Saturday 3 March 2012

AKU UNTUKMU BAB 23 DAN BAB 24

Terima kasih kepada semua rakan pembaca yang senantiasa memberikan sokongan. Entry ni merupakan entry terakhir untuk novel bersiri ni. Rasa sedih pula nak berhenti. Cik Tulip akan menrindui setiap komen dari pengikut-pengikut yang sangat setia....terima kasih. Dengan sokongan yang diberikan membuatkan keyakinan Cik Tulip bertambah.. hehe :).Semoga entry kali ini memberi kepuasan kepada pembaca. Panjang lagi kisah Ardini dan Izhar ni...insyaallah sambungannya nanti boleh dibaca dalam bentuk naskah pula...


BAB 23



            Nora duduk di sofa ruang tamu rumahnya. Matanya masih berair, sejak kebelakangan ini dia seringkali menjadi mangsa sepak terajang Darus. Dia sudah tidak tahan hidup dalam keadaan begitu. Entah sampai bila Darus akan melayannya seperti itu. Dua tiga hari kebelakangan ini juga dia sering dikunjungi oleh Ah Long yang menjadi tempat Darus meminjam duit. Kini lintah-lintah darat itu bukan sahaja mengherdik dan memeras ugutnya malah sudah sampai ke tahap berani memukul Nora dan menyelongkar rumahnya. Semua yang berharga miliknya telah dirampas.

Darus bukan sahaja sering menghilangkan diri, malah kebajikannya tidak dijaga. Darus sudah tidak pulang ke rumah sejak Ah Long giat mencarinya. Nora yang menunggu rumah telah menjadi mangsa kerana terpaksa berhadapan dengan Ah Long. Nora kini bukan sahaja menjadi mangsa kepada Darus malah kepada Loan Shark Darus juga.

Nora sudah serik. Kesemua harta berharga yang disimpan dirumah telah dirampas oleh Ah Long. Malah duit simpanannya juga telah diambil sebagai membayar hutang Darus yang masih tertunggak. Nora sudah tidak punyai barang-barang kemas untuk digadai. Barang keperluan dapur juga telah berkurangan. Selama ini dia hanya mengharapkan jualan hasil kebun yang pernah ditinggalkan oleh arwah Nasir dahulu. Dia jugalah yang sering mengusahakan tanah itu. Kadangkala dia mengambil upah mengayam tikar untuk penduduk kampung. Untunglah dia punyai bakat dalam bidang itu. Boleh juga dia gunakan untuk menambah pendapatan.

Semasa Darus mula berkahwin dengannya dulu, lelaki itu ada juga mengambil upah menoreh getah pokok orang kampung yang diusahakan sendiri tetapi sejak Darus menjinak-jinakkan diri dengan dadah, semua urusan untuk mencari duit diserahkan bulat-bulat kepada Nora. Darus lebih gemar menghabiskan duit membeli dadah dan bermain judi.

Nora pening memikirkan hala tuju hidupnya. Dia kini turut menjadi mangsa beban hutang Darus. Duit simpanannya telah habis, untuk membeli keperluan dapur juga dia harus menangguh dulu. Tentang itu dia tidaklah terlalu runsing, yang menjadi masalahnya kini dia menjadi sasaran Ah Long kerana Darus sering menghilangkan diri. Pasti Ah Long akan terus mengunjunginya untuk menuntut baki hutang Darus. Di kala itu dimana dia harus mendapatkan duit bagi membayar hutang Darus sebanyak sepuluh ribu itu.

Nora duduk termenung lama di sofa. Fikirannya menjurus kepada Ardini. Kini harapannya yang ada cuma Ardini. Tentu dia boleh mendapat duit dari Ardini. Nora tersenyum sebaris. Kenapa dia lupa yang dia masih ada Ardini. Tentu tidak susah untuk mendapatkan duit dari Ardini. Dia bukan tidak kenal dengan Ardini, gadis itu terlalu lemah dimatanya. Dia pasti akan memperoleh duit yang banyak melalui Ardini tambahan pula Ardini kini telah menjadi menantu kepada ahli perniagaan yang kaya raya iaitu Datuk Hassan. Nora melebarkan senyuman, dalam kepalanya telah terencana agenda yang akan dilaksanakan untuk mendapatkan duit daripada Ardini.

