Wednesday 1 August 2012

Bidding Girl Part 7

Kepada yang tinggalkan komen, terima kasih banyak2..sekarang Jom ikuti sambungannya :)

“Sayang nak pergi mana tu?” Soal Ashraf tiba-tiba. Selamba lagaknya sejurus keluar dari bilik mandi sebentar tadi.

            “Sa…sa…saya nak pergi tolong mama kat bawah.” Ucap Hannah Irdina gugup. Entah kenapa berdebar pula hatinya tatkala duduk berdua-duaan dengan Ashraf dalam satu bilik.

            “Tolong ambil baju abang dulu.” Arah Ashraf sambil mencapai satu tuala lalu dibawa ke kepala, mengeringkan rambutnya yang basah.

            Tanpa banyak bicara, Hannah Irdina berlalu ke almari baju Ashraf, seboleh-bolehnya dia mengelak dari memandang Ashraf dalam keadaan begitu, ada malu menggamit hatinya kala itu.

            “Ha, ambil t-shirt yang hijau tu.” Arah Ashraf betul-betul di belakang Hannah Irdina.

            Terkejut Hannah Irdina tatkala menyedari Ashraf sudahpun berdiri dibelakangnya. Cepat-cepat dia menarik t-shirt Ashraf dari susunan, pantas dihulurkan pada Ashraf tanpa memandang ke arah tubuh lelaki itu yang terdedah.

            “Tolong ambil seluar track abang sekali.” Suruh Ashraf lagi sejurus Hannah Irdina berlalu melewati tubuhnya.

            “Awak ambil la sendiri, saya nak tolong mama dengan Nek Nab di bawah.” Jawab Hannah Irdina tanpa berpaling. Sejujurnya dia terasa janggal sebenarnya apabila berdua-duaan dengan Ashraf begitu.

            Ashraf tersenyum, bukan dia tidak tahu, Hannah Irdina takut duduk dengannya dalam satu bilik begitu. Dan dia pula rasa seronok mahu menyakat Hannah Irdina. Perlahan-lahan dia atur langkah kakinya menuju ke hadapan Hannah Irdina yang seolah-olah masih menunggu balasan kata darinya.

            “Inikan malam perkahwinan kita, sepatutnya sayang habiskan masa dengan abang, bukannya tolong mama atau Nek Nab.” Ucap Ashraf romantis. Sengaja dia tayangkan dadanya yang bidang di hadapan mata Hannah Irdina.

            Nan..nan..nanti apa pula kata mama.” Kata Hannah Irdina tergagap-gagap. Wajahnya ditunduk ke lantai. Dia gugup. Penampilan Ashraf itu membuatkan bulu romanya meremang. Apatah lagi apabila lelaki itu menuturkan kata-kata itu.

            “Mama tak kan kata apa-apa, dia pun faham, orang baru kahwin macam kita, tentu lebih suka berkurung dalam bilik.” Ucap Ashraf lagi. Romantis nadanya. Bibirnya sudah mula meleret senyum nakal.

            “tapi saya tak sedap hati pula duduk dalam bilik je.” Balas Hannah Irdina seraya melangkah. Namun belumpun sempat dia melangkah jauh, Ashraf sudahpun kembali berdiri di hadapannya.

            “Tak sedap hati sebab abang ada?” Soal Ashraf nakal. Kedua-dua keningnya dijungkit tinggi.

            Terbuntang mata Hannah Irdina mendengarkan pertanyaan Ashraf, pantas dia menolak tubuh Ashraf dan cuba mengelak dari berdebat panjang dengan Ashraf.

            “jangan lama-lama, abang tunggu sayang naik ye.” Ucap Ashraf nakal. Pemergian Hannah Irdina dihantar dengan leretan senyum dibibirnya.



Hannah Irdina menghela nafas lega. Berjaya juga dia meloloskan diri dari Ashraf, lelaki itu terlalu sukar untuk dijangka. Nasib baik sahaja Ashraf tidak hilang pertimbangan, dibuatnya lelaki itu mengulangi perangai lepas lakunya seperti sebelum kahwinnya, haru juga dia.

