Tuesday 18 December 2012

SAAT HADIRNYA CINTA

Disebabkan cerita CBA dihentikan utk tujuan menyambung manuskrip...cik tulip nak tebus balik dgn menaip cerita baru....dan CERITA NI AKAN HABIS DI BLOG...rasanya n3 bab 1 ni panjang kot...hihi...harap smua suka...jangan lupa drop komen kalau sudi... :) opsss...sblm lupa..lappy cik tulip rosak button komanya...jadi digantikan dgn simbol ;


BAB 1

            Terkocoh-kocoh tangan Zaliya menuangkan air minuman kepada lelaki yang duduk tenang di meja makan itu. Kendi yang terisi air untuk membasuh tangan di sorong kepada lelaki itu kemudiannya. Setelah memastikan tugasnya selesai, dia berlalu semula ke dapur.

            “Jemputlah makan. Maaflah lauk tak seberapa. Mungkin tak mewah macam rumah Ridza.” Kata Zamri sambil mula menyuap nasi ke mulutnya.

            “Ini pun dah lebih dari cukup pakcik. Saya pun bukannya cerewet sangat.” Balas lelaki yang duduk berhadapan dengan Zamri yang dipanggil Ridza sebentar tadi dalam senyum nipis.

            “Jemputlah, kalau tak cukup bagitahu. Nanti mintak Zaliya tambah.” Sambung Zamri sambil meneruskan suapan.

            Ridza hanya tersenyum menanggapi kata-kata lelaki itu. Dia kemudiannya membuang pandang ke arah dapur. Cuba mencari kelibat Zaliya yang pada pandangannya cukup kelam kabut dalam segala hal. Hairan pula dia melihat perwatakan anak gadis Zamri yang nampak seperti takut-takut semasa melayaninya. Tidak tahulah atas sebab apa gadis itu bersikap begitu. Mungkin sahaja gadis itu masih segan dengannya.

            “Kaki Ridza macam mana. Dah ok?” Soal Zamri sambil memandang ke wajah Ridza.

            Tersentak seketika Ridza dengan teguran Zamri. Matanya terus dialih supaya memandang lelaki yang hampir berusia separuh abad itu.

            “Alhamdulillah dah semakin elok, Lepas dah sembuh, bolehlah saya balik semula ke rumah.” Jawab Ridza sambil menyuap nasi ke mulut.

            “Maafla, malam tu memang silap pakcik tak tengok betul-betul masa nak masuk simpang tu. Nasib baikla tak jadi apa-apa pada Ridza. Kalau tak, tak tahulah pakcik nak buat macam mana. Pasal motor besar Ridza tu, pakcik tak tahulah nak ganti rugi macam mana. Macam yang Ridza tengokla, pakcik ni bukan orang yang berada.” Keluh Zamri sambil berhenti menyuap nasi ke mulut.

            “Takpelah pakcik, pakcik dah sanggup nak jaga saya yang sakit ni pun dah cukup bertuah. Kalau pakcik lari tinggalkan saya masa tu, tak tahula apa jadi pada saya. Pasal motor saya tu, pakcik tak payahla risau, saya ada insurans..nanti boleh claim.” Sahut Ridza.

            Zamri hanya tersenyum mendengarkan kata-kata Ridza. Suapannya diteruskan tatkala hatinya lega dengan bicara anak muda dihadapannya itu.

            “Lepas makan ni berehatla. Kalau nak apa-apa bagitahu je. Si Zaliya tu boleh tolong uruskan.” Sambung Zamri lagi.

            Ridza hanya mampu tersenyum menanggapi kata-kata lelaki dihadapannya itu. Baik sungguh. Sekurang-kurangnya itulah pendapatnya sepanjang semalaman dia menghabiskan masanya disitu setelah motosikal Kawasaki R6 miliknya dirempuh oleh kereta buruk lelaki yang dikenali dengan nama Zamri itu.

            Usai makan malam Zamri dilihatnya sudah menghilang keluar rumah. Dia pula menapak masuk semula ke bilik yang dihuni sejak dia datang ke situ sejurus dia dibawa untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang berhampiran. Untunglah lukanya itu tidak parah. Jika tidak susah juga dia mahu tinggal di situ lama-lama sementara menunggu kakinya sembuh.

            Ridza merenung jauh ke bumbung rumah yang tidak bersyiling itu. Rumah yang cukup lusuh pada pengamatannya. Teringat akan kedua-dua ibubapanya yang sedang berada di luar negara ketika itu. Dia belum pun sempat hendak mengirimkan berita kepada ibu dan papanya tentang kemalangan yang dia alami sementelah telefonnya hancur berkecai kerana insiden tersebut. Ingin mengguna telefon milik keluarga Zamri; rumah itu pula yang tiada telefon rumah. Penyudahnya dia terdampar di rumah lelaki itu tanpa dapat memaklumkan kemalangan yang menimpanya kepada ahli keluarga dan rakan terdekatnya. Pasti sahaja tiada sesiapa yang merisaukan dirinya kerana memang sudah biasa dia ‘menghilangkan’ diri apabila bersama-sama sahabat lain menyertai ekspedisi kembara geng bermotosikal besar.

            Dia cuba melelapkan matanya walaupun dia tahu waktu masih awal untuk dia tidur; namun duduk tanpa berbuat apa-apa begitu membuatkan dia rasa bosan. Puas matanya dipejam celik; cuba untuk tidur walaupun mata tidak mengantuk namun dia gagal melelapkan mata. Pantas ingatannya teraih kembali kepada peristiwa yang membawa dirinya disitu pada ketika itu.

            “Kau jalan la dulu. Aku ikut belakang. Aku nak pergi buang air sekejap.” Kata Ridza sambil membuka glove kulit yang tersarung kemas ditangannya.

            “Okey jangan lambat sangat takut jauh tertinggal ke belakang.” Sahut sahabatnya lalu menyarungkan helmet dan membetul-betulkan glove tangannya sebelum enjin motosikalnya dihidupkan.

            Ridza hanya mengangkat ibu jari tanda faham dengan kata-kata sahabatnya itu. Sejurus sahabatnya berlalu dia bergegas ke tandas yang tersedia di hentian rehat itu.

            Ridza lurutkan rambutnya perlahan-lahan. Ingatannya mati. Andai Kamarul menunggunya pagi tadi; tentu dia tidak akan menumpang di rumah Zamri. Tentu sahaja dia sudah baring selesa di atas katil empuk di mana-mana hotel yang dia sewa. Ridza mengeluh seketika.

