Friday 30 March 2012

BUKAN ISTERI SEMPURNA BAB 12

Jom baca sambungannya :)

BAB 12



Kereta Audi A6 diparkirkan jauh sedikit dari tempat hiburan itu. Mata Daniel Arman mencerlung tajam memerhatikan lelaki separuh abad yang sedang merangkul pinggang gadis muda dan berjalan memasuki premis hiburan itu. Di situ Daniel Arman menunggu.

            Semenjak Datuk Zainudin kerapkali pulang lewat ke rumah dan jarang pula pergi ke tempat kerja, Daniel Arman sudah mulai curiga dengan rutin baru bapanya itu. Dia mengesyaki sesuatu apabila perasan Datuk Zainudin hilang fokus pada kerja-kerjanya. Walaupun Datuk Zainudin sudah ‘cuci tangan’ dari bisnes pasaraya mereka, namun Datuk Zainudin kini giat dengan perniagaan yang berkaitan hartanah pula. Tetapi sejak kebelakangan ini, Daniel Arman perasan akan kelainan pada tingkah laku Datuk Zainudin. Bapanya itu sudah kerapkali pulang lewat ke rumah dan kadangkala tidak pulang lansung.

            Disebabkan itu juga Daniel Arman berada di situ. Dia mengambil keputusan untuk mengintip perlakuan baru Datuk Zainudin. Daniel Arman meraup wajahnya. Tidak menyangka Datuk Zainudin sudah tersasar jauh dari ajaran agama. Sejujurnya dia kesal kerana lelaki itu merupakan bapanya. Dan dia lebih kesal kerana Datuk Zainudin mempersia-siakan kesetiaan dan kasih sayang Datin Rogayah selama ini.

            Daniel Arman mengeluh berat. Bagaimana agaknya perasaan Datin Rogayah sekiranya dia mengetahui tentang perkara itu. Tentu wanita itu akan kecewa kerana selama ini dia setia menunaikan tanggungjawabnya sebagai isteri kepada Datuk Zainudin.





Daniel Arman terkejut jaga dari tidur apabila jam loceng pada telefon bimbitnya berbunyi. Dia bangun dalam keadaan kepalanya yang masih pening. Malam tadi tidurnya tidak sempurna. Pukul tiga pagi baru dia sampai di banglo Datuk Zainudin dan Datin Rogayah. Saat tiba di rumah, seisi rumah sudah bergelap. Semua orang sudah tertidur. Memang rutinnya pada hujung minggu, dia akan menghabiskan masa di banglo itu. Jarang-jarang sekali dia kembali ke banglonya sendiri. Tinggal sendirian membuatkan dia rasa sunyi.

            Daniel Arman mengeluh apabila teringat kembali drama yang dilakonkan oleh Datuk Zainudin dan seorang gadis muda. Dia terpaksa menunggu sehingga lewat malam untuk memerhatikan perlakuan Datuk Zainudin itu. Dari masa Datuk Zainudin membawa gadis muda itu masuk ke pusat hiburan sehinggalah kepada peristiwa di mana Datuk Zainudin membawa gadis itu ke sebuah apartmen mewah. Mengingatkan itu semua menyebabkan Daniel Arman meraup wajahnya. Dia terlalu kecewa dengan sikap Datuk Zainudin. Dan lebih kecewa kerana lelaki itu merupakan bapanya.

            Daniel Arman bingkas bangun menuju ke bilik air. Dia mandi dan kemudiannya menunaikan solat subuh. Usai bersolat, dia turun ke tingkat bawah apabila terdengar suara Datin Rogayah memanggilnya untuk turun bersarapan.

            Daniel Arman mengambil tempat dihadapan ibunya sementara Rosyanti menghidangkan makanan.

            “El pergi mana?.Lambat balik malam tadi.” Soal Datin Rogayah seraya menyenduk mee goreng ke dalam pinggannya dan pinggan Daniel Arman. Dia kemudian memanggil Rosyanti untuk menyertai mereka, namun Rosyanti menolak lembut.

