Friday 2 November 2012

CINTA BUAT AKU-BAB 6

Bila ramai yg drop komen teruja nak sambung cepat-cepat.hihi...jom ikuti sambungannya...

BAB 6

 

Langkah Sara Adelina semakin laju tatkala suara tangisan Emma Saffiya semakin menjadi-jadi. Tiba sahaja di katil kayu bayi kecil itu, pantas tubuh kecil itu diraih dalam dukungannya. Sara Adelina kemudian menyuapkan bibir comel itu dengan botol susu. Tubuh Emma kemudiannya didodoi supaya tertidur semula. Begitulah rutinnya sejak kali pertama dia menjejakkan kakinya ke banglo itu.

            Perkahwinan yang dibina bersama Syed Ziqri sejak sebulan yang lalu masih tidak berubah. Mereka masih menjalani kehidupan yang jauh terpisah. Syed Ziqri juga sudah tidak mengungkit isu yang pernah berlaku antara mereka. Sara Adelina sendiri tertanya-tanya dengan statusnya sebagai isteri lelaki itu. Sampai waktu itu Syed Ziqri masih belum menetapkan sebarang keputusan. Seolah-olah perkahwinan itu tidak pernah terjadi antara mereka.

            Namun Syed Ziqri tidak pula melayannya dengan dingin. Bicara lelaki itu masih lembut. Masih melayani dirinya seperti mereka belum berkahwin dahulu.

            Sara Adelina meletakkan kembali Emma Saffiya ke katil setelah bayi kecil itu kembali tertidur. Dia kemudiannya melangkah menuju ke dapur untuk mula menyediakan makan malam. Tiga jam lagi pasti Syarifah Raziah dan Syed Ziqri akan pulang dari kerja dan selalunya hidangan akan siap tersedia sejurus kedua beranak itu sampai di rumah.

            Sedang Sara Adelina leka menyiapkan hidangan makan malam, dia terdengar bunyi deruman enjin kereta memasuki ruang halaman banglo. Hairan pula dia kerana masih terlalu awal, tidak seperti hari-hari biasa dia menanti kepulangan Syarifah Raziah dan Syed Ziqri.

            “Sara masak lebih sikit boleh?” tiba-tiba Syed Ziqri menegur dari belakang Sara Adelina.

            Terperanjat Sara Adelina dengan sergahan itu.

            “Kawan abang nak datang malam ni. Abang jemput dia dinner sekali.” Sambung Syed Ziqri seraya berlalu segera ke tingkat atas.

            Sejurus lelaki itu menghilang, Sara Adelina menyambung kembali tugasnya yang terhenti tadi.

 

Syed Ziqri berbaring merenung syiling bilik dengan kedua-dua lengannya memangku kepala. Perbualannya bersama Azmizy hampir dua minggu lepas terlayar kembali dimindanya.

            “Gila you Ziq.” Kata Azmizy tegas. Pandangannya dibuang keluar cermin lutsinar restoren. Enggan memandang wajah Syed Ziqri. Entah kenapa pengakuan sahabatnya itu menyebabkan dia tiba-tiba naik angin.

            “I tak mampu nak terima cinta lain selain cinta wife I.” Syed Ziqri membela diri.

            “You dah tidur dengan dia?” Soal Azmizy ingin tahu.

            Syed Ziqri hanya mengangguk lemah.

            “Tak mampu nak terima cinta lain, tapi boleh pula you tidur dengan perempuan lain selain wife you?” Soal Azmizy menyindir sambil tersenyum sinis.

            “Sepatutnya you fikir dulu sebelum terima cadangan umi you. Bukan terus terima.” Tukas Azmizy kemudiannya.

            “Kalau I tahu akan jadi macam ni, tentu awal-awal lagi I menolak.” Kata syed Ziqri lagi.

            “You berdosa buat dia macam tu, you yang setuju kahwin dengan dia, sekarang you cakap tak dapat nak teruskan sebab you tak cintakan dia. Mudahnya you buat keputusan.” Balas Azmizy sinis.

