Wednesday 10 October 2012

CINTA BUAT AKU-BAB 1

Terima kasih kepada yang meninggalkan komen. teruja membaca komen semua. Cik Tulip menghargai setiap kata-kata indah yang rakan pembaca titipkan :) Sekarang jom enjoy bab 1 CBA ;)

BAB 1

 

Sara Adelina berlari dan terus berlari. Sejauh mana kakinya membawa, sejauh itulah dia pergi. Detak jantungnya yang pada awalnya tadi berdegup laju sudah semakin mengendur. Sesekali dia menoleh ke belakang, memerhatikan sekiranya jejaknya dapat dikesan oleh konco-konco Pak Usunya. Beg kecil ditangannya didakap kejap. Cukup erat pelukan pada beg yang diisi dengan beberapa helai pakaiannya dan juga beberapa dokumen penting miliknya, satu-satu hartanya yang dibawa lari dari rumah kecil Pak Usu.

            Setelah pasti dia tidak diekori, Sara Adelina memperlahankan langkah. Setelah hampir satu jam berlari, barulah dia terasa sakit yang teramat sangat pada kakinya. Lantas dibawa pandangan matanya ke arah kaki. Kakinya itu tidak berlapik, selama dia berlari tadi dia tidak menyedari akan hal itu, bila rasa sakit terasa menyengat-nyengat kaki, barulah dia tersedar yang dia tidak memakai alas kaki. Dalam kelam kabut tadi, dia lupa untuk menyarungkan seliparnya.

            Nafas Sara Adelina turun naik, sekali sekala dadanya terasa sakit kerana kepenatan berlari tadi. Dia yang tadinya berlari-lari kecil mula berjalan perlahan-lahan. Keperitan yang dirasakan pada tapak kakinya menyebabkan dia tidak berdaya untuk berlari lagi. Namun Sara Adelina masih tidak berhenti berjalan, bimbang ditemui lelaki-lelaki yang mengejarnya tadi.

            Sara Adelina membuang pandang ke arah jalan raya yang gelap.  Ketika itu waktu mungkin sudah menginjak ke jam 12 malam dan selalunya pada waktu begitu, dia sudah lena diulit mimpi, namun malam itu dia terdampar di kawasan asing itu. Sara Adelina mula memperlahankan langkah apabila tiba di sebatang pokok besar, Disitu dia berhenti, tubuhnya disandarkan pada sebatang pohon besar di tepi jalan itu, dia sudah terlalu letih berlari lagi.

            Namun belum pun sempat dia melepaskan lelahnya, dari kejauhan dia ternampak balam-balam sinar cahaya dari lampu suluh di penghujung jalan. Dia pasti sinar lampu itu milik pengikut-pengikut Pak Usunya, Sara Adelina buntu. Baru tadi dia ingat dia sudah lari jauh, namun jejaknya terlalu mudah dikesan. Sara Adelina memandang sekeliling, dimana lagi dia mahu lari, sedangkan dia sudah tidak berdaya. Kudratnya sudah habis dikerah sepanjang hampir satu jam berlari tadi. Kakinya juga sudah melecet akibat bergeseran dengan tar jalan yang kasar.

            Air mata Sara Adelina mengalir , sungguh dia kehilangan ikhtiar saat itu. Tidak tahu bagaimana nasibnya sekiranya ditemui oleh lelaki-lelaki yang mengejarnya sebentar tadi. Lantas doa dipanjatkan, memohon perlindungan dari Allah, berharap dirinya selamat ketika itu.

            Sara Adelina gagahkan jua kakinya untuk melangkah, waktu itu dirasakan tubuhnya seakan-akan melayang. Kesakitan yang dirasakan pada tapak kaki dirasakan terlalu perit sehingga tidak tertanggung. Pandangan matanya mulai berbalam-balam. Dan dalam sinar lampu jalan yang malap itu, matanya tertangkap sebuah rumah banglo besar. Dilihatnya pintu pagar banglo itu terbuka luas, Sara Adelina tiada pilihan melainkan bersembunyi disitu, langkahnya diatur laju menuju ke halaman banglo. Dia sudah tidak peduli, hanya itu sahaja peluang yang dilihat ketika itu. Dia mengambil keputusan untuk berlindung disitu buat sementara waktu, pasti dia akan selamat dan tidak akan dijumpai, desis hatinya.

