Sunday 21 October 2012

CINTA BUAT AKU -BAB 3

maaf la kalau n3 ni pendek sikit..tak sempat nak edit,huhu. harap semua enjoy..kalau suka bagitahu :)


BAB 3

Syarifah Raziah hanya memerhatikan Sara Adelina dari kejauhan. Sepanjang dua bulan Sara Adelina berada di situ dia cukup suka melihat Sara Adelina melakukan semua kerja-kerja dia rumahnya. Sejuk hatinya memerhatikan kelembutan Sara Adelina. Cara Sara Adelina melayani Emma Saffiya membuatkan hati ibunya tersentuh.

            Semenjak Sara Adelina bertindak mengambil alih tugas Mak Wati sepenuhnya, Syarifah Raziah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada gadis itu untuk menguruskan rumahnya. Sejurus Mak Wati menyatakan hasratnya untuk bersara, dia tidak lagi menghalang. Memandangkan wanita yang sudah dianggap seperti kakak itu sudah beberapa kali memohon untuk bersara kerana ingin menghabiskan masa bersama-sama anak-anak. Syarifah Raziah turutkan sahaja permintaan Mak Wati kerana dia tahu Sara Adelina sudah ada bagi menggantikan tempat yang akan ditinggalkan oleh wanita itu. Tiada guna dia menahan Mak Wati di situ kerana wanita itu juga ada perancangannya sendiri.

Syarifah Raziah sudah cukup bersyukur dengan kehadiran Sara Adelina. Andai dia dikurniakan anak perempuan suatu waktu dahulu, pasti dia mahukan anaknya itu persis Sara Adelina. Taat, setia dan baik hati. Terlalu naïf pada pandangan matanya. Tingkah gadis itu cukup menyejukkan hatinya.

            Syarifah Raziah kemudiannya termenung untuk seketika. Selama sebulan yang lepas, dia sudah mula terfikirkan sesuatu. Namun untuk dia suarakan hal itu kepada Syed Ziqri terasa berat pula mulutnya ingin berbicara. Takut sekiranya Syed Ziqri membantah. Dan lebih takut lagi kalau Syed Ziqri melenting. Namun memikirkan semua kebaikan yang perkara itu akan bawa membuatkan Syarifah Raziah nekad. Dia mahu menyuarakan rasa hatinya itu kepada Syed Ziqri. Selebihnya terpulanglah kepada Syed Ziqri untuk membuat keputusan. Walau Syed Ziqri menentang sekalipun, dia sudah cukup berpuas hati. Sekurang-kurangnya dia cuba menyampaikan perkara itu yang lama dipendam dalam hatinya.

            Syarifah Raziah bangun dan berlalu ke bilik Syed Ziqri. Ingin dia bincangkan hal itu bersama Syed Ziqri. Dia tidak mahu menangguh lebih lama lagi. Lebih cepat dia berbincang dengan Syed Ziqri, lebih cepat perkara itu selesai. Syarifah Raziah mula berlapang dada.

 

“Masuk.” Terdengar suara Syed Ziqri mengarahkan dari dalam bilik.

            Syarifah Raziah tanpa membuang masa terus menguak daun pintu bilik lalu berjalan perlahan memasuki bilik. Langkahnya dihayun menuju ke arah Syed Ziqri yang duduk santai di kerusi bersebelahan balkoni bilik sambil membuang pandang ke arah halaman rumah.

            “Ziq sibuk?” Soal Syarifah Raziah lembut seraya mengambil tempat bersebelahan Syed Ziqri. Dia turut membuang pandang ke arah yang diperhatikan oleh Syed Ziqri.

            Syed Ziqri hanya menjawab soalan Syarifah Raziah dengan memandang ke arah wajah ibunya itu.

            “Ziq tengok Sara?” Soal Syarifah Raziah dalam senyuman. Pandangan Syed Ziqri kepadanya cukup menjelaskan perlakuan anak lelakinya itu sebentar tadi.

            “Ada juga perempuan naïf macam tu.” Kata Syed Ziqri senada. Sejujurnya penampilan dan perlakuan Sara Adelina menarik perhatiannya. Kali pertama dia melihat gadis senaif Sara Adelina. Malah bukan sekadar naïf malah terlalu naïf pada pandangan matanya. Selama dia hidup, belum pernah dia bertemu dengan gadis begitu. Selalunya gadis yang pernah menjadi kenalannya terdiri daripada gadis-gadis yang berpenampilan menarik, berdikari dan yang paling dia suka, ramai antara kenalannya yang matang dan boleh membuat keputusan sendiri dan bukannya bertindak di atas arahan sebagaimana yang dia kesan ada pada Sara Adelina.