            “I memang tak mampu nak cintakan dia. Hati dan perasaan tak boleh nak dipaksa-paksa.” Ujar Syed Ziqri. Masih lagi membela diri.

            “Kadang-kadang kita kena ajar diri kita untuk menerima, untuk menyintai. Bukannya mencipta alasan untuk lari dari tanggungjawab.” Nasihat Azmizy dalam nada yang mendatar.

            “I memang tak boleh Miezy..I tak mampu nak cintakan perempuan lain selain Sofiya.” Sahut Syed Ziqri mengendur. Dia bukan tidak mahu mencuba cuma dia rasakan dirinya tidak berdaya. Tidak berdaya untuk menghadirkan cinta kepada perempuan lain selain arwah isterinya.

            “Sejujurnya I kecewa dengan sikap you” Akui Azmizy berterus terang.

            “I tak boleh nak halang pandangan orang terhadap I. Cuma I harap you faham pendirian I Miezy.” Sahut Syed Ziqri lagi.

            “Sorry la Ziq, dalam hal ni, I tak mungkin akan faham pendirian you. Sepatutnya you fikir panjang sebelum you terima dia jadi isteri you. Bukannya sisihkan dia lepas you kahwini dia semata-mata sebab you kata you tak boleh nak cintakan dia. I memang takkan faham pendirian you tu.” Sambut Azmizy seraya bangun dan berlalu meninggalkan Syed Ziqri bersendirian.

            Syed Ziqri meraup kasar wajahnya. Kata-kata Azmizy masih kuat terpahat dalam kepalanya. Dia juga kecewa tatkala Azmizy tanpa mahu memahami hati dan perasaannya terus menghukumnya. Dia cuma berharap sahabatnya itu faham apa yang sedang dia lalui saat itu. Hati dan cintanya hanya milik Syarifah Irma Sofiya dan dia tidak mungkin dapat menghadirkan cinta buat Sara Adelina. Dia cuma mahu Azmizy jelas akan hal itu dan menyokong apa jua pendiriannya.

            Lamunan Syed Ziqri terhambur pergi tatkala pintu biliknya diketuk dari luar. Dalam lemah dia bangun dan berjalan menuju ke pintu bilik. Sejurus pintu dikuak, terpancul wajah Sara Adelina di muka pintu.

            “Kawan abang call, dia kata tak dapat call handphone abang.” Kata Sara Adelina seraya menghulurkan cordless phone ditangannya kepada Syed Ziqri.

            Syed Ziqri menyambut telefon di tangan Sara Adelina dan sebelum sempat dia mengucapkan terima kasih, Sara Adelina sudahpun berlalu pergi.

            “Hello.” Sapa Syed Ziqri sejurus menekap ganggang ke telinga.

            “I call handphone you tapi engaged.” Sahut Azmizy dari hujung talian.

            “I lupa nak cas.” Jawab Syed Ziqri seraya menyandar di luar dinding bilik.

            “Apa hal penting yang you nak bincang ngan I tu. Tak boleh bincang dalam phone ke?” Soal Azmizy terus pada maksudnya.

            “I nak jumpa you. Mana boleh bincang dalam phone.” Balas Syed Ziqri mendatar.

            “Okeylah. Pukul berapa you bagitahu semalam?” Soal Azmizy lagi.

            “Lepas Isyak you datang la. Dinner rumah I.” Pelawa Syed Ziqri.

            “Beres, bab makan-makan ni, I memang tak boleh nak tolak.” Seloroh Azmizy dalam tawa kecil.

            “Okey, jumpa nanti, Assalamualaikum.” Kata Syed Ziqri seraya mematikan talian.

 

“Sara boleh buatkan air kopi panas?” Tegur Syed Ziqri dari belakang.

            Sara Adelina yang sibuk mengemas dapur sejurus Syed Ziqri dan Azmizy selesai makan malam tadi berpaling menghadap Syed Ziqri.

            “Boleh.” Jawab Sara Adelina dalam senyum nipis. Begitulah kehidupan dia dan Syed Ziqri selepas lelaki itu meletakkan jarak diantara mereka. Perhubungan yang terjalin ada batas yang memisahkan. Walaupun sudah menjadi isteri lelaki itu namun dia tetap rasakan yang Syed Ziqri jauh darinya. Kadang-kadang hatinya sedih mengenangkan semua yang berlaku namun apakan daya andai cinta Syed Ziqri bukan ditakdirkan untuknya.

