Thursday 22 March 2012

BUKAN ISTERI SEMPURNA-BAB 4 DAN BAB 5 (a)

ikuti sambungannya...

BAB 4


                                                                                          
Rozana menenangkan Nina dalam pelukannya. Dia sendiri tidak pernah menyangka Salamah akan pergi secepat itu, terasa baru semalam mereka bersembang-sembang mesra tentang kehidupan masing-masing.

Kesihatan yang merosot bertambah parah apabila dia tahu tentang peristiwa yang berlaku kepada anak gadisnya. Semua itu menjadi tamparan hebat buat dirinya sehingga membuatkan dia seringkali jatuh sakit dan akhirnya dia pergi untuk selama-lamanya.

Orang kampung yang datang melawat sudah lama meninggalkan kawasan perkuburan setelah majlis pengkebumian selesai. Kini hanya tinggal Nina dan Rozana serta suaminya yang masih meratapi pemergian Salamah. Walaupun pahit, kehidupan terpaksa diteruskan, insan yang pergi tidak mungkin akan kembali lagi.

Hati Nina sayu apabila mengenangkan ibunya. Sudahlah dia berkeadaan begitu, kini ibunya pula pergi meninggalkan dirinya bersendirian menghadapi dugaan hidup. Dalam pasrah dia kecewa kerana selama ini Salamah yang menjadi tunjang kekuatannya. Ketiadaan Salamah menyebabkan dia putus asa untuk meneruskan hidup, tambahan pula dengan kejadian yang telah berlaku kepadanya. Semuanya menjadikan dia lemah dan tidak berdaya. Untunglah Rozana masih ada bersamanya. Sekurang-kurangnya dia masih ada tempat untuk mengadu dan bergantung.



BAB 5



Waktu menunjukkan jam enam petang, sudah lebih tiga jam Nayli Imanina dan Daniel Arman diijabkabulkan. Suasana dalam bilik mereka senyap sunyi, Daniel Arman lebih suka menghabiskan masa menghadap komputer riba miliknya. Nayli Imanina hanya duduk termenung di birai katil, cuba memikirkan apa yang baru berlaku ke atas dirinya. Semua yang berlaku terasa terlalu cepat. Bermula dengan kejadian dia dinoda sehingga kepada peristiwa pernikahannya dengan Daniel Arman dan bukannya Danish Arham, lelaki yang bertanggungjawab menyebabkan terbentuknya satu nyawa lain dalam rahimnya.

            Nina mengalihkan pandangan kepada Daniel Arman, lelaki itu yang duduk membelakanginya seakan-akan tidak mengendahkan kehadirannya disitu. Nina sendiri tidak tahu bagaimana lelaki itu yang boleh menjadi suaminya. Setahu dia, ibunya meminta Danish Arham yang bertanggungjawab.

Nina melepaskan keluhan, terasa kasihan dengan Daniel Arman yang terpaksa menjadi pak sanggup ke atas dosa dan kesalahan orang lain.

“Kenapa?” Daniel Arman bersuara setelah sekian lama membisu. Fokusnya masih tidak lari dari skrin komputer riba.

“Maafkan saya.” Kata Nina, terasa semua yang terjadi berpunca darinya.

“Untuk apa?” Tanya Daniel Arman sinis.

“Libatkan awak dalam hal ni.” Jawab Nina dalam nada sayu.

“Dah memang nasib aku.”Daniel Arman bersuara keras.

“Tapi ini semua bukan salah saya, saya cuma mangsa keadaan.” Nina cuba membela diri apabila nada suara Daniel Arman kasar dan sinis. Seolah-olah menyalahkan dirinya seorang.

“Habis tu ini semua salah aku, jangan lupa yang semua ni pun bukan salah aku, aku pun mangsa keadaan.”Daniel Arman berpaling, merenung tepat ke mata Nina. Hatinya panas apabila dia turut menjadi mangsa keadaan berpunca dari gadis itu.

“Saya pun tak minta jadi macam ni.” Kata Nina lagi. Tidak puas hati apabila Daniel Arman meletakkan kesalahan di bahunya seorang.