            Kakinya pantas di atur laju menuju ke tingkat bawah. Suasana kenduri sudahpun beransur reda. Semua tetamu yang datang membantu sudahpun pulang ke rumah masing-masing. Namun masih ada lagi kelengkapan kenduri yang masih ditinggalkan belum bersimpan dan Hannah Irdina mahu turun membantu serba sedikit. Dia tidak betah duduk terperuk dalam bilik sementara ibu mertuanya dan Nek Nab sibuk mengemas. Tambahan pula dia kini tinggal sebilik dengan Ashraf, lagi bertambah debaran di dadanya untuk tinggal lama di dalam bilik itu.

            “Dina, kenapa tak rehat-rehat kat bilik?” Soal Puan Yati sejurus terlihat kelibat Hannah Irdina memasuki ruang dapur.

            “Dina dah puas rehat tadi, bosan pula bila duduk terperuk je dalam bilik.” Jawab Hannah Irdina jujur.

            “Dah takde apa-apa lagi nak kemas, Dina naiklah berehat.” Sahut Nek Nab pula. Dia juga sudah mencuci tangannya, tanda sudah selesai semua kerja yang berbaki.

             Hannah Irdina tersenyum tawar, harapannya apabila turun tadi supaya masih ada lagi kerja yang boleh dia lakukan kerana dia tidak sanggup terperangkap bersama Ashraf dalam bilik mereka. Tetapi mendengarkan kata-kata mama Ashraf dan Nek Nab itu, dia jadi kecewa. Tentu sahaja, kedua-dua wanita itu akan terus mendesaknya supaya masuk ke bilik dan berehat sahaja. Sejujurnya dia takut. Takut dengan Ashraf!.

            “Apa yang Dina terpacak lagi tu, pergilah berehat dalam bilik.” Arah Puan Yati lagi.

            Hannah Irdina hanya mampu mengangguk lemah. Rasa takut, bimbang dan malu bercampur aduk menjadi satu perasaan yang sukar dia ungkapkan. Dia takut untuk menghadapi malam pertamanya bersama Ashraf. Dia tidak berani berhadapan dengan lelaki itu!.

            Kakinya di atur semula menaiki anak-anak tangga menuju ke tingkat atas. Dalam hatinya dipanjatkan doa supaya Ashraf sudah tertidur, tidak perlulah dia berhadapan dengan lelaki itu jika lelaki itu sudah tidur.

            Tiba di pintu bilik, Hannah Irdina berdiri tegak dihadapan pintu. Kecutnya hati dia ingin berhadapan dengan Ashraf. Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata lelaki itu sewaktu dia keluar dari bilik itu awal tadi. Masihkah Ashraf menantinya di dalam bilik. Argh…takutnya dia memikirkan kebarangkalian itu.

            “Kenapa berdiri kat situ?” Tiba-tiba Ashraf menyoal dari belakang Hannah Irdina.

            Hannah Irdina pantas memalingkan wajahnya, memandang Ashraf yang sedang berdiri di belakangnya. Entah dari mana lelaki itu datang, dia sendiri tidak pasti. Setahunya, sewaktu dia turun tadi, lelaki itu masih belum berpakaian. Kini, Ashraf sudah lengkap ber t-shirt dan dipadankan dengan seluar trek.

“Jom masuk.” Kata Ashraf seraya berjalan masuk mendahului Hannah Irdina. Sementara Hannah Irdina hanya menurut dalam terpaksa.

“Sayang buat apa kat depan pintu tadi.” Soal Ashraf sambil membuka t-shirtnya.

            Tersentak Hannah Irdina dengan tindakan Ashraf itu. Bimbang lelaki itu akan menuntut haknya malam itu.

            “Sa..sa..saya takut.” Ucap Hannah Irdina jujur. Entah kenapa dia berdebar dengan tingkah Ashraf ketika itu. Tiada guna dia menyembunyikan perasaannya dari Ashraf kerana memang dia perlu berhadapan dengan semua itu malam itu juga.

            Kata-kata Hannah Irdina menyebabkan Ashraf segera berpaling memandang Hannah Irdina. Dia mempamirkan riak pelik diwajahnya.

            “Takut apa?” Soal Ashraf ingin tahu. Hairan dia melihat Hannah Irdina yang terpaku berdiri.

            “Takut pada awak.” Jawab Hannah Irdina jujur. Kepalanya hanya ditunduk memandang lantai.

            Jawapan Hannah Irdina mengundang senyum di bibir Ashraf. Pantas kakinya di atur menghampiri tempat Hannah Irdina sedang berdiri.