            Sejurus masuk ke halaman, Sara Adelina berjalan perlahan menuju ke susunan pasu besar. Cukup perlahan sehingga langkah kakinya tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Dia bimbang, bimbang penghuni rumah akan menyedari kehadirannya disitu. Dia hanya berniat mahu menumpang bersembunyi. Seawal pagi esok, sebelum seisi rumah bangun, dia akan pergi dari situ sebelum ada yang menyedari dia berada disitu. Itu rancangan Sara Adelina.

            Sara Adelina menghampiri susunan pasu besar yang ditanam dengan pelbagai jenis pokok. Apa jenis pokoknya Sara Adelina tidak tahu kerana samar malam menghalang pandangannya, yang dia pasti saiz pasu yang besar itu berupaya menampung saiz pokok yang juga besar. Hampir sebesar tubuhnya. Jika berselindung disebalik pasu itu pasti dia tidak akan ditemui.

Disitu Sara Adelina duduk, menyandar pada tembok rumah yang memagari kawasan banglo dua tingkat itu sambil memeluk lutut. Beg yang dibawa tadi didakap erat didada. Tubuhnya disandar ke tembok batu untuk melepaskan lelah. Tembok itu dibina tinggi sehingga melepasi paras kepalanya. Saat itu dia merasakan dirinya selamat. Selamat dari lelaki-lelaki yang mengejarnya tadi.

Keletihan yang dialami oleh Sara Adelina membuatkan matanya memberat. Semakin lama semakin memberat. Suasana suram menambahkan rasa mengantuknya. Seketika kemudian tanpa dia sendiri sedari, dia terlena.

 

“Puan, mari tengok sini.”

Suara jeritan yang ditangkap oleh telinga Sara Adelina membuatkan dia mencelikkan matanya perlahan-lahan. Matanya digosok-gosok dengan jari, dalam kesamaran dia ternampak batang tubuh orang sedang berdiri dihadapannya. Sebentar kemudian dia ternampak pula satu lagi bayang-bayang menghampirinya dengan laju. Sara Adelina masih lagi dalam keadaan mamai. Dia masih belum dapat mencerna apa yang sedang berlaku.

Pandangannya yang pada awalnya kabur semakin jelas. Dan sepantas itu dia memerhatikan sekeliling. Mindanya cuba memproses apa yang sedang berlaku dihadapannya. Beberapa saat kemudian dia tersedar, tersedar yang dia berada ditempat asing. Lantas kejadian malam tadi bermain semula dikepalanya.

            Sara Adelina bingkas bangun dari duduknya lalu berdiri. Tudungnya yang senget dan melurut ke hadapan dibetulkan. Baru dia tersedar dia berada di halaman banglo orang.

            “Kau siapa?” Soal Syarifah Raziah. Matanya tidak lepas dari memandang Sara Adelina yang berbaju kurung lusuh. Wajah Sara Adelina yang tertunduk itu cuba dijamah matanya.

Sementara seorang lagi perempuan yang berusia dalam lingkungan umur 60-an berdiri disebelahnya. Hanya menjadi pemerhati dan lebih senang berdiam diri.

            “Maafkan saya.” Hanya itu yang terluah dari bibir Sara Adelina. Persoalan Syarifah Raziah dibiarkan tidak berjawab. Wajahnya ditunduk memandang rumput hijau yang rata. Dia sedar akan ketelanjuran dirinya berada disitu. Mengikut perancangannya, dia akan meninggalkan banglo itu sebelum seisi rumah menyedari kehadirannya disitu namun apa yang terjadi sebaliknya. Mungkin keletihan menyebabkan dia terlena sehingga matahari terasa mencucuk-cucuk mata.

            “Kau siapa?, macam mana kau boleh masuk ke sini?” Soal Syarifah Raziah lagi. Tidak puas hati dengan jawapan pertama Sara Adelina.

            “Maafkan saya.” Ucap Sara Adelina untuk kali yang kedua. Kali ini dia cepat-cepat melangkah. Ingin meninggalkan dua orang wanita itu yang tertanya-tanya tentang dirinya. Bagi Sara Adelina, tidak perlu dia menjelaskan siapa dirinya. Dia hanya menumpang bersembunyi walaupun sedar tindakannya itu salah dan mendatangkan kecurigaan penghuni banglo itu. Sebelum kedua-duanya melanjutkan pertanyaan yang tidak boleh dia berikan jawapan, lebih baik dia segera beredar dari situ.