            Sara Adelina bersegera menyediakan minuman yang diminta oleh Syed Ziqri sebentar tadi. Usai membancuh air dan menghidangkan ke dalam dulang. Sara Adelina menatang dulang itu menuju ke ruang tamu. Namun sebelum sempat dia melangkah masuk ke ruang itu, langkahnya mati. Bicara antara Syed Ziqri dan sahabatnya itu menarik perhatian Sara Adelina. Perbualan itu mengunci pergerakan Sara Adelina untuk seketika.

            “You ni memang dah gila Ziq.” Kata Azmizy.

            “Tolonglah Miezy. Cuma you je boleh tolong I dalam hal ni.” Balas Syed Ziqri penuh berharap.

            “Dia bukan barang Ziq, senang-senang you nak pindah milik.” Tukas Azmizy lagi.

            “I cuma nak you kenal dia. I akan aturkan semuanya. I akan buat semuanya kalau perlu. You mesti suka dia.” Kata Syed Ziqri lagi.

            “Cinta dan perasaan mana boleh dipaksa Ziq. Mana I tahu apa yang ada dalam hati dia.” Sahut Azmizy mengendur.

            “You cuba la dulu, Sara tu lembut hati. Mesti dia boleh terima you. You buatla dia jatuh hati pada you. Hati perempuan ni macam kerak nasi. Kalau kita manjakan lama-lama, dia akan lembut.” Ujar Syed Ziqri lagi.

            “I tak boleh Ziq.” Kata Azmizy dalam kenduran suara.

            “Tolonglah I, I cuma percaya pada you je. I tak mampu nak cintakan dia. Tapi dalam masa yang sama I tak boleh nak tinggalkan dia. I tak sampai hati. Kalau you sanggup terima dia, I akan rasa lega. Sekurang-kurangnya I lepaskan dia pada kawan I sendiri. Orang yang paling I percaya.” Luah Syed Ziqri.

            “Betul you tak cintakan dia?” Soal Azmizy inginkan kepastian. Entah kenapa mendengarkan rayuan sahabatnya itu hatinya jadi lembut. Sanggupkah dia menerima Sara Adelina?.

            Syed Ziqri hanya menggeleng lemah.

            “Memang I ingat I boleh cintakan dia tapi I sedar satu-satunya perasaan I terhadap Sara hanyalah kasihan. I cuma kasihankan nasib dia. I terima dia sebab kasihan dengan keadaan dia, kasihan dengan nasib dia. I cuma kasihankan dia Miezy. Tiada perasaan lain selain kasihan.” Jawab Syed Ziqri mengendur.

            Hampir terjatuh dulang yang ditatang oleh Sara Adelina ketika itu. Hatinya tiba-tiba sebak. Terasa air matanya penuh di tubir mata. Perbualan antara dua sahabat itu terlalu mengguris hatinya. Pengakuan Syed Ziqri itu merobek dan mencarik-carik sekeping hati miliknya. Sampai hati Syed Ziqri menawarkan dirinya kepada sahabatnya sendiri. Dia bukan barangan yang boleh ditukar milik. Hakikatnya dia punyai hati dan perasaan dan sungguhpun lelaki itu tidak menyintai dirinya, itu bukan alasan untuk Syed Ziqri dengan mudahnya menawarkan dirinya untuk diserahkan kepada lelaki lain.

