Thursday 4 October 2012

CINTA BUAT AKU-PROLOG

Cerita ni dimulakan semasa cik tulip menulis 1/3 cerita BIS...sekarang tengah berusaha menyambung n3 :)..kalau suka bagitahu, cik tulip nk sambung...

PROLOG

Syed Ziqri membuang pandang ke arah Sara Adelina  yang sedang melayan mesra dua orang anak kecil yang sedang bermain kolam mainan di halaman banglo Puan Syarifah Raziah.

Sejak kepulangannya kelmarin, tiada perbualan yang tercetus diantara mereka. Sara Adelina sentiasa bereaksi dingin setiap kali mereka bertembung. Faham benar Syed Ziqri dengan penerimaan Sara Adelina itu, wanita itu pastinya terlalu marahkan dirinya. Leka merenung dari balkoni biliknya, tiba-tiba kedengaran pintu bilik itu di ketuk walaupun pintu itu sedia terbuka luas.

“Boleh umi masuk,” sapa Puan Syarifah Raziah.

Syed Ziqri hanya mengangguk menzahirkan jawapannya.

“Ziq tengok Sara?,” tegur Puan Syarifah Raziah seraya mengambil tempat di kerusi kayu yang memang tersedia disisi cermin kaca lutsinar.

“Sara dah banyak berubah.” Jawab Syed Ziqri dalam helaan nafas tanpa menjawab soalan Puan Syarifah Raziah.

“Dah hampir lima tahun sejak Ziq pergi, bukan Sara sahaja, malah semua pun dah banyak berubah;” jawab Puan Syarifah Raziah lembut.

“Emma Safiyya dah lima tahun, dan yang kecil tu dan empat tahun,” Kata Syed Ziqri sambil merenung lama ke arah dua orang anak kecil yang sedang seronok bermain air.

“Irfan Amsyar dan empat tahun.” Sahut Syarifah Raziah sambil membuang pandang ke arah yang sama. Sengaja dia menyebut nama Irfan Amsyar supaya Syed Ziqri tahu.

“Nanti umi suruh Nadha tolong kemas baju-baju Ziq, lepas ni boleh kita bincang pasal jawatan Ziq di syarikat umi.” Kata Syarifah Raziah seraya bangun.

 “Lepas ni turun, kita minum petang sama-sama.” Sambung Syarifah Raziah lagi.

 

Air milo panas dari cawan kaca dihirup perlahan-lahan sambil membuang pandang ke arah Sara Adelina yang masih tekun melayani karenah kedua-dua anak kecil itu. Masih lagi bermain air walaupun sudah lebih satu jam kedua-duanya berendam dalam kolam plastik itu. Entah kenapa sejak pulang kelmarin, matanya itu tidak boleh dilarikan dari memandang Sara Adelina, walhal tujuan utama dia pulang ke situ ialah untuk membincangkan sesuatu yang lain.

            “Ziq cadang nak duduk lama?” Soal Syarifah Raziah seraya membawa cawan ke bibir, air milo yang masih berasap itu ditiup perlahan sebelum diteguk sedikit demi sedikit.

            Syed Ziqri hanya membalas kata-kata ibunya dengan renungan jauh.

            “Ziq belum putuskan lagi.” Jawab Syed Ziqri senada.

            “Dah lama Ziq tinggalkan diaorang, umi rasa dah tiba masanya Ziq pikul tanggungjawab Ziq.” Ujar Syarifah Raziah lembut.

            Syed Ziqri hanya mengeluh perlahan, matanya masih tidak boleh dilarikan dari memerhatikan Sara Adelina dan kedua-dua anak kecil itu.

            “Umi kesian pada Emma dan Amsyar.” Luah Syarifah Raziah perlahan. Dia kemudiannya termenung jauh.

            “Umi nak masuk dulu, nak tengok Nadha, tadi dah janji nak tolong dia kemaskan baju-baju Ziq.” Ucap Syarifah Raziah seraya meletak semula cawan ke dalam dulang lalu bangun melewati Syed Ziqri. Sengaja dia memberi ruang kepada Syed Ziqri untuk memikirkan kata-katanya sebentar tadi.