           

           

           

             

           



           







































BAB 24



            Izhar duduk termanggu di balkoni biliknya. Sejak kebelakangan ini hubungannya dengan Ardini kembali dingin. Dia sendiri keliru dengan semua yang berlaku. Hatinya bungkam memikirkan apa yang harus dilakukan untuk mengembalikan keadaan seperti sediakala. Hatinya sendiri masih keliru dengan perasaannya yang berbaur. Terasa sejak mengenali Ardini hidupnya menjadi lebih rumit dari biasa. Perasaannya berubah malah seluruh hidupnya berubah. Kalau dulu dia tidak pernah memikirkan tentang perasaannya. Saat bersama dengan Delia pun hidupnya tidak pernah serumit yang dirasakan kini.

            Izhar melurut rambut dikepala sambil membuang pandang ke arah halaman rumah yang samar-samar disimbahi cahaya lampu jalan. Serabut kepalanya memikirkan kehidupannya kini. Memang tidak dinafikan hidupnya semakin terisi dengan kehadiran Ardini namun begitu, jarak yang pernah dicipta bersama Ardini semasa awal perkahwinan dulu umpama sumpahan baginya. Ardini semakin menjauh bila dia ingin mendekat.

            Lamunan Izhar terhenti apabila telefon bimbitnya berbunyi kuat. Izhar menapak ke dalam bilik. Menuju ke meja kecil disisi katil, tempat dia selalu meletakkan handphonenya. Telefon bimbitnya dipegang dan sejurus melihat nama pemanggil, Izhar menyambut talian.

            “Hello mama.” Izhar menyambut talian dari Datin Rohana, fikirannya masih menerawang.

            “Waalaikumusalam.” Datin Rohana bersuara menyindir lantaran Izhar tidak memberi salam terlebih dahulu.

            “Maaf la ma, Har terlupa bagi salam.” Izhar bersuara mengendur, memohon maaf diatas kekhilafannya terlupa memberi salam.

            “Apa yang Har fikirkan sampai bagi salam pun boleh lupa.” Datin Rohana dapat mengesan suara Izhar yang mengendur.

            “Banyak sangat kerja office.” Dalih Izhar walhal hatinya memikirkan tentang hubungannya dengan Ardini.

            “Kerja kalau difikirkan, sampai mati pun tak habis.” Datin Rohana bersuara senada, ada nasihat dalam kata-katanya.

            “Kenapa mama call?”Izhar mengalih topik perbualan, tidak mahu Datin Rohana memanjangkan hal itu.

            “Mama dengan papa cadang nak pergi rumah Har hujung minggu ni, nak tidur sana semalam, lagipun dah lama Har tak bawak Dini balik sini.” Datin Rohana menerangkan tujuan dia membuat panggilan kepada Izhar.

            “Kalau macam tu biar Har la yang bawak Dini pergi sana.”Cadang Izhar, bimbang kalau Datuk Hassan dan Datin Rohana tahu relaliti kehidupannya dengan Ardini. Nama sahaja suami isteri tetapi duduk di bilik yang berasingan.

            “Takpelah, lagipun mama dengan papa dah lama tak jenguk rumah Har.” Datin Rohana menyatakan kesungguhan untuk berkunjung ke rumah Izhar.

            “Kalau macam tu terpulanglah, nanti Har bagitahu Dini.”Izhar tidak boleh menghalang. Memang Datin Rohana sudah lama tidak berkunjung ke banglonya, dia juga tidak boleh menghalang sekiranya mereka ingin mengunjungnya disitu.

            Izhar mematikan talian sejurus menyambut salam dari Datin Rohana. Belum pun selesai masalah yang sedia ada, datang pula masalah lain. Apabila Datin Rohana dan Datuk Hassan berkunjung ke situ, sudah tentu dia dan Ardini kena berkongsi bilik, duduk dalam bilik yang sama. Kalau duduk di bilik yang berasingan tentu akan menimbulkan curiga kepada Datuk Hassan dan Datin Rohana.

            Perkara itu akan dimaklumkan kepada Ardini. Sebelum mama dan papanya tiba, lebih baik mereka bersiap sedia. Kalau rahsia mereka bocor, Izhar tidak dapat membayangkan perkara yang akan berlaku. Tentu mamanya akan kecewa dan yang paling ditakuti tentu papanya akan meradang kerana selama ini mereka fikir dia dan Ardini bahagia melayari alam rumah tangga.





Izhar mengetuk pintu bilik Ardini dua tiga kali sebelum Ardini membuka pintu bilik. Sejurus membuka pintu dilihatnya mata Ardini bengkak. Hati Izhar lirih, namun untuk bertanyakan akan hal itu, dia merasakan seperti dia tidak berhak mencampuri urusan Ardini. Masih ada jarak dalam hubungan mereka.

            “Mama dengan papa nak datang hujung minggu ni.” Kata Izhar, dia merenung lama wajah Ardini yang hanya menunduk ke lantai.

            “Okey.”Ardini menjawab sepatah.