            Jauh termenung; Ridza tersentak. Ketukan bertalu-talu di muka pintu mengejutkan dia dari menungan jauh. Ridza bingkas bangun dari perbaringan. Dia berjalan perlahan lantaran sakit di kakinya masih terasa. Sejurus tiba di pintu bilik; dikuak pintu yang diperbuat dari playwood nipis itu.

            “Ayah suruh bagi ni pada abang Ridza.” Kata Zaliya seraya menghulurkan selimut yang sedikit lusuh ke arah Ridza.

            “Terima kasih.” Sambut Ridza sambil memandang wajah Zaliya yang tunduk. Tidak jelas kerana terlindung dengan awning tudung yang tersemat kemas sejak pertama kali dia melihat gadis itu seawal tiba tadi. Tingkah anak gadis Zamri yang terkocoh-kocoh dalam gabra itu dilihat penuh minat. Hairan dengan perilaku gadis itu. Namun perkataan ‘abang’ yang meluncur laju dari bibir gadis itu menarik perhatiannya. Agaknya  begitulah adat di kampung; cara hormat untuk memanggil orang adalah dengan memanggil dengan cara yang begitu. Kalau dibandar pasti sahaja panggilan ‘encik’ yang digunakan. Tanpa sedar Ridza tersenyum sendiri.

 

Langkah Ridza mati di anak tangga yang memisahkan ruang dapur yang menempatkan bilik air dengan ruang tamu. Dialog anak dan ayah itu cukup menarik perhatiannya. Dia hanya berdiri statik; cuba memasang anak telinga sambil mendengar apa yang sedang diperkatakan oleh kedua-duanya.

            “Pastikan keperluan dia cukup. Kalau aku tahu ada yang kurang siap kau!.” Keras bahasa yang digunakan Zamri kedengaran di telinga Ridza.

            “Apa yang dia nak; kau sediakan. Bukan senang nak jaga hati dia terutama lepas aku dah rosakkan motor dia. Duit aku bukannya banyak nak ganti rugi harta dia. Kalau kau tak puaskan hati dia; aku jual kau buat ganti rugi bayar pada dia!.”

            Terpempan Ridza dengan suara kasar yang dijamah telinganya. Tiada balasan kata dari gadis yang bernama Zaliya itu. Dari pengamatannya semalam hubungan bapa dan anak itu tidak pula dia tahu setegang itu kerana dia lihat Zaliya hanya melakukan kerja-kerja yang sewajarnya dilakukan oleh anak kepada bapa. Menyediakan keperluan dan menjaga hal ehwal rumahtangga. Memang sudah adatnya kehidupan gadis kampung begitu. Melakukan kerja-kerja rumah setelah kematian ibu. Itu telahan Ridza kerana dia tidak terlihat kelibat wanita yang digelar ‘ibu’ dalam rumah itu. Seketika kemudian Ridza kembali teringat. Zaliya yang kelihatan takut-takut semasa melayaninya semalam bukan takut kepadanya tetapi takut kepada Zamri. Mendengar sahaja suara keras Zamri cukup memberitahunya yang hubungan Zaliya dan bapanya tidaklah semesra yang disangka.

Rumput-rumput pendek yang tumbuh meliar di atas kubur ibunya dicabut berhati-hati. Rasa kasih dan sayang yang masih bersisa buat ibunya itu membuatkan dia seolah-olah mencurahkan kasih sayangnya kepada kubur ibunya itu. Zaliya duduk bertimpuh; surah yassin dari paper bag yang dijinjing tadi dikeluarkan. Dia kemudiaannya membacakan surah yassin untuk disedekahkan kepada arwah ibunya. Sejurus mengaminkan bacaan; Zaliya bangun dari duduknya. Langkahnya dihayun kembali menuju ke rumah.

            Tatkala langkahnya maju ke halaman rumah; dilihatnya Ridza sedang duduk berehat dipangkin di sudut kiri halaman yang luas itu. Pangkin yang dibina arwah bapanya semasa hidup dulu. Pangkin untuk merehatkan lelah dan kadangkala tempat untuk dia bersantai waktu petang sambil menikmati buat jambu air yang dicecah dengan kicap yang dicampur gula; beberapa biji lada dan sedikit belacan. Manisnya kenangan sewaktu bapa; ibu dan dia hidup sekeluarga. Manis yang telah tawar sejak kedua-duanya pergi meninggalkan dirinya bersama bapa tiri dan seorang abang tiri. Tanpa sedar Zaliya mengeluh. Keluhan yang menarik perhatian Ridza yang sudah menyedari kepulangan gadis itu beberapa minit yang lalu.

            “Boleh buatkan saya kopi?” tiba-tiba Ridza bertanya dan dalam masa yang sama dia berniat menegur.

            Zaliya hanya memandang sekilas kepada lelaki itu. Tidak lama kemudian dia mengangguk tanpa suara.

            “Terima kasih.” Ucap Ridza walaupun dia tahu ucapannya itu umpama angin yang menyapa sahaja. Gadis itu tidak mungkin akan membalas kata-katanya. Sejak awal bertemu dengan gadis itu hanya sekali Zaliya menegurnya iaitu ketika menawarkan dia selimut malam pertama dia bermalam di situ. Selepas itu tiada lagi kata-kata yang diluah gadis itu untuknya.

            Bagi Ridza; kelainan pada tingkah Zaliya itu memang menarik perhatiaannya kerana sepanjang dia hidup; Zaliya wanita pertama yang dilihat sedingin itu. Dia belum pernah bertemu barang seorang.

 

“Esok pukul 10 pagi pastikan kau pakai baju yang aku beli tu. Umar nak datang tengok kau.” Beritahu Zamri kasar. Sudah terlupa yang dalam rumahnya itu ada tetamu lain. Tetamu yang tidak tahu hujung pangkal hubungannya dengan Zaliya; anak tirinya.

            Zaliya membalas pandangan tajam bapa tirinya itu. Sejak ibunya meninggal empat bulan yang lalu. Zamri tidak putus-putus menyeksa hati dan perasaannya. Kalau masa ibunya masih hidup dahulu pandai sahaja lelaki itu menyembunyikan marahnya. Tapi kini; bila dia kehilangan ibu; Zamri pula bertindak mengambil alih tanggungjawab itu tetapi apa yang menjengkelkan; bapa tirinya itu bukannya mementingkan kebahagian dirinya tetapi keuntungan diri sendiri.