            Air mata Sara Adelina menitis juga. Tegar sekali Syed Ziqri memperlekehkan dirinya begitu. Andai selama ini Syed Ziqri hanya mengasihani dirinya sekalipun, lelaki itu tidak berhak untuk menentukan hidupnya. Jika benar tiada rasa cinta yang wujud untuknya dalam hati Syed Ziqri, mengapa tidak dia diceraikan terus?. Dia bukan anak kecil yang hidupnya perlu diatur-atur begitu oleh Syed Ziqri. Sara Adelina kembali berpaling, dia tidak jadi menghantar air minuman ke ruang tamu. Sebaliknya air itu ditinggalkan di meja makan. Dia melangkah laju menuju ke biliknya. Hatinya terlalu sebak dengan bicara dan pengakuan Syed Ziqri. Begitu rendah sekali dirinya pada pandangan Syed Ziqri sehinggakan kehidupan miliknya itu cuba diaturkan oleh Syed Ziqri tanpa berbincang dengan dirinya terlebih dahulu. Terlalu tidak bernilainya dirinya dimata Syed Ziqri kerana lelaki itu sanggup menyerahkannya kepada orang lain seolah-olah dia cuma barangan yang tiada nilainya.

 

Sara Adelina menguak langsir untuk melihat pemandangan di luar rumah yang kelihatan mendung seakan-akan hari akan hujan. Syarifah Raziah sudahpun berlalu ke pejabat setengah jam yang lalu. Yang tinggal hanyalah dirinya, Emma Saffiya dan Syed Ziqri yang masih lagi bersiap di dalam bilik sebelum berlalu ke pejabat. Sara Adelina pula sedang menimbang tara untuk membasuh pakaian pada hari itu. Andai hari akan hujan, dia tidak akan meneruskan perancangannya itu. Boleh dia meneruskan kerja-kerja lain pula.

            “Sara nanti tolong kemaskan bilik abang.” Teguran Syed Ziqri dari belakang mengejutkan Sara Adelina dari merenung ke luar rumah.

            Pantas tangan Sara Adelina mencapai tali pengikat langsir tingkap dan diikat pada langsir supaya cahaya dibenarkan masuk ke dalam ruang tamu yang sedikit gelap.

            Sara Adelina kemudiannya berpaling menghadap Syed Ziqri yang sudah kemas mengenakan persalinan untuk ke pejabat.

            “Abang tak sempat nak kemas.” Kata Syed Ziqri kemudiannya.

            Sara Adelina hanya mengangguk menzahirkan jawapannya.

            “Boleh Sara buatkan abang milo. Abang tak nak minum kopi.” Arah Syed Ziqri sebelum Sara Adelina berlalu meninggalkannya.

            Sara Adelina mengangguk untuk kali yang kedua disertai senyum nipis. Begitulah rutinnya setiap kali dia berhadapan dengan Syed Ziqri. Jarang sekali dia menjawab kata-kata lelaki itu. Jika ada arahan diterima dia lebih selesa mengangguk atau menggeleng sahaja menzahirkan jawapannya. Jika ada pertanyaan yang memerlukan jawapan sahaja, dia akan bertindak bersuara.

            Sara Adelina berlalu ke dapur dan menyediakan air minuman yang diminta oleh Syed Ziqri sebentar tadi. Sejurus menghidangkan air tersebut di meja makan. Dia memanggil Syed Ziqri untuk minum. Sara Adelina kemudiannya berlalu ke bilik Syed Ziqri untuk meneruskan tugasnya mengemas bilik Syed Ziqri.

            Lima minit berada di bilik lelaki itu, Sara Adelina terdengar deruman kereta Syed Ziqri meninggalkan perkarangan rumah. Sara Adelina tanpa bertangguh memulakan tugasnya. Bimbang sekiranya Emma Saffiya pula yang akan terjaga dari tidur sebelum sempat dia menyiapkan semuanya. Sara Adelina bergerak ke arah katil. Saat dia menundukkan tubuh untuk mencapai selimut untuk dilipat, matanya terarah pada bingkai gambar yang terdapat di meja sisi katil. Perhatian Sara Adelina terpaku di situ. Tanpa sedar, bingkai gambar itu diraih ke dalam tangannya. Sejurus itu, Sara Adelina bawa gambar itu dekat ke pandangannya.