            “Diaorang nak tidur sini.” Kata Izhar lagi. Dia cuba untuk meraih perhatian Ardini tentang perkara yang dibincangkan.

            “Okey.” Ardini masih menjawab sepatah, kata-kata Izhar masih belum dicerna sepenuhnya.

            “So I need U to pack your things and move to my room.”Kata Izhar lagi, cuba membawa Ardini ke alam realiti.

            “But why?”Ardini bersoal pelik, seolah-olah baru terjaga dari lamunan yang panjang.

            “ I told U, they want to spend a night here, tak kan U nak diaorang tahu kita tidur bilik lain-lain.” Kata Izhar lagi. Mengulang kata-katanya tadi seraya menyedarkan Ardini.

            “Sebelum hujung minggu ni saya kemas barang-barang.” Ardini memberikan persetujuan walhal perasaannya masih bercampur baur. Tidak tahu mana yang harus didahulukan.





Ardini mula memindahkan barang-barangnya ke bilik Izhar. Mengikut makluman yang telah disampaikan Izhar pagi tadi, Datuk Hassan dan Datin Rohana akan bertolak selepas waktu Zuhur. Jarak perjalanan antara rumah Izhar dan Datuk Hassan hanya lima belas minit. Ardini mengambil keputusan untuk terus memindah barang sebelum waktu Zuhur. Bimbang nanti tidak sempat.

            Izhar sedari pagi tadi telah menyediakan tempat untuk Ardini meletak barang. Beberapa almari kecil telah dialih kedudukannya bagi memudahkan Ardini meletak barang miliknya. Sofa berbentuk L di dalam biliknya juga dibersihkan dari habuk. Sudah tentu malam nanti dia atau Ardini terpaksa tidur di situ. Tidak mungkin bagi mereka untuk tidur sekatil.

            Ardini cuma membawa baju persalinan miliknya dan beberapa barang-barang lain seperti selimut dan bantal, dia turut membawa comforter sendiri.

            “Jangan lupa kunci pintu bilik U.” Izhar bimbang Datin Rohana atau Datuk Hassan dengan tidak sengaja membuka bilik Ardini. Rahsia mereka pasti akan bocor jika pintu bilik Ardini dibuka.

            “Susahlah nak ambil barang kalau tertinggal.”Ardini bersuara, tidak setuju biliknya dikunci.

            “Pastikan semua barang bawak masuk sini.” Izhar memberi kata putus. Dia perlu lebih berhati-hati sebelum perkara buruk berlaku.

            Ardini mengangguk lemah, terpaksalah dia membuat senarai barang apa yang perlu dibawa masuk ke bilik Izhar. Jika tertinggal barang yang penting, tentu akan menyusahkan dirinya sendiri nanti.

            Selesai memindah barang, Ardini turun ke bawah. Dia mengemas pula bilik tetamu kerana Datuk Hassan dan Datin Rohana akan ditempatkan di situ apabila sampai nanti. Apabila semua tugasnya selesai, dia bersegera menghidangkan makan tengahari Izhar. Sebelum Datin Rohana dan Datuk Hassan sampai dia akan bersedia. Siap semua tugasannya, Ardini terus naik ke biliknya. Di situ dia mandi dan menunaikan solat Zuhur.

 Kemudian Ardini bersiap-siap dengan persalinan baru. Baju blaus dan skirt labuh yang dibelikan Izhar disarungkan ke tubuhnya. Kalau diikutkan hatinya, dia lebih selesa berbaju kurung longgar sahaja tetapi oleh kerana ini kunjungan pertama Datin Rohana dan Datuk Hassan ke ‘rumahnya’ maka Izhar mahukan dia berpenampilan menarik. Ardini hanya menurut.

Selesai bersiap-siap Ardini keluar dari bilik. Pintu biliknya dikunci rapat. Mulai saat itu dia akan tinggal dalam bilik Izhar untuk sementara waktu. Sekurang-kurangnya sementara Datin Rohana dan Datuk Hassan tinggal di situ.

“Papa dengan mama baru bertolak.”Izhar bersuara dari belakang Ardini. Matanya tertancap pada Ardini yang kemas dengan blaus yang pernah dibelikan dulu. Bentuk potongan tubuh Ardini sedikit terdedah dalam persalinan itu.

Ardini menoleh sekilas apabila terdengar suara Izhar dari belakangnya. Izhar cuma berseluar track putih dengan kemeja T hitam. Tidak tahu kenapa dia sahaja yang perlu berpenampilan kemas sedangkan Izhar cuma memakai pakaian santai sahaja. Ardini menoleh semula ke hadapan. Dia ingin turun ke tingkat bawah dan menyambut kedatangan Datin Rohana dan Datuk Hassan di bawah. Belum pun sempat dia melangkah, terdengar Izhar bersuara lagi.