“Macam la aku minta sangat nak kahwin dengan kau!” Daniel Arman bingkas bangun dan meninggalkan Nina sendirian. Berdialog dengan Nina begitu membuatkan hatinya bertambah panas. Memang bukan salah gadis itu seorang tetapi kerana gadis itulah dia terpaksa menjadi pak sanggup. Memadamkan segala impian masa hadapannya.

Airmata Nina mengalir dari tubir mata. Terasa sedih dengan kata-kata Daniel Arman. Memang benar dia terpaksa melakukan semua itu. Apabila mengenangkan apa yang terjadi kepadanya dia tidak boleh menolak apabila Datin Rogayah menyatakan kesanggupan keluarganya bertanggungjawab ke atas apa yang terjadi padanya.

Nina merebahkan tubuhnya ke katil, saat itu dirasakan dirinya putus asa dengan hidup. Segalanya yang bernilai telah diambil darinya. Tiada lagi insan yang akan menjaganya setelah kematian Salamah. Rozana sendiri punyai keluarga untuk dijaga, kini dia pula yang terdampar dalam istana Datuk Zanudin dengan suami yang tidak pernah dia kenali hati budi. Terasa dia terlalu terasing dan bersendirian. Air mata Nina mengalir laju sehingga dia terlena sendiri dalam tangisan.





Nina terjaga dari tidur apabila tersedar pintu bilik dibuka. Jam di atas meja sisi katil dikerling. Waktu sudahpun melepasi waktu isyak, Nina bingkas bangun, dia telahpun terlepas untuk bersolat magrib. Entah bagaimana dia boleh tertidur sehingga tidak sedar akan waktu yang berlalu.

            Daniel Arman mengambil beberapa barangan miliknya berupa beg komputer riba dan beg kerja lalu keluar semula dari bilik. Dia tidak betah duduk berdua-duaan dengan Nina di dalam satu bilik.

            Semasa menuruni anak-anak tangga untuk ke tingkat bawah, Daniel Arman ditegur oleh Datin Rogayah.

            “El nak ke mana tu bawa beg, dah malam macam ni tak kan nak pergi office?” Soal Datin Rogayah.

            “El nak keluar kejap.”Daniel Arman menjawab ringkas.

            “Habis tu isteri El macam mana, tak kan nak biar dia sorang-sorang dalam bilik tu, kenapa tak ajak dia turun, dari tadi lagi terperuk je dalam bilik. Kenapa tak ajak dia turun makan.”

            “Mummy, menantu mummy tu dah besar panjang, dah nak jadi ibu pun, tak kan semuanya nak berajak-ajak, pandai-pandai la dia, bukannya budak-budak.”Jawab Daniel Arman dalam nada yang sinis.

            “Kenapa El cakap macam tu, El kena tahu semua ni kerja Allah, dia yang menentukan semuanya, rezeki kita, jodoh kita hatta nyawa kita sekalipun dalam ketentuan dia. El anggap la ini semua takdir, jangan kita menyalahkan takdir kerana semua yang berlaku atas kehendakNya. Kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan. Anak mummy bukan macam ni, anak mummy anak yang mendengar kata. Mummy tak nak El berubah hanya kerana peristiwa yang baru berlaku. Anggaplah ini semua ketentuan Allah, pasti ada hikmah disebalik semua yang terjadi.” Datin Rogayah berkata-kata nasihat, jarang sekali dia melihat Daniel Arman bersikap begitu.

            “Entahla mummy, El masih tak boleh nak terima semua ni, bagilah El masa.” Daniel Arman bersuara seraya berlalu meninggalkan Datin Rogayah.





Nina menguak daun pintu dari dalam bilik apabila pintu biliknya diketuk dari luar. Sudah lebih seminggu dia berada dibanglo Datuk Zainudin, dan selama seminggu itu jugalah, dia dan Daniel Arman tidak bertegur sapa. Selalunya yang memberi perhatian kepadanya cuma Datin Rogayah. Datuk Zanudin sendiri seringkali mengelak dari bertembung dengannya. Kalau bertembung sekalipun tiada komunikasi diantara mereka. Datuk Zainudin meneruskan aktiviti harian seperti Nina tidak pernah wujud di situ.

