Thursday, 24 May 2012

CINTAI AKU PART 2

Disebabkan ada yang sudah bertanya tentang n3 CA ni, jadi cik tulip masukkan dulu part 2 ni.lps ni akan n3 part 3-part last..cadangnya nak habiskan dulu baru publish n3 kali ni tp tak sempat nk habiskan..harap enjoy ngan n3 kali ni :)

“Kalau mak long tak percaya, boleh tanya Raz sendiri. Dia yang kata dia tak bahagia dengan perkahwinan tu. Dia pun tak pernah jalankan tanggungjawab dia sebagai suami. Kalau mak long nak kan kepastian, mak long tanya la Raz tapi mak long jangan pula bagitahu Muni yang bagitahu sebab Muni bukannya apa, Muni cuma kasihankan Dhia je.” Terang Tengku Munira panjang lebar. Melihatkan riak muka Tengku Asiah itu dia sudah dapat menjangkakan bahawa wanita itu tidak berpuas hati dengan kata-katanya tadi.

            Puas hatinya dapat mengkhabarkan berita itu. Memang dia sakit hati apabila Tengku Raziq dikahwinkan dengan Dhia Nabila kerana antara dirinya dan Tengku Raziq sudah lama terjalinnya ikatan hati namun hubungan mereka itu hanya berjalan dalam sembunyi-sembunyi. Hanya mereka sahaja yang tahu.

            “Macamana pula Muni boleh tahu tentang hal ni?” Soal Tengku Asiah pelik. Memang dia tahu Tengku Raziq benci akan perkahwinan yang dia aturkan namun bagaimana pula Tengku Munira juga tahu akan hal itu. Tidak mungkin tengku Raziq yang menceritakan hal rumahtangganya kepada orang luar.

            “Raz yang cerita pada Muni.” Terang Tengku Munira ringkas. Harapannya supaya kata-katanya itu akan membawa ibu saudaranya itu berfikir. Hubungan yang dijalin antara Tengku Raziq dan Dhia Nabila itu tidak akan ke mana-mana. Kalau kena pada caranya, tentu sahaja Tengku Asiah akan mempertimbangkan semula perihal hubungan Tengku Raziq dan Dhia Nabila itu. lagi cepat hubungan itu putus, lebih bagus kerana dia pula akan menggantikan tempat Dhia Nabila. Walaupun selama ini hubungan dia dan Tengku Raziq hanya berlaku secara sembunyi-sembunyi, namun selepas hal diantara Dhia Nabila dan Tengku Raziq selesai, dia akan berterus terang. Terasa kesal pula kerana selama ini dia menghalang Tengku Raziq daripada mendedahkan hubungan mereka. Dia bukan tidak mahu semua ahli keluarga tahu tentang hubungan itu cuma dia masih belum bersedia. Namun apabila tiba-tiba sahaja Tengku Raziq dikahwinkan dengan Dhia Nabila, baru dia rasa menyesal kerana lambat bertindak.

            “Kalau macam tu, nanti mak long berbincang dengan Raz.” Kata Tengku Asiah pendek. Dia sebenarnya panas hati juga apabila perkara yang sampai di telinganya itu dikhabarkan oleh orang luar. Tidak menyangka bahawa Tengku Raziq sampai menceritakan hal rumahtangganya bersama Tengku Munira. Memang dia tahu Tengku Raziq dan Tengku Munira rapat tetapi dia juga tidak bersetuju bila kisah keluarganya itu dijaja-jaja begitu terutamanya apabila yang menjaja cerita itu ialah Tengku Munira, anak buah yang sememangnya mulut murai. Hari ini mungkin dia sahaja yang tahu, tidak mustahil hari-hari yang berikutnya, seluruh keluarga mereka akan tahu hal itu.

            Tengku Munira tersenyum manis mendengarkan kata-kata Tengku Asiah. Pasti selepas ini Tengku Asiah akan meminta Tengku Raziq dan Dhia Nabila bercerai. Dia amat pasti akan hal itu. Melalui reaksi yang terlukis di wajah ibu saudaranya itu tadi, dia tahu Tengku Asiah tidak berpuas hati dengan berita yang dia sampaikan.





Tengku Raziq bergegas naik mendaki anak-anak tangga kecil banglo tiga tingkat itu. Hatinya panas dengan kata-kata yang baru di luahkan oleh ibunya, Tengku Asiah.  Tiada orang lain yang bermain-main di kepalanya saat itu. Tentu sahaja Dhia Nabila yang bertanggungjawab ke atas semua itu. Pasti Dhia Nabila yang mengadukan hal itu kepada ibunya. Jika tidak masakan ibunya itu membangkitkan hal itu dihadapannya. Siapa lagi yang tahu tentang hubungan mereka melainkan Dhia Nabila dan dirinya sahaja. Jika ada orang asing yang tahu pun, hanya Tengku Munira sahaja. Hanya dengan sepupunya itu sahaja dia selalu meluah rasa. Itupun kerana diantara dirinya dan Tengku Munira, ada tersimpul ikatan hati.

            Tengku Raziq menguak kasar pintu bilik itu. Matanya meliar mencari kelibat Dhia Nabila sejurus pintu terbuka. Apabila terlihat Dhia Nabila baharu sahaja menyidai telekung di penyangkut, dia bergegas menghampiri Dhia Nabila.

            “Apa yang kau bagitahu mummy?” Soal Tengku Raziq kasar. Tubuh Dhia yang berdiri membelakanginya di tarik kasar sehingga berpaling menghadapnya.

            Dhia Nabila terkejut. Sejurus berpaling tiba-tiba sahaja tangan Tengku Raziq sudah hinggap di pipinya. Pijar dan pedih dia rasa saat itu. Wajah keruh Tengku Raziq ditenung dengan penuh tanda tanya. Apa pula kesalahannya kali ini. Tengku Raziq seringkali melayani dia begitu. Seringkali kasar apabila berhadapan dengannya. Jarang sekali tuturnya lembut, tingkahnya baik. Selalunya hanya baran yang dipamirkan oleh lelaki itu kepadanya.

            “Apa yang kau cakap, sampai mummy bising-bising.” Tengku Raziq sambung menyoal. Wajahnya memerah menahan marah. Wajah Dhia Nabila direnung tajam. Apabila teringat kembali kata-kata Tengku Asiah sebentar tadi, dia naik angin.

            Dhia Nabila hanya menundukkan wajah, memang itulah reaksinya setiap kali menanggapi baran Tengku Raziq. Tidak pernah sekalipun dia berani menentang mata Tengku Raziq tatkala lelaki itu diamuk rasa marah.

            “Kau dah bisu ke?” Soal tengku Raziq lagi. Entah kenapa setiap kali berhadapan dengan Dhia Nabila, dia jadi sakit hati. Dan kata-kata ibunya sebentar tadi, menambahkan sakit di hatinya.

            “Apa salah Dhia?” Soalan Tengku Raziq dibalas soalan kembali oleh Dhia Nabila.Sungguh dia tidak tahu apa kesalahan yang telah dia lakukan sehingga Tengku Raziq tegar menampar pipinya.

            “Dah tahu masih nak tanya lagi?” Soal Tengku Raziq sinis. Wajah Dhia Nabila yang tunduk memandang lantai dipandang tidak berkelip. Malam itu dia akan mengajar Dhia Nabila. Semakin lama, gadis itu sudah semakin berani. Berani mengadukan hal antara mereka kepada ibunya. Dan dia memang tidak suka dengan keberanian tidak bertempat Dhia Nabila itu.

            Sementara Dhia Nabila masih tertunduk lemah memandang lantai. Pedih dipipinya masih terasa. Pedih dihatinya sudah tidak dapat diceritakan lagi. Sudah jenuh air matanya menangis atas layanan dingin Tengku Raziq terhadapnya namun semenjak dia sedar hubungannya dengan Tengku Raziq tidak akan ke mana, dia sudah berhenti menangis. Tiada guna dia menghabiskan air mata kepada lelaki yang tidak pernah menginginkan dirinya itu.

            Melihatkan reaksi Dhia Nabila itu, Tengku Raziq bertambah naik angin. Hilang sabarnya menanggapi sikap Dhia Nabila yang satu itu. Pantas tangannya menarik kasar tangan Dhia Nabila ke arah katil.

            “Kau dah teringin sangat nak aku jalankan tanggungjawab kan?” Kata Tengku Raziq sejurus menghempas tubuh Dhia Nabila ke tilam.

            Sementara Dhia Nabila terpempan, terkejut dengan tindakan kasar Tengku Raziq itu. Dia mengengsot ke kepala katil apabila tersedar Tengku Raziq sudah mula memandangnya dengan pandangan yang sukar untuk dia mengertikan maksudnya.

            “Kenapa?, kau takut?” Soal Tengku Raziq sinis.

            Sementara air mata Dhia Nabila sudah mulai bergenangan di tubir mata. Takut dia melihat tingkah Tengku Raziq. Selama ini lelaki itu hanya berbicara kasar dengannya. Tidak pernah lagi dia melihat sikap Tengku Raziq begitu.

            “Bukan ke kau yang nak sangat aku jalankan tanggungjawab aku. Bukan ke kau yang mengadu kat mummy cakap aku tak jalankan tanggungjawab aku pada kau. So sekarang biar aku jalankan tanggungjawab aku yang aku abaikan tu.” Sambung Tengku Raziq sambil membuka butang-butang baju kemejanya. Dia belumpun sempat melepaskan lelah, Tengku Asiah sudah ‘menerangkan’ tentang tanggungjawabjawabnya kepada Dhia Nabila. Disebabkan itu dia naik angin. Berani sungguh Dhia Nabila mengadu perihalnya kepada Tengku Asiah. Tidak dia sangka Dhia Nabila yang nampak naïf itu boleh bertindak sejauh itu. Baru tiga bulan, Dhia Nabila sudah mula bertindak berani.

            Air mata Dhia Nabila bertambah mengalir laju apabila kata-kata kasar Tengku Raziq disapa telinganya. Mengadu apa. Sedangkan dia sendiri tidak faham dengan butir bicara yang dikatakan Tengku Raziq itu.

            “Kalau kau nak sangat aku jalankan tanggungjawab aku, malam ni juga aku bayar hutang aku tu!” Kasar kata-kata Tengku Raziq.

            Sementara air mata Dhia Nabila semakin melebat apabila Tengku Raziq bertindak naik ke katil dan menarik kasar tubuhnya. Apabila dia terbaring di atas tilam, tubuh Tengku Raziq pantas menindih tubuhnya sehingga menyebabkan dia tidak mampu untuk kembali bangun.

            “Tolong jangan buat Dhia macam ni, apa salah Dhia pada Tengku..” Rayu Dhia Nabila dalam esak tangis. Sungguh dia tidak tahu apa yang diperkatakan oleh Tengku Raziq ketika itu. Apa salah yang sudah dia lakukan sehingga tengku Raziq bertindak melayannya begitu sekali.

            Tengku Raziq tidak mempedulikan rayuan Dhia Nabila, kedua-dua tangan Dhia Nabila yang menolak kasar tubuhnya dipegang kemas dan ditekan ke tilam. Memang dia marah dengan tindakan bodoh Dhia Nabila mengadu akan hal mereka kepada ibunya. Malam itu akan dia ajar Dhia Nabila, biar Dhia Nabila dapat pengajaran, biar Dhia Nabila tahu. Dia memang pantang dicabar!.

            “Tolong lepaskan Dhia.” Rayu Dhia Nabila lagi. Kedua-dua tangannya yang dipaku kuat oleh Tengku Raziq cuba dileraikan namun tangan Tengku Raziq lebih gagah menekan tangannya dari bergerak. Air matanya hanya mengalir laju saat Tengku Raziq mencium kasar lehernya. Apabila dia meronta-ronta melawan, Tengku Raziq bertindak lebih kasar. Pipinya di tampar untuk kali kedua.

            “Kalau kau melawan lagi, lagi kasar aku layan kau!”  Ugut Tengku Raziq sambil menjalarkan tangannya ke dada Dhia Nabila. Sementara Dhia Nabila hanya memejam rapatkan matanya. Takut dia menanggapi tingkah Tengku Raziq itu. Akhirnya dia hanya membiarkan Tengku Raziq memperlakukannya seperti dia tiada harga diri. Hanya air matanya sahaja yang mengalir menzahirkan kehancuran hatinya dengan layanan Tengku Raziq terhadapnya.



Selimut tebal ditarik supaya menutup semula tubuhnya yang terdedah. Tengku Raziq baru meninggalkan dirinya sendirian selepas lelaki itu mendatanginya dengan cara yang kotor. Dhia Nabila berbaring mengiring sambil menyapu air matanya yang masih mengalir. Hancur hatinya ketika itu. Sampai hati Tengku Raziq melayannya begitu. Apa kesalahan yang sudah dia lakukan sehingga mendatangkan marah lelaki itu. Jika benar pun dia bersalah, Tengku Raziq tiada hak merentap kasar maruahnya begitu.



Tengku Raziq membuang pandang keluar kereta. lampu-lampu kecil pelbagai warna yang berkerdipan menghiasi pokok-pokok dikawasan itu sedikit menyenangkan hatinya yang merusuh. Entah kenapa walaupun puas dengan tindakannya terhadap Dhia Nabila sebentar tadi namun masih ada terselit rasa kesal di hatinya.

