Sunday 12 August 2012

Bidding Girl Part 9

Post berikutnya untuk cerita Bidding Girl ini akan Cik Tulip sambung selepas raya kerana Cik Tulip nak memulakan projek membuat kuih raya, hehe..jadi mungkin akan busy sikit. Dikesempatan ini juga Cik Tulip nak mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua yang mengikuti blog Cik Tulip dan selamat menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi. Cik tulip menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan maaf diatas segala kekhilafan selama Cik Tulip berblog. Sudi la kiranya membaca n3 Bidding Girl sebelum sambut raya,hehe..harap berpuas hati :)


Tuan Aliyes bingkas bangun dari duduk tatkala dia terdengar bunyi nyaring deringan telefon di ruang tamu rumah. Kakinya diatur cepat-cepat menuju ke arah telefon yang terletak di sisi meja bersebelahan dengan set sofa rumah. Sejurus tiba, pantas diraihnya ganggang telefon itu.

            “Hello, assalamualaikum.” Sapa Tuan Aliyes ramah.

            “Waalikumusalam.” Jawab suara dari hujung talian pendek.

            “Tengku Zainal?” Soal Tuan Aliyes dalam was-was. Masih dia kenal dengan pemilik suara itu. sudah tentu ada lagi hal yang mahu dibincangkan lelaki itu bersamanya.

            “Iye, saya ada hal nak dibincangkan dengan Tuan Liyes.’ Jawab Tengku Zainal, membenarkan segala telahan Tuan Aliyes sebentar tadi.

            “Hal apa lagi?” Soal Tuan Aliyes pelik, seingatnya perbincangan mereka sudahpun selesai. Telahpun tamat!.

            “Saya sanggup bayar kalau Raf sudi berkahwin dengan Anna.” Ujar Tengku Zainal tanpa segan silu.

            “Apa?!” Kata Tuan Aliyes dalam nada terperanjat.                           

            “Saya sanggup bagi berapa sahaja yang Tuan Liyes mintak.” Sambung Tengku Zainal.

            “Tengku cakap apa ni?!” Kata Tuan Aliyes lagi.

            “Tuan Liyes pujuk Raf supaya ambil Anna jadi isteri dan saya akan bayar berapa sahaja yang Tuan Liyes mahu.” Terang tengku Zainal lagi.

            “Maafkan saya, saya rasa tiada lagi yang nak dipanjang-panjangkan tentang hal tu. keluarga saya telahpun buat keputusan. Antara Raf dan Anna, mereka dah putus.” Tegas Tuan Aliyes seraya mematikan talian. Malas dia mahu melayani kehendak Tengku Zainal yang tidak masuk akal itu.



Tengku Zainal merengus marah, sakit hatinya dengan sikap sombong Tuan Aliyes. Masakan lelaki itu tidak termakan dengan habuan yang ingin dia beri. Tawaran dia bukanlah tawaran biasa-biasa. Dia sanggup membayar berapa sahaja yang Tuan Aliyes mahu sekiranya Ashraf bersetuju menikahi anak perempuannya. Mengenangkan anak daranya itu kini sedang mengandungkan benih orang, dia tidak mahu perkara itu bocor ke pengetahuan umum. Dan sebelum orang tahu, dia berkira-kira mahu mencari kambing hitam yang sanggup menanggung semua beban itu dan tiada orang lain lagi yang dia nampak kecuali Ashraf memandangkan Ashraf pernah menjadi tunangan DeAnna.

            Namun setelah tawarannya tadi ditolak bulat-bulat oleh Tuan Aliyes, dia jadi panas hati. Ada juga orang yang tidak termakan dengan tawaran lumayan yang dia buat itu. Sakit hatinya dengan jawapan yang diberikan oleh Tuan Aliyes tadi. Ketika itu, dalam kepalanya hanya terbayang akan dendam yang mahu dia lunaskan kepada Tuan Aliyes. Sama sekali dia tidak akan membenarkan keluarga Tuan Aliyes hidup bahagia setelah dengan sombongnya keluarga itu memalukan dia dan keluarganya.

            “Aku akan pastikan keluarga kau hancur!.” Rengus Tengku Zainal dalam nada marah.