            “Kenapa kunci diri dalam bilik, jomlah turun makan, teman mummy.” Sapa Datin Rogayah.

            “Takpelah datin, Nina makan kemudian je, datin makanlah dulu dengan keluarga.” Kata Nina, bimbang kehadirannya di meja makan akan mengganggu kemesraan Datuk Zainudin sekeluarga.

            “Diaorang semua dah makan, mummy tunggu Nina, boleh makan sekali. Dan lagi satu, kenapa panggil datin, kan mummy dah jadi ibu mertua Nina, panggil mummy je.”Kata Datin Rogayah lembut. Sebagai ibu dia simpati pada Nina yang menjadi mangsa keliaran anak lelakinya.

            “Baiklah, sekejap lagi Nina turun.” Nina memandang wajah lembut Datin Rogayah. Memang sejak dia berada di situ, Datin Rogayah yang lebih banyak mengambil berat akan perihal dirinya.

            Nina bergerak ke meja solek, dia menyisir rapi rambutnya dan diikat menjadi satu supaya kelihatan lebih kemas. Kemudian, dia membuntuti Datin Rogayah menuju ke meja makan.

            Tiba di meja makan, makanan sudahpun tersedia di atas meja, semuanya diuruskan oleh pembantu rumah baru Datin Rogayah. Nina mengambil tempat berhadapan dengan Datin Rogayah. Sejak pemergian Salamah, seleranya hilang untuk menjamah makanan. Segala yang ditelan terasa pahit, tambahan pula dia kini berada dalam keluarga Datuk Zainudin secara terpaksa.

            Dilihatnya Datin Rogayah sibuk menyenduk nasi ke dalam pinggan makan. Kadangkala dia terasa kesal kerana terpaksa berada di situ. Keramahan Datin Rogayah membuatkan dia serba salah, terasa dia menjadi punca kepada kekeruhan hubungan ibu dan anak diantara Datin Rogayah dan Daniel Arman. Kalau dia tidak terpaksa, dia tidak akan berada di situ. Dia cuma memikirkan tentang anak yang bakal lahir. Tidak pernah terfikir dia akhirnya akan dikahwinkan dengan Daniel Arman yang sama sekali tidak bersalah, yang menjadi mangsa keadaan. Dia cuma perlukan bapa kepada anak dalam kandungannya kini.

            “Kenapa termenung lagi, cepatlah makan, nanti masuk angin perut tu, tak elok untuk baby.” Kata Datin Rogayah, walaupun anak itu bukan dari benih Daniel Arman, namun anak yang bakal lahir tetap cucunya.

            “Maafkan Nina.” Nina bersuara mengendur.

            “Kenapa Nina cakap macam tu?” Soal Datin Rogayah lagi.

            “Sebab buat family datin jadi macam ni.”Kata Nina lagi.

            “Mummy yang sepatutnya minta maaf sebab tak pandai mendidik anak.” Giliran Datin Rogayah bersuara sayu. Memang dia gagal mendidik Danish Arham menjadi anak yang baik, kembar kepada Daniel Arman itu sering mendatangkan masalah. Walaupun mereka berdua pernah berkongsi tempat dalam rahimnya, namun karekter keduanya sangat berbeza.

            “Sebab Nina, El jadi mangsa keadaan, Nina janji lepas semua ni berakhir, Nina akan keluar dari keluarga datin, Nina pun tak nak menyusahkan semua orang, El berhak teruskan hidup dia.”

            “Kenapa Nina cakap macam tu, kan Nina dah jadi sebahagian dari keluarga mummy, mummy pasti El tu akan berubah, dia bukan macam Dan, mungkin mula-mula ni dia belum boleh terima semua yang berlaku, tapi lambat laun dia akan redha dengan takdir ni, El tu anak mummy, sejak kecil mummy jaga dia, mummy faham sangat dengan dia. Nina pun bagilah masa pada El, jangan salahkan dia dalam hal ni, dia perlukan masa untuk terima semuanya.” Kata Datin Rogayah.