            “Liya dah bagitahu ayah; Liya tak pernah setuju untuk ditunangkan dengan pakcik Umar; apatah lagi berkahwin dengan dia.” Balas Zaliya berani. Sebal dengan tindakan Zamri yang cuba menjodohkannya dengan lelaki yang sudah melepasi separuh abad; yang layak digelar bapanya. Memandang Umar sahaja sudah membuatkan dia benci; apatah lagi diikat dengan lelaki itu dengan ikatan pertunangan; ikatan perkahwinan. Dia tambah tidak rela. Mengenangkan sikap Umar yang gatal dan miang. Membuatkan dia ngeri membayangkan masa depannya dengan lelaki tua tidak sedar diri itu.

            Pang! Tangan kasar Zamri naik ke pipi Zaliya.

            “Kau jangan kurang ajar! Untung aku masih simpan kau dalam rumah ni. Ikutkan hati aku; nak je aku jual kau pada Umar tu. Kahwin atau tak bukan masalah aku. Yang penting dia dapat apa yang dia nak; aku dapat apa yang aku nak.” Balas Zamri lantang. Memang pantang bila-bila kata-katanya disanggah Zaliya. Kadang-kadang pelik juga; selepas berkali-kali ‘makan’ penamparnya; Zaliya masih berani mahu berlawan kata dengannya.

            “Siapa ayah mahu tentukan masa depan Liya?. Liya kata Liya tak setuju maknanya Liya tak kan pernah setuju. Hidup Liya biar Liya yang tentukan!.” Balas Zaliya lantang. Berhadapan dengan sikap Zamri yang cepat naik tangan membuatkan sabarnya turut hilang. Kalau hanya herdikan mungkin hatinya itu bisa kecut namun membiarkan lelaki itu terus-terusan mengasarinya begitu; dia tidak betah biarkan sahaja.

            Zamri yang berang dengan balasan kata Zaliya menaikkan tangannya untuk kali yang kedua. Pantas ingin dihayunkan kuat ke wajah Zaliya. Sementara Zaliya sudah menutup rapat matanya; bersedia menerima ‘habuan’ untuk kali yang kedua. Andai melawan dia tahu dia tidak akan pernah menang. Tenaganya mana standing dengan tenaga Zamri yang berkali-kali ganda kuatnya.

            Namun penampar Zamri tidak sampai mencecah ke pipinya. Zaliya buka kembali matanya. Adakah Zamri tidak jadi menampar pipinya?. Sejurus matanya terbuka; Zaliya tersentak. Tubuh Ridza sudah berdiri di sebelah Zamri dengan tangannya menahan tangan Zamri dari menyentuh pipi Zaliya.

            “Saya rasa pakcik ni dah berlebihan.” Kata Ridza tenang sambil memandang tepat ke wajah Zamri yang merah padam menahan marah.

            “Kau orang luar; jangan masuk campur urusan rumah tangga aku!.” Tegas Zamri kasar.

            “Kalau pakcik dah sampai pukul-pukul anak macam ni; saya tak boleh biarkan. Walaupun anak pakcik bersalah; takkan sampai naik tangan.” Ujar Ridza sambil memegang kemas tangan Zamri yang masih kuat mahu meneruskan niatnya. Namun tenaga tua itu tidak mampu melawan tenaga mudanya.

            “Anak aku; ikut suka aku nak buat apa!.” Balas Zamri kemudiaannya. Tangannya itu kemudiaannya dikendurkan setelah dia pasti dia tidak mampu melawan kudrat lelaki muda dihadapannya itu.

            “Liya bukan anak ayah!” Balas Zaliya pula. Benar; dia bukan anak lelaki itu. Panggilan ‘ayah’ yang meniti dibibirnya itu hanyalah penzahiran kepada rasa hormatnya kepada lelaki yang mengahwini ibunya selepas kematian bapanya sahaja. Tidak lebih dari itu.

            Zamri mengetap bibir. Marah dan geram menjadi satu. Andai tiada Ridza di situ pasti sudah dibelasah lembik tubuh Zaliya sehingga anak tirinya itu menangis sendu; sehingga anak tirinya itu terjelepuk lesu!.

            Zamri segera beredar; tahu yang dia tidak akan mampu melawan tenaga muda Ridza. Hilang sudah bahasa sopannya melayani lelaki itu sebelum ini. Entah kenapa dia boleh terlupa yang ada orang asing di rumahnya sehingga dia terlanjur memarahi Zaliya. Andai dia lebih berhati-hati sudah tentu Ridza tidak akan pernah tahu tentang perkara itu.

            Ridza palingkan wajahnya memandang wajah Zaliya sejurus Zamri menghilang.

            “Zaliya okey?” Soal Ridza dengan wajah serius.

            “Saya boleh jaga diri sendiri.” Jawab Zaliya senada. Dia tidak perlukan Ridza sebagai penyelamatnya. Apa sangatlah yang boleh lelaki itu lakukan. Hanya orang luar yang singgah buat sementara waktu. Ketika itu mungkin dia selamat dari amarah Zamri namun selepas Ridza pulang ke tempat asalnya dia yakin dan pasti bapa tirinya itu akan lebih teruk mengasarinya. Untuk seketika dia berasa marah pula dengan campur tangan lelaki itu. Dia bukan tidak bersyukur dengan pertolongan lelaki itu cuma dia rasakan yang dia tidak perlukan bantuan sesiapa untuk membela dirinya. Dia sendiri kuat menanggapi sikap bapa tirinya. Biar dipukul lembik sekalipun dia sudah biasa. Tubuhnya itu sudah kebas dengan rasa sakit dek kerana hatinya itu lebih sakit daripada kesakitan fizikal yang dia rasai.

            “Smart respond..” Sindir Ridza perlahan; benar-benar pasti yang Zaliya tidak faham dengan bahasanya. Terkejut dengan reaksi gadis itu. Sangkanya Zaliya akan berterima kasih kepadanya. Nyata telahannya silap. Zaliya yang nampak lembut dan takut-takut itu sebenarnya keras hati dan sombong. Itu kata hati Ridza selepas Zaliya membalas kata-katanya sebentar tadi. Dia hanya berniat baik dan bersopan. Tidak sangka pula reaksi Zaliya sedingin itu.

