Wednesday, 16 January 2013

SAAT HADIRNYA CINTA-BAB 8

Kepada yang tinggalkan komen; terima kasih banyak2..maaf atas kelewatan mengupdate n3 sbb cik tulip benar2 kesibukan...dgn tuntutan tugas rasmi dan menguruskan hal ehwal rumahtangga; kiki. terpaksa membahagikan masa yang rasa-rasa mcam tak cukup ni;hihi...i consider myself as a superwoman sbb dpt overcome semua challenges n at the same time masih punyai masa untuk minat menulis yang satu ni..apa2pun jom ikuti sambungan kisah Ridza n Zaliya ni..harap semua suka :)

BAB 8

Nazirah mundar mandir dalam resah. Sejak pulang dari bank petang tadi; hatinya itu tidak senang. Wang yang sepatutnya Ridza bank in kan ke dalam akaunnya tiada. Adakah Ridza tidak memasukkan wang itu seperti selalunya? Soalnya dalam hati. Andai benar; maka panas hatinya itu. Ridza sudah pandai mahu mengelak. Jika terus-terusan begitu; tentu sahaja dia akan kekurangan wang untuk perbelanjaan hariannya. Nazirah merengus marah. Telefon bimbit di atas meja sisi katil diraih kasar. Pantas nombor Ridza did ail.

            “hello!.” Belum sempat Ridza menyahut; Nazirah sudah menyapa keras.

            “Zirah; ada apa call abang?” Soal Ridza bersahaja. Sudah tahu tujuan Nazirah menelefonnya.

            “Kenapa abang tak masukkan duit yang Zirah suruh bank in kan?” Keras nada perempuan itu menyoal.

            “Memang abang sengaja tak masukkan.” Jawab Ridza selamba. Bukan dia tidak sedar Nazirah bermain tarik tali dengannya. Berdolak dalih tatkala dia menyuarakan keinginan untuk melihat sendiri anaknya. Hatinya itu sudah mula terfikirkan permainan Nazirah. Memang selama ini kemungkinan itu ada bermain dalam kepalanya. Namun dia tidak mahu membuat telahan melulu.

            “Apa?!” Soal Nazirah terperanjat.

            “Memang abang sengaja tak masukkan. Abang nak berhenti masukkan duit pada Zirah.” Ulang Ridza sekaligus menerang niatnya.

            “Abang dah gila ke?. Anak abang macam mana?.” Tanya Nazirah dalam nada marah yang sukar dikawal.

            “Abang tak gila. Yang gila tu Zirah. Kalau betul abang ada anak dengan Zirah; kenapa Zirah tak nak tunjuk pada abang?. Bila abang nak jumpa; macam-macam alasan Zirah bagi.” Selar Ridza bersahaja. Memang dia sudah mula meragui kata-kata Nazirah itu. Meragui yang anak yang digembar gemburkan itu mungkin tidak wujud atau kalau wujud sekalipun; mungkin sahaja bukan dari benihnya kerana dia yakin andai Nazirah berkata benar; tidak mungkin perempuan itu masih mahu mengelak dari membawa anak itu bertemunya.

            Terkedu Nazirah mendengar selaran Ridza. Mungkinkah Ridza sudah mula mencurigainya. Kalau benar; maka nahaslah dia. Bukan dia tidak tahu sikap baran Ridza. Lelaki itu pasti akan panas hati kalau tahu yang selama ini dia menipu. Memang benar kata-kata Ridza tadi. Dia memang gila; malah bukan sahaja gila. Dia juga bodoh kerana berani bermain api dengan Ridza. Apabila terbongkar rahsianya. Pasti Ridza akan naik angin. Memikirkan hal itu membuatkan dia panik seketika.

            “Apa maksud abang?” Soal Nazirah perlahan. Mahu tahu lanjut.

            “Abang rasa Zirah tipu abang. Firdaus bukan anak abang.” Jawab Ridza senada.

            Terdiam Nazirah mendengarkan ujaran Ridza. Ridza sudah tahu? Detik hatinya.

            “Zirah kena ingat; kalau Zirah tipu abang; tahulah macam mana abang nak ajar Zirah. Zirah tahu kana bang tak suka ditipu.” Ugut Ridza setelah kata-katanya tidak disambut.

            Nazirah yang tidak mampu membalas kata-kata Ridza pantas menekan butang merah pada skrin telefon bimbitnya. Panik dan takut dengan ugutan Ridza sebentar tadi. Bagaimana kalau rahsianya terbongkar? Bagaimana kalau Ridza tahu yang Firdaus bukan anak yang lahir dari benihnya dan selama ini dia telah tertipu?. Tiba-tiba Nazirah berasa tubuhnya seram sejuk. Wajahnya pucat. Ridza bukan boleh dijangka barannya. Bisik Nazirah sendiri.

 

Zaliya hanya memerhatikan tubuh Ridza yang sibuk membasuh kereta sejak sejam yang lalu. Semenjak dia  pulang dari bulan madu mereka; Ridza telah mengajaknya untuk berpindah ke rumahnya sendiri. Bagi Zaliya dia tidak kisah; saranan Ridza itu diturut tanpa banyak soal. Dia pun bukannya bekerja. Hanya menjadi suri lelaki itu sepenjang masa. Terfikir juga untuk dia mencari pekerjaan bagi mengisi masa lapang apabila Ridza keluar bekerja namun apabila memikirkan taraf pendidikannya yang tidak seberapa itu; dia batalkan sahaja niatnya.

            “Liya ni tengok abang macam nak telan.” Kata Ridza mematikan lamunan Zaliya.

            Zaliya tersentak. Terasa malu seketika apabila matanya itu jatuh pada tubuh Ridza yang terdedah tidak berbaju. Hanya berseluar separas lutut yang sudah basah sebahagiannya.

            “Kalau dah tak sabar; sekarang juga abang mandi.” Soal Ridza mengusik. Tahu yang Zaliya sedang merenung tubuhnya. Malah mungkin sahaja sudah mula membayangkan perkara yang jauh-jauh bersamanya.

            “Abang nak makan apa tengah hari ni?” Soal Zaliya mengelak. Memang mula-mula tadi dia merenung tubuh suaminya itu tapi semasa disapa tadi; fikirannya itu sudah menerawang jauh. Bukan memikirkan tentang Ridza tetapi memikirkan rancangan hariannya yang bakal dia habiskan di rumah barunya itu nanti.

            “Kalau lunch atas katil boleh?” Tambah Ridza mengusik. Sengaja mahu mengumpan Zaliya.

            Zaliya kecilkan biji matanya. Kuatnya suara Ridza. Dijeling matanya ke arah rumah jiran yang berkembar dengan rumahnya; bimbang kalau ada telinga-telinga yang mendengar.

            “Abang ni tak malu ke?” Soal Zaliya dengan suara yang dikawal.

            “Erm…tak.” Jawab Ridza selamba. Pili air ditutup bila tugasnya sudah selesai.

            “Liya masuk dulu. Nak masak.” Balas Zaliya pendek. Malas mahu melayan bicara Ridza yang memang tidak sesuai pada tempatnya. Makin dilayan makin parah. Kalau parah alamatnya memanglah mereka akan lunch atas katil!.