“Nak turun dengan tudung sekali ke?” Izhar bertanya lagi, pelik dengan penampilan Ardini yang satu itu.

“Kenapa?” Ardini bersoal pelik sambil memandang Izhar. Kedua-dua keningnya diangkat.

“tak pelik ke menantu pakai tudung dalam rumah?” Kali ini giliran Izhar bertanya. Kedua-dua keningnya diangkat seperti Ardini.

“tak kan nak kena bukak.” Ardini bersuara mengendur. Lebih kepada pernyataan kepada dirinya sendiri. Dia bukan tidak biasa membuka tudung dihadapan Datuk Hassan malah Datuk Hassan sudah biasa melihat rambutnya semasa dia berkunjung di banglo Datuk Hassan dulu cuma dia masih melindungi auratnya dari Izhar.

“Bukan aurat pun dengan papa apatah lagi dengan I.”Izhar bersuara senada. Dia faham dengan apa yang sedang difikirkan oleh Ardini.

“Bukak la, nanti diaorang curiga pulak, dalam rumah pun pakai tudung.” Izhar bersuara lagi setelah dilihatnya Ardini hanya mendiamkan diri.

Ardini menghela nafas berat. Kata-kata Izhar ada benarnya. Tentu Datin Rohana dan Datuk Hassan akan curiga, selama ini dia tidak segan silu membuka tudung di hadapan bapa dan ibu mertuanya itu. Tak kan semasa kunjungan mereka ke banglo Izhar, dia  akan bertudung pula. Tentu akan kelihatan pelik dan boleh mendatangkan curiga.

Ardini melangkah lemah ke dalam bilik Izhar, dia duduk di birai katil untuk seketika sebelum melaksanakan pesanan Izhar. Dia masih terasa janggal untuk menayangkan rambutnya kepada Izhar. Bukannya Izhar tidak pernah melihat rambutnya cuma dia lebih selesa bertudung di hadapan Izhar.

Ardini menapak ke meja solek Izhar, meja dari binaan kayu itu merupakan salah satu daripada set bilik tidur Izhar kerana ia memiliki corak yang sama dengan almari, katil dan meja sisi katil. Ardini menarik perlahan tudungnya. Getah pengikat rambutnya turut dicabut. Ardini kemudian menyikat semula rambutnya yang panjang melepasi paras bahu. Dia kemudian mengikat rambutnya stail ekor kuda supaya nampak lebih kemas.

Sedang Ardini memperkemas ikatan rambut, pintu bilik dikuak dari luar. Izhar muncul di sebalik pintu. Untuk seketika mata dia dan Izhar bertaut. Masing-masing merenung antara satu sama lain.

“Mama dengan papa dah sampai.” Izhar tersedar dari renungan matanya kepada Ardini.

“Kejap lagi saya turun.” Ardini turut tersedar dari renungan antara matanya dan Izhar.

Sejurus Izhar menghilangkan diri disebalik pintu, Ardini menapak keluar bilik. Langkahnya diatur laju menuju ke tingkat bawah. Tidak mahu Datin Rohana dan Datuk Hassan tertunggu.

Tiba ditingkat bawah, Ardini menyalami tangan kedua-dua mertuanya. Dia mempersilakan mereka duduk. Beg-beg milik Datin Rohana dan Datuk Hassan diambil dan di bawa ke dalam bilik tetamu. Kemudian, Ardini pergi ke dapur, menyediakan air minuman dan menggoreng sardine roll segera yang dibeli oleh Izhar petang semalamnya.

Sejurus menghidangkan minuman dan kuih, Ardini mengambil tempat di sofa, bersebelahan dengan sofa tempat Datin Rohana dan Datuk Hassan duduk. Kelibat Izhar tidak kelihatan di situ.

“Mama dengan papa sihat?” Ardini berbasa basi sementara tangannya menuang air teh O ke dalam cawan.

“Sihat alhamdulillah.” Datin Rohana menjawab ringkas sementara Datuk Hassan membaca akhbar ditangan.

“Minum dulu mama, papa.” Ardini mempelawa Datin Rohana dan Datuk Hassan sejurus air minuman dituang.

“Dini sihat?”Giliran Datin Rohana bertanya, tangan kanannya meraih cawan air dari dulang seraya membawa air ke bibir.

“Alhamdulillah sihat.” Ardini menjawab ikhlas.

“Mama tengok macam susut sikit badan Dini, betul ke Dini sihat?” Datin Rohana  bersoal lagi setelah meneguk air minuman. Pada pandangan matanya tubuh Ardini kelihatan sedikit susut, dia sudah mula memikirkan yang bukan-bukan.

