BAB 22
Kepala Daniel Arman terasa berat saat
dia bangun untuk bersembahyang subuh pagi itu. Tangannya dibawa ke kepala bagi
mengurut-ngurut bahagian dahi yang dirasakan berdenyut-denyut. Saat itu dia
merasakan tidak berdaya untuk bangun dan bersembahyang. Namun digagahkan jua
dirinya bangun dan mengangkat wudhu’. Suhu badannya yang panas menyebabkan dia
tidak mampu untuk mandi. Bimbang langkahnya yang goyah akan menyebabkan dia
jatuh di bilik air. Dalam keadaan dia
duduk bersendirian di rumah begitu, dia tidak mahu itu berlaku. Tambahan pula
Datin Rogayah tiada di rumahnya kerana menyertai rombongan persatuan ke Melaka
untuk memberi sumbangan kepada ibu tunggal di sana. Hanya ibunya itu sahaja
yang mengambil berat akan dirinya.
Usai bersembahyang, Daniel Arman
mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan disisi katil. Pantas jarinya
menekan nombor Nina, mahu memaklumkan Nina tentang keadaannya dan dia mungkin
terpaksa mengambil cuti untuk hari tersebut.
Namun apabila dia mendail nombor
Nina, panggilannya terbiar sepi. Nina tidak mengangkat dari talian hujung sana.
Daniel Arman mencuba lagi untuk kali kedua namun hasilnya masih sama. Dia
kemudian mengeluh. Lantas jari jemarinya menaip-naip sesuatu dan menghantar
pesanan ringkas kepada Nina.
Daniel Arman kemudiannya kembali
berbaring di tilam. Terasa seluruh urat sarafnya sakit-sakit. Untuk turun ke
tingkat bawah dan mencari ubat pun dia tidak mampu. Langkahnya goyah, kepalanya
berpusing-pusing. Langkah yang terbaik yang boleh diambil saat itu ialah dia
berbaring dahulu. Berharap menjelang tengah hari peningnya itu akan beransur
hilang. Badannya yang sakit juga akan sembuh.
Jam sudah menginjak ke angka sebelas
malam. Namun Daniel Arman masih terbaring lesu di atas tilam. Sejak awal pagi
tadi, tiada apapun yang mampu dia lakukan. Dia tidak mampu untuk bergerak jauh.
Kalau bergerak pun pergerakannya lambat dan perlahan-lahan. Buntu dia
memikirkan apa yang boleh dibuat. Sejak awal pagi juga dia masih tidak menjamah
apa-apa makanan. Walaupun tiada selera, namun perutnya yang kosong perlu diisi
untuk dia menambah tenaga.
Daniel Arman raih semula telefon
bimbitnya. Pantas nombor Zachary didail. Saat itu dia benar-benar tidak
berdaya. Dia tiada pilihan melainkan meminta pertolongan dari Zachary. Sejurus
Zachary menyambut taliannya, Daniel Arman menyatakan hasratnya meminta
pertolongan lelaki itu.
Namun begitu, Zachary yang berada di
China ketika itu tidak dapat membantunya. Daniel Arman mengeluh, kenapa dia
boleh lupa yang dia sendiri mengarahkan Zachary pergi ke China selama seminggu
bagi membincangkan perjanjian import barangan China ke syarikat mereka.
Tiba-tiba Daniel Arman teringatkan
Nina. Saat itu dia terfikir tentu Nina boleh membantunya. Untuk meminta bantuan
ibunya, adalah mustahil memandangkan ibunya itu tiada untuk bertandang ke
rumahnya ketika itu. Nak diharapkan pada Datuk Zainudin, memang Daniel Arman
tidak pernah terfikir. Bapanya itu tidak pernah mengambil berat akan hal
dirinya. Danish Arham juga begitu. Hanya Nina sahaja yang boleh membantunya
saat itu.
Telefonnya diraih kembali dan Daniel
Arman cepat-cepat mendail nombor Nina.
Nina melihat lama ke skrin telefon
bimbitnya. Apabila nama Daniel Arman muncul, dia jadi hairan. Mengapa Daniel
Arman memanggilnya selewat itu. Selepas butang hijau di skrin di tekan, Nina
letak telefon bimbitnya di telinga.
“Hello.” Terdengar suara lemah
Daniel Arman sejurus Nina menjawab panggilan.
“Encik Arman, kenapa ni?” Soal Nina
hairan. Jelas ditelinganya suara Daniel Arman yang tidak bermaya.
“Nina, boleh tolong saya?” Soal
Daniel Arman lambat-lambat. Suaranya juga serak-serak basah.
“Tolong apa?, Encik Arman okey?”
Soal Nina kembali. Dia tidak pasti apa yang berlaku kepada Daniel Arman.
“Saya demam.” Jawab Daniel Arman
pendek.
“Encik Arman dah pergi klinik?” Soal
Nina prihatin. Dalam hatinya masih tertanya-tanya tujuan Daniel Arman
memanggilnya. Mungkin mahu memaklumkan dia mahu menyambung cuti keesokan
paginya.
“Belum.”Jawab Daniel Arman pendek.
“La, kenapa tak pergi klinik, nanti
melarat demam tu.” Sambung Nina. Jelas dia masih belum dapat menangkap apa
sebenarnya yang dialami oleh Daniel Armand an apa maksud lelaki itu
menelefonnya malam itu.