            Nina hanya mengangguk lemah. Dalam hatinya dia nekad, dia akan meninggalkan keluarga Datin Rogayah selepas anaknya lahir kelak. Sementara itu dia harus bersabar dengan semuanya. Dia pasti, Daniel Arman turut terpaksa menerima kehadirannya disitu.





Pemandangan jalan raya yang dipenuhi lampu neon terasa begitu mendamaikan jiwa. Nina berdiri di balkoni bilik sambil membuang pandangan kosong ke arah cahaya-cahaya lampu yang bergemerlapan dalam pelbagai warna. Semenjak pemergian Salamah, hati Nina menjadi kosong, dia tidak lagi seceria dulu. Kala itu dia merasakan jiwanya damai dengan pemandangan yang memukau matanya. Terasa fikirannnya yang serabut tenang untuk sementara waktu.

            Ketenangan Nina mengambil angin terganggu apabila deruman enjin kereta Daniel Arman memasuki perkarangan banglo Datuk Zainudin. Nina melirik mata ke arah sesusuk tubuh lelaki yang baru keluar dari kereta. Daniel Arman dan Danish Arham memang sukar untuk dibezakan, kedua-duanya memiliki rupa paras yang hampir sama, yang jelas membezakan keduanya hanyalah sikap dan penampilan mereka. Danish Arham bertindik dikedua-dua telinga, lebih sukar dikawal dan liar manakala Daniel Arman sebaliknya. Nina sendiri keliru dengan kedua-duanya namun yang pasti lelaki yang mengkhianati dia bukanlah Daniel Arman, itu satu-satunya perkara yang dia sangat pasti kerana penampilan Daniel Arman lebih bersederhana, dia kenal akan kedua-dua anak lelaki Datuk Zainudin kerana ibunya sudah lama memberikan khidmat kepada keluarga itu.

            Nina masih ingat saat dia diijabkabulkan, kalaulah dia tidak mendengar tok kadi menyebut dengan jelas nama Daniel Arman, pasti dia akan ingat Danish Arham lah yang akan mengahwininya. Tetapi apabila nama yang disebut bukanlah nama Danish Arham, Nina kecewa kerana lelaki itu lari dari kesalahan yang telah dibuat, malah yang paling Nina kesalkan, Daniel Arman yang terpaksa menanggung kesilapan orang lain.

            Nina tidak marah dengan reaksi dan penerimaan Daniel Arman terhadapnya. Memang lelaki itu berhak untuk tidak melayannya dengan baik, malah dia sendiripun sudah bersedia dengan reaksi yang bakal diterimanya itu. Hatta kalau sesiapapun berada di tempat Daniel Arman akan marah kerana terpaksa menjadi kambing hitam di atas kesalahan dan dosa yang dilakukan oleh orang lain. Nina cuma harap semuanya berakhir dengan cepat.

            Sehari selepas mereka sah menjadi suami isteri Daniel Arman telah berpindah bilik. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu tinggal sebilik dengan Nina. Dia juga seringkali mengelak daripada bertembung dengan Nina. Bagi Daniel Arman, lebih baik jika mereka berkeadaan begitu.

           



Angin petang berpuput-puput lembut menyapa wajah Nina, terasa segar bila dapat meluangkan masa di kerusi batu yang menjadi hiasan halaman banglo itu. Kalau tidak dipaksa oleh Datin Rogayah, pasti dia masih berada dibilik, menghabiskan masanya menghitung hari supaya semuanya cepat berlalu. Walaupun tertekan dengan keadaan begitu, dia tiada pilihan. Dia menjalani hidup itu dalam keterpaksaan.

            “Sekali sekala, turunlah temankan mummy ambil angin petang, janganlah terperuk je kat bilik, tak elok untuk kesihatan.” Datin Rogayah bersuara lembut sambil menghirup kopi susu yang baru dihantar oleh pembantu rumah barunya. Sejak Salamah tiada, dia telah menggaji pembantu rumah baru warga Indonesia. Datin Rogayah faham benar dengan apa yang dialami oleh Nina, malah dia tahu apa yang bermain di kepala anak gadis bekas pekerjanya itu.