            “El ada kerja kat office.” Dalih Daniel Arman.

            “Kerja pun kerja juga tapi janganlah sampai tak ingat waktu malam dan siang macam daddy.”Tenang Datin Rogayah menuturkan namun ada terselit rasa terkilan pada nadanya apabila ingatannya teraih pada suaminya. Dia turut mengesan perubahan pada tingkah Datuk Zainudin.

            “Daddy tak balik malam tadi?” Soal Daniel Arman, dia faham apa yang sedang bergolak dalam jiwa Datin Rogayah.

            “Sibuk sangat dengan kerja sampai dah tak ingat kat rumah.”Jawab Datin Rogayah senada.

            “Mummy percayakan daddy seratus peratus ke?.Maksud El pernah tak mummy terfikir yang daddy akan curang?” Soal Daniel Arman. Terus pada maksudnya.

            Well, honestly I don’t care, kalau El nak tahu. Pemegang terbesar saham syarikat bukannnya daddy.”Kata Datin Rogayah. Dia seolah-olah sudah dapat menghidu akan kecurangan suaminya itu. Dan bagi perempuan yang telah mencecah usia separuh abad, dia tidak peduli itu semua. Yang penting dia ada anak seperti Daniel Arman.

            “Maksud mummy?” Daniel Arman berhenti menyuap makanan di mulut. Terkejut dengan pengakuan Datin Rogayah.

            “I’m not his fisrt love you know, not even his love I guess. He married me for my money.”Terang Datin Rogayah jujur. Sudah tiba masanya dia berterus terang dengan keadaan sebenar hubungan dia dan Datuk Zainudin.

            “El ingat lagi pada Tok Wan?” Soal Datin Rogayah dalam menungan jauh.

            “Ingat.” Jawab Daniel Arman ringkas. Dia tidak berniat mengganggu bicara Datin Rogayah yang semakin menarik minatnya.

            “Datuk Mukhriz punyai empayar perniagaan yang besar. Dia yang bagi modal pada daddy El untuk buka mall tu tapi dengan syarat pemegang saham terbesar bukan daddy tapi mummy.” Sambung Datin Rogayah.

            Daniel Arman memberi fokus pada cerita Datin Rogayah.

            “Daddy terima tanpa banyak soal. Dia tak kisah sebab duit yang tok wan laburkan melebihi segala-galanya. Walaupun mummy pegang saham paling besar, saham daddy juga boleh dikatakan besar. Cukup untuk memberikan kehidupan mewah pada kita sekeluarga.”Datin Rogayah berhenti sebentar mengambil nafas.

            “Daddy berjaya pun sebab sokongan tok wan. Tok wan banyak membantu daddy dan dia berkahwin dengan mummy pun sebab harta. Bukan sebab dia betul-betul cintakan mummy.”Luah Datin Rogayah dalam senyum sebaris.

            “Well, kalau dia main kayu tiga dengan mummy, I’ll kick him out.”Seloroh Datin Rogayah. Dia tidak bimbang, jika benar Datuk Zainudin curang padanya, dia ada pelan tindakan yang lain. Dia tidak akan rugi apa-apa. Malah taraf pendidikan dia juga melebihi Datuk Zainudin. Dia sendiri lulusan luar negara cuma dia merendah diri setelah bergelar isteri dan menjadi ibu. Kalau benar Datuk Zainudin berpaling darinya, dia tidak akan teragak-agak menyingkirkan suaminya itu dari wasiat keluarga.

            “Kenapa mummy tak pernah cerita?” Soal Daniel Arman lagi. Pelik kenapa baru sekarang dia diberitahu tentang sejarah keturunannya itu.