            “Apa yang sayang takutkan, abang bukan makan orang.” Kata Ashraf seraya meraih jemari Hannah Irdina ke dalam jemarinya. Wajah polos Hannah Irdina menarik perhatiannya.

            Sementara Hannah Irdina masih diam, tindakan Ashraf mengelus-elus lembut jari-jemarinya menyebabkan dia kaku. Tidak mampu untuk bergerak mahupun melanjutkan kata-katanya.

            “Abang takkan paksa Dina kalau Dina belum bersedia.” Sambung Ashraf setelah dilihatnya Hannah Irdina diam tidak membalas kata-katanya. Lembut bicaranya.

            Hannah Irdina tersentak mendengarkan kata-kata Ashraf. Lembut benar tutur lelaki itu. Selembut elusan jemarinya. Benarkah Ashraf yang menuturkan kata-kata itu. Sungguh dia tidak kenal dengan Ashraf. Lelaki yang dikenalinya sebelum ini tidak selembut itu. Ashraf yang dia kenal, pada pandangannya ialah lelaki ego, dingin dan lepas laku. Tetapi Ashraf yang berdiri dihadapannya kini sangat bertentangan dengan Ashraf yang dia pernah kenal. Kala itu dia sedar, terlalu banyak tentang lelaki itu yang dia tidak tahu, dan malam itu satu lagi sisi Ashraf dapat dia pelajari. Dalam keras, ada kelembutan dalam diri suaminya itu.

            “Abang bukannya lelaki kejam yang akan paksa Dina buat sesuatu yang Dina tak suka.” Ucap Ashraf seraya membawa tangan kanannya ke dagu Hannah Irdina, mendongakkan wajah Hannah Irdina supaya menentang pandangannya.

            “Abang mungkin nakal, tapi abang bukannya jahat.” Sambung Ashraf dalam senyum nipis tatkala Hannah Irdina memandang tepat ke wajahnya.

            “Sayang percaya pada abang?” Soal Ashraf sambil menolak rambut Hannah Irdina yang terjuntai di pipi ke belakang telinga.

            Hannah Irdina hanya mengangguk perlahan, membiarkan perlakuan Ashraf itu. Entah kenapa dia rasa terpaku dengan bicara lembut lelaki itu. Tingkah Ashraf itu membuatkan dia rasa terbuai, rasa hilang dalam kelembutan lelaki itu.

            Ashraf yang melihat kebisuan Hannah Irdina itu kemudiannya membawa bibirnya ke pipi Hannah Irdina, pipi itu dikucup lembut dan bagaikan dipukau, Hannah Irdina hanya membiarkan perlakuan lelaki itu. Tatkala Ashraf melanjutkan kucupan itu ke bibir Hannah Irdina, gadis itu masih terpaku berdiri, terbuai dengan tingkah romantis Ashraf itu.

            Terbuai dengan tingkah Ashraf, Hannah Irdina hanya membiarkan saat lelaki itu memimpin tangannya menuju ke katil. Tatkala Ashraf membelai-belai pipi Hannah Irdina, sekali lagi Hannah Irdina hilang dalam tingkah romantis Ashraf. Tatkala lelaki itu membisik kata-kata romantis, Hannah Irdina terpaku. Ashraf yang dikahwini itu cukup romantis sebenarnya.

            “Abang akan bahagiakan sayang.” Bisik Ashraf romantis di telinga Hannah Irdina.

Dan malam itu, mereka hilang dalam keromantisan. Hilang dalam kemanisan hubungan halal suami dan isteri. Hannah Irdina dan Ashraf melayari kemanisan rumahtangga yang dibina bersama dalam bahagia. Malam yang menyatukan mereka sebagai suami isteri dalam erti kata yang sebenar.



Ashraf terkejut dari tidur yang lena saat Hannah Irdina menggerak-gerakkan kakinya perlahan.

            “Dah subuh.” Kata Hannah Irdina lembut.

            Ashraf bangun seraya mengambil tuala dan berjalan perlahan menuju ke bilik mandi.

            “Jangan sembahyang dulu, tunggu abang, kita sembahyang sekali.” Kata Ashraf seraya masuk ke dalam bilik air.

