Sunday, 6 January 2013

SAAT HADIRNYA CINTA-BAB 6

kepada yang tinggalkan komen..terima kasih banyak2...jom ikuti sambungannya...

BAB 6

Haiqarl mundar mandir dalam resah. Bayangan wajah Zaliya masih menerjah ruang mindanya. Semenjak dia berkunjung ke rumah tumpangan Ridza tempoh hari; dia tidak boleh meluputkan wajah Zaliya dari ingatannya. Antara keinginan lelakinya dan rasa takutnya kepada Ridza; kedua-duanya saling bertingkah.

Mahu terus-terusan merenung Zaliya ketika itu dia bimbang. Bimbang dengan reaksi Ridza. Masih dia ingat lagi beberapa tahun yang lalu; saat dia dan Ridza bertemu dengan lelaki yang mencabul kehormatan Amirah;adik Ridza. Habis lelaki itu dikerjakan oleh Ridza. Andai dia tidak menghalang; pasti sahaja lelaki yang mencabul adik Ridza itu sudah dihantar ke hospital. Nasib baik dia ada untuk menyabarkan lelaki itu. Jika tidak; dia dah Ridza juga pasti berakhir dibalai polis!.

Namun Haiqarl juga tidak dapat menafikan yang hatinya itu terlalu meronta-ronta inginkan Zaliya. Sejak kali pertama dia melihat Zaliya; sejak niat hatinya itu terbantut dek kerana dia terlalu lambat bertindak. Andai mampu dia undurkan masa; pasti dia akan memanfaatkan peluang yang diberi sebaik-baiknya. Dan kini dia menyesal kerana tidak menggunakan peluang yang terbentang di ruang mata dulu. Sejak hari itu dia terasa keinginannya itu seolah-olah hilang namun tidak pernah padam. Dan apabila dia bertemu semula dengan Zaliya; terasa keinginannya itu membuak-buak kembali cuma apabila menyedari yang wanita itu sudah menjadi isteri Ridza dia jadi takut pula untuk melayan keinginannya. Namun jika tidak dilunaskan; dia pula yang tidak senang duduk. Dia terlalu menginginkan Zaliya. Mungkin Zaliya tidak tahu dan tidak kenal dengan dirinya namun wajah Zaliya masih kukuh terpahat dalam mindanya. Mana mungkin dia bisa menghilangkan bayangan Zaliya yang terbaring tidak sedarkan diri malam itu.

            Haiqarl mengeluh perlahan; kesal kerana dia tidak mengambil peluang itu dulu. Jauh memikirkan perkara itu membuatkan Haiqarl teringat kembali peristiwa dia boleh mengenali Zaliya.

“Zamri!Aku tak peduli; kau hutang aku. Kau mesti kena bayar. Kalau kau tak langsaikan semua duit yang aku menang malam ni. Aku upah orang pukul kau.”Ugut Haiqarl kepada lelaki tua yang masih ketagih berjudi itu. Berbakul-bakul sumpah seranahnya kepada Zamri. Sudah tua pun masih mahu berjudi. Tidak tahukah yang berjudi hanya untuk orang muda yang bijak sepertinya. Kalau tua begitulah jadinya. Berjudi tidak ingat dunia. Tidak cukup dengan wang sendiri; wang orang lain pun dipinjamnya. Dan bila sudah kalah begitu tidak pula mampu membayar duit kepada lawan yang menang.

“A..a…aku hutang dulu.” Jawab Zamri tergagap-gagap.

“Hutang?. Kau ingat aku ni Ah Long ke?” Soal Haiqarl menyindir. Dia bukan tidak tahu; semua orang bercakap-cakap tentang lelaki tua itu. Pinjam wang di sana sini. Kalau dia beri keizinan untuk berhutang bermakna sampai bila-bila pun hutangnya itu tidak akan dibayar.

“Aku janji; esok aku bayar.” Jawab Zamri cepat-cepat. Mahu meyakinkan Haiqarl.

“Ahhh…aku tak peduli. Kau tak bayar bermakna aku suruh orang belasah kau malam ni!.” Tegas Haiqarl keras.

Zamri jadi kecut perut. Ugutan Haiqarl menyebabkan dia takut. Kesungguhan wajah Haiqarl menunjukkan tidak mungkin lelaki itu bergurau.

“Betul kau tak boleh bayar?” Soal Haiqarl lagi untuk kepastian. Dia kemudiannya memandang dua orang lelaki yang masih setia berdiri di sebelahnya.

“Kalau kau tak boleh bayar; diaorang ni boleh ajar kau.” Kata Haiqarl seraya memberi isyarat kepada teman yang sama-sama berjudi dengannya tadi.

“Nan..nanti dulu. Aku boleh bayar tapi bukan dengan duit.” Kata Zamri kemudiannya. Tiba-tiba dia terfikirkan perkara lain. Memang dia tiada wang untuk membayar tetapi dia boleh membayar hutang lelaki itu dengan cara yang lain.

“Maksud kau?” Soal Haiqarl berminat.

“Aku ada anak dara…kalau kau nak; aku bagi kau pakai semalam. Tapi malam ni tak boleh. Malam esok aku janji kau dapat. Kalau kau berminat; kira hutang aku tu langsai.” Sambung Zamri tidak bersalah. Dia terbayangkan wajah Zaliya. Dan dia tahu apa yang boleh dia manfaatkan dari Zaliya.

Haiqarl tersenyum sinis. “Pandai juga kau ye. Kalau macam tu aku setuju. Tapi ingat; kau jangan cuba nak tipu aku.” Keras nada Haiqarl.

“Aku janji. Kau pasti puas hati.” Sambut Zamri turut dalam senyuman. Lega hatinya. Satu masalahnya sudah selesai. Kalau dengan cara mudah begitu dia boleh menyelesaikan masalahnya. Tidak ada salahnya kalau dia berhutang banyak!.

 

Zamri mencempung tubuh Zaliya ke dalam bilik. Dia hanya tersenyum memerhatikan cawan yang telah kosong. Itu bermakna Zaliya sudah minum habis air yang dicampurkan dengan ubat tidur sebentar tadi. Senang juga buat kerja macam ni; kalau aku tahu dulu lagi aku dah buat;desis Zamri dalam hati.

            Sejurus membaringkan Zaliya ke atas tilam; Zamri terkocoh-kocoh mengeluarkan telefon bimbit yang dipinjamkan kepadanya. Dia mula mendail nombor sebagaimana yang diajarkan kepadanya dan apabila taliannya bersambut. Dia lekas-lekas bersuara.

            “Kau boleh datang sekarang. Aku dah sediakan dia. Tapi ingat; jangan lambat. Nanti bini aku balik. Kalau boleh cepat. Sebelum pukul Sembilan.” Kata Zamri mengingatkan kerana biasanya ibu Zaliya akan pulang selepas pukul Sembilan. Selepas habis mendengar kuliah di surau kampung.