            Lama Syed Ziqri bermenung. Matlamat asalnya sudah semakin samar tatkala melihatkan keletah kedua-dua anak kecil itu. Sudah terlalu banyak yang dia ketinggalan sebenarnya. Lama termenung, tanpa sedar Syed Ziqri bangun dan melangkahkan kakinya menuju ke arah Sara Adelina dan dua kanak-kanak itu.

            Tiba di situ, dia berdiri statik sambil memerhatikan Emma Saffiya dan Irfan Amsyar yang saling memercikkan air  ke muka masing-masing. Terkekek-kekek kedua-duanya ketawa kegembiraan.

            “Sayang, dah jom masuk, dah kecut jari tu.” Tiba-tiba Sara Adelina bersuara lembut. Pantas dia bangun dan menarik perlahan tangan kedua-duanya untuk keluar dari kolam itu. Kehadiran Syed Ziqri di situ membuatkan dia rasa tidak selesa mahu berlama di situ. Tambahan pula apabila lelaki itu sibuk merenungnya dan kedua-dua anak kecil itu. Entah kenapa, hatinya jadi sakit dengan renungan lelaki itu.

            Ala mama, Emma belum puas main lagi.” Kata Emma Safiyya dalam nada merajuk.

            “Nanti hujung minggu depan, kita main lagi ye, tengok tangan Emma tu dah kecut, nanti senang luka tau.” Pujuk Sara Adelina lembut sambil memimpin tangan kedua-duanya keluar dari kolam itu lalu berlalu masuk tanpa mempedulikan kehadiran Syed Ziqri di situ.

            Syed Ziqri hanya menghantar pemergian ketiga-tiganya dengan ekor mata. Dia tahu Sara Adelina marahkan dirinya. Tidak tahu kenapa hatinya tersentuh melihat redupnya sinar mata Sara Adelina itu saat melayani keduanya walhal bukan itu yang sepatutnya dirasakan ketika itu. Pulangnya itu berhajat, hajat yang ingin dia suarakan kepada uminya.

 

“Kalau abang Ziq duduk bilik tu, Sara nak pindah bilik lain.” Tegas Sara Adelina. Tidak mahu dia menentang mata Syarifah Raziah, bimbang dia akan berlembut hati dengan permintaan ibu mertuanya itu.

            “Kenapa pula Sara nak pindah bilik? nanti apa pula kata Ziq.” Balas Syarifah Raziah pula.

            “Umi, abang Ziq tinggalkan Sara dengan anak-anak hampir lima tahun lamanya, hati Sara ni sakit, pedih dan sedih, tak mungkin semudah itu Sara nak lupakan semuanya.” Luah Sara Adelina sebak. Memohon ibu mertuanya itu faham akan perasaannya.

            Syarifah Raziah menghela nafas berat. Memang dia faham benar dengan rasa hati Sara Adelina itu, namun dia cuma berharap, masih ada sinar bagi Syed Ziqri dan Sara Adelina.

            “Kalau macam tu nanti umi suruh Nadha bawa semula barang-barang Ziq ke bilik sebelah.” Ucap Syarifah Raziah kemudiannya. Dia tahu Sara Adelina perlukan masa, perlukan ruang untuk dirinya memikirkan semuanya lantaran kepulangan anak lelaki tunggalnya yang menghilangkan diri selama lima tahun lamanya.

            Sara Adelina merebahkan tubuhnya ke tilam sejurus Syarifah Raziah keluar. Dia merenung syiling bilik dengan pandangan kosong. Semenjak Syed Ziqri pulang kelmarin, dia belum lagi bertegur sapa dengan lelaki itu, bukan kesempitan masa yang membataskan tetapi kerana dia yang seringkali mengelak diri dari bertembung dengan lelaki itu. Peristiwa ditinggalkan oleh Syed Ziqri hampir lima tahun yang lalu membuatkan hatinya sakit tatkala melihat lelaki itu.