            Kotak rokok dari dashboard kereta dikeluarkan, sebatang rokok ditarik lalu diselitkan di bibirnya yang sedikit lebam. Sejurus dihidupkan, rokok dibibirnya disedut dalam.

            Tengku Raziq mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar jeansnya. Sejurus menekan beberapa nombor, telefon itu dilekapkan ke telinganya. Rokok yang masih bersisa masih disedut tatkala menunggu panggilannya bersambut.

            “Hello.” Sapa Tengku Raziq apabila taliannya bersambut.

            “Hai, kenapa call I lewat-lewat ni.” Kata satu suara lunak manja di hujung talian.

            “Jom teman I.” Kata Tengku Raziq pendek. Rokok ditangan yang sudah habis dihisap dijentik keluar dari tingkap kereta.

            “Ke mana?” Soal Tengku Munira.

            “Tempat biasa.” Jawab Tengku Raziq seraya mematikan talian. Memang itulah kebiasaannya. Menghabiskan masa malamnya bersama Tengku Munira di kelab malam.



Tengku Munira meninjau-ninjaukan kepalanya ke arah pengunjung kelab itu dalam samar-samar lampu. Sejurus terlihat kelibat Tengku Raziq sedang leka meneguk air dari gelas lutsinar pendek, Tengku Munira tersenyum manis. Bukan susah hendak mencari Tengu Raziq jika mereka ke situ. Cari sahaja di port biasa, pasti sahaja dia akan ketemu dengan Tengku Raziq di situ.

            “Ada apa hal cari I pulak ni?” Soal Tengku Munira sejurus duduk di sisi Tengku Raziq.

            “I perlukan teman malam ni.” Kata Tengku Raziq pendek. Entah kenapa hatinya masih dihambat rasa kesal yang tidak berkesudahan.

            “Biasanya kalau macam ni, tandanya you ada masalah.” Sahut Tengku Munira.

            “Sort Of.” Terang Tengku Raziq pendek. Dia tiada hati membincangkan hal yang berlaku dengan Tengku Munira.

            “Apa yang buatkan you susah hati ni, ceritalah. Tahulah I macam mana nak selesaikannya.” Kata Tengku Munira manja. Antara dirinya dan Tengku Raziq bukan sahaja sudah terikatnya simpulan hati malah mereka juga sudah seringkali menghabiskan masa malam bersama. Disebabkan itu jugalah dia susah hati apabila Dhia Nabila dan Tengku Raziq berkahwin. Ketelanjuran hubungan antara mereka menyebabkan dia rasa tergugat dengan kehadiran Dhia Nabila dalam hubungan mereka.

            “None of your business, I just want you to be here, to accompany me.” Jawab Tengku Raziq dalam menungan panjang.

            Sementara Tengku Munira terdiam dengan kata-kata Tengku Raziq. Memang dia tahu Tengku Raziq jenis yang panas baran tetapi selama ini lelaki itu tidak pernah melayannya sedingin itu. Entah kenapa waktu itu dia mula rasa tergugat. Melihatkan perubahan sikap Tengku Raziq itu menyebabkan hatinya dihambat dengan rasa resah. Mungkinkah lelaki itu sudah mula mahu meminggirkan dirinya. Kalau itu yang Tengku Raziq cuba lakukan maka dia tiada pilihan melainkan menggunakan cara kotor. Kalau benar tengku Raziq sudah mula berubah hati, dia akan memaksa lelaki itu menerimanya semula. Selepas apa yang telah terjadi antara mereka, tidak mungkin dia akan lepaskan Tengku Raziq begitu sahaja. Biar lelaki itu turut bertanggungjawab dengan apa yang telah mereka lakukan bersama dahulu.



“Raz, duduk sekejap, mummy ada hal nak bincangkan dengan Raz.” Pamit Tengku Asiah apabila Tengku Raziq melintasi ruang tamu tempat dia sedang berehat-rehat.

            Tengku Raziq tanpa banyak bicara berjalan menghampiri ibunya itu lalu melabuhkan punggungnya di salah satu sofa berhadapan Tengku Asiah. Sejurus duduk, dia membuang pandang ke wajah ibunya itu.

            “Kalau mummy nak cakap pasal hal ni, mummy harap Raz jangan naik angin sebab mummy rasa kalau mummy terus biarkan, takut nanti jadi masalah pula di kemudian hari.” Kata Tengku Asiah membuka bicara.

             Sementara Tengku Raziq sudah mula tidak sedap hati dengan bicara ibunya itu. tentu ada lagi kesalahan yang ingin Tengku Asiah bentangkan kepadanya sebentar nanti. Dan dia paling malas mahu mendengar ‘nasihat’ Tengku Asiah itu. pada usia yang sudah cukup matang begitu, dia tidak mahu masih mendengar bebelan ibunya persis anak kecil.

            “Mummy tak suka Raz ceritakan hal rumah tangga Raz pada orang luar.” Kata Tengku Asiah membuka kata.

            Tengku Raziq terkejut. Apa yang cuba dimaksudkan oleh Tengku Asiah itu.

            “Maksud mummy?” Soal Tengku Raziq tidak faham.

            “Mummy tak suka Raz bercerita hal Raz dengan Dhia pada Tengku Munira. Memang mummy tahu dia rapat dengan Raz, sepupu Raz tapi hal rumahtangga Raz, jangan bawa keluar. Membuka aib rumahtangga sendiri tak digalakkan dalam agama kita. Kalaupun ada masalah, Raz selesaikan sendiri, tak perlu ceritakan pada Muni. Dah banyak kali Muni datang jumpa mummy, cerita pasal hubungan keruh Raz dengan Dhia. Mummy tak suka. Cukuplah sekali dulu mummy nasihat Raz, mummy tak nak banyak-banyak kali cakap perkara yang sama.” Luah Tengku Asiah tenang. Memang apabila Tengku Munira bertindak mengadu kepadanya hal Tengku Raziq dan Dhia Nabila, dia kecewa. Kecewa kerana anak lelakinya itu bertindak menceritakan hal peribadi kepada orang luar. Walaupun dia tidak tahu apa motifnya Tengku Munira menceritakan hal itu kepadanya tetapi dia tetap tidak suka, hal peribadi keluarga itu dijaja sehingga ke luar.

            “Maksud mummy, Raz tak faham?” Soal Tengku Raziq lagi.memang dia tidak faham dengan bicara ibunya itu.

            “Dah banyak kali Muni datang jumpa mummy, bagitahu pasal hubungan Raz dengan Dhia yang keruh tu. Mummy tak suka kalau Raz ceritakan hal tu kepada Muni, Raz bukan tak tahu, kalau Muni tahu maknanya nanti-nanti pasti seluruh keluarga tahu. Siapa yang akan dapat malu?. Keluarga kita juga.” Luah Tengku Asiah dalam nada kecewa.

            “Maksud mummy selama ni, Muni yang ceritakan semua hal Raz dengan Dhia pada mummy?. Bukan ke Dhia yang mengadu pada mummy?” Tengku Raziq terus menyoal. Tiba-tiba dia rasa tidak sedap hati.

            “Bila masa pula Dhia mengadu pada mummy, Muni yang ceritakan semuanya pada mummy, Dhia tak pernah cakap apa-apapun.” Sambung Tengku Asiah dengan riak pelik diwajahnya.

            Tengku Raziq terdiam, jika benar kata ibunya itu, maka dia sudah tersalah menghukum Dhia, mendatangi dia dengan cara kasar kerana dia menyangka Dhia lah punca mengapa Tengku Asiah meleterinya tempoh hari. Tengku Raziq hanya mampu termenung panjang, kesal dihatinya tatkala membayangkan semula layanan buruknya terhadap Dhia Nabila. Rambutnya yang terjuntai di dahi, dikuis ke belakang dengan jari jemari. Ada rasa kesal yang mendalam bertamu dihatinya ketika itu. Dhia Nabila tidak bersalah.



Tengku Raziq memerhatikan Dhia Nabila dari sebalik cermin kaca yang memisahkan balkoni bilik dengan ruang biliknya. Dhia Nabila yang sedang bersembang mesra dengan jiran sebelah ditenung dari jauh. Senyum manis yang terukir di bibir Dhia Nabila benar-benar membuatkan dia terasa seperti hatinya dihiris-hiris. Senyuman itulah yang membunuh semua rasanya. Entah kenapa setiap kali dia lihat Dhia Nabila tersenyum manis, hatinya seolah-olah disiat-siat. Selepas apa yang dia lakukan pada Dhia Nabila, gadis itu masih mampu tersenyum, seolah-olah sentiasa gembira. Tiada lansung tanda-tanda dirundung resah. Seolah-olah hidupnya merupakan hidup yang paling bahagia.

            Melihatkan senyuman itu juga lah yang membuatkan dia semakin dihambat rasa bersalah. Benarkan Dhia Nabila benar-benar gembira, benar-benar bahagia. Atau Dhia Nabila sebenarnya bijak menyembunyikan rasa hatinya. Semenjak dia dan Dhia Nabila diijabkabulkan, Tidak pernah dia lihat Dhia Nabila berduka, hanya senyum manis sahaja yang sentiasa menghiasi bibir Dhia Nabila. Kalau dahulu memang dia sakit hati melihatkan senyuman itu tetapi kini senyuman itu mampu membunuhnya, menghambatnya dengan semua rasa bersalah yang semakin hari semakin menghimpitnya.

            Seingatnya hanya sekali dia lihat Dhia Nabila menangis, ketika dia mendatangi Dhia Nabila dengan cara paksa. Namun semenjak itu, tidak pernah pula dia lihat Dhia Nabila menangis lagi. Hanya tersenyum seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku diantara mereka. Tersenyum seolah-olah hidupnya baik-baik sahaja.

            Tengku Raziq mengeluh berat, entah kenapa rasa kesal yang bertamu itu seolah-olah satu sumpah yang mengikutinya ke mana sahaja dia pergi. Selepas dia khianati Dhia Nabila, hatinya tidak pernah tenang. Jiwanya berkocak dengan bebanan rasa bersalah. Senyuman yang tidak lekang dari bibir Dhia Nabila menambahkan lagi rasa bersalahnya. Dia tahu Dhia Nabila sekadar menyembunyikan perasaannya jauh di lubuk hati. Dia mulai terasa kesal dengan segala layanan buruknya terhadap Dhia Nabila kerana dalam senyum manis itu, dia nampak keikhlasan dan ketulusan hati Dhia Nabila.



            Tengku Raziq masih menunggu di ruangan sofa tatkala Dhia Nabila melangkah masuk ke dalam rumah. Sejurus menghantar kuih tadi, gadis itu berbual-bual sebentar dengan jiran sebelah banglo Tengku Asiah itu. Hari itu, Tengku Raziq tidak bekerja, dia bercuti, atas alasan apa cutinya itu dipohon, dia sendiri tidak tahu, tetapi apa yang dia tahu, dia mahu bersendirian dengan Dhia Nabila, dia ingin katakan sesuatu pada gadis itu.

            Sementara Dhia Nabila berjalan menuju ke pintu dapur, dia memang selalunya masuk awal ke dapur menyediakan bahan-bahan untuk memasak makanan tengahari Tengku Kadir pula. Namun belum sempat kakinya mencecah pintu dapur. Tengku Raziq sudahpun menegurnya.

            “Dhia..duduk sekejap, ada perkara saya nak cakap.” Kata Tengku Raziq. Bicaranya tidak sekasar awal dahulu.

            Dhia Nabila yang terkejut dengan sapaan Tengku Raziq membuang pandang ke arah lelaki itu, namun apabila matanya bertemu dengan mata Tengku Raziq, pantas Dhia Nabila larikan anak mata.

            “Duduk.” Arah Tengku Raziq apabila Dhia Nabila masih berdiri kaku di satu sudut ruang tamu.

            Dhia Nabila tanpa banyak bicara menurut sahaja permintaan lelaki itu. Apabila punggungnya dilabuhkan pada salah satu sofa, dia hanya membuang pandang ke lantai, tidak tahu reaksi bagaimana yang harus dia tunjukkan kepada lelaki itu kerana antara dirinya dan Tengku Raziq masih ada jurang pemisah yang luas. Lelaki itu masih terasa asing dalam hidupnya. Tambahan pula dia masih lagi tidak boleh melupakan apa yang telah Tengku Raziq lakukan terhadapnya beberapa waktu sebelum itu.

            ‘Saya nak minta maaf.” Kata Tengku Raziq dalam nada mengendur. Matanya masih dibuang pada seraut wajah Dhia Nabila yang menunduk ke lantai.

            Dhia Nabila terdiam. Sejujurnya dia juga terperanjat dengan ungkapan maaf itu namun untuk dia zahirkan rasanya itu dengan riak wajahnya, dia tidak mampu.

            “Maaf atas apa yang saya buat pada Dhia malam tu.” Ucap Tengku Raziq lagi. Memang dalam hatinya ketika itu, ada rasa kesal yang menggunung.