            “Ok.” Balas Haiqarl lalu mematikan talian.

 

Haiqarl hanya memerhatikan gadis yang tidak sedarkan diri itu. Kerana rasa terlalu ingin menatap wajah mangsanya itu; dia mara menghampiri katil. Sejurus berdiri di sisi tubuh Zaliya yang kaku; dia labuhkan duduknya di situ. Wajah Zaliya yang tenang dipandang tidak berkelip. Terasa naluri lelakinya bergolak tiba-tiba. Kemanisan wajah yang tidak sedarkan diri itu menyebabkan dia tiba-tiba terasa ingin mengusap wajah itu. Terlupa dengan pesanan Zamri supaya menyegerakan ‘urusan’nya.

            Haiqarl bawa jari jemarinya ke wajah Zaliya lalu diusap-usap perlahan. Tidak dapat dinafikan memang sudah ramai perempuan yang ditidurinya namun yang ini terasa sedikit istimewa. Mungkin kerana wanita yang akan ditiduri itu tidak sedarkan diri. Satu pengalaman baru baginya. Selalunya wanita-wanita yang dibawa balik semuanya dengan rela hati mengikut kehendaknya tetapi Zaliya merupakan perempuan pertama yang  tidak sedar dan mungkin juga tidak rela. Dan dia rasa suka akan cabaran itu!.

            Haiqarl bangun semula dari duduknya. Butang kemejanya dibuka satu persatu. Kemudian tali pinggang seluarnya pula dilonggarkan. Baru dia berkira-kira mahu membuka butang seluar jeansnya tiba-tiba dia terdengar bunyi orang yang batuk-batuk kecil. Haiqarl hentikan seketika perlakuannya. Dia amati baik-baik suara yang terbatuk-batuk itu.

            “Itu bukan suara orang lelaki.” Bisiknya perlahan.

            “Zamri ni bohong aku ke?” Sambungnya lagi.

            “Celaka punya orang tua. Jangan-jangan dia cuba nak tipu aku; nak perangkap aku!.” Kata Haiqarl lagi. Dia kembali mengemaskan seluarnya. Baju yang sudah dilerai juga dipakai semula. Dia tidak mahu mengambil risiko. Zamri menipunya. Kata orang tua itu; tiada sesiapa di rumah tetapi ketika itu dia tahu ada orang lain dalam rumah itu selain Zaliya yang tidak sedarkan diri.

            Haiqarl pantas membuka tingkap kayu bilik Zaliya lalu terjun keluar melalui tingkap. Hangat hatinya dengan Zamri. Lelaki tua penipu itu akan diajar nanti; bentaknya dalam hati. Kalau ikutkan nafsunya; ingin sahaja dia teruskan niatnya tetapi dia tidak mahu tertangkap sedang memperkosa gadis. Kalau itu yang berlaku; pasti dia akan dibawa ke balai. Dan dia belum bersedia mencipta masalah seberat itu.

 

Haiqarl termenung jauh mengingati peristiwa lama itu. Tidak tahu yang dia akan bertemu semula dengan Zaliya. Dan pertemuan itu membuatkan jiwanya bergolak semula. Terasa keinginannya yang terkurung lama menyerbu keluar dan hanya menunggu masa yang sesuai sahaja untuk dia lunaskan keinginannya itu.

            Namun apabila dia teringat kembali kepada Ridza dia terasa hatinya kecut. Bagaimana mahu mendapatkan Zaliya andai perempuan itu sudah menjadi milik Ridza yang dia kenal sangat barannya. Andai pencabul adik sendiri juga dibelasah teruk; kalau perogol isteri sendiri bagaimana agaknya. Pasti mati dia dikerjakan lelaki itu! Detik Haiqarl sendiri.

            “Aku kena ada plan.”Kata Haiqarl sendiri.

            “Ini semua salah Zamri. Bagi sangat aku tengok anak dara dia. Sekarang aku dah tak boleh tahan.” Sambungnya lagi.

            “Sorry Ridz; aku dah kempunan sangat ngan bini kau. Sejak sebelum kau kahwin dengan dia. Nasib la; sape suruh kau kahwin dengan dia. Kawan kawan juga tapi aku mesti fikirkan kehendak hati aku jugak.” Bisiknya sendiri. Ibarat orang hilang akal pula dia berkata begitu.

 

“Duduk la dulu” Kata Zaliya seraya mempelawa Haiqarl duduk di kerusi kayu di beranda rumah tumpangan itu.

            “Terima kasih.” Balas Haiqarl seraya duduk.

            “Pelik juga sebab dia kata dia keluar nak pergi jumpa dengan Haiqarl tadi. Tapi takpelah; sekejap lagi saya call bagitahu dia Haiqarl datang.” Kata Zaliya seraya mahu bergerak ke biliknya.

            “Eh saya dah bagitahu dia tadi.” Kata Haiqarl cepat-cepat. Dia panahkan matanya pada wajah Zaliya.

            “Oh ye ke. Kalau macam tu saya pergi buat air dulu. Haiqarl duduk dulu.” Sambut Zaliya. Walau dia yakin dengan kata-kata Haiqarl namun panahan mata lelaki itu cukup meresahkannya. Cukup membuatkan dia rasa tidak selesa.

            Zaliya bergerak ke dapur. Namun sebelum dia tiba di dapur dia mengambil keputusan untuk turut menelefon suaminya itu. Kedinginan Ridza membuatkan dia belum berkesempatan berbual mesra dengan lelaki itu. Dan dia rasa elok juga jika dia menelefon Ridza; memaklumkan kehadiran sahabat lelaki itu. Boleh juga dia cuba berbaik-baik dengan Ridza kembali. Elok juga Haiqarl datang; sekurang-kurangnya ada juga peluang dia untuk memulakan perbualan dengan Ridza. Detik Zaliya sendiri.

 

Ridza kerling telefon bimbitnya yang berbunyi kuat. Deringan nyaring itu hanya dibiarkan tidak berjawab. Dia mahu mengajar Zaliya pula. Egonya yang menggunung menyebabkan dia sukar cair dengan pujukan Zaliya. Dia tahu Zaliya keresahan dengan sikap dinginnya dan dia tahu Zaliya tidak senang dengan semua itu cuma dia mahu Zaliya lebih gigih dalam meraih perhatiannya kembali. Sebagaimana dia gigih meraih perhatian Zaliya tetapi tetap dipandang sepi oleh isterinya itu. Andai dia terpaksa merendahkan egonya untuk merayu-rayu Zaliya; dia juga mahu Zaliya lakukan perkara yang sama. Cuma dia kesal kerana Zaliya hanya kelihatan bersungguh-sungguh pada malam wanita itu cuba menggodanya. Sejak itu Zaliya sudah tidak menunjukkan kesungguhan.