            “Saya naik dulu.” Kata Ridza kemudiaannya sejurus dia sedar yang kehadirannya tidak membantu Zaliya sedikitpun. Malas melayani sikap sombong perempuan macam Zaliya. Yang merasakan diri sendiri kuat tapi sebenarnya lemah.

 

“Abang cuba buat apa ni?” Kuat suara Zaliya memarahi lelaki yang semakin mara ke arahnya itu.

            “Ayah takde; ibu kau pun takde. Sekarang tinggal aku dengan kau aje; aku nak buat apa-apapun boleh.” Kata Amirul dengan senyum sinis yang tersungging di bibir. Bukan senang dia mahu menunggu waktu emas begitu. Zaliya bersendirian di rumah. Sudah lama dia perhatikan adik tirinya itu. Nafsunya bergolak hebat saat terpandangkan tubuh Zaliya. Apatah lagi apabila teringat yang dia sering menghendap anak gadis ibu tirinya itu mandi berkemban. Bertambah berkocak hebat nalurinya. Peluang keemasan begitu jarang-jarang hadir. Ayahnya tiada di rumah. Dia yang kebetulan baru pulang dari bandar yang sedar akan peluang yang terentang di depan mata itu tidak mungkin akan melepaskan peluang itu berlalu begitu sahaja. Bodohlah kalau dia lepaskan benda yang terhidang di depan mata!.

            “Abang jangan cuba buat benda tak senonoh . Liya adik abang..” tegas Zaliya mengingatkan.

            “Adik tiri; bukan adik kandung aku.” Balas Amirul sinis. Dia tambah mendekat saat Zaliya menjarakkan tubuh mereka.

            Zaliya sudah mulai cuak; saat itu dia teringatkan Ridza. Kenapa Ridza tidak keluar? Mustahil lelaki itu tidak terdengar suaranya yang kuat sebentar tadi. Saat itu barulah dia sedar yang dia amat-amat memerlukan bantuan lelaki itu dalam menanggapi sikap gila abang tirinya itu. Terasa kesal pula kerana bereaksi dingin terhadap pertolongan lelaki itu siang tadi.

            Zaliya tersentak saat tubuhnya ditolak kasar ke dinding; sementara Amirul pula sudah berdiri dekat dengan tubuhnya. Terlalu dekat sehingga tubuh mereka bersentuhan. Situasi yang menambah debar dan takut dalam hati Zaliya.

            “Abang!.” Jerit Zaliya kuat apabila tangan Amirul sudah merayap ke dadanya. Turun naik dadanya menahan tangis yang baru menyerbu tiba. Kedua-dua tangannya pantas dilekapkan ke dada Amirul. Cuba menolak sekuat yang mungkin namun sedikitpun tubuh Amirul tidak berganjak. Malah lelaki itu makin galak ketawa melihat tingkahnya.

            “Aku akan pastikan malam ni kau jadi milik aku.” Kata Amirul seraya mendekatkan wajahnya ke wajah Zaliya. Tudung yang tersarung kemas direntap kasar. Kulit Zaliya yang cerah dibahagian leher membuatkan nafasnya tidak sekata. Pantas didekatkan bibirnya ke leher Zaliya. Zaliya kaku dalam kepungan Amirul. Apalah dayanya mahu melawan tenaga Amirul yang nyata lebih kuat. Matanya dipejam rapat. Takut!. Namun sepantas itu juga dia terasa tubuh Amirul tiba-tiba menjauh tiba-tiba. Zaliya bukakan matanya untuk melihat apa yang sudah berlaku.

            Amirul sudah terduduk di lantai dan Ridza pula sudah berdiri diantara tubuhnya dengan tubuh Amirul.

            “Bukan macam tu nak pikat perempuan.” Sindir Ridza sambil memandang wajah Amirul yang sudah bengang.

            “Dasar perempuan jalang; dalam diam kau simpan lelaki dalam rumah. Berlagak suci tapi sebenarnya jual diri pada lelaki yang entah dari mana ni!” Tutur Amirul seraya bangun berdiri. Matanya mencerlung tajam memandang Ridza dan Zaliya bersilih ganti.

            Zaliya yang baru berasa lega kembali merasa marah. Dituduh dengan tuduhan begitu memang membuatkan hatinya berapi marah.

            “Berambus sebelum aku ubah fikiran.” Ujar Ridza kemudiannya.

            Amirul hanya memandang geram wajah kedua-duanya. Jika tidak difikirkan tubuh Ridza yang jauh lebih tegap darinya sudah pasti dia melawan lelaki dihadapannya itu tetapi dia sedar dan tahu dia tidak mungkin akan menang andai berlawan dengan Ridza. Lantaran itu kakinya diatur laju menuju ke pintu rumah.

            Ridza kemudiannya berpaling memandang Zaliya yang tegak berdiri. Seketika kemudian dia tersenyum sinis.

            “Pandai jaga diri?...takla sekuat mana pun kan?” Perli Ridza sambil memanah tepat ke wajah Zaliya yang jelas masih tersisa dengan rasa takut.

            Zaliya terpempan dengan sindiran Ridza. Ucapan terima kasih yang berlegar-legar dalam kepalanya itu diluputkan. Baru dia bercadang mahu berbahasa dengan Ridza; lelaki itu sudah terlebih ‘berbahasa’ dengannya.

            “Pergi masuk bilik. Kunci pintu dan tidur; sekali lagi dia datang cari kau; aku tak nak ambik peduli.” Arah Ridza sambil berpaling dan berlalu semula ke biliknya.

 

Bumbung rumah dipandang tidak berkelip. Tiada apa-apa yang menarik di rumah itu menyebabkan dia hanya memaku pandangan pada bumbung kosong bilik itu. Dalam satu hari itu sahaja ada dua perkara yang tidak pernah dia jangka sudah berlaku. Tidak pernah menyangka rumah yang dilihat tenang beberapa hari yang lalu berubah menjadi tunggang terbalik. Teringat kata-kata sahabatnya seketika dahulu. Di sebalik pintu yang tertutup; tiada siapa yang tahu apa yang berlaku di dalamnya. Ridza mengeluh perlahan. Kedua-dua kejadian tadi menyebabkan dia tidak betah lagi berlama di situ. Dia hanya orang luar yang tanpa sengaja terlibat dalam kerumitan penghuni rumah. Sungguh dia tidak pernah menyangka perkara seperti itu akan berlaku. Andai dia tahu; sudah pasti dia menolak keras perlawaan Zamri yang kelihatan sopan sewaktu awal pertemuan mereka.

