Monday, 30 January 2012

Novel bersiri-Aku Untukmu-Bab 1


BAB 1



Datuk Hassan mundar mandir di perkarangan ruang tamu, resah hatinya menunggu Izhar yang belum pun menampakkan batang hidung. Datin Rohana pula duduk termanggu di atas sofa empuk yang baru dibeli bulan lepas. Dia pun susah hati memikirkan Izhar.

“Mana pulak budak ni merayau, dah pukul 7 masih belum nampak bayang. Tadi janji nak sampai pukul 5”. Datuk Hassan membebel sendirian manakala Datin Rohana memandang dengan ekor mata. Dia pun resah memikirkan anak tunggalnya itu. Kalau diikutkan hati Datuk Hassan, mahu sahaja dia menampar muka Izhar. Memang anak yang tak tahu diuntung. Datin Rohana yang faham dengan keadaan Datuk Hassan hanya mengeluh perlahan. Dia turut berasa kecewa dengan Izhar. Tidak disangka anak yang ditatang bagai minyak yang penuh boleh tergamak melukakan hati mereka. Sebagai ibu dia tidak lari dari berasa kecewa.

“Bang, bersabarla, kita bincang elok-elok dengan Har. Jangan terburu-buru membuat telahan. Kita tanya dulu kesahihan perkara ni”. Datin Rohana memberikan cadangan. Sebagai ibu dia lebih banyak bertolak ansur dengan sikap Izhar.

Perbualan mereka terhenti apabila terdengar deruman enjin kereta memasuki perkarangan halaman banglo dua tingkat itu. Datuk Hassan terus mengambil tempat disisi isterinya. Dia sudah tidak sabar-sabar nak bertanyakan tentang perkara itu kepada Izhar. Apabila ternampak kelibat Izhar memasuki ruang hadapan rumah, Datuk Hassan terus berdiri seraya memanggil Izhar duduk menyertai mereka. Izhar yang tanpa banyak bicara terus melabuhkan punggungnya di sofa, betul-betul berhadapan dengan Datuk Hassan dan Datin Rohana. Datuk Hassan pun memulakan bicara.

“Har,papa betul-betul kecewa dengan Har”. Luah Datuk Hassan. Kemarahannya dikawal sebaik mungkin.

“kenapa dengan papa ni,apa yang Har dah buat sampai papa kecewa?”. Soal Izhar yang tak tau punca ketidakpuasan hati papanya. Rasa letihnya masih bersisa, papanya pula menyuarakan rasa tidak puas hati.

“Har, mama nak tanya, Har ada ke mana-mana tak Ahad minggu lepas?”. Soal Datin Rohana lembut. Dia tidak mahu Datuk Hassan bertengkar dengan Izhar atas perkara yang belum pasti. Biar sahih dahulu berita yang sampai kepada mereka, barulah keputusan boleh dibuat.

Ada, Har keluar dengan kawan-kawan”.Izhar menjawab ringkas.

            “Kau pergi ke mana?’. Datuk Hassan menyoal dengan kasar. Dia mahu Izhar berterus terang dengannya. Perkara tersebut mesti segera diselesaikan sebelum dia sendiri yang mendapat malu.

“Pa, Har keluar dengan kawan-kawan la, tak kan itu pun salah”. Izhar membela diri setelah mendengar soalan keras dari Datuk Hassan.

“keluar dengan kawan-kawan memang tak salah, yang salahnya, kau pergi clubbing, mabuk dengan perempuan keliling pinggang. Papa rasa dah cukup ilmu agama yang papa bekalkan untuk kau tapi sikap kau mengalahkan orang tak belajar agama”. Suara Datuk Hassan semakin meninggi dan keras. Izhar pula terdiam dengan kata-kata Datuk Hassan. Tidak disangka pula Datuk Hassan dapat menghidu kegiatan hujung minggunya bersama kawan-kawan.