            Leka termenung, terdengar ketukan di pintu biliknya. Hilang segala ingatan masa lalunya. Sara Adelina bingkas bangun menuju ke pintu. Nadha sudah pastinya datang untuk mengambil barangan Syed Ziqri yang ditinggalkan dalam bilik itu tadi. Sejurus tiba di muka pintu, pantas dikuak pintu bilik itu sehingga terbuka luas. Namun tatkala wajah Syed Ziqri yang dijamah matanya, Sara Adelina tersentak.

            “Abang nak ambil beg.” Kata Syed Ziqri dari muka pintu.

            Sara Adelina mengundur sedikit ke belakang tanpa suara, memberi laluan kepada Syed Ziqri untuk masuk. Entah kenapa, hatinya belum terbuka untuk membuka bicara bersama lelaki itu. Sara Adelina berdiri statik ditempat dia berdiri sementara menunggu Syed Ziqri masuk dan mengambil beg-begnya.

            Namun, harapan Sara Adelina supaya Syed Ziqri cepat beredar tidak kesampaian apabila lelaki itu bertindak menutup rapat pintu sejurus masuk.

            “Sara sombong dengan abang.” Kata Syed Ziqri sambil memandang tepat ke wajah Sara Adelina yang lebih banyak membuang pandang ke lantai.

            “Cepat keluarkan beg-beg tu, Sara banyak kerja lain.” Tutur Sara Adelina dingin. Tiada hati untuk dia melanjutkan perbualannya dengan Syed Ziqri.

            Syed Ziqri hanya tersenyum sebaris.

            “Sara marah pada abang?” Soal Syed Ziqri lagi. Tidak tahu kenapa dia bertanyakan soalan itu kerana hakikatnya dia tahu Sara Adelina memang cukup marahkan dirinya.

            Sara Adelina diam tidak menjawab, malas dia melayani bicara Syed Ziqri, daripada duduk melayan Syed Ziqri bercakap, lebih baik dia melayani Emma Saffiya dan Irfan Amsyar. Pantas kakinya melangkah ke pintu bilik. Lima tahun lamanya lelaki itu meninggalkannya dengan anak-anak, masih lagi soalan itu meniti di bibir Syed Ziqri. Wanita mana yang tidak marah apabila suami pergi melarikan diri. Tambahan pula ketika itu dia mengandungkan anak lelaki itu. Sudah tentu sahaja dia marah. Marah yang tiada surutnya!.

            Belumpun sempat tangannya menarik tombol pintu, Syed Ziqri sudah pun menangkap pergelangan tangannya terlebih dahulu.

            “Kenapa Sara tak nak layan abang?” Soal Syed Ziqri dalam nada serius. Sara Adelina dihadapannya kini sudah jauh berbeza dengan Sara Adelina yang dia tinggalkan hampir lima tahun yang lalu. Kalau dulu Sara Adelina jarang mempamirkan riak dingin begitu, hanya tutur lembut dan sopan sahaja yang terbit dari bibir wanita itu. Namun kini, sikap Sara Adelina yang pernah dia kenali dulu sudah jauh berubah. Entah kenapa, jauh di sudut hatinya, dia seolah-olah tidak menyenangi perubahan itu.

            “Lepaskan tangan Sara!.” Jawab Sara Adelina keras. Tidak suka Syed Ziqri memperlakukan dirinya begitu.

            “Abang tak kan lepaskan selagi Sara tak nak bercakap dengan abang.” Tegas Syed Ziqri seraya menarik tubuh Sara Adelina supaya berdiri dihadapannya.

            “Sara marahkan abang?” Soal Syed Ziqri untuk kali yang kedua. Matanya memanah tepat ke dalam anak mata Sara Adelina.

            ‘Sara tak marah.” Jawab Sara Adelina acuh tak acuh. Dingin nadanya. Satu jawapan yang tidak jujur kepada Syed Ziqri.

            “Jangan bohong abang.” Sahut Syed Ziqri.

            “Terpulanglah abang nak percaya atau tidak.” Tegas Sara Adelina lalu berpaling untuk keluar dari bilik. Namun belum sempat dia melangkah, Syed Ziqri sudah menarik tubuhnya dan tubuh Sara Adelina ditolak sehingga bersatu dengan dinding.