“Nina, boleh datang sini?” Soal
Daniel Arman tanpa menjawab kata-kata Nina.
“Datang rumah Encik Arman?, kenapa?”
Soal Nina pelik. Dalam hatinya tertanya-tanya, teruk sangatkah demam Daniel
Arman. Takkan tiada orang lain yang boleh diajukan pertolongan tersebut selain
dirinya.
“Tolong saya, saya tak larat sangat
ni.” Kata Daniel Arman lagi. Suaranya kedengaran semakin lemah.
“Baiklah, tunggu saya bersiap dulu.”
Kata Nina. mendengarkan suara lemah Daniel Arman membuatkan dia simpati. Tentu
sahaja Daniel Arman memang benar-benar memerlukan pertolongannya. Kalau tidak,
masakan lelaki itu sampai mengganggunya selewat itu.
“Nina bawa baju sekali, mungkin kena
tunggu saya.” Luah Daniel Arman lagi.
“Baiklah.” Jawab Nina pendek. Dia
tidak membantah. Apapun saat itu dia merasakan Daniel Arman memang betul-betul
perlukan bantuan. Dan dia pula kerisauan mendengar suara lemah Daniel Arman.
Walaupun masih ada jarak pada hubungan mereka tetapi Nina juga jatuh simpati
pada Daniel Arman apabila lelaki itu tidak sihat begitu.
Nina tiba di banglo Daniel Arman ketika
jam hampir menginjak ke angka dua belas. Kalau tidak difikirkan Daniel Arman,
dia tidak berani memandu sendirian ditengah-tengah malam buta begitu. Namun
apabila terngiang-ngiang suara lemah Daniel Arman, hatinya diruntun sayu.
Teringat lagi jasa-jasa lelaki itu menjaganya sewaktu keguguran dahulu.
Walaupun tidak secara terang-terangan namun dia tahu Daniel Arman mengambil
berat akan situasinya dulu. Mungkin sekarang dia boleh membalas jasa Daniel
Arman semula.
Nina berjalan ke arah pintu utama.
Pantas dia membongkok mencari sesuatu di bawah pasu. Setelah dapat apa yang
dicari, Nina pantas membuka pintu. Nasib baik Daniel Arman meninggalkan pesanan
ringkas untuk dia mencari kunci di situ. Jikalau tidak pasti dia terpaksa
menunggu Daniel Arman yang tidak sihat untuk membuka pintu untuknya. Dan
pastinya dia perlu menunggu lama kerana keadaan lelaki itu yang tidak bermaya.
Sejurus masuk, Nina terus menuju ke
tingkat dua. Dia tahu kedudukan bilik Daniel Arman kerana dia pernah ke situ
sebelum ini. Tiba dipintu bilik Daniel Arman, pintu bilik yang tidak berkunci
itu dikuak dari luar. Dalam teragak-agak Nina meninjau ke dalam bilik. Kali
pertama dia akan masuk ke bilik Daniel Arman. Walaupun suatu waktu dahulu dia
pernah berkongsi bilik dengan lelaki itu tetapi kali ini Nina rasakan situasi
itu lain sekali. Jarak yang memisahkan menyebabkan rasa janggalnya menebal.
Tambahan pula, antara dirinya dan Daniel Arman, masih ada jurang pemisah.
Nina menapak perlahan menuju ke
katil. Dilihatnya ada sekujur tubuh yang terbaring lesu dengan diselimuti
sekeping comforter nipis. Nina berjalan menghampiri tubuh Daniel
Arman. Memang lelaki itu benar-benar tidak berdaya kerana setelah hampir
sepuluh minit Nina berada di situ namun Daniel Arman masih belum sedar akan
kehadirannya.
“Encik Arman…” Panggil Nina sejurus
berdiri di sisi katil.
Tiada respon yang Nina terima dari
lelaki itu, tubuh Daniel Arman masih terbaring lesu.
“Encik Arman..” Panggil Nina lagi
seraya menarik sedikit comforter yang
menyelimuti tubuh Daniel Arman.
“Nina.” Kata Daniel Arman sejurus
melihat Nina berdiri di sebelah katilnya.
“Encik Arman perlukan apa-apa?” Soal
Nina gugup. Tidak tahu apa yang boleh dia lakukan saat melihat keadaan Daniel
Arman yang lemah begitu.
“Bawa saya ke klinik.” Jawab Daniel
Arman lemah.
“Dah dekat pukul satu ni, ada lagi
ke klinik yang buka?” Soal Nina lagi, setahunya jarang-jarang ada klinik yang
menawarkan perkhidmatan 24 jam.
“Dah pukul satu?, kalau macam tu
esok pagi-pagi Nina bawa saya” Soal Daniel Arman lagi. Disebabkan dari pagi dia
terbaring lesu di situ, dia tidak peka dengan masa yang berlalu.
“Baiklah.” Jawab Nina ringkas.
“Boleh Nina buatkan saya bubur, dari
pagi saya belum makan apa-apa, badan rasa lemah sangat.” Luah Daniel Arman. Dia
tiada pilihan melainkan meminta pertolongan dari Nina.
“Baiklah.” Jawab Nina lagi. Sayu
hatinya melihat keadaan Daniel Arman yang tidak bermaya. Tidak pernah dia
melihat Daniel Arman dalam keadaan yang begitu. Sayu hatinya melihat Daniel
Arman, bertambah sayu lagi apabila menyedari lelaki itu masih belum menjamah
apa-apa makanan.