Cuba kau tengok gambar-gambar ni, semuanya jelas terpampang muka engkau”. Datuk Hassan melempar beberapa keping gambar yang dikeluarkan dari sampul putih yang sedari tadi diletakkan di atas meja. Izhar dengan segera mengambil gambar-gambar tersebut dan ditatap lama. Benar, lelaki dalam gambar tersebut adalah dirinya, yang dia pelik bagaimana Datuk Hassan boleh mendapat kesemua gambar tersebut. Izhar berasa sedikit cuak kerana Datuk Hassan telah dapat menghidu hobinya pada hujung-hujung minggu. Dia menyangka Datuk Hassan terlalu sibuk hingga tidak sedar akan tindak tanduknya.

“Pa, memang lelaki dalam gambar tu ialah Har, Har cuma nak lepaskan tension je, so sekali sekala pergi clubbing”. Izhar cuba membela diri, berharap Datuk Hassan tidak akan memanjangkan perkara tersebut.

“Mungkin kau ingat apa yang kau buat ni kecil tapi natijahnya besar. Kalau la gambar ni tersebar meluas, habis jahanam perniagaan yang aku usahakan selama ini”. Suara Datuk Hassan mula mengendur. Dia tiada pilihan lain melainkan menetapkan satu keputusan muktamad kepada Izhar bagi mengelakkan Izhar melakukan perkara yang tidak disukai oleh dia mahupun agama.

“ Papa nak Har kahwin, calonnya papa akan carikan. Papa nak Har hentikan semua kegiatan Har yang tak berfaedah tu dan tumpukan perhatian pada keluarga. Dengan cara ni sahaja Har akan belajar tanggungjawab. Papa tak nak Har memalukan papa dengan perangai-perangai macam tu”.Datuk Hassan bersuara mengendur, menyatakan hasratnya. Tutur katanya tidak keras tetapi tegas. Datuk Hassan mahu Izhar memikul tanggungjawab. Melalui cara itu Izhar akan lebih matang dan berfikiran jauh.

What Pa, kahwin!, are you serious pa? Tak kan disebabkan perkara kecik macam tu papa sampai nak suruh Har Kahwin? Har nak enjoy dulu life Har”. Izhar seakan-akan tidak percaya dengan kata-kata papanya. Baginya keputusan Datuk Hassan tidak boleh diterima dan tidak masuk akal. Izhar tidak mahu masa mudanya dihabiskan dengan menjaga isteri dan anak. Dia belum puas menikmati zaman bujangnya.

“Papa telah pun buat keputusan sama ada Har setuju ataupun tidak. Kalau Har tak setuju Har boleh keluar dari rumah ni, lupakan semua kemewahan, papa tak mengaku ada anak macam Har”. Kata-kata Datuk Hassan tegas, dia tidak mahu memanjakan Izhar lagi. Mulai saat itu, dia mahu Izhar berdikari dan belajar bertanggungjawab. Semua kemewahan yang dicurahkan kepada Izhar telah melekakan Izhar.

“Ma, papa couldn’t be serious kan Ma?, Har belum sedia nak kahwin, Har belum puas enjoy life Har lagi, Ma pujukla papa, Har tak setuju dengan cadangan papa tu”. Izhar separuh merayu sementara Datin Rohana yang sedari tadi menjadi pemerhati telahpun mengalirkan air mata. Datin Rohana mengeleng-geleng kepala kepada Izhar. Kali ini dia tidak lagi mahu menyebelahi Izhar. Dia turut bersetuju dengan keputusan suaminya untuk menjodohkan Izhar. Dia juga tidak mahu anaknya itu terus hanyut dengan dosa-dosa dunia, Dia berharap agar Izhar akan berubah selepas mendirikan rumah tangga. Dia dan Datuk Hassan memang menyedari tentang sikap Izhar yang suka keluar tapi tidak disangka anaknya itu sampai sanggup melakukan perkara yang dilarang oleh agama. Bukti yang diperoleh sangat memilukan hatinya. Sebagai ibu dia tak sanggup Izhar bergelumang dengan dosa.

