Tuesday 16 October 2012

CINTA BUAT AKU-BAB 2

Kepada yang tinggalkan komen, terima kasih byk2..berbunga hati cik tulip membaca komen semua :)
jom ikuti bab 2 CBA, kalau suka bgtahu ye...


BAB 2

 

Sapari melempar beberapa keping wang RM50 kepada beberapa orang lelaki yang sedang duduk-duduk di kedai kopinya. Hangat hatinya melihat wajah selamba orang suruhannya itu.

            “Tak kan banyak ni je bang Sapar.” Kata Burn, lelaki berjambang lebat itu merungut.

            ‘Kerja korang macam taik, nak suruh aku bagi banyak-banyak.” Sahut Sapari kasar. Hilang sabarnya bila anak-anak buahnya itu lansung tidak berjaya melaksanakan tugas yang diberi malah bila mendapat upah masih mahu merungut-rungut.

            Ala bang, kitaorang pun penat juga, kejar tengah-tengah malam buta tapi banyak ni je abang bagi.” Kata Jerung sambil menunjuk wang kertas lima puluh ringgit itu dimata Sapari.

            “Aku suruh korang tangkap perempuan tu pun korang tak dapat, ini nak mintak upah lebih-lebih. Dia sorang tapi korang bertiga!. Itu belum masuk lagi bab dia tu perempuan tapi korang lelaki. Buat kerja macam pondan. Nama je lelaki tapi nak tangkap sorang perempuan pun tak mampu!.” Tukas Sapari sinis.

            Ala bang, kan waktu tu waktu malam, mana la kitaorang nampak dia lari kat mana.” Sahut Rudi sekaligus membela dirinya dan rakan-rakan yang lain.

            “Habis tu macam mana dengan gerai aku ni, sekarang Sara dan takde, makin kurang la pelanggan aku nanti.” Rungut Sapari, wajah anak-anak buahnya itu dipandang geram. Sudahlah kerja yang diberi tak selesai tapi upah mahu lebih. Panas hatinya bila mendengar rungutan mereka itu.

            “Abang cari la perempuan lain ganti dia, bukan takde anak dara kat kampung ni, ramai lagi. Lagipun ramai yang tengah cari kerja sekarang ni. Kalau bang Sapar offer mesti ramai yang nak kerja.” Kata Burn lagi.

            “betul tu bang, setakat buat air, goreng mee, buat nasi lemak tu, sape-sape pun boleh buat. Bukan susah sangat pun.” Tambah Rudi.

            “Bodoh betul la korang ni, kalau ambik perempuan lain, tentu la aku kena bagi upah. Kalau Sara tu je kerja, tak payah aku keluar duit. Dia tu anak buah bini aku.”Tukas Sapari.

            “Betul juga tu.” Kata Burn. Dia tersenyum sumbing memperlihatkan giginya yang jarang dan kekuningan.

            “Kalau dah bodoh tu, sampai ke mati pun bodoh juga.” Sindir Sapari. Dia kemudiannya bangun dan berlalu meninggalkan anak-anak buahnya yang hanya tersenyum sumbing mendengarkan kata-katanya.

 

 

Beg plastik berisi pakaian di lantai rumahnya disepak kasar. Terburai isi plastik apabila plastik itu terlanggar dinding. Sapari merengus geram. Pakaian dari dalam plastik yang bertaburan di lantai dilihat geram. Pakaian yang baru dibeli seminggu lalu itu cadangnya hendak diberi kepada Sara Adelina tetapi apabila Sara Adelina bertindak melarikan diri dari rumahnya, semua rancangannya musnah.

            Sapari duduk di kerusi kayu yang usang. Rambutnya yang sedikit beruban di bahagian kiri dan kanan dilurut kasar. Dia tahu kenapa Sara Adelina melarikan diri. Gadis itu pastinya tidak bersetuju dengan cadangannya beberapa minggu lepas. Sapari mengimbas kembali perbualannya bersama anak buah isterinya itu. Dia amat-amat pasti kerana itulah Sara Adelina melarikan diri.

            “Sara tak nak buat macam pak usu suruh.” Kata Sara Adelina tegas. Mustahil untuk dia bersetuju dengan permintaan Sapari.