Malah arwah isterinya juga merupakan wanita dari golongan yang begitu. Bijak, berpenampilan menarik, berdikari dan boleh membuat keputusan sendiri. Namun tidak dapat dinafikan juga, kehadiran Sara Adelina turut membuatkan perhatiannya lari dari meratapi kehilangan isteri kesayangannya itu. Dia kini lebih banyak memerhati dan mengkaji kelainan pada perwatakan Sara Adelina. Ada sesuatu pada gadis itu yang menarik perhatiannya.

Syarifah Raziah hanya tersenyum nipis menanggapi kata-kata Syed Ziqri.

“Umi ada perkara nak dibincangkan dengan Ziq.” Suara Syarifah Raziah perlahan sambil matanya memandang ke arah Sara Adelina. Lama.

“Perkara apa?” Soal Syed Ziqri penuh minat. Semenjak kebelakangan ini, tidak pernah dia duduk berbincang bersama ibunya itu. Malah seingatnya semenjak Syarifah Irma Sofiya tiada, mereka belum pernah berbincang dari hati ke hati.

“Kalau umi suarakan hal ni, umi harap Ziq tak marah.” Ucap Syarifah Raziah perlahan. Tuturnya itu dilembutkan. Seboleh-bolehnya dia ingin menyampaikan hal itu dengan cara yang berhemah.

Syed Ziqri sudah mula mengerutkan keningnya. Pelik dengan bicara yang terluah dari bibir uminya itu.

“Umi harap Ziq boleh fikirkan cadangan umi ni.” Sambung Syarifah Raziah lagi.

Wanita itu kemudiannya menyambung.

“Umi ingat nak jodohkan Ziq dengan Sara.” Ucap Syarifah Raziah terus terang. Ringkas dan padat kata-katanya. Terus pada maksudnya. Memang sejak kebelakangan ini, itulah yang dia fikirkan.

Sementara Syed Ziqri sudahpun membiaskan riak terkejut diwajahnya. Hairan dengan saranan uminya itu.

“Umi nak Ziq kahwin dengan Sara?” Soal Syed Ziqri tenang. Sejujurnya dia inginkan kepastian untuk kali yang kedua.

Syarifah Raziah tidak menjawab sebaliknya hanya menggangguk menzahirkan jawapannya.

“Umi, Sofiya baru pergi empat bulan, tak mungkin secepat tu Ziq nak cari pengganti.” Ucap Syed Ziqri dalam nada mengendur. Tidak pula dia melenting dengan cadangan ibunya itu cuma dia tidak bersetuju untuk mencari pengganti Syarifah Irma Sofiya secepat itu. Ingatannya masih kuat terhadap arwah isterinya itu, cintanya masih hidup, rindunya masih bersisa.

“Ziq kena fikirkan tentang Emma. Yang dah pergi tak mungkin kembali. Kita yang masih hidup kena teruskan kehidupan. Jangan biar perkara yang berlaku menghalang kita dari teruskan kehidupan. Tak adil kalau Ziq masih hidup dalam kenangan. Tak adil bagi Ziq, tak adil bagi Emma. Sekurang-kurangnya Ziq bagi peluang pada diri sendiri untuk lupakan apa yang telah berlaku.” Sambut Syarifah Raziah lembut. Dia hanya mahu membawa anak lelakinya itu berfikir.

“Ziq belum sedia nak cari pengganti Sofiya.” Balas Syed Ziqri lembut. Dia kemudiannya membuang pandang ke arah Sara Adelina yang masih tekun mengemas ruang halaman banglo mereka.

“Sara bukan perempuan yang Ziq cari.” Tambah Syed Ziqri lagi dalam menungan jauh. Seolah-olah membayangkan karekter perempuan yang tersenarai dalam pilihannya. Perempuan seperti arwah isterinya.

“Mungkin bukan perempuan yang Ziq cari, tapi dia mungkin ibu yang Emma cari.” Ujar Syarifah Raziah perlahan. Dia mahu Syed Ziqri berfikir jauh. Dia tidak menyuarakan hal itu untuk kepentingan Syed Ziqri seorang malah dia juga memikirkan akan kepentingan Emma Saffiya. Anak kecil itu memang memerlukan seorang ibu dan pada pandangannya, hanya Sara Adelina sahaja yang layak.