            Dek kerana masih tersisa dengan rasa geram terhadap Zaliya; Ridza masih belum puas melancarkan ‘perang dingin’ dengan Zaliya. Biar Zaliya benar-benar melutut barulah dia akan melayan. Detiknya sendiri.

            Ridza kerling lagi handphonenya yang sudah lima kali berbunyi namun hatinya masih belum terbuka untuk menjawab panggilan Zaliya. Hampir beberapa kali deringan; akhirnya telefon Ridza berhenti berdering. Seketika kemudian; telefon bimbitnya berbunyi pendek tanda mesej pula yang masuk.

            Ridza berdengus. Telefonnya diambil lalu peti masuk mesej di buka.

            ‘Haiqarl dah sampai. Tengah tunggu abang kat rumah.’

            Pendek dan ringkas mesej dari Zaliya namun cukup membuatkan Ridza tersentak.

            “Haiqarl kat rumah aku. Tapi dia kata nak jumpa aku kat Changlun.”Bisik Ridza sendiri.

            Dia kemudiannya mendail nombor Haiqarl.

            “Kau dah sampai?” Soal Ridza sejurus panggilannya bersambut.

            “Dah; kau kat mana ni? Dah lama aku tunggu. Kau nak order dulu tak?. Aku tolong orderkan.” Balas Haiqarl.

            “Tak. Kau tunggu. Aku dah nak sampai.” Balas Ridza lalu cepat-cepat mematikan talian.

            “Celaka! Kau nak main api dengan aku Qarl.” Kata Ridza geram. Tahu yang Haiqarl sebenarnya menipunya.

            Tanpa berfikir panjang dia terus pusing stereng kereta semula. Apa maksud mesej Zaliya tadi. Hatinya sudah terdetik sesuatu. Ridza pecutkan keretanya kembali ke rumah tumpangan. Berharap dia sempat sampai sebelum berlaku apa-apa pada Zaliya. Bukan dia tidak tahu renungan Haiqarl kepada Zaliya. Renungan yang tersembunyi makna yang dalam!.

 

Terkejut Zaliya saat dia tersedar Haiqarl berdiri di belakangnya tiba-tiba.

            “Ridz dah sampai?” Soal Zaliya gugup. Entah kenapa dia tidak senang dengan panahan mata Haiqarl.

            “Erm…mungkin lambat sikit kot.” Jawab Haiqarl selamba. Dia kemudiannya mengambil tempat di kerusi di dapur basah itu. Memerhatikan Zaliya yang kelihatan sedikit resah dengan kehadirannya.

            “Saya rasa elok Haiqarl tunggu Ridz kat luar. Sekejap lagi mungkin dia sampai.” Balas Zaliya. Suaranya itu sudah mula kedengaran gugup. Haiqarl masih merenungnya tajam.

            “Saya nak tunggu sini. Nak tengok Zaliya.” Balasnya dalam senyum penuh makna.

            Sementara Zaliya sudah semakin resah. Antara rasa takut dan bimbang. Tidak tahu mana yang mendominasi. Yang pasti kedua-duanya membuatkan jantungnya berdegup kian pantas. Zaliya letakkan air yang sudah siap dibancuhkan ke atas meja di situ. dia sudah mula tidak sedap hati. Andai masih berada di situ dia takut melihat renungan tajam Haiqarl. Lalu dia putuskan untuk mengunci dirinya dalam bilik sehingga Ridza pulang.

            “Haiqarl jemputla minum. Saya naik ke atas dulu. Rasanya sekejap lagi Ridza sampai la.” Kata Zaliya dengan suara yang semakin gugup. Dia berjalan laju menuju ke ruang tengah; namun belum sempat dia melangkah jauh; terasa tangannya diraih oleh Haiqarl dari belakang.

            Zaliya cuak. Janganlah Haiqarl buat sesuatu yang buruk padanya. Bisiknya sendiri.

            “Ada apa-apa lagi?” Soal Zaliya sambil memandang Haiqarl yang sudah tersenyum penuh makna. Tubuhnya itu sudah menggigil-gigil menahan rasa takut.

            “Ada…..” Balasnya.

            “Saya nak ‘bersama’ dengan Zaliya.” Sambungnya lagi. Sengaja dia tekankan perkataan bersama itu. Menghantar maksud supaya Zaliya faham dengan keinginannya yang satu itu.

            Zaliya yang terkejut sudah tergamam.

            “Haiqarl cakap apa ni?.” Soal Zaliya takut-takut.

            “Zaliya dah jadi isteri orang pun. Takkan masih tak faham maksud saya. Saya janji akan rahsiakan hal ni dari Ridz. Dia takkan tahu.” Kata Haiqarl lagi seraya menarik Zaliya ke dalam pelukannya.

            Zaliya pantas menolak Haiqarl menjauh.

            “Awak ni gila!.” Lantang nada Zaliya. Tidak rela lelaki itu memeluknya. Di mana Ridza saat dia perlukan lelaki itu. Tiba-tiba dia rasa bimbang. Mungkinkah Ridza tidak membaca mesejnya kerana banyak panggilan yang dibuat kepada lelaki itu tidak bersambut.

            “Saya gilakan Liya.” Kata Haiqarl tidak bersalah. Dia semakin mendekat bila Zaliya mengundurkan tubuh.

            “Saya tak nak paksa Liya tapi kalau Liya menolak saya; bermakna Liya memang nak saya gunakan  cara kasar.” Sambungnya lagi.

            Zaliya sudah mulai menangis. Dia semakin takut dengan kesungguhan Haiqarl. Kalau Ridza tidak cepat sampai dia akan menjadi mangsa lelaki hilang akal dihadapannya itu.

            “Haiqarl; awak jangan buat kerja gila. Saya ni isteri Ridz; kawan awak.” Kata Zaliya mengingatkan.

            Haiqarl hanya ketawa kuat mendengarkan kata-kata Zaliya.

            “Kalau kawan; tentu dia tak kisah berkongsi isteri.” Balasnya selamba. Dia kemudiannya mula mengejar Zaliya.

            Zaliya capai apa sahaja barangan yang tergapai tangannya lalu dibaling ke arah Haiqarl yang sudah hilang akal waras itu. Namun setiap balingan hanya tersasar dan lelaki itu hanya ketawa kuat melihat ketakutan diwajahnya.

            Zaliya berlari saat Haiqarl mula mendekat dengan wajah sinisnya. Pada saat itu juga dia tersadung meja lalu jatuh. Haiqarl yang menyaksikan kesempatan itu lantas pergi mendapatkan Zaliya yang sudah terjatuh. Haiqarl kemudiannya duduk bertinggung memandang Zaliya yang sudah terkepung dengan meja dan tubuhnya. Tanpa menangguh masa; dia tarik kaki Zaliya supaya mendekat. Zaliya yang ketakutan hanya mampu berdoa. Sejurus tubuhnya berada hampir dengan Haiqarl yang tajam memandangnya. Dia cuba menolak tubuh lelaki itu namun pantas sahaja lelaki itu menangkap tangannya. Tindakan Haiqarl membuatkan Zaliya tambah meronta.