            Dhia Nabila hanya tersenyum tawar. Mudahnya memohon maaf setelah kesalahan berat lelaki itu lakukan terhadapnya. Jika kata maaf itu boleh berkata-kata, pastinya ia juga akan menyumpah laknat manusia kerana tegar sekali mempergunakannya sewenang-wenang.

            “Maafkan saya.” Luah Tengku Raziq untuk kali yang ketiga. Selepas dilihatnya Dhia Nabila masih diam seribu bahasa, dia rasa tidak senang hati. Selagi kata maafnya itu tidak diterima oleh Dhia Nabila, selagi itulah hatinya itu tidak tenteram.

            “Saya dah lama maafkan tengku. Sedangkan Allah juga pemurah dalam memberi maaf, inikan pula saya, hanya manusia biasa.” Jawab Dhia Nabila tenang. Dia memang telah lama maafkan Tengku Raziq, apa guna dia menyimpan dendam kerana dia tahu dendam itu hanya akan menyalakan api marah. Dan marah itu merupakan hasutan syaitan. Untuk apa dia marah jika dia mahu mencari keredhaan tuhan. Memang benar lelaki itu cukup bersalah terhadapnya, tetapi lelaki itu sudah terlanjur menjadi suaminya. Tiada guna dia menyimpan marah dan dendam kepada Tengku Raziq lagi.

            Tengku Raziq terkesima, jawapan Dhia Nabila ternyata menyentap tangkai hatinya. Benarkan hati Dhia Nabila setulus itu, benarkah semudah itu Dhia Nabila memaafkan segala kesalahan beratnya. Dia hanya mampu memandang bila Dhia Nabila bangun dan meninggalkannya sendirian di sofa. Lidahnya kelu, pergerakannya terasa kaku. Entah kenapa ketika itu, kata-kata Dhia Nabila itu umpama batu besar yang menindih dadanya sehingga nafasnya terasa sesak. Tidak pernah selama hidupnya dia merasakan perasaan yang sebegitu tetapi gadis biasa seperti Dhia Nabila sudah berjaya menggugah rasanya yang selama ini kukuh berbentengkan ego dan panas barannya. Gadis itu umpama air yang menyimbah api marahnya sehingga padam, umpama air yang merempuh kuat tembok egonya sehingga runtuh berkecai.



“Betul apa yang Muni cakap tu?!” Soal Tengku Asiah kasar.

            Tengku Raziq terdiam. Mulutnya terasa kelu untuk berbicara. Memang benar apa yang dikatakan oleh Tengku Munira sebentar tadi. Tiada lansung yang salahnya. Wajah Dhia Nabila yang duduk menunduk dihujung sofa dikerling sekilas. Jelas dimatanya wajah itu mendung. Barangkali Dhia Nabila turut terkesan dengan apa yang dikatakan oleh Tengku Munira sebentar tadi. Waktu terlihat wajah Dhia Nabila begitu, barulah dia rasa panas hati. Terasa ingin sahaja dia menampar wajah Tengku Munira waktu itu juga. Entah kenapa sejak kebelakangan ini, berlainan sekali perasaannya tatkala wajah Dhia Nabila dijamah matanya. Ada ketenangan pada wajah itu yang menyenangkan hatinya.

            “Muni tak peduli, Raz kena bertanggungjawab!” Kata Tengku Munira kasar. Sejak Tengku Raziq seringkali mengelak dari bertemunya, dia jadi sasau. Tidak mungkin Tengku Raziq dengan mudah sahaja boleh meminggirkan dirinya. Dia tidak mahu itu berlaku!.

            “Betul apa yang Muni cakap tu?!” Soal Tengku Asiah untuk kali yang kedua.

            Tengku Raziq hanya mengangguk lemah, dia turut membuang pandang pada lantai. Memang apa yang diperkatakan oleh Tengku Munira itu benar belaka. Memang mereka seringkali terlanjur bersama tetapi itu sewaktu dia belum mengenali Dhia Nabila. Selepas dia kenal Dhia Nabila, kenal budi pekerti Dhia Nabila, dia sudah mulai menjauhkan diri dari Tengku Munira. Dia sudah mulai takut bergelumang dengan dosa.

            “Kalau betul apa yang Muni cakap, mummy nak Raz bertanggungjawab. Jangan lepas tangan lepas apa yang Raz dan Muni dah buat bersama!.” Tegas kata-kata Tengku Asiah. Jika benar anak dan anak buahnya itu sudah terlanjur perbuatan, adalah menjadi tanggungjawab dia untuk menyatukan mereka. Walaupun dia sedar tindakannya itu mungkin akan menghancurkan sekeping hati milik Dhia Nabila namun apa yang dia terdaya dia lakukan. Dosa Tengku Raziq dan Tengku Munira itu juga perlu ditebus.

            Sementara tengku Raziq sudah tersentak. Dia membuang pandang ke wajah Dhia Nabila yang jelas kecewa dan terkejut dengan berita yang baru singgah ke telinga mereka saat itu. Pedihnya keputusan yang keluar dari mulut tengku Asiah ketika itu. Memang dia sedar dia salah, dan dia juga sedar dia perlu bertanggungjawab atas apa yang telah dia lakukan bersama Tengku Munira namun dia rasa tidak sampai hati untuk melukakan hati Dhia Nabila, cukuplah sekali dia lukakan hati gadis itu, dia sudah serik. Kesalahannya pada Dhia Nabila dahulu juga masih belum mampu dia buang rasa bersalahnya, masih lagi menghantui dirinya setiap saat dan dia tidak bersedia untuk melukakan hati Dhia Nabila untuk kali yang kedua. Sejujurnya dia tidak sanggup menangggung bebanan rasa bersalah yang akan menghantuinya.

            “Macam mana dengan Dhia, Raz tak sanggup lukakan hati Dhia.” Kata Tengku Raziq mengendur. Entah kenapa kata-katanya itu terasa ikhlas dituturkan dihadapan Tengku Asiah dan Tengku Munira.

            “Habis tu, hati I you sanggup nak lukakan. You cintakan I sebelum you kahwin dengan dia, I tak nak kerana dia, you lepaskan tanggungjawab you, sama-sama buat, sama-sama kita tanggung!.” Kasar bicara Tengku Munira. Panas hatinya mendengarkan kata-kata Tengku Raziq itu.

            “Macam mana dengan Dhia?” Soal tengku Raziq tanpa mempedulikan pandangan Tengku Munira. Apa yang penting hanyalah perasaan Dhia Nabila ketika itu.

            “tengku dah terlanjur bergelumang dengan dosa, lebih baik tengku kahwin dengan Tengku Munira.” Kata Dhia Nabila tenang, wajahnya masih ditunduk ke lantai. Walaupun kecewa dengan pengakuan Tengku Munira, namun dia juga tidak boleh pentingkan diri sendiri. Dia bingkas bangun selepas memberikan kata putus. Sejujurnya dia juga sudah tidak harapkan apa-apa lagi selepas mendengar bicara Tengku Munira itu. tiada apa lagi yang tinggal untuknya dalam perkahwinan itu. dia hanya berserah.

harap semua suka la ye..hehe

Friday, 18 May 2012

CERPEN-CINTAI AKU (PART 1)

Kalau ada lagi yang masih mengikuti blog cik tulip.cubaan pertama menulis cerpen..jom baca :)

Dhia Nabila hanya mendiamkan diri mendengarkan kata-kata ibunya. Memang sudah beberapa kali hal itu dibangkitkan ibunya itu. Dia bukan tidak bersetuju cuma dia perlukan lebih masa untuk memikirkan hal itu. Permintaan ibunya itu dirasakan terlalu tiba-tiba, dia belumpun sempat berfikir, ibunya sudah menetapkan satu keputusan bagi pihaknya dan dia sebagai empunya diri, tidak punyai peluang untuk menimbang keputusan untuk dirinya sendiri.

            “Apa yang Dhia nak fikir lagi, Dhia tak kasihan pada ayah?, dah lama ibu tunggu peluang ni, ayah pun dah lama terlantar sakit. Hanya dengan cara ini sahaja yang dapat bantu keluarga kita sembuhkan ayah.” Suara Halimah mengendur. Sejak dia memaklumkan kepada Dhia Nabila yang dia sudah menerima pinangan keluarga Tengku Kadir tempoh hari, anak daranya itu seolah-olah melancarkan perang dingin terhadapnya. Tidak lagi mahu berbual-bual mesra.

            “Dhia perlu lebih masa bu, Dhia nak fikir dahulu.” Sahut Dhia Nabila lembut. Memang dia terkejut apabila tiba-tiba ibunya itu memaklumkan bahawa pinangan keluarga kaya itu sudah diterima walhal dia masih belum menyatakan persetujuannya.

            “Apa yang Dhia nak fikir lagi, ayah tu bukan makin sihat, dah bertambah teruk. Kalau tak cepat-cepat rawat makin melarat sakit ayah Dhia. Dhia sanggup nak tengok ayah sakit teruk?” Soal Halimah pula. Memang dia hanya nampak jalan itu sahaja yang ada bagi membantu suaminya itu menjalani pembedahan segera. Barahnya perlu dirawat segera. Dan keluarga Tengku Kadir pula menawarkan mereka kemudahan itu jika Dhia Nabila bersetuju untuk mengahwini Tengku Raziq sebagai ganti.

            “Dhia bukan berniat macam tu bu, cuma Dhia harap boleh fikirkan jalan lain.” Luah Dhia Nabila. Sejujurnya dia kecewa dengan permintaan ibunya itu. Kenapa dia perlu berkorban masa depannya dengan mengahwini Tengku Raziq. Bukan dia tidak kenal dengan sikap Tengku Raziq. Anak pasangan tengku Kadir dan Tengku Asiah itu terlalu liar dan terkenal dengan sikap panas barannya. Siapa yang tidak kenal, malah seluruh taman itu tahu akan sikap Tengku Raziq.

            Dan Dhia Nabila juga bukan tidak tahu kenapa keluarga itu beria-ia mahukan dia menjadi menantu di banglo mereka. Tujuannya hanya satu, iaitu untuk menjaga Tengku Kadir yang terlantar sakit. Perkara itu bukan rahsia lagi kerana Tengku Asiah sendiri yang memaklumkan kepada ibunya dan ibunya itu juga tidak pernah merahsiakan tujuan keluarga kaya itu beria-ia mahu dia berkahwin dengan Tengku Raziq.

            “Kita ikhtiar usaha yang lain la bu.” Kata Dhia Nabila lemah. Memang dia tidak bersedia mahu menjadi isteri kepada Tengku Raziq. Bukan itu sahaja, malah dia juga tidak tahu bagaimana dia ingin membawa diri dalam keluarga itu sekiranya dia benar-benar berkahwin dengan Tengku Raziq.

            “Kalau Dhia benar-benar sayangkan ayah, buatlah ikut permintaan ibu ni. Kalau Dhia tolak pinangan keluarga Tengku Asiah, anggaplah Dhia bukan anak ibu lagi.” Putus Halimah. Matanya sudah mulai digenangi air jernih. Kalau benar Dhia Nabila berdegil, dia sudah kehilangan ikhtiar.

            Dhia Nabila mengeluh, tidak menyangka ibunya senekad itu mahu mengorbankan masa hadapannya dengan mempercaturkan nasibnya di tangan Tengku Raziq. Bukan dia tidak sayang pada ayahnya namun dia juga harus memikirkan dirinya sendiri. Bagaimana dengan masa depannya jika dirinya disatukan dengan Tengku Raziq. Melihatkan air mata ibunya, dia turut mengalirkan air mata. Apalah dayanya ingin menolak jika ibunya itu sudah menetapkan keputusan bagi pihaknya. Umpama ditelan mati mak, diluah mati bapak. Dia tiada pilihan yang benar-benar berpihak kepadanya. Berkahwin dengan Tengku Raziq umpama menyerah ke dalam mulut buaya, jika menolak pula, dia mempertaruhkan hubungan ibu anak yang terjalin dengan Halimah selama ini. Sungguh dia buntu.

            Terkenangkan ayahnya dia jadi sayu, sedangkan ayahnya itu juga masih memerlukan perhatian yang rapi tetapi sebaliknya ibunya mahu dia masuk ke keluarga Tengku Asiah dan menjaga Tengku Kadir yang terlantar sakit. Hatinya pilu, ayah yang sakit terpaksa dia tinggalkan semata-mata ingin memberi khidmat kepada orang asing.



Tengku Raziq membuang pandang ke arah jalan raya yang lengang dengan kenderaan. Panas hatinya apabila kata-kata yang menyakitkan hati itu keluar dari mulut ibunya. Marah dia apabila Tengku Asiah memaklumkan hal itu kepadanya. Dan lebih marah lagi kerana dia masih lagi tidak memutuskan apa-apa tentang cadangan ibunya itu seminggu lepas tetapi ibunya itu bertindak membuat keputusan bagi pihaknya.

            “Mummy jangan buat kerja gila macam ni, Raz tak nak kahwin dengan perempuan sebarangan!” Marah Tengku Raziq. Apabila teringat calon yang menjadi pilihan ibunya itu dia jadi marah. Mudah benar ibunya itu mencaturkan kehidupannya begitu.