Nina bergegas turun sejurus menerima
arahan dari Daniel Arman. Kerana terbiasa dengan arahan Daniel Arman di pejabat
menyebabkan Nina selalu sahaja bertindak mengikut arahan. Tambahan pula kala
itu Daniel Arman tidak berkeupayaan. Dia jatuh simpati terhadap lelaki itu.
Sejurus tiba di dapur Daniel Arman
yang luas, Nina pantas mencari barang-barang untuk membuat bubur. Disebabkan
itu merupakan kali pertama dia masuk ke dapur lelaki itu maka Nina tidak lari
dari menghadapi masalah dalam menemukan barang-barang yang hendak digunakan
untuk membuat bubur. Namun, dalam kepayahan itu, dapat juga Nina menyiapkan
bubur. Dia tersenyum nipis. Entah apalah rasa buburnya. Desis Nina dalam hati.
Dia bukannya pandai sangat memasak. Tahu yang asas-asas sahaja.
Nina susun bubur dan air susu ke
dalam dulang besar. Dulang itu kemudiannya dibawa ke tingkat atas untuk
diberikan kepada Daniel Arman.
Sejurus melangkah masuk semula ke
bilik Daniel Arman, Nina menghampiri katil Daniel Arman. Dilihatnya lelaki itu
masih lagi tidur dan terbaring lesu. Nina kemudiannya meletakkan tangannya ke
dahi Daniel Arman untuk memeriksa suhu badan lelaki itu. Panas, itu yang Nina
rasakan sejurus tangannya menyentuh dahi Daniel Arman.
Nina kemudiannya menggoyangkan badan
Daniel Arman, tentu sahaja Daniel Arman lapar kerana semenjak pagi belum lagi
menjamah makanan.
“Encik Arman, Nina dah buat bubur
ni.” Kata Nina lembut apabila Daniel Arman membuka kecil matanya.
“Nina suapkan Encik Arman?..”
Sambung Nina. Melihatkan keadaan Daniel Arman, hatinya diruntun simpati.
Mendengarkan kata-kata Nina itu,
Daniel Arman cuba bangun, ingin menyandarkan tubuhnya ke kepala katil.
Melihatkan Daniel Arman terkial-kial
sendirian, Nina tundukkan tubuhnya merapati Daniel Arman, cuba membantu Daniel
Arman untuk duduk. Daniel Arman hanya membiarkan, haruman tubuh Nina kuat
menusuk hidungnya. Namun dalam keadaan dirinya yang tidak bermaya begitu,
haruman Nina itu sedikit pun tidak menarik perhatiannya.
Sejurus Daniel Arman duduk dalam
keadaan selesa, Nina mula menyuapkan bubur ke mulut Daniel Arman. Tiada bicara
yang terluah antara mereka. Nina melayani Daniel Arman sepertimana melayani
anak kecil yang sakit. Entah kenapa dalam hati Nina, dia dapat rasakan sesuatu.
Dia suka melayani Daniel Arman begitu, terasa dirinya begitu hampir dengan
Daniel Arman, terasa dirinya diperlukan oleh lelaki itu.
Sepanjang menyuap bubur ke mulut
Daniel Arman, Nina mengambil kesempatan merenung wajah lelaki itu.
Jarang-jarang sekali dia berpeluang untuk merenung lama ke wajah Daniel Arman.
Selalunya Daniel Arman sahaja yang lebih banyak merenungnya, kali ini Nina
gunakan kesempatan yang ada untuk meneliti setiap inci wajah Daniel Arman.
Kacak. Desis Nina dalam hati. Patutlah ramai gadis di tempat kerja mereka yang tergila-gilakan
Daniel Arman. Lelaki itu memiliki pakej lengkap, kacak, bergaya dan kaya. Hati
sesiapa pun akan goyah, tambahan pula dengan sikap Daniel Arman yang gentleman, bertuah lah siapa sahaja yang
berjaya menakhluki hati lelaki itu.
Nina tersenyum sendiri, dalam
banyak-banyak perempuan yang tergila-gilakan Daniel Arman, dia merupakan gadis
‘bertuah’ yang berjaya menjadi isteri kepada lelaki itu. Tetapi senyum Nina
mati apabila terkenangkan apa yang berlaku antara dirinya dan Daniel Arman
hanyalah atas dasar keterpaksaan, Daniel Arman tidak pernah meminta untuk
menjadi suaminya. Hanya lafaz nikah yang mengikat mereka begitu, hakikatnya
hubungan mereka tidak lebih dari majikan dan pekerja sahaja. Antara dirinya dan
Daniel Arman, masih tiada apa-apa. Dia hanyalah isteri yang dikahwini bukan
atas dasar cinta. Dia bukan isteri sempurna kepada lelaki itu. Itu kata hati
Nina.
Malam itu Nina bermalam di bilik Daniel
Arman. Selepas menyuapkan Daniel Arman tadi, lelaki itu berkeras memintanya
untuk tidur dalam bilik yang sama. Walaupun masih janggal antara satu sama
lain, Nina turutkan sahaja permintaan Daniel Arman. Dia bertolak ansur
memandangkan keadaan Daniel Arman yang masih tidak banyak berubah.