 

Ridza menolak troli yang sudah penuh manakala Zaliya pula masih tercari-cari beberapa barang yang ingin dibeli.

            “Banyak lagi ke?” Soal Ridza yang sudah bosan. Memang membeli belah barangan dapur begitu bukan menjadi kesukaannya. Jika diikutkan hati; memang dia tidak mahu menyertai Zaliya mencari barang-barang dapur; tetapi memikirkan yang Zaliya juga masih baru dengan selok belok pasaraya itu; dia turutkan juga isterinya itu.

            “Ada sikit lagi.” Jawab Zaliya seraya memeriksa kertas yang ditulis dengan beberapa barang ditangannya.

            “Abang tunggu kat hujung sana la.” Ujar Ridza sambil menunjukkan jarinya pada satu ruang kosong berdekatan dengan kaunter bayaran.

            Zaliya hanya mengangguk mengiakan. Dia hanya memerhatikan langkah Ridza.

            Ridza berhenti di satu kawasan lapang dan menunggu Zaliya di situ. sedang dia asyik membuang pandang pada orang ramai yang membeli belah dalam pasaraya itu; matanya terpaku pada seseorang yang juga menolak satu troli kosong. Diperhatikan betul-betul susuk tubuh yang dilihatnya itu. Dan apabila dia pasti dengan apa yang dilihat matanya. Ridza  berjalan laju ke arah itu. Rasa hatinya yang tidak sabar itu menyebabkan dia tanpa sedar telah meninggalkan troli barangannya di belakang.

            “Zirah!.” Tegur Ridza kasar.

            Nazirah yang sedang leka memilih susu bayi tersentak. Pantas dia berpaling memandang Ridza yang sudah berdiri dihadapannya dengan muka merah dan mata yang tajam merenung.

            “Ini siapa?” Soal Ridza tanpa sempat Nazirah berkata-kata. Tangannya ditujah pada wajah anak kecil bermata biru dan berambut blonde yang duduk dalam troli tersebut.

            “I..i…ini Fir..Firdaus.” Jawab Nazirah gugup. Wajahnya sudah kering dengan darah. Bibirnya sudah terketar-ketar menahan takut.

            “Pang!.” Tanpa kata; tanpa bicara; Ridza hayunkan penamparnya. Memang tercabar egonya bila ditipu Nazirah begitu.

            Nazirah yang sudah hampir terduduk semakin kecut perut. Inilah bahana kalau bermain api dengan Ridza. Terasa kesal kerana mengambil mudah akan baran suaminya itu.

            “Budak ni anak siapa?” Jerkah Ridza tanpa mempedulikan beberapa mata yang sudah memandang mereka.

            “A..a..anak Alan.” Jawab Nazirah takut-takut.

            “Pang!” Sekali lagi wajah Nazirah ditampar. Memang pantang dia ditipu-tipu begitu. Kalau sedikit boleh lagi dia maafkan. Bila dah sampai ke penipuan berat begitu; dia memang tidak boleh bersabar lagi.

            “Oh; jantan lain yang buntingkan kau; kau mengaku anak aku!.” Marah Ridza menyinga.

            Nazirah yang terkedu sudah tidak mampu bersuara. Semua mata yang memandang sudah tidak dipedulikan lagi. Rasa takutnya pada Ridza lebih mendominasi rasa malu yang bertamu. Dia cuma berharap Ridza tidak terus mengasarinya begitu.

            “Ma..ma..afkan Zirah.” Tutur Nazirah perlahan. Berharap ungkapan maafnya akan meredakan marah Ridza.

            “Isteri macam kau tak perlu dimaaf tapi perlu dicerai.” Balas Ridza keras.

            Nazirah sudah terkejut. Matanya yang sudang bergenang dengan air mata sudah mula berkaca-kaca.

            “Maafkan Zirah bang. Zirah janji lepas ni Zirah akan berubah.” Sambut Nazirah cepat-cepat. Tidak mahu diceraikan Ridza. Andai dicerai bagaimana dia akan menyara kehidupannya dan anaknya. Alan bukannya mahu bertanggungjawab. Sudah meninggalkan benih dalam rahimnya; kini lelaki itu menghilangkan diri.

            “Aku tak nak jadi lelaki dayus. Mulai hari ni; aku Ridza bin Mohd Musa menceraikan Nazirah binti Mansor dengan talak tiga.” Kata Ridza penuh. Terasa dayus kerana selama ini menjadi mangsa penipuan Nazirah. Biarlah dia menceraikan perempuan itu terus dan selepas ini dia pasti tidak mahu lagi melihat wanita itu dalam hidupnya.

            Dalam panas hati Ridza berpaling. Sejurus ternampak kelibat Zaliya yang entah bila lagi sudah terpacak berdiri menyaksikan semuanya; dia raih tangan isterinya itu. Tanpa lanjutan kata dia tarik tangan Zaliya keluar dari pasaraya tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang. Tiada hati lagi mahu berlama-lama di situ.

 

Wajah Ridza yang tegang hanya dilihat dari jauh. Sejak balik dari pasaraya tadi begitulah reaksi yang dipamirkan oleh lelaki itu. Kelihatan dingin dan tidak berminat untuk berbicara dengannya. Dia tahu Ridza masih tidak melupakan peristiwa di dalam pasaraya tadi namun dia juga tertanya-tanya tentang kronologi peristiwa itu. Dia tidak faham sebenarnya. Tidak tahu hitam putih hubungan lelaki itu dengan Nazirah yang baharu sahaja diceraikan.

            Untuk bertanya dia terasa berat mulut. Bimbang pula jika Ridza tiba-tiba menghambur marah padanya. Sikap Ridza itu memang sukar untuk dia jangka. Kadang-kadang baik; kadang-kadang dingin dan ada masanya lelaki itu jadi penakut pula. Fikir Zaliya sendiri apabila teringat akan reaksi Ridza yang kaku dengan keberaniannya malam beberapa hari lepas.

            Zaliya baru berkira-kira untuk masuk semula ke rumah tetapi tiba-tiba Ridza pula yang memanggilnya.

            “Tolong buatkan abang kopi.” Pinta Ridza dalam renungan jauh.

            Zaliya hanya mengangguk walaupun tahu Ridza tidak menoleh memandangnya. Sejurus menyiapkan kopi permintaan Ridza; Zaliya tatang kopi itu ke meja rehat di halaman rumah mereka. Pantas diletakkan kopi itu dihadapan Ridza yang masih lagi termenung jauh.

            “Duduk. Temankan abang.” Pohon Ridza sebelum Zaliya berlalu.

            Zaliya hanya menurut tanpa balasan kata. Mungkin sahaja Ridza memerlukan teman saat-saat hatinya murung begitu.

            “Abang cintakan Nazirah sejak kali pertama terlihat wajah dia.” Tutur Ridza masih dalam renungan jauh. Seolah-olah membuka lembaran kisah lama  untuk tatapan Zaliya.

            “Dia cinta pertama abang. Dia berjaya lembutkan hati abang yang keras. Dia buatkan abang gila bayang siang dan malam. Setiap hari kepala abang tak boleh berhenti dari memikirkan dia. Dan kalau dalam sehari abang tak dengar suara dia; terasa hidup abang kosong.” Sambungnya.