            “Hanya keluarga dia sahaja yang sanggup terima semua syarat kita. Papa dah lama terlantar sakit. Siapa nak jaga kalau Raz masih berkeras. Sekurang-kurangnya anak mak Limah boleh jaga papa lepas Raz kahwin dengan dia.” Balas Tengku Asiah.

            “Tak boleh ke mummy guna cara lain. Cari jururawat peribadi atau upah pembantu rumah yang sanggup jaga papa.” Jawab Tengku Raziq dengan wajah yang merah menahan marah dari terhambur keluar. Memang itu sikapnya sejak dahulu lagi. Pantang ada yang tidak menyenangkan hati singgah ke telingannya, pasti amukan sahaja yang dia lontarkan. Tidak kiralah siapa yang terkena tempiasnya.

            “Raz bukan tak tahu, dah ramai jururawat yang mummy upah tapi semuanya hanya pandai ambil kesempatan. Mana ada yang benar-benar jujur dan ikhlas nak jaga papa. Semuanya berlagak baik di hadapan kita sahaja, bila dibelakang kita, papa dilayan tak ubah macam layan binatang. Raz sanggup tengok orang layan papa macam tu?” Soalan Tengku Raziq dibalas dengan soalan kembali. Tengku Asiah hanya mahu membawa anaknya itu berfikir. Memang tiada jalan lain lagi yang dia nampak. Hanya itu sahaja jalannya.

            “Raz memang tak setuju kalau mummy berkeras. Raz tak nak korbankan diri semata-mata nak cari caretaker yang sesuai untuk papa. Raz rasa banyak lagi cara lain yang boleh kita guna.” Putus Tengku Raziq tegas.

            “Kalau Raz sanggup berhenti kerja dan ambil alih tugas mummy kat office, mummy akan pertimbangkan cadangan Raz tu. “ Tukas Tengku Asiah memberi kata putus. Bukan dia tidak tahu, Tengku Raziq juga tidak akan bersetuju dengan cadangannya itu. Malah bukan sekali dua dia mengungkit akan hal itu malah sudah beberapa kali tetapi Tengku Raziq masih lagi berdegil. Masih mahu mencari haluan kerjayanya sendiri. Perniagaan keluarga mereka itu tidak pernah tersenarai dalam diarinya.

            Semenjak Tengku Kadir jatuh sakit, Tengku Asiah lah yang berkorban masa dan tenaga menggantikan tempat suaminya itu. Untung juga dia turut memiliki kemahiran menguruskan perniagaan, jika tidak pasti jatuh legasi keluarga mereka itu. Jika hendak diharapkan kepada Tengku Raziq, anak lelaki tunggalnya itu lansung tidak mahu campur tangan dalam perniagaan turun temurun itu. Dia lebih selesa bekerja sendiri, sebagai jurutera.

            Kadang-kadang terbetik juga rasa pelik di hati Tengku Asiah. Sikap panas baran Tengku Raziq itu tidak pula menjejaskan kerjayanya selama ini. Sedangkan dia tahu Tengku Raziq cukup sukar untuk mengawal marah. Biasanya orang seperti Tengku Raziq, jarang-jarang sekali boleh bekerja dengan orang. Namun dalam hal itu, Tengku Raziq tidak pula mengalami sebarang masalah. Mungkin juga kerana anaknya itu sering sahaja komited dalam kerja. Walaupun hidup dalam suasana yang serba mewah namun Tengku Raziq masih lagi tahu apa perkara yang perlu dia dahulukan.

            Namun yang seringkali menjadi kerunsingan Tengku Asiah ialah sikap liar Tengku Raziq yang sukar untuk dikawal. Anak lelakinya itu terlalu bebas dalam menjalani hidup seharian. Sukar juga untuk dia memantau semua kegiatan Tengku Raziq kerana dia juga tidak punyai masa yang banyak untuk mengawasi tindak tanduk Tengku Raziq.

            Sejujurnya, tujuan dia mahu menjodohkan Tengku Raziq dengan Dhia Nabila juga sedikit sebanyaknya bertujuan untuk dia mengembalikan Tengku Raziq ke jalan yang betul. Dhia Nabila bukan sahaja calon yang sesuai malah seringkali menjadi buah mulut orang di kawasan tempat tinggal itu. Budi dan pekerti Dhia Nabila meruntun hati sesiapa sahaja.

            Tengku Raziq terdiam mendengarkan kata-kata Tengku Asiah sebentar tadi. Memang kata-kata ibunya itu umpama paku buah keras yang bertujuan untuk mencantas balik kata-katanya. Mana mungkin dia akan melepaskan jawatan yang dia sandang selama ini. Bukannya Tengku Asiah tidak tahu, dia memang sama sekali tidak akan campur tangan dalam urusan keluarga itu. Dia tidak mahu terikat dengan tanggujawab besar yang dia sendiri tidak pasti sama ada dia boleh pikul atau tidak. Penyudahnya dia hanya terdiam mendengarkan hujah ibunya yang ternyata berjaya membuatkan lidahnya kelu untuk kembali berhujah.





Persalinan akad nikahnya di salin dengan baju yang lebih selesa untuk dia bawa tidur. Tengku Raziq terus menghilangkan diri sejurus menukar baju selepas akad nikah tadi. Nampak benar lelaki itu juga tidak menyenangi ikatan yang baru dijalin itu. Malah riak dingin wajah Tengku Raziq menjelaskan segala-galanya. Lelaki itu turut terpaksa menikahinya.

            Sejurus duduk di birai katil sambil menyisir rapi rambutnya, pintu bilik itu diketuk dari luar. Dhia Nabila bingkas bangun dari duduk lalu menapak ke pintu bilik. Pintu itu dikuaknya dari dalam.

            “Jom makan.” Pelawa Tengku Asiah selepas Dhia Nabila membuka daun pintu.

            “Sekejap lagi Dhia turun.” Tutur Dhia lembut. Dia masih belum selesai menyisir rambutnya lagi.

            “Jangan lambat-lambat, nanti sejuk nasi.” Sahut Tengku Asiah seraya kembali berlalu ke tingkat bawah.

            Dhia Nabila kembali menyambung tugasnya yang terbantut kerana kehadiran Tengku Asiah tadi. Sejurus selesai menyisir rambut, dia bangun menuju ke muka pintu. Sejurus keluar dari bilik, langkahnya di atur menuruni anak tangga ke tingkat bawah yang menempatkan ruang makan.

            Tiba di tingkat bawah, dia lihat hanya kelibat Tengku Asiah sahaja di meja makan. Sementara Nada, pembantu rumah warga Indonesia sedang sibuk mengemop lantai di ruang dapur basah. Dhia mengambil tempat berhadapan dengan ibu mertuanya itu. Masih terasa janggal dengan hubungan baru yang dia bina bersama keluarga itu.

            “Raz dah keluar?” Soal Tengku Asiah seraya menyenduk nasi ke dalam pinggannya dan pinggan Dhia. Tahu benar dengan sikap Tengku Raziq, pasti anak lelakinya itu menunjukkan protes dengan pernikahan yang baru berlaku.

            “Tengku Raziq dah keluar.” Jawab Dhia Nabila jujur. Hatinya yang pedih dipendamkan sendiri. Baharu beberapa jam diijabkabulkan, suaminya sudahpun pergi meninggalkan dirinya sendirian. Itu baru beberapa jam, belum lagi beberapa hari, bulan dan tahun. Entah apa lagi sikap Tengku Raziq yang perlu dia berhadapan di kemudian hari. Memikirkan itu semua dia jadi takut. Takut untuk memikirkan hari-harinya yang bakal ditempuhi bersama lelaki itu.

            “Raz tu memang macam tu, harap Dhia bersabar dulu dengan perangai dia. Lambat laun, mummy percaya Raz akan berubah. Lagipun sekarang dah ada tanggungjawab baru.” Luah Tengku Asiah seraya menyenduk lauk ke dalam pinggannya.

            Dhia hanya mengangguk perlahan. Dia juga berharap begitu. Walaupun pada awalnya dia juga tidak rela dengan pernikahan itu, namun sejurus ijab dan kabul diikat bersama tengku Raziq, dia juga mengharapkan hubungan itu diselangi bahagia walaupun dia sendiri tidak pasti apakah harapannya itu akan membungakan impian yang sudah mula dia semai jauh dalam lubuk hatinya itu.





Dhia Nabila tersentak apabila pintu bilik itu dikuak kasar dari luar. Pantas dia berpaling menghadap ke arah pintu bilik. Sejurus wajah keruh Tengku Raziq dijamah matanya, Dhia larikan anak mata. Takut dia melihat wajah Tengku Raziq begitu. Seolah-olah ada dendam yang belum terlunas di hati Tengku Raziq terhadapnya.

            Tengku Raziq tanpa segan silu terus membuka bajunya lalu mencampak baju tersebut di lantai. Tiada bicara yang terbit dari bibirnya. Lelaki itu kemudiannya meluru masuk ke bilik air dan terus mandi.

            Sementara Dhia Nabila terus menuju ke beg bajunya yang diletakkan di penjuru bilik. Dia juga serba salah mahu meletak pakaiannya itu di mana. Diantara dirinya dan Tengku Raziq masih belum ada bicara yang tercetus. Lelaki itu seperti tidak menyenangi kehadirannya di situ. Lantaran itu, baju-bajunya itu hanya dibiarkan sahaja dalam beg lusuh yang dipinjamkan oleh ibunya Halimah.

            Setengah jam kemudian, Tengku Raziq keluar dari bilik air. Lelaki itu kemudiannya mengenakan pakaian tanpa mengendahkan kehadiran Dhia Nabila yang duduk di sofa yang tersedia dalam bilik itu. Dhia Nabila pula yang jadi malu dengan perlakuan selamba Tengku Raziq. Pantas matanya dilarikan dari melihat Tengku Raziq mengenakan pakaian.

            Usai memakai baju, Tengku Raziq pantas menuju ke meja sisi katil. Kotak rokok yang memang ada disitu diraih lalu dibawa keluar ke balkoni bilik. Sementara Dhia Nabila hanya memerhatikan tingkah Tengku Raziq dengan ekor mata. Dia kemudiannya memerhatikan Tengku Raziq dari belakang. Lelaki itu kemudiannya mengeluarkan sebatang rokok dan diselit ke bibir. Sejurus menghidupkan api pada hujung rokok, Tengku Raziq menyedut dalam rokok di bibir. Asapnya yang dihembus perlahan itu jelas ditangkap oleh mata Dhia Nabila dari dalam bilik.

            Dhia Nabila mengeluh. Tengku Raziq memang lebih dari segi rupa paras dan kekayaan namun, dari segi moralnya lelaki itu seperti tidak dibimbing. Memikirkan itu semua membuatkan Dhia Nabila kembali di rundung resah. Mampukan dia gapai bahagia dengan Tengku Raziq sedangkan kehadirannya di situ lansung tidak mendapat perhatian lelaki itu. Bagaimana untuk dia terus berhadapan dengan Tengku Raziq jika dingin lelaki itu terlalu tinggi, egonya terlalu dalam. Mana mungkin dia bisa mendekati Tengku Raziq jika sikap lelaki itu sendiri tidak membenarkan perkara itu berlaku.

            Lamunan Dhia Nabila terhambur apabila pintu kaca balkoni bilik ditarik kasar dari dalam. Dilihatnya tengku Raziq sudahpun merebahkan tubuhnya ke katil. Lelaki itu kemudiannya mencampakkan sebiji bantal dan sehelai selimut ke arah Dhia Nabila. Dhia Nabila yang faham isyarat Tengku Raziq itu berjalan perlahan lalu bantal dan selimut itu di raih dan di bawa kembali ke sofa. Sedih dan pilu hatinya apabila Tengku Raziq melayannya begitu. Tanpa kata dan tanpa suara, lelaki itu sudahpun meletakkan jarak dalam hubungan yang baru sahaja terbina.



Dhia Nabila baru siap menyuapkan bubur kepada Tengku Kadir apabila dia terdengar bunyi kuat motosikal besar Tengku Raziq masuk ke perkarangan halaman banglo itu. Mangkuk yang telah kosong ditangannya di bawa kembali ke dapur. Apabila tiba di singki, dibasuhnya mangkuk kosong itu dan kembali di susun dalam kabinet. Tugasan yang berikutnya ialah supaya dia mengelap badan Tengku Kadir. Semenjak dia menjadi menantu rumah itu, memang dia sudah diterangkan tentang tanggungjawabnya di situ malah Tengku Asiah juga sudah menyediakan dirinya jadual. Dan tugasan-tugasan yang dilakukan itu juga sudah tersenarai dalam jadual yang disediakan Tengku Asiah.

            Memang semenjak masuk dalam keluarga itu, tidak pernah sekalipun dia rasa seperti menantu di banglo besar itu. Tugasnya itu tidak lebih dari pembantu rumah sahaja. Entah kenapa dia rasa seperti keluarga Tengku Asiah seolah-olah menghina orang sepertinya. Mengambil dirinya sebagai menantu sekadar mahu menghalalkan hubungan supaya dia boleh menjaga Tengku Kadir yang terlantar sakit. Malah ibunya juga dirasakan terlalu mementingkan diri kerana sanggup menyerahkan dirinya ke dalam keluarga itu. Bukan ibunya tidak tahu sikap Tengku Raziq, malah perlakuan anak Tengku Asiah itu memang bukan rahsia lagi bagi masyarakat setempat.