            Tiba-tiba Sara Adelina berasa cemburu. Wajah cantik di dalam gambar itu membuatkan dia hampir menitiskan air mata. Mungkin selama ini, itulah wajah yang masih kekal utuh dalam ingatan Syed Ziqri. Wajah Syarifah Irma Sofiya sedang tersenyum cantik dengan kulit putih gebu di dalam bingkai gambar tersebut. Patutlah Syed Ziqri tidak mampu meluputkan ingatannya terhadap arwah isterinya itu kerana arwah isterinya itu terlalu cantik. Jika hendak dibandingkan dengan dirinya sendiri, apalah keistimewaan yang dia ada untuk dibandingkan dengan wanita dalam gambar tersebut. Untuk bersaing dengan wanita itu memang dia tidak layak apatah lagi mahu merampas tempat wanita itu dihati Syed Ziqri. Dia memang sudah tidak punyai peluang. Betapa kuat tarikan yang dimiliki wanita itu sehingga cinta Syed Ziqri masih kekal mekar walaupun wanita itu sudah tiada lagi di dunia.

Sara Adelina tersedar dari mimpinya selama ini. Setelah Syarifah Irma Sofiya meninggal dunia pun, dia masih tidak mampu menyaingi kehebatan wanita itu. Betapa hebatnya arwah isteri Syed Ziqri itu. Tidak mungkin dia berupaya bersaing dengan wanita itu dan dia sedar, walaupun setelah ketiadaan Syarifah Irma Sofiya, dia bukanlah tandingan wanita itu di hati Syed Ziqri. Tanpa sedar Sara Adelina terduduk di birai katil. Nafasnya di tarik perlahan.

 

“Sara dah siap?” Tegur Syarifah Raziah dari sebalik pintu.

            “Kejap umi, Sara nak pakai tudung.” Jawab Sara Adelina seraya mengenakan tudung di kepalanya. Bibirnya dicalitkan sedikit dengan gincu pemberian Syarifah Raziah.

            Setelah meneliti penampilannya di cermin meja solek, Sara Adelina berpuas hati. Baju kurung moden berwarna krim itu nampak cantik dan padan ditubuhnya. Sara Adelina kemudiannya berjalan keluar dari biliknya dan mendapatkan Syarifah Raziah di luar bilik.

            Emma Saffiya turut kelihatan comel dengan gaun putih yang dipadankan dengan riben rambut dan stoking berbunga dari rona warna yang sama. Sara Adelina mengambil Emma Saffiya dari dukungan Syarifah Raziah. Dia kemudiannya menyaingi langkah Syarifah Raziah menuju ke kereta.

            “Sara bawa tak duit yang umi masukkan dalam sampul tadi?” Soal Syarifah Raziah sejurus mereka bertiga masuk ke dalam kereta.

            “Dah.” Jawab Sara Adelina sepatah.

            Syarifah Raziah kemudiannya menghidupkan enjin kereta dan memandu meninggalkan rumahnya untuk menuju ke rumah sahabatnya bagi menghadiri jemputan kenduri. Jika mengikut perancangannya, dia ingin Syed Ziqri turut serta, namun apabila Syed Ziqri terpaksa keluar daerah atas urusan kerja pada hujung minggu itu, hanya dia, Sara Adelina dan Emma Saffiya sahaja yang berkesempatan hadir ke majlis kenduri itu. Syed Ziqri pula mungkin akan balik lewat petang itu.

            Sara Adelina hanya melayani karenah Emma Saffiya sepanjang perjalanan menuju ke rumah kenduri. Semenjak hari pertama bertemu dengan Emma Saffiya, mereka sudah serasi bersama. Anak kecil itu juga seolah-olah sudah menganggap Sara Adelina sebagai ibunya.

            Sementara Syarifah Raziah hanya memerhatikan tingkah Sara Adelina itu dengan ekor mata. Memang dia suka dengan cara Sara Adelina melayani Emma Saffiya. Seolah-olah Sara Adelina memang dilahirkan dengan naluri keibuan yang semula jadi. Dia gembira melihat Sara Adelina yang tidak kekok melayani Emma Safiyya namun dia juga tidak dapat lari dari berasa kecewa kerana Syed Ziqri tidak dapat melihat semua itu dalam diri Sara Adelina. Kalaulah Syed Ziqri memberi peluang kepada dirinya sendiri untuk melihat sisi Sara Adelina itu, pasti sahaja anak lelakinya itu akan jatuh hati pada Sara Adelina. Tidak susah untuk jatuh hati pada gadis sebaik Sara Adelina, bisik Syarifah Raziah dalam hati. Sayangnya anak lelakinya itu terlalu buta dengan cinta yang telah hilang.