            “Nanti dulu.” Kata Syarifah Raziah. Kali ini nadanya lebih tegas dari pertanyaan sebelumnya.

            Sara Adelina berhenti melangkah. Telapak kakinya terasa berdenyut-denyut walaupun hanya beberapa tapak dia melangkah.

            “Macam mana kau boleh masuk ke sini?” Soal Syarifah Raziah lagi. Dia masih belum berpuas hati. Bagaimana boleh orang asing yang tidak dikenali itu masuk ke perkarangan banglonya. Apa tujuannya. Berniat buruk ataupun baik? Sebagai tuan rumah, dia tidak dapat lari daripada memikirkan perkara itu. Kemunculan Sara Adelina di halaman rumahnya menyebabkan hatinya terdetik rasa hairan.

            “Maafkan saya, pintu pagar rumah puan terbuka. Saya cuma menumpang tidur malam tadi.” Jawab Sara Adelina gugup. Bimbang bila nada tegas Syarifah Raziah dijamah telinganya. Memang salah dirinya menceroboh ke halaman rumah orang tanpa keizinan begitu.

            “Kau datang dari mana?” Soal Syarifah Raziah lagi, hairan apabila dilihatnya Sara Adelina mendakap erat sebiji beg kecil. Penampilan Sara Adelina ditenung lama, dari atas kepala hingga ke hujung kaki. Apabila matanya menyoroti kaki Sara Adelina dilihatnya gadis itu tidak bersepatu, hanya berkaki ayam. Di tepi telapak kakinya ada warna kemerah-merahan seperti darah yang sudah kering.

 Daripada pemakaian Sara Adelina, dia tahu gadis itu bukan orang jahat. Mungkin cuma gelandangan atau orang yang lari dari rumah.

“Maafkan saya, saya tak berniat buruk, saya cuma menumpang tidur malam tadi.” Kata Sara Adelina lagi. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu mendedahkan siapa dirinya. Langkah yang terhenti tadi disambung semula. Namun baru menapak beberapa langkah, dirinya disapa lagi.

“Nanti dulu.” Ucap Syarifah Raziah lagi.

Sara Adelina berhenti melangkah.

“Kau lari dari rumah?” Syarifah Raziah sambung menyoal.

Sara Adelina menghela nafas dalam, tentu tidak sukar bagi wanita separuh abad itu untuk membaca tingkah lakunya. Memang jelas dimata siapa-siapa pun, dengan beg yang dibawa. Tentu sahaja orang akan tahu yang dia sedang melarikan diri.

“Kau ada tempat nak tuju?” Soal Syarifah Raziah lagi. Ada rasa kasihan yang bertamu dihatinya saat itu. Wajah redup Sara Adelina seolah-olah menyimpan suatu rahsia. Wajah lembut itu juga tidak memperlihatkan sebarang kejahatan.

Sara Adelina menggeleng jujur. Memang dia tidak tahu harus membawa dirinya ke mana. Sejujurnya dia tiada tempat untuk dituju.

“Jom masuk dulu.” Pelawa Syarifah Raziah. Selepas puas dia memerhatikan tingkah Sara Adelina, dia tahu gadis itu bukan orang jahat.

“Mak Wati, tolong buatkan air, keluarkan sarapan sekali.” Arah Syarifah Raziah kepada wanita yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati.

Syarifah Raziah kemudiannya berjalan mendahului. Sementara Sara Adelina teragak-agak berjalan mengekori dari belakang. Apa pilihan yang dia ada. Untuk keluar dari situ, ke mana ingin dia tuju. Perlawaan Syarifah Raziah itu dilihatnya seperti orang mengantuk yang disorongkan bantal. Untuk sementara waktu, itu sahaja pilihan terbaik yang dia ada, menerima perlawaan wanita itu.

 

 

Ruang dalaman banglo dua tingkat itu nampak begitu indah di mata Sara Adelina. Kelihatan seperti istana. Kali pertama dia melihat hiasan dalaman yang begitu indah. Selama ini dia hanya kenal rumah kecil Pak Usunya. Yang ada pun hanyalah perabot-perabot kayu yang sudah usang.