Izhar mengusap-ngusap rambutnya. Lama dia termenung. Jantungnya berdegup kencang apabila melihat tindakan ibunya, dia menyangka ibunya akan menyebelahi dan menyelamatkan dia daripada keputusan Datuk Hassan tetapi dia silap, nampaknya dia seperti tiada pilihan lain melainkan menurut sahaja kata-kata Datuk Hassan. Izhar menunduk ke lantai, kedua-dua tangannya dirapatkan, jari-jarinya disatukan. Sesungguhnya kepala dia berat memikirkan kata-kata Datuk Hassan. Dia mengeluh berat. Tiada kata-kata yang terkeluar dari mulutnya. Dia buntu, fikirannya bercelaru lalu dia pun bangun, melangkah lemah ke pintu. Dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumahnya, berada lebih lama di banglo Datuk Hassan akan menambah kusutkan kepalanya. Dia perlu bersendirian kala ini, dia mahu menenangkan diri. Selang beberapa minit, kereta Audi Q5 miliknya hilang dari perkarangan rumah banglo milik Datuk Hassan.









Izhar duduk menunduk  di birai katil dengan tangan diletak dibelakang kepala. Sesekali dia mengeluh berat, kata-kata papanya masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Tambahan pula keputusan Datuk Hassan dibuat tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu. Dia berkira-kira siapa yang menjadi calon pilihan papanya. Kemudian ingatannya terarah kepada Delia. Gadis yang menjadi temannya sejak setahun yang lalu. Delia merupakan satu-satunya perempuan yang berjaya memikat hatinya. Berkulit putih gebu dengan rambut lurus panjang separas pinggang. Delia yang juga merupakan model memang memiliki ciri-ciri wanita yang meruntun jiwa lelakinya bahkan boleh menggoyah hati mana-mana lelaki yang melihat. Tambahan pula Delia sentiasa mengenakan pakaian yang seksi. Hanya lelaki bertuah sahaja dapat bergandingan dengan Delia. Tetapi bila difikir semula, Izhar bukannya takut kehilangan Delia, Delia tidak pernah  menganggap hubungan mereka sebagai serius, dia pun cuma mahukan Delia sebagai teman.

Dia cuma sayangkan zaman bujangnya. Segala kebebasannya akan hilang sekiranya dia berkahwin. Tentu dia terpaksa menghabiskan masa bersama keluarga di rumah. Semua aktiviti sebelum berumah tangga terpaksa dilupakan dan perhatiannya tentu lebih terarah kepada keluarga. Dia tidak dapat membayangkan sekiranya kebebasannya hilang.

 Izhar bangun dan mencapai tuala, dia mengambil keputusan untuk mandi setelah buntu memikirkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapinya. Sejurus keluar dari bilik mandi, dia terasa sedikit segar. Sebelum mengenakan pakaian Izhar terus mengambil telefon bimbitnya, nombor Delia di dail, dia mahu menemui Delia.

Deringan dari hujung talian tidak bersambut. Izhar mencuba berkali-kali namun tetap hampa. Izhar merengus kasar, hatinya terlalu ingin menemui Delia, mahu melupakan masalah yang ditimbulkan papanya.

Izhar lekas-lekas mengenakan pakaian, pantas kunci kereta dicapai, langkahnya diatur laju menuju ke tingkat bawah, terus ke keretanya. Izhar masuk ke dalam perut kereta, enjin dihidupkan dan kakinya menekan pedal minyak. Kereta meluncur laju meninggalkan perkarangan banglonya.

Izhar tiba di private clubnya semasa jam menunjukkan pukul 11 malam. Bunyi bising muzik yang sedang dimainkan lansung tidak mengganggu Izhar. Dia mengambil tempat di kerusi bulat dengan kepala yang terhenjut-henjut mengikut iringan muzik. Selang lima minit, seorang bar tender menghampiri tempat Izhar sedang duduk.