            Namun ternyata tenaga Haiqarl bukan tandingan Zaliya. Baju Zaliya ditarik sehingga terkoyak di bahagian depan dan mendedahkan bahagian dadanya. Zaliya yang malu pantas menutup tangannya ke dada. Sementara Haiqarl hanya tersenyum sinis. ‘

            “Maaf Ridz; aku terpaksa.” Bisiknya perlahan tatkala teringatkan Ridza yang sudah tertipu dengan ajakannya untuk berjumpa di Changlun.

            Zaliya yang ketakutan mula terfikirkan sesuatu. Keadaan Haiqarl yang masih bertinggung membuatkan dia mendapat satu idea. Dia pantas mengangkat kakinya lalu menendang di celah kelangkang Haiqarl sehingga menyebabkan lelaki itu mengerang kesakitan. Dan pada kesempatan itu juga Zaliya bingkas bangun dan berlari ke pintu hadapan yang tertutup rapat. Dalam ketar; tangannya berusaha membuka kunci. Dan dalam masa yang sama matanya menjeling ke arah Haiqarl yang masih mengerang kesakitan. Sejurus pintu terbuka luas; Zaliya terus berlari keluar. Dia berlari sambil kepalanya di toleh ke belakang. Memerhatikan ke dalam rumah kerana bimbang Haiqarl mengejarnya. Belumpun jauh berlari; tiba-tiba tubuhnya terlanggar seseorang. Zaliya angkat wajahnya saat terasa ada tangan yang memeluknya tiba-tiba. Sejurus matanya terpandang wajah Ridza; Zaliya menangis teresak-esak.

            “Abang..” Kata Zaliya seraya memeluk erat tubuh Ridza. Kepalanya disembamkan ke dada lelaki itu. Rasa takutnya tiba-tiba hilang dengan kehadiran Ridza. Dia rasa selamat saat terlihat wajah lelaki itu;saat terasa panasnya lengan Ridza yang melingkar dibahunya.

            Ridza yang dibakar dengan rasa marah hanya memerhatikan keadaan Zaliya yang sudah tidak sempurna. Pakaian Zaliya yang terkoyak benar-benar membuatkan hatinya hangat. Haiqarl memang sudah menjolok sarang tabuan!. Ridza memeluk Zaliya dengan tangan kirinya sementara tangannya kanannya dikepal kemas. Terasa tidak sabar mahu melampiaskan marahnya pada Haiqarl. Terasa tidak sabar mahu membelasah lembik lelaki yang berani mengusik harta miliknya!

            Ridza membawa Zaliya masuk. Zaliya yang masih menyembamkan wajah ke dada Ridza hanya menurut langkah lelaki itu. Terasa takut untuk mengangkat wajahnya dan memandang Haiqarl. Entah kenapa dia rasa selamat begitu. Rasa selamat tatkala Ridza mendakapnya begitu. Terasa selamat berada dalam pelukan lelaki itu.

            “Liya naik atas dulu. Kunci pintu.” Arah Ridza sejurus sampai di birai tangga. Tangannya dilerai dari memeluk Zaliya. Matanya tepat memanah Haiqarl yang sudah berdiri dalam keadaan serba salah. Atau lebih tepat lagi ketakutan.

            Zaliya berlari naik ke atas tanpa menoleh ke belakang.

            “Kenapa kau tipu aku?” Soal Ridza keras. Dia mara ke arah Haiqarl yang sudah menikus.

            “A…a..aku cu..cuma nak suprisekan kau…” Jawab Haiqarl tergagap-gagap.

            “Surprise kepala hotak kau!; kenapa tak cakap yang kau nak kacau bini aku!.” Jerkah Ridza. Hilang sabar dengan asalan tidak masuk akal Haiqarl.

            “Ma..ma..af kan aku…a..a..ku…janji tak u..u..ulangi lagi.” Sambung Haiqarl takut-takut.

            “Orang kata terlajak perahu boleh diundur; terlajak perbuatan buruk padahnya.” Sinis tutur Ridza. Dia berdiri di hadapan Haiqarl yang sudah menggigil tubuh.

            “Kau tahu takut dengan aku tapi tak takut kacau bini aku.” Sambung Ridza setelah dia lihat Haiqarl sudah menggigil-gigil takut. Kolar baju Haiqarl dicekak kasar. Sementara Haiqarl sudah terdiam ketakutan.

            “Aku ingat kau ni kawan.” Kata Ridza seraya menumbuk muka Haiqarl sekali.

            “Tapi kalau kawan; takkan sanggup nak khianati kepercayaan.” Sambungnya seraya menumbuk wajah Haiqarl kali kedua. Kali ini tumbukan Ridza menyebabkan bibir Haiqarl pecah dan hidungnya berdarah. Manakala Haiqarl pula sudah kaku; tidak berani mahu melawan. Andai melawan dia tahu Ridza akan lebih teruk mengasarinya.

            “Kau tahu aku paling benci orang yang aku tak boleh percaya.” Ujar Ridza seraya menolak tubuh Haiqarl ke lantai.

            “Tambah benci lagi dengan pengecut macam kau…” Sambung Ridza sambil menghayunkan penyepaknya ke tubuh Haiqarl bertubi-tubi.

            “Dan yang paling aku marah…kau tipu aku supaya kau boleh dapat bini aku!.” Keras nada Ridza seraya menyepak perut Haiqarl berkali-kali sehingga dia puas.

            Ridza berhenti setelah dia lihat Haiqarl sudah lesu terbaring. Jika diikutkan hatinya yang panas itu; dia masih belum mahu berhenti namun memikirkan keadaan Haiqarl yang sudah lembik begitu menyebabkan dia berhenti.

            “Lain kali kau buat lagi macam ni. Aku ajar lagi teruk!.” Keras amaran Ridza seraya menarik kasar tangan Haiqarl. Tubuh lembik itu di heret sehingga ke depan pintu lalu di campak ke tanah.

            “Berambus kau sebelum aku bertambah hilang akal!.” Kata Ridza seraya masuk ke dalam rumah semula. Dia mula menapak ke atas untuk memeriksa keadaan Zaliya. Dia tahu Zaliya masih terkejut. Nasib baik hatinya terbuka membaca kiriman mesej Zaliya. Jika tidak entah bagaimana nasib isterinya itu. Sudah menjadi mangsa Haiqarl barangkali.

            “Liya..” Tegur Ridza sejurus masuk. Zaliya dilihatnya berbaring mengiring membelakanginya.

            “Abang…” Zaliya bingkas bangun dari baringnya lalu memeluk tubuh Ridza yang sudah basah dengan peluh.