            “Apa abang buat ni?!” Soal Sara Adelina keras. Marah apabila Syed Ziqri bertindak mengasarinya begitu.

            “Abang tak kan puas hati selagi Sara tak berterus terang dengan abang.” Jawab Syed Ziqri seraya berdiri rapat dihadapan Sara Adelina yang sudah tersandar di dinding bilik.

            “Nak berterus terang apa? Kan Sara dah bagitahu tadi.” Sambut Sara Adelina masih dalam nada kerasnya.

            “Abang tahu Sara marahkan abang.” Ucap Syed Ziqri senada. Jari jemarinya dibawa ke wajah Sara Adelina, anak-anak rambut yang terjuntai di pipi, ditolak ke belakang telinga Sara Adelina dengan hujung jari.

            Pantas tangan Sara Adelina menepis jari jemari Syed Ziqri. Tidak suka lelaki itu menyentuhnya.

            “Kalau dah tahu baguslah, buat apa nak buang masa tanya lagi.” Selar Sara Adelina. Tubuhnya masih kaku di situ, kedudukan Syed Ziqri yang rapat dengan tubuhnya menyebabkan pergerakannya terkunci.

            “Sara dah berubah.” Kata Syed Ziqri mendatar.

            “Dah lima tahun lamanya, sedangkan pantai lagi berubah, inikan pula manusia.” Jawab Sara Adelina sinis.

            “Sara tak rindu pada abang?” Soal Syed Ziqri tanpa mempedulikan sindiran Sara Adelina. Wajah Sara Adelina cuba dielus dengan jari jemarinya. Entah kenapa, hatinya itu sudah tersasar jauh dari niat asalnya semasa membuat keputusan untuk pulang ke situ awalnya.

            “Jangan sentuh Sara!.” Kata Sara Adelina keras. Tangan Syed Ziqri ditepis untuk kali kedua. Tidak tahu kenapa selepas lima tahun Syed Ziqri melarikan diri, lelaki itu kini cuba mendekatinya semula.

            “Sara tahu tak berdosa bila isteri layan suami kasar macam ni?” Soal Syed Ziqri lagi. Kedinginan Sara Adelina itu menyebabkan dia rasa terpinggir. Dan ketika itu, dia tidak mahu dipinggirkan oleh Sara Adelina.

            “Biar Sara tanggung dosa tu!” Jawab Sara Adelina kasar. Apa hak Syed Ziqri membawa isu dosa ke dalam perbualan mereka. Jika dia berkasar sudah dikira berdosa, bagaimana pula dengan tindakan lelaki itu mengabaikan dirinya dan anak-anak selama lima tahun lamanya. Pasti sahaja dosa itu juga sudah berlipat kali ganda.

            Tubuh Syed Ziqri ditolak kasar. Tidak mahu dia meneruskan perbalahan itu kerana Syed Ziqri pasti akan terus mengasaknya. Tatkala tangannya menyentuh dada lelaki itu, kedua-dua tangan Syed Ziqri pantas menangkap pergelangan tangannya.

            “Abang tak suka dengan layanan Sara pada abang.” Tegas Syed Ziqri sambil memegang kejap kedua-dua tangan Sara Adelina.

            Tindakan Syed Ziqri itu menyebabkan Sara Adelina meronta-ronta supaya dilepaskan. Namun bukan itu yang Syed Ziqri lakukan, amukan Sara Adelina itu dibalas dengan pelukan erat. Tubuh Sara Adelina ditarik ke dadanya. Kepala Sara Adelina dikucup dalam-dalam.

            Sara Adelina yang marah dengan perlakuan Syed Ziqri bertindak menumbuk-numbuk dada lelaki itu. Segala kudratnya dikumpul untuk menolak tubuh Syed Ziqri menjauh. Air matanya sudah mula mengalir.