            Sementara Zaliya yang memerhatikan Ridza yang hilang dalam renungan jauh sudah mulai terguris hati. Apa tujuan lelaki itu menyuarakan rasa cinta terhadap wanita lain kepadanya? Adakah Ridza tidak sedar yang hatinya sedang dilukai dengan bicara lelaki itu?.

            “Kalau perangai dan sikap dia elok; tak mungkin abang akan ceraikan dia.” Luah Ridza lagi.

            Zaliya yang mendengar sudah terasa sebak. Kenapa bicara Ridza membuatkan dia rasa terpinggir? Kenapa dia rasakan yang cinta lelaki itu terhadap bekas isterinya masih belum hilang sepenuhnya. Dia cukup merasakan lelaki itu tidak ikhlas mengahwininya. Dan kenapa dia merasakan yang dia hanya pilihan yang dibuat kerana terpaksa bukannya atas dasar rela.

            “Liya nak masuk dulu.” Kata Zaliya sebelum sempat Ridza menyambung kata-katanya. Dia bangun dan berlalu meninggalkan Ridza yang masih termenung. Terasa terguris hatinya dengan pengakuan Ridza. Terasa seperti Ridza menyesali apa yang telah berlalu dalam hidupnya. Bukankah dia sudah menjadi isteri lelaki itu. Untuk apa lagi Ridza melihat ke belakang dan mengenang kembali perkara lalu. Yang sudah berlalu biarlah menjadi sejarah; usah dikenang-kenang lagi. Sepatutnya Ridza menumpukan perhatian pada dirinya bukan melukai hatinya dengan imbasan kenangan masa lalunya dengan wanita lain.

 

Wajah Zamri yang keresahan dihadapannya dipandang tanpa berkelip. Semenjak dia bertemu dengan lelaki itu tadi; Zamri kelihatan gugup dan takut-takut. Mungkin sahaja lelaki tua itu sedar yang hutang lamanya masih tertunggak.

            “Aku datang ni nak buat perhitungan dengan kau.” Haiqarl memulakan bicara. Terasa ingin ketawa besar melihat Zamri yang seperti cacing kepanasan.

            “Perhitungan yang macam mana tu?” Zamri bua-buat bertanya walhal dia jelas benar dengan bicara anak muda dihadapannya itu.

            “Aku nak kau jelaskan hutang kau dulu.” Kata Haiqarl dalam senyum sinis. Lansung tidak menghormati lelaki yang layak bergelar bapa kepadanya itu.

            “A..aku mana ada duit.” Balas Zamri cepat-cepat. Memang benar dia tiada duit. Hutangnya bukan setakat dengan Haiqarl sorang. Malah dengan ramai lagi.

            Haiqarl tersenyum sinis memandang wajah lelaki pengecut dihadapannya itu.

            “Macam mana dengan anak dara kau?” Soal Haiqarl pura-pura bertanya. Keinginannya untuk memiliki Zaliya masih kuat. Mana mungkin dia akan melupakan keinginannya itu. Mungkin semasa dibelasah Ridza dahulu dia rasa takut; namun keinginan lelakinya itu terlalu mendominasi. Sentiasa mendesaknya supaya mencari jalan supaya Zaliya jatuh juga ke tangannya.

            “Anak dara aku dah lari.” Jawab Zamri dengan wajah kesal. Ada terselit rasa marah dengan kehilangan Zaliya kerana disebabkan Zaliya; dia bermusuh dengan Umar dan terpaksa menanggung beban hutang dengan Umar dalam masa yang sama.

            “Kalau kau jumpa dia macam mana?” Soal Haiqarl menguji. Riak wajah Zamri itu sudah mampu ditelah. Tentu sahaja lelaki itu turut ingin bertemu dengan Zaliya. Walaupun tidak tahu hujung pangkal hubungan kedua beranak itu; namun dia tahu Zamri juga ingin menggunakan Zaliya untuk kepentingan sendiri. Jika tidak masakan Zamri pernah menawarkan Zaliya kepadanya.

            “Aku pun tak tahu dia lari ke mana.” Ujar Zamri sebagai reaksi kepada kata-kata Haiqarl.

            “Kalau aku kata aku tahu kat mana anak dara kau sekarang; macam mana?” Tanya Haiqarl lagi berteka teki.

            “Maksud kau?” Soal Zamri tidak faham.

            Haiqarl diam sejenak. Hanya senyum sinis yang tersungging di bibirnya.

            “Aku kenal suami dia.” Sambut Haiqarl bersahaja.

            “Suami siapa?” Soal Zamri masih tidak faham.

            “Suami Zaliya.” Jawab Haiqarl pendek.

            “Zaliya dah ada suami?” Zamri tambah tidak faham.

            Haiqarl tidak menjawab; hanya senyuman sebagai jawapan kepada persoalan Zamri yang sudah berkerut dahinya.

            “Budak tu kahwin tak bagitahu aku!.” Keras nada Zamri membalas.

            “hai anak sendiri kahwin pun tak tahu?” Soal Haiqarl menyelidik. Hatinya kuat mengatakan Zaliya bukan anak kandung lelaki tua itu.

            “Dia bukan anak aku. Anak perempuan yang kahwin dengan aku je.” Jawab Zamri acuh tak acuh. Kalau anak sendiri tidak mungkin dia sanggup menyerahkan pada buaya dihadapannya itu.

            “Kalau aku boleh pulangkan dia pada kau macam mana?” Soal Haiqarl lagi. Ingin tahu perancangan Zamri jika menemui Zaliya semula.

            “Aku jual dia kat rumah pelacuran.” Balas Zamri tidak bersalah.

            Pecah ketawa Haiqarl mendengarkan perancangan Zamri. Tahu yang lelaki itu mungkin juga punyai rancangan sendiri untuk membayar hutang dengannya.

            “Sebelum kau jual; bagi aku pakai dulu seminggu dua.  Aku kira hutang kau selesai.” Sambut Haiqarl dalam ketawa sinis. Sudah terbayang Zaliya dihadapannya.

            “Dapatkan dia dulu. Baru kau boleh berangan.” Selar Zamri apabila terlihatkan Haiqarl yang sudah tersenyum-senyum dengan wajah gatal.

            Haiqarl tidak membalas; sebaliknya hanya tersenyum menanggapi kata-kata Zamri. Sudah pasti dia akan dapatkan Zaliya. Dia sudah merencana pelbagai agenda. Tinggal dilaksanakan sahaja. Akan dia pastikan Zaliya jatuh ke tangannya juga.

 

Tubuh Zaliya yang berbaring membelakanginya membuatkan Ridza sedikit hairan. Keliru melihat perubahan pada tingkah laku isterinya. Apakah yang sudah dia lakukan sehingga Zaliya dingin dengannya.

            “Liya marahkan abang?” Soal Ridza terus. Melihatkan kedinginan Zaliya membuatkan hatinya itu tidak senang.

            Zaliya diam tidak menyahut. Masih terasa hati dengan tindakan Ridza mengungkit kembali rasa cintanya kepada Nazirah.

            “Abang tahu Liya belum tidur. Kalau ada masalah elok kita bincang bersama. Jangan pendamkan sendiri.” Saran Ridza berhemah. Kalau terus dibiarkan masalah itu berlarutan; dia bimbang hubungannya dengan Zaliya akan kembali keruh.