            Bibir Ridza tiba-tiba tersenyum tanpa sedar; teringatkan wajah Zaliya yang ketakutan saat hampir dinodai sebentar tadi. Pada awalnya memang dia berniat mendiamkan diri sahaja. Teringat akan sikap dingin Zaliya ketika dibantu pada siang tadi menyebabkan dia malas mahu keluar melihat apa yang berlaku. Namun apabila dia rasakan Zaliya benar-benar perlukan bantuan; dia buang egonya ke tepi. Dia sanggup melangkah keluar untuk melihat apa yang berlaku.

            ‘Nasib baikla aku ada. Kalau takde; masakla kau kena rogol.” Bisik Ridza perlahan. Entah kenapa ketakutan pada wajah Zaliya mencuit hatinya. Ridza tersenyum lagi. Entah apa-apa sahaja. Lama berfikir tentang kejadian itu dia terlena sendiri.

 

Zaliya tidak mampu melawan saat tubuhnya ditarik kasar menuju ke biliknya. Tenaga kuat Zamri menyebabkan dia tidak mampu untuk membantah perbuatan bapa tirinya itu.

            “Kau tukar baju tu sekarang atau aku yang akan tukarkan untuk kau.” Lantang suara Zamri memecah sunyi rumah. Untunglah rumah mereka jauh dari rumah-rumah lain. Jika tidak pasti sahaja semua orang kampung dengar suaranya yang melengking itu.

            “Cepat!” Arah Zamri kuat.

            Zaliya jatuh terjelepuk di lantai rumah. Sakit pada bahagian lengannya seolah-olah hilang apabila wajah bengis Zamri disapa matanya. Zaliya bingkas bangun lalu berdiri. Dia berjalan perlahan menuju ke almari lama yang terletak di hujung bilik. Sudah hilang malunya terhadap Ridza; tetamu yang masih lagi menumpang di rumah mereka. Ridza sendiri sudah menjadi saksi kepada semua itu; untuk apa lagi dia malu. Zamri juga seolah-olah tidak ambil pusing akan Ridza lagi. Mungkin sahaja takut untuk mengganti rugi harga motosikal Ridza yang rosak. Lantaran itu dia masih membiarkan Ridza tinggal di rumahnya.

            Zaliya berjalan menuju ke arah pintu. Pintu bilik ingin ditutup segera namun sempat tangan bapa tirinya menahan.

            “Liya nak pakai baju.” Kata Zaliya seraya terus menutup pintu. Membiarkan Zamri di luar biliknya.

            Sementara Zamri mengerling jam buruk di dinding rumahnya. Ada lagi satu jam sebelum Umar datang. Datang meminang Zaliya. Namun tiada rombongan; hanya lelaki itu seorang dan Zamri masih tidak mahu ketinggalan menghias anak tirinya itu; bimbang Umar berubah hati pula. Tambahan pula dia sudah banyak berhutang dengan Umar. Dan Umar juga pernah berjanji akan memberi dia wang tambahan sekiranya dia bersetuju menikahkan Zaliya dengan lelaki tua itu. Dia bukannya kisahkan sangat tentang pertunangan itu cuma dia mahukan wang yang dijanjikan oleh lelaki itu sahaja. Zamri tersenyum manis. Membayangkan ganjaran yang bakal diterima. Umpama menjual anak pula dia rasakan.

            Sejam  berlalu tanpa disedari. Zamri membuka pintu rumah apabila terdengar ada orang yang memberi salam. Sejurus dia membuka pintu kelihatan Umar sudah tegak berdiri di hadapan tangga rumahnya. Bibir lelaki itu turut tersungging senyuman.

            “Jemput naik.” Zamri berbasa basi menjemput tetamunya masuk.

            Sejurus naik ke rumah Zamri; Umar labuhkan punggungnya ke sofa rotan di sudut ruang tamu. Matanya kemudiaannya meliar ke segenap penjuru rumah. Mencari-cari kelibat Zaliya.

            Sementara Zamri sudah berjalan menuju ke bilik Zaliya. Pintu bilik gadis itu diketuk kasar namun senyap tiada jawapan dari Zaliya.

            “Kalau kau tak bukak pintu ni aku rempuh masuk.” Ugut Zamri keras. Suaranya itu dikawal sebaik mungkin; bimbang Umar terdengar pula.

            Mendengarkan amaran Zamri; Zaliya pantas membuka pintu namun dia masih lagi berpakaian sama; lansung tidak menukar pakaian yang diminta oleh bapa tirinya itu.

            “Liya tak nak jumpa orang tua tu.” Kata Zaliya berani. Dia menentang mata tajam Zamri.

            Sementara Zamri sudah naik hantu. Wajahnya merah padam menahan marah. Sepantas kilat tangan Zaliya dicengkam kemas. Lalu tubuh Zaliya di heret ke ruang tamu dalam keadaan gadis itu meronta-ronta supaya dilepaskan. Terus ke hadapan Umar yang terpinga-pinga melihat tingkah dirinya dan Zamri.

            “Liya tak nak kahwin dengan orang tua kutuk ni!.” Kata Zaliya kuat. Wajah Umar yang dipenuhi jambang di pandang jelik. Perut buncit lelaki itu membuatkan dia tambah tidak suka. Orang tua gatal yang tak sedar diri!. Zaliya menyumpah dalam hati. Dia tidak rela bersuamikan lelaki tua begitu. Yang tidak tahu hukum hakam agama; yang tidak sedar diri!.

            Umar yang terperanjat dengan bicara Zaliya pantas bangun dari duduknya. Dia memandang Zamri memohon penjelasan.

            “Apa ni Zam; kau kata semuanya ok..sekarang apa cerita?” Soal Umar dengan mata mencerlung tajam memandang Zamri.

            Sementara Ridza yang jauh mengelamun sendirian di dalam bilik tersentak.

            ‘Apa lagi ni..’ Keluhnya dalam hatinya.

            “Tak habis-habis!” tuturnya perlahan lalu bingkas bangun dari perbaringannya.

            “Maafkan aku Umar; budak ni yang degil sangat…” Jawab Zamri gugup.

            “habis tu sekarang macam mana?” Soal Umar kemudiaanya.