“ mau minum apa?” soal seorang bar tender berketurunan cina.

“macam biasa.” Izhar menjawab ringkas.

Lagu Break Your Heart nyanyian Taio Cruz menghangatkan suasana yang membingitkan. Izhar bergoyang-goyang menyaingi rentak lagu yang berkumandang, beberapa orang gadis bermini skirt separas peha datang menghampiri tempat Izhar melayan perasaan.

“Hi.” Sapa gadis yang rambutnya berwarna keperangan.

“Hi”.Izhar menjawab ringkas.

Can we join?”. Sapa seorang lagi gadis berwajah pan asia.

Listen to the song, I’m only gonna break you heart….,I’m a heartbreaker…”Balas Izhar, badannya masih cuba mengikut rentak lagu. Gadis-gadis tadi berlalu meninggalkan Izhar apabila Izhar tidak mengendah.

Izhar memesan segelas demi segelas air yang memabukkan sehingga dia merasakan dirinya khayal dalam separuh sedar. Bar Tender yang sedari tadi memerhatikan Izhar terus mengeluarkan handphonenya lantas mendail satu nombor. Kepalanya digeleng-geleng. Apabila panggilannya disambut, dia bersuara dalam bahasa cina.







Izhar mabuk sehingga sukar untuk dia berdiri. Semasa cuba untuk bangun dari kerusi, dia terasa seperti ada tangan yang memaut tubuhnya dari jatuh. Izhar hanya menurut langkah orang yang memautnya dalam keadaan separuh sedar.

Rayyan hanya menggeleng-gelengkan kepala apabila melihat keadaan Izhar. Dia kesal dengan sikap Izhar. Tubuh Izhar dipapah bersama Steve, rakan lamanya yang kebetulan sedang minum bersama di restoren sebelum dia mendapat panggilan dari Vince. Untung Vince masih menyimpan nombor telefonnya, Vince merupakan pelayan bar tempat Izhar selalu kunjungi. Rayyan memang bertegas meminta Vince menyimpan nombor handphonenya sejak Izhar sering mengunjungi kelab itu dan pulang dalam keadaan mabuk. Setelah meletakkan Izhar di tempat duduk belakang dia mengarahkan Steve yang dibawa semasa menjemput Izhar untuk menghantar kereta Izhar sehingga sampai ke rumah. Keretanya dipandu meninggalkan kelab malam yang membingitkan telinga.

Rayyan pelik dengan tingkah laku Izhar, walaupun Izhar lahir dalam keluarga yang pada asalnya beragama Islam boleh terpesong jauh dari tuntutan agama yang dianuti. Pada hematnya, Datuk Hassan yang dikenali oleh Rayyan merupakan seorang yang sangat tegas bila hal-hal agama disentuh, tapi Izhar sendiri seperti anak yang tidak mendapat bimbingan daripada kedua ibu bapa. Rayyan bertambah pelik memikirkan perkara itu, lansung dibiarkan hal itu tergantung tanpa jawapan yang pasti.

Namun sebagai sahabat dia merasa terpanggil untuk sama-sama membimbing temannya itu ke arah jalan yang betul walaupun kadangkala nasihatnya kepada Izhar bagai mencurah air ke daun keladi. Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Rayyan hanya mampu berdoa supaya Izhar berubah dan bertemu jodoh dengan insan yang boleh membimbing sahabatnya itu ke jalan yang benar.

Bersambung...

6 comments:

  1. dah baca novel awk ni, boleh tahan :') sambung lagi. nanti kite boleh baca.

    btw, folow kamu. feel free to visit mine :')

    misskulles.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. hehe...nampak interesting..dh follow awak, bleh jenguk blog sye jgk
    http://dila-lamanhatiku.blogspot.com/

    ReplyDelete
  3. ermm.. boleh tahan cite yg awk karang ni.. ;)

    ReplyDelete
  4. thanks for your comments.beauty can only be found in u guys.i'll be joining u in ur blogs too.thanks...

    ReplyDelete