Ashraf memerhatikan Hannah Irdina yang kemas dengan persalinan kurung moden berwarna ungu lembut, sejak dari tadi, matanya tidak dapat lari dari memerhatikan isterinya yang anggun dalam persalinan pengantin mereka. Dua jam dari sekarang, mereka akan di sandingkan sebagai raja sehari walaupun sudah beberapa hari mereka diijab kabulkan dan Ashraf sudah tidak sabar untuk duduk bersanding dengan Hannah Irdina di atas satu pelamin.  

            Kecantikan solekan nipis pada wajah Hannah Irdina membawa getaran hebat dalam dadanya. Sungguh Hannah Irdina manis disolek dan dihias begitu dan dia rasa cukup bertuah kerana dapat memperisterikan Hannah Irdina. Gadis itu bukanlah yang paling cantik yang pernah dia temui namun sejak kali pertama terlihat Hannah Irdina di bida beberapa bulan dahulu, dia rasa terpaut pada manisnya wajah Hannah Irdina. Lantaran itu dia sanggup berhabis duit membida Hannah Irdina, walaupun pada ketika itu Hannah Irdina berpenampilan seksi dan dia sendiri tidak tahu dari mana asal usul gadis itu namun hatinya kuat mendesaknya supaya dia terus membida gadis itu sehingga jatuh ke tangannya. Untung sahaja waktu dia cuba mendekati Hannah Irdina dulu, gadis itu sempat melarikan diri. Jika tidak tentu sahaja pengakhiran kisah mereka bukan di situ, tentu sahaja jika dia terlanjur mengasari Hannah Irdina ketika itu, gadis itu pasti akan memusuhi dirinya, membenci dirinya.

            “Dina nampak cantik.” Puji Ashraf seraya mendekati Hannah Irdina setelah Mak Andam yang menyolek Hannah Irdina keluar sebentar.

            Hannah Irdina hanya membalas pujian Ashraf dengan senyuman manis. Berbunga riang hatinya dipuji begitu. Apatah lagi pujian itu datangnya dari mulut Ashraf, suaminya sendiri.

            “Tak sabar nak tunggu malam.” Kata Ashraf mengusik. Mata Hannah Irdina direnung dengan renungan nakal.

            Mati senyuman di bibir Hannah Irdina tatkala mendengarkan kata-kata Ashraf itu. Wajahnya tiba-tiba memerah menahan malu. Baru sahaja hatinya berbunga-bunga dengan pujian Ashraf, tiba-tiba pula lelaki itu membangkitkan hal itu.

            “Dina tengah bendera merah la bang.” Jawab Hannah Irdina selamba. Ingin diuji pula hati suaminya itu.

            “Ermmm…kalau bendera merah, yang ringan-ringan pun abang tak kisah.” Jawab Ashraf sambil menjungkit sebelah keningnya.

            “Kirim salam!.” Pintas Hannah Irdina.

            ‘Kita tengok la siapa yang kirim salam, abang ke Dina.” Jawab Ashraf selamba.

            “Menyampah cakap dengan abang.” Kata Hannah Irdina dalam nada merajuk.

            “Sayang cantik sangat, abang tak tahan la…” Jawab Ashraf dalam nada meleret.

            “Malam ni abang tidur bawah!.” Ujar Hannah Irdina serius. Marah bila rajuknya dibiar tidak berpujuk.

            “Mana boleh macam tu sayang, berdosa tau layan suami macam tu.” Kata Ashraf lagi. Faham benar dengan rajuk isterinya itu.

            Hannah Irdina diam tidak menyambut kata-kata Ashraf, makin dilayan makin menjadi-jadi sikap Ashraf itu.

            “Sayang merajuk ke?” Soal Ashraf lembut. Cepat-cepat pinggang Hannah Irdina dirangkul dari belakang.

            “Maafkan abang, abang saje nak sakat sayang, sayang janganla terasa hati. Abang janji malam ni abang tidur luar.” Seloroh Ashraf.

            Pujukan Ashraf itu menyebabkan Hannah Irdina tergelak kecil.

            “Betul ke ni?” Soal Hannah Irdina. Berpura-pura serius.

            “Demi sayang, dalam tandas pun abang sanggup tidur.” Jawab Ashraf dalam nada serius yang dibuat-buat.

            “Kalau macam tu, malam ni abang tidur dalam tandas la.” Sambung Hannah Irdina dalam senyum mengusik.

            “kejam juga wife abang ni, sanggup suruh suami tidur dalam tandas, kan ke kotor.” Ucap Ashraf lagi.