 

Mata Syed Ziqri mencerlung tajam memerhatikan Sara Adelina. Panas hatinya tiba-tiba saat matanya terpandangkan Sara Adelina. Tanpa suara, dia bingkas bangun dan berjalan menghampiri Sara Adelina yang baru masuk ke dalam rumah. Kelibat Syarifah Raziah tidak pula kelihatan bersama Sara Adelina ketika itu.

            Sara Adelina yang terkejut dengan kehadiran Syed Ziqri yang tiba-tiba dihadapannya melemparkan senyum nipis kepada lelaki itu namun reaksi yag diterima oleh Sara Adelina daripada Syed Ziqri hanyalah wajah keruh dan serius lelaki itu.

            “Pang!” Satu tamparan hinggap di pipi Sara Adelina sehingga membuatkan gadis itu terpempan. Matanya tiba-tiba berkaca menampung air mata yang penuh. Tidak faham kenapa tiba-tiba Syed Ziqri menampar pipinya. Rasa sebak sudah mengepung dadanya.

            “Siapa yang bagi Sara kebenaran untuk pakai baju Sofiya?!.” Jerkah Syed Ziqri keras.

            Sara Adelina yang terpempan dengan pertanyaan keras Syed Ziqri terpinga-pinga. Baru dia tahu kenapa tamparan itu hinggap dipipinya sebentar tadi. Rupa-rupanya baju yang dberikan oleh Syarifah Raziah awal pagi tadi sebenarnya milik arwah Syarifah Sofiya. Sungguh dia tidak tahu.

            “Maaf, Sara tak tahu...” Belum sempat Sara Adelina menyambung. Syed Ziqri sudah memeotong kata-katanya.

            “Walaupun Sofiya dah tiada, itu tak bermakna Sara boleh gantikan tempat dia!” Sambung Syed Ziqri keras.

            Sara Adelina terkedu.

            “Maafkan Sara. Nanti Sara pulangkan kembali baju ni.” Kata Sara Adelina dalam getaran suara. Cepat-cepat dia mengatur langkah meninggalkan Syed Ziqri. Bimbang air matanya gugur di hadapan lelaki itu. Sungguh dia tidak tahu baju yang dipakainya itu milik arwah isteri Syed Ziqri. Andai dia tahu pasti dia akan menolak pemberian Syarifah Raziah itu. Dia sedar dirinya siapa. Tidak mungkin dia berupaya menyaingi arwah Sofiya dan dia lebih dari sedar akan hakikat itu. Tiada niat dihatinya mahu menggantikan tempat wanita itu di hati Syed Ziqri jauh sekali dia mahu merampas cinta lelaki itu dari terus menyintai arwah isterinya.

            Syarifah Raziah yang baru tersedar dengan kejadian yang baru berlaku terus berlari mendapatkan Syed Ziqri, suara keras anak lelakinya itu menarik perhatiannya yang kebetulan sedang menegur jirannya yang lalu dihadapan pagar banglonya sementara Sara Adelina terus masuk ke rumah tadi. Emma Saffiya yang tertidur di dukungannya di letakkan di katil bayi yang tersedia di sebelah ruang tamu.

            “Kenapa ni Ziq?” Soal Syarifah Raziah tidak faham. Kelibat Sara Adelina sudah tidak kelihatan di situ. Wajah keruh Syed Ziqri membuatkan dia tidak sedap hati.

            “Siapa bagi kebenaran Sara pakai baju Sofiya?” Soal Syed Ziqri senada.

            “Umi. Kenapa?” Tanya Syarifah Raziah tidak senang. Dia tahu Syed Ziqri telah lakukan sesuatu pada Sara Adelina kerana suara melengking Syed Ziqri tadi sampai ke pendengarannya.

            Syed Ziqri diam tidak menjawab.

