Monday 29 October 2012

CINTA BUAT AKU-BAB 4

maaf, n3 kali ni pendek sangat..


BAB 4

Sara Adelina menghantar minuman dan sedikit kuih muih yang sempat dia buat petang tadi ke kerusi batu di halaman rumah. Syarifah Raziah dan Syed Ziqri dilihatnya sudah duduk bersantai sambil bersembang di situ. Sejurus meletakkan minuman dan kuih muih, Sara Adelina berpaling, berkira-kira untuk meninggalkan kedua beranak itu untuk meneruskan perbualan namun belum pun sempat dia melangkah, namanya sudah diseru oleh Syarifah Raziah.

            “Sara duduk dulu.” Pelawa Syarifah Raziah. Senyuman dilempar kepada Sara Adelina tatkala mata mereka bertentang.

            Sara Adelina menurut tanpa banyak bicara. Memang dia selalu meneman Syarifah Raziah minum bersama namun petang itu dia terasa sedikit janggal. Kehadiran Syed Ziqri bersama menyebabkan ada rasa malu yang menebal di hatinya.

            “Ada perkara umi nak bincangkan dengan Sara.” Sambung Syarifah Raziah membuka bicara.

            Sara Adelina hanya membalas kata-kata Syarifah Raziah dengan pandangan redup. Pandangan yang selalu mengiringi ke mana sahaja dia pergi. Mata redup miliknya cukup mendamaikan. Memperlihatkan sisinya yang lembut.

Walau hatinya tertanya-tanya akan tujuan dia diajak untuk bersama dalam perbualan itu, namun tidak dizahirkan persoalan itu diraut wajahnya. Tetap tenang menanti Syarifah Raziah membuka cerita terlebih dahulu.

            Sementara Syed Ziqri seboleh mungkin melarikan anak matanya dari merenung Sara Adelina. Sungguh dia tidak pernah berada sehampir itu dengan Sara Adelina. Selalunya gadis itu hanya menegurnya untuk mengajak minum atau apabila menerima arahan dari Syarifah Raziah untuk disampaikan kepadanya sahaja. Tetapi ketika itu, Syarifah Raziah telah membuka peluang untuk dia duduk semeja dengan Sara Adelina bagi membincangkan hal yang pernah disuarakan uminya itu beberapa hari yang lepas.

            Sejujurnya Syed Ziqri sudah mempertimbangkan saranan uminya itu. Dia bersetuju untuk dijodohkan dengan Sara Adelina. Itupun setelah dia memikirkan banyak perkara. Setelah ditimbang tara, dia mengambil keputusan untuk bersetuju dengan cadangan Syarifah Raziah untuk memperisterikan Sara Adelina. Antara sebab utamanya ialah Emma Saffiya. Dia perlu berhenti memikirkan dirinya sendiri. Apabila teringatkan janji yang pernah dibuat kepada arwah isterinya dahulu, dia tahu dia perlu menunaikan janji itu. Memberikan kehidupan yang lebih baik kepada Emma Saffiya.

            Syed Ziqri termenung untuk seketika. Sejujurnya dia bukan sahaja memikirkan Emma Saffiya sahaja. Dia turut bersetuju dengan cadangan itu kerana dia mahu melupakan kenangan bersama Syarifah Irma Sofiya. Hidup dalam kenangan arwah isterinya itu cukup membebankan fikiran dan perasaannya dan dia perlu lari dari semua rasa yang membebani fikirannya. Dia perlu bertukar angin. Membuat keputusan drastik supaya perhatiannya dilarikan dari terus mengingati Syarifah Irma Sofiya.

            Dan antara sebab lain mengapa dia bersetuju ialah kerana dia kasihan kepada Sara Adelina. Setelah diceritakan oleh uminya akan latar belakang Sara Adelina, dia jatuh belas pada gadis itu. Entah kenapa setiap kali bertentang mata dengan pandangan redup Sara Adelina, dia rasa ada satu perasaan aneh yang menjalar dihatinya. Perasaan yang dia sendiri sukar mengertikan namun hatinya kuat mengatakan perasaan itu ialah perasaan kasihan dengan nasib dan latar belakang Sara Adelina. Sekurang-kurangnya itulah yang dia benar-benar pasti ketika itu.