            “Kau bukan tak tahu pelanggan aku tu semua suka kat kau. Aku cuma nak majukan lagi perniagaan aku, nanti kau pun tumpang senang juga.”Sahut Sapari.

            “Tapi apa yang pak usu suruh Sara buat tu berdosa, pak usu suruh Sara buka tudung, pakai baju seksi. Sara tak nak buat semua tu. Sara tak nak buat benda yang Allah tak suka.” Kata Sara Adelina lagi. Baginya permintaan Sapari amat keterlaluan. Dia tidak boleh bersetuju sahaja apabila Sapari memintanya membuka tudung. Tambahan lagi Sapari turut menyuruhnya mengenakan pakaian ketat yang mendedahkan sebahagian tubuhnya. Sebagai seorang yang terdidik dengan ajaran agama, dia tidak mahu lakukan semua itu. Dia takutkan dosa, takutkan neraka.

            “kau setuju atau tak, aku tak peduli, yang aku tahu minggu depan kau pakai baju yang aku beli tu.” Kata Sapari kasar. Dia bangun untuk berlalu sejurus mengeluarkan kata-kata itu. Panas hatinya bila Sara Adelina membantah kata-katanya.

            Sara Adelina dilihatnya sudah terduduk di kerusi kayu di tengah-tengah rumah. Ugutan itu membuatkan Sara Adelina  rasa cuak dan sebak dalam masa yang sama. Semenjak mak usunya meninggal dunia, Sapari tanpa segan silu cuba mencorak kehidupannya. Dan yang paling dia tidak tahan, lelaki itu sudah berani memerintahkan dirinya melakukan dosa. Dia tidak betah lagi berada disitu lagi. Bimbang dengan nasib dirinya. Entah apa lagi perancangan Sapari sekiranya dia terus tinggal di situ.

 

Sapari menyedut dalam rokok yang terselit dijarinya. Semua perancangan sudah dia aturkan dengan baik. Dia amat pasti Sara Adelina akan mengikut kata-katanya. Namun apabila Sara Adelina bertindak melarikan diri dari rumahnya, dia jadi berang. Jika dia berjumpa di mana Sara Adelina bersembunyi, tahulah dia bagaimana dia mahu mengajar anak saudara arwah isterinya itu. Semenjak isterinya meninggal dunia, memang Sara Adelina seringkali sahaja meningkah kata-katanya.

            Jika tidak difikirkan perniagaan kecilnya itu, sudah lama dia kahwinkan Sara Adelina dengan sesiapa sahaja yang bertanya. Namun memikirkan semua pelanggannya menyukai kehadiran dan layanan dari Sara Adelina, dia tidak bercadang menyerahkan Sara Adelina kepada orang lain dahulu. Biarlah Sara Adelina menjadi sumber pandapatannya dahulu. Jika kewangannya sudah stabil barulah dia akan memikirkan langkah seterusnya samaada mahu menikahkan Sara Adelina atau sebaliknya.

            Namun semua itu hanya tinggal impiannya sahaja. Anak buah isterinya itu dengan beraninya melarikan diri dari rumahnya. Sapari memang cukup marah dengan tindakan Sara Adelina itu. Kerana Sara Adelina, kini dia dimarahi oleh kesemua pelanggan gerainya. Ada juga sebahagiannya yang sudah tidak lagi berkunjung ke gerainya malah ada yang mengugut, sekiranya Sara Adelina tidak kembali bekerja, mereka akan terus berhenti dari mengunjungi warung Sapari itu.

            Bertambah bingung kepala Sapari memikirkan semua itu. Jika Sara Adelina tidak ditemukan secepat mungkin, perniagaan kecil miliknya akan musnah. Hancurlah perancangan masa depannya. Bagaimana dia ingin menyara hidupnya jika perniagaannya musnah. Hanya itu sahaja sumber pendapatan yang dia miliki.

 

 

Syed Ziqri duduk termenung lama di tepi tasik itu. Sejak dua bulan yang lalu itulah rutin sehariannya. Dia tidak betah berlama-lama di rumah, masanya banyak diluang di luar rumah. Kerja pejabatnya juga sudah dua bulan tertangguh. Semua diserahkan bulat-bulat pada uminya. Pada waktu itu, dia tidak mampu berfikir dengan tenang. Fikirannya kacau, jiwanya galau.