            “Eeii..bukan Dina yang cakap la, abang yang kata sanggup tadi.” Tukas Hannah Irdina. Tangan Ashraf yang meraih pinggangnya dipegang mesra. Suka apabila dimanja-manja oleh Ashraf begitu.

            “Abang melawak je tadi tu, mana sanggup nak tidur dalam tandas, busukla. Tidur dengan sayang lagi best, sebusuk-busuk sayang, busuk lagi tandas tu tau.” Ashraf sambung menyakat.

            “Ala macam la abang tu wangi sangat, antara tandas tu ngan abang, abang lagi busuk.” Kata Hannah Irdina tidak mahu kalah.

            Pecah ketawa Ashraf mendengarkan kata-kata Hannah Irdina.

            “Sayang abang ni pandai juga menyakat kan.” Kata Ashraf sambil mencium pipi Hannah Irdina.

            “Tengokla siapa cikgunya.” Sindir Hannah Irdina kembali.

            “Okey…okey…abang mengaku kalah. Hebat juga sayang ni kan, lelaki gagah macam abang pun boleh kalah.” Sambung Ashraf sambil mengucup lembut leher Hannah Irdina.

            “Tahu takpe.” Sahut Hannah Irdina sambil mengelak ciuman Ashraf yang menghantar rasa geli di lehernya.

            “Erkk…hemmm.” Tiba-tiba suara Mak Andam terdengar di muka pintu.

            Tersentak Hannah Irdina dan Ashraf. Darah menyerbu naik ke muka mereka berdua. Tidak menyangka akan tertangkap saat sedang bermesra begitu. Terlalu asyik bergurau senda sehingga mereka lupa dimana mereka berada. Pantas Ashraf melepaskan rangkulan di pinggang Hannah Irdina.

            “Sabar la dulu, nanti malam-malam, bermesra la puas-puas.” Kata Kak Bibah selaku Mak Andam yang menyiapkan mereka berdua.

            “Kak Bibah pandai sangat make up wife saya ni. Sampai saya tengok pun, dah tak sabar nak tunggu malam.” Sahut Ashraf untuk membuang rasa malu yang bertandang.

            Tersenyum simpul Kak Bibah mendengarkan pujian Ashraf. Memang sudah menjadi lumrah kaum wanita, hati mereka mudah lembut dan berbunga-bunga tatkala dipuji-puji dan Kak Bibah turut tidak terkecuali.

            “Bukan main manisnya mulut kamu ye, patutlah si Dina ni boleh jatuh hati pada kamu.” Jawab Kak Bibah sambil menjeling Hannah Irdina di sisinya.

            Berona merah wajah Hannah Irdina mendengarkan usikan Kak Bibah itu.



Tengku Zainal memerhatikan majlis keraian yang meriah itu dengan rasa sakit dihatinya. Marahnya sudah berapi menyaksikan senyuman Tuan Aliyes dan keluarganya yang nyata sedang bergembira dengan majlis yang baru berlansung.

            Tengku Zainal merengus, stereng keretanya dihempas kuat. Dia sama sekali tidak akan membenarkan kebahagiaan keluarga Tuan Aliyes berkekalan. Sakit dihatinya itu tidak mampu diubati selagi Tuan Aliyes masih mampu tersenyum manis sedangkan dia sedang dilanda musibah. Dia akan pastikan, Tuan Aliyes mendapat balasan setimpal setelah menolak tawarannya bulat-bulat beberapa hari lepas.

            Sedang leka Tengku Zainal melayani amarahnya, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi ketukan di luar tingkap keretanya. Tengku Zainal membuang pandang ke arah seorang lelaki yang sedang berdiri di sebelah keretanya.

            Setelah lelaki itu mengisyaratkan supaya dia menurunkan cermin tingkap, Tengku Zainal hanya menurut.

            “Nak apa?” Soal Tengku Zainal acuh tak acuh, marah apabila diganggu oleh orang yang tidak dikenali itu.

            “Saya tahu apa yang tengku sedang fikirkan.” Kata lelaki itu membuka bicara.

            “Kau siapa?” Terpancul soalan Tengku Zainal tatkala dia sedar yang lelaki itu mengenalinya.