            “Aku serahkan dia pada kau; duit hantaran tu tak perlu bagi aku lagi.” Sahut Zamri cepat-cepat.

            Zaliya yang mendengarkan bicara Zamri mencerlung mata memandang bapa tirinya itu. Marah!. Sikap Zamri yang membuat keputusan bagi pihaknya memang membuatkan dia berang. Siapa Zamri untuk menyerahkan dia begitu sahaja kepada lelaki yang dia tidak rela.

            “Liya tak nak!” Kata Zaliya keras. Tangannya yang dipaut Zamri direntap kasar.

            “Nak atau tak; kau kena ikut dia!.” Jawab Zamri juga dalam nada keras.

            “Liya tak nak!.” Ronta Zaliya lagi.

            Pang!

            Zaliya terasa wajahnya pedih namun yang lebih pedih ialah hatinya itu.

            “Aku dah cagar kau pada dia; nak atau tak kau kena ikut dia.” Balas Zamri kasar.

            Terkesima Zaliya dengan kata-kata Zamri. Tanpa sedar dia jatuh terduduk dan longlai dan seketika kemudian dia menangis teresak-esak. Tergamak bapa tirinya mencagar dirinya. Dia bukan barangan tapi manusia yang ada hati dan perasaan.

            Zaliya terkejut saat lengannya di raih supaya bangun. Dia buang pandang pada wajah Umar yang tersenyum sumbing. Hatinya jadi sakit dan marah dalam masa yang sama.

            “Lepas!.” Jerit Zaliya kasar. Tangan kasar Umar ditepis kuat namun lelaki itu masih kemas memegang lengannya.

            Ridza yang sedari tadi menjadi pemerhati berjalan laju menuju ke arah keriuhan itu. Pantas tangan kasar Umar di tangkap lalu di rungkai dari memegang Zaliya.

            “Apa la yang tak kena dengan keluarga ni?” Soalnya lalu menolak tubuh Umar menjauh sehingga menyebabkan Umar tersentak.

            “Pakcik ni dah takde rasa malu ke…anak sendiri cagar pada orang?” Tambah Ridza sambil memandang tepat ke wajah Zamri.

            “Kalau saya buat report ni pakcik berdua ni boleh masuk lokap.” Ridza sambung berbicara.

            Terdiam Zamri dan Umar saat terdengarkan perkataan lokap. Takut dan bimbang bergabung menjadi satu. Umar pula sudah mulai mengundur tubuh menghala ke arah pintu lalu terus keluar dari rumah Zamri.

            “Terima kasih atas layanan pakcik pada saya. Saya rasa saya dah tak boleh tinggal di sini lagi. Saya tak nak ambil tahu hal masalah keluarga pakcik. Cuma nasihat saya; jagalah anak pakcik ni baik-baik. Tindakan pakcik ni menyalahi undang-undang; kalau anak pakcik ni buat laporan; pakcik boleh kena tangkap.” Nasihat Ridza seraya berlalu ke pintu. Dia nekad; dia tidak mahu masuk campur lagi apa jua ‘urusan’ rumahtangga itu. Bukan masalah dia untuk ambil tahu. Dan dia juga tidak peduli sementelah dia hanya orang luar. Keluarga itu juga bukan sesiapa untuk dia ambil peduli. Namun belumpun sempat dia menuruni anak-anak tangga di beranda rumah terdengar Zaliya bersuara.

            “Tunggu…” Ridza berpaling semula ke belakang. Zaliya dilihatnya sudah menghilang ke bilik.

            “Tolong bawa saya sekali..” Sambung Zaliya dengan penuh pengharapan. Tangan kirinya membimbit beg.

            Zamri yang melihatkan perkara itu bertambah berang. Tidak mungkin dia akan melepaskan Zaliya begitu sahaja. Bagaimana dengan hutangnya yang tertunggak dengan Umar. Jika Zaliya pergi bermakna dia terpaksa membayar hutang itu dengan wang dan dia pula tidak punyai wang. Memang dia akui dia takut dengan amaran Ridza; namun lelaki itu akan pergi dari situ dan dia pula bebas untuk mempergunakan Zaliya sejurus lelaki itu meninggalkan rumahnya.

            Ridza yang pelik sudah mengerutkan dahinya. Membawa anak dara orang?. Arghh…dia malas mahu ambil tahu;malas mahu memikul tanggungjawab. Kenapalah dia harus tersepit dalam kemelut keluarga itu?; bisiknya dalam hati.

            “Kau gila!. Entah jantan mana pun kau nak ikut.” Marah Zamri kuat.

            Zaliya tidak mempedulikan kata-kata Zamri sebaliknya dia memandang Ridza dengan wajah penuh berharap. Berharap lelaki itu membawa dia pergi dari kekejaman Zamri. Dia tidak peduli; biarlah dia menanggung risiko itu daripada dia bertahan dalam rumah itu dan berhadapan dengan sikap gila bapa dan abang tirinya.

            “Maaf ; aku tak mahu masuk campur urusan keluarga ni.” Balas Ridza selamba seraya meneruskan langkah.

            “Tolonglah.” Zaliya terus berlari ke hadapan Ridza. Merayu kepada lelaki itu.

            “Ini hal keluarga kau. Aku tak peduli.” Kata Ridza pendek. Dia meneruskan langkah walaupun tubuh Zaliya menghalang.

            “Tolonglah saya; bawa saya sampai bandar je. Nanti saya cari haluan sendiri.” Rayu Zaliya lagi. Dia hanya mahu ikut lelaki itu keluar dari kampung itu. Selebihnya dia akan cari jalannya sendiri.

            Zamri yang sedari tadi naik berang terus melangkah ke arah kedua-duanya. Tangan Zaliya direntap kasar. Ditarik supaya mengikut langkahnya.

            “Tolonglah….” Rayu Zaliya lagi. Wajah Ridza ditatap penuh harap.

            Ridza mengeluh nafas. Geram! Kenapa dia boleh terlibat dengan semua tu.

            “Saya rasa elok pakcik lepaskan dia.” Kata Ridza seraya membuang pandang ke arah Zamri.

            “Kau jangan masuk campur hal keluarga aku. Kau boleh berambus sekarang!.” Jerkah Zamri kuat.

            “Pakcik nak selesaikan hal ni cara baik atau cara kasar. Kalau setakat badan macam pakcik; saya bagi sekali pun dah cukup. Sampai esok pagi pakcik tak sedar.” Ugut Ridza namun nadanya tetap tenang.