            Wajahnya yang dipenuhi jambang diraup kasar, kehilangan Sofiya  dua bulan yang lalu benar-benar membuatkan dia hilang arah. Hidupnya terumbang ambing akibat kehilangan itu. Hatinya bagai ditusuk-tusuk dengan pisau tajam dan sakitnya terasa menghiris. Tangkai hatinya terasa direntap kasar. Walaupun bernyawa, namun dia umpama mayat hidup.  Hidupnya kini tiada tujuan yang pasti.

            Syed Ziqri membuang pandang ke hujung tasik, empat tahun dahulu, disitu lah detik awal perkenalan dirinya dan Sofiya. Tangannya pantas mengutip batu kecil dan membaling ke tengah air tasik. Air tasik itu beriak kecil apabila batu mencecah permukaan air. Sebentar kemudian, air tersebut kembali tenang.

Syed Ziqri memandang kosong ke pondok-pondok kecil yang dibina sepanjang tasik. Hampir setiap pondok punyai penghuni dan kebanyakan penghuni di situ adalah pasangan yang bercinta. Tiba-tiba Syed Ziqri berasa cemburu. Cemburu kerana dia tidak mampu lagi merasai cinta yang sebegitu. Cemburu kerana cintanya telah pergi dan hilang.

Puas termenung jauh, dia bangun. Menghayun langkah kakinya lemah menuju ke kereta. sejak dua bulan yang lalu, itulah rutinnya. Berjalan tanpa arah tujuan. Nasihat Uminya umpama mencurah air ke daun keladi. Lansung tidak terkesan dihatinya.

 

Jam sudah menginjak ke angka satu pagi waktu Syed Ziqri tiba di rumah, seluruh banglo itu sudah bergelap saat dia memarkir keretanya tadi. Terasa sunyi apabila seluruh rumah sudah lama lena diulit mimpi. Lebih sunyi lagi apabila tiada apa lagi yang tertinggal untuknya disitu.

            Dia melangkah keluar dari kereta, langkah lemahnya diatur laju menuju ke biliknya. Tiba di tingkat dua banglo itu, Syed Ziqri hairan dan pelik, dilihatnya lampu bilik tetamu bersebelahan biliknya terpasang terang. Bilik yang menghala ke halaman belakang itu berkembar dengan biliknya. Bilik itu jugalah yang menempatkan Emma Safiya pada waktu malam. Dan biasanya Syarifah Raziah akan membawa Emma Saffiya tidur bersamanya di bilik tidur utama. Terdetik rasa hairan dihatinya saat itu. Tidak mungkin Mak Wati bermalam disitu kerana selama ini tidak pernah Mak Wati bermalam di rumah mereka. Biasanya Mak Wati akan pulang pada sebelah petang. Paling lewat pun wanita melepasi separuh abad itu akan pulang selepas magrib.

            Namun untuk bertanya kepada Uminya, Syarifah Raziah tentang persoalan dalam kepalanya itu, Syed Ziqri tidak berminat. Dia malas mengambil tahu tentang perkara itu. Lantas langkahnya diatur laju menuju ke katil sejurus masuk ke bilik. Badannya yang letih itu ingin direhatkan diatas katil. Sejurus tiba di katil, terus sahaja tubuhnya direbahkan ke tilam. Tidak sampai sepuluh minit terdengar dengkuran kecil. Syed Ziqri sudahpun terlena.

 

 

Syed Ziqri memandang pelik gadis yang sedang membantu Mak Wati di dapur, sejak turun untuk bersarapan tadi, matanya tertangkap kelibat Sara Adelina. Kali pertama melihat gadis muda di rumahnya. Dia hairan, setahunya Mak Wati tiada anak perempuan, siapa pula yang datang membantu Mak Wati pagi itu? Namun, berat untuk mulutnya utarakan pertanyaan kepada Mak Wati. Dia malas berfikir tentang perkara yang tiada kaitan dengan dirinya.