            “For the past ten years, we were doing just fine, lagipun El masih muda lagi masa tu. Tiada keperluan mummy nak buka cerita lama. Tapi bila El dah bangkitkan hal ni, mummy rasa dah tiba masanya mummy cerita pada El. Lagipun El dah dewasa dan matang. Hanya El harapan yang mummy ada.”Ujar Datin Rogayah lagi dalam senyuman.

            “Kenapa daddy tak suka pada El?”Daniel Arman menghirup air Nescafe di cawan. Dia tidak dapat mengelak dari bertanyakan hal itu kepada Datin Rogayah. Terlanjur ibunya itu mendedahkan kisah lama, dia mengambil kesempatan untuk mengetahui kisahnya juga.

            No particular reason sebenarnya. He was expecting a baby girl after Dan was born but when you came out, he became angry because you are a boy, not a girl like his wish.”Terang Datin Rogayah dalam keluhan. Kecewa kerana Datuk Zainudin enggan menerima takdir.

            “Daddy harap dapat kembar sepasang?”Soal Daniel Arman lagi.

            “According to the family doctor, the twins were a boy and a girl. I guess that is why he was so depressed when you was born.”Sambung Datin Rogayah.

            Daniel Arman mengangguk faham. Hanya kerana itu Datuk Zainudin tegar berat sebelah dalam memberi kasih sayang kepadanya.

            “Itu semua tak penting, yang penting El dah besar panjang sekarang, dah boleh bawa diri sendiri. And I’m proud of you.”Ujar Datin Rogayah sambil mengusap tangan Daniel Arman. Dia tahu hati anak lelakinya itu bergolak. Dia cuma berdoa yang terbaik untuk Daniel Arman. Satu-satunya anak lelaki yang berupaya mengubat kekecewaannya terhadap Datuk Zainudin dan Danish Arham.

            Daniel Arman tersenyum sebaris mendengarkan kata-kata ibunya. Datin Rogayah walaupun merupakan wanita berpendidikan tinggi dan berasal dari keturunan yang kaya berada namun pemikirannya masih tidak tercemar. Masih menitik beratkan soal-soal agama dan budaya ketimuran. Dia turut berbangga dengan keperibadian ibunya. Wanita yang paling banyak mengajarnya tentang hidup.





Popcorn dari tangan Nina diambil oleh Zachary. Sementara Daniel Arman menjeling ke arah mereka berdua. Tidak lama kemudian, Azzura datang dengan air dan juga popcorn ditangannya.

            “Kenapa you lambat sampai, cerita dah nak start la.” Ujar Azzura manja. Dia meliuk lintukkan tubuhnya. Hari itu, dia mengenakan jeans hitam ketat melepasi paras lutut dipadankan dengan body shirt putih tanpa lengan.

            “Traffic jammed tadi.” Ringkas jawapan Daniel Arman.

            “Jom masuk.” Ajak Zachary, matanya masih tidak lepas dari memandang wajah Nina yang manis berskirt labuh berwarna coklat pekat, dipadankan dengan kemeja putih berbunga coklat. Tudung berwarna coklat gelap dikenakan kemas di kepala. Sekali sekala Nina membetulkan awning tudung.

            “Encik Zach masuk la dulu, saya nak ke tandas sekejap.”Ucap Nina.

            “You pun masuk dulu, I nak ke tandas juga.” Ujar Daniel Arman kepada Azzura. Dia memandang sekilas pada Nina.

            You all ni ada apa-apa ke?, sampai nak ke tandas pun sekali.” Seloroh Zachary.

            Azzura buat muka tidak puas hati. Sebenarnya dia cemburu. Melihat cara Daniel Arman melihat Nina, dia dapat merasakan ada kelainan.

            “Jom Masuk dulu.” Pelawa Zachary kepada Azzura.

             Nina terus menuju ke tandas, dia hanya mahu membetulkan tudung di kepala dan sengaja dia ingin masuk lewat. Tidak mahu masuk beriringan dengan Zachary, Daniel Arman dan Azzura.