            “Memandangkan Ziq pun ada sekali, umi rasa umi tak nak tangguh-tangguh pasal perkara ni.” Suara Syarifah Raziah mengejutkan Syed Ziqri dari lamunan jauh.

            Sara Adelina hanya setia mendengar sementara Syed Ziqri sudah mula memberikan perhatian.

            “Umi harap Sara tak marah tentang perkara yang umi nak sampaikan ni.”

            Syarifah Raziah berhenti sebentar sebelum menyambung semula kata-katanya.

            “Umi nak jodohkan Sara dengan Ziq. Itupun kalau Sara setuju.”

            Sara Adelina tersentak seketika. Tidak percaya dengan apa yang dijamah telinganya ketika itu. Benarkah Syarifah Raziah baru menyatakan hasrat untuk menjadikan dia menantu di rumah itu?.

            “Umi nak jadikan Sara isteri Encik Ziqri?” Soal Sara Adelina untuk mendapatkan kepastian. Dia menjeling sekilas ke arah Syed Ziqri. Lelaki itu tenang dengan duduknya. Tiada lansung reaksi terperanjat diwajah Syed Ziqri. Seolah-olah lelaki itu sudah lama tahu akan hal itu.

            “Kalau Sara setuju. Umi nak kahwinkan Sara dengan Ziq. Jadi ibu kepada Emma Saffiya. Umi harap Sara faham kenapa umi buat permintaan ni. Emma masih kecil dan dia perlukan kasih sayang seorang ibu, sentuhan seorang ibu dan sejak Sara ada di sini, Sara dah jadi macam ibu kepada Emma. Dan umi harap sangat Sara boleh terus jadi ibu kepada Emma, sampai bila-bila.” Luah Syarifah Raziah penuh harapan.

            Sara Adelina tertunduk. Tidak tahu apa perasaannya ketika itu. Dia tidak pernah menyimpan hati terhadap Syed Ziqri, jauh sekali terlintas difikirannya untuk menjadi isteri kepada lelaki itu. Antara mereka bagai pipit dengan enggang. Manakan boleh berjalan bersama.

            “Umi tak paksa Sara cuma umi harap Sara boleh penuhi permintaan umi. Umi kasihan tengok Emma. Dia perlukan kasih sayang seorang ibu dan hanya Sara sahaja yang boleh beri semua tu.” Tambah Syarifah Raziah lagi.

            “Bagaimana dengan Encik Ziqri?” Soal Sara Adelina kembali. Berona merah wajahnya saat dia kemukan persoalan itu. Sejujurnya dia juga harus tahu apa yang Syed Ziqri rasakan. Dia tidak mahu Syed Ziqri dipaksa menerimanya. Biarlah lelaki itu rela mengahwininya.

            “Saya tiada masalah.” Jawab Syed Ziqri bagi pihak dirinya sendiri.

            “Saya setuju dengan cadangan umi.” Sambungnya.

            Sara Adelina tertunduk, tidak berani dia mengangkat wajah. Bimbang Syarifah Raziah dan Syed Ziqri menyedari wajahnya yang sudah bertukar warna.

            “Sara setuju?” Soal Syarifah Raziah penuh pengharapan.

            “Kalau Encik Ziqri setuju, Sara ikut sahaja.” Jawab Sara Adelina akhirnya. Lancar bibirnya menyatakan persetujuan. Tidak tahu kenapa, tetapi dia amat menyenangi perkara itu. Bukan kerana dia inginkan kekayaan Syed Ziqri cuma dia ingin sekali berkongsi kebahagian dan kasih sayang ahli dalam rumah itu. Dia ingin sekali menjadi sebahagian dari kegembiraan itu. Menjadi sebahagian dari ahli keluarga Syarifah Raziah. Menjadi ibu kepada Emma Saffiya, anak kecil yang telah dia curahkan kasih sayangnya melimpah ruah. Dan dia ingin sekali semua itu berterusan dan cadangan Syarifah Raziah akan merealisasikan impiannya itu.

            Syarifah Raziah tersenyum gembira. Pantas tubuh Sara Adelina diraih dalam pelukannya. Lega hatinya saat kata persetujuan itu meluncur laju dari bibir nipis Sara Adelina. Sesungguhnya itulah harapannya. Persetujuan Sara Adelina itu akan menyelesaikan banyak perkara dan dia cukup bahagia dan gembira tatkala Sara Adelina dan Syed Ziqri bersetuju tanpa membantah sedikitpun.