            “Liya marahkan abang?” Soal Ridza lagi.

            “Liya tak marah.” Kata Zaliya acuh tak acuh. Hanya bibir berkata tidak marah namun dari nada suaranya itu jelas dia marah dengan Ridza.

            “Nada macam marah je.” Usik Ridza sambil berbaring mengiring memeluk pinggang Zaliya.

            “Abang peduli apa kalau Liya marah. Bukan ke Zirah tu cinta pertama abang. Perempuan yang buat abang separuh sasau sebab terlalu cintakan dia.” Ungkit Zaliya apabila teringatkan kata-kata Ridza yang membungakan cemburu dihatinya.

            “Oh..rupa-rupanya bini abang ni jeles. Ingatkan marahkan apa tadi.” Ujar Ridza sambil tersenyum. Sudah tahu punca marah isterinya itu. Tentu sahaja Zaliya marah dengan kata-katanya petang semalam. Patutlah isterinya itu dingin semacam. Rupanya cemburukan bekas isterinya.

            “Liya nak tidur.” Kata Zaliya seraya memaksa matanya pejam. Malas mahu berterusan mengorek rasa hati Ridza. Bimbang terluka lagi dengan pengakuan cinta lelaki itu.

            “memang la Zirah tu cinta pertama abang tapi itu kisah lama. Abang bukannya cintakan dia lagi. Abang cuma kesal dia jadi macam tu. Kalau dia tak jadi macam tu tentu abang masih lagi jadi suami dia.” Terang Ridza.

            “Habis tu abang menyesal la kahwin dengan Liya?” Soal Zaliya yang sudah mulai sebak. Tidak dapat menerima hakikat yang dia dikahwini tanpa cinta lelaki itu tertumpah kepadanya.

            “Siapa kata abang menyesal? Abang tak pernah menyesal kahwin dengan Liya. Kalau dia tak buat hal macam tu tentu abang kahwin dengan Liya kan. Kalau Liya nak tahu; Liya dah Berjaya jadi perempuan yang selamatkan abang dari hanyut tau. Kalau sebelum abang jumpa Liya. Abang ada ramai girlfriend. Liya pun tahu kan; abang dah bertunang enam kali dan putus tunang pun dah enam kali. Itu semua sebab Nazirah. Abang kecewa dengan Nazirah tapi abang balas pada perempuan lain tapi lepas jumpa Liya; abang jadi buntu. Liya buatkan hati abang bergetar sama macam kali pertama abang jumpa Zirah dulu.” Terang Ridza ikhlas. Mahu Zaliya tahu isi hatinya yang terpendam. Memang Nazirah cinta pertamanya namun Nazirah tidak seperti yang dia sangka. Wanita itu mengkhianati cintanya. Dan dia pula terlalu asyik dengan kekecewaan sehingga sanggup melukai hati wanita-wanita lain sehinggalah dia bertemu dengan Zaliya. Isterinya itu Berjaya menghadirkan satu rasa aneh dalam hatinya. Rasa yang membuatkan dia nekad mahu mengahwini Zaliya.

            “Apa sebab utamanya abang kahwin dengan Liya. Sebab rupa Liya sama macam Zirah?” Soal Zaliya lagi inginkan kepastian. Tubuhnya sudah dipaling menghadap suaminya itu.

            Terkedu Ridza mendengarkan soalan Zaliya itu. Atas alasan apakah dia menerima wanita itu sebagai surinya?. Ligat kepalanya berfikir akan sebab musabab yang membuatkan dia menyuarakan rasa hatinya ingin mengahwini Zaliya. Memang benar Zaliya dan Nazirah ada iras-iras yang hampir sama. Namun itukah sebab utama dia mahu mengahwini Zaliya? Atau dia sebenarnya jatuh hati pada sikap dan kenaifan Zaliya?

            “Abang kahwin dengan Liya sebab abang ikhlas nak jadikan Liya isteri abang.” Jawab Ridza kemudiannya. Tidak berhajat mahu menerang lanjut akan rasa hatinya. Memang pada awalnya dia menyamakan wajah Zaliya dengan wajah Nazirah namun itu bukan sebab utama dia mahu mengahwini wanita itu. Dia mengahwini Zaliya kerana dia sukakan kenaifan Zaliya. Dan dia tahu Zaliya akan berupaya menjadi isterinya yang setia. Tidak seperti Nazirah yang berpendidikan tinggi dan turut bercita-cita tinggi. Wajah Zaliya mungkin menyerupai Nazirah; namun sikap dan pembawaan isterinya itu jauh berbeza dengan Nazirah dan berlandaskan sebab itu maka hatinya itu memutuskan bahawa Zaliya adalah wanita yang sempurna untuk dia jadikan isteri.

            Zaliya hanya tersenyum dengan kata-kata Ridza. Tangannya pantas menumbuk dada Ridza manja. Mudah benar hatinya itu lembut. Tidak perlu dipujuk rayu. Cukup sekadar ucapan ringkas begitu; sudah berupaya mencairkan hati wanitanya.

            “Suka sangat tumbuk dada abang ni.” Ucap Ridza dalam senyum nakal. Sudah merencana agenda lain pula.

            Zaliya hanya menjeling manja. Pura-pura tidak faham dengan senyum nakal Ridza. Malah dia galak menyakat Ridza. Menumbuk dada lelaki itu lagi dan lagi.

            “Jangan cabar abang.” Ugut Ridza sambil menangkap tangan Zaliya kemas.

            Zaliya tersenyum manis.

            “Liya nak tidur.” Kata Zaliya tiba-tiba. Serius nadanya.

            Ridza yang terperanjat menaikkan keningnya tinggi. Sangkanya Zaliya memberi dia isyarat positif sebentar tadi.

            “Goda-goda abang tadi kenapa?” Soal Ridza tidak faham. Bukankah Zaliya yang menjeling dan menumbuk manja dadanya. Kalau itu bukan isyarat postif. Apa maknanya?.

            “Liya tengah bendera jepun la bang.” Balas Zaliya sambil mengawal ketawanya dari terhambur kuat.

            “Aiseyman!.” Keluh Ridza kecewa. Dia hanya terbaring menelentang dalam kekecewaan. Mood yang mendadak naik tadi turun menjunam.

            “Lepas ni Liya kena tebus balik. Siapa suruh goda-goda abang.” Kata Ridza masih dalam nada kecewa.

            “Tebus apa?” soal Zaliya tidak faham.

            “Lepas bendera jepun tu turun. Kena tebus lah.” Balas Ridza seraya memejamkan matanya. Cuba membuang kekecewaannya pergi.