            Hampir lima belas minit berlalu, Nina mengambil keputusan untuk keluar dari tandas. Sejurus melangkah keluar, dilihatnya Daniel Arman sedang berdiri di hadapan pintu utama tandas.

            Nina berjalan melepasi Daniel Arman.

            “Kenapa lambat sangat?”Soal Daniel Arman, melangkah menyaingi Nina.

            “Encik Arman tunggu saya ke.”Soalan dibalas soalan.

            “Erm.”Daniel Arman menjawab pendek.

            “Kenapa tak masuk dulu?” Soal Nina lagi. Pelik kenapa Daniel Arman perlu menunggunya sedangkan Azzura sudah lama masuk bersama Zachary.

            I want to spend my time with you.”Jawab Daniel Arman sambil mengenyit mata bila Nina memandang wajahnya.

            Nina larikan anak matanya, kata-kata Daniel Arman dibiarkan sepi, kalau tidak kerana Azzura merupakan kekasih hati Daniel Arman, pasti dia akan menyangka lelaki itu cuba memikatnya. Tapi Nina tahu, Daniel Arman sudah ada pilihan hati, dia tidak boleh berangan terlalu tinggi. Bimbang dirinya jatuh dan tidak berupaya untuk bangun lagi.





Suasana dalam panggung wayang TGV MidValley Megamall sunyi. Filem yang sedang ditayangkan sudah dimainkan lima belas minit yang lalu. Para penonton semuanya senyap dan menumpukan perhatian pada gambar di skrin. Nina mencari-cari kelibat Zachary dan Azzura. Apabila terlihat Azzura melambai-lambai rendah tangannya kepada Daniel Arman, Nina berjalan menghampiri mereka.

            Tiba di tempat duduk, Nina lihat Zachary duduk di kerusi bahagian kiri sementara Azzura duduk di kerusi bahagian kanan, meninggalkan dua kerusi kosong ditengah-tengah untuk dia dan Daniel Arman duduk. Nina mengeluh. Dia berharap dapat duduk disebelah Azzura. Bukan Daniel Arman atau Zachary. Kini dia terpaksa duduk ditengah-tengah, diantara Zachary dan Daniel Arman.

            Zachary tersenyum bila Nina mengambil tempat disebelahnya apabila Azzura cepat-cepat menarik tangan Daniel Arman untuk duduk bersebelahan dirinya.

            “What took you so long?”Soal Azzura tidak senang.

            Daniel Arman hanya diam. Azzura yang jauh lebih muda darinya memang tidak matang dalam banyak hal. Suka mendesak, suka dimanja malah suka memaksa orang mendengar kata-katanya. Antara sikap-sikap Azzura yang membuatkan Daniel Arman rimas.

            Nina fokuskan perhatiannya pada filem. Filem apa sebenarnya, dia pun tidak tahu. Dia hanya mengikut Zachary awal pagi tadi. Menyerahkan semuanya pada Zachary yang beria-ia mengajaknya keluar. Dia sendiri terperanjat melihat Azzura dan Zachary sudah sampai dahulu di depan panggung wayang. Lebih terperanjat lagi apabila melihat Daniel Arman turut menyertai mereka.

            Zachary tergelak sekali sekala apabila ada adegan yang mencuit hatinya muncul di skrin besar. Sementara Nina menonton tanpa perasaan, dia memang tidak berminat dengan aktiviti sosial sebegitu. Bukan dia tidak minat untuk menonton wayang cuma dia hilang minat bila menontonnya dengan ‘orang asing’. Dia lebih selesa keluar menonton bersama Mien, rakan serumahnya.

            Sedang Nina leka melayani perasaannya sendiri, dia dikejutkan dengan tindakan Daniel Arman yang tiba-tiba meraih tangannya dan meramas-ramas jari jemarinya. Nina toleh ke arah Daniel Arman tetapi lelaki itu masih menfokuskan perhatian pada cerita di skrin besar di hadapan. Cukup fokus dan tenang seolah-olah tidak sedar akan jelingan Nina.