Toto tebal dibentang ke lantai,
sejurus meletakkan kepalanya ke bantal, Nina terlena. Terlupa sebentar bahawa
dia berada di bilik Daniel Arman.
Sejam terlena, Nina terjaga apabila
dia terdengar suara Daniel Arman menyeru namanya. Dalam keadaan separuh sedar
Nina buka matanya. Selepas pasti memang betul Daniel Arman memanggilnya, Nina
bingkas bangun. Dia kemudian bergerak ke katil Daniel Arman.
“Encik Arman, ada apa?” Soal Nina
dalam keadaan separa sedar. Rambutnya yang terburai dikemaskan dan diikat
menjadi satu.
“tolong picitkan kepala saya, sakit
sangat.” Ucap Daniel Arman lemah. Memang saat itu kepalanya dirasakan
berdenyut-denyut. Tidurnya yang lena sebentar tadi terganggu dengan rasa sakit
yang tidak mampu untuk dia tanggung. Lantaran itu dia memanggil-manggil nama Nina.
Berharap Nina boleh membantu meringankan beban yang dia rasa saat itu.
Tanpa banyak bicara Nina terus
labuhkan punggungnya ke tepi katil. Segala kejanggalan yang dirasakan awal
malam tadi semakin menghilang. Nina kerling jam dinding yang disangkut pada dinding
bahagian kanan bilik. Jarum jam menunjukkan pukul tiga pagi, patutlah sukar
untuk dia bukakan matanya, rupa-rupanya baru sejam dia tidur. Waktu itu
selalunya dia sudah nyenyak tidur tanpa gangguan. Melayani Daniel Arman
menyebabkan dia terpaksa tidur lewat. Dan sekarang dia memaksa matanya terbuka
apabila Daniel Arman memerlukan bantuannya.
Nina alihkan tangannya ke dahi
Daniel Arman, perlahan-lahan dia memicit dahi lelaki itu. Kadangkala dia
tersengguk-sengguk kerana terlalu mengantuk. Apabila dia terasa matanya
memberat, pantas dibuka luas matanya.
Selepas penat tersengguk-sengguk
dalam keadaan duduk, Nina berbaring pula di tepi katil, namun jaraknya masih dijaga,
tidak terlalu dekat dengan Daniel Arman. Tangannya masih tidak berhenti memicit
dahi Daniel Arman. Hampir setengah jam berlalu, tangan Nina sudah berhenti
memicit. Dia terlena sendiri, terlena disisi Daniel Arman.
Seawal jam lima setengah pagi Nina
terjaga dari tidurnya. Apabila tersedar ada tangan yang jatuh ke dadanya, dia
tersedar tiba-tiba. Pantas Nina bukakan kedua-dua matanya. Nina lihat sekeliling,
cuba mencerna apa yang sedang berlaku. Imbasan malam tadi terlintas di
kepalanya. Nina menoleh pantas ke kirinya, dilihatnya Daniel Arman sedang lena
tidur dengan tangan kanannya elok terletak di atas dada Nina.
Nina alihkan tangan Daniel Arman
perlahan-lahan, cukup berhati-hati supaya lelaki itu tidak terjaga dan sedar.
Nina cepat-cepat bangun dari pembaringan. Dijarakkan tubuhnya dari Daniel
Arman. Nasib baik lelaki itu masih tidur, jika tidak pasti Daniel Arman
tersedar yang dia telah ‘tidur bersama’ lelaki itu malam tadi. Nina kemudiannya turun dari katil dan berjalan
menjauhi katil.
“Bestnya tidur dengan Nina.”
Tiba-tiba terdengar suara Daniel Arman dari arah katil. Suaranya tidak selemah
awal malam tadi.
Mendengarkan sahaja suara lelaki
itu, Nina pantas menoleh. Namun mata Daniel Arman masih terpejam rapat. Hanya
bibirnya sahaja yang mengukir senyum. Malunya Nina saat itu hanya tuhan yang
tahu. Wajahnya berona merah. Tidak disangka Daniel Arman yang disangkanya tidur
itu rupanya sudah terjaga.
“Kalau tiap-tiap malam macam ni kan
best.” Sambung lelaki itu lagi. Masih dalam keadaan matanya yang dipejam.
Nina tidak menyahut. Memang dia
betul-betul malu dengan kejadian itu. Agak-agaknya bila lagi Daniel Arman sudah
terjaga, semasa dia mengalihkan tangan lelaki itu sebentar tadi atau sebelum
itu lagi. Kalau sebelum dia alihkan tangan Daniel Arman, bermakna lelaki itu
sengaja ingin mengambil kesempatan. Memikirkan hal itu menyebabkan Nina
tiba-tiba rasa marah. Adakah Daniel Arman cuba mengambil kesempatan ke atas
dirinya.
“Kalau tiap-tiap malam tidur peluk
Nina mesti seronok.” Ucap Daniel Arman lagi dengan senyum nakal yang terukir
dibibir. Matanya masih terpejam rapat.
“Encik Arman cuba nak ambil
kesempatan ke?” Soal Nina tidak puas hati. Jelas di matanya Daniel Arman cuba
mempermainkan dirinya saat itu, walhal dia ikhlas membantu Daniel Arman malam
tadi.