            “Ziq buat apa pada Sara? “ Giliran Syarifah Raziah menyoal keras.

            Syed Ziqri diam tanpa balasan kata.

            “Ziq tampar Sara?” Soal Syarifah Raziah lagi. Kali ini nadanya lebih keras. Dia pasti apa yang dia dengar tadi. Dia tahu Syed Ziqri sudah naik tangan ke wajah Sara Adelina.

            “Jangan salahkan Sara sebab Sara tak tahu apa-apa. Umi yang bagi baju tu pada dia. Umi yang minta dia pakai. Sara terima sebab umi yang paksa Sara pakai. Ziq jangan melampau!” Tengking Syarifah Raziah kuat. Marah, itulah yang dia rasakan terhadap Syed Ziqri ketika itu. Tegar sekali anak lelakinya itu naik tangan ke wajah Sara Adelina. Tanpa berlengah Syarifah Raziah berlari anak menuju ke anak-anak tangga untuk mendapatkan Sara Adelina.

            Syed Ziqri terkesima dengan pengakuan uminya. Maknanya dia telah tersalah anggap. Sara Adelina bukanlah dengan sengaja memakai baju arwah isterinya. Untuk kesekian kalinya dia rasa bersalah kerana sudah terlanjur menampar pipi Sara Adelina sebentar tadi. Rambutnya dilurut kasar. Syed Ziqri akhirnya berjalan perlahan menuju ke sofa. Disitu dia terduduk dengan rasa kesal yang mengepung dada.

            Sementara Sara Adelina terduduk di birai katil sejurus tiba di bilik. Air mata yang ditahan-tahan sebentar tadi akhirnya jatuh juga. Betapa kuatnya cinta Syed Ziqri terhadap Syarifah Irma Sofiya sehingga tegar sekali lelaki itu menampar pipinya hanya kerana dia mengenakan persalinan arwah isterinya. Sumpah Sara Adelina tidak tahu baju itu milik arwah isteri Syed Ziqri. Sekiranya dia tahu pasti dia akan menolak keras permintaan Syarifah Raziah untuk mengenakan persalinan itu sebelum pergi ke kenduri pagi tadi. Dan kini dia kesal dengan semua yang baru berlaku. Kesal dan kecewa.

            “Sara.” Tegur Syarifah Raziah sejurus menguak pintu bilik Sara Adelina.

            Tubuh Sara Adelina yang terhinjut-hinjut menangis dihampiri. Sejurus tiba, Syarifah Raziah labuhkan duduknya di situ. Tubuh Sara Adelina ditarik ke dalam pelukannya.

            “Maafkan umi. Ziq memang dah melampau.” Kata Syarifah Raziah seraya mengurut-urut belakang Sara Adelina.

            Tangisan Sara Adelina semakin melebat dengan pujukan Syarifah Raziah. Sungguh hatinya sayu dilayan begitu oleh Syarifah Raziah. Kenapa Syed Ziqri tidak begitu?. Kenapa lelaki itu tidak boleh menyayanginya sepertimana Syarifah Raziah menyayangi dirinya?. Dia bukan mahu menghapuskan cinta lelaki itu terhadap arwah isterinya, dia cuma mahu Syed Ziqri hadirkan sedikit cinta dan kasih sayang buat dirinya. Dia tidak minta banyak. Sedikit pun sudah mencukupi buatnya.

 
p/s-cik tulip cuba buat bab sentap...tak tahulah sentap ke tak...nk buat yang terlalu sentap, nanti cik tulip yg nangis dulu...hihi.harap semua suka :)

19 comments:

  1. tak tahu nak tulis apa....tersentap dgn perangai ziqri...
    org sprti ziqri tak perlu diberi peluang kedua...biarlh dia hidup dgn bayang2 arwah isterinya...
    sara harus tegas...

    ReplyDelete
  2. sila biarkan ziqri tue xmendapat peluang kedua..aci tak
    Allah membenci penceraian..tapi hubungan yg wujud prasangka dan kebencian tidak membahagiakan sesiapa

    Ziqri kan balik sebab nak ceraikan Sara sebab dah jatuh cinta pada lisitha a.k.a muka serupa sofiya

    biarlah Sara dgn mizy...terkabul permintaan Ziqri kan...