            “Terima kasih Sara.” Kata Syarifah Raziah riang.

 

Sara Adelina berbaring mengiring sambil memangku kepalanya dilengan kanan. Perbincangan bersama Syarifah Raziah dan Syed Ziqri lewat petang tadi menyebabkan dia tersenyum tanpa sedar. Sungguh dia tidak pernah membayangkan perkara itu terjadi jauh sekali menjangkakan ia benar-benar akan terjadi. Dia hadir dalam keluarga itu secara kebetulan. Tidak disangka pula kebetulan itu akhirnya akan membawa dirinya kepada jodoh. Walaupun Syed Ziqri pernah beristeri namun sedikit pun perkara itu tidak merunsingkannya. Andai sudah ditakdirkan jodohnya bersama Syed Ziqri, dia akan menerima. Cuma ada perkara yang masih meninggalkan tanda tanya dibenaknya. Mengapa mudah benar Syed Ziqri menerima cadangan itu? Syed Ziqri bukanlah calang-calang lelaki. Walaupun bukanlah dikategorikan lelaki paling kacak dan paling kaya namun daya tarikannya masih mampu  membuatkan hati wanita cair. Hartanya walaupun tidak sebanyak orang-orang kaya lain, namun cukup untuk memberikan kemewahan kepada mereka sekeluarga. Tiada yang kurang pada Syed Ziqri. Jika hendak dibandingkan dengan dirinya, lelaki itu lebih dalam segala hal. Jika Syed Ziqri sendiri ingin, dia boleh mencari gadis lain, yang jauh lebih baik dari diri Sara Adelina sendiri.

            Sara Adelina kembali bermenung. Andai sudah tertulis jodohnya bersama lelaki itu, dia tidak akan menolak. Semoga rumahtangga yang bakal dia bina aman bahagia hendaknya. Untung sahaja dia sebatang kara, tidak perlulah dia membincangkan perkara itu dengan sesiapa. Persetujuan dia sendiri sudah mencukupi. Namun jauh disudut hatinya, dia tetap berasa sunyi. Sunyi kerana tiada sesiapa bersamanya untuk dia berkongsi rasa itu malah apa jua rasa-rasa lain. Besar harapannya semoga perkahwinan itu akan mengusir pergi segala kesunyian yang dia rasakan selama ini. Lama bermenung dan berfikir, Sara Adelina kemudiannya tertidur sendiri.

 

Jari jemarinya meletup perlahan saat dia mematah-matahkannya. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa seram sejuk. Kalau awal tadi dia rasakan cukup berani untuk meneruskan niatnya, kini apabila dia berdiri betul-betul dihadapan bilik Syed Ziqri, hatinya dilanda debar pula.

            Sara Adelina tidak jadi meneruskan niatnya. Pantas dia berpaling, mahu kembali ke biliknya namun belum sempat dia melangkah pergi, pintu bilik Syed Ziqri pula terbuka dari dalam.

            “Sara.” Tegur Syed Ziqri senada.

            Sara Adelina berpaling menghadap Syed Ziqri. Tatkala mata mereka bertembung, cepat-cepat Sara Adelina melarikan anak mata. Selepas peristiwa Syarifah Raziah meminta jawapannya petang semalam, rasa malunya menebal tatkala dia bertembung muka dengan Syed Ziqri.

            “Sara nak jumpa saya?” Teka Syed Ziqri.

            Sara Adelina hanya mengangguk. Menafikan perkara itu hanya akan menambah persoalan di hati Syed Ziqri. Lebih baik dia berterus terang sahaja dengan niatnya.

            “Kita turun.” Saran Syed Ziqri.

            Sekali lagi Sara Adelina mengangguk.

            Syed Ziqri berjalan mendahului. Sara Adelina hanya membuntuti dari belakang.

            Sejurus tiba di ruang tamu, Syed Ziqri labuhkan duduknya di salah satu sofa, manakala Sara Adelina pula duduk di sofa bahagian tepi. Mengelak dari bertembung mata dengan Syed Ziqri.

            “Ada hal apa Sara nak jumpa dengan saya?” Soal Syed Ziqri sambil memandang Sara Adelina.