            Zaliya hanya tersenyum. Terasa kelakar dengan sikap Ridza yang keanak-anakan. Terasa lucu pula apabila memikirkan sikap Ridza yang pelbagai. Kadang kala baran; kadangkala romantic dan kadangkala keanak-anakan seperti itu pula.
p/s: Hiya! harap semua suka :)

Thursday, 10 January 2013

SAAT HADIRNYA CINTA-BAB 7

kepada yang tinggalkan komen; terima kasih banyak...button koma lappy cik tulip rosak lagi..entah apa la masalah agaknya lappy ni...nak kata dah tua; muda lagi...jom ikuti sambungannya...part romantis yang cik tulip mampu garapkan...tak tahula rasanya macam mana..manis; masam; pahit atau tak rasa apa-apa..hihi..apapun harap semua suka :)

BAB 7

Ridza hanya memerhatikan Zaliya yang kelihatan janggal dan canggung bereaksi dihadapannya. Dia tahu Zaliya masih tersisa dengan rasa malu. Jika tidak masakan Zaliya melarikan pandangan dari matanya. Semenjak ‘perang dingin’ mereka berakhir ketika peristiwa Haiqarl tempoh hari; Zaliya dilihatnya seolah-olah melarikan diri darinya pula. Pelik betul; hari tu dia yang beria-ia goda aku; sekarang buat tak tahu pulak. Bisik Ridza dalam hati tatkala teringatkan tingkah berani Zaliya semasa ingin meraih perhatiannya tetapi ketika itu Zaliya pula kelihatan malu-malu.

            Ridza tersenyum nipis. Kalau dibiarkan berterusan; haruslah hubungan mereka tidak akan ke mana-mana. Menunggu Zaliya menyembah kepadanya pula umpama menunggu bulan jatuh ke riba; bagai menunggu buah yang tidak akan jatuh. Zaliya tidak menunjukkan sebarang tanda yang wanita itu ingin meraih manja perhatiannya semula. Sementara bagi Ridza pula; dia sudah tidak sabar mahu bergurau manja dengan Zaliya. Memadu kasih bagi mengisi masa sepanjang bulan madu mereka.

            Ridza tersenyum lagi. Jika Zaliya tidak mahu mulakan; biar dia yang mulakan dahulu. Apabila teringatkan ‘kenakalan’ Zaliya menggodanya malam tempoh hari. Terasa hatinya itu tidak sabar pula. Mahu melihat isterinya itu dalam gaun nipis yang menggoda!.

            Ridza bangun dari duduknya di kerusi. Zaliya yang sedang sibuk mengemas pinggan mangkuk di dapur dihampiri. Dia tahu Zaliya sengaja mengelak malah dia tahu wanita itu terlalu malu. Sejurus berdiri hampir dengan Zaliya; Ridza paut pinggang Zaliya lalu ditarik ke dalam dakapannya. Terkejut Zaliya dengan tindakan spontan Ridza. Dek kerana terlalu terkejut; pantas sahaja kedua-dua tangannya memaut lengan Ridza untuk melerai pautan kemas itu.

            “Abangg…” Seru Zaliya kurang selesa. Bukan dia tidak suka cuma hatinya itu masih tersisa dengan rasa malu.

            “Emm…hari tu bukan main Liya goda abang. Sekarang buat-buat malu pula.” Usik Ridza perlahan di telinga Zaliya.

            Berona merah wajah Zaliya mendengarkan kata-kata Ridza. Usikan nakal itu disalah tafsir pula dengan sindiran halus. Lengan Ridza yang melingkar kemas di pinggangnya dicubit geram; namun masih terselit kemanjaan di situ.

            “Aduh! Sakitla sayang.” Kata Ridza dengan nada yang dibuat-buat.

            “Padan muka.” Sahut Zaliya.

            “Daripada sayang cubit tangan abang macam tu; lebih baik cubit hati abang ni dengan sentuhan Liya.” Ridza tambah mengusik.

            Zaliya pantas merungkai tangan Ridza. Dia kemudiannya berjalan laju meninggalkan Ridza. Namun belum sempat dia berlalu; Ridza sudah terlebih dahulu memaut tangannya.

            “Malam ni Liya tak boleh lari dari abang.” Kata Ridza romantis.

            Zaliya yang sudah serba salah sudah berubah riak. Aduh; kenapalah hati ni rasa malu sangat walhal hari tu aku yang beria-ia goda dia; kata Zaliya dalam hati.

            Zaliya tidak membalas kata-kata Ridza sebaliknya dia berlari anak menuju ke tingkat atas dan Ridza pula yang tidak faham dengan isi hati Zaliya mengejar dari belakang.

            Zaliya pantas masuk ke bilik tergesa-gesa lalu menutup pintu sebelum sempat Ridza menurut. Tubuhnya disandar ke pintu yang tertutup rapat. Kenapalah dengan hatinya itu. Dia mahu tapi dia malu!.

            “Liya; bukaklah pintu ni…” panggil Ridza. Hairan dengan tindakan Zaliya yang tiba-tiba berubah laku. Berlainan pula Zaliya malam itu dengan Zaliya yang menggodanya beberapa malam sebelum ini. Sejujurnya dia rindukan Zaliya yang begitu; yang tidak takut menggoda. Yang nakal mengusik naluri lelakinya.

            “Liya…Liya pun tahu kan…abang lelaki…mana boleh abang tahan terutama selepas Liya goda abang malam tu.” Kata Ridza dari luar bilik. Susah juga kalau Zaliya masih berkelakuan begitu. Runsing pula hatinya kalau hubungannya berterusan begitu. Pening kepala Ridza!

            Ridza hanya berdiri di luar pintu. Menunggu balasan kata dari Zaliya. Namun tiba-tiba pintu bilik itu dibuka oleh Zaliya. Berdiri Zaliya di hadapannya dengan wajah yang memerah. Dan yang paling mengejutkan; Zaliya sudah berpenampilan seksi!; memakai gaun tidur pemberiannya. Dalam hati Ridza tersenyum.

            Zaliya pantas menarik tangan Ridza masuk ke dalam bilik. Dalam malu dia mahu. Dalam takut dia berani. Dalam debar dia tidak sabar! Sementara Ridza sudah tersenyum lebar. Melihatkan tingkah Zaliya yang berubah tiba-tiba. Pucuk dicita ulam mendatang. Dia hanya mahu memujuk tetapi Zaliya pula sudah sedia mahu memberi.

            Ridza hanya memerhatikan Zaliya yang sudah menarik tangannya ke katil. Girang hatinya sudah tidak dapat dia gambarkan. Sudah kembalikah Zaliya yang ‘nakal’ itu? Kalau benar maka hatinya itu melonjak kegembiraan.

            Ridza terkejut apabila Zaliya tanpa isyarat menolak tubuhnya sehingga rebah ke tilam. Isterinya itu kemudiannya meliriknya dengan pandangan menggoda. Lalu berbaring di sisinya. Ridza pula yang sudah terasa berdebar-debar dengan keberanian isterinya itu. Dan tambah terkejut lagi apabila Zaliya memain-mainkan jemari ke dadanya lalu membuka satu-persatu butang kemejanya. Degupan jantung Ridza berdegup bukan dua kali ganda malah berganda-ganda lajunya!. Zaliya yang pemalu itu tiba-tiba bertukar berani!.

 

Bunyi jam loceng dari telefon mengejutkan Ridza yang lena tertidur. Dia pantas mengerling ke arah Zaliya yang masih lagi tidur lena di atas dadanya. Hangat tubuh Zaliya membuatkan dia rasa malas mahu bangun dan menyucikan diri. Serasa mahu terus-terusan dipeluk Zaliya begitu. Kenangan manis bersama Zaliya terimbau kembali sehingga membungakan senyum di bibirnya. Zaliya memang nakal!. Menggoda sehingga dia jadi cair dan kaku dalam masa yang sama!