            Lahir dalam keluarga besar begitu memang memerlukan pengorbanan yang besar juga. Kasih sayang terpaksa dibahagi kepada adik beradik lain dan dia sebagai anak yang paling besar terpaksa berkorban demi kelansungan hidup ahli keluarga lain. Kadang-kadang dia cemburu melihat orang lain.

            Dhia Nabila keluar dari ruang dapur untuk kembali menguruskan Tengku Kadir namun sebelum sempat dia sampai ke anak-anak tangga, dia bertembung dengan Tengku Raziq. Tanpa bicara, Tengku Raziq membuka bajunya dan terus dicampak di kaki Dhia Nabila. Mengisyaratkan supaya Dhia Nabila mengutip baju itu dan membasuhnya.

            Dhia Nabila faham benar dengan cara Tengku Raziq itu. Walaupun tanpa bicara, namun isyarat dan perlakuan lelaki itu sudah boleh dia baca. Pantas dia mengutip baju Tengku Raziq dan dibawa ke mesin basuh. Sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh, dibelek-belek dahulu kemeja lelaki itu, bimbang jika ada kertas atau barang-barang lain yang masih ada dalam poket kemeja itu. Semasa memeriksa kemeja itu, mata Dhia Nabila tertangkap kesan gincu bibir di kolar baju lelaki itu. Dhia Nabila mengeluh. Selama ini hanya khabar tentang keliaran lelaki itu sahaja yang singgah ke telinganya tetapi ketika itu matanya sendiri menjadi saksi akan kebenaran khabar-khabar angin itu. Entah kenapa tiba-tiba hatinya jadi sayu. Terlontar dalam keluarga kaya itu dan menjadi isteri kepada Tengku Raziq, memang tidak pernah dia terfikirkan dalam mindanya.

kalau best bagitahu ye...nak sambung lagi..hehe


Wednesday, 9 May 2012

BUKAN ISTERI SEMPURNA BAB 24

Salam, cik tulip rasa pasti ramai yg ternanti2 n3 kali ni.ramai yg tak sabar nk tahu progress hubungan El Nina ni.so n3 kali ni akan beri kepuasan pada hati rakan pembaca.n sadly to inform that this is the last n3 for BIS. melihatkan reaksi dr pembaca yang hangat membuatkan cik tulip teruja jika kisah ini dibukukan. berbekalkan semangat yg berkobar-kobar, cik tulip tlh korbankan masa tidur dan makan bg menyiapkan manuskrip cerita ini dan dihantar utk penilaian.alhamdulillah manuskrip ini telah lulus penilaian dan insyaallah akan keluar dalam bentuk naskah pula...so blhlah enjoy n3 kali ini..harap semua suka..
BAB 24



Azzura menghempaskan telefon bimbitnya ke katil. Panas hatinya apabila menjawab panggilan Daniel Arman sebentar tadi. Air matanya yang mengalir sejak awal perbualan tadi masih lagi mengalir laju. Tubuhnya dihempas kasar ke tilam empuk, jari-jemarinya mengelap kasar pada air mata yang jatuh di pipi. Masih terngiang-ngiang lagi kata Daniel Arman dalam telefon tadi.





“I tak dapat nak terima cadangan daddy I, dulu pun I dah bagitahu you, I tak nak rush, biarlah kita berkawan dahulu sebelum jalinkan hubungan yang lebih serius.”Kata Daniel Arman lembut.

            “Apa maksud you? Habis selama kita berkawan you cuma nak ambil kesempatan pada I.” Jawab Azzura penuh emosi walhal dia sendiri tahu sikap Daniel Arman. Tidak pernah sekali pun Daniel Arman menyentuhnya, hatta memegang tangannya pun lelaki itu tidak pernah lakukan. Sengaja dia berkata begitu, berharapkan Daniel Arman akan lembut hati dan menerima cadangan bapanya untuk mengikat tali pertunangan antara mereka.

            “Zurra please, kan I dah banyak kali bagitahu you, I ikhlas berkawan dengan you, I cuma anggap you kawan biasa sahaja, tak lebih dari itu.” Sambung Daniel Arman, nada suaranya dilembutkan bagi menjaga hati Azzura. Sudah tiba masanya bagi dia berterus terang dengan Azzura. Memang dia tidak pernah memberikan harapan pada Azzura, Cuma Azzura sahaja yang melayaninya seperti mereka pasangan kekasih. Disebabkan sikap Azzura yang manja dan mudah merajuk, dia tiada pilihan lain melainkan mengikut sahaja rentak Azzura. Jika ada yang salah, pasti Azzura bertindak lebih jauh.

Daniel Arman masih ingat, pernah sekali Azzura menelan beberapa biji pil tidur hanya kerana dia tidak mengangkat telefon. Tapi kali ini keadaan sudah jauh berbeza, Azzura mendesak supaya hubungan mereka disatukan dengan ikatan pertunangan sedangkan dalam hatinya dia tidak pernah punyai rasa cinta buat Azzura. Dia tidak mungkin akan mengikut rentak Azzura itu.

“You tak boleh buat I macam ni. Ni mesti PA you punya kerja kan. Mesti dia dah goda you sampai you lupa pada I, tak nak lagi pada I. Apa yang perempuan tu ada yang I takde. Segala-galanya I lebih dari dia. Tak kan dengan perempuan macam tu pun you boleh jatuh hati. Memang dasar perempuan tak sedar diri!.” Kata Azzura penuh emosi. Bukan dia tidak pernah nampak cara Daniel Arman memandang Nina. Pandangan yang dia sendiri faham maksudnya. Pandangan Daniel Arman kepada Nina penuh dengan cinta, rindu yang sarat cuma untuk dia mengiakan semua itu dia tidak berani kerana bimbang hatinya terluka. Lantaran itu dia memujuk papanya mempercepatkan ikatan antara dirinya dan Daniel Arman. Biar lelaki itu jatuh ke tangannya dahulu sebelum disambar oleh orang lain.

“Zurra please, nanti kita jumpa, kita bincang perkara ni face to face.” Pujuk Daniel Arman lagi. Berhadapan dengan sikap Azzura yang satu itu memerlukan kebijaksanaan. Dia bimbang Azzura akan bertindak melulu. Walaupun tuduhan Azzura terhadap Nina melampau, namun dia harus bijak menangani sikap Azzura itu. Silap langkah boleh membawa padah.

“I tak nak bincang-bincang lagi, I nak jumpa dengan perempuan tu!.” Jawab Azzura kasar. Butang mematikan talian di tekan kasar. Telefon bimbitnya dihempas ke tilam. Sakit hatinya ketika itu.





Daniel Arman merenung lampu-lampu jalan yang terhias indah di sepanjang jalan dari kerusi yang dia duduki. Namun keindahan itu tidak dirasai olehnya saat itu. Ingatannya teraih pada Nina. Pada saat Nina menjaganya ketika dia demam tempoh hari, hatinya sering bergetar rindu, mengalun sayang pada seraut wajah Nina, pada lembut tingkah Nina. Memang kala itu dia sudah jatuh cinta pada Nina. Isterinya yang dikahwini tanpa rela suatu waktu dahulu.

            Daniel Arman kemudiannya membuang pandang ke dada langit. Kerlipan bintang yang bersinar membuatkan hatinya bertambah syahdu. Dia terlalu ingin mendekati Nina, terlalu ingin membawa Nina tinggal bersamanya, namun apabila dia teringatkan kedinginan tingkah Nina, dia berputus asa. Nina terlalu jauh untuk dia gapai. Sejujurnya dia sendiri tidak dapat menebak apa yang terselindung disebalik hati Nina. Gadis itu terlalu melindungi isi hatinya.

            Daniel Arman meraup wajahnya dengan jemari. Tiba-tiba wajah Azzura menerjah ruang fikirannya. Bagaimana pula dia akan berhadapan dengan Azzura. Azzura tidak matang dalam banyak perkara. Menanggapi sikap Azzura umpama melayani karenah anak kecil. Sungguh dia buntu saat itu. Kata-kata Azzura semasa dalam telefon tadi membuatkan hatinya cuak. Bimbang kalau-kalau Azzura datang menemui Nina dan menghamburkan segala kemarahan. Dia turut bimbang hati Nina akan disakiti lagi.





Nina sedang mengemas-ngemas mejanya apabila tangannya ditarik kasar dari belakang. Terkejut dengan tindakan pelaku itu, Nina pantas berpaling ke belakang. Apabila wajah keruh Azzura dijamah matanya, Nina jadi terkejut. Kenapa tiba-tiba sahaja Azzura bertindak kasar terhadapnya. Apa kesalahannya pada gadis itu sehingga begitu sekali perlakuan Azzura.

            “Cik Azzura, kenapa ni?” Kata Nina sejurus dia berdiri berhadapan dengan Azzura. Gadis bertubuh kecil itu hanya separas hidungnya.

            “You ni memang perempuan tak sedar diri kan!, dah tahu Daniel Arman tu kekasih I, you masih lagi nak rampas!, dah tak cukup lagi jantan lain you nak goda sampai boyfriend orang pun you nak kebas!” Hambur Azzura dalam marah.

            “Apa yang Cik Azzura cakap ni, bila pula saya nak rampas Encik Arman dari Cik Azzura?” Soal Nina hairan. Tidak faham kenapa Azzura tiba-tiba muncul di pejabat dan menghamburkan marah padanya. Nasib baik semua staff pejabat tiada, semuanya keluar untuk rehat tengahari. Jika tidak, pasti satu pasaraya akan kecoh dengan perkara itu.

            “Jangan nak berlagak baik la Cik Nina, biasalah orang macam you ni, selalu nak ambil kesempatan ke atas lelaki macam El, jangan ingat I tak tahu niat sebenar you, cermin dulu diri you tu, layak ke tidak dengan Daniel Arman.” Kata Azzura sinis. Memang dia sakit hati kepada Nina. Kerana Nina lah Daniel Arman menolak cadangan Tan Sri Mahzan supaya mereka mengikat tali pertunangan.

            “Maafkan saya, tapi saya betul-betul tak faham apa yang Cik Azzura cakapkan ni. Saya tak pernah berniat nak rampas Encik Arman dari Cik Azzura, saya sedar taraf saya di mana. Jadi saya harap Cik Azzura boleh bertenang, jangan nak tuduh saya sebarangan. Siasat dahulu sebelum Cik Azzura buat tuduhan macam tu. Kalau boleh Cik Azzura maafkan saya, saya ada kerja sikit.” Kata Nina seraya berlalu. Tuduhan Azzura kepadanya dirasakan terlalu membuta tuli, bila masa pula dia cuba merampas Daniel Arman dari gadis itu. Selama ini, dia seboleh-bolehnya cuba menjarakkan dirinya dari Daniel Arman. Bukan kerana dia tidak sukakan lelaki itu tapi kerana dia sedar diri, sedar yang sememangnya dia tidak layak untuk Daniel Arman.

            Azzura yang tidak puas hati dengan respon yang ditunjukkan oleh Nina bertindak menarik semula tangan Nina. Kali ini lebih kasar. Hampir-hampir Nina jatuh terduduk.

            “Jangan ingat you nak lari dari bincangkan perkara ni. I nak kita selesaikan hal ni hari ni juga!.” Sambung Azzura kasar.

            “Cik Azzura, Cik Azzura dah salah sangka dengan saya, saya memang tak pernah berniat pun nak rampas Encik Arman dari Cik Azzura. Saya sedar diri saya siapa. Saya tak layak untuk Encik Arman.” Kata Nina lembut. Dia malas melayani marah Azzura, lagi sepuluh minit waktu rehat akan habis. Jika mereka masih begitu, tentu perkara itu akan merebak ke pengetahuan umum. Nina berpaling semula ke belakang, ingin meninggalkan Azzura. Berharap gadis itu percaya akan kata-katanya.

            “Hei perampas!, you jangan ingat you boleh tipu I dengan kata-kata you tu. Daniel Arman milik I, dah tiada sesiapa pun yang boleh halang I dari berkahwin dengan dia. Kalau I tahu you cuba nak dekat-dekat dengan El lagi. I tak kan teragak-agak ajar you faham!, Daniel Arman hak I!.” Hambur Azzura lagi seraya berlalu.

            Nina menghela nafas, siapa yang merampas Daniel Arman sebenarnya. Hakikatnya Daniel Arman ialah suaminya yang telah dikahwini lima tahun yang lalu. Perampas yang sebenarnya bukanlah dirinya tetapi Azzura sendiri. Dia tidak pernah merampas milik Azzura, Azzura yang sebenar-benarnya cuba merampas Daniel Arman darinya. Namun untuk dia zahirkan kata-kata itu, tidak mungkin akan berlaku. Menanggapi marah Azzura itupun sudah cukup memeningkan kepalanya, inikan pula memberitahu status sebenar hubungannya dengan Daniel Arman, pasti akan mengundang bahana yang lebih besar.





“Nina masuk bilik saya.” Suara Daniel Arman dari intercom mengejutkan Nina yang sedang leka mengemaskini fail. Sejurus menjawab arahan Daniel Arman, Nina bingkas bangun. Selalunya apabila Daniel Arman memintanya untuk masuk, tentu ada tugasan baru untuknya.