            Nina cuba tarik tangannya dari pegangan Daniel Arman, tetapi lelaki itu mengeratkan pegangan dan berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku. Fokusnya masih pada skrin. Setiap kali Nina menarik jemarinya, setiap kali itulah Daniel Arman semakin menguatkan genggaman.

            Nina tidak mampu meleraikan pegangan tangan Daniel Arman, akhirnya dia hanya membiarkan. Membiarkan Daniel Arman bermain dengan jari jemarinya walaupun dia sendiri sudah terasa tangannya itu basah dengan peluh.

            Dua jam berlalu dan filem tamat. Lampu dalam panggung yang dimatikan semasa tayangan tadi dihidupkan semula. Daniel Arman meleraikan tautan jari jemarinya dari tangan Nina. Dia bangun mengekori langkah Azzura yang jalan terlebih dahulu dihadapan.

            “Jom lunch.”Ajak Zachary.

            “Saya nak balik dulu.”Ungkap Nina.

            “Awal lagi tak kan dah nak balik. Hutang you tak kan selesai kalau you tak join lunch ngan kitaorang.”Ugut Zachary.

            Daniel Arman dan Azzura hanya berdiri menunggu keputusan dari Nina.

            Nina mengeluh, demi melangsaikan ‘hutang budi’nya pada Zachary yang banyak membantunya dengan jawatan barunya, Nina mengalah. Dia hanya mengekori dari belakang.

            Tiba di restoren Chicken Rice Shop, Zachary mengarahkan Nina dan Azzura mengambil tempat sementara dia membuat pesanan makanan di kaunter.

            “Dah lama kerja dengan El?”Soal Azzura walaupun dia tahu Nina baru menggantikan tempat PA Daniel Arman yang berpindah.

            “Baru lagi.” Nina jawab dalam senyuman sebaris. Cuba memaniskan roman wajah walaupun soalan Azzura kedengaran sinis ditelinganya. Pasti Azzura dan Daniel Arman terlalu rapat kerana panggilan ‘El’ hanya digunakan ahli keluarga terdekat Daniel Arman. Di tempat kerja, Daniel Arman lebih dikenali sebagai Encik Arman.

            “Well, kitaorang akan bertunang tak lama lagi.” Tambah Azzura.

            Untuk seketika suasana diam antara mereka. Nina membuang pandangan kosong ke hadapan.

            “Tahniah.”Ucap Nina walaupun ada terselit rasa cemburu dihatinya. Cemburu kerana Azzura berjaya menakhluki hati lelaki sebaik Daniel Arman. Sesuatu yang tidak mungkin dia berjaya lakukan.

            Perbualan Nina dan Azzura terhenti apabila Zachary dan Daniel Arman berjalan menuju ke meja. Mereka mengambil tempat masing-masing. Daniel Arman duduk berhadapan dengan Nina. Kesempatan itu digunakan untuk merenung wajah Nina.

            “El, lepas ni teman I shopping.” Kata Azzura dalam nada manja.

            “Sorry Zura, mummy minta I teman dia cari anak pokok orkid petang ni, I tak boleh balik lambat.”Daniel Arman berkata lembut. Memang dia sudah berjanji dengan Datin Rogayah sebelum keluar pagi itu.

            “You memang tak pernah ada masa untuk I, kalau untuk mummy you bila-bila masa pun okey je.”Azzura tarik muka.

            Zura please.”Daniel Arman bersuara perlahan. Malu dengan sikap Azzura yang merajuk tidak kena pada tempat.

            “I nak balik, takde selera nak makan.” Azzura bingkas bangun dan berlalu.