Daniel Arman terus membuka mata saat
terdengarkan kata-kata Nina. Dia tersenyum sebaris. Nakal.
“Kalau ambil kesempatan pun apa
salahnya, Nina kan halal untuk saya, saya bukannya buat dosa pun, sentuh isteri
sendiri.” Kata Daniel Arman lagi. Tubuhnya yang tidak bermaya sejak malam tadi
dirasakan semakin bertenaga. Tidak disangka tanpa ubat pun dia berupaya sembuh.
Barangkali penangan Nina, desis Daniel Arman dalam hati. Kuat betul pengaruh
Nina terhadapnya. Daniel Arman tersenyum dalam hati. Terasa indahnya perasaan
dia untuk Nina kala itu.
“Tak baik Encik Arman buat saya
macam tu.” Kata Nina lagi. Memang benar hujah Daniel Arman bahawa dia halal
untuk lelaki itu tetapi apa yang Nina rasakan ialah Daniel Arman sepatutnya
tidak melakukan begitu kerana antara mereka masih ada jarak. Disebabkan itu
juga, perlakuan Daniel Arman itu dilihat sebagai ingin mengambil kesempatan ke
atas dirinya sahaja.
“Apa yang tak baik, saya sentuh Nina
ke atau saya lansung tak ‘sentuh’ Nina?” Soal Daniel Arman lagi dalam senyum
nakal. Sengaja dia ingin menyakat. Mahu menduga sejauh mana perasaan Nina terhadap
dirinya.
“Saya nak mandi.” Kata Nina seraya
berlalu, malas melayani kata-kata Daniel Arman, semakin dilayan, semakin banyak
hujah yang diucapkan lelaki itu untuk mengenakan dirinya.
Daniel Arman tersenyum manis,
indahnya perasaan dia saat itu. Sejujurnya itulah yang dia mahukan dalam
perhubungannya dengan Nina. Dia mahukan Nina sentiasa ada bersamanya,
menemaninya sepanjang waktu. Namun reaksi dingin Nina membuatkan dia seringkali
hampir berputus asa. Bukannya dia tidak meluahkan rasa hatinya itu cuma Nina
seolah-olah menjauhkan diri bila dia ingin mendekat. Makin dia kejar, makin
jauh Nina berlari. Sebab itu juga dia belum mampu untuk meluahkan rasa hatinya
secara terang-terangan kepada Nina. Bimbang Nina menolaknya mentah-mentah.
Kalau itu yang berlaku, dia akan jatuh terduduk dan mungkin tidak berupaya
untuk bangun lagi.
Nina duduk berehat dibilik tetamu yang
tersedia apabila dia usai menunaikan solat sebentar tadi. Dia tidak keluar dari
bilik sejak tercetusnya perbualan berat sebelah diantara dirinya dan Daniel
Arman awal pagi tadi. Daniel Arman juga dilihatnya sudah sembuh sepenuhnya.
Pelik juga kerana malam tadi Daniel Arman betul-betul tidak berdaya. Tentang
perkara itu dia memang pasti kerana dia yang melihat sendiri bagaimana keadaan
Daniel Arman.
Sedang Nina leka dalam pemikirannya
sendiri, tiba-tiba pintu bilik itu diketuk dari luar. Nina bingkas bangun dari
perbaringan, langkahnya di atur laju menuju ke pintu bilik. Apabila dia buka
pintu bilik tetamu itu, terpancul Daniel Arman di muka pintu. Hampir
bersentuhan tubuh mereka, Nina yang berketinggian separas bahu Daniel Arman
terperanjat apabila lelaki itu berdiri betul-betul dihadapannya dengan
kedua-dua tangannya memaut bahagian kanan dan kiri bingkai pintu.
“Encik Arman.” Kata Nina. Gugup dia
dengan situasi itu. Bau haruman tubuh Daniel Arman kuat menusuk hidungnya.
Cepat-cepat dia jarakkan tubuhnya sedikit ke belakang.
“Saya.” Jawab Daniel Arman dengan
kening terangkat. Dilihatnya Nina masih menyarungkan pijama tidur polka dots yang berbutang dihadapan.
Rambut Nina yang panjang separas bahu diikat kemas stail ekor kuda. Manis,
desis Daniel Arman dalam hati.
“Ada ke orang lain selain saya dalam
rumah ni?” Soal Daniel Arman dalam senyum nakal. Sengaja dia ingin mengusik
Nina.
Nina tidak menjawab, hanya kepalanya
digeleng-geleng perlahan.
“Dah mandi?” Soal Daniel Arman lagi.
Nina mengangguk lagi, terasa kalah
bila dia berhadapan dengan Daniel Arman begitu. Wajah kacak Daniel Arman
menyebabkan dia tidak bertahan lama merenung mata lelaki itu. Bimbang riak
wajahnya berubah, bimbang jika rasa hatinya dibaca oleh Daniel Arman.
“erm, pagi ni saya nak Nina masak
untuk saya.” Kata Daniel Arman lagi. Dia suka melihat Nina gelabah begitu.
Kesempatan itu akan digunakan untuk dia menghabiskan masanya dengan Nina.
“tapi saya kena kerja Encik Arman.”
Jawab Nina, jam di dinding bilik tetamu itu dikerling. Dia perlu pergi bekerja
walaupun Daniel Arman masih bercuti, kerjanya masih banyak yang tertangguh di
pejabat.