            Nina masuk setelah mengetuk pintu bilik Daniel Arman sebanyak dua kali. Daniel Arman dilihatnya sudah sedia menantinya di kerusi. Nina alihkan pandangan apabila matanya dan Daniel Arman bertemu. Begitulah reaksi Nina setiap kali perkara itu terjadi. Dia tidak pernah berani menentang mata Daniel Arman. Melalui pandangan mata sahaja dia bisa menzahirkan apa yang disimpan jauh di sudut hatinya itu iaitu cinta yang sarat untuk Daniel Arman.

            Kerana bimbang Daniel Arman dapat menebak apa yang ada dalam hatinya itulah yang menyebabkan dia seringkali melarikan pandangannya apabila bertembung dengan pandangan Daniel Arman.

            “Duduk.” Arah Daniel Arman apabila Nina berdiri betul-betul dihadapan mejanya.

            Nina tanpa banyak bicara hanya menurut. Begitulah kebiasaannya, seringkali kalah apabila suara Daniel Arman menerjah gegendang telinganya. Terasa semacam ada satu kuasa yang mengawal dirinya untuk tunduk pada arahan Daniel Arman.

            “Ada siapa-siapa yang datang nak jumpa saya tadi?” Soal Daniel Arman.

            Nina diam sebentar sebelum menjawab. Ingatannya teraih pada Azzura. Gadis itu ada datang semasa rehat tengahari tadi tapi bukan bertujuan untuk bertemu dengan Daniel Arman.

            “Takde Encik Arman.” Jawab Nina. Hal tentang Azzura itu biarlah sahaja menjadi rahsianya. Tiada keperluan untuk Daniel Arman tahu tentang itu.

            “Betul takde?” Soal Daniel Arman tidak puas hati. Dia tahu Azzura ada datang tengahari tadi kerana dia bertembung dengan kereta Azzura semasa dia masuk memarkir kereta manakala Azzura baru keluar dari perkarangan lot pasaraya, cuma Azzura mungkin tidak perasan akan hal itu kerana dia tiba dahulu sebelum Azzura keluar.

            “Takde Encik Arman.” Jawab Nina lagi. Hairan juga kenapa Daniel Arman menggasaknya dengan soalan begitu. Tidak mungkin Daniel Arman tahu tentang Azzura kerana Daniel Arman turut keluar makan tengahari tadi.

            “Atau ada orang yang datang cari Nina?” Tanya Daniel Arman sekali lagi. Sengaja dia ingin menguji. Dia tahu Azzura pasti datang untuk menemui Nina.

            Nina diam tidak menjawab. Untuk menipu dia tidak mahu, berdosa menipu terutama pada suami sendiri.

“Nina.” Seru Daniel Arman seraya mengangkat tinggi keningnya apabila Nina memandang wajahnya.

Nina mengangguk lemah. Entah bagaimana Daniel Arman boleh tahu tentang itu pun dia tidak pasti.

“Siapa?” Soal Daniel Arman kembali.

Sekali lagi Nina membisu. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu memberitahu Daniel Arman tentang apa yang berlaku diantara dirinya dan Azzura. Bukan dia malu tetapi dia tidak mahu memburuk-burukkan Azzura di hadapan Daniel Arman biarpun tuduhan Azzura terhadapnya keterlaluan. Sebagai wanita, dia faham gelodak hati Azzura, wanita itu cemburu.

“Nina.”Sekali lagi Daniel Arman menyeru nama Nina. Mengharapkan Nina menjawab soalannya sebentar tadi.

“Cik Azzura.” Jawab Nina lambat-lambat.

“Kenapa dia datang?” Soal Daniel Arman kembali. Dia mahukan Nina menceritakan segala-galanya kepadanya kerana satu sikap Nina yang dikesan oleh Daniel Arman ialah gadis itu sering sahaja menyembunyikan perasaannya. Bagaimana mungkin dia memahami Nina jikalau Nina berterusan begitu.

“Dia cari Encik Arman.” Dalih Nina. Biarlah perkara yang berlaku tadi menjadi rahsianya sahaja. Memanjangkan hal itu hanya akan menambah rumitkan keadaan.

“Nina tahu tak menipu itu berdosa, terutamanya menipu pada suami sendiri?” Soal Daniel Arman. Dia amat pasti Azzura sememangnya datang untuk menghamburkan marahnya pada Nina.

Nina terdiam, wajahnya ditunduk ke bawah. Hujah Daniel Arman memang tidak mampu disangkal. Memang dia sudah berdosa kerana menipu tetapi niatnya baik, dia tidak mahu memanjangkan isu itu ke pengetahuan Daniel Arman.

“Dia ada cakap apa-apa pada Nina?” Daniel Arman menyoal lagi. Kali ini nadanya lebih lembut dari tadi.

Nina masih diam, tidak tahu bagaimana mahu diceritakan kepada Daniel Arman akan perkara yang berlaku.

Melihatkan Nina yang mengunci bicaranya, Daniel Arman bertindak meraih tangan Nina ke dalam tangannya. Dielus lembut tangan Nina, seolah-olah menzahirkan perasaannya kepada Nina.

Nina hanya membiarkan perlakuan Daniel Arman. Entah kenapa hatinya tiba-tiba sayu. Sayu kerana layanan lembut Daniel Arman kepadanya tetapi dalam masa yang sama lelaki itu menyintai gadis lain iaitu Azzura.

Kusut kepalanya memikirkan perkara itu, kenapa mesti Daniel Arman memberinya harapan kalau cinta lelaki itu tertumpah kepada wanita lain. Tanpa sedar air matanya menitis.

Daniel Arman yang terlihat manik-manik jernih jatuh dari tubir mata Nina terus bangun dan berjalan mendapatkan Nina. Dia tidak tahu kenapa Nina menangis.

“Nina okey?” Soal Daniel Arman prihatin. Tubuh Nina ditarik sehingga berdiri disisinya, pantas tubuh Nina ditarik ke dalam pelukannya. Sayu hatinya melihat air mata Nina, sejujurnya dia sendiri tidak pasti kenapa Nina menangis. Adakah kerana kata-kata marah yang dihamburkan Azzura yang menyebabkan Nina mengalirkan air mata.

Air mata yang pada awalnya menitis perlahan mulai melebat sehingga Nina teresak-esak dalam pelukan Daniel Arman. Entah kenapa hatinya pilu dengan perhatian yang diberikan oleh Daniel Arman. Saat itu, apa yang dia rasakan ialah dia hanya mahukan Daniel Arman untuk dirinya seorang. Sama sekali dia tidak mahu berkongsi lelaki itu dengan Azzura.

Daniel Arman hanya membiarkan Nina menghamburkan air mata didadanya walaupun kemejanya dirasakan sudah basah dengan air mata.

Setelah tangisan Nina semakin reda, Daniel Arman paut bahu Nina dan menjarakkan tubuhnya dari tubuh Nina untuk memberi ruang kepada gadis itu.

“Nina okey?” Daniel Arman kembali menyoal.

Nina hanya mengangguk pendek.

“Nina cintakan saya?” Soal Daniel Arman lagi. Kali ini dia pasti, Nina memang ada menyimpan perasaan padanya. Jika tidak pasti Nina akan menolak perlakuannya sebentar tadi.

Sekali lagi Nina mengangguk perlahan, wajahnya ditunduk ke lantai. Dia sudah tidak dapat sembunyikan lagi perasaannya kepada Daniel Arman. Layanan dan perhatian Daniel Arman menyebabkan dia jatuh sayang kepada lelaki itu. Perasaan yang disimpan selama ini tidak mungkin dapat disembunyikan lagi. Biarlah Daniel Arman tahu isi hatinya. Biarlah lelaki itu tahu dalam hatinya ada kasih, cinta, sayang dan rindu kepada suaminya itu. Sekiranya Daniel Arman menolak cintanya sekalipun dia tidak kisah. Yang dia mahu saat itu ialah Daniel Arman faham apa yang dia rasakan selama ini. Hanya ada perasaan cinta untuk Daniel Arman.

Daniel Arman tersenyum tatkala Nina mengakui perasaannya. Tubuh Nina diraih kembali ke dalam pelukannya. Sekurang-kurangnya kini dia tahu apa yang Nina rasakan untuknya. Walupun tidak dizahirkan pada riak mukanya, namun hatinya melonjak gembira, dia tidak lagi bertepuk sebelah tangan. Sekurang-kurangnya ketika itu dia pasti, hatinya dan hati Nina bergetar satu irama. Irama cinta antara mereka.

“Abang sayangkan Nina juga.” Ucap Daniel Arman lembut. Ubun-ubun Nina dikucup perlahan. Syahdu hatinya saat itu. Cintanya berbalas.

“Abang cintakan Nina.” Sambung Daniel Arman. Tangannya mengusap lembut belakang Nina.

Nina membalas pelukan Daniel Arman. Kedua-dua tangannya dilingkar ke pinggang Daniel Arman, tubuh lelaki itu didakap erat, menzahirkan segala perasaannya ketika itu. Kata-kata yang diluah Daniel Arman betul-betul membuatkan dia terharu. Lelaki itu turut menyintai dan menyayangi dirinya. Esakan tangisnya masih bersisa. Sungguh dia bahagia saat itu, bahagia dalam dakapan Daniel Arman, bahagia kerana disayangi dan dicintai oleh satu-satunya lelaki yang bertakhta dihatinya.

“Sayang pindah duduk dengan abang?” Soal Daniel Arman apabila Nina perlahan-lahan meleraikan pautan tangan di pinggangnya.

Nina mengangguk perlahan. Sudah tiba masanya dia dan Daniel Arman maju ke hadapan dalam perhubungan mereka. Dia menyintai Daniel Arman dan lelaki itu turut menyintai dirinya.

“Kita mulakan semula hubungan kita.” Sambung Daniel Arman.

Nina mengangguk lagi. Dia sudah bersedia, bersedia menerima Daniel Arman ke dalam hidupnya, sebagai suaminya.

“Tapi sebelum tu ada beberapa perkara yang abang nak buat dahulu.” Kata Daniel Arman lagi. Tubuh Nina didorong untuk duduk di kerusi dihadapannya. Ada perkara yang ingin dia jelaskan pada Nina sebelum dia memulihkan hubungan mereka. Perkara tentang Danish Arham, Datuk Zainudin dan perkara tentang Azzura. Dia akan menjelaskan kepada Nina tentang segala-galanya. Dia juga akan menjelaskan kepada Datuk Zainudin tentang perasaannya terhadap Nina. Dia sama sekali tidak akan mengikut perancangan bapanya itu untuk mengahwini Azzura.

 Dan dia sendiri juga ada perkara yang ingin ditanyakan kepada Nina. Tentang Zachary dan Fiqri. Walaupun dia yakin cinta Nina kini hanyalah tercurah untuknya namun dia masih perlu mendapat kepastian dari Nina sendiri. Dia mahu Nina menceritakan sendiri perkara yang selama ini meninggalkan tanda tanya di benak hatinya itu.

Daniel Arman kembali mengambil tempat dihadapan Nina, tangan Nina kembali diraih ke dalam jemarinya. Dielus lembut jemari Nina.

“Tadi, Azzura datang cari Nina?” Soal Daniel Arman kembali. Lembut tuturnya. Dia harus tahu tentang perkara itu kerana dia berniat untuk terus berterus terang tantang perasaannya terhadap Azzura kepada Nina.

Nina hanya mengangguk. Lidahnya masih kelu untuk berbicara. Sedari tadi hanya Daniel Arman yang banyak menguasai perbualan antara mereka. Rasa hatinya hanya dizahirkan dengan perlakuan sahaja, kadangkala mengangguk, kadang-kadang menggeleng.

“Apa yang dia nak?” Soal Daniel Arman lagi. Matanya memandang redup mata Nina walaupun Nina tidak membalas pandangannya dan lebih banyak membuang pandang pada jemarinya didalam genggaman Daniel Arman.

“Cik Azzura marah.” Terang Nina ringkas. Nadanya sedikit mengendur. Wajahnya masih menunduk.

“Marah pada Nina?” Soal Daniel Arman lagi. Susah betul mahu mengorek rahsia hati dari Nina.

Nina mengangguk lagi.

“Dia cakap apa?” Daniel Arman sambung menyoal.

“Dia tak bagi Nina rapat-rapat dengan Encik Arman.” Luah Nina.

“Jangan rampas Encik Arman dari dia.” Sambung Nina lambat-lambat.

Daniel Arman tersenyum. Polosnya Nina kala itu. Itu yang dia suka tentang Nina. Walaupun nampak berdikari namun jauh disudut hatinya masih ada rasa ingin dilindungi walaupun tidak dizahirkan rasa itu dengan kata-kata dan perlakuannya.

“Boleh tak Nina panggil abang, ABANG, jangan panggil Encik Arman lagi. Nina kan isteri abang.” Ujar Daniel Arman. Bagaimana boleh mereka mulakan semula hubungan yang terhenti kalau Nina masih lagi tidak boleh membuang jarak antara mereka.

Nina mengangguk lagi.