            ‘Liya..dah subuh.” Kejut Ridza lembut. Rambut Zaliya yang penuh di dadanya ditarik dengan jari jemari ke belakang kepala Zaliya. Kepala Zaliya juga dialihkan supaya tangannya yang dijadikan alas tidur Zaliya hilang kebas.

            Zaliya bukakan matanya perlahan-lahan. Dia hanya memerhatikan tubuh Ridza bangkit dari perbaringan lalu menarik tuala di sisi katil untuk menutupi tubuhnya yang terdedah. Matanya itu tidak boleh dilarikan dari memandang tubuh Ridza. Masih terasa hangatnya tubuh Ridza yang menjadi alas tidurnya..

            “Kalau Liya nak…abang masih boleh untuk satu pusingan lagi.” Usik Ridza apabila perasan akan lirikan mata Zaliya.

            Zaliya hanya buntangkan matanya. Pantas dicapai bantal Ridza lalu dibaling ke arah suaminya itu. Malu apabila Ridza mengungkit apa yang terjadi malam tadi.

            “Bukan main nakal isteri abang kan…” Ridza tambah mengusik.

            “Abangggg…” Kata Zaliya meleret. Malu bila hal itu dibangkit. Memang dia akui yang dia terlebih nakal menggoda Ridza. Pantas tangannya mencapai bantal lain lalu membaling Ridza untuk kali kedua.

            “Okey..okey..abang dah lambat ni..nak mandi dulu.” Kata Ridza seraya melangkah masuk ke dalam bilik air dalam ketawa kecil. Kalau melayan Zaliya entah bila dia boleh mandi.

            Zaliya hanya merengus. Tidak puas hati dengan tingkah Ridza yang seolah-olah menyindirnya pula. Sudahlah dia malu; Ridza pula buat-buat tidak faham.

 

Ridza memerhatikan Zaliya yang sedang sibuk menghidang makanan di meja makan. Tindak tanduk Zaliya diperhatikan penuh minat. Semenjak bangun awal pagi tadi; Zaliya seolah-olah malu-malu dengannya. Dan waktu itu dia terasa ingin mengusik Zaliya pula. Teringatkan kenakalan isterinya malam tadi membuatkan dia rasa ingin mencetuskan keromantisan mereka lagi.

            Ridza pandang tepat ke wajah Zaliya walaupun jelas Zaliya masih melarikan anak mata dari memandangnya. Dan apabila Zaliya berlalu ke dapur semula; Ridza turut membuntuti Zaliya. Entah kenapa tingkah Zaliya itu cukup menarik perhatiannya. Berbeza dengan Nazirah yang memang tidak pernah bereaksi begitu. Nazirah cukup selamba. Tidak malu-malu begitu walaupun pada awal usia perkahwinan mereka.

            Sementara Zaliya sudah keresahan dengan lirikan mata Ridza. Dia tahu Ridza merenungnya. Dan dia amat malu kerana tingkah beraninya menggoda Ridza malam semalam. Dia tahu Ridza masih memikirkan tentang kenakalannya kerana dia juga sedang memikirkan perkara yang sama!

            Zaliya sendukkan nasi goreng ke dalam mangkuk besar. Dia kemudiannya berpaling untuk menghantar makanan ke meja makan namun langkahnya mati apabila Ridza berdiri betul-betul dibelakangnya.

            “A..a..abang.” Katanya gugup. Entah kenapa tiba-tiba hatinya berdebar.

            Ridza hanya tersenyum nakal. Tidak membalas mahupun mengeluarkan sepatah kata. Hanya senyuman yang menghiasi bibirnya menanggapi kegugupan Zaliya.

            “Liya nak hantar ni ke depan.” Kata Zaliya serba salah. Seolah-olah dia dihukum dengan senyuman dan lirikan mata Ridza.

            Sekali lagi Ridza tersenyum nakal. Mahu menguji sejauh mana Zaliya ingin mempamirkan malu kepadanya. Bukankah mereka sudah menghabiskan malam bersama? Untuk apa lagi Zaliya masih malu-malu begitu.

            “Liya nak lalu ni.” Kata Zaliya apabila Ridza menghalang laluannya.

            Ridza yang tersenyum nipis pantas menyambut mangkuk yang berisi nasi goreng itu lalu di letakkan di meja dapur basah disebelahnya. Namun matanya masih tidak lari dari merenung wajah Zaliya. Dan senyumnya masih terukir nakal di bibirnya.

            Zaliya yang terperanjat sudah kaku. Apa lagi yang ingin Ridza lakukan. Dia sudahlah masih tersisa dengan rasa malu; Ridza masih mahu mengusik pula.

            Tanpa suara Ridza mendekatkan tubuhnya ke tubuh Zaliya sehingga menyebabkan isterinya itu mengundur ke belakang. Namun semakin Zaliya mengundur; semakin Ridza mendekat.

            “Abang…Liya nak sendukkan nasi tu.” Ujar Zaliya sambil menunduk ke bawah. Berharap Ridza tidak berlebihan mengusiknya.

            Ridza masih diam. Tubuhnya semakin mendekat tatkala Zaliya mengundur dan apabila tubuh Zaliya bersatu dengan dinding. Ridza tergelak besar. Kelakar melihat reaksi wajah Zaliya yang sudah seperti cacing kepanasan.

            “Amboi; bukan main malu-malu lagi. Semalam abang tengok nakal sangat.” Kata Ridza dalam ketawa yang masih bersisa. Tidak menyangka malu Zaliya sudah berada di puncak.

            “Abanggg….” Berona merah wajah Zaliya. Tangannya secara automatik menumbuk dada Ridza.

            “Jahat!.” Sambungnya. Berkali-kali dia tambah menumbuk dada lelaki itu.

            Ridza sambung ketawa melihatkan wajah Zaliya yang merah. Tangan Zaliya yang masih menumbuk dadanya ditangkap cepat. Bukan kerana berasa sakit tetapi kerana berasa geram dengan kemanjaan isterinya itu.

            Ridza dongakkan wajah Zaliya sehingga memandang wajahnya.

            “Tak perlu lah sampai malu-malu macam ni sebab abang suka bila Liya nakal. Liya buat abang sesak nafas. Kalau lama-lama boleh buat abang sasau tau.” Usik Ridza romantis. Seketika kemudian dia tautkan bibirnya dengan bibir Zaliya.

            Zaliya yang hilang dalam belaian Ridza hanya membiarkan bibirnya dipagut lembut. Terasa bahagia dimanja-manja begitu.

            “Kalau Liya nak tahu; Liya ni racun…” kata Ridza perlahan selepas bibir Zaliya dilepaskan.

            Sementara Zaliya tiba-tiba rasa terkejut. Racun?. Apakah bermaksud buruk atau baik? Soalnya dalam hati.

            ‘Tapi Liya jugalah penawar.” Sambung Lelaki itu.

            Zaliya yang berteka teki sebentar tadi mengukir senyum perlahan-lahan.

            “Maksud abang?” Soalnya manja. Mahu tahu apa sebenarnya maksud suaminya itu.

            Ridza tersenyum lagi. Kemanjaan Zaliya terasa menganggu gugat naluri lelakinya.

            “Maksud abang; Liya boleh jadi racun tapi dalam masa yang sama boleh jadi penawar.” Jawab Ridza.

            Sementara Zaliya naikkan keningnya tinggi. Masih tidak faham maksud suaminya.