“Nina cuti hari ni.” Jawab Daniel
Arman selamba.
“Cuti?, tapi saya tak mohon cuti
pun.” Jawab Nina lagi.
“Saya bagi Nina cuti hari ni, kalau
degil juga nak kerja, saya paksa Nina ambil cuti. Mana yang lebih penting, jaga
suami sakit ke atau kerja?. Lagipun saya bos cum husband, jadi saya yang buat keputusan.” Kata Daniel Arman.
Berpura-pura tegas dengan kata-katanya walhal dalam hatinya sudah tersenyum
melihatkan riak muka Nina yang berubah. Sungguh dia suka menyakat Nina begitu.
“Encik Arman nak makan apa?” Soal
Nina berbalik pada permintaan Daniel Arman tadi.
“Saya nak makan nasi lemak.” Jawab
Daniel Arman. Kali ini nadanya lembut.
“Nasi lemak?” Soal Nina kembali.
Sejujurnya dia bukanlah pandai sangat bab masak memasak ni.
“Ermm..saya nak rasa masakan Nina, mesti
sedap.” Jawab Daniel Arman dalam senyum sebaris.
“kalau tak sedap macam mana?” Soal
Nina lagi. Memang memasak bukanlah kepakaran dia.
“Muka manis macam Nina, masak apa
pun mesti sedap.” Sakat Daniel Arman.
“Nina masak dulu, saya nak masuk
berehat kat bilik.” Sambung Daniel Arman seraya berlalu ke biliknya.
Nina tergaru-garu kepala yang tidak
gatal. Berat betul permintaan Daniel Arman. Nasib baik dia sudah tahu apa
bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat nasi lemak, jika tidak pasti dia
buntu, tidak tahu mahu mulakan dari mana.
Nina pantas mencari-cari bahan dari
peti sejuk Daniel Arman. Sesudah menjumpai apa yang akan dia gunakan, Nina
memulakan kerjanya. Sejam berlalu dan Nina berjaya menyiapkan menu permintaan
Daniel Arman itu. Walaupun tidaklah sesempurna seperti yang sepatutnya tetapi
Nina tersenyum puas hati, sekurang-kurangnya dia berjaya melaksanakan tugasan
itu.
Siap menghidangkan hidangan utama di
meja makan, Nina kembali ke dapur untuk memotong timun dan telur yang sudah
direbus. Pisau yang disusun di rak di kaunter pulau, diambil oleh Nina dan
dibawa ke singki. Disitu Nina menyambung tugasnya. Bila semua yang siap di
potong berselerak di atas papan landas, Nina menuju ke rak, cuba mencari piring
kecil untuk dia susun kesemua bahan yang dipotong tadi namun apabila dilihatnya
tiada satu pun piring kecil di situ, dia buntu. Sekali lagi Nina garu kepala,
dimana agaknya Daniel Arman menyimpan piring-piring kecil. Desis Nina dalam
hati.
Nina kemudian membuka satu persatu
kabinet dapur Daniel Arman. Pada satu kabinet di bahagian kiri bawah singki
Nina menemukan piring-piring yang sudah berhabuk dan disusun dalam satu susunan
yang tinggi. Pantas tangan Nina mencapai dua piring tersebut. Namun belum
sempat piring itu dibawa ke singki untuk dibasuh, Nina terlebih dahulu sudah
mencampakkan kedua-dua piring ditangannya itu.
Sementara Daniel Arman yang baru
turun dari tingkat atas, bergegas menuju ke dapur apabila terdengar bunyi kaca
pecah dari arah dapur. Sejurus berdiri di muka pintu, Daniel Arman terlihat
Nina sedang berdiri kaku memandang ke hadapan sinki.
“Nina, kenapa?” Tanya Daniel Arman cemas
seraya bergerak menuju ke arah sinki. Nina
masih kaku berdiri. Soalan Daniel Arman dibiarkan sepi. Jantungnya berdegup
kencang.
Daniel Arman yang kini berdiri
betul-betul di hadapan Nina bersuara.
“Nina, duduk diam-diam.” Kata Daniel
Arman sejurus berdiri di hadapan Nina. Matanya terpaku pada sesuatu di atas
bahu Nina.
Nina yang kehairanan hanya memandang
Daniel Arman. Matanya menyoroti mata Daniel Arman yang merenung tajam ke satu
arah. Dia pantas mengalihkan wajahnya memandang ke arah yang ditenung Daniel
Arman. Labah-labah, jerit Nina kuat. Sepantas itu juga Nina terlompat-lompat
sambil terjerit-jerit. Gamat ruang dapur itu dengan suara Nina yang seakan-akan
histeria.
Sementara Daniel Arman kaget melihat
keadaan Nina. Baru sebentar tadi dia suruh Nina duduk diam-diam kerana dia
ingin cuba membuang labah-labah itu, bukan dia tidak tahu memang Nina takutkan
labah-labah. Melihatkan Nina yang histeria menyebabkan dia buntu. Dengan
keadaan Nina yang terlompat-lompat begitu bagaimana dia mahu membantu gadis
itu.
Daniel Arman kemudiannya menghampiri
Nina yang sudah hilang kawalan diri, ketakutan membuatkan dia tidak sedar akan
perlakuannya. Pantas kedua-dua bahu Nina dipegang kuat.