            Sorry about that.” Kata Daniel Arman kepada Zachary dan Nina. Daniel Arman turut bangun dan berlalu. Serabut kepalanya melayani karenah Azzura, kalau dibiarkan, bimbang juga Azzura bertindak diluar jangkaan. Dia sudah masak dengan sikap Azzura. Pantang orang tidak mengikut kata-katanya. Sampai mencederakan diri pun dia sanggup. Kalau diikutkan hatinya, berat untuk dia meninggalkan Nina berdua-duaan dengan Zachary, namun dia juga tidak punya pilihan. Kalau Azzura bertindak nekad bagaimana, dan dia juga bukan jenis lelaki yang mementingkan diri. Apa yang dia mulakan, dia akan selesaikan. Memang dia yang mengajak Azzura untuk keluar, jadi sudah menjadi tanggungjawabnya memastikan Azzura selamat pulang juga.

            Melihatkan perhatian yang diberikan oleh Daniel Arman kepada Azzura membuatkan Nina cemburu. Azzura terlalu bertuah kerana berjaya menambat hati Daniel Arman. Dia pula tidak mungkin akan mampu bertakhta dihati lelaki itu kerana jelas dimatanya Daniel Arman memang cukup mengambil berat akan hal Azzura. Tidak mungkin cinta Daniel Arman akan beralih pada perempuan sepertinya. Perempuan yang tidak lengkap, yang tidak cukup sempurna untuk lelaki yang sesempurna Daniel Arman.


p/s-pada pendapat para pembaca, apa yang akan berlaku pd watak Datuk Zainuddin dan apa harapan pembaca...dipisahkan dari Datin Rogayah atau lain-lain...mohon pandangan...

20 comments:

  1. again.....huhu..jd penyibuk tegar di sini..hahaha.....next pls...

    ReplyDelete
    Replies
    1. like!!...next jugak....=)))
      -nim-

      Delete
  2. moga Datin Rogayah sedar akan kecurangan yg dilakukan Datuk Zainuddin.... biar ikatan mereka terlerai... umur macam Datuk Zainuddin tu patutnya beramal bukannya membuat maksiat, nak ditegurpun dah tua...lansung tak sedar diri....
    Daniel Arman... plz.... bertegas sikit.... jgn dilayan si Azzura gedik tu.... tlg jaga perasaan Nina..... kalau suka buat cara suka, kalau tak lebih baik lepaskan saja Nina..... tak baik mempermainkan hukum agama....

    ReplyDelete
  3. salam Cik Tulip...mintak2 Datuk Zainuddin terkantoi dengan Datin...Datin dah tau aktiviti tak sihat Datuk..terus Datin tarik balik semua kesenangan yg dikecapi Datuk..almaklumlah..Datin kan pemegang saham terbesar...biar padan dgn muka Datuk..tak sedar ingat punya orang..alamak dah terlebih emo la pulak..hihihi..apa2 pun cepat2 sambung ye Cik Tulip..I Likeee...

    ReplyDelete
  4. nak daniel ngan nina. datin cerai ngan dato zainudin

    ReplyDelete
  5. daniel n nina dan dato zainudin tuhh bg pengajaran sedikit....biar dia tersedar....dr semua kesilapannya....