“Mungkin pakai baju macam ni kot.” Ardini berdalih seraya berseloroh. Memang dia kurang selera makan sejak kebelakangan ini.

“Dini ni jaga body ma, takut gemuk.” Izhar bersuara dari belakang seraya duduk disebelah Ardini. Sengaja merapatkan tubuhnya sehingga bahu dia dan Ardini bersentuhan.

“Tak la ma, mungkin sebab Dini kurang berselera kot.”Ardini berterus terang, tidak mahu Izhar mereka-reka kemesraan mereka dihadapan Datin Rohana dan Datuk Hassan. Dia masih rasa bersalah menipu kedua-dua mertuanya.

“Entah-entah Dini dah ‘berisi’ kot.”Datin Rohana membuat telahan sendiri.

Ardini menjadi serba salah mendengar kata-kata Datin Rohana. Dia menjeling sekilas kepada Izhar. Tidak disangka kata-katanya tadi menyebabkan Datin Rohana berfikir yang bukan-bukan.

Datuk Hassan masih menumpukan perhatian pada akhbar, dia tidak berminat mencampuri perbualan antara isterinya dengan anak menantunya.

“Tak la mama, bendera tengah merah tak kan mengandung kot.” Izhar bersuara senada dalam seloroh, cuba menyelamatkan keadaan.

Ardini merah muka mendengar kenyataan Izhar. Entah mana idea yang diperoleh Izhar sehingga mengeluarkan kenyataan palsu tentang dirinya. Namun Ardini masih beriak tenang, tidak mahu Datin Rohana dan Datuk Hassan curiga.

“Dah lama mama dengan papa tunggu nak dapat cucu, usaha la lebih sikit.” Datin Rohana bersuara mengendur, dia tidak malu berterus terang dengan kehendak hatinya. Memang sudah lama dia mengimpikan untuk menimang cucu, dia cuma berharap Izhar dan Ardini lebih serius dalam hal untuk mendapatkan anak.

“Kalau ada rezeki, adala ma.” Izhar bersuara senada, cuba melindungi keadaan sebenar hubungan dia dan Ardini.

Ardini hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dia tahu setiap kata-katanya cuma dusta yang diciptakan untuk mengaburi mata Datuk Hassan dan Datin Rohana. Dia hanya membiarkan Izhar memainkan peranan dalam hal itu. Dia pun bukanlah pandai sangat mereka-reka alasan.

“Har pun bukan muda lagi, dah 28 tahun, kalau dah usaha tak dapat, kena la rujuk pakar pulak.” Kali ini giliran Datuk Hassan pula berkata-kata. Sedari tadi dia hanya menjadi pendengar namun dia juga tidak dapat menafikan bahawa dia juga mengingini kehadiran cucu.

Izhar dan Ardini hanya mendiamkan diri. Macam-macam telahan yang dibuat oleh Datuk Hassan dan Datin Rohana sedangkan hakikat sebenarnya bukan begitu. Bagaimana untuk mereka memberi cucu kepada Datuk Hassan dan Datin Rohana kerana mereka tidur dikatil yang berlainan. Hubungan suami isteri dalam erti kata yang sebenar tidak pernah wujud antara mereka.

“Insyaallah ada rezeki, ada la nanti.” Ardini bersuara mengendur. Kali ini giliran dia pula menciptakan satu lagi penipuan. Melihatkan wajah berharap Datuk Hassan menyebabkan dia terasa lemah, selama ini lelaki itulah yang bertindak sebagai bapa kepadanya. Harapan Datuk Hassan umpama harapan arwah ayahnya sendiri. Maka dengan itu dia tegar berbohong hanya kerana tidak mahu lelaki tua itu kecewa.





Ardini mengemas-ngemas bahagian dapur selepas selesai makan malam tadi. Izhar masih duduk menonton tv di ruang tamu bersama Datin Rohana dan Datuk Hassan. Ardini lebih suka memencil diri di dapur. Menyertai perbualan mereka bermakna terpaksa menciptakan pembohongan yang lain. Lebih baik dia mengemas-ngemas dapur, melakukan kerja-kerja lain.

            Hampir sejam berlalu, Ardini hanya tinggal untuk mengemop lantai sahaja. Sejurus siap mengemop lantai, Ardini keluar ke bahagian meja makan, kerusi dan meja diatur semula ke kedudukan asal, alas meja dibetulkan. Sebentar kemudian Datin Rohana dan Datuk Hassan berlalu ke bilik, mungkin untuk menunaikan solat isyak. Ardini juga akan naik ke bilik sejurus siap mengemas disitu. Solat isyaknya masih belum ditunaikan kerana dia mahu menyiapkan kerja-kerja di dapur dahulu.