            “Saya Roziman.” Jawab Roziman yang sedari tadi memerhatikan Tengku Zainal. Dia juga tahu perihal Tengku Zainal dengan keluarga Tuan Aliyes. Duduk dalam satu kawasan begitu, tentu sahaja khabar angin cepat tersebar, tambahan pula, dia sendiri punyai banyak mata dan telinga yang sentiasa membekalkan maklumat kepadanya.

            “Aku tak kenal kau.” Jawab Tengku Zainal dingin.

            “Kenal atau tidak, itu tak penting. Yang penting, tengku tahu yang matlamat kita sama, kita sama-sama nak lihat keluarga Tuan Aliyes musnah.” Kata Roziman dalam senyum sinis. Sejak dia dibelasah beberapa minggu yang lalu, dia sudah menyuruh beberapa orang konconya untuk menyiasat siapa Ashraf. Dan apabila dia mendapat tahu Ashraf merupakan anak Tuan Aliyes dan cucu kepada Nek Nab, hatinya mulai puas, sekurang-kurangnya dia tahu dimana mahu mencari lelaki yang bertanggungjawab membelasahnya. Tambahan pula, Ashraf kini sudah merampas Hannah Irdina, gadis yang sepatutnya membawa untung kepadanya.

            “Maksud kau?” Soal Tengku Zainal tidak faham.

            “Kalau tak keberatan, bagilah saya masuk dulu, mudah kita nak berbincang lanjut.” Usul Roziman sambil mengerling tempat duduk bersebelahan Tengku Zainal di dalam kereta.

            “Boleh ke aku percayakan kau?” Soal Tengku Zainal was-was.

            “Terpulanglah, kalau tengku rasa nak lihat keluarga Tuan Aliyes jatuh, tengku kena percaya pada saya.” Ucap Roziman penuh yakin. Kalau berjaya bekerjasama dengan Tengku Zainal, itu sudah menjanjikan satu bonus kepadanya.

            “Masuklah.” Kata Tengku Zainal seraya membuka autolock kereta.

            Roziman tersenyum lalu berjalan ke bahagian bertentangan, pintu kereta ditarik dan dia masuk.

            “Sekarang terangkan perancangan kau.” Kata Tengku Zainal sambil memandang tepat ke wajah Roziman.

            Roziman tersenyum sinis lalu menerangkan tentang perancangan yang sudah dia sediakan untuk menghancurkan keluarga Tuan Aliyes. Dendamnya terhadap Ashraf dan Hannah Irdina akan dibalas!.

Akhirnya mereka berdua tersenyum, membayangkan kejayaan yang bakal diperolehi sekiranya perancangan mereka berjalan dengan lancar.



Sudah dua hari sejak majlis persandingan mereka selesai. Hannah Irdina mengajak Ashraf tinggal di rumah ibunya pula untuk seminggu. Memang sejak mereka diijabkabulkan, dia sudah memaklumkan kepada Ashraf yang dia turut mahu menghabiskan masanya bersama ibunya sebelum dia bersetuju untuk mengikut Ashraf pulang ke bandar dan tinggal bersama Ashraf. Tambahan pula, Ashraf sudahpun bersetuju untuk mempelajari serba sedikit tentang perniagaan keluarganya. Tentu sahaja selepas semuanya selesai, Dia terpaksa meninggalkan ibunya dan mengikut suaminya itu.

            Terfikirkan akan hal itu membuatkan Hannah Irdina sedih, tidak sanggup rasanya dia ingin meninggalkan ibunya sendirian di rumah.

            ‘Dina kenapa?” Soal Ashraf prihatin. Dia merebahkan tubuhnya disebelah Hannah Irdina yang sedari tadi merenung lama syiling bilik.

            “Takde apa-apalah.” Dalih Hannah Irdina, tidak mahu membincangkan hal yang merunsingkan kepalanya.

            “jangan tipu abang, abang tahu Dina tengah fikirkan sesuatu.” Kata Ashraf sambil menarik tubuh Hannah Irdina supaya berbaring dalam pelukannya.

            “Dina fikirkan ibu.” Jawab Hannah Irdina pendek. Kepalanya diangkat dan dibaringkan atas lengan berotot Ashraf.

            “Apa yang sayang fikirkan?” Soal Ashraf sambil mengelus-elus lembut anak rambut Hannah Irdina.

            Soalan Ashraf menyebabkan Hannah Irdina mengeluh.