            “Boleh Sara nak tanyakan sesuatu?” Soalan Syed Ziqri dibalas soalan kembali. Sara Adelina beranikan diri menentang pandangan Syed Ziqri.

            “Tanyalah.” Balas Syed Ziqri penuh minat.

            “Kenapa Encik Ziqri setuju dengan cadangan umi?” Soal Sara Adelina ingin tahu. Memang sejak pagi tadi, hatinya meronta-ronta ingin tahu. Ikhlaskah Syed Ziqri menerimanya atau lelaki itu sebenarnya dipaksa.

            “Sara tak suka?” Soalan Sara Adelina di balas soalan kembali.

            Terperanjat Sara Adelina dengan soalan yang meluncur dari bibir Syed Ziqri. Sejujurnya bukan soalan itu yang dia jangkakan dari mulut Syed Ziqri kerana dia sendiri tidak bersedia dengan jawapan kepada persoalan itu.

            “Sara tak suka kahwin dengan saya?” Soal Syed Ziqri untuk kali yang kedua.

            Berona merah wajah Sara Adelina tatkala soalan itu ditanya untuk kali kedua. Dia bukan tidak suka, cuma dia tertanya-tanya akan keikhlasan Syed Ziqri bersetuju untuk mengahwininya.

            “Sara belum jawab soalan saya.” Kata Syed Ziqri senada.

            “Sara bukan tak suka, cuma Sara hairan Encik Ziqri tak membantah cadangan umi.” Luah Sara Adelina jujur.

            “Hairan?” Soal Syed Ziqri mendatar.

            Sara Adelina hanya menjawab persoalan Syed Ziqri dengan pandangan mata. Mengisyaratkan bahawa kata-katanya sebentar tadi harus disusuli dengan penjelasan oleh Syed Ziqri.

            “Apa yang nak dihairankan? Semalam umi dah bagitahu, Emma perlukan ibu dan Sara merupakan calon yang paling sesuai dan saya ikhlas terima Sara sebagai isteri. Sampai bila saya nak hidup dalam bayang-bayang arwah isteri saya. Kehidupan perlu diteruskan, yang pergi pasti takkan kembali.” Jawab Syed Ziqri walaupun dia sendiri tidak yakin dengan kata-katanya. Benarkah dia boleh teruskan hidup tanpa sekelumit pun ingatannya teraih pada arwah isterinya?. Walaupun tidak pasti dengan jawapannya sendiri namun dia rasa dia sudah berjaya meyakinkan Sara Adelina.

            “Terima kasih sebab sudi terima saya.” Balas Sara Adelina rendah diri.

            “Insyaallah saya akan cuba yang terbaik dalam perkahwinan ni.” Kata Syed Ziqri tanpa membalas kata-kata Sara Adelina. Sejujurnya itulah yang dia harapkan. Berharap agar perkahwinannya dengan Sara Adelina nanti akan mengusir pergi semua kenangan dan memori yang masih tinggal terhadap Syarifah Irma Sofiya.

harap semua suka :)

12 comments:

  1. Akhirnya...sara dgn ziqri...♡♥♡

    ReplyDelete
  2. Akhirnya....
    Tp nnti musti sara kene jumpa ngan pak cik dia... huhuhuhuuu

    ReplyDelete
  3. biar lah jodoh ziqri ngan sara hingga hujung nyawa membawa ke syurga...suke lah dek perjodohan ziqri n sara.

    ReplyDelete
  4. sukaaaa sangat...tak sabar nk tau kenapa Ziqri tinggalkan Sara dan anak2 dia...Cik Tulip nak lagi...lagi..dan lagi...

    ReplyDelete
  5. salam kpd smua yg tinggalkan komen..terima kasih byk2 nnti cik tulip post n3 lagi ye..sangkut kat bab malam perkahwinan tu,huhu...semangat nk menulis ni..dalam kesibukan msh mencuri masa utk menulis n3 lagi... :)

    ReplyDelete
  6. kak tulip saya nak novel bukan isteri sempurna. bilaaaaa??? dah tak boleh sabar ni. T_T

    ReplyDelete
    Replies
    1. fini syg, insyaallah tahun dpn..bulan nya mungkin lambat sikit..kna Q :)

      Delete