“Nina, calm down!” Kata Daniel Arman kuat. Cuba menenangkan Nina.
Nina yang sedari tadi
terlompat-lompat berhenti tiba-tiba, suara kuat Daniel Arman mengejutkannya.
“Kalau Nina lompat-lompat macam tu,
labah-labah tu pun takut, kan saya dah suruh duduk diam-diam tadi, saya nak
tolong halau.” Kata Daniel Arman tenang. Wajahnya sengaja didekatkan ke wajah
Nina, cuba membuatkan Nina rasa selamat kala itu.
Nina terdiam, nafasnya yang
tercungap-cungap ditarik perlahan-lahan. Dadanya yang berombak kuat dan
jantungnya yang berdegup kencang sebentar tadi mulai mengendur mendengarkan
bicara lembut Daniel Arman.
“Sekarang mana labah-labah tu?” Soal
Daniel Arman. Pautan tangannya di bahu Nina dilepaskan.
Nina hanya menggeleng kepala. Panik
yang dirasakan tadi seolah-olah menghilang dengan kata-kata Daniel Arman. Saat
itu dia rasakan dirinya selamat. Terlalu selamat kerana Daniel Arman berada
disampingnya ketika itu.
“Nina lompat-lompat macam tu,
labah-labah pun panik.” Seloroh Daniel Arman dalam senyum sebaris. Nina sudah
kembali ke keadaan asal. Kelakar pula dia lihat Nina berkeadaan begitu.
Apabila dia pasti Nina sudah okey, Daniel Arman berpaling untuk ke meja
makan. Namun belum pun sempat dia melangkah, Nina memanggil namanya semula. Ada
getar pada nada suara Nina. Daniel Arman berpaling kembali. Dilihatnya wajah
Nina kembali pucat, sama seperti saat Nina panik tadi.
“Kenapa?” Soal Daniel Arman pelik.
Nina merenung tepat ke matanya. Ada air bergenang di mata Nina, namun
gadis itu masih membisu seribu bahasa. Nafasnya seolah-olah ditahan di dada,
ditarik perlahan dan dilepas juga perlahan.
“Nina, are you ekey?” Soal
Daniel Arman lagi bila Nina masih membisu. Hanya matanya sahaja tidak lepas
dari memandang tepat ke mata Daniel Arman.
Nina buat isyarat pada Daniel Arman, tangannya diangkat separas dada.
Jari telunjuknya dihalakan ke bahagian dadanya. Nafasnya seolah-olah
ditahan-tahan. Pergerakan tubuhnya juga dikunci.
Daniel Arman bawa matanya ke arah yang ditunjukkan Nina, namun dia tidak
terlihat apa-apa di situ. Dia berjalan menghampiri Nina semula apabila
dilihatnya Nina sudah mengalirkan air mata tanpa suara. Pening Daniel Arman
dibuatnya. Tidak tahu apa yang tidak kena dengan Nina.
“Nina tak apa-apa?” Soal Daniel Arman lagi. Kali ini nadanya dilembutkan selembut-lembutnya.
“Labah-labah.” Kata Nina dalam suara yang ditahan-tahan. Sungguh dia
takut saat itu. Untuk bersuara pun dia tidak mampu.
“Mana?” Soal Daniel Arman lagi. Tidak pula matanya menangkap labah-labah
pada tempat yang Nina tunjukkan tadi.
“Dalam ni.” Jawab Nina sambil jarinya ditunjuk ke arah tadi.
Tiba-tiba Daniel Arman tersenyum.
“Nakal betul labah-labah ni, sampai dalam dia masuk.” Kata Daniel Arman
sambil tersenyum. Sengaja dia mahu mengusik Nina.
Nina tidak bereaksi. Yang dia rasakan saat itu hanya takut.
“Nina nak saya buat apa?” Tanya Daniel Arman. Bimbang juga kalau dia buat
keputusan sendiri.
“Keluarkan.” Kata Nina perlahan, dia masih berdiri kaku.
“Keluarkan dari situ?” Soal Daniel Arman lagi sambil mengangkat kedua-dua
keningnya.
Nina pantas mengangguk. Memang rasa takut paling banyak menguasai dirinya
saat itu. Untuk dia keluarkan sendiri dia tidak berani. Biar Daniel Arman
sahaja yang buat, dia tidak kisah. Dia terlalu takut untuk memikirkan
perkara-perkara lain.
“Nanti jangan tuduh saya ambil kesempatan pula.” Kata Daniel Arman lagi.
Teringat akan kata-kata Nina awal pagi tadi yang dia cuba ambil kesempatan.
Nina hanya menggeleng-geleng kepala dengan wajah cuak. Apapun yang Daniel
Arman lakukan, dia tidak akan menyalahkan lelaki itu, yang penting labah-labah
itu harus di keluarkan dari tempat itu.
Melihatkan reaksi dari Nina, Daniel Arman merapatkan lagi tubuhnya dengan
tubuh Nina.
“Jangan bergerak.” Arah Daniel Arman, bimbang Nina mengulangi reaksi awal
tadi.
Nina hanya membatukan diri. Nafasnya juga seolah-olah di tahan. Tidak
berani dia bernafas kuat, bimbang pergerakannya akan menarik perhatian
labah-labah itu.