            Nina hanya memberikan senyuman nipis. Memang tidak dinafikan layanan Datin Rogayah kepadanya memang baik. Memang tidak pernah berubah sejak pertama kali dia mengenali wanita itu. Dia sendiri tidak pernah menyangka majikan ibunya itu akhirnya akan menjadi ibu mertuanya. Tetapi apa yang berlaku semuanya dalam keterpaksaan, dia berada disitu juga bukan atas kehendaknya tetapi dia terpaksa.

            “Mummy faham perasaan Nina, dan mummy pun kesal sangat dengan perbuatan Dan, cuma mummy harap, Nina terima lah semua ni sebagai ketentuan Allah, mungkin ada hikmah disebalik kejadian ni, kita cuma mampu merancang tetapi Allah yang menentukan, sesungguhnya perancangan Allah itu adalah yang paling baik.” Datin Rogayah cuba menyelitkan nasihat, dia tahu apa yang sedang bergelut dalam hati Daniel Arman dan Nina. Datin Rogayah cuma berharap kedua-duanya akan dapat menerima takdir itu. Walaupun semua yang berlaku adalah atas dasar keterpaksaan tetapi sebagai manusia dia pasrah dengan takdir dan ketentuan Allah.

            “Terima kasih sebab layan Nina dengan baik, Nina cuma kesal semua ni berlaku, kalau tidak tentu perkara tak kan jadi serumit ini.” Luah Nina.

            “Mummy percaya ini semua takdir, mungkin Allah dah tetapkan semuanya dari awal lagi, sebagai umatnya kita kenalah pasrah dan terima ketentuan darinya.” Datin Rogayah masih lagi menyelitkan nasihat dalam kata-katanya.

            Nina tersenyum, kali ini kelihatan lebih manis. Sejak kejadian buruk yang melandanya dia sudah lupa bagaimana untuk tersenyum tetapi kata-kata Datin Rogayah telah membuatkan hatinya senang. Berada disisi Datin Rogayah menenangkan hatinya yang resah.

            Sedang mereka rancak berbual, kereta yang dibawa Daniel Arman memasuki perkarangan rumah. Datin Rogayah cepat-cepat mempamit anaknya itu untuk menyertai mereka.

            “El, duduklah dulu, minum petang dengan mummy.” Ajak Datin Rogayah.

            “Takpelah mummy, El penat la, nak terus berehat kat bilik.” Daniel Arman cuba mengelak.

            “Duduklah dulu, mummy ada perkara nak bagitahu El, selalu sangat El sibuk sampai tak sempat mummy nak bagitahu apa-apa.” Datin Rogayah bijak memujuk.

            Dengan berat hati, Daniel Arman mengambil tempat di kerusi berhadapan dengan Nina.

            “Hal apa yang penting sangat.” Soal Daniel Arman acuh tak acuh.

            “Mummy dan daddy akan ke kobe, Jepun minggu depan.” Terang Datin Rogayah.

            “Habis tu, apa yang penting sangat, memang biasala mummy ikut daddy outstation.” Tukas Daniel Arman.

            “Memang lah biasa tapi dulu Nina takde, sekarang Nina ada, El kena ambil berat sikit, kena tolong tengok-tengokkan Nina.” Kata Datin Rogayah, bicaranya masih lembut. Di faham reaksi yang ditunjukkan oleh Daniel Arman hanyalah protes kerana terpaksa menerima Nina.

            “El tahulah tanggungjawab El.” Balas Daniel Arman seraya meninggalkan Datin Rogayah dan Nina.

            “Berapa lama datin akan duduk sana?” Soal Nina, dia masih belum biasa untuk memanggil Datin Rogayah dengan panggilan mesra.

            “tiga minggu.” Jawab Datin Rogayah, dia tersenyum sebaris, faham Nina yang masih belum biasa memanggilnya dengan gelaran mummy.