            “Syhhh…Abang dah belasah dia.” Pujuk Ridza apabila Zaliya kembali menangis. Dia tahu Zaliya takut dengan apa yang baru berlaku. Pantas tubuh Zaliya dipeluk erat. Terasa kesal kerana tidak melayani panggilan telefon Zaliya. Andai dia tahu Haiqarl sudah lebih dahulu merencana perkara itu tentu sahaja dia akan memberi amaran lebih awal kepada Zaliya. Sekurang-kurangnya Zaliya tidak perlu berhadapan dengan sikap gila Haiqarl.

            “Abang janji lepas ni dia takkan berani buat lagi. Dan abang minta maaf sebab tak jawab panggilan Liya. “ sambung Ridza seraya merangkul tubuh Zaliya dan mengucup kepala isterinya itu. Lain kali akan dia pastikan tiada yang buruk lagi berlaku pada isterinya itu.
p/s-harap semua suka :)

Wednesday, 2 January 2013

SAAT HADIRNYA CINTA-BAB 5

n3 lambat sikit sbb cik tulip kesibukan krn awal persekolahan,hihi...jom ikuti sambungannya..harap semua suka n3 kali ni... :)

BAB 5

Ridza duduk termenung di beranda rumah sambil memerhatikan hadapan yang hanya kelihatan pokok pisang  yang beratur panjang. Memikirkan sikap Zaliya yang masih belum berubah. Keras benar hati perempuan itu, dengusnya perlahan. Sudah puas dipujuk rayu namun masih keras hati seperti biasa. Kesabaran Ridza juga sudah semakin nipis. Dia tidak betah terus-terusan melayani karenah Zaliya yang keras hati begitu. Dia pun bukannya penyabar sangat, namun memikirkan yang dia terlanjur mengasari Zaliya pada malam sebelumnya, dia rasa terpanggil pula untuk berlembut dengan Zaliya. Namun apabila Zaliya masih bereaksi dingin dengannya, dia sudah kehilangan ikhtiar. Keengganan Zaliya mendengar penjelasannya menyebabkan hatinya turut beku. Zaliya yang memulakan permainan ini, dan dia akan mengikut rentak wanita itu. Biar Zaliya yang sakit kerana cuba bermain api dengannya!. Tidak cukup lagikah dengan kesanggupannya menyelamatkan Zaliya dari mulut Zamri. Zaliya dilihatnya seperti tidak mengenang jasa sahaja. Dan perempuan seperti itu, selayaknya dilayan acuh tak acuh sahaja. Bentak Ridza dalam hati.

            Ridza bingkas bangun dari duduknya di kerusi kayu yang berukir cantik. Memikirkan hal Zaliya hanya akan menambah sesakkan kepalanya. Andai Zaliya masih mahu meneruskan sikap dinginnya, dia juga akan membalas perkara yang sama. Tiada guna dia pula yang merendahkan egonya tetapi Zaliya masih mahu keras hati dengannya.

            Ridza hayunkan kakinya menuju ke dalam rumah semula untuk mengambil kunci. Daripada duduk terperuk dan tidak berbuat apa-apa di rumah, lebih baik dia mencari hiburan di luar. Kebetulan sahabat seuniversiti dengannya dahulu ada yang menetap di Kedah. Baik juga jika mereka boleh berjumpa setelah lama terpisah. Bertemu pun hanya sekali sekala bila sahabatnya itu datang ke tempatnya. Sekurang-kurangnya masanya boleh di isi dengan pertemuan itu nanti.

            Ridza keluarkan telefon bimbitnya dari poket jeans. Nombor Haiqarl di cari lalu di dail. Sejurus bersambut panggilannya itu, Ridza tersenyum dan memulakan bicara.

 

Zaliya hanya memerhatikan kereta Ridza menghilang dari ruang halaman rumah tumpangan itu. Entah kenapa, hatinya itu tiba-tiba resah. Mungkinkah Ridza marah dengan sikapnya yang dingin?. Bukan lelaki itu tidak cuba mendekatinya dan melembutkan bicara supaya dia mendengar penjelasan lelaki itu cuma dia sahaja yang enggan mendengar penjelasan Ridza. Hatinya itu masih sakit dengan penipuan Ridza, masih tidak boleh menerima hakikatnya yang dia menjadi isteri kedua lelaki itu. Andai Ridza berterus terang sebelum semuanya terjadi, mungkin dia tidak akan semarah itu. Atau mungkin sahaja dia tidak akan bersetuju terus dengan cadangan Ridza, desisnya sendiri.

            Zaliya mengeluh perlahan, buntunya dia dengan tindakan selanjutnya. Haruskah dia mendengar penjelasan Ridza atau terus menerus memarahi lelaki itu? Apa yang akan berlaku padanya kelak, andai dia masih bersikap begitu. Pasti sahaja hubungannya dengan Ridza tidak ke mana-mana. Dan pasti juga masalahnya itu tidak akan selesai kerana dia enggan mendengar penjelasan lelaki yang sudah menjadi suaminya itu.

            Zaliya masuk kembali ke dalam bilik. Dia harus membuat keputusan. Kalau berterusan seperti itu, masalahnya tidak mungkin akan selesai. Duduknya dilabuhkan ke birai katil. Menimbang tara apa tindakan yang akan diambil kemudian. Setelah berfikir sejenak, Zaliya tekadkan keputusannya. Dia tidak boleh terus membatu diri begitu dan berterusan memarahi Ridza. Dia harus mendengar penjelasan dari pihak Ridza. Tentang letak duduk perkara sebenar. Mengapa lelaki itu tidak berterus terang yang dia sudah punyai isteri.

            Zaliya bingkas mengambil telefon bimbitnya yang diletak di penjuru katil, pantas nombor Ridza didail. Dia tidak mahu menangguh waktu kerana dia pasti dengan keputusan yang bakal diambil itu. Sejurus talian masuk, Zaliya bersedia. Bersedia untuk memaklumkan kepada Ridza yang dia mahu mendengar penjelasan lelaki itu.

            “Hello.” Sapa Zaliya sebelum sempat Ridza menjawab. Terlupa sebentar untuk memberi salam terlebih dahulu dek kerana terlalu ingin memberitahu tujuan dia memanggil lelaki itu.

            “Nak apa?” Soal Ridza acuh tak acuh. Seolah-olah sudah tawar hati mahu mendengar suara Zaliya.

            “Liya nak jumpa dengan abang.” Katanya lembut. Kalau sebelum ini dia tegar menggunakan aku-engkau, kini dia mengubah kata ganti nama itu. Mahu mewujudkan suasana baik antara dirinya dan Ridza.

            Ridza hanya diam tidak menjawab. Zaliya yang sedang menanti pula yang terasa resah.

            “Abang.” Seru Zaliya apabila Ridza masih diam tidak membalas kata-katanya.

            “Abang sibuk, nanti kita cakap lagi.” Balas Ridza tidak berminat. Entah kenapa hatinya itu tawar untuk melayani Zaliya selepas Zaliya menolak bulat-bulat rayuannya untuk berterus terang.