            Terkedu Hannah Irdina mendengar kata-kata terakhir lelaki itu sebelum menghilang ke bilik air. Benarkah Ashraf baharu sahaja mengajak dia untuk sembahyang berjemaah. Terharu rasa hatinya. Lelaki yang disangka cetek ilmu agama itu rupa-rupanya ada sifat baik yang tersembunyi. Sayu seketika hatinya, Ashraf yang dikahwininya itu memang ada kualiti untuk menjadi suami mithali yang boleh membimbing dia ke pintu syurga. Selama ini dia menyangka Ashraf lelaki bebas yang tidak tahu asas pegangan agama. Tetapi semenjak mereka diijabkabulkan, lelaki itu rupa-rupanya jauh tersasar dari jangkaan Hannah Irdina sendiri.

            Hannah Irdina mengenakan telekung lalu membentangkan sejadah untuk Ashraf sebagai imam dan untuk dirinya sendiri sebagai makmum. Dia kemudiannya duduk bersila sambil berzikir sementara menunggu Ashraf selesai mandi.

            Sejurus suaminya itu keluar dari bilik mandi dan bersiap, mereka bersembahyang berjemaah sekali. Usai menunaikan solat, Hannah Irdina hanya terpaku apabila Ashraf memimpin bacaan doa dan mendoakan kesejahteraan mereka dan rumahtangga yang baru dibina. Hampir menitis air mata Hannah Irdina kerana terharu.

            Selesai membacakan doa, Ashraf berpaling ke belakang memandang ke arah Hannah Irdina. Pantas dia menghulurkan tangan untuk disambut oleh Hannah Irdina. Tatkala Hannah Irdina menyalami dan mengucup lembut tangannya, dia membalas semula dengan mengucup lembut dahi isterinya itu. Masing-masing berbalas senyum dalam hening pagi.

            “Maafkan Dina.” Ucap Hannah Irdina sayu.

            “Untuk apa?” Soal Ashraf sambil mengangkat kedua-dua keningnya tinggi. Hairan apabila Hannah Irdina memohon maaf darinya.

            “Sebab selama ni, Dina dah salah sangka pada abang.” Ucap Hannah Irdina lembut. Selepas apa yang berlaku diantara dirinya dan Ashraf selepas mereka diijabkabulkan membuatkan Hannah Irdina mula memikirkan semula sikap suaminya itu. Bibirnya juga sudah tidak janggal untuk memanggil lelaki itu dengan gelaran ‘abang’.

            Kata-kata Hannah Irdina menyebabkan Ashraf tersenyum nipis, lelaki itu kemudiannya bangun seraya membuka kopiah dikepalanya lalu diletakkan di meja sisi katil.

            “Sayang tolong buatkan abang air.” Kata Ashraf tanpa mengulas lanjut bicara Hannah Irdina itu. Dia kemudiannya menukar kain yang dipakainya dengan seluar trek.

            Sementara Hannah Irdina bangun lalu membuka telekungnya dan disangkut ke penyangkut. Walaupun pelik dengan reaksi Ashraf terhadap kata-katanya itu namun dia tidak menyuarakan rasa hatinya itu. Terlalu banyak perkara mengenai suaminya itu yang masih diluar pengetahuannya.  Mungkin sahaja itu juga merupakan salah satu sikap Ashraf yang belum dia ketahui.



Terkejut Hannah Irdina saat Ashraf tiba-tiba memeluk pinggangnya dari belakang ketika dia sedang leka mengacau kuey tiew goreng di dalam kuali.

            “Sayang buat apa tu?” Soal Ashraf lembut.

            Cepat-cepat Hannah Irdina menrungkai tangan Ashraf dari pinggangnya. Bimbang ada mata yang melihat perlakuan lelaki itu.

            “Mana air abang?” Soal Ashraf sambil menjengah ke dalam kuali. Kemudian dikerling Hannah Irdina dengan pandangan nakal.

            Ada kat depan, Dina dah buat.” Jawab Hannah Irdina tanpa menghiraukan renungan nakal Ashraf.

            Ashraf kemudiannya berjalan menuju ke ruang makan yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu banglo Nek Nab.

            Tidak lama kemudiannya, Kak Zila, kakak kepada Ashraf turut menyertai Hannah Irdina di dapur.

            “Dina buat apa?” Soal Kak Zila sambil membuang pandang ke wajah Hannah Irdina. Adik ipar yang baru menyertai keluarga mereka itu manis pada pandangan matanya.