            Sarapan yang tersedia di depan mata dijamah separuh hati. Selera yang hilang sejak dua bulan lalu masih lagi tidak berubah. Dia makan sekadar mengisi perutnya yang kosong. Nikmat makan sudah tiada sejak Syarifah Irma Sofiya pergi meninggalkannya sendirian untuk menjalani kehidupannya.

            Usai bersarapan, Syed Ziqri menapak ke halaman rumah. Dia tiada perancangan untuk hari itu. Punggungnya dilabuhkan di salah satu barisan kerusi yang menghiasi halaman. Sejak dua bulan yang lalu dia kerap menghilang di luar, itulah rutin barunya sejak isterinya pergi, namun pada hari itu dia ingin berehat-rehat di rumah sahaja. Entah kenapa, tubuhnya rasa terlalu penat dan letih. Mungkin penangan rutin biasanya yang telah berubah sejak dua bulan yang lalu.

 

 

Mak Wati meminta Sara Adelina mengemas meja makan di ruang depan selepas Syed Ziqri usai bersarapan tadi. Sebagai orang yang telah lama berkhidmat di situ, dia sudah faham dengan kerenah Syed Ziqri. Bagi tuan mudanya itu, pantang kalau meja makan lambat dikemas selepas mereka sekeluarga siap menjamu selera. Walaupun semenjak dua bulan ini, sikap Syed Ziqri berubah dan tidak lagi menitik beratkan akan hal-hal sebegitu namun sebagai pekerja berhemah, Mak Wati tidak pernah mengambil kesempatan. Rutinnya masih diteruskan seperti biasa.

            “Sara dah siap kemas meja makan?” Tanya Mak Wati sejurus Sara Adelina mengaturkan semua lebihan makanan di kaunter tengah yang terletak di tengah-tengah ruangan dapur basah itu.

            “Dah Mak Wati.” Sahut Sara Adelina lembut. Sepanjang dia bersama Mak Wati seawal pagi tadi, wanita tua itu tidak jemu-jemu mengajar dia itu dan ini. Tuturnya yang lembut membuatkan Sara Adelina berasa selesa. Selesa dengan kemesraan yang dipamirkan diwajah tua Mak Wati. Sekurang-kurangnya terubat sedikit rindunya pada arwah maksunya dulu.

            “Kalau dah siap, pergi tanya Tuan Syed, dia ada perlukan apa-apa tak.” Suruh Mak Wati lagi. Sebagai pekerja lama, dia sudah bersedia untuk menurunkan kerjanya kepada orang baru. Tambahan pula usianya sudah meningkat tua. Dia tidak sekuat dahulu. Terlanjur Sara Adelina bekerja di situ, akan diajarkan sedikit demi sedikit kemahiran untuk Sara Adelina bekerja di situ. Supaya mudah mengambil alih tugasnya kelak.

            “Baik Mak Wati.” Kata Sara Adelina lurus. Dia terus bergerak menuju ke pintu utama banglo. Pengalaman bekerja sebagai pembantu rumah yang baru mula nak berputik menyebabkan dia bertindak di atas arahan yang diberi. Segala kata-kata Mak Wati diturut tanpa banyak soal.

            Sejurus sampai di meja batu, dilihatnya Syed Ziqri sedang leka menyelak akhbar di tangan. Akhbar yang dihantar oleh seorang budak lelaki seawal pagi tadi. Pada mulanya dia sendiri hairan kenapa tiba-tiba Mak Wati meminta dia keluar mengambil surat khabar di halaman rumah. Apabila dia lihat sendiri, barulah dia tahu kawasan perumahan itu disediakan dengan perkhidmatan penghantaran surat khabar seawal pagi. Untunglah menjadi orang kaya, semua perkhidmatan ada tersedia.

            “Tuan Syed ada perlukan apa-apa?” Soal Sara Adelina lembut sejurus dia berdiri betul-betul dihadapan Syed Ziqri. Wajah Syed Ziqri yang tertunduk tekun menyelak halaman demi halaman akhbar ditangannya tidak jelas dimata Sara Adelina.

            “Ambilkan air kosong suam segelas.” Balas Syed Ziqri tanpa menoleh. Fokusnya masih pada akhbar.