            “Abang, Liya dah sedia dengar penjelasan abang.” Kata Zaliya kemudiannya.

            Ridza diam tidak menjawab. Dia hanya tersenyum sinis dari hujung talian. Masa aku beria-ia nak cerita dia tak nak dengar, bila aku dah tawar hati pandai pula nak .meminta. Detiknya dalam hati.

            “Abang.” Seru Zaliya untuk kali yang kedua bila kata-katanya masih tidak bersambut.

            “Abang ada hal. Nanti bincang kemudian.” Ujar Ridza seraya mematikan talian. Seketika kemudian, dia merengus perlahan.

            ‘kau yang nak main macam ni. Aku ikut je.’ Katanya perlahan seraya terus memandu laju menuju ke arah tujuannya.

            Sementara Zaliya sudah terduduk di birai katil. Kenapa Ridza seolah-olah dingin dengannya? Kenapa lelaki itu seolah-olah tidak berminat dengan kata-katanya? Atau dia sudah terlebih mendesak Ridza sehingga lelaki itu tidak mahu melayaninya lagi. Perkara itu tidak mustahil memandangkan beberapa rayuan lelaki itu yang dia tolak mentah-mentah. Mungkin Ridza sudah tawar hati mahu berbicara dengannya. Memikirkan perkara itu membuatkan Zaliya sedikit kesal. Marahkah Ridza?

 

Hidangan beberapa jenis lauk di atas meja makan itu membuatkan Zaliya tersenyum manis. Setelah berhempas pulas tiga jam di dapur, itulah hasilnya. Setelah kata-katanya tadi disambut dingin oleh Ridza siang tadi, dia tahu dia harus mencuba cara yang lain. Dan dia terfikirkan idea untuk memasak untuk lelaki itu pula, memandangkan Ridza banyak membeli barangan basah untuk keperluan mereka selama dua minggu itu. Zaliya bergegas naik ke bilik semula untuk menunaikan solat magrib. Dia tahu dia harus menunggu Ridza balik supaya mereka boleh makan bersama-sama. Entah kenapa, dia rasa tidak sabar pula ingin melayan Ridza. Mungkin kerana dia sedar akan ketelanjurannya bersikap tidak wajar kepada Ridza sepanjang mereka berkahwin.

            Zaliya sangkutkan telekungnya di penyidai usai sembahyang. Kakinya diatur laju menuju ke ruang makan semula. Dia mahu segera menghidang. Dia mahu menyambut Ridza ketika lelaki itu pulang. Mungkin dengan cara itu, Ridza akan lembut hati jika lelaki itu marah padanya. Jika tidak dimulakan dari situ, bila lagi dia mahu bersemuka dengan Ridza untuk mengetahui cerita yang sebenarnya.

            Zaliya terkejut apabila pintu rumah tumpangan dua tingkat itu terbuka dari luar. Dia kemudiannya melihat Ridza yang seakan-akan keletihan masuk ke perkarangan rumah. Wajah Ridza yang serius direnung dari meja makan.

            “Abang, Liya ada masak malam ni.” Tegur Zaliya seraya menanti jawapan Ridza. Besar harapannya Ridza akan menjawab kata-katanya.

            “Abang dah makan.” Ringkas dan pendek jawapan Ridza seraya kakinya melangkah laju menuju ke bilik.

            Hampa. Itulah yang Zaliya rasakan saat itu. Kenapa Ridza seolah-olah bereaksi dingin dengannya? Sudah tertutupkah pintu hati lelaki itu untuk berkata-kata dengannya?. Zaliya hanya mampu mengeluh dan mengemas semula hidangan yang tersedia di atas meja. Seleranya juga hilang lantaran reaksi dingin Ridza terhadapnya tadi. Bagaimana kalau Ridza memang benar-benar tawar hati untuk berbicara dengannya? Zaliya buntu seketika.

 

Zaliya tersentak apabila Ridza tiba-tiba keluar dari bilik tidur itu tanpa sebarang kata. Lelaki itu semakin dingin dengannya. Tidak lagi cuba mencetuskan bicara antara mereka sedangkan dia sangat-sangat mahu berbicara dengan lelaki itu. Bagaimana lagi dia mahu mengajak Ridza bersuara andai Ridza lansung tidak memandang wajahnya?

            Zaliya bungkam seketika. Dia mula memikirkan langkah seterusnya. Bagaimana untuk dia menarik perhatian Ridza supaya lelaki itu tidak marahkan dirinya lagi. Tiba-tiba Zaliya teringatkan gaun tidur yang dibelikan oleh Ridza kepadanya. Serta merta mindanya itu berputar laju. Seketika kemudian Zaliya tersenyum manis. Matlamat menghalalkan cara, detiknya dalam hati. Dia pantas melangkah menuju ke almari pakaian. Sejurus pintu almari dibuka, sekali lagi Zaliya tersenyum.

            “Apa saja akan aku lakukan, asalkan dia bagi perhatian kat aku.” Kata Zaliya perlahan seraya melurutkan pakaiannya dan mengenakan pula gaun tidur nipis itu ke tubuhnya. Sebentar kemudian dia maju ke meja solek untuk melihat penampilannya. Sejurus terbias imejnya dicermin, Zaliya tiba-tiba berasa serba salah pula.

            “Seksinya, takkan la sampai macam ni aku kena buat.” Kata Zaliya sendiri. Terasa malu sendiri lantaran baju tidur yang terlalu seksi itu.

            “Tak malu betul dia belikan aku baju macam ni. Gatal.” Rungutnya sendiri.

            Leka melayani fikirannya sendiri, tiba-tiba pintu bilik tidur itu terkuak luas. Zaliya berdebar-debar tiba-tiba. Kalau tadi dia nekad, kini dia tidak pasti pula. Namun untuk berpatah balik dia tahu mustahil. Baju tidur seksi itu sudah tersarung kemas di tubuhnya. Ridza pula sudah menapak masuk walaupun lelaki itu jelas masih belum menyedari ‘keadaannya’ itu.

            Zaliya seolah-olah mendapat kekuatan baru. Dia harus nekad, jika tidak masakan dia boleh menemukan penyelesaian kepada permasalahnya dengan Ridza. Sejurus itu Zaliya ukirkan senyum manis. Dia akan menggoda Ridza!.

            Ridza rebahkan tubuhnya ke tilam tanpa menyedari ‘keadaan’ Zaliya yang diluar jangkaan. Rasa tawar hati yang bergayut dihati menyebabkan dia malas mahu berbaik-baik dengan Zaliya. Apa guna merayu jika Zaliya akhirnya akan menolaknya. Dia juga punyai ego, hatinya itu juga tahu serik. Dia juga bukan manusia yang mampu terus-terusan mengawal sabar kerana dia memang tidak mahir mengawal marahnya. Kerana Zaliya dia sanggup sejukkan hatinya yang panas. Kerana Zaliya dia rendahkan ego lelakinya. Kerana Zaliya juga dia betah merayu-rayu. Sedangkan itu bukanlah sikapnya. Dia tidak pernah merayu pada orang, pada perempuan khususnya!. Disebabkan itu hatinya itu sudah tawar untuk berbaik dengan Zaliya.