            Zamri terkejut. Ugutan Ridza membuatkan dia mula rasa takut. Memandang tubuh tegap lelaki muda itu membuatkan dia cuak. Memang benar kata-kata Ridza; hanya dengan satu tumbukan padu sahaja pasti akan membuatkan dia pengsan. Memikirkan tentang itu; tangan Zaliya dilepaskan perlahan-lahan.

            Zaliya pantas menjauhkan tubuhnya dengan Zamri. Dia mendekati Ridza yang sudah berada di beranda rumah.

            “Terima kasih.” Ucap Zaliya perlahan.

            “Tiada yang percuma dalam dunia sekarang.” Balas Ridza seraya menapak menuruni anak-anak tangga kayu. Baju abang tiri Zaliya yang tersarung ditubuhnya di bawa sekali. Dia meninggalkan rumah itu sehelai sepinggang. Untunglah walletnya ‘selamat’ dalam kemalangan kecil itu. Jika tidak terpaksalah dia meminta sedekah daripada orang untuk keluar dari kampung itu. Untung juga luka di kakinya sudah sembuh; jika tidak dia masih lagi terperangkap di situ.

            “Di mana ada transport nak keluar dari kampung ni?” Soalan Ridza menghambur pergi pemikiran Zaliya yang hanyut dengan kata-kata lelaki itu sebentar tadi.

            “Kena jalan 500 meter sampai hujung sana; di situ ada bas untuk ke pekan.” Jawab Zaliya sambil menuding jari ke arah sebelah kanannya.

 

“Alamat ni jauh sangat encik. Sampai Kuala Lumpur. Saya tak pergi tempat-tempat jauh macam tu. Kalau kawasan-kawasan sini je boleh la.” Kata pemandu teksi itu senada.

            “Kalau abang hantar; saya bayar berapa je yang abang minta. Kalau pasal jalanraya; saya boleh tunjukkan kalau abang tak tahu.” Balas Ridza. Wang bukanlah masalah baginya. Dia sanggup membayar berapa sahaja; asalkan pemandu teksi itu bersetuju.

            “Baiklah.” Dalam berat hati lelaki itu bersetuju. Melihatkan wajah Zaliya yang penuh berharap membuatkan dia tidak sampai hati ingin menolak permintaan Ridza.

            Sejam berlalu; Ridza toleh ke belakang. Dilihatnya Zaliya sudah terlena di kerusi belakang.

            “Isteri?.” Soal Pemandu teksi itu ramah.

            Ridza hanya menggeleng perlahan. Tidak mengiakan tetapi dalam masa yang sama; dia juga tidak mahu menerang siapa gadis yang mengikutnya itu. Daripada menipu; lebih baik berdiam diri. Itu prinsipnya.

 

Matanya digosok-gosok perlahan. Zaliya buang pandang keluar dari tingkap teksi. Yang tertangkap matanya hanyalah bangunan-bangunan tinggi yang besar dengan pelbagai bentuk.

            “Kita dah sampai ke?” Soal Zaliya. Seingatnya seawall bertolak tadi dia sudah terlelap. Apabila terjaga; dia sudah ternampak bangunan-bangunan tinggi.

            Ridza keluar sejurus menghulurkan wang kepada pemandu teksi tanpa menjawab soalan Zaliya terlebih dahulu. Sementara Zaliya yang masih terpinga-pinga turut keluar.

            “Saya nak sembahyang Asar dulu.” Kata Zaliya tiba-tiba.

            Ridza berhenti melangkah untuk seketika.

            “Aku bawa pergi masjid.” Balas Ridza tanpa menoleh ke arah Zaliya yang berada di belakangnya. Dia kemudiannya meneruskan langkah.

            “Aku tunggu sini.” Kata Ridza sejurus tiba dihadapan masjid. Tiada niat dia mahu turut serta.

            Zaliya hanya mengangguk. Walaupun terdetik pelik kerana Ridza tidak turut serta namun didiamkan sahaja rasa hairannya itu. Untuk bertanya lanjut dia tidak berani. Untung lelaki itu mahu membantunya ‘lari’. Jika tidak pasti dia masih terperangkap di rumah Zamri.

            Zaliya menaiki tangga menuju ke tingkat atas masjid sejurus mengambil air sembahyang. Beg bajunya di letakkan di dinding bahagian belakang masjid. Dia kemudiaannya menyarungkan telekung lalu membentangkan sejadah. Rasa terlalu berdosa kerana telah meninggalkan solat Zuhur kerana kekecohan di rumah Zamri pagi tadi.

            Sejurus selesai menunaikan tanggungjawabnya; Zaliya berjalan ke arah yang menempatkan beg bajunya namun dia terkejut apabila melihat beg bajunya itu sudah terbuka zipnya. Pantas tangannya mencari-cari dompetnya. Apabila diraih dompet itu; Zaliya bersegera membukanya.

            Terpempan Zaliya saat melihatkan duit yang sekian lama disimpan dalam dompet itu tiada. Lansung tiada. Yang tinggal hanyalah kad pengenalan diri dan beberapa kad-kad lain yang tidak berapa penting. Zaliya terduduk. Siapalah yang tergamak sekali mencuri duitnya dalam tempat suci begini. Dia tidak pernah menyangka di tempat begitu juga masih ada lagi yang berani berbuat jahat. Terlalu naïf sehingga dia tidak tahu yang manusia ini ragamnya pelbagai. Berbuat jahat tidak menunggu masa; tidak mengira tempat.

            Zaliya bungkam seketika. Bagaimana dia mahu mencari Ika; sahabatnya yang ada tinggal di Kuala Lumpur itu sedangkan semua wangnya habis dicuri orang. Buntu dia berfikir. Namun dia gagahkan jua kakinya melangkah menuju ke tempat Ridza menunggunya. Untuk berpatah balik; dia sudah pun membulat tekad.

            “Kenapa lambat sangat?” Soal Ridza tidak senang. Dia sudah tidak mahu ‘mengangkut anak dara orang ke sana ke mari’. Dia cuma nak pulang ke rumahnya.

            Zaliya hanya diam. Tidak tahu bagaimana dia mahu berkata-kata. Fikirannya itu buntu. Duitnya hilang.