“Umi dan bincang dengan Sara?” Soal Syed Ziqri kemudiannya. Terfikir juga adakah rancangan uminya itu sudah tersebar ke pengetahuan Sara Adelina.

“Belum.” Jawab Syarifah Raziah sepatah.

“Macam mana umi tahu dia akan setuju dengan cadangan umi ni?” Soal syed Ziqri lagi. Hairan juga kerana Syarifah Raziah seolah-olah cuba mengaturkan rancangan itu sendirian tanpa bertanyakan pendapat Sara Adelina terlebih dahulu.

“Sepanjang dua bulan ni umi perhatikan dia, dia bukan jenis yang suka membantah. Umi percaya kalau kena pada caranya, umi boleh pujuk dia terima Ziq.” Sahut Syarifah Raziah sambil memandang semula ke arah halaman rumah. Pandangannya jauh melangkaui Sara Adelina.

“Umi pasti?” Soal Syed Ziqri lagi.

Syarifah Raziah hanya mengangguk dalam senyuman.

Wanita itu kemudiannya bangun dari duduknya.

“Ziq fikirkanlah saranan umi tu. Fikirkan Emma.” Kata Syarifah Raziah seraya berlalu ke pintu. Dia mahu Syed Ziqri memikirkan kata-katanya. Ada sebab mengapa dia mengemukakan cadangan itu. Bukan kerana dia sudah melupakan arwah menantunya dahulu cuma dia perlu memikirkan kebajikan Emma Saffiya. Anak kecil itu perlukan perhatian dan kebetulan Sara Adelina hadir memberikan keperluan itu. Dan peluang itu dilihatnya sebagai peluang yang jarang-jarang hadir dan dia tidak sepatutnya melepaskan peluang itu berlalu begitu sahaja. Emma Saffiya masih terlalu kecil untuk mengharungi hidup tanpa kehadiran seorang ibu di sisi dan Syarifah Raziah hanya melakukan apa yang dirasakan perlu untuk anak kecil itu.

 

Syed Ziqri termenung jauh memandang syiling bilik. Pandangannya menjangkau pandangan matanya. Saranan uminya bermain-main di kepalanya. Seolah-olah perakam suara yang diulang main beberapa kali. Hairan pula dengan hatinya sendiri. Saranan Syarifah Raziah itu walaupun dirasakan terlalu aneh dan pelik, tetapi tidak pula dia rasa ingin marah dan melenting. Entah kenapa hatinya itu jadi lembut menanggapi permintaan uminya itu.

            Dalam menungan jauh itu fikiran Syed Ziqri teraih pada arwah isterinya sebulan sebelum Emma Saffiya dilahirkan.

            “Abang, boleh tak abang janji dengan Yaya satu perkara.” Pinta Syarifah Irma Sofiya lembut. Tangan suaminya itu diraih dan dikucup penuh kasih.

            “Janji apa?” Soal Syed Ziqri sambil menarik tubuh isterinya ke dalam pelukannya. Entah kenapa sejak kebelakangan ini dirasakan tingkah Syarifah Irma Sofiya sangat berlainan sekali. Isterinya itu kerapkali mahu bermanja dengannya. Barangkali pembawakan bayi yang sedang dialami oleh isterinya itu. Fikir Syed Ziqri sendiri.

            “Janji dengan Yaya, kalau jadi apa-apa pada Yaya, abang kena jaga baby kita baik-baik.” Luah Syarifah Irma Sofiya dalam sebak.

            “Yaya cakap apa ni?. Yaya tak kan apa-apa. Kita sama-sama besarkan anak kita.” Balas Syed Ziqri tidak senang. Semenjak usia kandungan mencecah lapan bulan, isterinya itu sudah suka berkata-kata yang bukan-bukan. Dia pula yang naik risau melihatkan perubahan isterinya itu.

            “Yaya tahu, tapi abang kena janji dengan Yaya. Kalau Yaya tak selamat masa lahirkan baby kita, abang kena jaga dia baik-baik.” Syarifah Irma Sofiya menuntut Syed Ziqri mengikat janji dengannya.

            Syed Ziqri membalas pandangan redup isterinya sambil meraih jemari Syarifah Irma Sofiya lalu mengucupnya lembut. Sungguh dia terlalu kasih kepada isterinya itu.

            “Abang janji.” Kata Syed Ziqri dalam senyuman nipis.

            Persetujuan Syed Ziqri itu mengundang senyum di bibir merah Syarifah Irma Sofiya.