            Setelah memastikan semua kerjanya selesai, Ardini menapak naik ke tingkat atas. Dilihatnya Izhar masih leka di depan kaca tv. Terasa berdebar-debar jantungnya kerana terpaksa berkongsi bilik dengan Izhar. Inilah kali pertama dia duduk sebilik dengan Izhar. Semasa di rumah Makcik Zizah dulu pun, dia duduk bertiga, sekali dengan Datin Rohana.

            Sejurus tiba di bilik, Ardini terus mengambil wudhu dan menunaikan sembahyang isyak, walaupun terasa badannya berpeluh dan melekit Ardini tidak mahu mandi kerana menyedari dia berada di bilik Izhar. Kebiasaannya dia akan mandi terlebih dahulu sebelum sembahyang sekiranya badan dia berpeluh. Usai sembahyang isyak dia duduk sebentar di sofa. Terasa janggal terpaksa berada dalam bilik Izhar pada waktu begitu. Apabila terasa badannya masih panas dan melekit, Ardini mengambil keputusan untuk mandi. Dia akan bersegera kerana selalunya Izhar hanya akan naik ke bilik jam 11 malam.

            Ardini mengambil persalinan dan tuala lalu menghilang ke bilik air. Kali pertama dia masuk ke bilik air Izhar dia berasa kagum. Izhar memang seorang yang pandai menjaga kebersihan. Lantai bilik air bersih dan barang-barang milik Izhar tersusun rapi di almari. Sebelum ini dia tidak pernah masuk ke situ. Dia hanya mengemas bilik Izhar, tidak berani masuk ke bilik air lelaki itu kerana itu salah satu ruang peribadi Izhar.

            Usai mandi, Ardini mengenakan pakaiannya di dalam bilik air. Rambutnya yang telah hampir seminggu tidak dicuci, disyampu menggunakan syampu milik Izhar. Ardini mengeringkan rambut menggunakan tuala. Dengan rambut yang masih separuh basah Ardini keluar dari bilik air. Dia hanya mengenakan kain batik dan kemeja T.

            Sejurus melangkah keluar dari bilik air, Ardini terpandang kelibat Izhar yang sedang membuka baju. Mungkin untuk menukar dengan baju yang lebih selesa untuk di bawa tidur. Ardini cepat-cepat mengalih pandangan, terasa malu apabila terlihat Izhar dalam keadaan begitu. Pernah sekali dia terlihat tubuh lelaki itu iaitu pada malam perkahwinannya, pada masa itu pun dia melarikan anak mata, tidak berani dan malu berhadapan dengan situasi yang janggal begitu.

            Izhar yang menyedari Ardini baru keluar dari bilik air cepat-cepat menoleh. Dilihatnya Ardini sudah lengkap berpakaian dengan rambut yang masih basah. Keadaan Ardini sedikit sebanyak telah menggetarkan naluri lelakinya. Tanpa sedar Izhar berjalan menapak menghampiri tempat Ardini berdiri.

            Bila betul-betul berdiri di hadapan Ardini, Izhar membelai-belai rambut Ardini yang basah. Ardini berdiri kaku, dia hanya membiarkan perlakuan Izhar, tidak menolak perlakuan lelaki itu. Seketika kemudian Izhar terleka, wajah Ardini didongakkan sehingga menghadap wajahnya. Tatkala itu, Izhar berasa hanyut, wajah Ardini dibelai-belai lembut dengan belakang tangan. Bibirnya didekatkan sehingga hampir menyentuh bibir Ardini. Untuk seketika mereka berdua hanyut dalam amukan perasaan cinta yang hangat.

            Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu bilik. Izhar dan Ardini seolah-olah baru dikejutkan dari mimpi yang indah. Terasa diri mereka diluar kawalan masing-masing. Izhar mengundur sedikit ke belakang. Memberi ruang kepada Ardini.

            “Maaf.” Izhar memohon maaf seraya mengorak langkah menuju ke pintu. Terasa bersalah diatas keterlanjurannya tadi.

            Ardini masih berdiri tegak. Dia masih belum boleh mencerna kejadian yang baru berlaku. Yang dia rasakan cuma keindahan saat Izhar terasa begitu dekat dengannya. Tapi Ardini kecewa, mengapa harus Izhar meminta maaf darinya. Bukankah dia halal ke atas diri Izhar. Apakah Izhar menganggap apa yang berlaku sebagai salah dan satu kesilapan. Terasa hatinya sayu.