            “Dina tolong kacau je, tadi Nek Nab yang masak.” Jawab Hannah Irdina dalam senyum nipis. Malu pula apabila disoal begitu. Seingatnya, dia masih belum berkesempatan untuk berbual mesra dengan kakak iparnya itu. Semenjak masjlis berlansung semalam, Kak Zila turut memainkan peranan penting dalam menguruskan hal ehwal kenduri. Kakak iparnya itu sibuk sepanjang hari.

            “Dina suka pada Raf?” Soal Kak Zila tiba-tiba. Dia kemudiannya mengambil tempat di kerusi yang tersedia di dapur basah itu.

            Hannah Irdina terkedu. Bagaimana dia ingin menjawab soalan itu. Sukakah dirinya pada Ashraf. Persoalan yang dia sendiri masih tertanya-tanya. Tidak tahu apa perasaan sebenarnya terhadap lelaki itu. Untuk katakan yang dia menyukai lelaki itu, masih terlalu awal untuk dia menilai hatinya sendiri. Cuma ketika itu dia rasakan yang dia menyenangi Ashraf. Kehadiran lelaki itu menyebabkan dia rasa selamat. Terutamanya apabila dia teringatkan Roziman.

            “Atau Dina kena kahwin paksa dengan Raf?” Soal Kak Zila lagi apabila soalan pertamanya terbiar tidak berjawab.

            Kali ini soalan kak Zila menyebabkan Hannah Irdina tersentak. Kahwin Paksa?. Mereka bukan dikahwinkan secara paksa, Ashraf dan dirinya memang masing-masing bersetuju untuk berkahwin. Tiada sesiapa pun yang memaksa mereka. Kedua-duanya bersetuju.

            “Kami bukan kahwin paksa, memang Dina dan Raf ambil keputusan untuk kahwin.” Jawab Hannah Irdina bagi menrungkai persoalan Kak Zila.

            “Baguslah macam tu, maknanya kamu saling bercinta la sebelum kahwin.” Sahut Kak Zila kemudiannya.

            Hannah Irdina hanya membalas dengan senyuman nipis. Entah kenapa dia merasakan tiada keperluan untuk dia menceritakan susur galur asal bagaimana hubungannya dengan Ashraf boleh bertaut, mungkin cerita antara mereka terlalu rumit untuk diceritakan dalam masa yang terlalu singkat itu.

            “Apa lagi nak buat ni?” Soal Kak Zila apabila dia puas duduk memerhatikan Hannah Irdina mengacau kuey tiew.

            “Tadi mama kata nak rebus telur dan potong timun.” Jawab Hannah Irdina.

            “Kalau macam, biar Kak Zila buat yang itu dulu.” Sahut Kak Zila kemudiannya.



Usai bersarapan bersama-sama pagi itu, keluarga Nek Nab bergerak ke ruang tamu untuk menyambung perbualan. Tuan Aliyes, Puan Yati, Nek Nab, dan Abang Ridza semuanya bergerak ke ruang tamu, tinggal Hannah Irdina dan Kak Zila sahaja di ruang dapur basah bagi menyelesaikan kerja-kerja mengemas yang masih berbaki.

            Sejurus mengemas, Kak Zila menarik tangan Hannah Irdina supaya menyertai ahli keluarga yang lain di ruang tamu. Kesibukan semua ahli keluarga mengendalikan masjlis kenduri menyebabkan mereka sekeluarga belum sempat beramah mesra dengan Hannah Irdina dan kesempatan itu akan digunakan untuk mengenali Hannah Irdina dengan lebih rapat lagi.

            Tubuh Hannah Irdina didorong untuk duduk disisi Ashraf. Hannah Irdina hanya menurut dengan rasa malu yang mengepung dada.

            “Dah berapa lama kenal Raf?” Soal Abang Ridza tiba-tiba. Matanya merenung lama ke wajah Hannah Irdina.

            Hannah Irdina tersenyum nipis. Soalan Abang Ridza seolah-olah memerangkapnya untuk berterus terang dengan status hubungan mereka. Walaupun dia kini sudah menjadi isteri Ashraf namun hakikatnya masih ada lagi perihal Ashraf yang masih di luar pengetahuannya. Dan dia masih belum kenal rapat dengan Ashraf.

            “Dah lama kenal.” Terluah juga jawapan itu dari mulut Hannah Irdina. Walaupun tidak telus seratus peratus, namun ia lebih baik daripada mengunci mulut dari menjawab pertanyaan abang Ashraf itu.

            “Jadi dah bercinta dulu la ni?” Soal Abang Ridza mengusik.