 Mata Sara Adelina menangkap beberapa perhiasan kaca yeng bersinar-sinar yang tersusun rapi di atas rak almari kayu di satu sudut ruang tamu. Kemudian pandangannya dibuang pula pada sudut yang terdapat di tengah-tengah banglo. Di situ terletaknya tangga yang berlingkar hingga ke tingkat dua. Di sebelah kanan banglo itu terletaknya dapur dan ruang makan yang luas. Melihatkan keluasan ruang itu sahaja telah membuatkan Sara Adelina kagum, tentu penghuninya juga orang berada. Lahir dalam keluarga yang sederhana sepertinya membuatkan dia berasa takjub dan kagum.

            Sejurus masuk tadi, dia diminta duduk menunggu disitu. Pada awalnya dia menolak untuk masuk kerana sedar kakinya yang kotor, cukup sekadar dia menunggu di kerusi di luar sahaja, namun wanita separuh abad yang baru dikenali itu berkeras mahukan dia menunggu di dalam. Wanita yang belum dikenali namanya itu terus meluru ke tingkat atas sejurus masuk tadi, meninggalkan dia berseorangan disitu. Sementara wanita melepasi separuh abad yang dikenali sebagai Mak Wati tadi telahpun menghilang ke ruang dapur.

            Sedang leka Sara Adelina membuang pandang ke segenap ruang banglo, telinganya menangkap tangisan bayi kecil. Dia pantas mencari arah tangisan yang didengar. Setelah pasti dari arah mana suara itu datang, Sara Adelina bangun dan berjalan menuju ke tempat itu, dilihatnya terdapat sebiji katil bayi yang terletak bersebelahan dengan tingkap. Sara Adelina berjalan perlahan menghampiri katil kecil itu. Sepanjang pemerhatiannya tadi tidak pula dia perasan ada katil bayi disitu. Mungkin dia terlalu takjub dengan hiasan dalaman rumah itu sehingga menyebabkan dia tidak perasan dengan apa yang dilihatnya.

            Semakin dekat, semakin kuat bunyi tangisan yang ditangkap telinganya, tiba di katil kecil berwarna merah jambu itu Sara Adelina lihat ada bayi kecil yang sedang menangis. Tangannya terkapai-kapai seiring tangisan yang keluar dari bibir kecil itu. Melihatkan tangisan bayi itu yang bertali arus, cepat-cepat Sara Adelina angkat tubuh kecil itu ke dalam dukungannya. Didakapnya anak kecil itu rapat ke dadanya. Botol susu yang terletak di sisi katil kecil itu diraih dan kemudian disuapkan ke dalam mulut bayi itu. Serta merta tangisannya terhenti. Sara Adelina mendodoikan bayi itu sehingga kembali terlena. Kemudian, perlahan-lahan dibaringkan semula anak kecil yang tidak berbedung itu ke katilnya.

            Sementara disudut tangga Syarifah Raziah memandang perlakuan Sara Adelina penuh syahdu. Terasa matanya bergenang dengan air saat menyaksikan Sara Adelina menenangkan bayi kecil itu. Dia melangkah perlahan menghampiri tepi katil kecil itu, tempat Sara Adelina sedang berdiri.

            “Cucu puan?” Soal Sara Adelina apabila Syarifah Raziah berdiri betul-betul disebelahnya.

            Syarifah Raziah hanya mengangguk, dia kemudian berjalan menuju ke sofa diikuti Sara Adelina.

            “Siapa nama kau?” Soalan pertama yang keluar dari mulut Syarifah Raziah selepas mereka berdua duduk di sofa.

            “Sara Adelina, panggil Sara je”. Jawab Sara Adelina pendek.

            “Saya Syarifah Raziah, panggil umi sahaja.”Ucap Syarifah Raziah tanpa ditanya.

            “Sara ada tempat tinggal?” Soal Syarifah Raziah lagi. Dia pasti gadis dihadapannya itu sedang menghadapi masalah. Jika tidak masakan Sara Adelina keluar berkaki ayam dengan membawa beg baju ditangan.