Daniel Arman buka satu persatu butang pijama Nina. Perlahan dan cukup
berhati-hati. Entah kenapa jantungnya turut berdegup kencang. Terasa
menendang-nendang dadanya. Namun riak wajahnya dikawal sebaik mungkin. Tidak
mahu menzahirkan perasaannya pada Nina ketika itu, bimbang dengan reaksi gadis
itu, bimbang Nina menyalahtafsirkan niatnya.
Sejurus beberapa butang dibuka, Daniel Arman selak perlahan-lahan pyjama
Nina. Saat terlihat bahagian dada Nina yang terdedah, berkocak hebat naluri
lelakinya. Jantungnya berdegup semakin laju. Riak wajahnya dikawal sebaik
mungkin walhal dalam hatinya, hanya tuhan yang tahu. Tidak tertahan rasanya
gelodak hatinya melihat Nina dalam keadaan itu.
“Encik Arman!.” Kata Nina bila dilihatnya Daniel Arman merenung lama ke
bahagian dadanya yang terdedah.
Daniel Arman tersentak, baru tersedar yang dia terleka merenung bahagian
dada Nina yang lebih cerah berbanding bahagian lain.
Daniel Arman perlahan-lahan memasukkan tangannya di bahagian tengah dada
Nina, dengan hati-hati dia mengambil labah-labah itu yang duduk diam disitu
lalu di bawa ke pintu dapur yang menghubungkan belakang rumah, pantas dia lepaskan
labah-labah itu di luar.
Nina cepat-cepat membutangkan semula pijamanya. Saat itu baru dia terasa
malu, malu kerana Daniel Arman sudah melihat ruang peribadinya, wajahnya terasa
membahang. Namun belumpun sempat Nina membutangkan kembali pijama tidurnya,
tangan Daniel Arman telah terlebih dahulu memegang tangan Nina, menghalang niat
wanita itu.
Daniel Arman kemudiannya memegang kedua-dua tangan Nina. Matanya merenung
mata Nina yang bening. Wajah Nina yang memerah cukup memberitahunya yang gadis
itu malu saat itu.
“Saya suka pada Nina.” Ucap Daniel Arman romantis.
Nina diam tidak beriak. Perasaannya bercampur baur. Malu, berdebar dan
takut semuanya menjadi satu rasa yang sukar dia ungkapkan.
Demi melihat Nina yang masih membatu, Daniel Arman pantas mengelus-ngelus
lembut jemari Nina. Lelaki itu kemudiannya membawa wajahnya dekat dengan wajah
Nina. Apabila hampir, Daniel Arman bawa bibirnya ke bibir Nina namun belum
sempat dia menikmati saat indah itu, tiba-tiba Nina menolak lembut tubuhnya
menjauh.
“Maaf.” Ucap Nina sepatah. Kepalanya ditunduk ke bawah. Entah kenapa saat
itu, tiba-tiba sahaja bayang-bayang Danish Arham menerjah ruang mindanya. Saat
Daniel Arman cuba mengucupnya, dia terbayangkan Danish Arham. Terbayang apa
yang pernah Danish Arham lakukan padanya dulu. Lantaran itu dia bertindak
menolak tubuh Daniel Arman menjauh dari tubuhnya.
“Saya faham.” Jawab Daniel Arman dalam keluhan. Walaupun kecewa dengan
reaksi Nina tetapi dia tahu Nina melakukannya kerana bersebab. Pasti Nina
terbayangkan Danish Arham dalam dirinya memandangkan wajah mereka yang mirip.
Saat itu Daniel Arman terasa kesal. Kesal kerana dia dan Danish Arham berkongsi
satu wajah. Satu sumpahan yang tidak mungkin dia rungkai sampai mati
sekalipun!.
Nina hanya diam tidak beriak.
“Saya akan pastikan suatu hari nanti, Nina hanya akan nampak Daniel Arman
dalam diri saya dan bukannya Danish Arham.” Ungkap Daniel Arman lembut.
Nina hanya tersenyum tawar. Itulah harapannya.
“Untung la labah-labah tu, saya juga yang berputih mata” Kata Daniel Arman
dalam seloroh memecahkan kejanggalan antara mereka walhal dia sendiri cuba
menyembunyikan apa yang dia rasakan ketika itu.
Getaran dihatinya walaupun tidak sekuat awal tadi namun masih lagi
bersisa.
Wajah Nina kembali berona merah. Terasa malu dengan usikan nakal Daniel
Arman. Memang dia berharap agar suatu hari nanti Daniel Arman jatuh hati
padanya dan dia juga berharap agar dapat mengusir pergi bayangan Danish Arham
dari Daniel Arman.
“Jom makan.” Ajak Daniel Arman apabila dilihatnya wajah Nina sudah
berubah riak.
Nina hanya menurut dari belakang. Suasana janggal antara mereka awal tadi
telah menghadirkan satu rasa istimewa di hati Nina. Terasa saat itu dia hanya
mahu menghabiskan masanya bersama Daniel Arman. Terasa indah. Walaupun puas
disingkir jauh rasa itu dari hatinya, namun Nina tidak mampu. Dia sudah terlalu
sayang kepada Daniel Arman. Andai dia jatuh tersungkur ketika itu, pasti dia
tidak mampu untuk bangun lagi. Sejujurnya saat itu, dia amat berharap Daniel
Arman turut menyintainya.
P/s-kalau suka bagitahu ye...hehe... muah...