            “Aku nak balik dah ni. Ada apa-apa lagi tak?” Soal Ridza senada. Mahu segera meninggalkan Zaliya. Teringat kata-kata Zaliya semasa di rumah Zamri; dia pasti Zaliya boleh menjaga diri sendiri.

            “Duit saya kena curi.” Kata Zaliya tiba-tiba. Terpaksa berterus terang walaupun mulutnya terasa berat.

            Ridza sudah mengangkat kening tanda pelik. Seketika kemudian; dia mendengus kasar.

            “Kau letak kat mana sembahyang tadi?” Soalnya kasar.

            “Kat belakang. Tapi saya sembahyang kat depan.” Akui Zaliya setelah menyedari kekhilafan dirinya sendiri.

            “Itulah naïf sangat! Ingat manusia ni semuanya baik ke. Pergi masjid tak semestinya nak sembahyang.” Sindir Ridza geram. Dia kemudiannya mengeluarkan dompetnya untuk mengeluarkan wang untuk diberikan kepada Zaliya.

            Zaliya hanya tunduk dalam diam. Seketika kemudian terdengar Ridza mengeluh perlahan. Zaliya angkat kepalanya memerhatikan lelaki itu. Hairan dengan keluhan yang ditangkap oleh telinganya.

            “Duit aku pun dah habis. Tinggal cukup-cukup aku nak buat bekal balik je.” Rungut Ridza sambil membelek-belek kad-kad dalam dompetnya pula. Baru dia teringat yang dia membayar sejumlah wang yang banyak kepada pemandu teksi tadi. Sebagai penghargaan kerana lelaki itu sanggup bersusah payah menghantarnya sehingga sampai ke Kuala Lumpur. Teringat pula dia akan penolakan pemandu teksi kerana jumlahnya terlalu banyak. Namun dia sendiri yang berkeras mahukan lelaki itu ambil. Kini dia pula menyesali tindakannya itu kerana terperangkap dalam masalah Zaliya.

            Ridza belek sekali lagi compartment walletnya namun dia tidak terjumpa pula kad-kad ATM; yang ada hanyalah kad kredit dan kad debit sahaja.

            “Maaf; aku tak dapat nak tolong kau.” Kata Ridza serius. Dia berpaling untuk berlalu.

            “Tolonglah. Macam mana saya nak cari kawan saya kalau saya takde duit; tolong bagi saya ikut awak.” Rayu Zaliya tiba-tiba.

            Ridza tersenyum sinis.

            “Hari tu kata hebat sangat. Boleh jaga diri sendiri. Sekarang dah merayu-rayu kat aku.” Sindir Ridza.

            “Tolonglah; saya takde tempat nak tuju. Tolong bawa saya sekali.” Rayu Zaliya sekali lagi. Tidak peduli dengan egonya. Memikirkan nasibnya; dia tidak mahu bertaruh.

            “Bawa sekali?. Mana aku nak simpan kau?” Soalnya dalam nada menyindir.

            “Tolonglah saya. Awak boleh tolong carikan kerja; tempat untuk saya tinggal.” Jawab Zaliya lagi. Hilang sudah panggilan abang di bibirnya. Mungkin juga kerana Ridza sendiri membahasakan diri dengan kata ganti diri ‘aku-kau’ sahaja.

            “Kerja?. Kerja apa yang kau boleh buat?” Sinis lagi nada pertanyaan Ridza.

            “Apa-apa kerja; asalkan halal.” Sambut Zaliya serius. Berharap sangat Ridza boleh membantunya.

            Ridza diam sejenak. Dia kemudiannya tersenyum.

            “Apa-apa kerja pun tak kisah?” Soal Ridza inginkan kepastian.

            “Selagi halal; saya akan lakukan.” Tutur Zaliya mengiakan.

            “Baik. Aku ada satu kerja untuk kau. Kerja halal.” Balas Ridza. Bersetuju dengan permintaan Zaliya. Dalam kepalanya sudah terencana sesuatu. KERJA HALAL ; memang ada satu untuk gadis dihadapannya itu.
p/s-harap semua suka ngan cerita ni :)

           

           

 

           

           

 

 

           

 


16 comments:

  1. best ! suka 2 . rsa2nya bla nk smbung pulak eh ? hehe !

    ReplyDelete
  2. Syokkkkkkkkkk....... Speechless karya sis tulip mmg best2....

    ReplyDelete
  3. Bestttt...terujaaaaaa nk tauuuu n3 seterusnyaaa.....keep it up sis

    Nana

    ReplyDelete
  4. Menarik, tp mcm dah biasa kita tau cerita ayah tiri n abg tiri ni... ermmmmm, tp xpa.. ep nak tau gak cam ner jln cita dr akk lak...

    ReplyDelete
  5. AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA bestnyaaaaaa nk lagiiiiii!!!! citer ni best!

    ReplyDelete
  6. wahhh!!
    apekah??apekah??hee~

    ReplyDelete
  7. sgt2 suka la cik tulip citer niiiii..apa keje halal tu yer?
    lebih2 lg cik tulip janji nk abeskan kt blog
    ni yg buat rajin nk follow nih
    sambung la lagi
    tq!!muah!!

    ReplyDelete
  8. Wah,baru eps dah best baca ni cik tulip...cepat2 sambung ya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. apa yang ada dlam minda Ridza , nak tolong biar IKHLAS

      --za--

      Delete
  9. kak,knp wtk lelaki ni mcm pentingkn diri sndiri je?nk tlg mcm tk ikhlas pulak tu....apa krja halal tu???hrp2 bkn krja haram dikatakn krja halal...huhu..kak cpt la smbng...klau dihabiskn di blog kiranya ni mini novel la akak??

    ReplyDelete
  10. Memang dah jatuh suka pon,,Menunggu entri yang akan datang,,

    ReplyDelete
  11. KERJA HALAL alamat kahwin lah ni ya cik tulip.. Nany

    ReplyDelete
  12. kerja halal tu agaknya jdi pembantu kat rumah Redza ke..kalo jdi org gaji die snng lah dia jumpa hari kat Zaliah..lama jdi suke..hehee.:)

    ReplyDelete
  13. terbaik lah kak...
    x sbr nak tggu next n3.. :D

    ReplyDelete
  14. best nyer crite neh...cam ner akk leh terlepas lak n3 baru neh...hehe dh bab 3,but akk baru nk baca the first one...pape ur novel mmg the best lh dek tulip........

    ReplyDelete