    ReplyDelete
  3. cik tulip ckp ni baru cuba kan..tp syafi rasa sentap jgk la dgn bab 6 ni..kesian Sara..nk byk lg boleh x cik tulip..

    pe2pn syafi like like like..hehehe..

    ReplyDelete
  4. sangat sentap......!

    kenapalah ziq tu kejam sangat kuasa 4! kalau macam ni punya gaya jgn la buat ending sara dengan ziq. buat ending sara dgn mizy! biar padan muka ziq... biar bila sara dgn mizy bahagia dia menangis x belagu... biar ziq makan hati tgk sara jadi milik orang lain...

    grrrr... geram2...

    nak lagi... hehe... :)


    ReplyDelete
  5. rasa mcm nk lempang blk je ziq tu..sara bukan sengaja.
    kak tulip,nk lgi..:D

    ReplyDelete
  6. Hukhuk sedih........ Ziqri jahat :(

    ReplyDelete
  7. kte dah nanges dah cik tulip..sedih sangat :(

    ReplyDelete
  8. Meroyan betul si ziq... eleh... ingat sara heran sgt la nak pakai baju sofiya... Cett... selori sara boleh dpt kalo mintak ngan umi ko taw...
    Umi.... pasni beli banyak3 baju utk sara taw... Menci kat Ziq!!!
    Biar Mizy tackle sara!! Baru padan muke ziq.. ingt sara tue brg ke..nak pas2 kat org... eeeeee... geram taw...
    cian Sara... sob3x...

    ReplyDelete
  9. bukan takat sentap jer dek tapi sakit sesangat kat dalam ne.(baca sambil leleh air mata dek)satu hari nanti,andai kau tagih kasih or cinta tu...tapi waktu dan tika tu hati ini dah tak dek deria rase ziqri n akan ku baja hati ku agar menjadi sekeras kerikil.tak ampuh biar di banjiri lahar gunung berapi!!!buat ku hati ku,ade lah hak milik ku kekal abadi...tak ku izin sesape pun terokai agar tak terluka g,hingga ke hujung jasad ku hukhukhuk.sori dek teremo lah dek....hehe

    ReplyDelete
  10. kesiannya Sara. Saya pulak yg menangis waaaa :(

    ReplyDelete
  11. Biar sara jumpa org lain tak nk dgn mizi sb dia kwn ziqri.....org yg lebih tegap yg dpt bertanggungjwb keatas sara dn kandungannya......sara mengamdung

    ReplyDelete
  12. terrrsangatlah sentapnya...kurang asam jawa betul la Ziqri ni...pastu boleh plak nak pas2 sarah tu kat mizy..apa dia ingat sarah ni baton ke buat acara lari berganti2... Cik Tulip..cerita dah semakin panas ni...cepat2 sambung ye bagi sejuk sikit...hihihi...

    ReplyDelete
  13. eeee. geram ye dgn ziqri nie... dah la habis madu sepah dibuang.... tergamak sggh...huhuhuhu

    ReplyDelete
  14. Aduh. Memang sentap. Geram Rasa nk lukuk kepala Ziq. Hu hu hu

    ReplyDelete
  15. sara adelina dengan azmizy...boleh ke? hihi

    ReplyDelete
  16. Ikut prolog...
    Anak mereka dah besar, dan Sara masih lagi sendiri
    tapi kasihnya kpd Zikri dah terhapus;
    jika Zikri pulang untuk menceraikan Sara
    biarlah Sara yang meminta penceraian
    sbb 5 tahun Zikri meninggalkan Sara tanpa berita
    bukankan kejam namanya tu! Pentingkan diri juga, dia
    mencari sesuatu yang serupa dgn. arwah isterinya!

    Sara carilah pengganti lain, biar Zikri hidup sendiri
    selepas itu meratapi diri, tak perlu bagi dia peluang
    kedua! Cukup2lah memendam rasa & derita hati..

    ReplyDelete
  17. menarik!
    akak tulip,pe mksud menanggapi??

    ReplyDelete