            Melihatkan Ridza yang serius dan meletakkan tangan kirinya ke dahi, gaya mahu melelapkan mata menyebabkan Zaliya cepat melancarkan rancangannya pula. Dia tidak mahu terlepas peluang selepas dia sudah terlanjur berani malam itu!.

            “Abang.” Tegur Zaliya sejurus menghampiri sekujur tubuh Ridza. Malu yang menebal itu ditepis supaya keberanian sahaja yang wujud kala itu.

            Ridza yang baru berkira-kira mahu melelapkan mata terus bukakan matanya sejurus Zaliya menegur. Pandangannya di talakan ke arah Zaliya. Hampir terkeluar jantungnya tatkala tubuh Zaliya dijamah matanya. Benarkah yang berdiri di hadapannya itu Zaliya?. Zaliya yang berdiri dengan pandangan menggoda!. Degupan jantung Ridza berdetak laju. Ligat kepalanya berfikir. Bagaimana untuk dia bereaksi atas keberanian Zaliya itu? Untuk menyerah pada godaan itu, terasa egonya tinggi melangit lantaran dia sudah ‘tawarkan’ hatinya untuk berbaik dengan Zaliya.

            “Abang nak tidur.” Jawab Ridza tenang dan bersahaja. Dikawal riak wajahnya yang sudah terkejut sebaik-baiknya. Dia tidak akan tersungkur dengan godaan Zaliya. Baginya Zaliya yang memulakan ‘perang dingin’ antara mereka. Dan dia hanya mengikut rentak wanita itu sahaja.  Matanya dipejam semula.

            Zaliya tersentak. Ini tak boleh jadi, detiknya dalam hati. Dia tahu dia harus ‘lebih’ menggoda lelaki itu. Kalau hanya dengan cara melihat lelaki itu tidak terliur, maka dia akan goda dengan perbuatan pula!.

            Zaliya labuhkan punggungnya ke atas tilam. Betul-betul di sebelah tubuh Ridza yang berbaring.

            “Abanggg..” Kata Zaliya meleret dalam lenggok manja. Jarinya dimain-mainkan di dada bidang Ridza yang terlindung di sebalik baju t-shirt nipis. Namun hanya beberapa ketika. Tiba-tiba sahaja tangan Ridza menangkap jari jemarinya dari terus mengelus dada itu.

            “Abang nak tidur.” Kata Ridza dengan mata yang masih terpejam dan tangan kiri yang masih elok terletak di dahinya. Jari jemari Zaliya dilepas kasar.

            “Tolong jangan kacau abang.” Sambung lelaki itu.

            Zaliya terkejut seketika. Benarkah Ridza baru menolaknya? Sungguh dia malu!. Zaliya bawa pandangan matanya ke bahagian tubuh yang terdedah. Tidak menyangka keberaniannya itu tidak mendapat balasan. Tiba-tiba dia kesal dengan apa yang cuba dia lakukan. Andai dia tahu dia akan dimalukan dan dihina begitu, pasti dia tidak akan buat semua itu!.

            Walau sudah dimalukan begitu oleh Ridza, Zaliya masih duduk termanggu di situ. Tidak tahu harus berbuat apa. Rasa malu dan buntu menjadi satu sehingga dia tidak mampu berfikir akan langkah seterusnya.

            Tiba-tiba telefon bimbit Ridza berbunyi kuat. Zaliya hanya memerhatikan tubuh Ridza yang bangun dari perbaringan dan meraih telefonnya di meja sisi katil. Lelaki itu lansung tidak mengendahkan kehadirannya di situ. Terus sahaja manjawab telefon tanpa menjeling sekilas pun ka arahnya.

            “Zirah.” Terlantun nama itu di bibir Ridza. Dijeling sekilas Zaliya yang duduk di birai katil. Seketika kemudian, dia melangkah laju ke arah balkoni. Membuka pintu gelansar lutsinar itu seraya keluar lalu menutupnya kembali. Sempat mata Zaliya dan Ridza bertaut seketika namun Ridza yang melarikan anak matanya terlebih dahulu. Seolah-olah tidak berminat untuk memandang Zaliya lama-lama.

            Zaliya terkedu seketika. Nazirah? Entah kenapa dia tidak suka pula dengan sebaris nama itu.

 

“Zirah nak apa?” Soal Ridza tidak berminat. Sudahlah jantungnya itu berdegup kencang lantaran ‘keberanian’ Zaliya. Kini Nazirah pula cuba menganggunya, menaikkan darahnya. Membuatkan jantungnya itu bertambah tidak stabil degupnya.

            “Erm…abang buat apa?, dengar kata abang tengah berbulan madu?.” Soal Nazirah dengan nada manja.

            “Straight to the point please…Zirah nak apa sebenarnya?” Soal Ridza tidak berminat. Sekilas dijeling Zaliya yang masih beku di birai katil. Wanita itu turut memandangnya kusyuk.

            “Erm, sorryla kalau Zirah ganggu bulan madu abang. Zirah cuma perlukan duit. Duit yang abang bagi awal bulan hari tu tak cukup. Maklumlah Firdaus dah makin besar. Keperluan dia pun dah makin bertambah.” Sambut Nazirah bersahaja.

            “Kalau macam ni abang rasa elok kita bercerai segera. Abang dah bosan ikut rentak Zirah. Terlanjur Zirah dah ada di Malaysia. Abang rasa elok kita berjumpa. Bincang elok-elok. Lagipun elok kalau abang dan Firdaus boleh berjumpa.” Balas Ridza serius.

            “Apa?. Cerai?. Abang tak kasihan ke pada Firdaus?. Sampai hati abang.” Ujar Nazirah dalam nada sayu yang dibuat-buat.

            “Sampai bila Zirah nak macam ni? Sepatutnya hal kita dah boleh selesai lama dulu. Tapi Zirah gunakan Firdaus untuk halang kita dari bercerai. Tapi dalam masa yang sama Zirah tak boleh nak setia pada abang. Abang tak nak jadi lelaki dayus. Simpan isteri nusyuz!.” Keras nada Ridza membalas kata-kata Nazirah.

            Nazirah ketawa kecil mendengar kata-kata Ridza yang berbaur marah.

            “Kalau abang ceraikan Zirah, maknanya sampai bila-bilapun abang takkan jumpa dengan anak abang.” Sambung Nazirah dalam tawa yang masih bersisa.

