz yang tidak bertanggungjwb tu .....harap dia 'colorox' kan sz tuuuu

    ReplyDelete
  12. semakin suke ngan citer u...suke watak2 wanita yg 'strong'...bangkit lepas dilanda badai...tegas ngan kata2 & pendirian yg terbina pas kecewa...hhhmmmmm awaiting ur nxt n3

    ReplyDelete
  13. sedeh lah bile akak baca n3 u dek!hope sara tegas pada hati sendiri...tak ade makna nyer berpaut pada dahan yang rapuh menjanji kan sesuatu yang tak ade kepastian nyer..berjalan lah mengharungi liku2 nye,ngan penuh keyakinan n taqwa pasti ALLAH SWT permudah kan perjalanan kite.sedar lah ziqri kepulangan u untuk ape sebenar nyer so memang harus sara bertidak jaga jarak dalam hubungan yang akan meluka kan hati sara n anak2.carik lah bahgia sendiri,jangan di tambah kelukaan yang masih berparut di hati sara!balik lah ziqri pada wanita yang bakal jadi isteri u,biar sara carik bahgia sendiri ngan anak2 disisi...so nyah lah ziqra!!!'sedeh sesangat...

    ReplyDelete
  14. Huh sentap! ni dah ct sek bolehla cikgu update lebih kerap ye :)

    ReplyDelete
  15. Cik Tulio .lepas ni masuk n3 jejaka budiman yg cloaed dgn anak SZ tu. Buat SZ lg hangin dn sentap

    ReplyDelete
  16. suke!suke!suke!
    jantung ni jap mlompat.jp belari da ha..huhuh..

    ReplyDelete
  17. huhu..sedihnya......

    ReplyDelete