“Siapa kata Nina rampas abang dari dia, abang kahwin dulu dengan Nina kan, dan kenapa pula Nina kena jauhkan diri dari abang, kan Nina isteri abang. Bukan kah tempat seorang isteri itu disisi suami.” Sambung Daniel Arman.

“Abang tak pernah cintakan Azzura, hubungan abang dan Azzura tak lebih dari sahabat sahaja.” Terang Daniel Arman.

“Lepas ni abang akan jelaskan pada dia. Memang selama ini pun abang tak pernah beri harapan pada Azzura dan abang pun dah banyak kali terangkan pada dia, abang hanya anggap dia sebagai kawan sahaja cuma Azzura yang terlalu mengharapkan abang. Abang tak dapat nak terima Azzura kerana dalam hati abang hanya ada Nina sahaja.” Sambung Daniel Arman.

Nina sedari tadi hanya menjadi pendengar sahaja. Luahan hati Daniel Arman menenangkan gelodak hati yang selama ini berombak hebat. Kini dia jelas, jelas dengan isi hati lelaki itu. Sekurang-kurangnya dia tahu kini lelaki itu hanya menyintai dirinya dan Azzura tidak lebih dari seorang kawan kepada Daniel Arman.

“Sayang percaya pada abang?” Soal Daniel Arman apabila dilihatnya Nina hanya menjadi pendengar sahaja sedari tadi.

Nina menggangguk lagi. Sekali lagi Daniel Arman tersenyum. Susahnya Nina hendak berkomunikasi dengannya. Dia tahu Nina pastinya malu untuk menzahirkan rasa hatinya setelah apa yang terjadi sebentar tadi.

“Sekarang giliran Nina pula cerita pada abang tentang Zachary dan Fiqri.”Kata Daniel Arman. Sejujurnya dia juga perlu tahu tentang kedua-dua orang lelaki itu. Apa perkaitan mereka dengan Nina.

Nina menarik nafas dalam. Bagaimana ingin dia ceritakan semuanya pada Daniel Arman. Dimana harus dia mulakan. Apa yang perlu dia katakan.

“Nina?” Seru Daniel Arman lembut apabila dilihatnya Nina masih diam seribu bahasa.

“Encik Zachary lamar Nina.” Kata Nina ringkas. Rasanya Daniel Arman juga sudah jelas akan perasaan Zachary terhadapnya.

“Dalam kotak merah tu, cincin?” Soal Daniel Arman lagi. Ingatannya teraih pada kotak merah yang diterima Nina semasa dia ternampak Nina dan Zachary keluar makan bersama suatu waktu dulu.

Nina angkat wajahnya apabila tersedar Daniel Arman tahu tentang kotak merah pemberian Zachary.

“Encik Ar…” Nina berhenti.

“A..a..abang tahu?” Soal Nina lambat-lambat. Janggal lagi lidahnya mahu menyebut perkataan ‘abang’ itu.

Daniel Arman tersenyum sebaris. Berbunga riang hatinya mendengar Nina memanggilnya dengan panggilan manja begitu. Polos wajah Nina saat panggilan itu meniti di bibir Nina.

“Nina masih simpan lagi?” Soal Daniel Arman kembali.

Nina mengangguk lemah. Masih teringat lagi reaksi Zachary semasa dia mahu memulangkan kotak itu kembali namun lelaki itu menolak.

“Nanti bagi pada abang. Abang akan pulangkan sendiri pada dia.” Sambung Daniel Arman. Sudah tiba masanya Zachary juga tahu tentang perhubungannya dengan Nina. Selama ini dia hanya menyabarkan diri melihat Zachary mengurat Nina dihadapan matanya. Selesai sudah satu masalahnya.

“Fiqri tu pula siapa?” Daniel Arman kembali menyoal.

Nina terdiam seketika sebelum menjawab.

“Kawan Nina masa kat U dulu.” Jawab Nina pendek. Antara dirinya dan Ziqri hanya tinggal sejarah, lelaki itu hanya masa silamnya. Dia tidak mungkin kembali lagi kepada Fiqri kerana dihatinya kini hanya terpahat nama Daniel Arman.

“Kawan atau teman lelaki?” Soal Daniel Arman lagi. Dia masih belum berpuas hati dengan jawapan Nina.

Nina tarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab.

“Teman lelaki.” Jawab Nina pendek.

“Nina masih sayang dia?” Soal Daniel Arman, sengaja dia ingin menguji Nina walhal dia sendiri sudah tahu isi hati gadis itu.

Pantas Nina menggeleng. Dia menjeling sekilas pada Daniel Arman. Lelaki itu tersenyum sebaris saat mata mereka bertemu.

“Habis Nina sayangkan siapa sekarang?” Daniel Arman sambung menyoal. Nakal. Memang dia mahu dengar sendiri ungkapan cinta Nina terhadap dirinya.

Wajah Nina berona merah apabila terdengar soalan dari mulut Daniel Arman. Bagaimana dia mahu ungkapkan kata-kata cinta kerana masih ada rasa malu yang bertamu dihatinya kala itu.

“Sayang abang, Zachary atau Fiqri?” Soal Daniel Arman mengusik. Teringin benar dia mendengar luahan kata cinta dan sayang dari mulut Nina sendiri.

Suasana diam antara mereka.

Daniel Arman menguatkan genggaman tangan Nina. Menzahirkan apa yang dia rasakan saat itu sekaligus mengisyaratkan Nina supaya berterus terang dengannya.

“Nina sayangkan abang.” Luah Nina antara dengar dan tidak. Wajahnya terasa membahang apabila kata-kata sayang itu terluah dari bibirnya.

“Apa?, abang tak dengarlah sayang.” Usik Daniel Arman lagi.

Nina tarik nafas dalam-dalam.

“Nina sayangkan abang, sayang sangat-sangat. Abang jangan tinggalkan Nina.” Luah Nina seraya menentang mata Daniel Arman. Dia mahu Daniel Arman tahu isi hatinya saat itu. Dia hanya mahukan Daniel Arman menjadi suaminya dan dia mahu bersama Daniel Arman sehingga ke akhir hayatnya.

“Abang tak kan tinggalkan Nina, abang pun cintakan Nina sangat. Sayang ketat-ketat.” Kata Daniel Arman dalam nada seloroh. Dia membalas pandangan redup Nina dengan pandangan bersinar. Menzahirkan bahawa dia akan menjaga Nina sehingga ke akhir hayat mereka.

“Ada lagi satu perkara yang abang nak Nina tahu.” Kata Daniel Arman. Tangan Nina digenggam erat.

Nina hanya mendengar. Membiarkan sahaja Daniel Arman bermain dengan jemarinya.

“Danish Arham akan bekerja di sini.” Sambung Daniel Arman. Matanya memandang tepat ke mata Nina, cuba mencari kelainan pada wajah itu.

Nina terdiam, tiba-tiba dia rasa tidak enak dengan berita yang Daniel Arman sampaikan itu. Nina tarik nafas dalam-dalam. Genggaman tangan Daniel Arman dibalas, menzahirkan perasaannya yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.

“Abang janji akan lindungi Nina, tak kan bagi dia apa-apakan Nina.” Ucap Daniel Arman seolah-olah dapat membaca apa yang bermain di hati Nina ketika itu.

Nina tersenyum nipis. Kata-kata Daniel Arman mengusir pergi kerisauan yang baru bertamu. Dia percaya dan yakin Daniel Arman akan melindunginya dari Danish Arham.

Daniel Arman termenung jauh, tautan jemarinya masih kuat menggenggam tangan Nina.

“Nanti abang umumkan hubungan kita dengan staff lain, tapi bukan sekarang. Nanti terkejut pula semua orang. Nanti abang akan rancangkan satu function untuk abang ‘bocorkan rahsia’.” Kata Daniel Arman lagi dalam senyum sebaris. Nadanya bertukar ceria.

Terharu di hati Nina saat mendengar Daniel Arman menuturkan kata-kata itu. Untuk kesekian kali dalam hidupnya, dia rasa bahagia. Bahagia kerana dihargai oleh lelaki sebaik Daniel Arman. Nina bangun dan berjalan menghampiri Daniel Arman.

Daniel Arman turut bangun apabila Nina menghampirinya. Tiba-tiba Nina memeluk erat tubuhnya. Terlalu erat sehingga dia merasakan seperti Nina tidak ingin melepaskan dirinya. Syahdu perasaannya saat itu. Pelukan Nina dibalas dengan rangkulan lembut. Sekali lagi ubun-ubun Nina dikucup lembut.

Nina pejamkan matanya saat itu. Disitu, dalam pelukan itu dia rasakan dirinya selamat. Hangat tubuh Daniel Arman membuatkan dia rasa tiada apa yang mampu menggugahnya saat itu. Sesungguhnya cinta yang dia rasakan saat itu terlalu indah, terlalu kuat, terlalu halus dan terlalu mendamaikan. Aku terlalu menyintai dirimu, kata Nina dalam hati.


p/s-terima kasih kepada pembaca yg senantiasa memberikan sokongan kpd tulisan cik tulip.insyaallah cerita ini akan dibukukan dan bolehlah disimpan sebagai kenangan para pembaca... :) with much love-TULIP UNGU...

Saturday, 5 May 2012

BUKAN ISTERI SEMPURNA BAB 23

slownya line internet.dr tadi cuba masuk n3.bru berjaya.terima kasih kpd yg setia menanti n3.cik tulip sdg berusaha.dan terima ksih juga kpd yg backup cik tulip againts komen from anti penulis gedik.from 45 komen, dia sorang je komen negatif.rasa2nya ramai yg sokong tulisan cik tulip ni..hehe.gembira juga dpt komen yg meriah dr pembaca.jgn lupa drop komen lagi ye..hehe...enjoy...
BAB 23



Datuk Zainudin membuang pandang ke arah kolam renang dihadapannya. Sudah lima belas minit dia menunggu di situ namun bayang-bayang Tan Sri Mahzan masih belum kelihatan. Semasa dia datang tadi pun, dia hanya disambut oleh salah seorang pembantu rumah Tan Sri Mahzan yang berbangsa Indonesia. Dia cuma diberitahu untuk menunggu Tan Sri Mahzan disitu.

            Datuk Zainudin memerhatikan riak air yang tenang sambil mengelamun jauh. Tentu ada hal penting yang ingin dibincangkan oleh Tan Sri Mahzan sehingga menjemputnya ke situ. Jarang-jarang sekali dia berpeluang untuk bertemu lelaki itu. Selalunya Tan  Sri Mahzan seringkali sibuk dengan jadualnya yang padat.

            “Dah lama sampai?” Suara Tan Sri Mahzan mengejutkan Datuk Zainudin dari lamunannya.

            “Dalam dua puluh minit.” Jawab Datuk Zainudin sejurus memeriksa waktu pada jam tangannya.

            “Maaflah buatkan Datuk menunggu.” Kata Tan Sri Mahzan seraya mengambil tempat berhadapan Datuk Zainudin di kerusi yang dibina khas di tepi kolam renang itu.

            “Baru sekejap tunggu Tan Sri, tiada masalah bagi saya.”Kata Datuk Zainudin lagi. Sengaja dia lembutkan kata-katanya walhal dia pun kurang selesa kerana terpaksa menunggu lama.

            “Ada hal saya nak bincangkan dengan Datuk ni.” Kata Tan Sri Mahzan lagi. Terus pada maksudnya.

            “Hal apa?” Soal Datuk Zainudin hairan.

            “Hal anak-anak kita la.” Jawab Tan Sri Mahzan kembali.

            “Maksud Tan Sri pasal El dengan Azzura?” Soal Datuk Zainudin lagi.

            Tan Sri Mahzan hanya mengangguk.

            “Malu pula saya nak utarakan hal ni pada Datuk.” Sambung Tan Sri Mahzan.

            Datuk Zainudin hanya menjadi pendengar. Dia tidak mahu menyampuk, membiarkan Tan Sri Mahzan memberitahu sendiri tujuan dia dijemput bertandang ke situ.

            “Azzura tu dah selalu sangat desak saya cepatkan majlis dengan El, katanya kalau tak nak kahwin dulu pun takpe, asalkan ikat tali pertunangan dulu. Sebab tu lah saya jemput Datuk datang hari ni, kalau boleh nak berbincang dengan Datuk. Boleh kita capai kata sepakat untuk diaorang.” Terang Tan Sri Mahzan.

            “Oh..pasal tu, ingatkan hal apa tadi. Saya ni takde masalah, kalau budak-budak tu dah suka, terpulanglah. El tu pun bukannya muda lagi, dah masuk 30 tahun ni, saya pun harap dia cepat-cepat kahwin dengan anak Tan Sri. Memang saya pun dah lama terfikirkan hal ni, cuma tak berani pula nak suarakan pada Tan Sri, maklumlah, saya ni pipit. Manalah layak nak berganding dengan helang macam Tan Sri.” Sahut Datuk Zainudin dalam nada merendah diri. Sengaja dia berkata begitu walhal dalam hatinya sudah berbunga riang. Pucuk dicita,ulam mendatang. Memang sudah lama dia menantikan saat itu.

            Tan Sri Mahzan bukannya calang-calang orang. Pengaruhnya kuat. Menjalinkan ikatan dengan Tan Sri Mahzan umpama terjun ke lubuk emas. Memang sejak dulu lagi dia impikan perkara itu terjadi.