            Hannah Irdina tersenyum tawar. Entah kenapa, soalan Abang Ridza itu seolah-olah satu perangkap untuk mengetahui status hubungannya dengan Ashraf dengan lebih lanjut.

            “Dah la sayang, jangan layan sangat abang Ridza ni, sengaja dia nak kenakan sayang tu.” Ucap Ashraf tiba-tiba. Pantas tangan Hannah Irdina di raih untuk berdiri. Kemudian, Ashraf menarik Hannah Irdina untuk menurutinya. Bimbang Abang Ridza menyoal yang macam-macam. Tentu sahaja rahsia antara dirinya dan Hannah Irdina akan terbongkar.

            “Assalamualaikum.” Tiba-tiba terdengar suara memberi salam dari arah pintu utama.

            Ashraf dan Hannah Irdina berdiri seketika. Pantas semua yang ada menoleh ke arah pintu utama banglo Nek Nab.

            “Kenapa keluarga Tuan Aliyes buat macam ni?!” Soal seorang lelaki yang baru melulu masuk. Nadanya keras. Ada kelihatan seorang gadis perempuan yang membuntuti lelaki itu dari belakang.

            Seisi rumah terpaku melihat tetamu yang tidak diundang itu. Sementara Hannah Irdina sudah terpinga-pinga. Tidak faham dengan perkara yang sedang berlaku.

            “Kenapa Raf boleh kahwin dengan perempuan lain, sedangkan antara dia dan anak saya dah ikat tali pertunangan?!” Soal lelaki itu lagi.

            Terkesima Hannah Irdina mendengarkan kata-kata lelaki yang tidak dia kenali itu. Dia membuang pandang ke arah gadis putih gebu yang sedang berdiri di belakang lelaki itu dengan mata yang berair.

            ‘Ashraf sudah bertunang?’ Desisnya dalam hati.

            Saat itu, dia terasa seperti ada batu besar yang menindih dadanya. Benarkah Ashraf, suami yang baru dikahwini itu sebenarnya tunangan orang?.....

P/s-Harap semua enjoy. Entah kenapa, tapi bagi cik tulip nk tulis tentang part intimate suami isteri ni merupakan part yang paling susah.harap semua berpuas hati..

14 comments:

  1. Alamak... Ashraf dah ada tunang ker? Or pompuan tu yg berkhayal? Jeng...jeng..jeng... More entries pls...

    ReplyDelete
  2. waaaaaaa suspennya.....tapi sumpah sweet gile cite ni.. cik tulip daebak!! nk lagiiiiiii

    ReplyDelete
  3. Haiyakkk cik tulip...starting yg sgt indah...ending ada besarnya tanda soal....huhu...dup dap..dup..dap

    ReplyDelete
  4. huh....dah tunang...apa kes ni?huhuhu....berdebar2 nak tau citer selanjutnya.

    ReplyDelete
  5. spe la plak ttiba je ngaku dia tnang raf nie..suspen la plak kn

    ReplyDelete
  6. suspen! cpt2 smbng yer cik tulip..:)

    ReplyDelete
  7. tunang pulak....mst si raf ni tunang senyap2...

    ReplyDelete
  8. mcm pelik... hero bad boy bila kawen jer trus jadi baik....

    ReplyDelete
  9. apa dah jadi nie cik tulip... baru nak bunga2 cinta dah ad yang melanda....

    ReplyDelete
  10. kak tulippppp~~

    kenapa begini aiyayaya...=.= kesian irdina...

    sambung lg ye, sy tunggu^_^

    ReplyDelete
  11. alah kak tulip...cian Idara...kata kan tidak Ashraf tunang org..huhu cpt smbung erk kak..next n3 chapter 8 plak..hihi --------

    ReplyDelete
  12. Tunang orang? itu history sbb sekarang Ashraf sudah officially milik Irdina. So, no hal lah...

    X sbr nk tggu n3 baru..

    ReplyDelete
  13. Adus. . . .bila pulak si Raf ni bertunang? Ni tentu perangkap kan cik Tulip . . .sbb xkan family xtau.. . .hu.hu.hu . . .cian Irdina. . .ada kabus perlu dilalui lg

    ReplyDelete
  14. alaaa...skenye la kt ashraf tu...tp,tunang!!dush3!!skit ati plak..bru feeling2..hoho..lg akak tulip!!

    ReplyDelete