            “Dina runsing nak tinggalkan ibu sorang-sorang kat rumah.” Luah Hannah Irdina dalam kenduran suara.

            “Sayang janganlah risau pasal tu, kita bukannya pergi tak balik-balik. Insyaallah kalau hujung minggu, kita tiada hal, kita balik la jenguk ibu dengan Nek Nab. Kalau nak balik tiap-tiap minggu pun boleh. Bukan jauh sangat pun.” Kata Ashraf memujuk.

            “Dina cuma risau ibu sunyi bila Dina tiada.” Kata Hannah Irdina lagi.

            “Pasal tu lagi sayang tak perlu risau, abang jamin, Nek Nab mesti ‘import’ ibu pergi rumah dia. Bukan sayang tak tahu hubungan Nek Nab dengan ibu, macam aur dengan tebing, saling perlu dan memerlukan.” Seloroh Ashraf.

            “Abang ni…Dina serius la..” Kata Hannah Irdina meleret. Lengan Ashraf dicubit manja.

            “Ishhh…sayang ni, abang pun serius la.” Sambut Ashraf sambil mengurut-ngurut bekas cubitan.

            “Bang….”

            Belum sempat Hannah Irdina menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba terdengar suara Jamaliah menjerit meminta tolong dari arah ruang tamu. Sayu nada ibunya, seolah-olah ada sesuatu yang buruk sedang berlaku di luar bilik mereka.

            Terkejut Hannah Irdina dan Ashraf. Masing-masing berpandangan dengan wajah yang sudah berkerut bimbang.

            “Sayang tunggu sini, biar abang pergi tengok.” Ashraf bingkas bangun dari perbaringan.

            “Abang, Dina nak ikut.” Kata Hannah Irdina. Dia turut bangun.

            “Dina tunggu sini, biar abang pergi tengok.” Jawab Ashraf serius. Dia sudah tidak sedap hati. Pelbagai andaian bermain dibenaknya ketika itu.

            “Dina kunci pintu rapat-rapat, apapun yang terjadi, jangan buka pintu.” Pesan Ashraf sebelum berjalan menuju ke pintu.

            “Abang…hati-hati.” Sambut Hannah Irdina, entah kenapa, dia turut berasa tidak sedap hati.

            Ashraf hanya mengangguk seraya menghilang keluar bilik.

            Hannah Irdina cepat-cepat mengunci pintu. Walaupun bimbang dengan apa yang sedang berlaku namun pesanan Ashraf itu membuatkan dia yakin untuk mengunci dirinya dalam bilik.

            Lima minit selepas Ashraf meninggalkannya, Hannah Irdina terdengar Ashraf  pula menjerit, menyeru nama Allah.

            Jantung Hannah Irdina sudah berdegup kencang. Tidak tahu apa yang sedang berlaku diluar biliknya. Dia mula terfikir ingin keluar dan melihat sendiri apa yang sedang terjadi, namun pesanan Ashraf sebelum keluar tadi menyebabkan dia tidak jadi untuk keluar.

            Tubuhnya sudah menggigil ketakutan, air matanya mengalir tanpa diminta. Hannah Irdina takut. Takut dengan apa yang sedang berlaku. Dia juga bimbang. Bimbang dengan apa yang sudah terjadi kepada ibu dan suaminya. Adakah Ashraf dan ibunya dicederakan atau mungkin kedua-duanya sudah…..

            Tidak sanggup Hannah Irdina memikirkan kebarangkalian itu. Ketakutannya bertukar menjadi rasa sebak. Pantas dia panjatkan doa kepada Allah, supaya ibu dan suaminya itu selamat dari sebarang malapetaka.

            Leka melayani fikirannya, tiba-tiba pintu biliknya diketuk kasar. Hannah Irdina duduk memeluk lutut di atas katilnya. Esak tangisnya di tahan supaya tidak mengeluarkan bunyi. Takut untuk berhadapan dengan apa sahaja yang sedang berlaku diluar biliknya.

            Bertubi-tubi pintu bilik itu diketuk. Hannah Irdina menekup telinganya dengan tangan. Ketakutannya sudah membungkus hati. Terkumat kamit bibirnya membaca doa. Berharap agar semuanya berlalu dengan cepat.