            “Jangan sekali-kali sentuh Sara!” Kata Sara Adelina kasar, pintu bilik dikuak dan dihempas kuat. Marah benar dia dengan tindakan Syed Ziqri memeluknya tadi. Selepas lima tahun ditinggalkan, bukan layanan begitu yang dia harapkan dari Syed Ziqri. Kala itu, hanya satu sahaja perasaan yang mampu dia hadirkan buat lelaki itu. Dia bencikan Syed Ziqri!.

            Sementara Syed Ziqri sudah menghela nafas berat. Hatinya itu tiba-tiba diserang rasa gundah dengan layanan Sara Adelina. Entah kenapa dia tidak sukakan layanan dingin Sara Adelina itu. Walhal semasa membuat keputusan untuk pulang ke rumahnya itu, dia sudah membulat tekad. Dia ingin memaklumkan kepada Syarifah Raziah mengenai keinginan hatinya. Namun setelah bertemu semula dengan Sara Adelina, niatnya itu seolah-olah terhalang. Rasa nekad yang dikumpul semenjak dia di Britain semakin samar-samar.

            Syed Ziqri menarik beg-begnya lalu dibawa masuk ke bilik bersebelahan dengan bilik Sara Adelina. Usai mengemas-ngemas apa yang patut, Syed Ziqri rebahkan tubuhnya di tilam. Lima tahun lamanya dia meninggalkan Malaysia, berhijrah ke Britain kerana melarikan diri dari sesuatu. Sesuatu yang dia sendiri tidak faham. Untung sahaja adik bapa mertuanya dahulu ada yang menetap di Britain. Di situlah dia menumpang teduh semasa awal sampai ke tanah asing. Atas pertolongan dan bantuan keluarga lelaki itu jugalah dia membina kerjaya selama lima tahun di negara orang.

            Keluarga Dato’ Syed Daud yang tinggal di Liverpool dengan rela hati menerima kehadirannya dalam keluarga itu serta telah memberi kepercayaan kepada Syed Ziqri untuk menjadi pengurus salah satu syarikat perniagaan keluarga beliau. Keluarga Dato’ Syed Daud yang telah lama bermastautin di negeri itu mengendalikan syarikat besar yang bertanggungjawab membekalkan t-shirt yang di print dengan lambang salah satu pasukan bola sepak terkenal di Britain iaitu kelab Liverpool. Dan sebagai orang yang merantau, perlawaan Dato’ Syed Daud itu umpama orang mengantuk yang disorongkan bantal. Dia dengan hati yang terbuka menerima perlawaan itu dan semenjak itu juga dia membina kerjaya sendiri di negara orang.

            Namun kisahnya itu tidak terhenti di situ, dalam keluarga itu juga dia bertemu dengan Syarifah Letisha. Anak tunggal Dato’ Syed Daud yang juga merupakan sepupu kepada arwah isterinya dahulu; Syarifah Sofia. Saat kali pertama bertemu muka, Syed Ziqri terpanar. Wajah yang selama ini dirindui, kembali berlegar di ruang mata. Syarifah Letisha berkongsi wajah dengan Syarifah Sofia!, arwah isterinya yang telah meninggal dunia. Dan semenjak pertemuan pertama, Syed Ziqri terasa seperti hidup kembali. Syarifah Sofia seolah-olah masih hidup dalam diri Syarifah Letisha. Semakin lama menghabiskan masa dengan Syarifah Letisha, semakin banyak persamaan yang Syed Ziqri temukan dalam diri Syarifah Letisha yang mengaitkan wanita itu dengan Syarifah Sofia. Dan lama kelamaan dia jatuh hati pada Syarifah Letisha, wanita itu sangat mencerminkan arwah isterinya dahulu.
 
p/s-kalau suka bagitahu, cik tulip nk sambung cerita ni :)
 


29 comments:

  1. ahhh.... mcm mana nak ckp ek... errr... mcm dh tau dh citer ni mcm mana.. iskk...