            Ridza merengus marah. Kalau tidak difikirkan tentang anak lelakinya yang masih belum pernah dia lihat. Sudah pasti lama dulu dia menceraikan Nazirah. Namun dia tidak berupaya menceraikan isterinya itu. Semenjak Nazirah lari ke luar negara, wanita itu memaklumkan tentang kandungannya. Lantaran itu Ridza terpaksa menunggu sehingga Nazirah melahirkan anak itu dengan harapan isterinya itu akan insaf dan kembali kepadanya. Namun Nazirah berdegil tidak mahu pulang dan ingin menetap di luar negara. Wanita itu siap mengugutnya supaya tidak diceraikan, jika diceraikan bermakna Ridza tidak akan bertemu dengan anak lelaki mereka sampai ke akhir hayat!

            “Abang nak jumpa Firdaus. Zirah tak boleh nak halang abang. Firdaus anak abang juga!” Tegas Ridza dalam nada meninggi.

            Sekali lagi Nazirah ketawa kecil.

            “Kalau nak jumpa, kita tak boleh bercerai.” Kata Nazirah selamba seraya menamatkan talian.

            Ridza merengus geram. Sungguh dia marah dengan Nazirah. Dia masuk semula ke dalam bilik. Seketika kemudian, telefonnya berbunyi lagi.

            “Sebelum Zirah terlupa…..enjoy bulan madu abang. Tapi jangan pulak sampai bayangkan Zirah yang bersama abang. Maklumlah madu Zirah tu seiras dengan Zirah.” Sambung Nazirah dalam tawa galak seraya menamatkan talian.

            Ridza yang panas hati terus membaling telefon bimbitnya ke dinding. Pecah berderai.

            Zaliya yang terkejut memandang cepat ke arah Ridza. Wajah bengis lelaki itu cukup menggerunkan namun diberanikan jua bibirnya menegur.

            “Abang….”

            “Diam!.” Ridza memotong sebelum Zaliya sempat berkata-kata. Dia kemudiannya berlalu keluar bilik dan meninggalkan Zaliya yang terpinga-pinga dalam rasa malu dan rasa cuak yang menggunung.

 

Nazirah memandang ke arah Firdaus yang sedang leka bermain helikopter mainan. Anak kecil yang baru belajar bertatih itu hanya duduk bermain dalam leka. Tatkala mata Nazirah bertembung pandang dengan mata biru milik anak kecil itu, Nazirah tersenyum. Firdaus sudah menjangkau usia setahun. Dan selama ini dia menyara kehidupan bersama anak itu menggunakan wang pemberian Ridza. Alan yang tidak serius selalu sahaja meninggalkannya. Disebabkan itu dia kembali ke Malaysia. Mahu mencari Ridza. Mahu kembali ke pangkuan lelaki itu namun dia dapat tahu lelaki itu sudah beristeri lain pula dan dia sedar andai Ridza bertemu dengan anaknya itu sudah pasti rahsianya terbongkar. Firdaus bukan anak Ridza, tetapi anak hasil hubungan terlarangnya dengan Alan!.

 

“So, sampai bila kau kat sini?” Soal Haiqarl sambil membetulkan duduknya di kerusi kayu beranda rumah tumpangan itu.

            “Hujung minggu depan.” Jawab Ridza pendek.

            “Macam mana, best kahwin?” soal Haiqarl mengusik walhal dia tahu itu bukan kali pertama Ridza berkahwin.

            “Kahwin dua, mestilah best.” Sambut Ridza dalam ketawa kecil. Sambut berseloroh.

            Pecah ketawa Haiqarl.

            “Kalau macam tu, aku pun kena kahwin cepat.” Tutur Haiqarl kemudiannya.

            “Apa yang kau tangguh-tangguh. Kalau dah ada calon, redah je la. Rugi kahwin lambat, asyik usung anak dara orang ke sana sini, bukan boleh bawak faedah pun, tambah dosa lagi ada.” Ujar Ridza lagi. Teringat sikap Haiqarl yang sedikit liar bila berkaitan tentang hal perempuan. Dia tahu Haiqarl memang kaki perempuan. Entah dah berapa ramai perempuan yang tersungkur di kakinya. Dengan wajah kacak dan kerjaya bagus, Haiqarl selalu mendahului dalam bab memenangi hati wanita malah sahabatnya itu terlalu bebas pergaulannya. Pernah ditangkap khalwat!.

            “Tengok kau bahagia macam ni, aku pun kena carik dua calon nampaknya.” Sambung Haiqarl lagi.

            “Empat terus pun okey je.” Balas Ridza berseloroh.

            Perbualan yang rancak itu terhenti seketika. Zaliya datang membawa sedulang air lalu meletakkan di atas meja ditengah-tengah ruang itu. Zaliya kemudiaannya berlalu ke dalam semula dan membawa keluar sepiring goreng pisang yang masih panas. Haiqarl menjeling ke arah Zaliya. Lama.

            Sejurus menuang air ke dalam cawan, Zaliya palingkan wajah ke arah Haiqarl.

            “Minum.” Zaliya mempelawa.

            Haiqarl tidak membalas pelawaan itu. sebaliknya matanya memanah tepat ke wajah Zaliya. Satu pandangan yang meresahkan Zaliya seketika. Pandangan yang sukar dimengertikan maksudnya oleh Zaliya. Pandangan yang menakutkan sebenarnya!.

            “Minum Qarl.” Teguran Ridza menyedarkan renungan Haiqarl. Pantas dia mengangguk ke arah Ridza.

            “Bila kau masuk kerja semula.” Soal Haiqarl gugup setelah tertangkap dengan renungan tadi.

            “Aku cuti dua minggu je. Lepas tu masuk kerja semula.” Balas Ridza bersahaja. Dia menyandar tubuhnya ke kerusi. Tenang lagaknya. Seolah-olah renungan Haiqarl tadi tidak membawa apa-apa makna.

            “Ridz, aku rasa aku nak balik dulula. Tiba-tiba teringat yang aku terpaksa pergi Baling malam ni.” Kata Haiqarl  tiba-tiba sejurus menghabiskan saki baki air dalam cawan. Gugup sedikit.

            Ridza hanya mengangguk perlahan. Cawan di tangan di letak semula ke dalam dulang. Dia bangun selepas Haiqarl tergesa-gesa bangun dari duduk.

            “Aku balik dulu.” Kata Haiqarl resah.

            “Okey, nanti jumpa lagi.” Kata Ridza seraya menghulurkan tangannya untuk bersalam.

            “Okey.” Balas Haiqarl lalu menyambut huluran tangan itu.

            Dingin dan sejuk tangan Haiqarl saat bersentuhan dengan tangan Ridza. Kelibat Haiqarl yang tergopoh-gopoh masuk ke dalam kereta hanya dilihat bersahaja. Haiqarl, bukan lelaki baik namun bukan juga lelaki jahat. Namun dia tetap tidak mempercayai sahabatnya itu. Sahabatnya memang ramai tapi tak ramai yang berupaya meraih kepercayaannya, bisik Ridza sendiri.
p/s-harap smua suka :)