            “Bilik mama takde bantal dan selimut.” Terdengar suara Datin Rohana disebalik pintu sejurus pintu dikuak.

            “Sekejap lagi Har hantar.” Izhar bersuara senada. Pintu ditutup semula apabila Datin Rohana kembali ke tingkat bawah.

            I pergi ambil bantal untuk mama dan papa.” Izhar bersuara apabila dia terlihat Ardini masih kaku berdiri di tempat yang sama.

            Ardini masih berdiri terpaku di tempat tadi. Sungguh dia kecewa mendengar kata maaf dari Izhar. Seolah-olah apa yang dilakukan oleh Izhar tadi merupakan satu kesalahan dan dosa. Tidakkah sedetik pun Izhar menganggap dirinya sebagai isteri. Ardini menapak lemah ke sofa. Dia bercadang untuk tidur di situ. Dia yang menumpang di bilik Izhar, selayaknya itulah tempat untuknya.

            Izhar masuk semula ke bilik setelah menghantar bantal dan selimut yang diambil dari salah satu bilik yang dijadikan bilik menyimpan barang-barang. Sejurus masuk dilihatnya Ardini telahpun membentang comforter di sisi sofa berbentuk L itu. Izhar berasa serba salah. Dia tidak sampai hati melihat Ardini tidur di lantai hanya beralaskan pemaidani dan comforter nipis.

            U tidur atas katil, biar I tidur bawah.” Izhar bersuara sejurus pintu bilik ditutup.

            “takpelah, saya tidur sini je.” Ardini bersuara mengendur. Bilik itu bilik Izhar, dia tidak mahu tidur di atas katil Izhar.

            “No no no, U sleep on the bed and let me sleep here.”Izhar berkeras mahu Ardini tidur di atas katilnya.

            “It’s okey, I’ll sleep here.”Ardini terus merebahkan badan ke atas comforter. Tidak mahu memanjangkan isu siapa tidur di atas dan siapa tidur di bawah.

            “If that’s what U wish…”Izhar mengalah setelah dilihatnya Ardini telahpun merebahkan tubuh.

            Izhar berjalan menuju ke katil. Dia mengambil tuala yang disangkut di sisi sebelah kanan katil seraya masuk ke bilik air. Peristiwa dia hampir mengucup Ardini tadi diulang tayang dimindanya. Dia terasa bersalah kerana gagal mengawal diri, terasa malu kerana dulu dia yang mencanangkan dirinya tidak pernah mengharapkan apa-apa dari hubungan mereka. Kini dia pula yang gagal mengawal diri walaupun dia tahu dia dan Ardini diikat dengan pertalian yang sah. Yang menghalalkan hubungan intim antara mereka.

            Izhar keluar dari bilik air selepas selesai menggosok gigi. Dilihatnya Ardini telahpun terlena di sisi sofa. Izhar menapak ke fius lampu. Dia memadamkan lampu yang menerangi kawasan Ardini sedang tidur, lampu pada bahagian katilnya dibiar terpasang. Hati Izhar terlalu teringin menatap wajah Ardini yang sedang lena sewaktu melintasi tempat Ardini tidur.

            Perlahan-lahan Izhar berjalan menghampiri Ardini. Dalam samar-samar lampu, dia merenung lama wajah Ardini. Terasa ada ketenangan pada wajah itu. Untuk seketika Izhar terleka. Segala prasangka dan bencinya terhadap Ardini selama ini berterbangan bagai debu yang ditiup angin. Tiba-tiba ada rasa kasihan bertamu dihatinya. Terbayang segala kekasaran dan layanan buruknya terhadap Ardini.

            Izhar menarik nafas dalam-dalam, terasa kesal kerana dia tidak pernah ingin cuba mengenali Ardini dengan lebih rapat. Dia hanya membiarkan rasa benci mengunci semua rasa yang dimiliki. Tidak pernah sekali dia ingin mendekati Ardini dan menyayangi Ardini selayaknya.

            Izhar tersedar dari lamunan apabila Ardini bergerak-gerak dan menukar posisi badan. Izhar bingkas berlalu ke katil, bimbang Ardini menyedari akan perlakuannya. Tubuhnya direbahkan ke katil, dalam kepalanya dia mengulang tayang semua peristiwa selepas dia mengenali Ardini. Izhar mengenang kembali semua kenangan sehingga dia terlena sendiri.




P/s:Terima kasih diatas sokongan kalian.Bab 24 ni Cik Tulip tak letakkan semua. Saja nak tambah elemen suprise... :)

18 comments:

  1. Xtau nk komen apa tp citer ni best mmg xleh nk nafikan. Apa-apa pun keep it up. ;)

    ReplyDelete
  2. bab yg best tp sori ye dear cik tulip..macam ada persamaan sikit dengan "pergilah sepi"..apa2pun mmg minat dgn cerita ni..goodluck dear!