            “Liya tak faham.” Kata Zaliya.

            Ridza tersenyum kecil. Polos wajah Zaliya menyebabkan dia terasa seperti berbicara dengan anak kecil pula.

            “Kalau Liya marah lama-lama pada abang; kemarahan Liya tu umpama racun yang boleh membunuh perasaan abang ni tapi dalam masa yang sama; Liya jugalah penawar kepada racun tu. Jadi kalau boleh abang tak nak Liya pilih untuk jadi racun. Sebab abang takut hati dan perasaan abang ni mati tanpa penawar.” Terang Ridza sungguh-sungguh. Kerut di wajah Zaliya cukup menunjukkan yang isterinya itu tidak  pandai apabila dia berkias bicara.

            Zaliya tersenyum sebaris. Pantas tangannya menumbuk dada Ridza sekali lagi. Malu pula bila Ridza bermadah-madah begitu dengannya.

            “Sekarang Liya pilih; nak jadi racun ke penawar?” Soal Ridza nakal.

            Sekali lagi Zaliya cuba menumbuk manja dada suaminya. Lagi mau tanya; sudah tentulah aku nak nak jadi penawar; bisiknya sendiri.

            Ridza tangkap tangan Zaliya sebelum sempat penumbuk kecil itu menyentuh dadanya.

            “Ingat abang ni konkrit ke? Suka-suka hati Liya nak tumbuk. Tumbuk sekali lagi; kita sarapan atas katil dan Liya jadi hidangan abang.” Usik Ridza lagi.

            Zaliya yang terperanjat membuntangkan matanya besar.

            “Abanggg…” ucapnya panjang dan sekali lagi tangannya tanpa sengaja menumbuk dada Ridza.

            “Abang dah bagi amaran tadi.” Kata Ridza seraya mencempung tubuh Zaliya.

            Zaliya pula sudah tergamam. Ridza memang nekad!

            “Bang; Liya nak sarapan la.” Kata Zaliya yang sudah didukung menuju ke tangga.

            “Kita sarapan atas katil.” Ucap Ridza selamba. Namun masih ada keromantisan di situ.

            Sementara Zaliya sudah kaku. Ucapan Ridza umpama bisa yang melumpuhkan segala urat nadinya. Mengalir dan membius segala rasa dan meninggalkan bisa cinta yang terlalu kuat untuk diusir pergi.

 

Zaliya hanya menjeling tajam ke arah Ridza yang masih terbaring di atas katil. Geram pula dia rasakan pada Ridza yang mengubah rancangan sarapan mereka pagi itu. Tambah geram lagi bila dia terpaksa mandi dan membasahkan rambutnya untuk kali yang kedua hari itu. Sementara Ridza hanya mengenyit nakal matanya tatkala Zaliya memandangnya.

            “Thanks sayang. Sarapan paling manis.” Ucapnya mengusik.

            “Dah la tu; bangun cepat. Mandi. Lepas tu kita sarapan sama-sama.” Balas Zaliya geram walhal dia juga turut memberi respon positif tadi.

            “Abang rasa macam nak second round pulak la.”  Gurau Ridza sambil tersenyum nakal.

            “Gatal.” Balas Zaliya antara dengar dan tidak.

            “Gatal dengan Liya tiada salahnya.” Balas Ridza selamba.

            Zaliya buat muka geram. Ridza ni memang benar-benar tak faham. Kalau berbalas kata pasti tidak mahu kalah; terutama bila berkaitan bab-bab begitu. Zaliya mara; mahu menarik selimut Ridza yang melitupi tubuhnya yang tidak dibaluti apa-apa. Terlanjur sudah nakal; biar dia tunjukkan lagi tingkah nakalnya itu. Biar Ridza pula yang terkena dengannya.

            Zaliya baru berkira-kira mahu menarik selimut Ridza namun deringan dari telefon Ridza mematikan perbuatannya. Sementara Ridza raih telefon yang sentiasa bersamanya itu lalu menjeling nama pemanggil. Seketika kemudian dia pandang sekilas pada Zaliya di tepi katil. Ridza pantas bangun dan menarik selimut supaya menutupi pinggangnya ke bawah. Dia berjalan mengheret selimut keluar ke balkoni bilik. Sempat dikerling Zaliya untuk kali kedua. Dan apabila mata mereka bertentang; Ridza tarik pintu gelansar lutsinar itu. Sejurus itu dia menjawab telefon.

            Zaliya hanya memerhatikan Ridza yang berdiri membelakanginya. Entah kenapa dia tiba-tiba berasa cemburu. Cemburu kerana dia tahu panggilan itu dari Nazirah; isteri pertama Ridza. Walaupun dia tahu Nazirah turut punyai hak yang sama seperti dia. Malah mungkin hak Nazirah melebihi haknya lantaran wanita itu merupakan isteri pertama Ridza dan dia pula hanya isteri kedua. Terasa janggal juga apabila memikirkan letak duduk dirinya dalam rantaian rumahtangga itu. Selalunya orang akan beranggapan; isteri kedua itu perampas suami isteri pertama namun hakikat yang berlaku pada dirinya adalah sebaliknya. Dia dimadukan tanpa dia sendiri tahu!

            Zaliya mengeluh seketika; menjadi isteri kedua bukanlah pilihannya lantaran gelaran itu selalunya membawa pandangan serong masyarakat kepada wanita yang menyandang gelaran isteri kedua sepertinya. Namun memikirkan yang dia juga tidak tahu letak duduk perkara sebenar menyebabkan dia lega sedikit. Sekurang-kurangnya dia bukan dengan sengaja mahu merampas Ridza dari Nazirah walaupun dia sendiri tidak faham dengan hitam putih hubungan lelaki itu dengan isteri pertamanya.

            Lama berfikir Zaliya ambil keputusan untuk turun ke tingkat bawah. Memerhatikan Ridza bergayut dengan telefon hanya akan mengundang fitnah dalam hatinya. Biar sahaja dia sibukkan diri menyediakan sarapan yang tertangguh. Sekurang-kurangnya perhatiannya dapat dilarikan dari memikirkan Ridza dan Nazirah.

            Lama menunggu Ridza; Zaliya bergerak ke ruang tamu yang menempatkan televisyen. Pantas tangannya meraih alat kawalan jauh tv lalu menghidupkan tv di hadapannya. Leka menonton tv sehingga Zaliya terkejut dengan kehadiran Ridza yang tiba-tiba.

            “Jom sarapan.” Ajak Ridza seraya berjalan mendahului.

            Zaliya bingkas bangun dan membuntuti Ridza. Walau dalam hatinya masih belum boleh berhenti dari memikirkan Nazirah namun dia kawal rasa hatinya itu. Cuba membuang cemburu yang bertamu kerana dia tahu Nazirah masih punyai hak ke atas Ridza kerana mereka berkongsi suami.

            Zaliya sendukkan nasi goreng yang sudah dipanaskan seawal turun tadi. Dia hanya diam tanpa bicara. Entah kenapa terasa bisu bibirnya mahu memulakan bicara.