            “Saya rasa malu pula terpaksa suarakan hasrat saya ni, terasa macam perigi cari timba pula.” Ucap Tan Sri Mahzan lagi, terasa rendah diri bila dia yang mula membicarakan hal itu. Jika tidak didesak oleh anak manjanya itu, pasti dia tidak akan menyatakan hasrat itu kepada Datuk Zainudin, pastinya dia akan menanti pihak Datuk Zainudin yang memulakan dahulu.

            “Apa yang nak dimalukan, saya ni yang patut rasa rendah diri, Tan Sri orang berpangkat, saya ni apa lah yang ada.” Kata Datuk Zainudin lagi.

            “kalau macam tu bolehlah Datuk risik-risik dengan El, bila boleh kita buat majlisnya. Lagi cepat, lagi bagus. Azzura tu asyik desak saya sahaja.”Ujar Tan Sri Mahzan lagi.

            “Insyaallah saya akan berbincang dengan El. Kalau orang dah bercinta. Benda dilarang lagi dibuat, inikan pula benda disuruh, lagi lah diaorang suka.” Seloroh Datuk Zainudin. Dalam hatinya sudah terencana pelbagai rancangan sekiranya Daniel Arman dan Azzura disatukan. Dia tidak peduli sekiranya Daniel Arman bersetuju ataupun tidak, yang penting perkara yang diusulkan oleh Tan Sri Mahzan tadi akan menjadi kenyataan. Memang sudah lama dia menantikan saat itu. Peluang itu tidak akan dia sia-siakan hatta terpaksa mengorbankan Daniel Arman sekalipun, dia sanggup.





Daniel Arman duduk di kerusi simen dihadapan banglo Datuk Zainudin sambil membuang pandang ke arah susunan pokok orkid yang diatur rapi ditepi pagar banglo itu. Tengahari tadi dia telah mendapat panggilan telefon daripada Datuk Zainudin yang memintanya untuk datang ke situ untuk membincangkan sesuatu. Perkara apa yang hendak dibincangkan tidak pula dimaklumkan oleh bapanya itu. Ada juga terbetik rasa hairan dihatinya. Jarang-jarang sekali Datuk Zainudin mahu berbincang dengannya. Kalau hal berkaitan syarikat, rasanya sejak awal dia mengambil alih dahulu, memang Datuk Zainudin sudah lepas tangan tentang hal itu.

            Lamunan Daniel Arman terhenti apabila Datuk Zainudin tiba-tiba duduk dan mengambil tempat dihadapannya.

            “Daddy ada perkara nak bincang dengan El.” Kata Datuk Zainudin senada dan serius.

            “Perkara apa?” Soal Daniel Arman. Tertanya-tanya juga dihatinya, hal apa yang dimaksudkan oleh Datuk Zainudin itu.

            “Pasal El dengan Azzura.” Kata Datuk Zainudin ringkas.

            “Ada apa dengan hal El dan Zurra?” Soal Daniel Arman lagi. Namun dia dapat merasakan sesuatu pada riak wajah bapanya itu. Mungkin sesuatu yang dia tidak harapkan berlaku.

            “Tan Sri dah tanya, bila nak buat majlis El dengan Azzura, kalau tak nak kahwin dulu pun takpe, yang penting ikat tali pertunangan dulu.” Kata Datuk Zainudin terus pada maksudnya.

            “El belum sedia lagi daddy.” Kata Daniel Arman senada. Sejujurnya memang dia belum bersedia untuk membicarakan hal itu. Atau dengan lebih tepat lagi, dia tidak mahu berbicara lansung tentang perkara itu.

            “El sedia atau tak sedia, daddy tak peduli, yang penting sekarang ni daddy nak El bertunang dulu dengan Azzura. Diaorang orang berpengaruh, kalau kena pada caranya kita pun tumpang senang juga nanti.” Kata Datuk Zainudin lagi. Kali ini nadanya sedikit tegas.

            “Apa hak daddy nak paksa-paksa El macam ni?, El dah besar panjang macam ni pun daddy masih nak control lagi, pasal hidup El, biar El fikirkan sendiri, dengan siapa El nak kahwin, biar El yang buat keputusan. Daddy tiada hak nak paksa-paksa El kalau El belum bersedia!.” Ucap Daniel Arman, nadanya turut tegas. Memang dia mahu Datuk Zainudin tahu yang dia berhak menentukan hala tuju hidupnya sendiri, tidak perlu hidupnya di atur-atur begitu.

            “Kalau dah selalu angkut anak dara orang ke hulu ke hilir, tentulah kena ambil buat isteri, tak kan selama ni El angkut Azzura tu ke sana ke sini tapi tiada niat nak buat isteri!.” Balas Datuk Zainudin kasar. Sengaja dia gunakah hujah itu walhal dia sendiri tahu bagaimana sikap Daniel Arman terhadap Azzura, anaknya itu tidak pernah serius melayani Azzura, jauh sekali mahu mengambil kesempatan dan mahu memberi harapan kepada anak gadis Tan Sri Mahzan itu.

            “Hold on a second dad, bila masa pula El angkut anak dara orang, bukan daddy ke yang beria-ia match-making kan kitaorang dulu, El tak pernah kata El suka dan bukan salah El kalau Azzura tu yang melekat dengan El, memang selama ni pun El tak pernah paksa Azzura, El tak pernah bagi harapan pada dia dan El juga tak pernah ambil kesempatan ke atas dia. Kalau daddy berkeras juga nak teruskan rancangan daddy, you can ask Dan to replace me. Same like what you did back then, I replaced his place and maybe he should do the same!.” Tukas Daniel Arman.

            “What’s wrong with you El?, Kalau dulu El boleh dengar kata daddy, kenapa sekarang El nak bangkang pula. Ini mesti sebab perempuan murah tu kan? Kenapa?, El dah jatuh hati pada dia?, jangan ingat daddy tak tahu pasal Nina.” Kata Datuk Zainudin dalam nada sinis. Memang dia pasti, Daniel Arman menolak cadangannya kerana Nina. Bukan dia tidak kenal dengan Daniel Arman, Daniel Arman terlalu baik hati. Kalau tidak tentu sudah lama Nina diceraikan. Saat itu dirasakan rasa bencinya terhadap Nina meluap-luap.

            “Daddy boleh kata apa sahaja yang daddy suka, tapi keputusan El tetap sama. El tak kan bersetuju dengan rancangan daddy.” Ucap Daniel Arman tegas seraya bangun dan berlalu meninggalkan Datuk Zainudin yang kepanasan hati.

            Kata-kata Datuk Zainudin bukan boleh dilayan. Walaupun rasa sakit hati dengan penghinaan bapanya itu terhadap Nina, namun Daniel Arman tidak mudah melatah. Walau bagaimana benci pun dirinya dengan tuduhan buruk Datuk Zainudin terhadap Nina namun lelaki itu masih bapanya. Walaupun rasa hormatnya semakin terhakis namun ia masih bersisa. Sebagai anak dia tidak dapat menafikan perkara itu.





Datuk Zainudin melurut-lurut kasar rambutnya. Panas hatinya mendengarkan keputusan Daniel Arman. Memang dia tidak menyangka reaksi Daniel Arman akan begitu, selama ini dia menyangka Daniel Arman akan menurut segala kehendaknya. Begitulah selalunya. Daniel Arman seringkali menerima keputusannya, jarang sekali membangkang kata-katanya.

            Apabila ingatannya teraih kepada Nina, hati Datuk Zainudin bertambah panas. Tentu disebabkan Nina anak lelakinya itu berubah sikap. Kalau Nina tidak muncul semula dalam hidup Daniel Arman tentu anaknya itu akan menurut sahaja perancangannya. Kehadiran Nina menyebabkan rencananya musnah.

Datuk Zainudin merengus kasar. Dia perlu lakukan sesuatu sebelum rancangannya hancur musnah. Dia akan pastikan perancangan dan cita-citanya selama ini menjadi kenyataan, Daniel Arman mahupun Nina tidak akan menjadi penghalang kepada niatnya itu, itu kata hati Datuk Zainudin.





Skrin telivisyen ditatap kosong, dialog antara dirinya dan Datuk Zainudin tadi berlegar-legar dikepalanya. Sungguh dia marah dengan tindakan Datuk Zainudin yang cuba untuk mengatur hidupnya sekali lagi. Sejak dia masih anak kecil lagi bapanya itu bersikap begitu. Menentukan apa yang boleh dan tidak boleh untuknya. Sampai satu tahap dia sudah bosan dengan sikap Datuk Zainudin itu. Dia kini sudah dewasa, sudah boleh menentukan sendiri apa yang dia mahukan dalam hidupnya.

            Permintaan Datuk Zainudin itu dilihatnya keterlaluan. Memang sejak awal dahulu dia tidak pernah bersetuju dengan cadangan Datuk Zainudin supaya dia menjalinkan hubungan dengan anak Tan Sri Mahzan tetapi Datuk Zainudin yang beria-ia sehinggakan dia sendiri tidak menyangka bapanya itu sampai sanggup mengaturkan blind datenya dengan Azzura. Sejak dari itu Azzura kerap kali menghubunginya. Setiap temu janji bersama Azzura juga dirancang rapi oleh Datuk Zainudin sehingga kadang-kadang dia terpedaya dengan helah bapanya itu.

Bagi Daniel Arman sendiri, dia tidak pernah memberi harapan kepada gadis itu. Azzura sendiri jelas akan hal itu cuma kadang-kadang Azzura terlebih mengharapkan dirinya. Kadangkala gadis itu terlalu manja dengannya. Seolah-olah tidak faham dengan isi hatinya, walhal dia sudah jelaskan kepada Azzura, kalau sekadar berkawan biasa dia tidak kisah, kalau mengharapkan hubungan yang jauh lebih serius dia perlukan lebih masa untuk memikirkannya kerana dalam hubungannya dengan Azzura tidak pernah ada rasa cinta. Azzura juga sudah dia jelaskan tentang hal itu.

Azzura walaupun memiliki segala-galanya, cukup dengan cantik dan pandai bergaya namun bukan itu yang dicari oleh dirinya. Dia mahukan perempuan yang lebih bersederhana, paras rupa bukanlah ukuran baginya. Yang penting dia suka dengan cara wanita itu membawa diri, tidak terlalu bergantung dengannya dan tidak terlalu merimaskannya. Sejujurnya perempuan yang dicari oleh Daniel Arman itu lebih mirip kepada Nina.

Memang sejak dia mengenali Nina, hatinya sudah jatuh sayang pada gadis itu. Disebabkan perasaan cintanya yang semakin bercambah itulah menyebabkan dia tidak mampu untuk menghadirkan cinta buat Azzura. Cinta, kasih dan sayangnya sudah berputik dan berkembang buat Nina seorang, rasa hatinya itu tidak mungkin dapat dia nafikan, cuma rasa itu belum diluahkan. Masih dipendam jauh di sudut hatinya, menantikan saat yang paling sesuai untuk dia curahkan segala-galanya pada Nina.





Nina membuang pandang ke arah air hujan yang jatuh mencurah-curah di halaman rumahnya. Entah kenapa malam itu ingatannya teraih kepada Daniel Arman. Terasa ada rindu yang mengetuk jiwanya kala itu, terasa ada cinta yang bertamu dihatinya saat itu.

            Daniel Arman, lelaki yang pernah menyelamatkan maruahnya suatu ketika dahulu, lelaki yang menerimanya tanpa syarat. Mana mungkin hati kecilnya tidak tertawan pada bicara lembut Daniel Arman, pada murninya tingkah laku Daniel Arman. Saat itu Nina benar-benar sedar, dia sudah jatuh cinta pada lelaki itu, sudah terlalu jatuh cinta pada Daniel Arman.

            Nina lepaskan keluhan dalam, air matanya mulai bergenang di tubir mata. Perasaan cinta dan sayang itu dirasakan terlalu dalam, dalam sehingga tidak mungkin lagi dia mampu gapai dan buang semua rasa itu. Namun memikirkan semua yang pernah berlaku ke atas dirinya, Nina merasakan dirinya tidak layak untuk lelaki sebaik Daniel Arman.

            Pengkhianatan Danish Arham suatu waktu dahulu menyebabkan dia rasa rendah diri. Rendah diri kerana tiada apa lagi yang tinggal untuk dia berikan pada Daniel Arman. Jauh di sudut hatinya, dia sayu. Sayu kerana tidak mampu menjadi isteri yang sempurna untuk Daniel Arman. Sayu kerana dia bukan isteri sempurna untuk lelaki itu.

            Kalaulah dia mampu untuk mengundurkan masa, sudah tentu dia akan pastikan ikatannya dengan Daniel Arman itu tidak pernah terjalin. Kerana ketika ini rasa cinta yang kuat itu membuatkan dia rasa terseksa. Terseksa kerana dia tidak mampu memberikan cinta kepada lelaki itu. Menyedari hakikat dirinya yang tidak sempurna menyebabkan hatinya terluka kerana Daniel Arman berhak mendapat cinta yang jauh lebih baik darinya.

 p/s :hopefully semua enjoy..