            Nina kembali termenung jauh, pemergian Datin Rogayah bermakna dia perlu berhadapan dengan Daniel Arman dan tinggal berduaan dengan lelaki itu sepanjang ketiadaan Datin Rogayah. Tentu suasana akan berbeza jika dibandingkan dengan keadaan semasa Datin Rogayah masih berada bersama mereka.





Usai bersolat isyak, Nina kembali berbaring di katil. Sudah hampir seminggu Datin Rogayah ke luar negara. Sejak ketiadaan Datin Rogayah, begitulah rutin Nina, dia lebih banyak mengunci dirinya dalam bilik. Dia hanya akan keluar bila Daniel Arman pergi ke pejabat. Apabila lelaki itu pulang dia akan kembali mengurung diri dalam biliknya. Walaupun terasa bosan terpaksa menghabiskan waktu begitu namun Nina sabarkan hatinya. Berkurung lebih baik daripada bertembung muka dengan Daniel Arman. Walaupun komunikasi diantara mereka tiada, namun Nina tahu Daniel Arman lebih suka jika tidak bertemu muka dengannya.

            Kerana terlalu bosan jugalah menyebabkan Nina membantu membuat kerja rumah serba sedikit pada waktu siang. Ketiadaan semua penghuni rumah menyebabkan dia selesa bergerak ke mana-mana bahagian rumah itu. Kesempatan itu digunakan untuk menggunakan masa yang ada untuk memulakan rutin hariannya yang telah lama dia tinggalkan. Walaupun dihalang oleh pembantu rumah Datin Rogayah namun Nina tetap bertegas mahu membantu.

            Semenjak dia sibuk membantu itulah, Nina merasakan bahagian bawah perutnya kadangkala menjadi sakit. Tetapi dia tidak ambil pusing kerana sakitnya hanya sebentar, seketika nanti akan hilang semula sakit yang dirasai. Tetapi sejak dia mengangkat pasu pagi itu, dia merasakan sakit diperutnya semakin kerap. Kadangkala sakitnya memulas-mulas sehingga memaksa dia keluar masuk ke bilik air walaupun tiada apa-apa pun yang keluar.
            Nina merenung syiling bilik dan mengelamun jauh, kadangkala bila sakitnya datang dia tersedar dari lamunannya. Apabila lama berkeadaan begitu, Nina tertidur sendiri.

p/s-harap-harap cerita ni tak la membebankan sangat...

5 comments:

  1. entah2 ank EL kot? kalau dia keguguran, maybe dia boleh lari keluar dari situ....

    ReplyDelete
  2. salam dik..tragis sungguh hidup Nina dan EL kan..apatah lagi anak yg dikandung itu tidak sah tarafnya. Kalau dilahirkan dan hidup ..akan mendatangkan masalah yg lebih besar lagi..bagaimana nanti anak itu akan membesar dan bergaul ngan ayah ..darah dagingnya yg lari dari memikul tanggung jawabnya..dan bagaimana pula anak itu akan berhadapan dengan kenyataan bila ia besar nanti yg ayah kandungnya sendiri telah meminggirkannya dan ibunya diperkosai.
    Rasanya percaturan takdir amat adil untuk mahluknya. Ia akan diuji mengikut kemampuan umatnya..kalau sudah ditakdirkan janin yg dikandungnya itu gugur..akak rasa ia akan meleraikan banyak masalah. Nina tak akan merasa terbeban dan El pun begitu juga.
    Nina dapat memulakan kehidupannya semula dan begitu juga dengan EL.
    Terujanya akak nak tahu kesinambungan citer ni..plotnya mmg menarik.

    ReplyDelete
  3. kesian dgn nasib Nina dan El..... menjadi mangsa keadaan... mungkin jika Nina keguguran, boleh menyelesaikan masalah mereka....

    ReplyDelete
  4. msih berteka-teki sndri lg..pe kisah nih..akak tulip,pnjng2 sket bru syok!heh~

    ReplyDelete
  5. den setuju dgn pendapat ida tu cik tulip.. den xtau nk komen apa dah. yg pasti den nak sambung baca lgi..:-)

    ReplyDelete