            Ridza yang perasan dengan kelainan tingkah Zaliya itu hanya memerhatikan isterinya dari hujung mata. Dia tahu Zaliya tentu sedang memikirkan pemanggil tadi. Dari lirikan mata Zaliya semasa dia ke balkoni bilik tadi; dia tahu dalam hati Zaliya ada rasa cemburu yang bertamu. Walaupun Zaliya tidak memberitahu namun riak wajah isterinya itu cukup mudah di baca.

 

Ridza labuhkan duduknya di sebelah Zaliya usai bersarapan. Keruh di wajah Zaliya membuatkan ada senyum tersungging di hujung bibirnya. Tahu yang Zaliya sebenarnya cemburu tetapi tidak dengan terang mengakui kepadanya.

            “Liya cemburu?” Soal Ridza dalam senyum yang disimpan. Andai benar telahannya maka dia cukup berasa gembira. Itu petanda Zaliya sudah mula jatuh hati padanya dan mungkin juga sudah berputik cinta di hati isterinya itu untuknya kerana pada dasarnya perkahwinan mereka tidak dibina atas tiket cinta dan mencintai.

            “Tak.” Jawab Zaliya pendek. Walhal hatinya itu merasakan sebaliknya.

            “Liya ni degil juga kan.” Ridza tersenyum nipis. Matanya itu sengaja ditalakan ke wajah Zaliya yang dia kira sedang pura-pura menfokuskan perhatian pada kaca tv.

            Zaliya diam tidak membalas kata-kata Ridza. Malas mahu membicarakan soal hati dan perasaannya kerana memang sudah ditakdirkan dia berkongsi suami dengan wanita lain. Cemburu itu memang tidak dapat dielakkan. Wujud diantara dirinya dan Nazirah.

            “Kalau cemburu kata cemburu. Jangan terlalu ego.” Ucap Ridza dalam senyuman. Dia mahu menguji hati Zaliya. Sejauh manakah isterinya itu mampu menyembunyikan perasaannya itu.

            “Liya tak cemburu.” Tukas Zaliya senada. Namun matanya masih tidak dilarikan dari kaca tv walaupun sebenarnya fikirannya tidak di situ.

            “Erm..kalau tak cemburu banguslah. Maklumlah isteri abang kan ada dua; jadi sayang dan cinta abang tu pun kena la bahagi dua. kalau Liya tak cemburu; mudah sikit abang nak melepas rindu pada isteri pertama abang.” Balas Ridza menguji. Air wajah Zaliya direnung lama. Ingin mencari kelainan pada riak wajah itu dengan tutur bicaranya.

            “Itu hak abang.” Ujar Zaliya serius. Buat-buat tidak peduli walhal dalam hatinya itu ada cemburu dan marah yang bergabung menjadi satu.

            “Betul jugak tu. Itu kan hak abang.” Balas Ridza selamba. Ketawa yang ingin meletus disimpan rapi kerana dari air muka Zaliya dia tahu Zaliya marah dan cemburu. Tapi sengaja dia ingin membakar perasaan isterinya itu. Melihatkan Zaliya masih mempertahankan egonya; dia rasa ingin menguji  hati isterinya itu lebih jauh.

            Ridza pantas meraih telefon bimbit yang diletakkan di meja tengah ruang tamu itu.

            “Abang nak call Zirah la; tiba-tiba rasa rindu pulak.” Kata Ridza sambil menekan beberapa nombor di keypad telefonnya.

            Sementara Zaliya sudah berasa panas hati. Dia tidak kisah jika Ridza ingin melepas rindu pada isteri pertamanya cuma dia marah apabila Ridza lakukan begitu di hadapannya. Marah atau cemburu? Zaliya sendiri keliru.

            “Hello sayang; buat apa tu?” Kata Ridza romantis sekaligus membakar perasaan Zaliya yang mendengar.

            “Emm….abang sihat-sihat je cuma terlalu rindu pada sayang.” Sambung Ridza sambil menjeling Zaliya yang sudah berubah riak di sebelahnya.

            “Malam ni?. Tak boleh la sayang. Abang kan tengah bulan madu ni. Kalau sayang dah rindu sangat pada abang; balik nanti kita terus jumpa tapi sayang kena janji; masak makan malam yang best untuk abang. Dan yang penting; lewat malam tu abang nak special supper dari sayang…” Ucap Ridza lagi dalam lagak romantis.

            Zaliya yang sudah hilang fokus pada kaca tv semakin diamuk rasa cemburu. Romantis benar Ridza melayan isteri pertamanya. Dan dia cemburu dengan semua ucapan romantis lelaki itu.

            Tanpa berfikir panjang Zaliya merampas telefon bimbit Ridza. Pantas dilekapkan ke telinganya. Dia mahu memutuskan perbualan itu walaupun dia tahu dia tidak berhak namun rasa cemburu menguasai hatinya. Membuatkan dia rasa perlu untuk dia lakukan begitu.

            “Hello.” Sapa Zaliya keras. Mahu menerang yang dia turut punyai hak ke atas Ridza dan dia tidak mahu bulan madunya diganggu oleh wanita itu.

            “Hello.” Sapa Zaliya lagi namun senyap. Tiada jawapan dari orang dari sebelah sana.

            Pecah ketawa Ridza melihatkan perlakuan Zaliya. Gelak yang disimpan sejak Zaliya berubah riak; saat Zaliya merampas telefon itu dari tangannya.

            Zaliya yang faham dengan  gelak Ridza pantas bawa telefon bimbit itu ke ruang matanya. Namun yang dijamah matanya hanyalah skrin home yang tidak diusik pun. Tahu yang dia sudah dipermainkan oleh Ridza.

            “Cemburu juga rupanya Liya ni.” Sindir Ridza dalam ketawa yang masih bersisa. Terasa kelakar kerana Zaliya tertipu dengan lakonannya bercakap dengan Nazirah sedangkan dia tidak membuat panggilan pun.

            “Menyampah!.” Kata Zaliya dalam nada merajuk. Pantas dia bangun untuk meninggalkan Ridza yang masih tersisa dengan ketawa yang seolah-olah mengejeknya pula.

            “Liya; nanti dulu.” Ridza tarik tangan Zaliya yang melintasinya sehingga Zaliya terduduk di ribanya.

            “Cemburu tu tandanya sayang. Marah tu tandanya cinta. Sekurang-kurangnya sekarang abang tahu sayang dan cinta Liya hanya untuk abang.” Ucap Ridza romantis. Pipi Zaliya dielus lembut. Menzahirkan perasaan sayang dan cintanya yang turut mula berputik pada Zaliya.

            Zaliya jelingkan matanya manja. Ucapan romantis Ridza benar-benar membuatkan dia cair.

            “Abang dan Zirah dah tinggal sejarah. Mungkin dulu abang pernah cintakan dia tapi sekarang cinta abang dah beralih arah pada Liya. Dan abang harap semoga Liya boleh kekalkan cinta ni sebab abang tak nak cinta abang beralih pula pada perempuan lain. Cukuplah pada Liya sorang je.” Sambung Ridza. Dia hanya mahu cinta yang baru berputik itu kembang mekar dan benar-benar berharap cintanya itu tidak beralih arah sebagaimana cintanya kepada Nazirah yang sudah beralih arah kepada Zaliya. Harapannya; walaupun Zaliya bukan orang pertama; namun dia mahukan Zaliya menjadi orang yang terakhir dalam hatinya.
P/s-harap semua suka la hendaknya...