    ReplyDelete
  6. biaq dato sedar siapa datin sebenrnyaaa.. heehe

    ReplyDelete
  7. pergh..dik..kalo akak ditempat Datin ..akak akan berlalu pergi.,tetapi akak akan melakukan beberapa perkara yg akan membuat suami akak yg hilang pedoman tu..tersedar ..bahawa..cukup cukuplah menganiaya akak..kalo tak suka ..lepaskan secara baik kerana akak pun berhak untuk bahgia..kalo dia telah bahgia dengan hidup yg dipilihnya..well..why not..biarlah dia melangkah pergi kerana itu adalah pilihannya dan tak ada org yg force dia untuk memilih ..kan..jalan yg dibuatnya dan dia wajib bertanggungjawab keatas dosa dosa dan kesilapannya..
    okay...langkah pertama yg akak akan buat ialah menyerbu rumah yg Dato telah bersekedudukan dengan wanita muda yg dilihat oleh EL..yg selama ni dia tahu krn ..telah terserempak ngan suaminya..membawa seorg gadis muda giler seksi keapartment ..mewah milik..suaminya..bawak JAIS menyerbu rumah tu.. dan lepas tu minta fasakh ..nak buat apa ada seorg suami yg begitu tegar melakukan zina..seperti membiarkan maksiat bermaharajalela pulak dan sebagai seorg isteri dan wanita yg teraniaya ..dia perlu tegas..
    Langkah ke2 mengugurkan semua nama nama nya dalam milik syarikat kepunyaan Datin Rogayah menarik balik facility wang,kereta dan juga harta harta Datin yg Dato tlg oversee dan directorshipnya ditarik with immediate effect. Disowned him from menjejakkan kaki kerumah..semua ini dilakukan serentak bila Datin bersama lawyer dan EL dimalam kejadian yg dia kena serkup dgn JAIS..Lepas tu Datin akan membawa diri dan tanpa dapat dijejak oleh lelaki yg tak berguna itu..Dan..yeay..kita lihat..bagaimana angkuhnya mamat tu sebelum ni..adakah nanti bila dia tidak mempunyai apa apa...dia akan terus mencari dan menagih kasih Datin kembali..
    Kesian pulak akak tgk zachary ni kan..mengharap kasih pada yg tak sudi dan berdosa pulak tu mencintai isteri kawan baik sendiri..
    Kesian juga pada Nina kan ...kerana status yg dipegangnya menyebabkan dirinya terseksa dalam diam dan untuk bercinta dan mencari cinta pun begitu sukar utknya. Just wonder ..bila lah kan ..ia akan bahgia ..
    El seperti lalang kan..dan dayus ..akak rasa ..sudah tau isteri didepan mata dan kawan baiknya mengorat bininya..tak pulak..dia nak bagitau pada semua org yg Nina itu isterinya...dan peliksnya masih mengejar wanita lain didepan bininya..mmg kalo akak kat tempat nina..dah lama ..akak rasa EL tak akan dapat jejak akak lagi...
    E3 kali ini mmg byk konfliknya..kan tulip..

    ReplyDelete
  8. dato z cerai @ mati keras pun takpe..el ngan nina..

    ReplyDelete
  9. alahaii.. sian nina.. dato Z tu kna dpt penyakit skali br dia tahuan..

    ReplyDelete
  10. nak datuk zainuddin lingkup n bercerai ngan datin...biar datin hidup aman damai n tenang serta mnikmati kekayaannya dgn insan2 yg dikasihinya...datukkkk boleh blahhhh...

    ReplyDelete
  11. Kalau suami yg curang lebih-lebih lagi melakukan dosa
    seeloknya datin ambil tindakan yg bijak iaitu berpisah
    saja dgn dtk Din tu.... Lagipun tanpa datuk pun datin
    boleh hidup berdikarikan...

    ReplyDelete
  12. Datin siasat n than ambil tindakan dengan menggugurkan nama datok z dlam syer syarikat. bagi pengajaran yang secukupnya biar datok z tahu langit tinggi atau rendah. bagi dia sakit/ stroke ke untuk menginsafkannya.

    ReplyDelete
  13. Agak2 bila nx n3 eq...heh x sabor nih

    ReplyDelete
  14. sibuk nmpak LEE...next..................

    ReplyDelete
  15. macam tak logik je, tak suka daniel sebab bukan anak perempuan? kelakar je baca.

    ReplyDelete
  16. tulip...
    nape x jmpa bab 11?
    hukhukhuk...br nk wat marathon da tgendala..
    xjmpa mane g bab 11 nie...

    ReplyDelete
  17. After 3 years saya baru jumpa blog kak tulip..cerita dah masuk tv pun...hukhuk...

    ReplyDelete