            “baiklah.” Jawab Sara Adelina seraya berlalu ke dapur.

            Lima minit kemudian Sara Adelina kembali membawa segelas air kosong suam.

            “Ini airnya Tuan Syed.” Kata Sara Adelina seraya meletakkan gelas itu di atas meja. Dia kemudiannya berlalu apabila Syed Ziqri tidak bersuara dan masih tekun membaca.

 

 

“Siapa perempuan yang tolong Mak Wati tu?” Soal Syed Ziqri sambil membuang pandang ke arah Sara Adelina yang sedang leka mencabut rumput kecil di hujung sudut halaman.

            “Sara Adelina.” Jawab Syarifah Raziah pendek. Wajah Syed Ziqri yang dipenuhi jambang yang tumbuh meliar dilihat lama. Sudah lama anak lelakinya itu tidak lekat di rumah seperti hari itu.

            “Orang mana la yang umi kutip tu, macam naïf sangat Ziq tengok.” Kata Syed Ziqri. Dia teringat kembali penampilan Sara Adelina semasa kali pertama dia melihat Sara Adelina seawal pagi tadi.

            “Entah la, umi tengok macam perempuan baik.” Ucap Syarifah Raziah lagi. Dia turut membuang pandang ke arah yang sama. Kemudian matanya dialih supaya memandang Syed Ziqri semula. Sudah hampir dua bulan dia dan Syed Ziqri tidak berbual seperti itu. Melihatkan perubahan itu walaupun sedikit, hatinya terasa senang.

            “Dah takde calon lain lagi ke?” Kata Syed Ziqri berbaur sinis. Kenaifan Sara Adelina membuatkan dia rasa kurang selesa kerana dia tidak suka melihat perempuan yang kelihatan lemah. Baginya, kaum wanita harus berpenampilan menarik, tegas dan yang paling penting, haruslah berkerjaya.

            “Emma perlukan orang yang boleh jaga dia, dan umi tengok Sara tu macam sesuai.” Kata Syarifah Raziah tanpa menghiraukan nada sinis Syed Ziqri.

            Syed Ziqri terdiam. Memang setiap kali isu Emma Safiya dibangkitkan, dia lebih suka berdiam diri.

            “Ziq bila nak mula masuk office?” Soal Syarifah Raziah bila dia dapat mengesan perubahan tingkah laku anaknya itu apabila isu Emma Safiya dibangkitkan.

            “Entahlah umi, Ziq masih belum sedia, masih perlukan masa.” Kata Syed Ziqri dalam keluhan.

            “Sampai bila Ziq nak macam ni, Emma tu perlukan kasih sayang ayah. Janganlah Ziq salahkan dia atas apa yang berlaku. Emma tak berdosa, Ziq tak boleh hukum Emma atas takdir Allah ni. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Dan Ziq kena jalankan tanggungjawab Ziq pada Emma.” Luah Syarifah Raziah sekaligus menyelitkan kata-kata nasihat.

            “Ziq naik dulu la umi, nak rehat-rehat.” Kata Syed Ziqri seraya bangun dan berlalu. Sejujurnya dia tidak mahu melanjutkan perbincangan itu bersama Syarifah Raziah. Entah kenapa, hatinya belum terbuka untuk membincangkan isu itu dari hati ke hati. Dia belum bersedia mahu membuka semula cerita yang memalitkan rasa pedih di hatinya.

            Sementara Syarifah Raziah pula mengeluh dalam. Kusut kepalanya memikirkan Syed Ziqri. Satu-satunya anak lelaki yang dia miliki itu memang keras kepala. Selalu suka membuat pertimbangan sendiri. Jarang sekali mahu menerima nasihat orang.

harap semua suka :)

4 comments:

  1. Wohooooo best3,,,,, xsabar tgu part Sara ngn ziqri kahwin nnti,,,,,

    ReplyDelete
  2. suka..suka..suka..sangat teruja nak baca chapter yg seterusnya..

    ReplyDelete
  3. teruja nak baca n3 seterus nye dek....lajy2 tempek ye dek!!!

    ReplyDelete
  4. waa... best3x.. next n3 pls.. hehehe melampau tak?

    ReplyDelete