            Namun hasrat Hannah Irdina itu tidak kesampaian apabila tiba-tiba pintu biliknya dirempuh sehingga terbuka luas. Hannah Irdina hanya memandang kosong ke arah tiga orang lelaki bertopeng yang berjalan laju menuju ke arahnya. Saat itu, fikiran Hannah Irdina kosong. Hanya bibirnya sahaja yang masih setia membaca doa tanpa mengeluarkan bunyi.

            Kedua-dua tangan Hannah Irdina ditarik kasar keluar dari bilik. Sewaktu melewati ruang tamu, dia terlihat ibunya yang terbaring dalam keadaan lemah. Masih dalam keadaan sedar tetapi ibunya itu tidak mampu untuk bangun.

            “Ibuuu….” Seru Hannah Irdina sayu. Namun rintihannya itu tidak sedikitpun membuatkan lelaki-lelaki itu simpati padanya. Tubuhnya ditarik kasar sehingga keluar dari rumah.

            Saat itu ingatan Hannah Irdina teraih pula pada suaminya Ashraf. Dimana Ashraf, kerana semasa melewati ruang tamu tadi, tiada kelibat Ashraf di situ. Apa yang sudah terjadi kepada Ashraf?. Air mata Hannah Irdina bertambah laju mengalir.

            ‘Ya Allah, kau selamatkanlah suami dan ibuku.’ Doa Hannah Irdina dalam hati.

            Saat tubuhnya di dorong naik ke dalam Van, Hannah Irdina hanya menurut dalam terpaksa. Tubuhnya dicampak kasar ke dalam van sehingga menyebabkan Hannah Irdina jatuh. Digagahkan badannya untuk bangun dan tatkala tubuhnya itu duduk dalam keadaan stabil, Hannah Irdina terpandangkan seraut wajah yang sedang tersenyum sinis memandangnya, dia tersentak.

            ‘Kita jumpa lagi.” Tegur lelaki itu.

            “Abang Rozi!, kenapa abang Rozi buat semua ni?” Soal Hannah Irdina memohon pengertian. Tidak faham kenapa lelaki itu tidak putus-putus mahu mengganggu hidupnya.

            “Sebab aku berdendam dengan kau!, dengan budak mentah tu!.” Jawab Rozima tanpa riak bersalah. Dia menjuihkan bibirnya ke arah sekujur tubuh yang sedang terbaring lesu di kerusi belakangnya.

            “Abang!.” Hannah Irdina terperanjat melihat arah yang ditunjukkan oleh Roziman. Dia bingkas bangun untuk pergi mendapatkan Ashraf namun ketika itu juga dia terasa tubuhnya dipaut dari belakang. Dan tanpa sempat dia mencerna apa yang berlaku, terasa ada tangan kasar yang menutup mulutnya dengan tuala yang lembap. Hannah Irdina kemudiannya terkulai tidak sedarkan diri..

P/s-akan bersambung selepas raya...harap semua suka la hendaknya ; )
             

           

           

11 comments:

  1. Apa ni Roziman?! Teruk betullah dia ni!

    ReplyDelete
  2. Patutnye Dina call la pak mertua atau polis ke.ni dok menangs

    ReplyDelete
  3. ishhhh kna culik lah plak..huhu

    ReplyDelete
  4. Ish geramlah dgn roziman ni
    SELAMAT HARI RAYA ye buat cik tulip

    ReplyDelete
  5. selamat hari raya buat cik tulip.selamat mengadun kuih raya ue.moga projek kuih raya berjalan dgn sukses..heheh...sambil tu fikir plot yg menarik...hikhik..tak sabar nak tunggu sambungannya...

    ReplyDelete
  6. suspen2..bru igt nk hepi2 sweet akak tulip..huhu..

    ReplyDelete
  7. Selamat Hari Raya Maaf Zahir & Batin kak Tulip...jgn lupa smbung tau..x sabar nk tau bab seterusnya...^_*

    ReplyDelete
  8. Apalah Dina nih, patut masa tgh kecoh-2 teponlah Polis. Ini duk diam dan menangis aje. Tgk apa jadi dgn Ashraf pun Dina tak tahu.

    P/S: Cik Tulip,
    Selamat hari Raya, Maaf Zahir Dan Batin. Jgn lupa lepas raya aje terus sambung bab seterusnya. okay...

    ReplyDelete
  9. Waaaaaa tidakkkkkkk....kesian Hannah ngn Ashraf :(

    ReplyDelete