            Sara Adelina menggeleng lemah, wajahnya ditunduk ke lantai. Dia sendiri tidak pasti dengan hala tujunya selepas itu. Tiada tempat untuk dia tujui.

            “Sara nak kerja di sini, bantu Mak Wati?” Soal Syarifah Raziah terus terang. Selepas terlihat Sara Adelina mendukung anak kecil tadi, hatinya tersentuh. Tentu sahaja Sara Adelina mampu membantu serba sedikit untuk menjaga bayi kecil itu.

            Sara Adelina angkat wajahnya, memandang terus ke arah Syarifah Raziah.

            “Puan nak bagi Sara kerja di sini?” Soal Sara Adelina dengan wajah yang penuh tanda tanya. Benarkah apa yang didengarinya kala itu, Syarifah Raziah menawarkan dia pekerjaan, betul-betul sesuatu yang diluar jangkaannya.

            “Sara boleh bantu Mak Wati, lagipun Mak Wati dah uzur, tak mampu nak uruskan rumah dan jaga Emma Safiya dalam masa yang sama.” Lanjut Syarifah Raziah sambil membuang pandang ke katil bayi kecil tadi. Tiba-tiba hatinya sayu mengenangkan nasib anak kecil itu.

            “Puan betul-betul tawarkan Sara kerja di sini?” Soal Sara Adelina lagi, tidak percaya dengan apa yang dijamah telinganya sebentar tadi. Kalau betul Syarifah Raziah serius menawarkan dia kerja, dia lebih daripada gembira. Sekurang-kurangnya selesai sudah satu masalahnya.

            “Mak Wati dah 65 tahun, kadang-kadang tak sihat, kalau Sara kerja sini, boleh bantu Mak Wati sikit-sikit, tambahan pula Emma tiada penjaga.” Sambung Syarifah Raziah.

            Sara Adelina tersenyum nipis, walaupun tidak faham sepenuhnya dengan hitam putih kisah keluarga Syarifah Raziah, namun tawaran seperti itu memang tidak boleh ditolak. Dia memang amat memerlukan sesuatu untuk bergantung untuk sementara waktu, sekurang-kurangnya sehingga dia boleh memikirkan langkah seterusnya yang boleh dia ambil.

            “Macam mana?” Soal Syarifah Raziah, meminta keputusan Sara Adelina.

            “Kecil tapak tangan, nyiru Sara tadahkan. Kalau Puan betul-betul percaya pada Sara, Sara berbesar hati.” Ucap Sara Adelina dengan pandangan berkaca. Terasa sayu apabila Syarifah Raziah sanggup menawarkan dirinya pekerjaan walaupun mereka baru berjumpa dan berkenalan.

            “Kalau macam tu, Sara boleh terus mula bekerja. Pasal bilik Sara, nanti Umi minta Mak Wati uruskan.” Lanjut Syarifah Raziah. Walaupun masih ragu-ragu dengan keputusan yang diambil namun Syarifah Raziah tetap merasakan itu pilihan terbaik yang dia ada saat itu. Bila melihat Sara Adelina mendukung Emma Safiya tadi, dia pasti Sara Adelina merupakan pilihan tepat. Tidak mungkin gadis sepolos Sara Adelina itu orang jahat. Itulah yang difikirkan Syarifah Raziah dalam hatinya. Dia menaruh kepercayaan sepenuhnya pada Sara Adelina walaupun gadis itu baru dikenalinya tidak sampai setengah hari.

 P/s-harap semua enjoy dengan n3 kali ni :)

10 comments:

  1. alaalalaallalalala...jauh lg la critenye ye...update la slalu

    ReplyDelete
  2. Best :)))

    regards,
    Amoy Seop.

    ReplyDelete
  3. tak sabar nak tau cerita seterusnya..harap Cik Tulip cepat update ye...

    ReplyDelete
  4. mukadimah jer dh trajis dek.....best n nk gggg

    ReplyDelete
  5. Siapa sebenarnya Sara Adelina ni....

    ReplyDelete
  6. best....karya cik tulip memang selalu x menghampakan....cpt la upload next episod...x sbr nk tau citer ni...:)

    ReplyDelete
  7. Permulaan yg baik... best!!! ♡♥♡♥

    -Ika Hatika-

    ReplyDelete
  8. kesian sara....

    ReplyDelete