 

Ketukan di muka pintu mengejutkan Syed Ziqri dari lamunan. Terhambur pergi segala kenangan yang pernah disulam bersama isterinya dahulu. Syed Ziqri melurut kasar rambutnya. Cuba mengusir pergi kenangan-kenangan yang masih bersisa. Benar kata uminya. Kehidupan perlu diteruskan dan dia tidak boleh terus terkurung dalam ingatan dan kenangan yang memenjarakan dirinya. Dia harus bangun dan melupakan semua yang telah berlaku. Yang pergi tidak mungkin akan kembali dan dia harus tegas dalam menerima hakikat itu.

            Syed Ziqri bangun dan berjalan ke pintu. Sejurus berdiri di depan pintu, dikuak luas pintu itu. Sara Adelina berdiri di muka pintu dengan senyuman.

            “Encik Ziqri, umi panggil turun makan.” Ajak Sara Adelina lembut. Hilang sudah panggilan Tuan Syed yang dia gunakan awal dahulu. Semenjak dengan terang Syed Ziqri melarang dia menggunakan panggilan itu, dia sudah menukarkan gelarannya dari ‘Tuan Syed’ kepada ‘ Encik Ziqri’ sahaja.

            “Sekejap lagi saya turun.” Jawab Syed Ziqri dalam senyum nipis.

            Sara Adelina hanya tersenyum menanggapi jawapan Syed Ziqri. Senyuman Syed Ziqri itu cukup menawan pada pandangan matanya. Dia kemudiannya berpaling sebelum berlalu.

            Sementara Syed Ziqri kembali duduk dibirai katil. Dia kembali termenung. Permintaan uminya tiba-tiba menerjah kembali. Dia mula memikirkan semula kata-kata Syarifah Raziah. Patutkah dia mempertimbangkan permintaan uminya itu?. Memang tidak dinafikan, Sara Adelina ada tarikannya tersendiri. Walaupun tidak secantik arwah isterinya dahulu namun ada sesuatu tentang Sara Adelina yang menarik perhatiannya. Yang membuatkan dia tidak jemu-jemu berfikir tentang gadis itu. Menanggapi Sara Adelina setiap hari membuatkan dia berubah karekter. Kalau dulu dia seorang yang sangat cerewet dan panas baran namun menanggapi redupnya sinar mata Sara Adelina membuatkan dia hilang jati dirinya sendiri.

            Syed Ziqri sedar perasaan yang hadir itu bukanlah satu perasaan istimewa, ianya hanyalah satu perasaan baru kerana dia baru bertemu dengan gadis seperti Sara Adelina. Seolah satu penemuan baru dalam hidupnya dan dia juga tidak lari dari rasa teruja untuk mengkaji dan membuat pemerhatian. Perasaannya terhadap Sara Adelina terhad setakat itu sahaja, tidak lebih dari itu. Dan dia amat pasti akan hal itu.

p/s-bab akan datang mungkin ambil masa sikit sbb part malam pertama tu tak siap2..cik tulip mmg ada kelemahan nak lakarkan peristiwa malam pertama ni..kalau skip blh tak? hihi

7 comments:

  1. apa mkna perasaan itu?sdh smestinya bkn cinta....
    skdr prasaan terimakasih krn hadir mnceriakn ankanda dia...sara dtg smasa dia prlukn seseorng pengasuh utk anknya bkn seorng isteri...
    mereka kawin tp sara dibiar keseorngn ....
    apakh ziqri harus diberi peluang kedua...seharusnya TIDAK

    ReplyDelete
  2. rasanya part mlm pertama tu tak penting sgt kot..

    ReplyDelete
  3. X KISAH LAH APA PUN.TQ YA UNTUK N3 BARU NANTI.

    ReplyDelete
  4. Cik Tulip..jangan la lama sangat utk new chapter..pasal part first night tu..buat asal faham je sudah la..tak payah detail sangat...hihihi...

    ReplyDelete
  5. Yayyyyyyyyy citer ni sgtlah best Dan sangatlah ohsemnya!!!

    ReplyDelete
  6. betul tu encik ziqri,yang dah pergi redha kan lah...ingat lah tanda cinta dengan arwah isteri,perlu kan kasih sayang n belaian sorang ibu....suke lah cik tulip pada story u.teruja nk baca n3 seterus nye.....laju lah tempek dek n panjang lah cikit,walau pun tak jela2

    ReplyDelete
  7. sukerr....
    x sabo nk tau next, meke kawen ka...

    ReplyDelete