    ReplyDelete
  3. yeke..x prasan pun, tp serius cite ni best hehe

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum cik tulip...
    hehe..sorry ya..bru arini dapt bca bab 22 dan bab hari ni stelah baik dri demam...

    tahniah sy ucpkan dngn penerbitn buku cik tulip tak lma lagi..insyaallah sy akan jdi org pertama bli buku cik tulip..
    nvl cik tulip mmg best..sy suka sngt..biarlah kalau ad orng kata nvl cik tulip ad persamaan dgn nvl lain..tp dngn kisah irdini membuatkan novl ini mmg nmpak lain dn mmbuatkan pmbaca tertgu kisah sterusnya..

    agak2 la ap yng terjadi tntg kisah cinta mereka lbh2 lagi ada maya...
    izhar ada hati dngn dini tp dia menidakkn dan rsa2nya dini mmg berharap dngn izhar..
    mereka suka main trik tali terutama izhar..
    buat apa nak ketepikan perasaan kalau dah sah suami isteri..
    izhar mmg sombong eh atau sy lbh suka labelkan berlagak macho..hehe..

    apew2 pon..dari bab 1 hga bab kni..sy mmg terpikat mcm tak dapt dipisahkan...
    last sy nk katakan..sorry eh cik tulip kalau sy tulis pnjng2,sje2 nak menyemak jap..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. thank u,been waiting for your comment.thank u so much.terharu baca komen zatul.memang cik tulip hargai setiap perhatian zatul. when the road seems to be so dark, u came with light that bright my way...thank u 4 your support from the beginning...

      Delete
  5. salam dik..tahniah..akak ucapkan kerana karya sulong adik ni akan diterbitkan tidak lama lagi..nanti war warkan lah kat blog adik ni..ek..
    membaca E3 yg last ni..kita tertanya tanya..apa ek yg mak tiri dia nak lakukan lagi kat ardini..tak puas lagi ke ..dia menganiayakan anak tirinya tu..tak sedar lagi ke..yg kejadian yg menimpa dirinya tu adalah salah satu sebab yg menyebabkan dirinya merana..
    Izhar..nampkanya telah menolak maya..satu tindakan yg bijak dan tersangat berani pada akak..kerana mana ada lelaki zaman sekarang yg akan berbuat seperti mana yg izhar buat..
    Tidur sebilik..kerana terpaksa..adakah mereka akan melalui malam pertama dengan izhar ikhlas menerima ardini seadanya..atau..mmg ardini ni masih anak dara lagi..hopefully ..akak mengharap ardini masih anak dara lagi..kerana perjalanan ardini masih jauh lagi..takut ..kalo kerana cemburu..bila ardini berjumpa ngan lelaki lain..bila dia berkerja kelak..seusai dia mendapat perkerjaan..izhar ..akan senang senang menuduh yg ardini mmg sampah ..bagi dia.. kerana dia telah mengambil bekas org lain..pergh..dik..teremosi pulak akak..
    whatever it..is..all d best..akan menanti citer ini dalam bentuk naskah..

    ReplyDelete
  6. huuu...bestnyer leee......jeles tahap gaban nih....ngeh3

    ReplyDelete
  7. congratz cik writer.....moga karya ini akan cepat berada dipasaran......

    ReplyDelete
  8. cik tulip novel ni keluaran apa nanti??

    ReplyDelete
    Replies
    1. hannah hamra,novel ini akan diterbitkan under kaki novel..

      Delete
  9. Hannah hamra,novel ni akan diterbitkan oleh kaki novel..

    ReplyDelete
  10. cik tulip,kita maraton novel nie dri bab 1 hingga ke bab 24 lepas cik tulip reply kat komen kita.wah,sangat best (Y).tak sabar tunggu versi cetak punya.

    btw,maaf.saya baru je jumpa blog cik tulip kat KCN.sebab tu xtahu pasal kewujudan citer AUM nie.just tahu BIS je.apa-apa pon,aja aja fighting :D

    ReplyDelete
  11. menarik cik tulp crite ne,rase tk sabar akak nk nanti kn terbit nye novel....

    ReplyDelete
  12. Saya dah baca novel tu banyak kali tapi tetap tak jemu.......cerita best dan menarik...............ada unsur gembira, sedih, kecewa................best sangat2.........

    ReplyDelete
    Replies
    1. trima kasih, gembira kak tulip mndengarnya :)

      Delete
  13. novel ni ada lagi x? di kaki novel tiada stok

    ReplyDelete