    ReplyDelete
  2. macam yg akak ckp b4 this....baca prolog je akak dh sentap....jd ada lebih baik akak tgu je buku ni kuar....nk marah...nak tension...nak sentap...sekali harung....hahahaah...anyway...benornya, bila baca prolog ni...buat kita bersemangat nk tau why this husband & wife jadi camni....akak suspect si ziqri ni mmg nk ceraikan sara tp bila tgk sara camtu...terus dia tersentap....tp atas dasar apa diorang kawin...kita kena kupas....hahahha...ayat tak boleh blah.....tp tu le...akak tgu je lah buku kuar....tak larat baca bab by bab...aku jiwa kacauuuu nanti wehhhhh.....hahahahaahha

    ReplyDelete
  3. Thank you for the new n3! Mcm best je criter ni, so sambung lah ye tapi kalau boleh jgn tulis panjang2 sgt. Jadikan mini novel ok....

    ReplyDelete
  4. bg saya syok n enjoy layan bab ni...prolog dh bnyk memainkan emosi..insyaAllah sy akn follow cite..sambung ye kak tulip ^_*

    ReplyDelete
  5. moga2 kak tulip dapat post new n3 secepatnya. dah tak sabar dah nie.. hehee ;) #suka !

    ReplyDelete
  6. tahniah...tak pernah menghampakan...

    ReplyDelete
  7. salam dik.. rasa mamat ni mmg pentingkan dirinya sendiri kan.. setelah 5 tahun meninggalkan seorg isteri yg setia tanpa khabar berita..tetiba balik..mengharapkan isteri menyambut kepulangannya.. mmg patut ditakzirahkan sahaja..

    ReplyDelete
  8. semestinya karya cik tulip tak menghampakan ! :)me love it

    ReplyDelete
  9. serius dek,kalu akak ditempat sara dah lama akak minta pasah kt pejabat kadi dek!lima tahun lari dari tanggung jawab sorang suami!!!alahai sian nye si isteri menderita...lama tu dek....keras kan ati sara n tabah je lah ati tu...wat dek je kat laki camtu!dosa kite die nampak je,abis dosa die nk campak kat mane???bladigol nye laki angin tul lh dek hehe naik terus emosi akak dek...best sesangt dek,nk gggggg smbg laju ye dek...

    ReplyDelete
  10. Suka..suka..suka..besttt..cepat2 sambung ye...tak sabar nk tau kenapa Syed Ziqri tinggalkan sara sampai 5 tahun..

    ReplyDelete
  11. Nak sambungan dia cik tulip! Nak nak!!


    ~Novelholic~

    ReplyDelete
  12. Mula baca jer dh jatuh geram kat SZ tu. Emma tu anak Sofia ke? Nk tau gak camner Sara leh kawin ngan SZ tu. Tp mmg samdol la SZ leh tgglkan Sara lama tul. Sabarnya SA. Keraskan ati SA bg SZ betul2 tersisih . . lama2 SA derita biar bg SZ pulak merana lagi. . .cepat2 msk n3 baru ye cik Tulip

    ReplyDelete
  13. suka3 ! sambung la ... isk .. nk tau knapa SZ buat camtu kat sara ... isk2....

    ReplyDelete
  14. akak tulip,suke3!!
    sile smbung3!!
    ;D

    ReplyDelete
  15. Wow!!!!! Daebak !!! Nk lagiiiii

    ReplyDelete
  16. suka..suka..suka....88juta kali.

    sambung cepat tau.

    ReplyDelete
  17. Sangat suka, jalan cerita sangat menarik dan please sambung...

    ReplyDelete
  18. ai like this story.....sambung yer cik tulip... ♡♥♡♥

    -Ika Hatika-

    ReplyDelete
  19. me want more ! me want more !

    ReplyDelete
  20. prolog je dh membuatkan hati syafi terpikat...please teruskan cik tulip...

    syafi

    ReplyDelete
  21. cik tulip novel dia dah terbit belum...kalau belum bila akan diterbitkan

    ReplyDelete
    Replies
    1. cyg, kak tulip masih dlm proses menaip lg masa ada kelapangan...yg ini msh dlm pembikinan..

      Delete
  22. maaf... buat masa ni.. i layan BIS je la dulu. sbb belum khatam lagi. dan, CBA ni, entah nape rase mcm berat lak nak bawak. terlalu berat. maafkan sy ye tulip ungu

    ReplyDelete